PERPUSTAKAAN KELUARGA PERCEPAT JADIKAN MEMBACA SATU BUDAYA
Down
Date: 10-07-2003 Author: / MNY MNY ZB
Perpustakaan-Keluarga
JOHOR BAHARU, 10 Julai (Bernama) -- Perpustakaan keluarga di setiap
rumah akan membantu mempercepatkan proses menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya yang menyeronokkan dan meningkatkan masa berkualiti bersama keluarga. Namun perangkaan hasil kajian oleh Perpustakaan Negara Malaysia menunjukkan bahawa hanya 41 peratus keluarga di negara ini mempunyai perpustakaan atau sudut membaca di rumah dan hanya 29 peratus rakyat Malaysia yang menggunakan perpustakaan. Hasil satu kajian lain pula menunjukkan 95 peratus pelajar Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam tidak tahu menggunakan maklumat berkaitan pengajian mereka dan tidak memanfaatkan penggunaan perpustakaan sejak kecil, demikian Bengkel Perpustakaan Keluarga di sini diberitahu hari ini. Penolong Pegawai Perpustakaan Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) Saiful Abdullah dalam kertaskerjanya yang dibentangkan pada bengkel itu berkata satu kajian mendapati 59 peratus responden memberikan sebab 'tidak mempunyai masa' sebagai alasan tidak menggunakan perpustakaan dengan baik. Katanya, kajian pimpinan Prof Atan Long dari Universiti Putra Malaysia pada 1983 itu mendapati 16 peratus responden memberi alasan 'kerja lain lebih penting' dan 11 peratus responden di bandar dan 14 peratus di luar bandar memberi alasan 'sukar mendapatkan buku'. Sementara itu Pengarah PPAJ Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman berkata perpustakaan keluarga di rumah bukanlah sukar untuk diwujudkan kerana hampir setiap rumah memang sudah mempunyai bahan bacaan yang tidak semestinya berupa buku semata-mata tetapi pelbagai bahan. "Yang diperlukan bagi mewujudkan perpustakaan keluarga hanya satu ruang atau tempat, yang boleh berupa almari, rak atau kotak sekalipun bagi menempatkan bahan-bahan bacaan itu," katanya kepada pemberita. Beliau berkata kewujudan perpustakaan keluarga itu akan mendorong anggota keluarga membaca kerana mudah mendapatkan bahan yang hendak dibaca yang tersusun di satu tempat khas selain mendidik anak-anak khususnya menghargai bahan bacaan dengan menyimpannya dengan baik. "Dalam menggalakkan anak-anak membaca, ibu bapa berperanan penting menjadikannya amalan contoh. Lagipun rumahlah merupakan institusi pertama di mana anak-anak belajar membaca," katanya. "Dalam mewujudkan perpustakaan keluarga, bahan utama ialah bahan bacaan yang pelbagai manakala komputer, alat audio visual adalah bahan sampingan yang boleh disediakan mengikut kemampuan keluarga masing-masing," katanya. Pembentang kertaskerja "Membentuk Tabiat Membaca Di Rumah" Maimunah Abdul Rahman pula berkata anak-anak boleh disemai tabiat membaca dengan menggalakkan mereka membaca bahan yang berkaitan minat mereka sama ada buku, majalah, risalah mahupun panduan manual mengenai sesuatu yang diminati. "Jangan paksa mereka membaca buku sekolah semata-mata yang boleh menyebabkan mereka bosan tetapi tampung minat mereka di luar bidang akademik juga... jika mereka minat membina model kapal terbang atau 'skateboard', adakan bahan bacaan berkaitan," katanya. Maimunah yang juga pengarah komunikasi hotel The M-Suites di sini, berkata ibu yang sedang memasak juga boleh meminta tolong anak-anak membacakan resepi dan bapa yang sedang menyiapkan sesuatu kerja boleh meminta anak-anak membantu membacakan manual kerja. Beliau berkata selain itu, dalam berbelanja ibu bapa juga wajar memperuntukkan sedikit wang bagi anak-anak membeli bahan bacaan yang diminati, yang dipastikan boleh menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Bahan-bahan yang dibeli dan sudah dibaca perlulah disusun dengan baik di perpustakaan keluarga di rumah, katanya, yang menambah bahawa bahan-bahan itu juga boleh dimanfaatkan bersama dengan jiran tetangga. -- BERNAMA MNY MNY ZB
Up