TEORI TEORI-TEORI PEMBELAJARAN Teori membantu guru untuk memahami asas masalah pembelajaran khususnya dalam konteks pendidikan khas. Teori dapat memberi panduan atau kaedah yang berkesan dan bersesuaian untuk menyelesaikan masalah murid. Antara fungsi teori kepada guru ialah; Teori membantu untuk seseorang guru membuat penilaian, menyemak bahan, teknik, kaedah pembelajaran yang boleh digunakan kepada pelajar,
Teori memberi panduan pengetahuan yang sistematik dan konsep bekerja bagi membolehkan pengubahsuaian sesuatu ilmu baru dan ia amat penting kerana memberi arah panduan menjelaskan dengan lebih teratur struktur pemikiran dan ini membentuk tindak balas yang diingini berlaku,
Teori ialah pembentukan secara berproses. Setiap disiplin dibina berdasarkan konsep dan idea yang dikembangkan oleh teori sebelumnya. Teori adalah cabaran, kekuatan, bagi pengkaji dan ahli akademik untuk mempraktik dan membuat penilaian bagi membuktikan teori yang dikeluarkan oleh golongan ini bersesuaian dan berguna serta berhasil. Menurut Thomas ( 1985), sesuatu teori dikatakan baik apabila mempunyai ciri-ciri seperti dapat menjelaskan faktafakta dengan jelas, mudah difahami, berguna untuk membuat ramalan masa hadapan dan memperjelas perkaraperkara yang sudah lepas, boleh diterapkan secara praktikal, bersifat konsisten dan tidak berasaskan banyak andaian (kepercayaan-kepercayaan yang tidak dapat dibuktikan) Dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran hidup banyak kerja-kerja amali perlu dilakukan oleh murid supaya benar-benar dapat memahami sesuatu kemahiran. Perkara ini berkait rapat dengan realiti kehidupan mereka di luar. Jadi, untuk menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran ini tercapai dan dikuasai oleh murid khas, guru harus memikirkan bagaimana untuk memaksimumkan penguasaan murid ini dengan menggunakan teori-teori yang sesuai dan berkesan dalam pengajaran mereka. Terdapat beberapa teori pengajaran dan pembelajaran dibincangkan supaya boleh membantu guru mengamalkannya dan membuat penilaian semasa pengajaran. Teori Pembelajaran Behaviorisme Teori Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku. Ahli-ahli behavioris melihat perhubungan antara persekitaran dengan tingkah laku dan kemudiannya menggunakan konsep peneguhan dan dendaan untuk menjelaskan mengapa sesetengah tingkah laku itu wujud atau tidak wujud. Mereka berpendapat kecenderungan-kecenderungan tingkah laku termasuk trait-trait, bakat, nilai-nilai, kepercayaan–kepercayaan, aspirasi dan lain-lain adalah dipelajari. Antara andaian ahli behaviorisme ialah tingkah laku boleh diukur, diperhatikan dan dianalisa dengan melihat gerak balas individu. Gerak balas bergantung kepada peneguhan dan dendaan. Matlamat behavioris ialah melihat kaitan rangsangan dengan gerak balas dan melihat bagaimana gerak balas ini boleh dikawal melalui ganjaran dan dendaan. Ahli-ahli behaviorisme menggunakan konsep pelaziman klasik dan pelaziman operan apabila menjelaskan proses pembelajaran (Jalongo dan Isenberg 2000). Teori Pembelajaran Kognitif Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Ahli-ahli psikologi kognitif berpendapat bahawa pembelajaran adalah mudah dan ia tidak selalunya berlaku melalui cuba jaya sebagaimana yang dicadangkan oleh mazhab behaviorisme. Menurut psikologis ini, dalam pembelajaran, murid membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam ‘ingatan’. Kebolehan ini dikenali sebagai celik akal. Dengan itu, nyatalah seseorang individu jarang menggunakan cara cuba jaya untuk mempelajari sesuatu. Teori kognitif berpegang kepada persoalan bagaimana kita mengetahui, memperolehi, memproses dan menggunakan maklumat. Jadi, dalam mendidik murid-murid khas , guru perlulah menyesuaikan segala teori-teori yang ingin digunakan. Ada kalanya teori behaviorimse penting digunakan demikianlah juga dengan teori kognitif. Semua teori boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Teori Pembelajaran Sosial Albert Bandura memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku melalui proses peniruan. Bandura (1977) berpendapat, kita belajar melalui pemerhatian dan meniru orang lain serta dengan melihat konsekuen tingkah laku orang lain. Bandura berpendapat bahawa; Pembelajaran dan tingkah laku manusia bergantung kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu lain atau model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya.
Peniruan selalunya diteguhkan.
Pembelajaran pemerhatian dapat juga diterangkan melalui prinsip pelaziman klasik. Oleh yang demikian, teori pembelajaran sosial Bandura,menekankan peranan kognitif dan juga pengaruh persekitaran dalam perkembangan. Teori
Pembelajaran
Humanis
Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran, pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian itu. Prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke atas tindakannya. Contohnya kalau murid ingin berjaya, maka dia perlu berusaha mencapainya ke arah itu. Setiap murid juga mempunyai keperluan mengembangkan potensinya ke tahap maksimum. Teori humanis menekankan objektif berikut; meningkatkan arah kendiri dan kebebasan murid.
membantu murid agar lebih bertanggungjawab dalam menentukan perkara yang ingin dipelajari oleh
mereka.
meningkatkan daya cipta murid. mengembangkan minat dalam bidang seni.
meningkatkan naluri ingin tahu murid. Asas teori ini adalah kepercayaan seseorang murid mempunyai keperluan untuk pencapaian hasrat diri. Guru perlulah membantu murid mencapai hasratnya. Ini berlaku kerana dalam pengajaran secara humanis, pembelajaran arah kendiri amat ditekankan. Prinsip-prinsip pembelajaran humanis adalah seperti berikut; murid akan belajar apa yang dikehendaki oleh mereka dan yang ingin diketahui.
Keinginan untuk belajar dan mengetahui cara belajar lebih penting daripada pemerolehan fakta. Penilaian yang dibuat oleh murid sendiri lebih bermakna bagi dirinya.
Perasaan murid adalah sama penting dengan fakta. Pembelajaran cara merasa adalah sama penting dengan pembelajaran berfikir.
Pembelajaran hanya berlaku jika murid tidak berasa terancam.
MODEL MODEL-MODEL PENGAJARAN & PEMBELAJARAN Model pengajaran mengandungi unsur-unsur penting yang dapat memberi gambaran tentang proses pengajaran. Pada masa dahulu, pengajaran dianggap sebagai satu proses yang mudah iaitu pengajaran sebagai suatu penyampaian pengetahuan daripada guru kepada murid. Situasi ini dinamakan proses pengajaran sehala iaitu guru sebagai pengajar menyalurkan pengetahuannya kepada murid yang menerima segala-galanya, seperti yang ditunjukkan pada rajah di bawah.
Rajah 1 Proses Pengajaran Sehala Apabila pengajaran sedemikian berlaku, guru merupakan sebagai individu yang aktif manakala murid menerima secara pasif. Tidak terdapat sebarang interaksi antara guru dengan muridnya. Tanpa interaksi antara guru dengan muridnya, maka sukar untuk menentukan sama ada proses pembelajaran telah berlaku atau tidak. Murid tidak diberikan peranan aktif sebagai individu yang boleh menentukan pembelajarannya. Namun keadaan sekarang sudah jauh berubah daripada keadaan seperti itu. Pengajaran lebih disifatkan satu proses yang dengan sengaja dirancangkan dengan objektif dan isi yang dipilih khas untuk disesuaikan dengan keperluan murid. Untuk menentukan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan, guru-guru haruslah mengambil pelbagai pertimbangan seperti memilih model-model pengajaran yang boleh memberi kesan positif pada pengajarannya di samping pemilihan kaedah, teknik dan pendekatan. Di sini dibincangkan beberapa model pengajaran dan pembelajaran untuk pertimbangan guru. Setiap model-model yang dicadangkan mempunyai kekuatan tersendiri dalam membantu guru-guru dalam proses pengajarannya (Mok Soon Sang, 2003).
Model Pengajaran Asas Model ini dikemukakan oleh Robert Glaser (1962). Model ini dianggap sebagai model asas yang dapat menggambarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Model Glaser membahagikan proses pengajaran kepada empat bahagian seperti dalam rajah berikut;
Rajah 2 Model Pengajaran Asas Glaser Mengikut model Rajah 2 proses pengajaran bermula dengan guru menentukan objektifnya. Objektif Pengajaran Objektif pengajaran ialah perlakuan yang hendak dicapai murid setelah mengikuti sesuatu pengajaran. Ia merupakan pernyataan tentang perlakuan murid yang dapat diperhatikan dan dapat diukur setelah langkah pengajaran dijalankan. Pernyataan yang jelas tentang perlakuan murid yang hendak dicapai membolehkan guru merancang langkah-langkah pengajaran dan membuat penilaian ke atas keberkesanan pengajarannya. Tingkah Laku Sedia Tingkah laku sedia murid merujuk kepada pengetahuan, kemahiran atau sikap yang sudah ada pada seseorang murid. Penentuan tingkah laku sedia murid membolehkan guru menilai sama ada objektif yang telah dirancang itu sesuai atau tidak. Sesuatu pembelajaran baru akan menjadi lebih bermakna sekiranya dikaitkan dengan pengalaman sedia ada murid, kebolehan serta minat mereka. Prosedur Pengajaran Bahagian ini menerangkan tentang proses pengajaran. Prosedur pengajaran berbeza mengikut objektif pengajaran yang hendak dicapai. Bahan pengajaran dan alat bantu mengajar dipilih supaya sesuai dengan objektif pengajaran. Kaedah mengajar yang sesuai hendaklah dirancang supaya isi pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan. Aktiviti pengajaran seperti memberi keterangan, menyoal, merangsang, menarik perhatian dilaksanakan di peringkat ini. Murid juga terlibat dengan aktiviti pembelajaran seperti memerhati, menumpukan perhatian , berbincang dan menyelesaikan masalah. Penilaian Prestasi Pada peringkat ini, pemerhatian dan ujian-ujian dijalankan untuk menyemak setakat mana murid telah mencapai objektif pengajaran. Dengan adanya penilaian, guru mendapat maklum balas tentang hasil pengajarannya. Sekiranya penilaian menunjukkan bahawa murid tidak mencapai tahap yang memuaskan, maka guru perlu menyemak kembali setiap komponen dalam modul pengajaran di atas. Jika perlu komponen yang didapati kurang tepat dan sesuai perlu dikaji atau diubah suai. Contohya, kaedah pengajaran kuliah dalam pembelajaran tidak difahami murid, maka guru perlu menukarnya kepada kaedah perbincangan atau lain-lain yang memudahkan murid menguasai isi pelajaran. Kekuatan model Glaser ini boleh dijadikan panduan asas bagi guru dalam tugas mengajarnya. Bagaimanapun, model ini boleh mejadi lebih bermakna sekiranya ditambah dengan unsur interaksi guru-murid dan langkah-langkah pemulihan sekiranya perlu bagi murid-murid tertentu. Model Inkuiri Pendekatan inkuiri membolehkan murid menggunakan keperluan ingin tahu mereka untuk meneroka sesuatu bidang ilmu. Matlamat dalam pendekatan ini adalah mengembangkan kemahiran dan disiplin intelek yang perlu untuk membangkitkan soalan dan mencari jawapan yang berpunca daripada rasa ingin tahu mereka. Sesuatu pengajaran secara inkuiri dimulakan dengan menyediakan satu situasi yang membingungkan. Individu yang menghadapi situasi sedemikian (secara semula jadi) bermotivasi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dalam model ini, terdapat lima fasa seperti rajah di bawah:
Rajah 3 Lima Fasa Model Inkuiri Keterangan model inkuiri : Fasa 1: Fasa satu, guru perlu mengemukakan situasi bermasalah dan menerangkan atur cara inkuiri kepada murid. Pembentukan satu kejadian seperti menunjukkan bagaimana sebatang pisau dibuat daripada dua jenis logam yang apabila dipanaskan ia menjadi bengkok, memerlukan murid berfikir. Matlamat akhirnya dalam pengajaran seperti ini adalah bertujuan untuk murid mengalami pembentukan pengetahuan baru. Fasa 2: Melibatkan pemeriksaan proses iaitu murid mengumpulkan maklumat tentang kejadian yang dilihat atau alami. Fasa 3: Uji kaji dijalankan oleh murid dengan memasukkan elemen-elemen baru dalam situasi untuk melihat sama ada kejadian itu berlaku dengan cara lain. Di sini murid mungkin bertanya tentang objek dan guru harus peka serta sedar tentang jenis maklumat yang diperlukan dan mengubah corak penyoalan. Fasa 4: Guru meminta murid menyusun data untuk membentuk satu keterangan. Mungkin ada murid yang sukar untuk memahami maklumat dan membentuk pemahaman mengenainya. Fasa 5: Murid diminta menganalisis corak inkuiri mereka. Mereka memerlukan soalan yang berkesan, soalan yang produktif dan memerlukan maklumat lanjut daripada guru. Walaupun model inkuiri digunakan pada mulanya dalam bidang sains, namun atur caranya juga sesuai untuk semua bidang. Contohnya, kemahiran hidup, bagaimana proses-proses tumbesaran pokok atau tanaman daripada hanya sebutir biji benih yang kering, boleh dijadikan situasi yang membingungkan murid. Model Sim Model sim terdapat empat unsur penting dalam pengajaran iaitu guru, pelajar, isi pelajaran dan objektif pengajaran. Unsur-unsur tersebut boleh berinteraksi antara satu sama lain seperti dalam rajah berikut:
Rajah 4 Model Sim Dalam membuat persediaan pengajaran, model sim mengandungi elemen-elemen guru, objektif dan isi pelajaran. Ia perlu dititikberatkan dengan mengambil kira objektif yang hendak dicapai dan isi pelajaran yang sesuai seperti rajah di bawah:
Rajah 5 Persediaan untuk Pengajaran Guru Murid menjadi fokus dalam pencapaian objektif pembelajaran. Dalam menentukan objektif dan isi pelajaran , fakta murid seperti kebolehan dan pengetahuan sedia ada murid perlu diambil kira. Isi pelajaran termasuk media dan teknik digunakan untuk penyampaian isi pelajaran itu. Isi pelajaran ditentukan oleh guru setelah mengambil kira tentang kebolehan murid. Dalam setiap pengajaran, objektif dinilai dari segi pencapaiannya oleh murid dan guru menggunakannya untuk memperbaiki pengajarannya. Model Sim berfaedah kepada guru kerana membantu guru merancang pengajarannya dengan mengambil kira unsur-unsur penting seperti menentukan bahan, cara mengajar dan penilaian. Model Pembelajaran Penguasaan Bloom (1968) merupakan pengasas kepada model pembelajaran ini. Model Pembelajaran Penguasaan adalah suatu proses pengajaran yang boleh digunakan apabila seseorang guru ingin mengajar semua isi kandungan kepada murid di dalam kelas. Model ini memerlukan guru menstrukturkan bahan pengajaran agar setiap murid dapat menguasai sesuatu bidang mengikut masa dan keupayaan diri masing-masing. Model ini juga mengutarakan fenomena ‘self-fulfiling prophecy’ iaitu murid percaya bahawa semua orang boleh berjaya dan kebanyakan murid boleh mempelajari apa yang diajar di sekolah.
Jadual 1 Jadual Pembelajaran Penguasaan Bagi melaksanakan pembelajaran penguasaan, objektif pengajaran haruslah jelas dan isi kandungan pengajaran dicerakinkan kepada beberapa bahagian yang kecil. Isi pengajaran juga mestilah disampaikan mengikut tahaptahap individu dan dalam susunan tertib unit pembelajaran yang meningkat. Di samping itu, penilaian secara individu perlu dibuat, begitu juga pemantauan kemajuan murid. Penilaian diagnostik merupakan jenis penilaian yang kerap digunakan dalam pembelajaran penguasaan. Guru diminta untuk membina dan mentadbir ujian-ujian pendek untuk menentukan penguasaan objektif pembelajaran harian oleh murid. Murid yang mempunyai 15% kesalahan akan mengulangi tugasan mereka sehingga mereka mencapai penguasaan yang lebih tinggi. Bagi membantu murid mencapai penguasaan isi kandungan, guru boleh merancang kerja-kerja secara individu seperti bacaan khas, tugasan dalam lembaran kerja dan permainan komputer. Selain itu, guru boleh mengadakan tutorial rakan sebaya, kumpulan kecil pembelajaran dan kumpulan permainan akademik. Bagi murid yang berjaya menguasai isi kandungan, mereka akan diberikan tugasan-tugasan pengayaan. Model Pembelajaran koperatif Model Pembelajaran Koperatif mengutarakan kerjasama di antara ahli-ahli dalam kumpulan di samping meningkatkan pencapaian akademik murid. Terdapat tiga matlamat utama dalam model ini iaitu: untuk memperbaiki kefahaman dan kemahiran murid yang diajar
untuk membolehkan murid membentuk kemahiran kumpulan berkoperatif dan seterusnya menghormati perbezaan individu dalam kelas
untuk membolehkan murid mementingkan nilai terhadap pembelajaran dan membentuk sikap positif terhadap murid pelbagai kaum
Jadual 2 Jadual Pembelajaran Koperatif Di antara teori-teori pendidikan dalam model ini ialah: ganjaran berkumpulan–murid belajar dalam kumpulan dan akan memperoleh faedah-faedah tertentu. Melalui pembelajaran berkumpulan, murid boleh bekerjasama dalam kumpulan masing-masing dan bersaing secara sihat dengan kumpulan lain.
mengurangkan stereotaip–murid yang mempunyai peluang untuk bekerja dalam kumpulan dengan murid yang lain boleh mengurangkan sikap stereotaip mengenai ras, jantina, pelajar yang berpencapaian rendah atau cacat. Hasil daripada pembelajaran koperatif, didapati bahawa murid yang berpencapaian tinggi boleh mencapai tahap kefahaman yang lebih tinggi dalam proses membantu murid yang berpencapaian rendah. Model ini juga dianggap boleh mewujudkan motivasi di kalangan murid khususnya mereka yang berpencapaian rendah. Selain itu, mereka yang terlibat dalam pembelajaran koperatif menunjukkan konsep kendiri yang tinggi. Model Teori Pengajaran Dalam Amalan Murid yang diajar mengikut ‘teori pengajaran dalam amalan’ adalah berdasarkan kepada Hunter (1991) . Beliau menyatakan bahawa pengajaran meliputi suatu siri keputusan profesional yang mempengaruhi tahap pembelajaran seseorang murid. Keputusan-keputusan ini adalah berkenaan dengan isi kandungan pelajaran, bagaimana murid mencapai pembelajaran melalui aktiviti tertentu dan tingkah laku guru yang spesifik dalam kelas. Hunter percaya bahawa konseptualisasi pengajaran dengan ketiga-tiga keputusan tersebut boleh membekalkan suatu rangka rujukan . Ini bermakna keputusan pengajaran dan tindakan boleh diterangkan, diinterpretasi, dibincang, dinilai dan diperbaiki. Program Hunter memberikan suatu reka bentuk yang mengandungi tujuh unsur untuk mengajar suatu pelajaran. Unsur-unsur dalam pengajaran ini ialah: set jangkaan (anticipatory set) – membolehkan murid menjangka apa yang akan dipelajari
objektif dan tujuan
input – murid mendapat maklumat baru
menguji kefahaman – guru menguji di celah-celah pelajaran
latihan berpandu – murid berlatih dengan skala yang dipelajari dan diselia oleh guru
bebas
modeling – guru memberikan contoh-contoh, demonstrasi, idea,
latihan bebas – murid membuat tugasan yang diberi oleh guru tentang apa yang telah dipelajari secara
Jadual 3 Jadual Teori Pengajaran dan Amalan Semasa guru hendak membuat keputusan, guru tersebut haruslah membuat keputusan berasaskan kepada pengajaran yang berkesan. Ini seterusnya memerlukan guru memahami sains pengajaran kerana ini akan menjadi asas untuk guru dalam membuat keputusan. Di samping itu, guru haruslah berkemahiran untuk melaksanakan keputusan yang tepat. Model ini boleh dipraktikkan dengan merancang soalan yang diperoleh daripada tiga jenis keputusan di atas iaitu: Apakah yang murid akan belajar?
Bagaimanakah murid akan belajar?
Keputusan yang bersangkutan dengan kadar pembelajaran, pemindahan pembelajaran kepada situasi yang baru. Model Pembelajaran Memproses Maklumat Menurut Lerner (2003) model pembelajaran memproses maklumat menerangkan pengaliran maklumat semasa proses pembelajaran, iaitu bermula dari penerimaan maklumat melalui proses di dalam otak sehinggalah menghasilkan tindakan. Pusat kepada model pembelajaran memproses maklumat ialah kepelbagaian bahagian sistem daya ingatan. Bahagian ini mempunyai sistem penerimaan maklumat yang terbahagi kepada tiga jenis ingatan iaitu: penerimaan daya deria-rangsangan
daya ingatan jangka pendek
daya ingatan jangka panjang
Daya Deria Rangsangan Maklumat diterima melalui daya rangsangan penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa. Rangsangan yang diterima adalah sama ada secara dalaman atau luaran. Teori memproses maklumat sangat penting kepada pengajaran guru. Ini adalah kerana ia dapat membantu guru mengatasi masalah ketidakupayaan pembelajaran murid mereka. Di samping itu mereka dapat membuat perancangan terhadap pengajaran di dalam bilik darjah. Daya Ingatan Jangka Pendek Daya ingatan jangka pendek dikenali juga dengan ingatan sementara. Apabila melalui proses ini, seseorang itu akan mempunyai kesedaran untuk memahami maklumat dan seterusnya bertindak balas terhadap maklumat yang diterima. Apabila seseorang itu memikirkan masalah yang baru, maklumat baru akan menggantikan maklumat lama. Kepentingan kepada pengajaran guru ialah, guru boleh mengenal pasti maklumat yang disimpan oleh murid di dalam jangka masa waktu yang diperlukan. Guru sepatutnya merancang aktiviti bagi membolehkan isi pelajaran yang diajar bukan sahaja berada di dalam daya ingatan jangka pendek murid, tetapi sebaliknya terus disimpan di dalam ingatan jangka panjang. Daya Ingatan Jangka Panjang Berkekalan Daya ingatan jangka panjang adalah berkekalan. Bagi mempelajari mengekalkan maklumat yang diperolehi untuk satu-satu tempoh masa yang panjang, maklumat perlu dialihkan dari ingatan jangka pendek kepada ingatan jangka panjang. Terdapat dua jenis ingatan jangka panjang iaitu ingatan makna dan pengalaman.
Kepentingannya kepada pengajaran ialah, cara bagaimana maklumat disimpan di dalam daya ingatan jangka panjang membantu kita untuk menggunakan maklumat apabila diperlukan. Melalui teknik pengajaran yang jelas, sistematik dan menggunakan kaedah yang menarik pasti dapat membantu murid mengingat kembali isi pelajaran yang telah dipelajari. Strategi-strategi yang dapat membantu murid meningkatkan daya ingatan jangka panjang mereka ialah sistem penyusunan maklumat, menggunakan pengetahuan sedia ada dan membuatkan maklumat yang diperolehi lebih bermakna. Model Systematic Approach for Adapting the Learning Environmet (SAALE) Model SAALE telah diperkenal dan digunakan sejak awal tahun 1970an lagi. Ia merupakan satu reka bentuk (design) di mana kandungan kurikulum mungkin memerlukan perubahan (adaptasi) untuk membolehkan muridmurid kurang upaya mendapat kurikulum pendidikan biasa . Untuk memenuhi matlamat pendidikan kepada murid kurang upaya, maka Reauthorization of the Individuals with Disabilities Education Act, 1997 (IDEA), telah menyuarakan kepada sistem pendidikan sekarang supaya memberi peluang dan akses yang lebih luas kepada pelajar kurang upaya (Wood 2002) . Lou Danielson (1999), menegaskan kepada konsep “universal design” (satu corak yang boleh diterima pakai oleh semua) sebagai amalan yang dapat menolong kanak-kanak khas ini mencapai matlamat pendidikannya. Penggunaan model SAALE ini telah memberi satu pencapaian bermakna terhadap pendidikan dalam kepelbagaian populasi . Model ini adalah model adaptasi. Ia mengandungi tiga komponen besar adaptasi iaitu: Adaptasi persekitaran
Adaptasi pengajaran
Adaptasi penilaian
Adaptasi Persekitaran Adaptasi persekitaran melibatkan guru melakukan pengubahsuaian persekitaran sosioemosi, persekitaran tingkah laku dan persekitaran fizikal. Adaptasi Persekitaran Pengajaran Adaptasi persekitaran pengajaran ialah ia melibatkan guru melakukan pengubahsuaian terhadap perancangan pengajaran, teknik pengajaran, format kandungan pengajaran dan media pengajaran. Dalam konteks adaptasi persekitaran pengajaran ini , model ini menekankan bahawa seseorang guru haruslah melakukan penyesuaian yang spesifik yang boleh dilakukan pada mana-mana titik atau tempat di mana murid menghadapi kesukaran dalam teknik pengajaran, kemahiran pelajaran atau kandungan pengajaran. Konsep ketidaksesuaian dalam pengajaran adalah sangat penting difahami kerana ketidaksesuaian yang berlaku tidak disebabkan oleh murid mahupun pendidik. Ketidaksesuaian hanyalah satu keadaan apabila murid tidak berjaya kerana pendidik mempunyai harapan dan sangkaan yang tidak sepadan dengan keupayaan anak didiknya. Sebagai contoh muridnya tidak dapat menyalin di papan tulis, sedangkan guru menyuruhnya menulis atau menyalin juga, maka berlakulah ketidaksesuaian. Oleh sebab itu sebagai guru, kita mestilah mencari punca ketidaksesuaian tersebut dan memperkembang dan mengimplementasikan intervensi yang bersesuaian dengan murid. Adaptasi juga boleh dilakukan pada rancangan pengajaran yang memfokuskan kepada satu sahaja objektif yang spesifik dan jelas, adaptasi teknik pengajaran yang mementingkan informasi input iaitu , memberikan maklumat bergantung kepada keupayaan murid itu, adaptasi format isi kandungan yang tidak terlalu banyak, dan penggunaan media seperti audio visual dan sebagainya. Adaptasi Penilaian Adaptasi penilaian merangkumi penilaian murid dan penggredan. Adaptasi penilaian bermaksud bahawa penilaian yang dilakukan adalah menyeluruh. Penilaian kurikulum patut dilakukan dari masa ke semasa agar bersesuaian dengan murid khas. Dalam hal ini, guru perlu memastikan aspek keadilan diambil kira bagi memastikan semua murid mendapat faedah yang sama bagi pelaksanaan suatu kurikulum itu.
Rajah 6 Model SAALE Model Pembelajaran Masteri Pembelajaran Masteri adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokus kepada penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang dipelajari. Melalui pembelajaran masteri murid diberi peluang untuk maju mengikut kebolehan dan kadar pembelajaran mereka sendiri serta dapat mempertingkatkan tahap penguasaan pembelajaran. Pembelajaran Masteri (Hunter 1991) merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum ke unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran yang terancang dan berkualiti serta berpandukan tahap penguasaan murid. Model Pembelajaran Masteri dimulakan dengan penentuan hasil pembelajaran, dan diikuti dengan pengajaran dan pembelajaran. Tujuan menentukan hasil pembelajaran murid adalah untuk memastikan semua murid berjaya menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diberikan dengan kadar kemampuan biasa seseorang murid di tahap tersebut. Setelah dibuat penilaian, murid yang telah menguasai akan diteruskan dengan aktiviti pengayaan dan bagi murid yang belum menguasai akan diteruskan dengan aktiviti pemulihan. Dalam Pembelajaran Masteri terdapat beberapa langkah yang perlu Dilaksanakan oleh guru . Langkah tersebut digambarkan melalui model berikut:
Carta 1 Carta Pembelajaran Masteri Dalam pengajaran dan pembelajaran masteri, beberapa perkara perlu diketahui oleh guru. Antaranya: kebolehan dan keupayaan murid yang berbeza
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza
masa yang diperuntukan
kemudahan yang ada
Dengan mengetahui kebolehan dan keupayaan murid yang berbeza, guru dapat merancang kaedah pengajaran yang juga berbeza dan pelbagai bagi memudahkan murid menguasai ilmu yang disampaikan. Dengan merujuk kepada kadar penerimaan dan kesanggupan, murid akan dapat menguasai ilmu pada kadar kemampuan mereka. Untuk itu, guru seharusnya mengenali murid mereka. Model Ekspositori Ekspositori bermaksud memberi penerangan yang jelas dan terperinci. Dalam konteks pengajaran, ekspositori merupakan penyampaian maklumat atau isi kandungan pelajaran secara langsung kepada murid-murid di dalam kelas. Oleh itu, kaedah ekspositori ialah cara penyampaian pelajaran melalui penerangan, bercerita atau demonstrasi dengan tujuan mengajar sesuatu. Dalam model ini, guru memberi penerangan terlebih dahulu dan murid mendengar dengan teliti hingga mereka memahami dan mengingatinya atau merekodkan isi pentingnya dalam buku nota mereka.
Rajah 7 Model Ekspositori Cara-cara penyampaian dengan menggunakan model ekspositori adalah dihuraikan seperti berikut: menerang, menginterpretasi dan menghuraikan idea dan konsep daripada buku teks.
menerangkan sambil mendemonstrasikan cara melukis atau membina bentuk -bentuk geometri.
menerangkan sesuatu konsep dengan alat bantu mengajar.
menerangkan langkah-langkah penyelesaian masalah berdasarkan kemahiran -kemahiran yang telah dipelajari.