Kreatif

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Kreatif as PDF for free.

More details

  • Words: 1,810
  • Pages: 5
Kreatif: Hari ini sesudah kelmarin Oleh Sapiah Derahman

"MAHU dengar cerita?" Kau membuat tawaran yang cukup menarik. Aku panggung kepala, cuba mencari wajahmu. Bayu pagi mengelus lembut, sesekali menampar mesra ekor serban putihmu yang terjuntai. Kau baru sahaja kembali dari masjid, menyertai program qiamullail yang diadakan saban minggu. Ibumu, merangkap ibu saudaraku, sesekali riuh kedengaran memarahi adik kembarmu, Ziad dan Usamah.

“Tentang apa? Kalau dalam lima minit masih tidak memenuhi seleraku, akutekan signal merah.” Ujarku membutir gelak. Kausenyum cuma. Matamu yang redup, mengerdip tenang. “Pernah dengar tentang perang Arab-Israel?” Aku geleng. Sejarah merupakan subjek yang terakhir akucintai. SPM telah membuktikannya. 11 A dan 1 B. Sejarahlah yang ganjil itu. Lagipun sejarah umum semacam itu tak pernah aku cuba menelitinya. Masa senggangku lebih terisi dengan majalah ringan warna-warni yang membariskan lawak yang tidak mencabar akal. “Kau tahu kedudukan Masjid al-Aqsa di sisi umat Islam?” “Masjid ketiga suci selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.” Aku menjawab pantas, bimbang dituduh jahil. Kau sering bertanya seolah-olah ustaz yang menguji pengetahuan pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Sering kali hati kecilku bertanya mengapa kau tidak mengambil jurusan agama - kau memilih jurusan kejuruteraan - di universiti. “Aku tidak mahu memisahkan antara agama dan kehidupan. Aku mahu menjadi protaz professional yang juga seorang ahli agama).” Dan aku diam tak berkutik. Pastinya dengan ilmu yang dangkal, aku tidak mampu berbahas denganmu. “Kauambil tahu apa yang sedang berlaku di sekitar rumah Allah SWT itu sekarang?”

Aku terpaksa angkat bendera putih. Aku benar-benar ketinggalan dalam hal ini. “Biar aku ceritakan padamu. Pelampau Yahudi saat ini tanpa segan silu dan gentar menggali kawasan berdekatan masjid itu dengan alasan remeh, mencari tinggalan sejarah. Mereka juga menggali di perkarangan masjid itu untuk membina laluan pejalan kaki. Walhal, mereka berselindung di sebalik tujuan utama untuk merosakkan struktur masjid yang berusia hampir 1400 tahun untuk membina Kuil Suci - Haikal Solomon- dan apa tindakan penduduk dunia terutamanya umat Islam? Mereka diam membisu seolah mulut dizip, bimbangkan nyawa terancam oleh pendukung kuat Israel, Uncle Sam.” Sunyi setagal. Mukamu memerah. Aku dapat melihat rasa marah yang teramat di situ. Matamu tunak ke depan, tidak berkelip. “Aku masih ingat saat Amerika mencanangkan Islam sebagai agama yang kejam hanya kerana pemerintah Taliban memusnahkan patung Buddha Bamiyan di Afghanistan. Kejadian itu juga sebagai titik tolak untuk negara angkuh yang mendakwa dirinya polis dunia itu menubuhkan kerajaan boneka di negara itu dengan bantuan Pakatan Utara. Neraca Amerika tak pernah adil dalam menimbangkan? Unesco juga aktif menyelar tindakan itu. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga sepi tanpa suara, walaupun kewujudannya dulu pada September 1969 selepas insiden kebakaran masjid itu oleh Dennis Michael, penganut fahaman Zionis dari Switzerland.” Kaumemuntahkan segala fakta yang tersimpan dalam memorimu. Aku menelan dengan air liur yang terasa sedikit kesat, betapa jahilnya aku tentang keadaan saudara yang dizalimi. “Sebenarnya Israel sudah menguasai al-Quds. Hanya golongan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas yang dibenarkan memasuki masjid untuk menunaikan solat. Yahudi amat bimbang jika umat Islam solat berjemaah kerana ia melambangkan perpaduan ummah dan perpaduan ini akan mengancam kedudukan penjarah itu di tanah yang dirampas. Tapi, sekarang tempat ibadah Muslim di bawah cengkaman kafir!” Suaramu kasar, sedikit membentak lantas menyambung. “Pernah satu ketika ada gerakan Mujahidin dengan tekad yang kuat ingin membebaskan al-Quds dengan mempertaruhkan nyawa mereka. Keinginan ini tak mungkin terlaksana tanpa iman yang kuat dan yakin tentang janji Allah. Jerangkap samar beratur menanti nyawa, merentang jalan untuk membebaskan kiblat pertama umat Islam itu. Pengorbanan ini antara yang paling berani yang dirakamkan oleh sejarah, satu nyawa melayang untuk satu jerangkap samar sedangkan yang di belakang terus maju dan akhirnya berjaya menawan kembali masjid itu. Mahu tahu apa kata pasukan penjarah melihat keberanian itu?” Kaubertanya dan kau jua yang menjawab. “Kami berperang dengan orang gila yang mencari mati. Itu katanya saat melihat tentera Mujahidin berebut-rebut memburu syahid. Sedang tentera mereka sedaya-upaya mengelak daripada kematian.” Angin semilir berpusar, menebarkan debu yang sesekali memekapi wajahku. Kaumeraup papan wajahmu. Sesekali cuti, rumahmu jadi tempat bersantai yang paling ideal. Paling tidak, kekayaan ilmumu sudi singgah menyiram kemarau fikiranku “Adham, minum.” Suara Mak Ngah, ibumu memanggil. Kau dan aku seiring mengorak langkah dari beranda ke ruang tamu. “Ah!” Aku menepuk dahi sendiri.

Televisyen sedang menayangkan drama bersiri negara seberang. Drama yang pada firasatku mampu memberikan impak yang positif terhadap pembentukan jiwa remaja. Sejenak aku mencongak dan cuba membanding beza antara tema drama negara sendiri yang mendominasi siaran media elektronik akhir-akhir ini. Perkara yang paling jelas ialah kurangnya pergantungan kepada Tuhan atau penghayatan agama yang sekali gus menyalahi prinsip rukun negara yang teratas. Tatkala masalah menimpa, pelakon drama tempatan lebih mudah mengamuk semacam dirasuk syaitan berbanding menadah tangan memohon doa, dikuatkan hati menerima ujian seperti yang dititikberatkan dalam drama negara seberang. Juga mereka senang melontarkan sumpah seranah tanpa menghiraukan kempen budi bahasa budaya kita yang dilancarkan oleh kerajaan. Filem semacam ini, apa mampu digunakan untuk mempromosi negara, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia? “Hei!” Satu bantal singgah tepat ke mukaku. Kau semacam kerang busuk, sengih menayangkan gigi yang putih berbaris. “Kerut seribu di dahimu, masalah apa?” Kau melontar tanya. “Masalah negara agaknya.” Habib, adik bongsumu cepat saja menyampuk. “Aku tengah berfikir bagaimana filem yang membenarkan remaja lelaki dan perempuan tinggal serumah berminggu lamanya, tanpa ikatan perkahwinan mempengaruhi jiwa anak-anak (sedang filem itu diberi pengiktirafan oleh masyarakat)? “Kaubercakap tentang filem Melayu atau Hollywood?” “Aku tidak mahu berbicara tentang filem yang negaranya mengamalkan seks bebas secara terangterangan.” “Oh!” “Kanak-kanak senang meniru apa yang dilihat. Aku takut jika mereka menganggap hal itu suatu yang halal untuk dibuat dan cuba melakukannya, Nau’zubilllah!” Ya Allah, minta dijauhkan fitnah itu menyerang hamba-Mu yang lemah. Dalam diam aku memohon. Hari itu, sehingga bebola mentari tegak di kaki langit, kita larut dalam diskusi yang tidak pernah wujud noktahnya. Penamatnya hanya akan wujud pabila nyawa direnggut Izrail yang datang tanpa amaran. Mak Ngah hanya melihat atau sesekali menyampuk pabila debat kita semakin hangat. Sering kali kauberkata dalam nada mengejek pabila hujahku mudah kaupatahkan. “Lihatlah dengan mata hati, bukan mata nyatamu!” Kau sering saja memancing kemarahanku, mentang-mentanglah aku ini muda tiga tahun daripadamu dan senyumanmu melebar ke telinga, meraikan kekalahanku. Aku tewas kerana tidak bersedia dengan fakta yang secukupnya untuk mencantas hujahmu dan sering kali aku berazam membaca sebanyak mungkin untuk tujuan itu.

Kita tamatkan debat yang tak dirancang pabila sayup alunan Surah al-Rahman dialunkan oleh Syeikh Abdul Rahman Sudaisi dari masjid berdekatan, menandakan solat fardu Zuhur akan mengambil tempat dalam suku jam lagi. Petang itu, aku cuba-cuba membelek helaian akhbar, mencari fakta untuk dijadikan modal, andai tiba-tiba kau muncul memprovok dan mengganggu emosiku. Pandanganku tertarik kepada sejarah Masjid al-Aqsa, tempat suci tiga agama samawi: Islam, Yahudi dan Kristian. Masjid ini pernah dibebaskan oleh Umar al-Faruq daripada pendudukan Kristian dan ia bertahan di bawah pemerintahan Islam selama 400 tahun sebelum ditawan pasukan pimpinan Raymond Toulouse dari keluarga diraja Perancis. Mereka memasuki Palestin melalui Acre pada 1099 M dan terus menduduki bumi yang menjadi rebutan itu. Aku bagai terbayang-bayang bagaimana bumi al-Quds bermandi darah. Tentera salib melakukan pembunuhan beramai-ramai selama seminggu sehingga menimbunkan mayat tujuh puluh ribu Muslim termasuk cendikiawan, ahli ibadat dan pemimpin membukit memenuhi setiap jalan lorong. Kejadian ini telah menobatkan Godfry Gouillon dengan jolokan pembela al-Quds. Tambah malang lagi, Kerajaan Islam yang wujud saat itu, kerajaan Abbasiyah dan Fatimiyah sekadar membisu melihat saudara mereka yang dinafikan hak tanpa berbuat apa-apa. Umat Islam sejak dulu lagi bersikap seperti enau di dalam belukar, hanya mementingkan diri masing-masing. Takutnya mereka kepada musuh melebihi takut kepada Penguasa Alam. Aku susuri lagi galur sejarah. Al-Quds kembali ke tangan umat Islam pada 1187 di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Dan seluruh dunia menyaksikan bagaimana konsep perang di dalam Islam begitu berbeza dengan tentera salib ( Perang ini juga dikenali dengan Perang Salib ) saat mereka menawan al-Quds. Tiada nyawa orang awam yang hilang kerana perang hanya melibatkan tentera. Bahkan, tiada paksaan untuk penganut agama lain menukar agama kepada Islam kerana al-Quran telah menukilkan tiada paksaan dalam beragama. Juga tiada rumah ibadat yang diruntuhkan kerana Islam amat menghormati tempat pengabdian kepada Tuhan. Cuti yang masih berbaki lima hari, aku habiskan dengan menyelongkar buku-buku sejarah di perpustakaan mini di rumahku. Tak seperti selalunya, menghabiskan waktu pagi, atas ranjang melayani mimpi atau waktu sore di pondok di simpang jalan, cuti kali ini jadi berlainan. Kau hanya senyum saat aku memperihal tentang itu. Aku kini boleh berbangga kerana tidak lagi terlopong saat kaubercerita tentang Israel, Palestin atau penjajahan moden yang berlaku atas alasan menegakkan demokrasi. Aku juga tak lagi segan untuk duduk semeja dan bertukar-tukar pendapat denganmu. Kita tak lagi bagai anjing dan kucing seperti sebelum ini. Petang itu, kauberkunjung ke rumahku. Aku tidak tahu mengapa wajahmu lain daripada sebelum ini. Mendung bergayut di wajahmu bagai ada masalah besar yang bersarang dalam kotak fikir. Tingkahmu aneh sekali. Berkali-kali kaumeminta maaf kepadaku dan keluarga. Aku jadi tak berani mengajakmu membuat lelucon dan bercanda gurau. Dan pertemuan itu, jadi tambah aneh kerana kaukeluar tanpa menyapa dan berbual-bual seperti sebelum ini. Aku jadi kecil hati dengan sikapmu. Ini bukan sifat engkau sepanjang dua dekad aku mengenalimu. Aku tidak pasti jika kau juga menyedari kepelikan itu. Saat kau di pintu barulah aku teringat. “Aku balik ke kota berlumpur - gelaran kita untuk ibu kota esok.”

Kau hanya mengangguk tanpa suara, tiada lagi pesanan berjela seperti sebelum ini. Aku kira aku harus senyap untuk tidak membebankan lagi peti fikirmu. Aku menghantar kepulanganmu hanya dengan lirik mata. Detik menganyam masa. Masa menarah tebing hari. Aku membilang dengan jari jemari, hampir sebulan aku sepi tanpa khabarmu. Kau di mana? Hujung minggu seperti selalunya, akhbar menjadi santapan rohaniku. Ruang pertama yang kutatap ialah ruangan luar negara, menjejaki perkembangan saudara seagama yang tak pernah wujud amannya. Masakan boleh pemimpinnya berjabat tangan, sedang penduduknya masih dibasahi hanyir darah dan penderitaan tanpa henti? Lobi kolej dipenuhi oleh pelajar yang ingin keluar ke bandar, mencari keperluan atau sekadar mencuci mata. Aku tidak bercadang untuk keluar, memandangkan simpananku yang semakin menyusut. Mataku singgah kepada berita yang mengambil tempat di pojok kanan akhbar. Berita itu meletakkan Baitulmaqdis sebagai tempatnya. Ia memaparkan seorang pelajar universiti yang ditahan rejim Zionis kerana disyaki terlibat dalam merancang serangan berani mati (sering kali kita berkecindan, Israel hanya hebat jika membuat serangan takut mati). Secercah mata, gambar yang terpampang di situ menarik minatku untuk menatapnya buat kali kedua. Ada tampang yang kukenal. Bukankah hijau itu warna kegemaranmu? Ya Allah, aku menggenyeh-genyeh lagi mata. Benarkah itu dirimu? “Ibu, sudah lihat akhbar?” Aku menelefon serta-merta. “Ya.” Cukup dengan sepatah itu yang hampir membuatku pitam. Untung nasibmu tidak mampu aku ramalkan setelah rejim itu berhasil mengurungmu dalam sangkar besi. Ditahan tanpa perbicaraan atau diseksa sehingga menjadi gila? Dan hari ini, sesudah kelmarin kaupergi, izinkan aku terus membajai tarbiah yang kausemaikan dalam jiwa ini, walau pemergianmu ke bumi berdarah itu tiada dalam pengetahuanku. Biodata: SAPIAH Derahman, penuntut Tahu Dua Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan dan mantan peserta Minggu Penulis Remaja (PMR) 2006. Karyanya pernah mendapat tempat dalam Majalah Tunas Cipta, Berita Harian dan segmen Nukilan di Radio IKIM.

Related Documents

Kreatif
May 2020 27
Berpikir Kreatif
June 2020 35
Pergerakan Kreatif
April 2020 29
Pergerkan Kreatif
October 2019 39
Tim Kreatif
May 2020 16
Produk Kreatif Xi.docx
October 2019 10