Penyalahgunaan Dadah Penyalahgunaan dadah adalah satu-satunya masalah sosial paling rumit yang sedang dihadapi negara Malaysia. Bermula tahun 1970-an sehingga kini, keadaan masalah dadah masih kurang menampakkan perubahan yang memberangsangkan. Sebagai sebuah rantau yang dikatakan banyak menerima perubahan serta pembangunan, rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia turut mengalami pelbagai gejala sosial berkait dengan penyalahgunaan dadah. Penyalahgunaan dadah pula berkait rapat dengan bermacam-macam penyakit sosial lain seperti pelacuran, keganasan, jenayah, AIDS dan HIV. Perkara inilah yang menggugat dan memudaratkan keadaan sesebuah negara sama ada dari segi ekonomi, sosiobudaya, politik ataupun keselamatan. Dalam aspek kos penyalahgunaan dadah, MacCoun, Reuter dan Schelling (1996), menyenaraikan beberapa pihak yang memikul beban kos kesan daripada penyalahgunaan dadah. Antara pihak yang terlibat ialah penagih, keluarga, pengedar, pembayar cukai, orang berdekatan yang tidak bersalah, jiran dan masyarakat. Sumber asas yang menjana kos penyalahgunaan dadah dipecahkan kepada empat punca, iaitu perdagangan dadah, penggunaan dadah, ketidaksahan dadah itu sendiri dan penguatkuasaan undang-undang dadah. Menurut Groose (1990), penyalahgunaan dadah memberi kesan kepada kos penguatkuasaan undang-undang, kos rawatan dan kos pemulihan yang mana kos-kos ini merupakan kos langsung atau kos ekplisit. Manakala kos implisit disebabkan oleh penyalahgunaan dadah ialah kehilangan masa bekerja dan pengurangan produktiviti. Kajian MacCoun et al. (1996) mendapati tahap kelonggaran undang-undang berkaitan pencegahan, penggunaan dan pengedaran dadah memberi kesan kepada bilangan dan jenis orang yang terlibat, keadaan kesihatan, beban sistem penguatkuasaan dadah, jenayah atau keganasan dan jangkitan penyakit. Kesan ini boleh ditunjukkan dalam terma kewangan dan terma bukan kewangan. Dalam terma kewangan, contoh yang jelas ialah denda yang dikutip, kos rawatan dan kos pemulihan. Kesan terma kewangan boleh dikira dengan mengkaji tahap ketakutan terhadap jenayah yang membawa kepada perbelanjaan pencegahan jenayah akibat daripada penyalahgunaan dadah. Kesan bukan terma kewangan pula ialah pencabulan kebebasan individu, ketakutan akan ditangkap dan kesedaran terhadap ketidaktenteraman awam. Pada umumnya, kedua-dua jenis kesan ini adalah rumit dan sukar diukur dengan tepat. Berbagai-bagai langkah telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan untuk membanteras masalah penyalahgunaan dadah. Langkah pertama ialah mempraktikkan usaha untuk menghapuskan atau mengurangkan salah satu punca utama bagi masalah ini, iaitu sumber bekalan dadah. Untuk itu, pelbagai tindakan pencegahan dan hukuman telah
dilaksanakan termasuklah mengenakan hukuman berat ke atas pesalah dadah. Akta Dadah Berbahaya 1952 meliputi tindakan mengedar dadah. Hukumannya ialah penjara tidak kurang daripada 5 tahun atau penjara seumur hidup dengan 10 sebatan rotan. Seseorang dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 sekiranya ia didapati menanam atau mengusahakan pokok ganja (walaupun sepohon) dan boleh dihukum penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada 6 sebatan. Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pula memperuntukkan hukuman mati mandatori bagi pengedar yang sabit kesalahan mengedar dadah. Bagi setiap kesalahan yang dibuktikan itu, mahkamah tidak mempunyai kuasa budi bicara untuk mengurangkan hukuman (Anwarul Yaqin, 1996: 179). Kesimpulannya, penyalahgunaan dadah membawa banyak implikasi negatif kepada kita. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk membanteras masalah tersebut. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kita perlulah memberikan sokongan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah supaya negara kita akan menjada aman dan damai.
Rujukan Jamal Ali, Sallahuddin Hassan dan Noor Al-Huda Abdul Karim. (2014). Kos Ekonomi Penyalahgunaan
Dadah.
Muat
turun
pada
March
7,
2019,
daripada
file:///C:/Users/A542U/Downloads/ArticleJurnalAADK1_Jamal2011.pdf. Groose, R. (1990). The economic impact of andean cocaine traffic on Florida. Journal of Interamerican Studies and World Affairs. Vol.32 (4), pp. 137-159. MacCoun, R., Reuter, P. & Schelling, T. (1996). Assessing alternative drug control regimes [Electronic Version]. Vol. 15 (3), pp. 330-352.