Kemboja - Merentas Masa, Mensyukuri Rahmat

  • Uploaded by: Muhammad Firdaus Ariff
  • 0
  • 0
  • December 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Kemboja - Merentas Masa, Mensyukuri Rahmat as PDF for free.

More details

  • Words: 1,326
  • Pages: 4
Kemboja: Merentas Masa, Mensyukuri Rahmat Ayah selalu menceritakan jerih-perih kehidupan di kampung beberapa dekad yang lampau. Seperti sukarnya hendak berjumpa dengan doktor, apatah lagi doktor yang beragama Islam. Jika tiada duit, tidak akan ke sekolah. Hendak ke sekolah pula payah, perlu merentas sungai dengan sampan kemudian naik pula bas yang sempit dan uzur. Jalan pula tidak licin bertar, sebaliknya sekadar dilitupi tanah merah. Bagi generasi yang hidup dalam aspirasi mencapai negara maju, itu semua bagai satu dongengan. Lebih-lebih lagi ‘keyboard monkey’ seperti saya, hampir sepanjang masa di alam siber. Urusan belajar, bersosial, kerja dan transaksi semuanya berlaku pantas sekelip mata. Cerita-cerita kesusahan itu tersemat dalam minda saya hanyalah sebagai maklumat sejarah, tidak lebih daripada itu. Sehinggalah saya mendapati diri saya berada di bumi Kemboja selama seminggu bersama pasukan CENSERVE UIAM dalam sebuah misi amal. Disapa Debu Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap boleh dianggap setanding dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Agak kecil dari segi saiz, tetapi mewah tentang hiasan. Namun itu hanyalah topeng yang menutup realiti bumi Kemboja. Destinasi misi kami adalah di wilayah Battambang, empat jam perjalanan dari Siem Reap. Sebelum bertolak ke sana, kami mengalas perut di restoran D’Wau milik rakyat Malaysia di Siem Reap. Turun dari bas, debu dari jalan sudah menyapa muka. Usai makan tengah hari, bas mula menerjah jalan raya yang secara drastik berubah wajah. Daripada lebuhraya bertar kepada jalan tanah merah dua lorong. Sawah padi yang kering kontang pula terhampar di kiri kanan jalan, sesekali dihiasi oleh rumah tradisional Kemboja. Sungguhpun dalam bas yang berhawa dingin, debu-debu tetap terbang masuk. Debu-debu itu seakan begitu bersungguh mahu mengakrabi kami yang bertandang ke bumi ini. Saya dan rakan-rakan mula terbatuk-batuk. Tetapi apabila kami melihat di sisi, trak-trak yang membawa penumpang menginsafkan kami. Sekitar sepuluh orang dewas berhimpit di belakang setiap trak pikap tersebut. Antara mereka pula terselit anak-anak kecil mereka, kadang-kadang anjing peliharaan. Wajah mereka tetap tenang menempuh awan debu dan terik mentari tanpa sebarang perlindungan. Ya, kini aku percaya aku sudah kembali ke zaman ayahku membesar. Mungkin lebih ke belakang daripada itu.

Air Itu Rahmat Kami berkampung di desa Dam Sbai, sekitar sepuluh minit dari bandar Battambang. Para peserta wanita menginap di rumah hos kami Hj. Musa sedang kami menginap di Masjid Dhiauddin yang terletak di sebelah. Hj. Musa juga merupakan imam di masjid tersebut. Sebatang sungai yang mengalir lesu terletak di belakang masjid. Dengan sekali imbas, kepentingan sungai itu sudah mula terserlah. Sebuah pam kelihatan tidak berhenti menyedut air. Mata saya menuruti paip tersebut hingga ke tandas dan tempat wuduk yang kami gunakan. Kanak-kanak kelihatan sedang bermandi-manda di dalam sungai sedang seorang ibu sedang membasuh kain di tebingnya. Sampan pula membawa penumpang ke kampung seberang. Saya dan rakan-rakan ke gigi air, mahu melihat sungai dengan lebih dekat. Warna keruhnya mula menggugat rencana kami untuk mandi di sungai. Apabila melihat sampah berserakan di sepanjang tebing sungai, kami tambah ragu. Sudahnya, bau yang kurang enak dari sungai itu memadamkan terus niat kami. Apabila membuka paip untuk mengambil wuduk, ternyata airnya keruh. Bau yang mengganggu turut mengganggu tetapi sudah sedikit kurang. Kami tawakkal sahaja menggunakan air tersebut, itulah air terbaik yang dapat kami gunakan di sini. Pada masa ini baru terasa betapa nikmatnya air paip jernih dan bersih yang sentiasa mengalir di Malaysia. Apabila sudah berkeringat dek bekerja di bawah mentari, baru terasa betapa mewahnya dapat minum terus daripada water cooler di universti. Di Kemboja ini, kami terpaksa bergantung kepada bekalan air reverse-osmosis yang dibotolkan. Ya, ‘air mineral’ yang dianggap murahan di Malaysia itu menjadi pergantungan kami. Pesta Khatan Misi pertama kami adalah ke Masjid Muhammadi yang terletak di seberang Masjid Dhiauddin. Kerana mahu membawa barang yang banyak, kami tidak menaiki sampan tetapi menaiki trak pikap untuk ke sana. Merasalah kami menaiki kenderaan seperti penduduk tempatan. Tetapi itupun masih dikira mewah kerana kami tidak menyumbat diri kami sebegitu ramai dan kenderaan kami itu masih baru. Anehnya, Toyota Hilux yang kami naiki itu tiada nombor pendaftaran. Pasukan perubatan telah tiba lebih awal untuk menyiapkan tempat untuk mengkhatankan kanak-kanak. Tugasku pula adalah untuk memasang tayangan video menggunakan komputer riba dan projektor. Sambil melakukan tugas itu aku teringat karikatur Dato’ Lat tentang Jabatan Penerangan datang ke kampung-kampung menayangkan wayang gambar pada satu masa dahulu. Apa tujuannya? Tayangan video itu adalah untuk menarik perhatian kanak-kanak yang mengerumuni segenap Masjid Muhammadi. Itu adalah perlu bagi mengurangkan

gangguan kepada para doktor yang mengkhatankan kanak-kanak. Tempat pembedahan adalah terbuka maka sesiapa sahaja boleh berada di sisi meja bedah. Kecil ataupun besar, tua ataupun muda, lelaki ataupun perempuan semuanya sibuk untuk melihat proses khatan dilakukan. Tirai kain yang diletakkan sudah tersingkap semuanya. Tiada Gentar Hendak Berkhatan Peluang untuk berkhatan secara percuma memang menjadi rebutan komuniti Muslim di sana. Siap sahaja seorang kanak-kanak dikhatankan, tiga lagi sudah melompat naik ke atas meja bedah. Itu satu fenomena yang mengejutkan tetapi kata Dr. Dinon, “Aku tak peduli, siapa naik aku potong. Pandai-pandai kamu semualah hendak bagi siapa dulu berkhatan.” Syukur tidak timbul sebarang kekecohan atau pergaduhan. Anak-anak Kemboja memang cekal hatinya, amat sukar sekali untuk mendengar tangisan semasa berkhatan. Siap berkhatan, mereka sudah kembali bermain bersama rakan-rakan dan menaiki sampan. Galau juga rasanya apabila terpaksa menolak permintaan mereka yang lebih dewasa untuk berkhatan. Secara amnya, peralatan yang dibawa hanya sesuai untuk mengkhatankan mereka yang berumur 12 tahun ke bawah sahaja. Operasi pula akan memakan banyak masa dan berisiko tinggi kalau jika hendak diteruskan juga “Minta maaf banyak-banyak,” hanya ucapan itu yang mampu kami ucapkan. Kami hanya dapat memerhatikan wajah-wajah kecewa itu berlalu pergi. Ada yang 14 tahun, 17 tahun, malah ada yang menginjak 32 tahun! Kami termenung seketika memikirkan perkara ini lantas bertanya kepada Hj. Musa yang singgah di tempat berkhatan. “Hj. Musa, tidak adakah doktor atau tok mudim yang sanggup datang mengkhatankan anak-anak di kampung ini?” “Memanglah ada tetapi perlu bayaran. Paling murah RM30. Sampai RM100 pun ada juga. Tetapi orang kampung ini miskin, anak-anak. RM30 itu sudah boleh buat belanja makan sekeluarga selama seminggu. Mana mampu untuk digunakan ke arah lain. Jadi, peluang seperti hari ni sangat berharga buat mereka.” Mendengar jawapan itu kami terus terdiam, bagaimana dengan mereka yang kami terpaksa tolak permintaanya? Usia bukan semakin berkurang dan entah bila misi sebegini akan tiba lagi di kampung ini. Nilai Sepasang Telekung dan Kain Pelekat

Melihat deretan kedai-kedai menjual tudung di ibu kota aku merasa tidak percaya apabila ibu menceritakan bahawa beberapa tahun sebelum aku lahir, ibu terpaksa menjahit tudung sendiri. Bukan kerana tidak mampu, tetapi tidak ada dijual. Nah, di Kemboja ini aku dapat merasakan keadaan tersebut. Jangan kata hendak membeli tudung, hendak membeli telekung pun payah! Seorang rakan saya menukilkan bagaimana seorang wanita tua bernama Zainab mengucup sepasang telekung dan sehelai pelekat itu. Syukurnya umpama kami memberikan sumbangan yang tidak ternilai. Tidak henti kalimah alhamdulillah keluar dari bibirnya. Makcik Zainab adalah potret nasib umat Islam di Kemboja. Berusia 75 tahun, dia tinggal bersama tujuh orang cucunya setelah anaknya meninggal dunia. Makcik Zainab mendapat wang hasil jualan ikan di pasar yang untungnya tidak seberapa. Usah Ambil Mudah Seperti kebiasaanya prosedur berkhatan, ubat penahan sakit akan diberikan kepada pesakit. Untuk menerangkan dos ubat tersebut, kami bergantung kepada nota yang ditulis oleh perantara. Kami unjukkan sahaja catatan tersebut kepada mereka. Kebanyakannya angguk sahaja apabil ditunjukkan arahan tersebut tetapi tidak kurang juga yang mengaku tidak tahu membaca. Jika berlaku demikian terpaksalah kami melaung sahaja bertanya siapa yang tahu berbahasa Melayu. Perantara tangkap muat ini biasanya pernah bekerja di Malaysia. Keadaan ini jelas bahawa kami masih tidak sepenuhnya menyelami realiti masyarakat di Kemboja. Maklumat asas bahawa masih ramai yang tidak tahu membaca tidak awas dalam minda kami. Semoga yang angguk kononnya faham itu bertanya kepada yang tahu, jika tidak khuatir mereka terlebih dos. Jurang Yang Membesar Sekali-sekala, bunyi telefon bimbit semasa SMS masuk menyentak diri memikirkan masa hadapan masyarakat Islam Kemboja. Bagi kita, teknologi komunikasi sudah menjadi sebahagian daripada rentak hidup tanpa sempadan sedang di sini masih ramai yang buta huruf. Minda ini tertanya-tanya, apakah persiapan mereka menghadapi dunia yang pantas berubah ini? Oleh: Muhammad Firdaus Ariff, Kulliyyah of Information and Communications Technology (KICT), IIUM http://studio.ibnuariff.com

Related Documents

Merentas Desa.pptx
December 2019 9
Office Rahmat
October 2019 31
Mensyukuri Kebaikan Tuhan
November 2019 8
Rahmat Allah
June 2020 34

More Documents from "Azzaro Delpiero"