Dua nikmat yang manusia sering lupai ada dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. seperti hadith di bawah. Dari Ibnu Abbas r.a. dari Rasulullah s.a.w. bersabda: Dua nikmat yang kebanyakan manusia terpedaya dengannya ialah waktu sihat dan masa lapang. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari). Marilah kita bersyukur dengan pelbagai nikmat yang Allah kurniakan ini, agar kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi dan mendapat azab Allah s.w.t. "Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu : “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amat pedih”. (Quran Surah Ibrahim, 14: 7) Sementara kita masih hidup, rebutlah kesempatan dalam memperbaiki diri ke arah kebaikan. Daripada Ibnu Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara, masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati. (Riwayat Al-Imam Al-Hakim). "Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang ibu-bapakku, dan untuk mengerjakan amal shalih yang Engkau ridhai, serta berilah kebaikan kepadaku dengan memberi kebaikan kepada anak cucuku. Sungguh aku bertaubat kepadaMu, dan sungguh aku adalah termasuk golongan orang-orang yang berserah diri." (QS. Al-Ahqâf. 15).