Kepercayaan Warisan Melayu

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Kepercayaan Warisan Melayu as PDF for free.

More details

  • Words: 2,544
  • Pages: 8
Kepercayaan warisan Melayu : Dilema tradisi dan realiti1 Muhammad Jailani bin Abu Talib Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya Universiti Malaya Pengenalan “Struktur agama dan kepercayaan orang Melayu berbentuk satu continuum atau rangka persambungan antara dua kutub yang mewakili ciri agama rasmi yang ideal dan kepercayaan warisan” – (Mohd. Taib Osman, 1989:186) Sistem kepercayaan masyarakat Melayu merupakan sebuah perkara yang kompleks dan sukar dibincangkan tanpa pengetahuan asas tentang sejarah kepercayaan masyarakat Melayu. Secara umumnya, masyarakat Melayu telah melalui beberapa fasa perubahan dalam sistem kepercayaannya. Antaranya, masyarakat Melayu telah menganuti kepercayaan animisme, Buddha, Hindu dan Islam. Kendatipun begitu, antara keempat-empat kepercayaan yang telah disebutkan, Islam merupakan agama yang telah memberikan kesan dan impak yang mendalam dalam hidup masyarakat Melayu. Bahkan, Syed Naquib Al-Attas melontarkan pendapat bahawa Islam telah membimbing masyarakat Melayu ke arah zaman yang baharu. (1972:4). Walau bagaimanapun, biarpun Islam telah memainkan peranan yang besar dalam usaha memodenkan diri manusia Melayu, perkara tersebut tidak beerti bahawa segala amalan dan kepercayaan lama dilupakan sama sekali. Sebagai sebuah bangsa yang masih melalui proses pengislaman diri, masih banyak lagi perkara serta amalan yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam yang sebenar. Menurut Mohd. Taib Osman (1985), terdapat sekurang-kurangnya lima bentuk kepercayaan orang Melayu, iaitu : (i) (ii) (iii) (iv) (v)

Kepercayaan kepada Allah dan Rasulnya Kepercayaan kepada ayat-ayat Al-Quran Kepercayaan kepada sihir Kepercayaan kepada kuasa luar biasa, haiwan dan benda-benda yang dianggap keramat Kepercayaan kepada semangat, penunggu, dan kuasa-kuasa luar biasa seperti hantu, jembalang, polong dan sebagainya

Kelima-lima bentuk yang disebutkan di atas memainkan peranan yang signifikan dalam proses pengolahan budaya masyarakat Melayu. Dalam erti kata yang lain, kelima-lima bentuk di atas mempengaruhi weltanschauung ataupun kosmologi masyarakat Melayu. Weltanschauung mistik orang Melayu Dalam membincangkan tentang kepercayaan warisan Melayu, pengkaji berpendapat bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga perkara utama yang wajar dibincangkan. Ketiga-tiga perkara tersebut ialah amalan dan kepercayaan masyarakat Melayu, magis Melayu dan Islam sebagai agama anutan rasmi masyarakat tersebut. 1

Kertas kerja dibentangkan di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang pada 6 Mei 2009 dalam Sesi bicara “Kepercayaan Warisan Melayu” 1|Kepercayaan Warisan Melayu :Dilema Tradisi dan Realit

i

Bagi masyarakat Melayu lama, dunia ini berpusatkan sebuah lautan yang besar. Di tengah-tengah lautan itu, terdapat sebuah pohon yang besar yang digelarkan mereka sebagai Pauh Jangi. Di bahagian akar pohon itu, terdapat sebuah gua yang dinamakan Pusat Tasek. Masyarakat Melayu dahulu percaya bahawa seekor ketam raksaksa menghuni gua tersebut dan hanya akan keluar sekali dalam sehari. Segala pergerakan ketam tersebut mempengaruhi pasang surutnya lautan, arah tiupan angin serta segala fenomena alam yang lain. (Skeat, 1900) Masyarakat Melayu percaya bahawa alam merupakan sesuatu elemen yang harus dipelihara demi kebaikan semua. Atas dasar itu, masyarakat Melayu berusaha untuk ‘berbuat baik’ dengan kuasa-kuasa ghaib demi menjaga keseimbangan alam. Perihal tersebut sebenarnya dapat diperhatikan dalam amalan-amalan sesetengah masyarakat Melayu. Sebagai contoh, terdapat kecenderungan bagi segenap lapisan masyarakat tersebut untuk mengucapkan “Maafkan saya datuk nenek, anak cuci tumpang kencing” sebelum membuang air besar atau kecil di tempat-tempat yang dianggap tempat perteduhan jin. Amalan tersebut mempamerkan kecenderungan masyarakat Melayu, biarpun dalam konteks moden, untuk menjalinkan hubungan baik dengan kuasa-kuasa ghaib. Mereka percaya bahawa sekiranya mereka tidak melakukan perihal tersebut, ia dapat mencetuskan kemarahan kuasa yang tidak diterangkan. Kemarahan tersebut seterusnya akan berlarutan sehingga menyebabkan penyakit-penyakit tertentu seperti kaki berbisa dan sebagainya. Kepercayaan tersebut seolah-olah diperkukuhkan lagi dengan kemasukan Islam yang mewajibkan umatnya untuk mempercayai kehadiran jin dan sebagainya. Bagi masyarakat Melayu, setiap perkara seharusnya dapat dihuraikan dengan menggunakan ilmu logika. Walau bagaimanapun, sekiranya masih terdapat perkara-perkara yang belum bisa dihuraikan dengan sempurna, masyarakat Melayu akan merujuk kepada kuasa-kuasa ghaib. Bagi masyarakat Melayu : “Penyakit harus diubati, keselamatan di laut sewaktu menangkap ikan harus dijamin, sawah dan ladang perlu dijaga supaya tanaman tidak ditimpa kemudaratan daripada kemarau, penyakit dan serangga, atau wabak harus dihindar dan berbagai-bagai lagi.” (Mohd Taib Osman, 1989:178) Keperluan orang Melayu untuk memahami kehidupan mereka sendiri diterangkan dari sudut kepercayaan mereka terhadap kuasa-kuasa ghaib dan seumpamanya. Kepercayaan tersebut sekali gus membentuk konsep kepercayaan warisan Melayu. Amalan dan kepercayaan masyarakat Melayu Kepercayaan masyarakat Melayu terhadap kuasa-kuasa ghaib memaksa anggotanya untuk mempunyai amalan-amalan ataupun upacara-upacara yang tertentu bagi menangani kuasa ghaib tersebut. Dalam hal ini, amalan meminta restu daripada ‘datuk nenek’ sebelum membuang air besar ataupun kecil merupakan salah satu daripada amalan yang dipraktikkan orang Melayu.

2|Kepercayaan Warisan Melayu :Dilema Tradisi dan Realit

i

Selain daripada itu walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa upacara lain yang secara khususnya dilakukan bagi tujuan-tujuan tertentu. Misalnya, dalam upacara mandi Safar, masyarakat Melayu akan melalui upacara permandian yang dilakukan pada hari rabu yang terakhir dalam bulan Safar. Upacara tersebut dianggap sebagai upacara menolak bala. Amalan tersebut berlandaskan kepercayaan Melayu bahawa pada bulan tersebut, tuhan telah menjatuhkan banyak bala. Pandangan tersebut diperkukuhkan lagi dengan kenyataan bahawa kononnya, “Nabi Muhammad s.a.w. telah jatuh gering sebelum wafat pada hari rabu terakhir dalam bulan Safar itu” (Muhammad Ariff Ahmad : 1993:147). Antara amalan lain yang dilakukan ialah dalam kepercayaan Melayu dengan bendabenda yang dianggap keramat, iaitu objek-objek yang mempunyai kuasa-kuasa sakti yang tertentu seperti senjata-senjata pusaka, mestika dan sebagainya, serta pusara individu-individu yang tertentu seperti wali-wali, pahlawan-pahlawan dan sebagainya. Dalam hal ini, orang Melayu lazimnya akan menyedekahkan surah Al-Fatihah kepada si mati dan mendapatkan restu Allayarham/Allahyarhamha bagi tujuan-tujuan tertentu. Kadangkala, individu yang meminta restu si mati itu akan menjanjikan habuan kepada si mati sekiranya doa dan harapan beliau dimakbulkan Allah s.w.t. Kepercayaan tersebut turut telah mengakibatkan beberapa individu Melayu untuk mendapatkan ‘khidmat’ nombor ekor daripada pusara tersebut bagi tujuan perjudian. Anggota-anggota masyarakat yang disegani dan dihormati semasa hidupnya dikeramatkan dalam bentuk amalan kepadanya. Kepercayaan masyarakat Melayu ialah individu-individu yang telah mati itu mempunyai kuasa kesaktian dan keistimewaannya yang tersendiri. Kepercayaan pada kuasa-kuasa ghaib walau bagaimanapun tidak terhad pada kuasa-kuasa istimewa yang dipunyai keramat. Orang Melayu turut percaya akan konsep orang bunian. Kononnya, orang bunian merupakan masyarakat yang sama seperti manusia tetapi hidup dalam dimensi yang lain. Orang bunian dikatakan turut mempunyai kuasa-kuasa yang tertentu dan hanya orang-orang tertentu sahaja yang dapat berhubungan dengan masyarakat orang bunian. Kadangkala, orang bunian turut dirujuk seseparuh anggota masyarakat sebagai orang kayangan. Orang bunian menjalani hidup mereka sama seperti manusia. Selain daripada alam dimensi yang berbeza, gaya pemakaian orang bunian turut menampakkan ciri-ciri perbezaan. Orang bunian lazimnya akan memakai warna baju yang sama. Atas dasar itu, nama-nama orang bunian kadangkala turut bersangkutan dengan warna pakaian mereka. Antaranya, Puteri Jingga, Puteri Hijau dan sebagainya. Sekiranya terdapat sebarang fenomena yang tidak dapat diterangkan secara rasional oleh akal manusia, maka penerangan yang dapat dianggap sebagai logikal ialah peranan yang dimainkan oleh orang bunian. Sebagai contoh, sekiranya terdapat anggota masyarakat yang menghilang secara tiba-tiba tanpa sebarang kesan, dalih yang dapat diterima ialah anggota tersebut telah diculik oleh masyarakat bunian.

Magis Melayu

3|Kepercayaan Warisan Melayu :Dilema Tradisi dan Realit

i

Dalam mengenali rangka minda dan kepercayaan orang Melayu, terdapat satu unsur yang penting untuk difahami, iaitu magis Melayu. Amalan magis sebenarnya merupakan sebuah amalan yang biasa dan sering ditemui dalam pelbagai budaya. Dalam rangka kepercayaan dan magis masyarakat Melayu, perkara yang sentral dalam mendekati konsep tersebut adalah konsep semangat. Semangat merujuk kepada kuasa pemberian tenaga spiritual kepada individu mahupun objek. Dalam rangka kepercayaan Melayu, semangat seseorang itu dapat digugurkan dengan kaedah-kaedah tertentu. Menurut Hashim Awang (2006) : “orang Melayu percaya bahawa seseorang itu boleh mengalami hilang semangat atau semangatnya boleh dicuri atau meninggalkan badannya..semangat itu boleh dimanipulasi mengikut keperluan keinginan individu berkenaan.” Sebagai contoh, orang Melayu percaya bahawa semangat seseorang itu dapat diseru untuk tujuan-tujuan tertentu. Misalnya, semangat individu dapat diseru untuk membuatnya badi ataupun lemah semangat. Selain daripada itu, semangat seseorang individu itu turut dapat diseru dalam usaha mencari cinta. Dalam hal ini, terdapat pelbagai kaedah yang dapat dilakukan oleh penghajat tersebut. Bagi tujuan membuat seseorang individu jatuh cinta kepadanya misalnya, individu tersebut boleh membaca mantera ataupun jampi seperti contoh di bawah : “Hei Semar Semar Nabi Yusuf Semar Nabi naik ke mukaku Seri cahaya bulan dan bintang Dengan berkat La ilaha’illallah Muhammadur Rasulullah” - Muhammad Jailani Selain daripada itu, terdapat juga beberapa kaedah lain yang turut dapat digunakan bagi tujuan membuat seseorang jatuh cinta ataupun sayang akan pengamal ilmu pengasih tersebut. Antara kaedah lain yang diamalkan ialah dalam amalan menyapu minyak atar kepada keduadua bulu kening dan hidung sambil membaca shalawat ke atas nabi Muhammad s.a.w tiga kali dalam satu nafas. Ilmu pengasih walau bagaimanapun turut dapat diamalkan dengan pendekatan yang agak berbeza sebagaimana yang dapat dilihat dalam kefahaman konsep nasi tangas. Nasi tangas lazimnya dihidangkan kepada suami untuk menundukkannya dan membuatnya lebih menyayangi sang isteri. Dalam hal ini, ayat tertentu akan dibacakan sewaktu melalui proses membuat nasi tangas itu. Bagi menyediakannya, wanita berkenaan perlu berada pada keadaan haid. Sang isteri dikatakan perlu berada dalam keadaan duduk mencangkung di atas nasi yang masih panas untuk selama lebih kurang 10 hingga 15 minit sehingga mengalir air yang berwap daripada tubuhnya ke dalam nasi berkenaan. Lazimnya, ilmu-ilmu tersebut hanya akan diajarkan kepada individu-individu yang dianggap sesuai untuk mempelajarinya. Selain daripada mempelajari ilmu pengasih bagi tujuantujuan tertentu seperti mendapatkan pekerjaan dan sebagainya, ilmu tersebut bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan rumahtangga, meyakinkan sang suami atau isteri untuk terus setia 4|Kepercayaan Warisan Melayu :Dilema Tradisi dan Realiti

kepadanya atau membuat seseorang individu jatuh cinta kepadanya. Seringnya, ilmu pengasih itu hanya akan diajarkan kepada individu selepas sang guru tahu akan tujuan individu tersebut hendak mempelajarinya Islam Dalam konteks semasa walau bagaimanapun, masyarakat Melayu secara umumnya turut bererti bahawa beliau menganuti agama Islam. Bagi orang Melayu, Islam merupakan agama yang paling suci dan benar. Atas dasar itu, kesuciannya haruslah dipelihara. Bagi tujuan tersebut, ibu bapa Melayu memberikan penekanan yang lebih terhadap kefahaman konsep halal dan haram. Bahkan, ibu dan bapa akan menghantarkan anak-anak mereka ke kelas-kelas agama agar anak mereka dapat mempelajari konsep tersebut dari institusi-institusi agama yang tertentu. Konsep halal dan haram ditekankan agar anggota masyarakat Melayu akan menjauhi segala perkara yang haram. Kefahaman konsep halal dan haram sebenarnya bersesuaian dengan ajaran Islam. Perkara tersebut dapat difahamkan daripada firmanNya : "Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidahlidah kamu dengan dusta; bahwa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia." (an-Nahl: 116) "Sungguh Allah telah menerangkan kepada kamu apa yang Ia haramkan atas kamu." (al-An'am: 119) Konsep halal dan haram mencakupi pelbagai aspek kehidupan kaum Muslimin. Selain daripada penggunaannya dalam konteks pemakanan, konsep halal dan haram turut mencakupi budaya, adat dan gaya hidup manusia. Sebagai contoh, berzina merupakan sesuatu perkara yang diharamkan di sisi agama Islam. Islam memberikan pedoman kehidupan bagi masyarakat Melayu. Kepercayaan kepada Allah s.w.t turut bererti bahawa orang Melayu percaya akan rasul-rasul Allah serta ayat-ayat yang terkandung di dalam Al-Quran. Kepentingan agama Islam dalam konsep kepercayaan dan kehidupan masyarakat Melayu malah turut dapat diperhatikan dalam takrif orang Melayu sebagaimana yang terkandung dalam artikel 160 di dalam sistem perlembagaan Malaysia. Menurutnya, seorang Melayu itu merupakan seseorang yang berbahasa Melayu, berbudaya Melayu dan beragama Islam. Islam dan Melayu kian sinonim antara satu sama lain. Bahkan sekiranya seseorang itu diperkenalkan kepada seseorang yang berbangsa Melayu, maka dapatlah ditafsirkan bahawa beliau turut beragama Islam. Berbanding dengan masyarakat Arab misalnya, tidak semua anggota masyarakat Arab beragama Islam.

Kepercayaan warisan Melayu : Dilema tradisi dan realiti

5|Kepercayaan Warisan Melayu :Dilema Tradisi dan Realit

i

Biarpun kepercayaan warisan Melayu seharusnya berteraskan Islam, hakikatnya,, tidak semua daripada amalan yang diamalkan itu berteraskan agama. Bahkan, masih banyak lagi amalan yang langsung bercanggah dengan agama Islam. Menurut Mohd. Taib Osman : “Pengetahuan agama Islam di kalangan orang Melayu, selain daripada ibadat yang asas seperti solat, puasa di bulan Ramadhan atau fardhu-fardhu lain, mungkin tidak mendalam. Keratan antara yang betul dengan yang tidak bagi mereka adalah tipis, mungkin tidak mendalam.” Biarpun Islam kini menjadi agama anutan rasmi masyarakat Melayu, anggota masyarakat tersebut jelas masih terpengaruh dengan amalan serta tradisi pra-Islamnya. Perihal tersebut akhirnya telah memecahbelahkan masyarakat Melayu sehinggakan terdapat perbezaan konsep antara “Melayu Islam-Islam” dan “Melayu Melayu-Islam”. Dalam sebuah perbincangan antara Muhammad Ariff Ahmad dan pengkaji misalnya, Muhammad Ariff Ahmad berpendapat bahawa adat serta kepercayaan Melayu lama seolah-olah disingkirkan sama sekali oleh ahli agamawan. Adat Melayu walau bagaimanapun jelas meletakkan garis pandu yang dapat dijadikan pedoman oleh anggota masyarakat Melayu secara umumnya. Menurut adat, “Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah, syarak mengata, adat memakai”. Sedangkan di suatu sudut, adat dan kepercayaan tradisi Melayu itu penting dalam pembentukan jati diri dan jiwa orang Melayu, agama Islam turut harus diberikan penekanan yang lebih. Seperti yang terungkap dalam perbilangan adat : “Penakek pisau seraut Ambil galah batang lintubong Seludang ambil ke nyiru Setitis jadikan laut Sekepal jadikan gunung Alam terkembang jadikan guru” Dalam konteks semasa, alam bagi masyarakat Melayu bukan lagi merujuk kepada pohon Pauh Jangi. Alam orang Melayu kini merujuk kepada alam yang terbentuk dalam konteks agama Islam. Walau bagaimanapun, pengkaji akur bahawa proses pengislaman orang Melayu memakan masa yang lama sebelum ia benar-benar sebati dalam kehidupan masyarakat orang Melayu. Proses pengislaman sebenarnya telah mengambil tempat dalam sistem kepercayaan orang Melayu sebagaimana yang jelas tampak dalam mantera-mantera Melayu. Dalam mantera Melayu misalnya, menurut pengamatan pengkaji, mantera lazimnya dimulakan dengan ucapan bismillahirahmannirahim dan diakhiri dengan ucapan La ilaha’illallah Muhammadur Rasulullah. Ucapan tersebut walau bagaimanapun barangkali bersifat sebagai penegas semata untuk memberikan keyakinan yang lebih terhadap mantera yang diamalkannya.

Penutup

6|Kepercayaan Warisan Melayu :Dilema Tradisi dan Realit

i

Sistem kepercayaan masyarakat Melayu mencakupi tiga komponen yang penting, iaitu kepercayaan tradisi masyarakat Melayu, Magis Melayu serta Islam. Antara tiga komponen tersebut walau bagaimanapun, Islam menjadi teras kepada konsep sistem kepercayaan masyarakat Melayu. Setiap satu daripada komponen tersebut memainkan peranan yang tersendiri dalam proses kehidupan masyarakat Melayu. Ia mengolah segala adat dan adab masyarakat Melayu. Kefahaman konsep kepercayaan masyarakat Melayu akan membolehkan seseorang individu Melayu untuk menyesuaikan dirinya dengan keadaan semasa dan membuat penilaian sendiri akan amalannya.

Daftar Pustaka

7|Kepercayaan Warisan Melayu :Dilema Tradisi dan Realit

i

Ariff Ahmad. 2001. Adat Melayu Singapura. dlm A. L. Bakar, Adat Melayu Serumpun (pp. 173184). Melaka: Perbadanan Muzium Melaka. Dharsono Sony Kartika. 2007. Budaya Nusantara. Bandung: Rekayasa Sains. Farish A. Noor dan Eddin Khoo. 2003. Spirit of Wood : The Art of Malay Woodcarving. Singapore: Periplus Editions (HK) Ltd. Hashim Awang. 2006. Kepercayaan Masyarakat Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Ismail Noor & Muhammad Azham. 2000. Takkan Melayu Hilang Di Dunia. Selangor: Pelanduk Publications. Mohd. Taib Osman. 1989. Agama dan kepercayaan orang Melayu. In Masyarakat Melayu : Struktur, Organisasi dan Manifestasi (pp. 146-203). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. ________________. 1985. Islamization of the Malays : a transformation of culture. Singapore: Institute of South-east Asian Studies. Muhammad Ariff Ahmad. 1993. Bicara Tentang Adat dan Tradisi. Singapura: Pustaka Nasional. Muhammad Jailani Bin Abu Talib. 2009. Budaya Melayu dalam Era Sarwajagat. In A. G. Abdullah, Dewan Budaya, Februari. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Norazit Selat. 2000. Adat Melayu : Kesinambungan dan Perubahan. In A. L. Bakar, Adat Melayu Serumpun (ms. 87-98). Melaka: Perbadanan Muzium Melaka. Skeat, W. W. 1900. Malay Magic : Being an Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsula. London: Macmillain. Sweetenham, F. 1895. The Real Malay. London: The Ballantyne Press. Syed Alwi bin Sheikh Al-Hadi. 1960. Adat Resam Melayu dan Adat Istiadat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Syed Muhammad Naguib Al-Attas. 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Worawit Baru@Haji Ahmad Idris. 2005. Pemikiran Melayu : Tradisi dan Kesinambungan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

8|Kepercayaan Warisan Melayu :Dilema Tradisi dan Realit

i

Related Documents