Muazzin Dan Imam Muda Masjid Darul Ghufran Singapura Oleh Sakinah Saptu
Masjid Darul Ghufran adalah masjid mesra belia. Beberapa minggu berada dipersekitaran masjid Darul Ghufran telah membuka mata penulis betapa kemesraan nya terhadap belia bukan sahaja berada disekitar kumpulan belianya ‘Fityan Ghufran’ yang aktif dan sentiasa bersemangat, tetapi kemesraannya semakin dirasai apabila pihak Masjid sentiasa memberi peluang kepada belia-belianya untuk berkhidmat sebagai muazzin dan imam separuh masa di masjid tersebut. Kepercayaan pihak Masjid yang begitu tinggi kepada para belia untuk melaksanakan tanggungjawab yang berat ini, seolah-olah bagaikan batu loncatan buat mereka untuk melibatkan diri di dalam bidang dakwah Islamiah, tanpa mengira samada mereka adalah anak didik daripada madrasah ataupun tidak. Belia-belia yang dilantik mempunyai kebolehan dan fasahah yang baik di dalam melantunkan azan dan memimpin solat untuk jemaah masjid Darul Ghufran. Penulis difahamkan mereka juga diberikan bimbingan oleh Ustaz Jamaluddin Abd Wahab di dalam kursus imam dan bilal untuk remaja. Atas sebab itu, tidak hairanlah jika di Masjid Darul Ghufran sering kedengaran suara remaja yang lunak dan merdu melaungkan azan pada waktu-waktu tertentu, seperti azan subuh, asar, maghrib dan Isyak. Penulis berasa bertuah kerana berpeluang untuk berbual empat mata dengan dua orang muazzin dan Imam muda Masjid Darul Ghufran yang begitu ramah sekali. Salah seorang daripadanya ialah Muhd Zikry bin Zulkifli, berusia 19 tahun. Mengimbas saat pertama kali melaungkan azan di masjid Darul Ghufran, beliau menceritakan kepada penulis bahawa pada waktu itu beliau merupakan juara pertandingan azan yang diadakan di masjid Darul Ghufran sempena majlis sambutan maulidur Rasul 2003. Di dalam pertandingan tersebut, Muhd Zikry telah berjaya mendapat tempat pertama dan diberi peluang untuk melaungkan azan pada waktu asar. Maka bermula daripada itu, Muhd Zikry seterusnya berada di masjid Darul Ghufran sebagai muazzin. Berbeza dengan Muhd Syafiq Bin Norman, 17 tahun. Saat pertama kali beliau melaungkan azan di Masjid Darul Ghufran, apabila beliau sendiri yang berjumpa dengan ustaz Irwan Shah dan melahirkan hasratnya untuk melaungkan azan. Beliau telah dipertemukan dengan ustaz Ahmad Khushairi dan seterusnya diberi peluang untuk mengazankan solat waktu asar. Muhd Zikry Bin Zulkifli
Apabila ditanya mengenai tujuan utama mereka untuk terus menjadi muazzin dan imam, Muhd Syafiq yang masih mendapat pendidikan di Madrasah Al-Junied al-Islamiah dengan yakin menjawab adalah untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Manakala Muhd Zikry yang pernah melanjutkan pembelajarannya di Politeknik Singapura pula merasakan bahawa melaungkan azan itu adalah satu tanggungjawab untuk menyampaikan syiar Islam. Tambahan pula, beliau amat suka melihat suasana dimana apabila azan dilaungkan umat Islam berkumpul beramai-ramai untuk menunaikan solat fardhu. Baginya suasana tersebut amat cantik dan menenangkan jiwa. Kedua Muazzin dan imam muda ini mempunyai harapan yang tinggi kepada para remaja Islam lain. Bagi Muhd Syafiq, harapannya adalah untuk melihat para remaja Islam mengikut contoh remaja-remaja yang baik dan sentiasa melibatkan diri di dalam kerja –kerja kebajikan. Muhd Zikry pula berharap para remaja Islam sentiasa berusaha memperbaiki diri untuk menjadi hamba Allah yang takut kepadaNya dan sentiasa mengikut apa yang telah digariskan di dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Muhd Syafiq Bin Norman
Selain itu mereka juga tidak lupa menasihatkan kepada diri mereka sendiri dan remaja lain tentang bagaimana melayari kehidupan remaja. Muhd Syafiq yang merupakan anak sulong daripada dua orang adik-beradik ini menasihatkan: “Nak enjoy boleh tapi jangan lebih-lebih. Setiap usia ada cabaran, maka kita sebagai remaja perlu pertingkatkan iman kita untuk hadapi cabaran”. Nasihat Muhd Zikry pula, “ Kita jangan lupa tanggungjawab kita sebagai hamba Allah s.w.t dan sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. Kita juga jangan lupa tanggungjawab kita sebagai seorang anak, rakyat dan khalifah di muka bumi ini dan sebagai remaja kita jangan menjauhkan diri daripada ajaran Islam dan perlu pandai mengatasi sifat marah”. Itulah dia kata-kata nasihat mereka kepada remaja sebagai mengakhiri perbualan kami. Sesungguhnya penulis berasa bangga dapat bertemu dengan remaja seperti mereka kerana dihati mereka telah menjadikan masjid sebagai rumah kedua mereka agar mereka dapat menyumbangkan khidmat kepada masyarakat Islam dan dalam masa yang sama dapat memperbaiki diri untuk menjadi remaja Islam yang benar-benar memberi manfaat kepada diri dan umat Islam yang lain. Harapan penulis, semoga mereka berdua dapat menjadi contoh kepada rakanrakan mereka dan remaja-remaja Islam di Singapura. Tahniah diucapkan kepada masjid Darul Ghufran diatas inisiatif mendidik para belianya untuk menjadi Muazzin dan Imam di usia remaja.