myMetro » Setempat
Dentuman tepi sungai Oleh Zuliaty Zulkiffli
[email protected] JITRA: “Saya dengar bunyi dentuman kuat dan melihat dua kereta terdampar di tepi sungai dalam keadaan rosak teruk manakala pemandunya kelihatan masih hidup tetapi cedera parah,” kata Azhar Ismail. Azhar, 35, yang menunggang motosikal dari rumahnya di pekan Tunjang menghala ke pekan Jitra adalah saksi kemalangan membabitkan dua kereta di Kampung Pulau Ketam, Jalan Kodiang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior (SMKPN), di sini pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, Azhar berkata, dia menunggang motosikal pada jarak kira-kira 50 meter di belakang dua kereta berkenaan yang dari arah sama Tunjang menuju ke Jitra. Menurutnya, pada mulanya dia ternampak kereta Proton Iswara berada di hadapan di lorong kanan manakala kereta Mazda pula berada di lorong sama di belakangnya.
Katanya, ketika itu, lorong kiri tiada kenderaan dan kereta Mazda itu kemudian menukar laluan memasuki kiri jalan memperlahankan keretanya.
“Bagaimanapun, perbuatan pemandu kereta Iswara itu secara tiba-tiba menukar lorong ke sebelah kiri menyebabkan kereta di belakangnya dipercayai hilang kawalan dan tidak sempat mengelak sehingga berlaku rempuhan. “Berikutan itu, kereta Mazda itu berpusing-pusing beberapa kali sebelum merempuh sebatang tiang elektrik manakala kereta Iswara itu pula merempuh paip air di Sungai Mada, Kampung Pulau Ketam dan nyaris terjunam ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam. Menurutnya, keadaan jalan yang basah akibat hujan lebat pagi semalam dipercayai turut menjadi faktor kepada kemalangaan itu. Azhar berkata, berdasarkan keadaan kereta Proton Iswara yang bengkok dan hampir terputus dua itu, dia menyangka pemandunya sudah meninggal dunia tetapi ketika orang ramai membantu mengangkat mangsa dari dalam kereta, dia masih bernyawa dan dihantar ke Hospital Jitra (HJ) dengan ambulans. Mangsa dikenali Sobri Ahmad, 52, seorang guru di SMKPN dan dikatakan dalam perjalanan untuk mengajar di sekolah berkenaan. Dia dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di HJ. Bagaimanapun, identiti pemandu kereta Mazda itu tidak dikenal pasti kerana dia tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya hanya terkejut dengan kejadian yang berlaku. Azhar mendakwa, kawasan itu kerap kali berlaku kemalangan berikutan jalan di kawasan berkenaan masih dalam proses pembinaan dan berbahaya jika ada pemandu yang mengambil kesempatan memotong kenderaan lain. Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan masih menyiasat kejadian berkenaan http://www.hmetro.com.my/Wednesday/Setempat/20090527064819/mainpix