Muzium Sarawak (Bangunan Lama) didirikan dalam tahun 1891 dan diperbesarkan seperti bentuk yang sedia ada dalam tahun 1911. Pada asalnya bangunan ini dibina untuk menyimpan dan mempamerkan seni kraftangan masyarakat pribumi tempatan dan koleksi binatang tempatan seperti yang dicadangkan oleh Pakar Alam Semulajadi, Alfred Wallace, yang menjalankan kerja-kerja mengumpul spesimenspesimen di Negeri Sarawak pada masa tersebut. Sejak ianya dibina, bangunan ini telah beberapa kali diubahsuai serta diperbaiki. Rekabentuknya yang membujur, 44' x 160', mempunyai dinding dan tiang yang diperbuat daripada batu bata dan beratapkan belian dan konkrit. Ianya dibina mengikut senibina Eropah dengan edifiknya mengikut stail Ratu Anne (Zaman Victoria). Galeri-galeri yang terdapat didalamnya diterangi melalui tingkap yang berbentuk kubah pada bumbung bangunan untuk memberi ruang dinding yang luas. Semasa Zaman pemerintahan Jepun, muzium ini telah diletak di bawah jagaan seorang Pegawai Jepun yang simpati terhadap muzium ini. Disebabkan itu, tidak banyak kerosakan atau kecurian berlaku. Pada masa ini, dengan perancangan yang teliti dan penjagaan yang rapi, bangunan ini telah dijadikan pusat pameran koleksi sejarah alam semulajadi di Sarawak. Pada tingkat bawah muzium, tersimpan koleksi alam semulajadi dan spesimen fauna Sarawak -seperti reptilia , mamalia, burung dan lain-lain dipamerkan. Pada bahagian barat bangunan muzium ini terdapat pameran Shell - industri petroleum di Sarawak. Tingkat atas bangunan ini mempamerkan bahanbahan etnografik seperti model rumah-rumah panjang pelbagai kaum etnik di Sarawak, alat-alat muzik, pelbagai jenis perangkap ikan dan haiwan, kraftangan, model perahu dan lain-lain.
Masa Lawatan :
Isnin hingga Ahad 9.00 a.m. hingga 4.30 p.m Masuk adalah Percuma