Nil Mengalir Songsang oleh Zaid Akhtar I Sham, Nil masih lagi mengalir tenang, sekalipun hakikatnya tidak pernah reda dengan kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyatnya. Aku seperti Nil itu. Khabarku masih baik. Cuma hidungku ini masih selesema bahana ribut pasir Khamasin yang mengamuk di Kaherah dua minggu lalu. Langit kemerahmerahan sebelum menjadi gelap-gelita. Hatta, ramai yang menyangka kiamat akan berlaku pabila siang bertukar malam serta-merta. Sememangnya aku harus terkejut menerima kunjungan warkahmu beberapa hari yang lalu. Empat tahun tanpa sebarang berita memaksa aku beranggapan bahawa engkau tidak lagi mengenangi diri ini. Ya, zaman menengah yang manis - sebelum bergelar mahasiswa - telah kita tinggalkan. Kini aku menghampiri tahun akhir pengajian. Tinggal di Hayyu Sabi'e bersama dua orang temanku. Kalut juga memikirkan panggilan pulang yang kian menjelang datang. Harapan ayah ibu, keluarga, orang kampung, sewaktu mahu berangkat ke sini dulu, semakin acap terngiang. Dan sewajarnya aku tertarik dengan suratmu yang masih semesra dulu. Banyak persoalan yang kaulontarkan - terutama tentang Bumi Kinanah ini. Sekadar yang kumampu, akan kuberitahu. Lantaran, sekalipun telah lebih seribu hari aku di sini - selaku seorang wanita - tidak semua tempat wajar kujejaki. Kehidupanku berlangsung sekitar Hayyu Sabi'e, Hayyu Thamin, Hayyu A'shir, Kaherah, dan universiti. Mahu bicara tentang apa ya? Membalas keluhanmu di dalam surat terhadap senario pemimpin arab, biarlah aku menyentuh tentang fenomena di sini, terutama sejarah negara ini. Sejarah Republik Arab Mesir yang bermula apabila berlakunya revolusi pimpinan Gamal Abdul Nasser. 23 Julai 1952 adalah tarikh keramat yang menyaksikan tumbangnya institusi beraja kuku besi selama ini. Beliau mati awal 70-an, seterusnya digantikan oleh Anwar Sadat yang menandatangani Perjanjian Camp David sebelum menemui ajalnya di tangan pengiringnya Khaled Islamboli - harga yang harus dibayar di atas perjanjian tercela itu. Pun begitu, Al-Azhar kekal unggul sebagai institusi ilmu Islam terulung sejak satu mileneum.
Biarpun menghadapi serangan pemikiran Barat yang menggila, yang cuba menggugat kestabilannya, namun para ulama tetap bersatu mempertahankannya. Siswazah-siswazah berketrampilan masih berjaya dihasilkan saban tahun untuk kembali memimpin umat di segenap pelosok dunia. Sehingga ke hari ini, Muhammad Sayid At-Tantawi masih lagi menerajui al-Azhar. Ah, tokoh Syeikhul Azhar yang seorang ini. Barangkali kerana fatwanya yang sering kontroversi, para pelajar lebih mengenang kepergian Syeikh Muhammad Mutawalli Sya'rawie yang tawaduk itu. Sebetulnya aku baru saja selesai imtihan. Bukan lagi Daur Mayu macam dulu, tapi Al-Azhar sudah beberapa tahun mempraktikkan sistem semester. Cuti ini tidak ke mana-mana. Masa akan kuhabiskan dengan menghadiri kelaskelas tafaqquh di samping menyertai program-program persatuan. Kala dalam pengajian inilah sebaik-baik masa untuk menyiapkan diri menghadapi masyarakat kelak. Setagal lagi, ada tanggungjawab yang menanti. Jadi, usah terlupa, aku ingin mendengar cerita-ceritamu pula dari Lembah Urdun. Menikmati hasil kepekaanmu meladeni senario pergolakan di rantau sebelah sini. Nilofar Kaherah 29 Jun 1999
Sham masih terkasima apabila menerima surat bercop Madinah Nasr, Kaherah itu. Semacam tidak percaya. Penantiannya selama ini berakhir juga. Dia tersenyum sendiri. "Alhamdulillah. Ada harapan…," bisiknya perlahan, antara dengar dengan tidak. Wajah lembut menawan bermata jeli segera memenuhi ruang mata. Dia belum betah melupakan kemesraan silam, apalagi membiarkan ia terpadam. Uzair yang ralit membaca, sempat menangkap kalimat itu. "Harapan apa?" Sham menunjukkan sampul surat bercorak papirus buatan Mesir. Uzair masih lagi belum faham. Tanpa sebarang jawapan, dengan senyuman yang masih melebar, Sham menghadapi monitor, dan terus sahaja membalas:
Nil, Terima kasih. Aku juga tidak percaya engkau masih menganggapku sebagai sahabat, walaupun sekian lama terpisah jauh. Aku masih lagi mengenang dunia persekolahan yang riang. Yang nyata, jarak bukanlah pemisah yang berupaya mengasingkan kita. Nostalgia silam masih terkulum kemas. Aku bersetuju dengan kata-katamu. Ya, seharusnya kita yang berada di Timur Tengah peka dengan kemelut rantau yang senantiasa bergelora ini. Jadikan ia iktibar paling mahal dalam rangkaian pengalaman sepanjang hayat. Aku tertarik amat dengan perbicaraanmu tentang Perlembahan Nil dan sosiopolitiknya. Walaupun ringkas, namun padat intinya. Tetapi, apa kurangnya di Bumi Isra' ini? Mungkin engkau hanya mengenali Jordan sebagai negara yang rajanya berketurunan Rasulullah SAW, dan punya permaisuri yang demikian jelita. Sejarahnya, sosiopolitiknya, masa depannya, tidak seindah yang disangka. Malah khalayak selalu disogokkan dengan penipuan dan lakonan yang bersinambungan. Jordan asalnya tidak wujud. Yang ada hanyalah Sungai Jordan yang terletak dalam Palestin. Namun, sejurus berlakunya Revolusi Besar Arab, dan tersungkurnya Khilafah Uthmaniyyah di tangan Kamal Attaturk, sejarah asalnya tidak boleh dipakai lagi. Hasil penjajahan Barat dan perpecahan arab, negara-negara di Asia Barat wujud begitu pesat. Maka, muncullah Arab Saudi, Jordan, Syria, Lebanon, dan Palestin (belum dicampur negara-negara di Teluk). Dan semestinya tidak ramai yang ambil tahu penyelewengan fakta sejarah ini malah tidak mengenali siapa sebenarnya pengasas negara Jordan ini - Syarif Hussin. Seperkara lagi, negara bersistem monarki ini, terlalu kerap bertukar Perdana Menteri. Melucukan. Serasanya, hingga kini jumlahnya hampir mencecah angka 40 sejak kemerdekaan Jordan pada 1946. Pimpinan yang tidak serasi dengan politik rajanya, akan dicantas bila-bila masa. Aku bermastautin di Irbid, bandar ketiga terbesar di negara ini, 40 km dari sempadan Jordan-Israel. Penempatan yang hampir dengan kampus membolehkan kami berjalan kaki ke kuliah. Dengan jumlah pelajar Melayu yang kian susut tahun demi tahun, tidak sukar untuk kami mengenali setiap penuntut di sini. Dan semestinya kefasihan Lughah Arabiah lebih terjamin
memandangkan Jordan tidak seteruk Mesir, Arab Saudi, dan negara-negara arab lain yang punya lahjah sendiri dan pekat 'ammienya. Peluang untuk bertutur bahasa arab fushah terbuka luas. Namun segalanya bertolak dari diri kita juga - kebijaksanaan kita memanfaatkan suasana. Kembali berbicara soal Dataran Syam; tidak sah tanpa menyentuh Yahudi bangsa terlaknat zaman-berzaman. Kebencian terhadap Yahudi terlalu membuak di hati. Malah aku tinggal berjiran dengan pemuda Palestin yang punya memori ngeri. Satu keluarganya ditembakYahudi, dan dia jadi pelarian. Di sini, setiap hari melihat tampang Yaser Arafat yang berucap terketar-ketar di televisyen akan membibit rasa jelak yang tidak sedikit. Kami tidak pernah percaya dia akan membela bangsanya, sebaliknya mengkhianatinya. Lelaki nasionalis-sekularis tua itu tidak pernah menguntungkan Islam. Apabila membaca buku 'Al-Yahudiyyah' tulisan Dr. Ahmad Syalaby, kau akan tahu betapa jijiknya bangsa paling pengecut itu. Betapa halusnya dan telitinya jarum-jarum dan strategi mereka. Kau tentu pernah mendengar tentang gagasan Israel al-Kubra, dari Nil hingga ke Furat; juga pertubuhan seperti Rotary dan Lions yang didalangi Freemason. Agen mereka ada di mana-mana. Tetapi yang lebih menyedihkan adalah pemimpin-pemimpin arab yang kurasakan lebih hina dan munafiq. Jangan terkejut jika aku pernah membaca betapa Gamal Abdul Nasser itu pengkhianat besar (pastinya sumber ini tidak didapati di Mesir) yang telah bersekongkol dengan Yahudi di balik tabir. Memang dia politikus yang pendiam, tetapi oportunis dan licik. Malah ada kajian yang mendakwa latar belakangnya diragui. Dia berdarah Yahudi? Nil, tentunya kau dapat mengesan emosiku yang naik memuncak bila berbicara soal kemelut di Timur Tengah. Pastinya sudah lumat kautelan hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya berbunyi: "Barangsiapa yang tidak 'ihtimam' terhadap hal ehwal orang-orang mukmin, maka ia bukan dari kalangan kami." Aku sebetulnya terlalu sedih dengan suasana pergolakan di sini. Sandiwara bodoh yang dilakonkan oleh munafiq moden dalam penjajahan bentuk baru. Perang Salib sebetulnya belum lagi berakhir.
Akhir-akhir ini aku kian kerap membaca tentang Mesir. Gerak hati mahu ke sana, tetapi segalanya baru perencanaan. Rasanya, tidak salah kiranya aku mahu melawat Medan Tahrir tempat Sofia Hanim Zaghlul dan Huda Sha'rawie mencetuskan "Tahrir al-Mar'ah", Piramid dan Sphinx di Giza, Kota Solahuddin di Iskandariah, dan menyaksikan pertemuan dua laut di Dumyat - di samping menziarahi teman-teman seperjuangan. Dan aku juga mahu kembara mencari suatu kepastian! Shamsul Azly Irbid 14 Julai 1999 II "Jadi kau ke Mesir cuti soifi ni?" Sham mengangguk. Tangannya mencapai sekeping surat yang diunjukkan Uzair. Melihat tulisan tangan di sampul, sudah tahu daripada siapa. Terasa tidak sabar mahu mengetahui isinya. "Ramai lagi akhawat di sini, masih memilih yang Azhariah? Tarbiahnya ' kan sama." "Sama tapi tak serupa. Yang pertama itu lebih membekas di jiwa," jawab Sham dalam nada selamba, seraya tergelak kecil melihatkan sahabatnya menggelenggeleng. "Aku ada membaca: Sungai Nil mengalir songsang. Betul?" tanya Uzair lagi sebelum berlalu. Sham sengih. Soalan itu tidak menarik perhatiannya. Dadanya berdebar-debar kencang. Tanpa lengah, bucu surat dikoyak, lalu isinya dikeluarkan. Dia mula membaca:
Sham, Benarlah, seperti katamu, kepekaan adalah deria yang paling mahal. Justeru, aku membalas suratmu ini, biarpun naluriku semacam kurang enak. Kepastian apakah yang kauinginkan? Aku kagum dengan kepekaan dan kesedaranmu yang sampai tahap itu. Nyata thaqafahmu jelas mantap, dan siapa sangka boleh membantu menolakmu suatu hari nanti menjadi politikus terkemuka, atau paling tidak penulis politik. Ya, pokoknya kemahuan dan keikhlasan dalam perjuangan. Majalah Al-Wa'yu Al-Islamie yang kubeli kelmarin menyebut tentang gerakan Ikhwanul Muslimin di pelosok Tanah Arab, tanpa menyatakan
pergerakan pertubuhan itu di tempat kelahirannya - Mesir. Ia gerakan atau 'harakah' mujaddid Islam yang pertama selepas terkuburnya Khilafah Uthmaniyyah pada 1924. Gerakan yang menghidupkan kembali kewajipan jihad dan berusaha menegakkan daulah Islamiyah di maya pada ini. Diasaskan di Ismailliyah oleh As-Syahid Hasan al-Banna pada 1928. Jelasnya, Hasan bukanlah seorang filsuf, tetapi daya pemikirannya dan tahap kefahamannya terhadap Islam mendahului zamannya. Kitab "Majmu' Rasa'il Hasan al-Banna" ada menjelaskan dasar pemikiran dan idea-idea bernasnya. Namun, dunia Islam dirasakan terlalu awal menyaksikan kematian mujaddid kurun ke-20nya ini lewat 12 Februari 1949. Ah, semua pendokong gerakan Islam semestinya mengingati peristiwa pembunuhan beliau di hadapan ibu pejabat pertubuhan Syu'banul Muslimin oleh mereka yang kemudiannya terbukti dari kalangan Polis Rahsia Mesir. Mengusik tentang dua dataran ini, sering peranan mahasiswa menjadi persoalan. Soal kita yang bergelandangan ke mari untuk mengutip ilmu-ilmu Allah. Segalanya bertolak dari niat. Tapi niat itulah yang selalu disalah terjemahkan. Masih ramai yang ke Timur Tengah untuk mengejar segulung syahadah, tanpa memikirkan betapa thaqafah Islamiyyah dan pengalaman berorganisasi sangat penting. Pembentukan sahsiah da'ie sewajibnya bermula di sini - sekadar tazkirah untuk kita bersama. Akan tetapi, engkau kurasakan masih lagi Sham yang aku kenali.Yang kental semangatnya, berjiwa besar, juga iltizam dengan prinsip dan dasar perjuangan. Dan aku terus-terusan segan dengan persahabatan ini. Sejak zaman persekolahan, malah sehingga kini, aku masih gagal mengatasimu dalam bidang apa pun. Semakin panjang surat ini kukarang, semakin terasa bersalahnya. Mungkin inilah suratku yang terakhir, justeru usah aku kauhubungi lagi. Engkau belum mengerti, Sham, bahkan aku sendiri begitu berat untuk memahamkanmu. Kemalangan telah membunuh kedua orang tuaku dalam sekelip mata. Kami kehilangan tempat bergantung. Adik-beradikku dibela oleh saudara-mara. Dan aku sendiri tidak tahu hitam putih masa depanku, lantas merelakan diri ini… biarpun aku sebenarnya belum bersedia. Akhbar hari ini menyebut, Hosni Mubarak mengugut Sudan yang dikatakan terlibat dalam konspirasi membunuhnya lewat letupan bom berhampiran istananya baru-baru ini. Sedihnya.
Sesama negara Islam yang berjiran - malah berkongsi air Sungai Nil- masih lagi bercakaran. Namun Nil kekal seperti dulu. Mengalir songsang dari selatan ke utara. Menerima apa saja yang berlaku di perlembahannya. Pun aku seperti Nil itu. Pasrah. Menerima seorang 'Azhari' untuk memimpin si yatim piatu yang masih samar-samar hari depannya ini, dan menemaniku sepanjang hayat. Sham, teruskan perjuanganmu. Maafkan dan lupakan aku. Aku bakal isteri orang! Nilofar Kaherah 26 Ogos 1999
Sham melipat surat dua helai yang baru selesai dibacanya. Tubuhnya bergetar, disandarkan ke kusyen. Menarik nafas panjang sebelum melepaskannya perlahan. Dia berdiri, melangkah masuk ke kamar,dan menghempaskan tubuh di tilam. Atmanya sedikit terusik. Dalam hati diamdiam mengakui. Benarlah, Nil itu mengalir songsang!
Glosari Tahrir al-Mar'ah - pembebasan wanita Soifi - musim panas Akhawat - saudara-saudara perempuan Majmu' Rasa'il Hasan al-Banna - Kumpulan Risalah Hasan al-Banna