Kesesakan lalu lintas merupakan satu masalah yang belum dapat diatasi di kota besar seperti Kuala Lumpur walaupun sistem pengangkutan awam di negara ini semakin hari semakin canggih. Huraikan sebab-sebab berlakunya kesesakan lalu lintas yang berkaitan dengan sistem pengangkutan awam. Dalam mengharungi arus globalisasi pada masa ini, sistem pengangkutan awam di nusa kita makin hari makin maju dan giat dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Sehubungan dengan itu, penubuhan syarikat pengangkutan awam di negara kita kian banyak, bak cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh itu, terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam disediakan oleh pihak kerajaan yang berjiwa rakyat untuk penduduk di Malaysia bagi mengelakkan berlakunya masalah kesesakan lalu lintas seperti teksi, bas, Monorel Kuala Lumpur, Sistem Aliran Ringan (LRT), Komuter dan sebagainya. Walaupun pelbagai jenis pengangkutan disediakan, malangnya, senario kesesakan lalu lintas di nusa kita masih tidak pernah mencapai titik noktah selama ini. Fenomena ini berubah menjadi lebih kronik dan membimbangkan semua pihak terutamanya pada waktu puncak. Masalah ini haruslah dititikberatkan oleh semua pihak dan bersama-samalah kita berganding bahu menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin. Hal yang tidak dapat dinafikan ialah kesesakan dan pengangkutan awam adalah simbiosis. Nescaya, beberapa punca yang menyebabkan kesesakan lalu lintas tetap berlaku saban waktu dalam perjalanan walakin pengangkutan awam disediakan. Jadual perjalanan yang tidak sistematik merupakan punca utama menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku. Haruslah kita menerima hakikat bahawa jadual perjalanan yang tidak sistematik disebabkan kelemahan pihak pengurusan jadual perjalanan. Hal ini demikian kerana pihak berkenaan tidak memahami keadaan sebenar secara mendalam, mereka menyediakan jadual berdasarkan waktu mereka. Sebagai contohnya, waktu pemandu akan berehat bermula pada pukul satu tengah hari hingga pada pukul dua petang. Waktu rehat mereka merupakan waktu rehat warga kantor dan waktu pelajar pulang dari sekolah. Natijahnya, pelajar yang menaiki bas untuk balik ke rumah atau yang ingin menghadiri kelas tambahan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bas. Secara ringkasnya, kesesakan lalu lintas berlaku kerana kesibukan ibu bapa membawa anak-anak mereka balik ke rumah atau menghadiri kelas tuisyen. Memang yang tidak dapat dinafikan, tambang yang mahal juga menjadi salah
satu faktor kesesakan lalu lintas berlaku. Hal ini demikian kerana kenaikan harga minyak yang disebabkan peningkatan permintaan dalam pasaran dunia dan kejatuhan nilai Dolar Amerika telah menjejaskan taraf hidup dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa minyak petrol akan dinaikkan lagi jika kerajaan tidak mampu menanggung subsidi harga petrol. Jumlah kenaikan harga minyak sebanyak beberapa kali ini telah meningkatkan beban hidup masyarakat. Penataran ini menyebabkan penumpang terpaksa menanggung lagi kos kehidupan yang lebih tinggi. Selain itu, beban ibu bapa juga akan dipertingkatkan kerana sesetengah pelajar menaiki bas ke sekolah atau menghadiri kelas tuisyen. Oleh sebab terpaksa menanggung kos tambang yang tinggi, masyarakat sanggup berkereta sendiri supaya dapat mengurangkan kos perbelanjaan bulanan. Natijahnya, kesesakan lalu lintas terus berlaku. Tambahan pula, bilangan bas dan teksi yang tidak cukup juga merupakan satu sebab yang sukar dinafikan. Tidaklah menghairankan jika peruntukan belanjawan kerajaan dikatakan kurang untuk kemudahan awam kerana kerajaan lebih mengutamakan pembangunan fizikal negara berbanding dengan meningkatkan kebajikan masyarakat. Hal ini juga disebabkan oleh hanya beberapa bas syarikat yang ditubuhkan seperti Transnasional, Metro, Intrakota dan sebagainya. Dengan itu, bas awam tidak menjadi pilihan utama penumpang dari suatu destinasi ke suatu destinasi yang berdekatan atau sebaliknya. Fenomena ini berlaku kerana golongan muda pada zaman ini tidak mahu membazir masa dengan setakat untuk menunggu ketibaan bas ke suatu tempat Mereka berpendapat bahawa “masa itu emas”. Oleh hal yang, mereka rela memandu sendiri. Impaknya, masalah kesesakan lalu lintas terus membengkak dalam arus pembangunan negara. Satu lagi punca berlakunya kesesakan lalu lintas ialah perkhidmatan yang kurang berkualiti dan kurang efisien. Pengangkutan awam tidak menjadi pilihan utama generasi kini merupakan perkara yang lumrah. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir pemandu teksi dan bas yang biadab terhadap penumpang. Di samping itu, kebanyakan bas berada dalam keadaan yang kotor, panas, busuk, dan kurang selesa. Misalnya, pemandu bas tidak menghormati penumpang dengan memarahi mereka mahupun warga tua hanya kerana mereka membawa makanan ke dalam bas, tertekan loceng di destinasi yang salah dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, pengguna berasa tidak puas hati terhadap pemandu bas. Hal ini juga menyebabkan pengguna tidak yakin akan perkhidmatan pengangkutan awam.
Justifikasinya, pengguna terpaksa memiliki kenderaan sendiri. Impak daripada hal ini menyebabkan kesesakan lalu lintas kian hari kian serius. Pembinaan stesen di lokasi yang tidak strategik juga satu punca yang sukar dinafikan. Hal ini disebabkan kawasan pembinaan stesen Komuter amat jauh dari pusat bandar utama seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Damansara, Ampang, Cheras dan sebagainya. Pembinaan stesen Komuter di kawasan yang jauh malam di dalam hutan menyebabkan pengguna berasa sukar untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan di stesen Komuter. Senario ini membuktikan bahawa pengangkutan awam yang disediakan tidak memberi kemudahan secara langsung kepada pengguna. Pengguna terpaksa menukar stesen dari satu stesen ke suatu stesen, Namun begitu, pengguna juga sukar mendapat pengangkutan perantara dari stesen Komuter ke destinasi yang hendak dituju. Untuk menjimatkan masa dan wang untuk bertukar stesen dari satu stesen, pengguna lebih rela menggunakan kenderaan sendiri. Habis, kesesakan lalu lintas di nusa kita terus berlaku dan tidak pernah diselesaikan. Secara tuntas, walaupun negara kita canggih dalam bidang sains dan teknologi, pelbagai jenis pengangkutan awam giat dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, senario kesesakan lalu lintas tidak dapat berjaya dibendung selama ini khasnya di bandar-bandar utama pada waktu bekerja. Hal ini telah membebankan rakyat dari pelbagai segi seperti masa dibazirkan pada waktu kesesakan, kelewatan menguruskan urusan yang penting. Daripada membiarkan masalah ini kronik, pelbagai langkah yang efisien dan praktikal harus diambil dengan serta merta. Oleh itu, kerajaan haruslah sensitif terhadap isu-isu kesesakan dan mengambil tindakan dengan bijak menggunakan peruntukan supaya lalu lintas dilancarkan semula.