Isu Dan Etika Guru

  • Uploaded by: Atiqah Sukor
  • 0
  • 0
  • August 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Isu Dan Etika Guru as PDF for free.

More details

  • Words: 1,489
  • Pages: 6
1.0 PENGENALAN

Isu merupakan satu persoalan mengenai perkara pokok atau sesuatu perkara berbangkit (Kamus Dewan Pelajar, 2005). Menurut Kamus Dewan Pelajar Edisi Kedua, etika diertikan sebagai prinsip moral atau nilai-nilai akhlak, adat sopan santun dan sebagainya yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan manusia.

2.0 HAK ASASI KANAK-KANAK

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, hak bermaksud milik atau kepunyaan manakala asasi pula ialah perkara yang menjadi dasar atau pokok. Maka, hak asasi dapat diertikan sebagai perkara asas yang utama yang mesti dimiliki oleh seseorang untuk hidup dengan harmoni dan aman. Menurut The United Nations Children's Fund (UNICEF) (2009), hak asasi kanak-kanak-kanak adalah hak asasi manusia untuk setiap individu yang bergelar kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun, tanpa mengira tempat kelahiran, bangsa atau etnik mereka, lelaki atau perempuan, miskin atau kaya, berupaya atau kurang berupaya, HIV-negatif atau HIV positif. Allen (1969) dalam Walker & Shea (1995) telah menggariskan tiga prinsip sebagai panduan hak asasi kanak-kanak iaitu normalisasi, keadilan dan penghormatan. Namun begitu, pada masa kini banyak hak asasi kanakkanak ini sering diabaikan dan dilanggar terutamanya dalam bidang pendidikan yang berpunca daripada guru dan mengakibatkan berlakunya masalah tingkah laku termasuk murid berkeperluan khas (MBK).

3.0 ISU GURU KURANG PENGETAHUAN DALAM MEMODIFIKASIKAN TINGKAH LAKU MURID

Salah satu daripada isu yang sering berlaku dalam kalangan guru ialah guru kurang pengetahuan dalam memodifikasikan tingkah laku murid. Guru dilihat banyak menggunakan kekerasan untuk mengubah tingkah laku murid-murid. Hal ini dapat disokong melalui satu artikel dalam laman sesawang Astro Awani yang berjudul “Guru didakwa tumbuk, tendang murid gara-gara tidak bawa buku sekolah” pada 14 Februari 2014. Artikel tersebut menyatakan bahawa guru menendang dan memukul empat orang murid sehingga cedera di bahagian pinggang, badan, perut dan dagu hanya kerana murid tidak membawa buku ke sekolah. Perbuatan guru ini telah melanggar hak asasi kanak-kanak dari aspek penghormatan. Murid-murid yang merupakan kanak-kanak berhak untuk mendapatkan penghormatan dan dilayan seperti manusia biasa dan bukannya diperlakukan seperti haiwan. Hukuman yang diberikan oleh guru tersebut telah mengaibkan murid tersebut dihadapan rakan-rakan yang lain.

Perbuatan guru ini bertentangan dengan teori Pelaziman Operan B. F Skinner. Skinner telah memperkenalkan kaedah peneguhan sebagai kaedah pengukuhan tingkah laku. Peneguhan dijalankan bertujuan untuk mengukuhkan sesuatu perlakuan yang ingin diterapkan dalam diri murid-murid. Terdapat dua peneguhan yang diwujudkan oleh Skinner iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif digunakan untuk meningkatkan motivasi murid untuk mengulangi perbuatan yang diingini dengan memberikan ganjaran serta merta setelah perlakuan tersebut dilakukan manakala peneguhan negatif dilaksanakan bagi mengukuhkan juga perbuatan yang diingini namun dengan memberikan rangsangan yang tidak selesa atau tidak disukai oleh murid. Namun, menurut artikel tersebut, guru telah menggunakan hukuman yang melampau terhadap perbuatan murid tersebut. Mungkin niat guru berlaku sedemikian adalah untuk mengelakkan daripada murid tidak membawa buku ke sekolah lagi namun perbuatan tersebut telah menimbulkan masalah pula.

Jika perbuatan tersebut berterusan, murid akan berasa takut dan tertekan setiap kali dalam sesi PdPc. Mereka akan senyap di dalam kelas sewaktu guru mengajar walaupun mereka disuruh melakukan sesuatu atau diminta untuk menjawab soalan kerana takut dipukul oleh guru sekiranya mereka tersilap langkah. Murid yang dipukul juga tidak akan bergaul dengan rakan-rakannya disebabkan mereka rasa penghormatan dirinya telah tercalar. Hal ini dapat disokong oleh Saat (2008) yang menyatakan bahawa kanak-kanak akan berasa malu dan rendah diri apabila diri dimarahi dikhalayak ramai kerana mengaibkan dirinya lalu kanak-kanak tersebut akan berasa tertekan dan bertindak pasif serta mengasingkan dirinya. Oleh itu, guru disarankan untuk mengaplikasikan teori Pelaziman Operan B. F. Skinner bagi memodifikasikan tingkah laku murid agar keberkesanan dan impak yang dihasilkan itu berbentuk positif dan berkekalan.

4.0 ISU GURU PILIH KASIH DI DALAM KELAS

Sikap pilih kasih guru merupakan salah satu perkara yang menjadi masalah dalam proses pembelajaran di Malaysia. Guru sering memberi tumpuan yang lebih kepada murid yang lebih pandai atau lebih kaya dalam kelas. Hal ini disokong oleh Prof Madya Dr Saporan Sipon (2010) yang menyatakan bahawa kebanyakan guru yang bersikap pilih kasih mengatakan bahawa murid yang miskin tidak bijak dan tidak mempunyai masa depan untuk berkerjaya. Oleh itu, murid yang dianggap tidak mempunyai masa depan ini dipinggirkan kerana ianya akan membuang masa dan tenaga guru sahaja untuk mengajarnya. Perkara ini akan membuatkan murid-murid tersebut terpinggir dan rasa disisihkan sewaktu PdPc dijalankan. Menurut Venus (2015), guru yang memilih kasih sering memuji murid yang kaya walaupun perkara yang sama turut dilakukan oleh murid yang miskin malah guru turut menyatakan bahawa dia tidak berpuas hati dengan hasil kerja murid miskin tersebut. Sikap pilih kasih oleh guru ini tidak sepatutnya berlaku kerana ianya telah melanggar hak asasi keadilan bagi kanak-kanak. Guru sepatutnya memberikan layanan yang sama rata kepada setiap murid.

Menurut Azizi (2016) dalam Utusan Melayu, sikap pilih kasih ini akan menimbulkan perasaan iri hati dan kebencian serta boleh mendorong murid untuk bertindak agresif. Perkara ini amat berkait dengan Model Persekitaran yang menyatakan bahawa punca berlakunya masalah tingkah laku adalah terdapatnya rangsangan daripada persekitaran yang dilakukan oleh manusia. Menurut Azizi et. al. (2011), masalah tingkah laku agresif merujuk kepada tingkah laku atau perbuatan negatif sama ada secara fizikal, lisan atau secara psikologi seperti ponteng sekolah dan membuli rakan yang menjadi pilihan guru. Hal ini dapat disokong oleh Mohd Amin (2018) yang menyatakan bahawa iri hati merupakan antara punca besar yang menyebabkan kes buli ini berlaku. Oleh itu, bagi menangani masalah tingkah laku murid yang telah berlaku ini, guru boleh merujuk kembali kepada

5.0 ISU GURU MENGAMALKAN PENGAJARAN BERSIFAT AUTOKRATIK DALAM KELAS

Kemudian, guru bersikap autokratik juga turut menjadi isu yang menyentuh tentang hak asasi kanak-kanak. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, autokratik bermaksud sesuatu perkara yang berasaskan atau mempunyai kuasa penuh. Maka, guru mengamalkan pengajaran bersifat autokratik bermaksud guru berkuasa penuh terhadap proses PdPc. Asrin (2008) menyatakan bahawa guru bersifat autokratik cenderung untuk mengajar dengan menggunakan kuasa secara paksaan. Arahan yang diberikan oleh guru adalah muktamad dan murid tidak boleh melanggarnya sama sekali. PdPc seperti ini tidak memberikan peluang kepada murid untuk bertanya atau mengemukakan pendapat sendiri tentang topik yang dipelajarinya. Mereka terpaksa untuk menerima semua mesej dan ajaran yang disampaikan tanpa boleh berfikir secara meluas kerana setiap persoalan yang timbul tidak dapat ditanyakan kepada guru dan akhirnya akan menyempitkan pemikiran murid. Hal ini dapat disokong oleh Omardin Ashaari (1999) yang menyatakan bahawa guru yang bersifat autokratik dan melaksanakan tugas secara kuku besi dan terlalu dominan dalam tindak tanduk mereka ketika mengawal bilik darjah boleh menyebabkan pelajar tidak bebas dan berfikiran sempit.

Menurut Imsamad (2009), guru bersifat autokratik adalah untuk menjadikan murid mendengar arahan dan membentuk tingkah laku yang baik. Namun, guru tidak sedar bahawa cara pengajaran telah melanggar hak kanak-kanak untuk mendapat normalisasi dalam pendidikan. Hal ini berlaku kerana, apabila proses tersebut disekat, murid tidak dapat belajar dengan cara yang sepatutnya dan ini menjadikan hak murid untuk mendapatkan pendidikan secara normal itu terjejas terutamanya MBK yang memerlukan bimbingan yang sangat rapi oleh guru. Dengan ini dapat dilihat bahawa pengajaran seperti ini tidak bertepatan dengan teori Vygotsky. Teori tersebut menyatakan bahawa murid memerlukan bimbingan guru untuk mengembangkan kognitif murid-murid. Maka, jika guru tidak dapat memberikan bimbingan yang baik, kognitif murid akan terbantut.

PdPc autokratik ini akan mendatangkan banyak masalah kepada tingkah laku murid. Sebagai contoh, melalui kajian yang dilakukan oleh Azizi Yahya et. al. (2011) menunjukkan faktor yang paling mempengaruhi perlakuan ponteng adalah faktor guru. Beliau juga menyatakan bahawa murid-murid ponteng semata-mata untuk mengelakkan dari sikap dan tindakan guru. Masalah ponteng ini akan berleluasa jika pengajaran seperti ini dijalankan sepenuhnya. Oleh itu, untuk menguruskan tingkah laku murid-murid, guru boleh mengaplikasikan teori behavioris B. F. Skinner dengan menggunakan kaedah peneguhan. Bagi mendapatkan maklumat dengan lebih teliti, guru boleh mengikut prinsip-prinsip asas pengurusan tingkah laku yang telah ditetapkan. Dengan penggunaan kaedah yang betul bagi membentuk tingkah laku murid, masalah tingkah laku murid tidak akan timbul kerana kaedah yang dijalankan tidak melanggar hak asasi mereka.

6.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, terdapat banyak isu yang berkaitan dengan guru yang berlaku di luar sana. Isu yang berbangkit kebiasaannya akan menyentuh hak asasi kanak-kanak dari aspek normalisasi, keadilan dan penghormatan. Isu tersebut jika tidak ditangani dari awal akan menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku yang berleluasa dalam kalangan murid. Oleh itu, guru perlulah cakna dalam cara pengajaran atau sikap mereka agar tingkah laku murid yang bermasalah dapat dielakkan.

RUJUKAN

Asrin. (2008). Kepimpinan Autokratik. Retrieved from https://www.pdfcoke.com/doc/5890611/KEPIMPINAN-AUTOKRATIK

Astro Awani. (2014). Guru didakwa tumbuk, tendang murid gara-gara tidak bawa buku sekolah. Retrieved Mac 27, 2019, from https://www.slideshare.net/IlaAli1/cara-penulisanbibliografi-apa-style

Azizi Ahmad. (2016). Pilih Kasih ditempat Kerja. Retrieved from http://www.utusan.com.my/rencana/forum/pilih-kasih-di-tempat-kerja-1.394688 Azizi Yahaya, Halimah Ma’alip & Faizah Idris. (2011). Persepsi Pelajar Terhadap Perlakuan Agresif Yang Berlaku di Lima Buah Sekolah Menengah di Kawasan Bandar Johor Bahru. Journal of Educational Psychology and Counseling, vol. 1 Mac 2011, Pages 1-24.

Hak untuk semua kanak-kanak (Panduan Media). (2009). Kuala Lumpur: Salt Media Consultancy Sdn. Bhd.

Imasamad. (2009). Kepimpinan Autokratik. Retrieved from https://www.slideshare.net/SKSBeroleh/kepimpinan-autokratik

Mohd Amin Jalil. (2018). Cemburu Punca Buli. Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/03/400351/cemburu-punca-buli

Saat Sulaiman. (2008). Anak adalah anugerah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Saporan Sipon. (2010). Guru Hanya Suka Anak Ahli Politik dan Jutawan. Retrieved from http://ddms.usim.edu.my/bitstream/123456789/3209/1/24-5-10%20%20Kaunseling%20Remaja%20%28V13%29.pdf

Venus Gazer. (2015). Ketika Guru Mendiskriminasi dan Pilih Kasih. Retrieved from https://www.kompasiana.com/venusgazer/5535af066ea8349b20da42cf/ketika-gurudiskriminatif-dan-pilih-kasih

Related Documents


More Documents from "Ensiklopedia Pendidikan Malaysia"