Soalan 3 “Dasar KPM adalah untuk memartabatkan profesion perguruan dengan meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru, dan kebajikan guru. Matlamat KPM adalah untuk menjadikan profesion keguruan dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa hadapan negara.” PIPP m.s 106 Bincangkan bagaimana anda sebagai seorang pendidik berperanan untuk memastikan hasrat tersebut dapat dilaksanakan dalam organisasi anda. 1.0
Pengenalan
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 merupakan satu perancangan lengkap yang bakal melahirkan guru berkualiti, cemerlang dan bertaraf dunia tanpa melupakan keperluan dan kebajikan profesion tersebut. Agenda memartabatkan profesion keguruan mempunyai kaitan yang amat rapat dengan kualiti guru. Hasrat agenda ini adalah untuk memastikan bukan sahaja dapat menghasilkan guru yang berkualiti, malah memastikan mereka yang berkualiti ini kekal di dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Maka lima strategi utama telah dirangka agar dapat memenuhi sebahagian besar keperluan intelektual, rohani, fizikal dan emosional para guru; bermula dari langkah memantapkan pemilihan bakal guru dan latihan guru, menambah baik kerjaya keguruan dan persekitaran kerja guru sehinggalah kepada usaha untuk meningkatkan rasa bangga guru terhadap profesion keguruan dan mengembalikan perasaan hormat masyarakat terhadap golongan guru. Agenda ini dicapai dengan memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia. 1.1
Menambah baik sistem pemilihan calon guru
Usaha memartabatkan profesion keguruan dilaksanakan dengan menambahbaik sistem pemilihan calon guru. Bagi memantapkan aspek pemilihan bakal guru dan latihan guru, mulai tahun 2001 lepas KPM telah mula memperkenalkan M-Test untuk menguji sikap dan keupayaan analitikal bakal guru bagi pengambilan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Selari dengan dasar penempatan guru siswazah di sekolah, KPM telah menghentikan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) dan menggantikannya dengan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP). Penghantaran pelajar bagi pengajian TESL ke luar negara yang tergendala akibat kegawatan ekonomi dahulu telah disambung semula. Baru-baru ini, KPM turut menghantar kumpulan pertama pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang memilih profesion keguruan sebagai kerjaya mereka ke universitiuniversiti di luar negara melalui program Penghantaran Pelajar Cemerlang (PPC). Usaha-usaha ini dibuat bertujuan memastikan semua guru yang dilahirkan di institut pendidikan guru (IPG) memenuhi standard kualiti digariskan dalam mekanisme berkenaan. Dalam konteks ini, Standard Guru Malaysia (SGM) akan berperanan sebagai `sistem amaran awal’ supaya guru sentiasa peka terhadap keperluan untuk mereka melaksanakan usaha pengukuhan, peningkatan dan pemantapan ilmu, kemahiran serta personaliti. Secara keseluruhan, piawaian kualiti digariskan SGM mengandungi dua komponen khusus, iaitu standard dan keperluan yang meliputi pelbagai aspek dalam profesion keguruan. Komponen standard membabitkan tiga aspek, iaitu nilai dan amalan profesional keguruan, pengetahuan dan kefahaman berkaitan bidang keguruan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran (P&P). 1.2
Memantapkan latihan perguruan
Bertujuan memantapkan latihan perguruan, semua maktab perguruan telah dinaik taraf
menjadi IPG. Hal ini membolehkan IPG menawarkan program pada peringkat sarjana muda pendidikan. Latihan perguruan dimantapkan dengan memberi elemen baru dalam kurikulum pendidikan guru. Usaha ini dilaksanakan dengan tujuan memberi latihan profesional dalam pedagogi, kurikulum, ICT dan penyelidikan kepada bakal-bakal guru. Adalah dipercayai langkah ini mampu merealisasikan sasaran 100 peratus tenaga pengajar di sekolah menengah terdiri daripada guru siswazah dan 50 peratus guru berijazah di sekolah rendah menjelang 2020. 1.3
Memantapkan kerjaya guru
Skim Perkhidmatan Pendidikan telah ditambah baik lagi dengan penambahan peluang kenaikan pangkat ke gred Jusa C dan gred Khas C bagi pengetua dan guru terbilang yang mahu kekal di sekolah kerana minat mengajar mereka yang mendalam. Pertambahan jawatan dan perluasan kenaikan pangkat dibuat untuk kategori perjawatan PPS di KPM, JPM dan PPD. Sebagai peningkatan pula, konsep Pengetua Cemerlang Jusa C serta Guru Cemerlang Gred Khas C di institut pendidikan guru (IPG) dan Kolej Matrikulasi diperluaskan, selain menetapkan sekurang-kurang seorang Guru Cemerlang bagi setiap sekolah menengah pada Gred DG44. Menerusi strategi pelaksanaan penambahbaikan perjawatan guru di bawah fokus sama pula, pelan tindakan yang digariskan ialah menambah kuota bagi gred kenaikan pangkat Pengetua Cemerlang dari Gred DG48 hingga Gred Jusa C dan Guru Cemerlang dari Gred DG44 hingga Gred Khas. 1.4
Menambahbaik persekitaran dan kerjaya guru
Bertujuan menjaga kebajikan guru, mulai tahun 2005, KPM melaksanakan dasar pemberian Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua anak guru dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan termasuk yang telah bersara atau meninggal dunia. Antara langkah lain ialah; i. menyediakan kemudahan tempat tinggal yang mencukupi di kawasan bandar dan luar bandar. ii. mewujudkan tambahan jawatan kumpulan sokongan. iii. mensifarkan guru sandaran tidak terlatih iv. menempatkan guru mengikut opsyen dan keperluan v. ratio guru dengan kelas juga dinaikkan dari 1.5 kepada 1.70 Di samping mewujudkan pelan pembangunan staf, guru cemerlang dan staf sokongan, pelan tindakan lain ialah menambah baik norma perjawatan guru, elaun kepada guru tugas khas serta mengkaji cuti rehat dan juga waktu bekerja guru. 1.5
Memantapkan perancangan dan sumber manusia
Bertujuan memantapkan mekanisme bekalan guru, KPM bekerjasama dengan IPT berkaitan latihan perguruan bertujuan menjangka unjuran keperluan guru. PIPP turut menetapkan Standard Guru Malaysia (SGM) bagi dijadikan rujukan berhubung piawaian kualiti guru di seluruh negara bermula di sekolah sekitar Lembah Klang. SGM adalah sistem amaran awal supaya guru sendiri peka terhadap keperluan untuk melaksanakan usaha pengukuhan, peningkatan dan pemantapan ilmu, kemahiran serta personaliti. Standard ini merangkumi dua komponen khusus iaitu komponen standard membabitkan elemen nilai dan amalan profesional keguruan, pengetahuan dan kefahaman berkaitan bidang keguruan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
2.0 Bincangkan bagaimana anda sebagai seorang pendidik berperanan untuk memastikan hasrat tersebut dapat dilaksanakan dalam organisasi anda. 2.1
Pendahuluan
Meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru, dan kebajikan guru merupakan antara langkah-langkah dalam memartabatkan profesion perguruan. Apa yang dimaksudkan guru berkualiti? Secara ringkas pengertian kualiti boleh dimaksudkan dan meliputi ciri-ciri berikut: • memenuhi kehendak pelanggan • keadaan yang terbaik tanpa kecacatan • sentiasa menepati piawaian • jaminan kepuasan dan kebolehpercayaan dari segi penggunaan/perkhidmatan • tidak statik malah sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa (R&D); (contohnya: piring hitam kepada pita kaset; kemudian pita video; seterusnya CD; DVD; HDTV ) Dalam pendidikan, guru dianggap berkualiti apabila melaksanakan perkara-perkara berikut; • pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan bermutu. • Proses P&P yang mengembangkan potensi insan dari segi psikomotor, kognitif dan afektif ke tahap yang optimum. • Kadar celik huruf yang tinggi. • Pencapaian akademik tinggi dan cemerlang. • Penyertaan kokurikulum yang aktif dan bermakna. • Pengurusan hal ehwal murid, kebersihan dan keceriaan mewujudkan suasana yang kondusif bagi membina budaya ilmu dan budaya sekolah yang tinggi. • Pengurusan keseluruhan yang telus dan cekap lagi berkesan. • Mempunyai EQ yang tinggi dan mahir dalam komunikasi interpersonal. Bagi memastikan hasrat tersebut dicapai dalam organisasi saya, saya perlu melaksanakan lima elemen penting dalam meningkatkan kualiti kerjaya saya. Elemen tersebut ialah melaksanakan kajian tindakan, mengetahui implikasi undang-undang dalam pendidikan, mengetahui peruntukan kebajikan yang diperuntukkan kepada penjawat awam, memantapkan EQ (Emotion Quotient), menjalankan refleksi dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan. Adalah dipercayai dengan amalan perkara di atas akan dapat memartabatkan profesion perguruan sekali gus meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru, dan kebajikan guru dalam organisasi saya. Kesan momentumnya menyebabkan profesion keguruan dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa hadapan negara. 2.2
Melaksanakan Penyelidikan Tindakan
Satu cara saya meningkatkan kualiti diri dan tahap profesionalisme saya ialah menjalankan penyelidikan tindakan tentang semua aspek yang berkaitan dengan pengajaran. Budaya penyelidikan, penulisan dan pembacaan perlu saya pupuk dalam kalangan bertujuan meningkatkan kualiti guru dan profesionalisme guru dalam organisasi saya. Kajian tindakan didefinisikan sebagai satu kajian mengenai situasi sosial (situasi pendidikan) yang melibatkan penyertaan guru sebagai pengkaji dengan tujuan untuk menambahbaik kualiti tindakan di dalamnya ke arah menambahbaik amalan kendiri. Sifat utama dalam kajian tindakan ialah perubahan / kolaborasi antara pengkaji dan kajian yang akhirnya memberi sumbangan kepada pengetahuan dan maklumat berkaitan.
Kajian tindakan dijalankan bertujuan untuk: a) Memperkembang dan memperbaiki amalan-amalan kendiri melalui kajian berasaskan minat. b) Membolehkan saya membuat refleksi berdasarkan bukti dan penyampaian dapatan yang diperolehi kepada guru-guru dan pendidik yang lain. c) Dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran saya dalam membuat penyelidikan. d) Membantu memperkembang pengetahuan professional saya dengan cara mengenal pasti dan menjelaskan ketidakseimbangan antara aspirasi dan amalan melalui refleksi untuk membolehkan saya mengubahsuai amalan-amalan sedia ada kepada yang lebih releven. e) Memperkembang dan menambahbaik sistem pendidikan sebagai suatu disiplin dengan melibatkan guru dalam proses menjana dan menguji bentuk-bentuk tindakan yang baru. Terdapat enam peringkat dalam kajian tindakan yang perlu saya lakukan iaitu: I. Mengenal pasti situasi. II. Merancang tindakan. III. Melaksanakan tindakan. IV. Memerhati tindakan. V. Refleksi ke atas tindakan. VI. Mengubahsuai tindakan. 2.3
Peningkatan Kualiti Guru Berhubung Kefahaman Undang-Undang Dalam Pendidikan
Akta Pelajaran 1961 merupakan sistem perundangan awal dalam pendidikan yang sebelum itu dasar pendidikan berasaskan Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960). Pada tahun Ordinan Pelajaran (1957) dibentuk bagi menubuhkan satu sistem pelajaran yang dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya. Dasar Pelajaran Kebangsaan (1970) dan Akta Pendidikan (1996) digubal bagi memenuhi keperluan sumber manusia pada masa itu. Kementerian Pelajaran mengadakan pelbagai ordinan, akta dan pekeliling bertujuan menjaga kebajikan guru ketika guru melaksanakan pengajaran di sekolah. Surat-surat pekeliling yang menjadi garis panduan tugasan guru, jika diikuti bukan sahaja melancarkan sistem pengurusan pendidikan malah melindungi guru daripada dikenakan tindakan undang-undang. Bertujuan meningkatkan kualiti guru, pemahaman saya berkaitan dengan undang-undang perlulah dipertingkatkan. Hal ini bukan sahaja meningkatkan profesionalisme saya dalam kerjaya, malah menjaga kebajikan guru dan pelajar. Hal ini adalah kerana guru terdedah kepada implikasi undang-undang apabila mendisiplinkan pelajar. Pemahaman yang rendah dalam “Perintah Am” mendedahkan guru kepada risiko dikenakan tindakan tatatertib oleh ketua jabatan. Dalam mendidik pelajar, saya tertakluk kepada peraturan dan undang-undang pendidikan. Menurut Tie Fatt Hee (2002) pengurus sekolah dan guru tidak peka peraturan sedia ada dan tidak mengambil tindakan sepatutnya ke atas pelajar. Dalam konteks ini saya perlulah tahu prosedur mengenakan tindakan disiplin kepada pelajar. Sebagai contoh, saya perlu mengetahui prosedur tindakan disiplin, prosedur membuang pelajar dari organisasi saya, jenis-jenis denda yang wajar dikenakan dan bentuk-bentuk deraan yang perlu dielakkan. Pengetahuan dalam hal ini dapat menjaga kebajikan saya dan meningkatkan tahap profesionalisme saya dan organisasi saya. Sebagai guru, saya perlu mempunyai pengetahuan liabiliti dalam pengurusan pendidikan negara. Saya wajar mengetahui hak pelajar , kecuaian dalam pengurusan pendidikan, hak dan tanggungjawab perundangan guru dan sebagainya. Pengetahuan undang-undang dalam kalangan guru bukan sahaja melindungi guru, malah jika digunakan dengan cara yang betul dapat menjaga kebajikan guru, dan menjadikan guru
tersebut berkualiti serta menjadikan profesion perguruan dipandang tinggi dalam masyarakat. Antara elemen yang perlu saya ketahui tentang undang-undang dalam pendidikan ialah konsep legal literacy, in loco de parentis, tanggungjawab guru, kawasan sekolah, keselamatan pelajar, undang-undang tort dan kecuaian guru. Pengetahuan ini menjadi panduan saya dalam bertingkah laku terhadap pelajar yang selanjutnya melindungi saya daripada dikenakan tindakan undang-undang. 2.3.1
Legal Literacy
Banyak guru dan pentadbir sekolah tidak peka tentang peraturan yang sedia ada yang dikeluarkan oleh KPM melalui pekeliling-pekeliling ikhtisas. Kajian Rosow L.F, (1990) mendapati kesedaran undang-undang dalam kalangan guru amat rendah dan hal ini mendorong ibu bapa mendakwa guru dan sekolah di mahkamah. Tindakan guru mengenakan hukuman korporal, kawalan disiplin yang lemah menjadikan sekolah tidak selamat, kemalangan dan kecederaan di sekolah turut mendedahkan sekolah kepada tindakan mahkamah. 2.3.2
In Loco Parentis
Konsep in loco parentis bermaksud semua guru dengan sendirinya menjadi pengganti kepada ibu bapa selama murid tersebut berada di kawasan sekolah. Oleh itu saya perlulah memastikan supaya murid-murid sentiasa diberi penjagaan rapi dan dilindungi daripada sebarang risiko yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Namun demikian tanggungjawab saya menjaga keselamatan pelajar bergantung kepada bilangan pelajar di sekolah, umur, jenis aktiiviti, kelengkapan yang ada di sekolah, keadaan fizikal sekolah dan kelas itu sendiri.
2.3.3
Tanggungjawab Guru dan Keselamatan Pelajar
Doktrin tradisional ‘in loco parentis’ bermakna bahawa guru dikehendaki bertindak secara munasabah untuk melindungi pelajar daripada kecederaan fizikal. Guru dianggap cuai dan bertanggungjawab terhadap kecederaan yang dialami oleh pelajar. Berdasarkan doktrin ini saya perlu menjaga kebajikan pelajar dan keselamatan pelajar mengikut peruntukan-peruntukan daripada pekeliling-pekeliling ikhtisas. Saya berasa dilindungi apabila setiap tindakan berpandukan kepada pekeliling ikhtisas tersebut. 2.3.6
Undang-undang Tort
Murid-murid saya terdedah kepada risiko kecederaan semasa menjalankan aktivitiaktiviti anjuran organisasi saya. Sudah pasti saya juga sentiasa terdedah kepada ancaman dakwaan terutama apabila mereka mengalami kecederaan semasa berada di organisasi saya. Tort ialah soal tuntutan dan dakwaan berkaitan kerugian, kecederaan dan kesakitan. Unsur-unsur kecuaian atau (negligence) ialah; i. kewajipan berjaga-jaga yang sedia ada ii. kewajipan berjaga-jaga dimungkiri defenden iii. kemungkiran defenden menyebabkan plaintif menerima kerugian. iv. terdapat hubungan rapat antara kemungkiran dengan kerugian oleh plaintif. Pengetahuan saya dalam hal tort ini menyebabkan saya mengambil langkah berhati-hati (berjaga-jaga) supaya kebajikan pelajar tidak diabaikan. Keadaan ini memastikan saya memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelajar supaya mereka tidak mengalami kecederaan dalam aktiviti yang disertai dan seterusnya memartabatkan profesion perguruan.
2.4
Peningkatan Kualiti Berdasarkan Peruntukan Bab D Penjawat Awam
Meneliti Bab D, Peraturan-Peraturan Pegawai (Kelakuan dan Tatatertib) dapat meningkatkan martabat profesion perguruan di mata masyarakat kita. Dengan mematuhinya saya dapat mengelakkan konflik dengan majikan, rakan sekerja dan pelajar. Bab D menjadi garis panduan untuk saya bertindak selaku penjawat awam. Oleh sebab itu saya harus memahami dan mengamalkannya untuk meningkatkan martabat guru dalam organisasi saya. Bab D - Peraturan-Peraturan Pegawai (Kelakuan dan Tatatertib) didapati bertindak serampang dua mata. Selain menentukan cara penjawat awam bertindak dalam organisasi, peraturan ini juga menjaga kebajikan guru. Antara elemen kebajikan dalam Bab D ialah kemudahan pinjaman perumahan, pinjaman membeli komputer dan kenderaan, kemudahan kesihatan dan skim pencen. Bagi kakitangan yang tidak mempunyai rumah, rumah guru disediakan di setiap bandar utama. Elaun kesukaran bagi guru yang mengajar di luar bandar juga disediakan. Bagi guru yang mempunyai masalah kesihatan, guru juga menikmati rawatan kesihatan dan pergigian percuma di hospital kerajaan. Dalam bidang perkhidmatan, banyak kursus diadakan bagi meningkatkan kemahiran guru disediakan. Saya berkemampuan untuk menjelaskan konsep ini dalam organisasi saya dengan tujuan memastikan semua guru dalam organisasi saya mempunyai kefahaman mendalam tentangnya. Pemahaman yang tinggi sudah tentu menjadikan guru di organisasi saya lebih berkualiti dan mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi. Pengetahuan ini digunakan dalam melahirkan modal insan berkualiti seperti yang dikehendaki oleh KPM 2.5
Peningkatan Kualiti Berdasarkan Amalan Refleksi.
Amalan refleksi dapat merangsang amalan profesional. Perkembangan refleksi memerlukan perkembangan sikap dan kebolehan seperti keterbukaan, kerelaan dan menerima tanggungjawab ketika saya membuat dan mengambil sesuatu keputusan. Refleksi memberi saya peluang menganalisis kelemahan dan kekuatan diri sendiri dalam aspek pedagogi, komunikasi, psikologi dan penyampaian pelajaran. Dengan ini saya mampu membuat pengubahsuaian serta penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih efektif. Antara strategi meningkatkan profesionalisme guru ialah membuat penulisan jurnal/reflektif. Penulisan jurnal ini bertindak sebagai jentera merangsang minda untuk pemikiran reflektif. Kajian menunjukkan aktiviti ini merupakan strategi terbaik mendorong guru mengamalkan penyiasatan reflektif dan penilaian kendiri terhadap isu-isu pengajaran dan pembelajaran (Bolin, 1988) Dalam hal ini terdapat dua perkara yang saya perlu lakukan iaitu refleksi semasa tindakan dan refleksi ke atas tindakan akan dapat membantu saya mengembangkan kualiti profesion keguruan saya. Refleksi semasa tindakan ialah melihat semula dan memikirkan permasalahan yang wujud dalam memahami sesuatu fenomena. Manakala refleksi ke atas tindakan ialah guru merenung kembali proses pemikirannya dan menganalisis situasi sebelum merancang sesuatu tindakan. Penulisan reflektif menggambarkan keseluruhan pola pemikiran yang beralih daripada refleksi teknikal ke tahap refleksi kritikal. (Schon, 1983, 1987). Penulisan reflektif merupakan cara saya meninjau pelaksanaan teori-teori pengajaran dan perkembangan profesionalisme. Dengan cara ini saya akan dapat merangsang perbincangan dengan rakan sekerja, menerapkan teori-teori pembelajaran dan menjawab permasalahan dalam pembelajaran dan pengajaran yang selanjutnya meningkatkan komitmen saya dalam kerjaya. Adalah dipercayai refleksi menyediakan satu asas yang kaya dan komprehensif mengenai pengajaran dan pembelajaran. Amalan refleksi ini bukan sahaja membolehkan saya memperoleh pengertian mengenai bidang
tugas saya malah saya memperoleh pengertian mengenai tugas dengan lebih mendalam yang boleh dicontohi dan dipelajari oleh guru-guru lain (Boon, 2002). Amalan ini juga memberi kepuasan instrinsik apabila saya dapat menganalisis sesuatu situasi dengan baik dan membentuk satu pendapat secara logik. Sebagai kesimpulan, amalan reflektif mampu meningkatkan kemahiran saya dalam membuat keputusan dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran saya di dalam kelas. 2.5.1 Proses Melaksanakan Amalan Refleksi Pedagogi. Tindakan refleksi dilakukan apabila saya menghadapi sesuatu masalah atau situasi yang memotivasikan saya berusaha mencari penyelesaian yang baharu. Hal ini mendorong saya berusaha memahami masalah atau situasi itu lantas saya membentuk semula kerangka (reframe) berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada diikuti pelaksanaan tindakan pada masa hadapan. Schon (1987) memberikan perancangan dan pelaksanaan tindakan seperti dalam rajah berikut; Trigger Frame Reframe Plan
Rajah 1: Proses Amalan Refleksi Schon 2.5.2 Contoh Proses Refleksi Pedagogi Yang Dilaksanakan. Proses refleksi pedagogi bermula dengan keprihatinan atau kesedaran awal tentang masalah yang dihadapi diikuti dengan peringkat merancang tindakan pedagogi, pelaksanaan, penilaian dan kefahaman baharu. Rajah 2 berikut memperincikan proses reflektif;
Rajah 2: Lingkaran Proses Refleksi Pedagogi. Rajah 2 di atas merupakan kerangka lingkaran kajian tindakan yang boleh dilaksanakan dalam menyelesaikan masalah pedagogi. Contoh; guru pelatih lemah dalam latihan mengajar. Bagaimanakah masalah itu diatasi? Proses mengatasinya adalah seperti berikut: a. Keprihatinan awal Saya menyedari aspek kelemahan guru-guru pelatih yang lemah dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran ketika latihan mengajar melalui pemerhatian. b.
Merancang tindakan Langkah kedua ialah merancang tindakan awal seperti mengadakan pembelajaran mikro. c. Pelaksanaan tindakan Saya melaksanakan pembelajaran mikro di kelas d. Penilaian tindakan Menilai kekuatan dan kelemahan pelajar (guru pelatih) dan tahap kualiti pengajaran dan pembelajaran saya. e. Refleksi Mengkaji tahap penguasaan pelajar dan menyenarai penambahbaikan. f Kefahaman baharu Merancang tindakan susulan dan pemulihan serta penyesuaian. Melaksanakan satu lingkaran refleksi Dengan pelaksanaan kajian tindakan ini saya akan mempunyai kesedaran menjadi guru reflektif yang seterusnya meningkatkan martabat profesionalisme guru berkualiti seperti yang dikehendaki oleh organisasi saya dan KPM. 2.6
Peningkatan Kualiti Guru Melalui Latihan Dalam Perkhidmatan.
Dalam era teknologi moden, perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran baru dalam mata pelajaran pengkhususan, inovasi dalam pedagogi menuntut saya dilatih semula semasa dalam perkhidmatan. Latihan dalam perkhidmatan ini dapat mempertingkat dan memperkukuh profesionalisme saya selain mengembangkan potensi diri ke tahap yang diingini oleh organisasi saya. Sebagai guru, saya mampu memantapkan kapasiti untuk membaiki pedagogi pembelajaran pelajar dengan melanjutkan pengetahuan profesional saya dalam menguasai serta mengembangkan kemahiran pembelajaran dan pengajaran. Hal ini dapat meningkatkan tahap kualiti pedagogi saya. Atas alasan itulah KPM memberi kebenaran guru melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme. Banyak kemudahan seperti biasiswa, dan cuti bergaji penuh diberikan kepada guru melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan sama ada di dalam atau di luar negera. Bagi yang tidak dapat melanjutkan pelajaran secara sepenuh masa, program pendidikan jarak jauh (PJJ) boleh dikuti. Bagi meningkatkan kualiti diri, saya perlu mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan anjuran pihak institut dan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) atau INTAN (Institut Tadbir Awam Negara) secara berkala. Saya perlu bersikap proaktif dalam memperkaya diri dengan pengetahuan baru, kemahiran dan trenda-trenda baru pengajaran dan pembelajaran melalui kursus-kursus tersebut. Seterusnya saya wajar menyampaikan pengetahuan baru tersebut kepada guru-guru lain dalam organisasi
saya supaya semua guru juga memperoleh pengetahuan dan kemahiran baru dalam bidang-bidang tertentu. Sebarang input baru seperti pembelajaran bestari, teknologi maklumat dan komunikasi, bimbingan dan kaunseling, isu-isu pendidikan masa kini dan penemuan baru dalam pedagogi, penyelidikan tindakan mampu meningkatkan kualiti guru dan seterusnya mampu meningkatkan martabat guru dalam pandangan masyarakat. Kesimpulan. Dalam memartabatkan profesion perguruan supaya dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat dalam melahirkan modal insan, guru perlulah mempunyai kualiti seperti bersikap empati dan komited dengan tugas serta menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mencapai objektif dari segi afektif dan juga kognitif. Guru juga mampu menghubungkan 'mata pelajaran' dengan kehidupan murid-murid. Guru bukan sahaja mengajar subjek tetapi juga mengajar murid-murid cara-cara hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis. Hal ini sudah pasti dapat menjana idea-idea baru dan menarik bagi muridmurid berfikir mengenainya Guru juga perlu hadir dalam aktiviti-aktiviti murid seperti sukan, persembahan musikal dan kebudayaan. Guru dianggap berkualiti dan dipandang tinggi dalam masyarakat jika melakukan refleksi atau kritik-kendiri, dalam meningkatkan profesionalisme mereka. Guru juga perlu fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu guru harus bersemangat dalam mengajar murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran, menjadi seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dan dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya. Mempunyai kematangan emosi yang tinggi atau kemahiran interpersonal yang baik juga dapat meningkatkan tahap profesionalisme guru. Guru perlu sentiasa peka akan perubahan pedagogi dan merancang pengajaran terlebih dahulu untuk pembelajaran yang lebih kondusif. Jelaslah di sini, guru berkualiti akan melahirkan pelajar berkualiti.
BIBLIOGRAFI Abdul Shukor Abdullah (1994). Penilaian Semula Situasi Pengurusan Sekolah. Jurnal Pengurusan Pendidikan IAB, Kementerian Pendidikan Malaysia. Jilid 04, Bil. 01 m.s. 1 - 6. Bolin, F.S. (1988) Helping student teachers think about teaching, Journal of Teachers Education.
De Potter, Bobbi & Hernacki, Mike (1992). Quantum Learning Unleashing The In You, New York : Dell Publishing
Genius
Ibrahim Ahmad Bajunid (1995). Peningkatan Pelbagai Jenis Literasi., Khususnya Literasi Saintifik Dan Teknikal: Ke Arah Pemantapan Martabat Kepimpinan. Jurnal Pengurusan Pendidikan IAB, Kementerian Pendidikan Malaysia. Jilid 04, Bil. 2 15. _______________ (1993). Pakej Latihan Bengkel Pengurusan Kualiti Menyeluruh. Kuala Lumpur : Institut tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia,. Mohd Ismail Othman. (2003) Undang-Undang untuk Pengetua dan Guru Besar. Bentong : PTS Publications & Distributor Sdn Bhd. William E. Schneider, Ph.D., (1998). Why Good Managements Ideas Fail - Understanding Your Corporate Culture. USA : Paradigm Shift International . ___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan. Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan. Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan Malaysia. Tie Fatt Hee. (2004) Liabiliti Dalam Pengurusan Pendidikan.Kuala Lumpur : Publications & Distributor Sdn Bhd.
Utusan