Pemikiran Saintifik dan Matematik di dalam Anyaman Seni anyaman mempamerkan budaya dan cara hidup orang-orang melayu dahulu kala. Ia kadang kala disebut sebagai ‘seni miskin’ kerana dilakukan oleh orang-orang kampung semata-mata untuk memenuhi keperluan harian mereka. Anyaman rotan menghasilkan produk seperti bakul dan perabot yang kebanyakannya adalah untuk kegunaan sendiri atau dijual secara kecil-kecilan di pasar terbuka. Penghasilan sesuatu produk rotan bukanlah perkara yang mudah bagi orang dahulu kala. Bahan mentahnya, iaitu rotan, hanya didapati di dalam hutan belantara. Ia perlu ditebang, dibersihkan, dirawat dan dikeringkan dengan teliti supaya sesuai untuk dijadikan peralatan yang boleh digunakan. Masyarakat dahulu kala juga perlu memikirkan cara yang paling berkesan untuk menghasilkan produk yang bukan hanya cantik tetapi boleh bertahan lama. Merujuk kepada bahan mentah yang dikaji iaitu rotan, ia merupakan hasil hutan bukan kayu yang terpenting di Semenanjung Malaysia. Tumbuhan ini lazimnya tumbuh liar dengan banyaknya di kawasan-kawasan pendalaman hutan semulajadi di Pahang, Perak dan Kedah. Perusahaan rotan di negara ini lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti pengeluaran perabot bagi pasaran tempatan. Rotan yang paling popular dan menjadi pilihan utama bagi pembuatan rangka dan perabot rotan adalah rotan jenis manau atau nama saintifiknya Calamus manan. Rotan jenis besar yang lain termasuklah rotan jenis dok (Calamus ornatus) dan semambu (Calamus scipionum). Rotan sega (Calamus caesius) pula adalah sejenis rotan kecil yang mempunyai nilai komersial yang tinggi. Saiz rotan ini tidak melebihi jari kelingking dan lazimnya digunakan bagi tujuan ikatan dan penyambungan komponen-komponen perabot. Di kawasan-kawasan luar bandar, spesies rotan yang kecil saiznya digunakan sebagai bahan anyaman untuk membuat tali, bakul dan dulang. Pemprosesan rotan mentah secara moden dijalankan di beberapa kilang di Malaysia. Lawatan penyelidik ke sebuah kilang memperolehi maklumat tentang bagaimana rotan diperolehi dan proses menghasilkan rotan dalam bentuk penjalin. Penjalin rotan kemudiannya dijual mengikut berat kepada institusi atau individu untuk menghasilkan produk anyaman seni rotan. Menurut pengusahan kilang rotan tersebut, rotan yang dikeluarkan dari hutan dibersihkan, dirawat dan dijemur terlebih dahulu sebelum dihantar ke kilangnya untuk proses seterusnya. Di kilang beliau rotan kemudiannya diluruskan menggunakan alat khusus supaya mudah dimasukkan ke dalam mesin. Ia kemudianya dikategorikan ke dalam saiz tertentu mengikut diameter rotan tersebut. Diameter rotan penting untuk menentukan ‘mata pisau’ yang akan digunakan untuk setiap peringkat memotong rotan. Peringkat kedua adalah proses membersihkan permukaan rotan. Rotan dimasukkan ke dalam satu mesin yang akan membuang kulit luarnya. Pembersihan permukaan rotan dilakukan sebanyak dua kali. Rotan yang terhasil melalui proses ini adalah lebih
putih dan bersih. Sebarang kekotoran yang masih tertinggal akan dibuang secara manual. Proses seterusnya adalah menghasilkan bilah-bilah rotan yang dikenali sebagai penjalin. Rotan akan diukur diameternya sekali lagi kerana saiz rotan mengecil apabila kulit luarnya dibuang. Mata pisau yang sesuai dengan saiz baru rotan digunakan untuk mendapat jumlah maksimum penjalin rotan. Semasa proses ini bahagian tengah rotan yang dipanggil hati rotan akan diproses sekali lagi untuk mendapatkan beberapa lagi bilah rotan penjalin. Sebagai contoh rotan yang berdiameter 9mm boleh menghasilkan lapan bilah rotan penjalin semasa peringkat pertama proses memotongnya dan empat lagi semasa proses kedua. Bahagian paling dalam pada batang rotan akan diproses untuk digunakan sebagai struktur ‘tiang’ pada produk rotan yang bakal dihasilkan. Pada keseluruhannya, hanya sedikit sahaja bahagian rotan yang tidak boleh digunakan. Masyarakat Melayu dahulu tidak didedahkan kepada sebarang teknologi moden dalam menghasilkan produk mereka. Pengetahuan mereka adalah berasaskan apa yang diturunkan oleh nenek moyang mereka selain dari penerokaan melalui ‘trial and error’ dan pengalaman konkrit yang dilalui. Latihan tidak formal ini telah memungkinkan mereka merekacipta dan membentuk produk yang bukan hanya sesuai untuk kegunaan harian mereka malah merupakan penciptaan yang kreatif dan penuh daya estetika. Disebalik kreativiti dan nilai estetika yang terpancar pada sesuatu produk hasil anyaman, tidak dinafikan bahawa ia terhasil dari pemikiran penggubahnya dan proses-proses tertentu yang perlu dilalui untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Produk anyaman yang terhasil sudah cukup membuktikan bahawa masyarakat melayu mempunyai daya pemikiran yang bukan hanya mampu mengenalpasti bahan dan proses malah menjalankan perkiraan mental (mental arithmetic) secara tepat dan terperinci dan menaakul secara saintifik didalam penghasilan produk berasaskan rotan. Jika diteliti secara mendalam pemikiran saintifik dan matematik masyarakat melayu sememangnya tersirat di dalam gubahan dan corak yang sangat halus dan berseni yang dihasilkan. Menurut Lawson (1995) pemikiran saintifik individu berkembang dari peringkat yang rendah kepada peringkat yang lebih tinggi mengikut perkembangan kognitif seseorang individu. Perkembangan pemikiran saintifk berlaku apabila individu berupaya menguasai pengetahuan dan proses saintifik melalui pemikiran logik dan penaakulan. Dari aspek ini individu boleh beroperasi pada peringkat diskriptif di mana mereka menjalankan operasi seperti pemerhatian, menyenaraikan fakta, pengkelasan dan membuat generalisai. Pemikiran saintifik peringkat tinggi pula melibatkan individu menjalankan proses-proses seperti berfikir secara kombinatorial, mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis, menjalankan pemikiran-pemikiran berkadaran, kebarangkalian dan korelasi. Persoalannya sekarang adalah adakah seni anyaman masyarakat melayu menunjukkan corak pemikiran saintifik pada penggubah dan gubahannya? Jika diteliti
dari peringkat pemprosesan bahan mentah sehingga terhasil produk seninya adalah jelas dan ketara bahawa pemikiran saintifik memainkan peranan yang besar di dalam seni anyaman. Peringkat pemprosesan bahan mentah melibatkan pemikiran saintifik dari beberapa aspek seperti: i. pemerhatian yang teliti terhadap jenis rotan yang diperolehi; ii. mengenalpasti ciri-ciri rotan seperti kematangan, saiz dan jenis; iii. mengkelaskan rotan mengikut ciri; iv. dan membuat generalisasi seperti menentukan rotan yang paling sesuai berdasarkan fakta-fakta yang dikumpul. Pemikiran sebegini lebih bercorak deskriptif dan banyak menggunakan pengalaman konkrit serta pengetahuan sedia ada mereka. Oleh kerana pendedahan kepada maklumat saintifik secara formal tidak diperolehi, masyarakat melayu banyak menggunakan pemikiran serta menaakul secara logik. Pengetahuan ini digunakan dan diuji secara ‘trial and error’ untuk memperoleh bahan paling baik bagi penghasilan produk. Seni anyaman masyarakat Melayu juga boleh menceritakan proses pemikiran saintifik peringkat tinggi yang tersirat di dalam setiap gubahan mereka. Antarannya termasuk: i. keupayaan membuat pemikiran kombinatorial menentukan kombinasi genap dan ganjil di dalan gubahan; ii. keupayaan mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis apabila menentukan jumlah penjalin untuk mendapatkan saiz serta bentuk yang diinginkan; iii. Menjalankan pemikiran seperti membuat korelasi berfikir secara berkadaran proses pemikiran secara
berkadaran, kebarangkalian serta korelasi dalam aspek di antara saiz rotan dan saiz produk yang dihasilkan, apbila menentukan pewarnaan pada bahan mentah dan kebarangkalian terhadap corak yang akan dihasilkan.
Jelas sekali seni anyaman, dengan corak dan pengiraan geometriknya dan prosesproses saintifiknya menceritakan bagaimana masyarakat Melayu dahulu kala berfikir dan menaakul secara saintifik.