Pembestarian Sekolah

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pembestarian Sekolah as PDF for free.

More details

  • Words: 1,904
  • Pages: 10
PEMBESTARIAN SEKOLAH

Pendahuluan

Teknologi Maklumat (IT) merupakan suatu teknologi yang digunakan secara meluas pada hari ini. Kepentingannya dalam konteks masyarakat hari ini tidak dapat dinafikan lagi. IT telah menjadi salah satu keperluan asas masyarakat sepertimana keperluan asas yang lain. Ini bermakna, penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan IT adalah penting kerana ia merupakan titik tolak kepada kejayaan pembangunan masyarakat bermaklumat dalam era digital ini. Menurut Kamus Dewan, teknologi maklumat (IT) adalah suatu bidang yang meliputi penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi bagi memperoleh, memproses, dan menyebarkan maklumat. Manakala, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pula bermaksud teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi. Persatuan Teknologi Maklumat Amerika (ITAA) pula mentakrifkan teknologi maklumat ini sebagai "kajian, reka bentuk, pembangunan, pelaksanaan, dan dukungan atau pengurusan sistem-sistem maklumat berasaskan komputer, khususnya perisian penggunaan dan perkakasan komputer. Sejak tahun 1990an, IT telah diterimapakai secara meluas sebagai istilah yang merujuk kepada industri pengkomputeran. Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan ICT dalam pendidikan yang meliputi prasarana, pengisian dan latihan guru. Pelbagai projek ICT dilaksanakan, termasuklah pembekalan komputer, penyediaan makmal pengkomputeran, persediaan sukatan pelajaran dan perisian pendidikan sebagai aktiviti utama penyediaan prasarananya. Projek pertama dalam inisiatif ini ialah penubuhan sekolah bestari, aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menekankan penggunaan ICT sebagai peneraju pedagogi dan pengurusan sekolah. Projek ini dirintis pada 1999 hingga 2002 di 88 buah sekolah. Langkah seterusnya adalah memperluaskan inisiatif tersebut ke seluruh sekolah melalui program pembestarian sekolah.

Apakah Pembestarian Sekolah?

Pembestarian Sekolah merupakan proses berterusan ke arah meningkatkan lagi pengunaan ICT dalam pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan kompetensi guru. Program Pembestarian Sekolah juga memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah untuk membantu murid-murid menghadapi era teknologi maklumat. Komponen utama Pembestarian Sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian Sekolah ini akan dapat melatih guru dan murid berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).

Pengenalan

Sistem pendidikan sedia ada perlu dimantapkan selaras dengan perkembangan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Beberapa penambahbaikan dalam pelbagai aspek perlu dilakukan supaya ianya berdaya saing dan relevan dengan kehendak semasa. Pewujudan Sekolah Bestari merupakan satu senario dalam pendidikan alaf baru di Malaysia dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi, sosial serta budaya masa kini. Perkembangan seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan yang menggabungkan serta memberikan penekanan terhadap beberapa aspek, antaranya pengajaran dan pembelajaran berbudaya fikir, pemusatan kepada pelajar, penggunaan bahan teknologi secara bijak, strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai, serta pengurusan sekolah yang efektif.

Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 - 2010 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007, dasar utama yang ditekankan oleh KPM yang berkaitan dengan pembestarian sekolah adalah untuk memastikan semua pelajar celik ICT. Mengutamakan peranan dan fungsi ICT dalam pendidikan sebagai mata pelajaran atau pengupaya dalam pengajaran dan pembelajaran dan menggalakkan penggunaan ICT bagi meningkatkan produktiviti, kecemerlangan dan keberkesanan sistem pengurusan sekolah. Perlaksanaan pembestarian sekolah mengambilkira semua inisiatif ICT sedia ada di sekolah seperti projek rintis Sekolah Bestari, projek pengkomputeran dan makmal komputer sekolah, projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dam Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), SchoolNet (projek penyediaan prasarana jalur lebar untuk capaian ke internet di semua sekolah) dan TV Pendidikan yang melibatkan aspek-aspek infrastruktur ICT dan aplikasi pengurusan, pengisian dan latihan. KPM akan menyelaraskan semua inisiatif ICT ini bagi meningkatkan produktiviti, kecemerlangan dan keberkesanan sistem pengurusan supaya boleh dilaksanakan secara cekap dan efektif, tanpa pertindihan dan pembaziran. “Teachers will need to change their role in the electronic classroom from being information providers to counselors to help students develop know how and judgment to select information sources. Key to success in the Information Age will be making the right judgements between an awesome array of choices. We are examining our education system to create a curriculum where people learn how to learn for continuing education throughout their lives.” (Tun Mahathir Mohamed, Launch of the Multimedia Super Corridor, 1 August 1996) “The smart school program will be re-modelled and its implementation fasttracked to enable more schools to benefit, at lower cost to the government. Smart schools will have access to the Internet through the SchoolNet program, which is already at an advanced stage of implementation.

Advanced teaching and learning materials developed through the Smart School Pilot program will be utilised for teaching, while the Smart School Management System will be used to improve administration processes.” (Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Launch of The Multimedia Super Corridor (M.S.C.) Next Leap, 3 July 2004) “… pembestarian sekolah adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan sekolah-sekolah awam lebih berdaya saing, kondusif dan moden mengikut arus pembangunan semasa. Dalam proses pembestarian sekolah, sasaran kementerian ialah untuk meningkatkan nisbah komputer kepada murid, masa dedahan murid dan guru kepada penggunaan komputer dan mengaplikasikan teknologi yang berkesan dari segi kos.” (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia, 7 Mei 2005)

Skop Pembestarian Sekolah

Pelaksanaan pembestarian ini memanfaatkan (leverage) kepada semua inisistif ICT yang sedia ada di sekolah merangkumi tiga elemen utama iaitu infrastruktur ICT dan Aplikasi Pengurusan, Pengisian Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), dan Pembangunan Sumber Manusia. Fokus utama Pembestarian Sekolah ialah untuk memastikan semua sekolah akan mempunyai kecapaian ICT yang sama dengan; i.

menyediakan kemudahan infrastruktur dan perkakasan yang mencukupi

ii.

menyediakan perisian dan bahan-bahan digital yang lengkap

iii.

memberi latihan yang secukupnya kepada semua guru, pentadbir dan staf sekongan

Pembestarian Sekolah akan menfaatkan elemen utama yang telah dilaksanakan ke sekolah-sekolah melalui projek-projek KPM seperti: i.

projek makmal pengkomputeran sekolah

ii.

program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

iii.

rangkaian SchoolNet

iv.

rancangan TV pendidikan

v.

projek Rintis Sekolah Bestari

vi.

ICT dalam pengajaran dan pembelajaran

vii.

mata pelajaran yang berasaskan ICT

viii.

perkongsian Pintar dengan Syarikat Swasta

ix.

latihan ICT Guru

x.

pengurusan Perubahan bagi Guru dan Pentadbir Sekolah

Program Pembestarian ini akan dijalankan secara berperingkat dan berfasa mengikut keutamaan dan keupayaan Kementerian dengan mengambil kira kesediaan sekolah.

Dasar Dan Matlamat

Dasar Pembestarian semua sekolah merangkumi dasar ICT iaitu; i.

ICT untuk semua pelajar

ii.

ICT sebagai alat pengajaran dan pembelajaran, sebagai mata pelajaran dan komponen mata pelajaran

iii.

ICT digunakan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem pendidikan Matlamat Pembestarian Sekolah ialah untuk mengoptimumkan potensi murid di

semua sekolah Malaysia dengan menggunakan ICT sebagai pengupaya kepada pengajaran dan pembelajaran.

Status Semasa Dan Cabaran

Sekolah Bestari secara ringkas boleh didefinisikan sebagai suatu sistem pendidikan yang mana proses pengajaran dan pembelajaran lebih berpusat kepada pelajar dengan menggunakan pendekatan yang lebih kritis dan kreatif serta menggunakan teknologi sebagai pengupaya. Penggunaan ICT sebagai bahan bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan jantung Sekolah Bestari. Pendekatan ini tidak hanya terhad dalam kurikulum, pedagogi, pentaksiran, pengajaran dan pembelajaran, malah juga dalam bidang pengurusan sekolah. Pengurusan dan pentadbiran sekolah dibestarikan agar pengurus sekolah dapat menguruskan perjalanan sesebuah sekolah dengan lebih efektif. Walau bagaimanapun, dalam proses menubuhkan Sekolah Bestari di seluruh negara, KPM kemudiannya telah mengambil langkah bijak dan kos efektif dengan memperkenalkan Program Pembestarian Sekolah. Ini memandangkan untuk membekalkan infrastruktur teknologi penuh sebuah Sekolah Bestari, Kerajaan perlu membelanjakan sebanyak RM1.8 juta, manakala untuk membekalkan infrastruktur teknologi makmal komputer, kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak RM642,000 bagi sebuah sekolah. Oleh itu, alternatif yang terbaik adalah dengan cara membestarikan sekolah sedia ada yang hanya memerlukan peruntukan yang jauh lebih rendah untuk setiap buah sekolah. Program Pembestarian Sekolah memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari pada semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Komponen utama pembestarian sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian sekolah dapat melatih guru dan pelajar berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan pelajar yang mengamalkan pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).

Pelaksanaan pembestarian ini mengambil kira (leveraging) semua inisiatif ICT yang sedia ada di sekolah merangkumi tiga perkara utama iaitu hardware, software dan wetware. Untuk itu, KPM telah pun membekalkan pelbagai peralatan dan kemudahan ICT seperti komputer, pencetak, server, projektor dan rangkaian. Statistik sehingga April 2005 menunjukkan sebanyak 4500 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah dilengkapi dengan makmal komputer, sementara 8120 buah sekolah telah dirangkaikan dengan capaian internet berjalur lebar melalui rangkaian SchoolNet. Pelbagai perisian kursus telah dibangunkan, baik oleh pihak KPM mahu pun dengan kerjasama dengan pihak swasta. Perisian kursus untuk kegunaan Sekolah Bestari yang melibatkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik telah dibangunkan dengan kerjasama pihak swasta. Selain daripada menghasilkan perisian kursus untuk digunakan oleh guru dan pelajar dalam program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Pembestarian sekolah melibatkan pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan dengan penggunaan aplikasi Smart School Management System (SSMS), Educational Management Information System (EMIS) dapat membantu memperkemaskan pengaliran dan perkongsian maklumat di peringkat sekolah, jabatan dan kementerian. Latihan kemahiran ICT kepada individu yang terlibat sentiasa diadakan dari semasa ke semasa. Pentadbir sekolah, guru, staf sokongan dan personel di pelbagai peringkat Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Bahagian-bahagian di KPM turut dibimbing dan dilatih menggunakan segala kemudahan ICT yang disediakan.

Strategi Perlaksanaan

Strategi perlaksanaan pembestarian sekolah ini merangkumi penyediaan hardware, software dan wetware. Bagi memastikan program pembestarian sekolah ini berjalan lancar, cekap dan efektif, KPM akan: i.

menjadikan 88 buah sekolah di bawah projek rintis Sekolah Bestari sebagai penanda aras bagi program Pembestarian Sekolah.

ii.

menyelaras semua inisiatif ICT di bawah Jawatankuasa Maklumat Perkomputeran Kementerian (JMPK).

iii.

menilai semula setiap perisian kursus yang telah dihasilkan dan melantik juru audit untuk mengkaji dan menilai kesemua inisiatif ICT dari aspek P&P, pentadbiran dan pengurusan serta mencadangkan pelan strategik ICT yang baru.

iv.

membekalkan infrastruktur, perkakasan dan aplikasi pengurusan yang mencukupi.

v.

meningkatkan jumlah perisian bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

vi.

memantapkan program latihan dan bimbingan ICT kepada pentadbir sekolah, guru dan pelajar. Antara latihan yang dijalankan termasuklah asas penggunaan komputer, penggunaan komputer untuk pengajaran dan pembelajaran, penggunaan perisian kursus dan penggunaan TV Pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran.

vii.

menggalakkan perkongsian pintar dengan pihak luar KPM.

Kesimpulan

Dalam menongkah arus globalisasi dan cabaran pendidikan hari ini, semua pihak harus mengorak langkah yang proaktif. Perubahan ke arah sistem pendidikan bestari adalah suatu usaha yang amat baik. Adalah menjadi harapan kementerian, melalui pembestarian sekolah ini akan: membentuk modal insan yang berkemahiran dalam bidang ICT ke arah masyarakat k-ekonomi. mengimbang jurang digital antara bandar, luar bandar dan pendalaman. membentuk masyarakat yang kreatif, kritis dan inovatif. membudayakan pembelajaran sepanjang hayat berasaskan ICT. membangunkan pendidikan bertaraf dunia. Pembestarian sekolah ini perlu disokong dan dilaksanakan oleh semua untuk menjana modal insan yang mempunyai minda kelas pertama.

Rujukan Abd Samad Hanif, et.al. (2005). “Teknologi Komputer.” Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kementerian Pelajaran Malaysia (2006). “Rancangan Malaysia Ke-9: Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 - 2010.” Edisi Pelancaran. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia. Ministry of Education (1997). “The Malaysian Smart School: A Conceptual Blueprint.” Kuala Lumpur: Ministry of Education.

Mohammad Sani Ibrahim, Dr. Hj. dan Mohd Jasmy Abd Rahman (2003). “Pembestarian Sekolah Dalam Era Globalisasi: Satu Pemikiran Baru Dalam Sistem Pendidikan Malaysia.” Jurnal BTP. 5. hlm. 21 - 41.

Norizan bt . Hj. Ahmad (2003). “Kemahiran dan Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains Di Sekolah Menengah: Lebih Banyak Soalan Daripada Jawapan.” ICT Dalam Pendidikan Dan Latihan: Trend dan Isu: Konvensyen Teknologi Pendidikan Ke-16. 128 – 135.

Related Documents