PERGOLAKAN PKR TIDAK MENGEJUTKAN
MUKADIMAH BARU-BARU ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalami pergolakan sehingga mengakibatkan beberapa pemimpinnya meletak jawatan serta meninggalkan parti. Daripada PKR Sabah Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Christina Liew hinggalah yang terbaru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kawasan Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah. Semuanya menjurus kepada rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan yang diterajui 3A, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali. Untuk memahami apa yang berlaku, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan HAFIZAHRIL HAMID telah menemui Anuar Shaari, bekas setiausaha sulit Anwar ketika berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Wawancara ini berlangsung di pejabatnya di Ayer Keroh Melaka. Beliau pernah terlibat aktif dalam gerakan reformasi Anwar termasuklah semasa penubuhan Parti Keadilan Nasional yang kemudian bertukar kepada PKR. Beliau juga pernah menjadi Ketua Bahagian Permatang Pauh, satu jawatan penting dalam politik PKR memandangkan Permatang Pauh adalah kubu kuat Anwar dan PKR. Anuar meninggalkan parti pada 2007 ekoran tidak bersetuju dengan hala tuju dan kepimpinan PKR. MINGGUAN: Bagaimana dengan pandangan saudara tentang masa depan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdasarkan perkembangan terbaru sekarang? ANUAR: Saya melihat sekarang ini adalah perkembangan yang tidak baik bagi PKR. Dan apa yang berlaku sekarang ini adalah tidak memeranjatkan pun kerana sejak dari penubuhannya parti ini didominasi oleh 2A (Datin Seri Wan Azizah Wan 1
Ismail dan Azmin Ali) manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan dari Sungai Buluh. Banyak dasar dan hala tuju parti ditentukan oleh Anwar. Pembangunan sesebuah organisasi apabila ada seorang yang terlalu dominan dan berkuasa menentukan hala tuju parti maka organisasi itu tidak akan berjaya dan tidak ke mana-mana. Ini kerana dia tidak mendengar suara hati ahli dan pengikut. Saya terlibat dalam mesyuarat pertama parti dan ketika itu Parti Keadilan Nasional mengambil alih Parti Ikatan. Ketika itu saya ada, Dr. Chandra Muzaffar ada, Almarhum Sheikh Azmi dan beberapa orang lagi yang masih kekal dalam PKR sekarang. Ketika itu Anwar tidak mahu Wan Azizah mengetuai parti itu. Itu mungkin strategi dia untuk bagi kepada Dr. Chandra dan timbalan yang disebut-sebut ketika itu ialah seseorang tokoh yang lain, namun beliau menolak - permintaan untuk menyertai kumpulan Anwar. Wan Azizah ketika itu dilihat betul-betul mahu memimpin. Saya melihat ketika itu bahawa Anwar tidak yakin Wan Azizah boleh memimpin tetapi apabila dia beriaia mahukan jawatan itu dan keputusan itu disokong oleh Dr. Chandra yang sanggup memberi laluan kepada Wan Azizah, maka dia dilantik menjadi presiden parti. Selepas itu parti ini dilancarkan pada 1999 dan tidak lama sekitar dalam enam bulan telah berlaku pergolakan. Bagaimana dengan asal usul Parti Ikatan dan kemudian boleh saudara terangkan tentang pergolakan yang berlaku? ANUAR: Parti Ikatan merupakan sebuah parti yang telah didaftarkan secara rasmi tetapi tidak aktif. Sebelum itu "Adil" bergerak secara NGO tetapi apabila hendak didaftarkan sebagai parti politik tidak dapat kelulusan. Kami hanya mengambil alih sebuah parti yang telah didaftarkan. Pergolakan berlaku selepas enam bulan dilancarkan antara Dr. Chandra dan Marina Yusuf tetapi ia tidaklah begitu nyata kerana semangat perjuangan itu masih tebal. Mereka telah mula mempertikaikan satu dua keputusan yang telah didominasi oleh Anwar dan Azmin merupakan penyambung lidah Anwar, kononnyalah. Orang penghubung dalam hal ini ialah para peguarn Anwar yang kemudiannya membawa arahan yang telah dilakukan Anwar kepada Azmin. Kemuncaknya ialah pada tahun 2001 di Kemaman apabila parti itu bersidang kali pertama untuk memilih pemimpin, wujud ketika itu dua kelompok iaitu pertama diketuai oleh Rahman Osman dan kedua ialah kelompok Dr. Mohammad Nor Manuty iaitu kelompok ABIM. Kedua mereka berebut jawatan timbalan presiden. Ketika itu Anwar melalui Azmin dalam arahan-arahannya jelas memilih Rahman Osman sebagai timbalan presiden. Selepas kelompok ABIM ini kalah mereka pun membawa haluan sendiri. Selepas itu pergolakan berterusan dengan ketua wanita pertama (Hajah Neil Onn) kemudian Marina keluar parti sehingga pilihan raya 2004. 2
Ketika itu ia lebih mudah kerana Anwar berada di dalam dan tidak berhadapan dengan desakan. Yang terpaksa menjawab semua ini adalah Wan Azizah dan Azmin. Selepas Anwar keluar dia banyak berdepan dengan desakan-desakan secara berhadapan. Dia mengangkat dirinya sebagai pejuang sejati yang sanggup mendengar keluhan dan pandangan orang lain. Tetapi hakikatnya tidak. Jika ada pandangan yang tidak selari dengan pendapat Anwar maka pemimpin tersebut akan menjadi musuh. Antara yang mula ditimpa masalah ini ialah kelompok Ruslan Kasim sedangkan dia antara orang pertama yang ditangkap di, hadapan rumah Anwar pada tahun 1998 hanya selepas dua hari Anwar ditangkap. Ketika itu banyak dasar parti yang tidak seiring dengan kehendak ahli telah dijalankan contohnya seperti Ruslan perlu dikekalkan sebagai ketua penerangan. Yang menjadi punca utama ialah apabila Anwar cuba mengubah parti daripada parti pelbagai kaum berteraskan Melayu iaitu pada awal 2005 setelah dia memutuskan untuk menumpukan sepenuh masa dalam politik. Ramai ahli dan pemimpin yang tidak bersetuju, antaranya Ruslan, Hanafiah Man dan ini kumpulan pertama yang keluar. Ini bermakna dasar utama parti berubah setelah Anwar keluar dari penjara? ANUAR: Memang benar sebelum itu PKR merupakan parti pelbagai kaum berteraskan Melayu dan ditukar kepada hanya parti pelbagai kaum. Saya berpendapat peranan Wan Azizah adalah sekadar mengulangi apa yang telah diarahkan oleh Anwar sahaja selama ini. Kemudian diambil keputusan untuk bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Keputusan itu diambil kerana Anwar berpandangan sebagai parti baru ia kekurangan sokongan massa. Ini kerana mereka ini hanya aktif di jalanan tetapi bukan dalam berpolitik. Maka salah satu platform ialah melalui PRM kerana ahli-ahlinya terdiri daripada Suaram, Tian Chua dan kumpulannya serta pelbagai NGO yang anti establishment. Jadi Anwar cuba memancing mereka ini serta dia melihat tawaran ini merupakan sesuatu yang tidak akan ditolak oleh PRM. Ini kerana PRM sendiri merupakan sebuah parti yang hidup segan mati tak mahu maka tawaran ini diterima dengan bersungguh-sungguh. Tetapi kelompok yang paling kuat menentang penggabungan ini ialah ABIM yang terdiri daripada sahabat Anwar sendiri. Bolehkah dikatakan Anwar cuba mengubah parti ini tanpa persetujuan ahli dan adakah ramai ahli yang keluar selepas itu? ANUAR: Macam inilah, Anwar bijak menggunakan percaturan. Dia mengatur dahulu ahli-ahli dalam perhimpunan agung supaya menyokong cadangan. Antaranya Rahman Osman dan Wan Azizah serta ketua perhubungan negeri. Apabila penggabungan antara dua parti ini berlaku dan ditukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat masih belum ramai ahli yang keluar. Tetapi lebih ramai yang mengambil langkah berdiam diri dan kekal sebagai ahli yang tidak aktif. Kemudian baru ramai gelombang yang keluar kerana atas dasar tidak bersetuju dengan Anwar 3
dari segi hala tuju parti. Pada awalnya ramai ahli yang mahu kekalkan parti sebagai parti pelbagai kaum yang berteraskan Melayu. Apa tujuan Anwar menghapuskan parti pelbagai kaum yang berteraskan Melayu. Apakah ia dilakukan untuk berkuasa atau sememangnya fahaman politiknya begitu? ANUAR: Anwar nampak ketika itu apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi naik sebagai perdana menteri sokongan dari orang Melayu adalah kukuh. Pihak bukan Melayu masih berbelah bagi. Maka bagi mendapat dan mengukuhkan sokongan bukan Melayu ini Anwar perlu mengubah parti untuk memancing mereka. Ketika itulah dia mula menyerang dasar seperti DEB dan sebagainya. Oleh itu mereka begitu tertarik dengan Anwar. Saya melihat Anwar ini sebagai oportunis di mana dia boleh berubah dari masa ke masa. Jika sebelum ini dia terkenal dengan semangat kemelayuan dan Islamnya tetapi apabila fenomena politik negara berubah dia bijak mengambil peluang. Yang sebenarnya dasar-dasarnya tidak ada pun untuk memberi keadilan kepada semua kaum di negara ini. la semua lebih kepada untuk kepentingan politik dan kuasa yang hendak dicapai. Bagi saya kemenangan yang diperoleh selepas pilihan raya lepas hanyalah bersifat sementara. Ini kerana dengan seluruh kekuatannya dia menggerakkan supaya rakyat membenci Barisan Nasional (BN) ketika itu. Dan dia berjaya tetapi bukan kerana BN tidak bagus dan sebagainya tetapi melalui propaganda dan dakyah kononnya dia teraniaya satu. Keduanya dia meletakkan UMNO dan rasuah terlalu sinonim yang mana rakyat membenci. Dia eksploit sentimen ini dan membuatkan rakyat berjaya mengundi parti pilihan, asal sahaja bukan BN mereka akan undi. Oleh itu kemenangan seperti ini tidak berasaskan rasa insaf untuk kita terus bekerja membangunkan negara. Kemenangan yang diberikan oleh rakyat ketika itu adalah berlandaskan perasaan marah. Maka saya lihat kemenangan seperti ini tidak akan bertahan lama. Apakah masalah besar yang dihadapi oleh Anwar dan PKR sekarang ini contohnya dakwaan yang dihadapi Anwar sekarang atau masalah lain? ANUAR: Tuduhan terhadap itu adalah sesuatu yang bersifat peribadi. Tetapi dia bijak menggunakan tuduhan itu untuk mengheret semua sama ada ahli parti dan parti gabungan dalam pembangkang untuk bersama dia. Dia menjadikan perkara itu sebagai satu isu nasional. Sedangkan tuduhan itu adalah peribadi dari seorang mangsa kepada seorang yang tertuduh. Masalah sebenarnya adalah cara Anwar menguruskan parti dan itu merupakan masalah terbesar. Anwar terlalu banyak memberi ruang kepada Azmin untuk bergerak. Kenapa perkara ini berlaku ialah kerana dia terlalu rapat dengan Azmin sejak dari dulu lagi.
4
Saya mengkaji tentang apa yang berlaku, sejak dari saya bekerja bersamanya pada 1995. Saya melihat pegawai Anwar berhenti semuanya ada kaitan dengan Azmin. sama ada Azmin tidak suka kepada pegawai tersebut atau sebaliknya. Saya lihat perkara yang berlaku di Sabah baru-baru ini sama iaitu ada masalah dengan Azmin dan Anwar akan terus membela Azmin. Ahli majlis tertinggi saya lihat dikawal oleh Anwar. Contohnya jika dia hendakkan sesuatu maka dia akan yakinkan mereka supaya menurut cakapnya. Anwar memang hebat dalam berhujah dan dia akan mematahkan hujah tersebut dan kalau lebih-lebih ahli itu akan kenalah. Kenapa membuat keputusan untuk melepaskan jawatan? ANUAR: Saya memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Permatang Pauh dan tidak ada jawatan di peringkat pusat. Pada 2007 ada pertandingan Kongres Nasional dan masa itu Azmin telah menggerakkan jenteranya untuk bertanding timbalan presiden. Ramai rakan yang tidak bersetuju dengan tindakan ini. Saya melihat Wan Azizah presiden dan jika Azmin sebagai timbalan, ke mana kita hendak bawa parti ini memandangkan semua mereka mempunyai pertalian yang rapat dengan Anwar. Ada juga golongan yang tidak mahu Syed Husin Ali maka timbullah nama seperti Tan Sri Khalid Ibrahim. Permatang Pauh ini merupakan kawasan yang dilihat menjadi penentu kerana ia kawasan Anwar dan siapa yang dipilih akan diikut bahagian-bahagian lain. Saya tidak cenderung untuk mencalonkan Azmin dan saya melontarkan idea jika tidak mahu Syed Husin mengapa tidak pilih Khalid. Namun ia tidak dipersetujui oleh Wan Azizah, maka saya berpandangan jika tidak mahu Khalid calonkan semula penyandang iaitu Syed Husin. Tapi ini juga tidak dipersetujui oleh Wan Azizah. Ini menunjukkan secara tidak langsung dia mahu Azmin menduduki jawatan itu. Oleh itu saya nampak parti itu begitu didominasi oleh Azmin dan bila saya tanya pada Anwar sendiri dia kata dia tidak kisah sesiapa bertanding tetapi yang sebenarnya dia bermain politik. Setelah saya melihat perkara ini saya berdiam diri dan menunggu saat terbaik dan saya tahu ada dua tiga gerakan untuk menyingkirkan saya. Oleh itu saya memikirkan daripada saya disingkirkan secara tidak terhormat lebih baik saya membuat pengumuman. Maka selepas Wan Azizah sebagai ahli Parlimen merasmikan mesyuarat bahagian saya mengumumkan keluar parti. Saya melihat adalah tidak mustahil Azmin akan jadi timbalan presiden malah presiden satu hari nanti. Bagi Anwar pula dia hendak kekalkan dirinya lebih tinggi daripada presiden parti lain. Kalau dia jadi Presiden PKR maka sama taraf dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan watak utama dalam DAP Lim Kit Siang. Bagaimana peringkat akar umbi melihat pergolakan yang berlaku terutama di Sabah sekarang? ANUAR: Kebanyakan penyokong berdasarkan apa yang saya terima dari rakan-rakan dalam PKR, tindakan ini dilihat sebagai satu sandiwara politik yang dimainkan oleh media untuk memecahbelahkan perpaduan PKR dan pakatan 5
pembangkang. perkara ini telah ditanamkan oleh Anwar, kalau berita yang dikeluarkan oleh media yang pro kerajaan perkara ini adalah palsu. Mungkin mereka di Sabah secara beransur-ansur menolak PKR tetapi saya rasa tidak di Semenanjung kerana Anwar, Azizah dan Azmin akan turun ke bahagian-bahagian membuat penerangan bahawa Datuk Jeffrey Kitingan yang menolak jawatan atau meminta sesuatu seperti jawatan bergaji dan sebagainya. Malah saya sendiri juga telah melalui pengalaman sebegini di mana dia menyatakan kepada kawan-kawan di Permatang Pauh saya meminta gaji sebagai ketua bahagian, dia tidak boleh bagi dan sebab itulah saya keluar. Ini perangai Anwar di mana dia akan bunuh karakter kita. Wawancara - Mingguan Malaysia, Ahad 1 November 2009
6