Rosxy Sandom
PISMP Pra Sekolah Ambilan Januari 2009
TUGASAN Soalan 3: Tamadun-tamadun di dunia ini telah mengalami pelbagai proses interaksi. Jelaskan proses interaksi yang berlaku Pengenalan: Setiap tamadun mempunyai pelbagai kelebihan dan kekurangan yang menyebabkan berlakunya interaksi di antara tamadun-tamadun. Tamaduntamadun ini tentunya mempunyai pencapaian dan keunikan yang berbeza antara satu sama lain. Interaksi budaya yang berlaku iaitu bermula dengan proses pembudayaan yang menggabungkan masyarakat berbilang etnik sebelum membentuk interaksi tamadun. Proses interaksi ini membawa kepada perkongsian nilai, pemikiran, institusi dan keinsanan. Terdapat pelbagai cara dan sebab berlakunya interaksi tamadun. Interaksi ini kemudiannya akan melahirkan kesan positif atau negatif kepada tamadun-tamadun yang terlibat. Namun, interaksi antara tamadun sebenarnya dapat memperkayakan tamadun daripada berbagai-bagai aspek dan mengelakkan tamadun itu menjadi jumud yakni kaku dan kolot. Faktor berlakunya interaksi tamadun: Interaksi tamadun berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang boleh dilihat dari pelbagai sudut. Secara umumnya, interaksi tamadun ini disebabkan sifat toleransi dan sikap saling hormat-menghormati di antara tamadun. Manakala, secara khususnya, interaksi di antara tamadun adalah berpunca daripada aspek seperti kepimpinan, sikap golongan agama, kedudukan geografi, perkahwinan, perdagangan dan misi politik. Faktor kepimpinan memainkan peranan yang amat penting di dalam proses interaksi tamadun. Sifat pemimpin akan mempengaruhi proses interaksi yang dilakukan. Ini bermakna, sekiranya pemimpin bersikap adil, bertoleransi
dan menghormati kebudayaan lain, proses interaksi akan berjalan dengan lancar yakni aman dan damai. Contoh interaksi tamadun yang berlaku dengan aman ialah melalui pemimpin Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak menyekat orang Yahudi dan Kristian dalam pemerintahan Madinah. Sebaliknya hak golongan ini dilindungi oleh undang-undang. Tetapi, sekiranya pemimpin bersikap kuku besi, interaksi tamadun juga akan memberi kesan negatif. Antaranya, sikap tidak bertoleransi Sultan Shamsuddin Altamish di India terhadap penganut Hindu. Seterusnya, faktor yang sangat banyak mempengaruhi proses interaksi di antara tamadun ialah sikap golongan agama. Sikap golongan agama ini menjadi penentu kepada hidup beragama secara harmoni di mana kerukunan hidup bersama-sama insan yang mempunyai agama yang berbeza diterapkan. Dalam Tamadun Islam, golongan agama merupakan para ulama manakala Tamadun India yang berteras kepada agama Hindu, minoriti kasta Brahmin menjadi tunggak kepada agama. Golongan agama dalam kepercayaan Buddha pula didukung oleh sami sementara paderi menguasai fahaman Kristian. Sikap golongan agama yang berakhlak seperti yang dipamerkan ulama Islam di Alam Melayu memudahkan proses interaksi dan Islamisasi berlaku. Mereka berjaya memberikan tasawwur Islam (pandangan Islam) yang sebenar sehingga terbentuknya pendidikan formal melalui institusi seperti pondok, pesantren, madrasah dan dayah (Acheh). Kesannya, Hamzah Fansuri, Abdul Rauf al-Singkeli dan beberapa ulama lain terkenal di rantau Melayu. Namun demikian, terdapat juga golongan agama yang mencetuskan konflik seperti tindakan Paus Urban II yang mengadakan perjumpaan besarbesaran dengan penganut Kristian di Perancis pada tahun 1095 M untuk memerangi orang Islam yang dikatakan bertindak zalim kepada penganut Kristian. Konflik ini juga berlaku ketika pemerintahan Dinasti Han apabila seorang pemerintah memenjarakan segolongan sami dan penganut Buddha. Namun, konflik yang berlaku tidak menghilangkan kepercayaan dalam kalangan masyarakat Asia kerana agama dan penguasanya tetap berada pada kedudukan yang tinggi.
Seperti yang diketahui, sejarah sering menyebut tentang pentingnya kedudukan geografi yang strategik dan menjadi laluan utama dalam aktiviti perdagangan. Hal ini juga turut memberi kesan yang sama sehingga berlakunya interaksi tamadun. Contohnya, Tamadun China berinteraksi dengan pelbagai tamadun lain kerana terdapat dua laluan utama iaitu laluan sutera yang menggunakan jalan darat dan laut. Laluan sutera darat menghubungkan China dengan Khurasan, Samarqand, Xinjiang hingga ke Peking. Manakala, laluan laut pula merentasi Laut Arab ke Benua Kecil India, Kepulauan Melayu hingga ke Canton di Tenggara China. Kedua-dua laluan ini membolehkan negara-negara terlibat berinteraksi dan menjalankan aktiviti perdagangan. Pelabuhan Melaka juga terkenal kerana kedudukan geografinya yang strategik dan terlindung dari angin monsun. Pelabuhan ini menjadi tumpuan dan persinggahan para pedagang. Aktiviti perniagaan berlaku di Pelabuhan Melaka disebabkan ramai pedagang yang singgah. Dalam pada itu, perkahwinan juga antara faktor penting dalam proses interaksi tamadun. Contohnya, perkahwinan Megat Iskandar Shah dan Puteri Pasai dalam kalangan golongan bangsawan dan pemerintah. Di rantau Alam Melayu juga, berlakunya interaksi di antara penduduk tempatan dengan pedagang Arab dalam tempoh mereka bermukim di situ sementara menunggu angin monsun. Perkahwinan ini juga membawa kepada Islamisasi kerana gadis tempatan perlu diislamkan terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan pedagang Arab. Malahan, ahli keluarga gadis tersebut juga turut sama menerima Islam dalam kehidupan mereka. Hubungan perdagangan di antara Arab dan China memang membuktikan perdagangan sebagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya interaksi. Hubungan kedua buah negara tersebut bermula sejak 3 Masihi lagi. Malah, pedagang Arab dan Parsi membina penempatan di Kwang Cho (Canton), Chang
Chow dan Chuan Chow. Masjid turut didirikan di Guangzhou yang membuktikan berlaku Islamisasi di wilayah tersebut. Alam Melayu turut berinteraksi dengan Arab secara tidak langsung apabila pedagang Arab singgah sementara menunggu angin yang sesuai sebelum ke China. Catatan Marco Polo tentang pengislaman Perak pada tahun 1292 M menunjukkan berlakunya proses Islamisasi. Selain itu, Tamadun India berinteraksi dengan rantau Melayu sejak kurun pertama Masihi lagi di mana nama wilayah Asia Tenggara seperti yang tercatat di dalam kitab Ramayana seperti Suvarnadvipa1 dan Suvarnabhumi2. Misi politik yang dimaksudkan ialah hubungan diplomatik seperti Alam Melayu dengan China. Hubungan diplomatik dengan China berlaku sejak 1404 M seperti yang tercatat dalam sejarah Melaka. Tujuan Melaka mengadakan hubungan diplomatik ini adalah untuk mendapatkan perlindungan dari ancaman Siam. Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam dihantar ke Melaka yang secara tidak langsung menggalakkan Islamisasi di rantau Alam Melayu. Perlindungan ini juga memberi kesan yang sama kepada negeri-negeri di Kepulauan Melayu seperti Kedah, Johor, Kamar dan sebagainya.
Kesan positif interaksi tamadun Interaksi Tamadun India dengan China telah membawa kesan positif seperti penyebaran agama Buddha di negara China. Agama Buddha dibawa masuk ke China pada kurun pertama Masihi. Ketika itu, maharaja China menghantar wakil ke India untuk mendalami ajaran agama ini dan menyesuaikannya dengan budaya masyarakat Cina seperti doktrin (prinsip) Daoisme dan Konfusianisme. Sami dari China menetap di India untuk mempelajari kitab Buddha yang menggunakan bahasa Sanskrit dan Pali sehingga berjaya menyusun doktrin Buddha dalam satu koleksi yang digelar Tripitaka. 1 2
Suvarnadvipa bermaksud Semenanjung Emas. Suvarnabhumi bermaksud Bumi Emas.
Selain itu, pelbagai kemahiran juga diperkembangkan dalam sains dan teknologi seperti teknologi membuat gula daripada tebu dan bidang astronomi diperkembangkan oleh India kepada China. Karya perubatan India diterjemah ke dalam bahasa Cina selain daripada 60 koleksi ilmu astronomi India turut melalui perkara yang sama. Manakala, Tamadun India melalui perkembangan teknologi membuat kertas, bahan letupan, percetakan dan penggunaan kompas dari Tamadun China. Dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kesenian; Tamadun China turut menerima banyak keuntungan melalui interaksinya dengan India. Bidang fonetik di China menggunakan teknik daripada ilmu fonetik Sanskrit yang dipelajari melalui ajaran Buddhisme. Disebabkan itu, perbendaharaan kata bahasa Sanskrit dan Pali banyak mempengaruhi kesusasteraan China. Malahan, alat muzik China seperti pipa dan konghou juga berasal dari India. Interaksi di antara kedua-dua tamadun ini berlangsung secara aman melalui hubungan perdagangan dan keagamaan. Tamadun India3 turut melalui interaksi dengan Tamadun Islam apabila negeri Sind dan selatan Punjab dikuasai oleh orang Muslim pada tahun 712 Masihi. Penyebaran agama Islam4 dilakukan oleh orang Turki. Walaupun berlakunya asimilasi budaya, wujud satu budaya yang bersifat budaya komposit iaitu Indo-Muslim yang merupakan hasil campuran budaya Hindu dan Islam. Identiti kedua-dua budaya tetap dikekalkan. Hasil daripada budaya komposit ini, berlaku perubahan pada unsur-unsur budaya seperti bahasa. Satu bahasa yang dikenali sebagai Zaban-e-Hindawi iaitu Urdu muncul. Bahasa Urdu mempunyai tatabahasa Prakrit dengan perbendaharaan kata Parsi, Arab dan Turki. Bahasa ini ditulis dengan skrip Arab tetapi, diubah untuk mewakili bunyi bukan Arab. Urdu di kawasan-kawasan lain disebut Urdu Dekani dan Urdu Lucknowi, tetapi yang menjadi dominan ialah 3
Nama Tamadun India pada zaman klasik ialah dalam bahasa Sanskrit iaitu Bharata-Varsha atau Bhrarata-Khanda yang diambil sempena nama pemerintah India, Bharata. Orang Greek menamakannya sebagai Indu sehingga terbitnya nama India seperti sekarang. 4 Penganut agama Islam merupakan penduduk kedua teramai di India selepas penganut agama Hindu dengan hampir 150 juta orang daripada hampir 1 billon penduduk India.
Urdu Kerajaan Moghul. Bahasa ucapan disebut Hindustani dan contoh bagi perbendaharaan kata Urdu ialah wajib dan munsyi. Dalam bahasa Urdu majalah dan surat khabar sangat banyak diterbitkan oleh umat Islam di India. Antaranya ialah majalah al-Ma’arif yang diterbitkan oleh Darul Mushannifin di kota Azamgarh yang diterbitkan sejak tahun 20an sehingga hari ini. Seterusnya ialah majalah al-Hilal yang diterbitkan di Calcutta oleh Maulana Abu Kalam Azad dan kawan-kawannya serta majalah Ta’mir Hayat yang diterbitkan oleh Nadwatul Ulama’ Lucknow. Majalah ini memuatkan rencana ilmiah dan perkembangan yang terjadi di dalam dunia Islam Pendidikan juga turut dipengaruhi oleh budaya Indo-Muslim apabila dasar pendidikan yang baru diperkenalkan oleh Akbar, pemerintah teragung zaman Mughul. Orang Hindu berpeluang mempelajari bahasa Persia dan cemerlang di madrasah-madrasah sehingga ada yang menjadi guru. Malahan, buku sains perubatan turut ditulis dalam bahasa Persia oleh ahli-ahli fizik Hindu. Manakala, dalam bidang sejarah pula Tarikh-i-Muzaftarim oleh Muhammad Ali Ansari, IbratNama oleh Khairuddin, Sair-ul-Mutakherin oleh Ghulam Husain dan Imad-urSaadat oleh Ghulam Ali Naqvi adalah antara karya-karya penting pada zaman pemerintahan Islam di India. Ketika zaman pemerintahan Akbar juga, gaya lukisan Hindu telah mendominasi gaya lukisan Parsi kerana kehadiran pelukis Hindu yang ramai di istananya. Kemudian, Institut Lukisan Mughul diasaskan yang bertujuan mengabungkan gaya lukisan Islam dan Hindu. Setelah kematian Akbar, lukisan Mughul terus dipengaruhi oleh elemen-elemen Hindu dan pemerintahpemerintah menggalakkan pelukis menggambarkan kehidupan Akbar dalam seni lukis mereka. Institut Lukisan Moghul telah mencerminkan aspirasi politik Akbar. Keadaan ini dapat dilihat melalui lukisan dinding yang berkembang maju di ibu kota Akbar iaitu Fathpur Sikri (1570-85). Pelukis handalan Hindu yang terlibat ialah Basavan, Lal dan Dasvanth. Terdapat juga lukisan dalam Razm-Nama iaitu terjemahan Mahabharata dalam bahasa Parsi. Seterusnya, persajakan juga merupakan unsur-unsur budaya komposit Indo-Muslim. Dalam bidang persajakan dan sastera, karyawan terulung ialah
Amir Khusraw (1253-1325) seorang Indo-Muslim. Nuh Siphr (The Nine Skies), ialah karya beliau yang memberi corak kehidupan masyarakat India, iklim, bunga-bungaan, binatang, agama serta bahasa-bahasa di India. Khawaja Najmud-din Hasan yang turut dikenali sebagai Mir Hasan Dihlvi merupakan penyajak Hindi yang terkenal. Ghazal Persia beliau amat menarik dan mudah difahami yang banyak membuatkannya terkenal. Sementara itu, Ghalib pula seorang penyair Urdu yang cemerlang. Sehingga kini, ghazal ciptaan beliau masih popular. Seni bina merupakan unsur budaya komposit terakhir daripada interaksi Tamadun India dan Tamadun Islam. Bidang seni bina mengalami perkembangan yang pesat pada zaman Mughul dengan pembinaan bangunan Kabuli Bagh di Panipat, Jami Masjid di Sambal dan sebuah masjid di Agra. Salah satu daripada tujuh keajaiban di dunia iaitu Taj Mahal dibina oleh Shah Jahan5 adalah berdasarkan konsep dan gaya Islam. Namun demikian, penggunaan bahan, kerja-kerja ukiran dan motif-motif bunga-bungaan lebih bercirikan seni bina Hindu. Interaksi di antara Tamadun India dengan Tamadun Barat bermula dengan Portugal yang merupakan kuasa Eropah pertama yang datang ke India. Pada tahun 1498, Vasco da Gama sampai ke Calicut di Kerala yang menggunakan bahasa Portugis sebagai bahasa perdagangan di situ. Tujuan Barat ke India ialah untuk memperoleh rempah dan meyebarkan agama Kristian. Pada tahun 1810-1820-an, sekolah-sekolah Inggeris, mubaligh-mubaligh Kristian dan buku-buku Inggeris memonopoli sistem pendidikan di India. Menurut Thomas B. Macauay, tujuan pendidikan di India ialah mewujudkan satu kelas India dalam darah dan warna; manakala Inggeris melalui rasa, pandangan, moral dan intelek. Interaksi kedua-dua tamadun ini mempengaruhi sastera di India apabila pada akhir abad ke-19, sastera India telah dipengaruhi oleh pendidikan Inggeris. Dalam pada itu, orang India sendiri mula hilang minat kepada sastera mereka 5
Shah Jahan merupakan salah seorang pemerintah Islam di India pada tahun 1627-1658.
sendiri kerana tidak bersesuaian dengan perubahan zaman. Genre sastera tradisional India seperti kavya, campu dan drama lebih sesuai untuk kisah-kisah seperti epik, agama dan dharma. Sudah tentulah ini tidak sesuai dengan kehendak sosial dan politik yang membawa nafas baru sehingga turut munculnya sajak-sajak romantik. Interaksi Tamadun India dan Tamadun Barat mempengaruhi hubungan sosial dan budaya di antara bandar dan kampung. Perhubungan di antara penghuni bandar yang kebanyakkan berhijrah dari kampung masih erat dengan kaum keluarga mereka yang berada di kampung. Selain itu, media elektronik seperti panggung wayang, radio dan televisyen mula menggantikan alat komunikasi tradisional seperti wayang kulit dan drama. Bandar menjadi pusat reformasi dalam aspek agama dan tradisi di kampung. Sekolah-sekolah, bukubuku, kuil-kuil, upacara umum agama dan media massa memperkenalkan tafsiran yang baru dalam masyarakat kampung sehingga berlaku desakan agar pembentukan keseragaman dalam amalan budaya dan agama dilakukan. Bahasa Inggeris turut diakui oleh Perlembagaan India yang digunakan untuk tujuan rasmi selama 15 tahun. Malah, dua pertiga daripada rakyat India tidak menggunakan bahasa Hindi dalam komunikasi mereka. Namun demikian, terdapat juga negeri di India yang mengenakan syarat supaya menggunakan bahasa Hindi dalam pentadbiran seperti di Rajasthan, Uttar Pradesh, Bihar dan Haryana. Manakala, kawasan seperti Punjab, Kerala, Tamil Nadu, Gujarat dan Bengal Barat menggunakan bahasa Inggeris. Interaksi tamadun seterusnya ialah di antara Tamadun Islam dengan Yahudi dan Kristian yang berlaku semasa zaman kemunculan Islam di Tanah Arab yang telah membawa beberapa kesan positif. Dalam Perlembagaan Madinah (Sahifah Madinah) yang digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah, hak-hak orang Kristian dan Yahudi serta penganut-penganut agama lain telah diberikan perlindungan. Hak ini adalah berkaitan dengan kebebasan mengamalkan tuntutan agama mereka tanpa gangguan oleh umat Islam yang lain termasuklah Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Hal ini terus diikuti oleh
pemerintah-pemerintah Islam ketika zaman Khulafa al-Rasyidin, Bani Umaiyah, Abbasiyah, Uthamaniyah dan kerajaan-kerajaan Islam di India. Penganutpenganut Kristian dan orang Yahudi turut mendapat kedudukan yang tinggi dalam pentadbiran beberapa buah kerajaan Islam. Misalnya, ketika zaman pemerintahan Abbasiyah, tokoh-tokoh intelektual Yahudi dan Kristian telah memberikan sumbangan mereka dalam penterjemahan buku-buku Greek ke dalam bahasa Arab. Di Andalusia, Sepanyol juga ramai penulis dan ahli intelektual dari kalangan individu-individu Yahudi dan Kristian. Tamadun Islam juga turut berinteraksi dengan Tamadun China yang berlaku secara aman melalui perdagangan, perkahwinan, politik dan sifat pendakwah agama Islam. Pedagang-pedagang Arab dan Parsi banyak memainkan peranan dalam proses interaksi ini. Disebabkan terdapat komuniti Arab –Islam yang menetap di situ, berlakulah perkahwinan campur antara pedagang dengan wanita tempatan. Hasilnya, penyebaran agama Islam kemudiannya mewujudkan komuniti Islam tempatan China. Semasa zaman pemerintahan dinasti-dinasti Tang, Sung, Yuan dan Ming, muncul beberapa tokoh Islam yang memainkan peranan penting dalam pentadbiran. Kemudian, muncul pula cendikiawan-cendikiawan Islam tempatan yang mashyur seperti Liu Zhi dan Mha Zhu. Mereka mencari keselarian ajaranajaran dan nilai Islam dengan Konfusianisme. Agama Islam diperkenalkan kepada masyarakat China6 melalui konsep hubungan kekeluargaan, ketaatan kepada ibu bapa dan raja serta nilai-nilai moral yang terdapat dalam ajaran Konfusianisme. Hal inilah yang meyebabkan ajaran Islam tidak mendapat tentangan daripada ahli-ahli Konfusianisme seperti yang telah dihadapi oleh agama Buddha. Melalui interaksi ini juga, berlakunya pertembungan seni bina Arab-Islam dengan seni bina China yang dapat dilihat menerusi masjid-masjid di China hari ini. Dinasti Tang, Dinasti Sung dan terutamanya Dinasti Yuan melahirkan ramai tokoh Islam terkenal yang mengamalkan budaya China dan kesetiaan 6
Penganut agama Islam berbangsa Cina dikenali sebagai Hui.
terhadap negeri China tanpa berbelah bahagi. Antaranya ialahh Prof. Muhammad Pai Shao Yi yang menyebabkan Islam di negeri China memperolehi kekuatan di peringkat akar umbi. Masyarakat Islam berjaya menubuhkan institusi pengajian agama di masjid-masjid dan akhirnya pendidikan agama dilakukan di sekolah-sekolah. Ketika interaksi kedua-dua tamadun ini berlaku, terdapat juga penerbitan media massa dalam kalangan masyarakat Islam di negeri China. Lebih daripada 70 Review Islam telah diterbitkan dan Review Bulanan Islam di Yunan dalam tahun 1915 adalah yang terawal diterbitkan. Review yang paling lama bertahan ialah ‘The Crescent-Bulan Sabit’ dan ‘The Light Of The Crescent-Cahaya Bulan Sabit’ (Yueh Hwa) di Bei Jing dan juga ‘Islamic Review’ di Shang Hai. Antara penulis yang terkenal dalam bidang penerbitan ialah Elias Wang Ching Chai dan Muhammad Yang Chong Ming. Mereka ini juga merupakan penterjemah alQuran ke dalam bahasa Mandarin dan kamus Arab-China Dalam bidang kesusasteraan, terdapat juga masyarakat Cina Islam yang aktif seperti Lee Yen Shen yang terkenal pada zaman Dinasti Tang. Lee Hsiun dan Lee Shun Hsuan pula merupakan penyair-penyair besar manakala Mi Fei seorang penyair dan penulis kaligrafi yang terkenal dalam dunia penulisan Cina . Kaligrafinya yang berbentuk bulat pada hujung tulisan masih digunakan sebagai model oleh orang-orang Cina, Korea dan juga Jepun. Ketika zaman Dinasti Manchu pula, terdapat ahli falsafah Islam yang terkenal seperti Ma Ming Loong, Sheikh Wang Tai Yu dan dan P’u Sung Ling. P’u Sung Ling telah menulis cerita ‘Liao Ch’ai’ yang bermaksud ‘rumah yang tidak dikehendaki’ atau ‘rumah perbualan’. Cerita ‘Liao Ch’ai’ dianggap setaraf dengan cerita Arab, Seribu Satu Malam. P’u Sung Ling dianggap sebagai salah seorang penulis besar China. Dari aspek kesenian pula, Syed Omar Shamsuddin, putera Hsien Yang Dinasti Yuan merupakan orang yang membuat lukisan Yin dan Yang. Interaksi tamadun ini juga telah melahirkan ramai negarawan Cina dan tentera Cina adalah beragama Islam. Antaranya ialah Takutur Khan, iaitu cucu kepada Jenghis Khan dan Laksamana Cheng Ho yang nama asalnya ialah
Muhammad Ma Ho dilahirkan di Yunan. Jeneral Muhammad Tso Pao Kwei pula merupakan seorang jeneral yang terlibat dalam peperangan antara tentera China dan Jepun pada tahun 1894. Jeneral Omar Pai Chung-His merupakan Marshal tentera empat bintang yang meninggal dunia di Taipei pada 2 Disember 1966 dan Jeneral Muhammad Ma Chi Yuan, orang yang menumpaskan tentera Komunis di wilayah Kansu pada tahun 1948. Tamadun Islam turut berinteraksi dengan Tamadun Melayu yang juga berlaku secara aman menerusi perdagangan. Dikatakan bahawa pengaruh Islam di Asia Tenggara khususnya Kepulauan Melayu datang dari tiga kawasan berbeza iaitu dari Arab dan Parsi, dari India serta dari China. Namun kesan positif iaitu dengan tersebarnya agama Islam di Kepulauan Melayu adalah kesan yang paling menonjol. Lalu, muncul pula kerajaan Islam tempatan seperti Pasai, Melaka, Aceh, Johor-Riau, Brunei, Patani, Sulu, Banten, Demak, Tuban, Mataram dan banyak lagi. Interaksi ini juga turut membawa tulisan jawi yang banyak mempengaruhi perkembangan ilmu pengetahuan di Kepulauan Melayu. Kesan positif yang dapat dilihat termasuklah pengaruh dari segi perundangan, kesusasteraan, kesenian, kebudayaan berupa pakaian dan makanan serta penggunaan istilah-istilah Arab dalam bahasa Melayu. Rekod rasmi China yang menyatakan Kedah pernah menjalinkan hubungan diplomatik dengan China dan kehadiran pedagang Kedah ke China yang bertarikh 638 M menunjukkan interaksi di antara Tamadun Melayu dan Tamadun China. Kesan daripada interaksi ini, penyebaran agama Islam di Tanah Melayu di peringkat awal dikatakan datang dari Tanah Besar China ekoran daripada hubungan perdagangan kedua-dua belah pihak. Hal ini terbukti dengan penemuan batu bersurat di Campa bertarikh 1039, di Brunei (1048) dan di Laren, Jawa (1082) yang mengatakan Islam datang dari Canton dan Hainan pada kurun ke-9. Selain itu, Tamadun Melayu juga mewarisi Cina Peranakan yang dikenali sebagai Baba dan Nyonya. Kebudayaan Baba dan Nyonya mempunyai unsur-
unsur kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu Baba pula banyak dipengaruhi oleh perkataan Hokkien, salah satu cabang dalam bahasa Cina. Cina Peranakan juga turut dipengaruhi oleh gaya masakan Melayu dan mereka juga biasa makan menggunakan tangan. Malahan, golongan ini menggunakan kebaya dan kain sarong sebagai pakaian mereka seharian. Dalam interaksi kedua-dua tamadun ini, unsur kebudayaan juga dipengaruhi oleh kebudayaan masing-masing. Disebabkan oleh pertukaran barang yang dijadikan sebagai hadiah, Tamadun Melayu telah diperkenalkan dengan pelbagai jenis tekstil seperti kain sutera dan kain kapas, barangan porselin, tembikar dan logam serta makanan seperti kicap, taugeh dan tauhu. Malahan, adat memberi ang pau yang bermaksud sampul merah ketika perayaan Tahun Baru Cina juga diperkenalkan. Tamadun Melayu turut memperoleh keuntungan dari aspek perubatan dan teknologi yang dibawa oleh Tamadun China. Seperti yang kita ketahui, rawatan akupuntur dan herba adalah sangat mujarab dan bertujuan menyeimbangkan yin dan yang mengikut kepercayaan masyarakat Cina. Perubatan herba Cina menggunakan lebih seribu jenis herba juga dapat mengubati penyakit seperti asma, anemia dan kanser. Teh Cina iaitu teh hijau juga mempunyai banyak khasiat kepada tubuh badan. Dalam bidang teknologi, Tamadun China membawa teknologi membuat gula dari tebu ke Kepulauan Melayu seperti di Jawa selain daripada penghasilan barangan lain seperti kertas, kain, bahan letupan dan lilin. Seterusnya ialah interaksi di antara Tamadun Melayu dengan Tamadun India. Interaksi kedua-dua tamadun ini telah bermula sedari abad ke-3 SM. Buktinya, bahan bertulis dari India ada menyebut tentang Malayadvipa yang bermaksud Semenanjung Melayu. Para pedagang dari India ke Tanah Melayu bagi mendapatkan emas sementelah mereka menggelarkan Tanah Melayu Suvarnabhumi yang bermaksud tanah emas. Hasil daripada interaksi ini, agama Hindu dan Buddha telah disebarkan dan menjadi pegangan penduduk tempatan yang sebelumnya memegang kepercayaan animisme. Antara tinggalan
pengaruh ajaran Hindu ialah Candi Bukit Batu Pahat di Lembah Bujang ketika kerajaan Chola menguasai Kedah. Sistem pemerintahan kita pada hari ini juga mempunyai unsur-unsur konsep ketuhanan agama Hindu. Keadaan ini berdasarkan konsep ”Dewaraja”7. Warisan yang masih dikekalkan berdasarkan konsep ini ialah membesarkan keagungan dan kedudukan Raja dalam upacara pertabalan baginda. Struktur masyarakat dalam masyarakat Melayu juga dipengaruhi oleh sistem kasta. Sistem ini ialah susun lapis dalam masyarakat di mana terdapat pemisahan yang jelas di antara golongan atasan atau bangsawan dengan rakyat biasa. Keadaan ini membawa kepada kemunculan masyarakat feudal dalam kehidupan masyarakat Melayu. Adat resam dan budaya masyarakat Melayu juga turut menerima pengaruh daripada agama Hindu iaitu amalan jampi dan mantera. Ini dapat dilihat daripada golongan bomoh atau dukun ketika melakukan upacara yang berkenaan. Amalan seperti melenggang perut, bertindik telinga, bersanding dan berinai serta mencecah garam dan menjejak kaki ke bumi bagi bayi dalam masyarakat Melayu juga dipengaruhi oleh amalan masyarakat India. Bahasa adalah unsur yang ketara dipengaruhi oleh interaksi kedua-dua tamadun ini. Tamadun Melayu menerima pengaruh bahasa Sanskrit yang diubah sedikit menjadi kosa kata bahasa Melayu. Penemuan Batu Bersurat Kedukan Bukit (683 M), Batu Bersurat Talang Tuwo (684 M) dan Batu Bersurat Karang Berahi (692 M) membuktikan pengaruh bahasa Sanskrit dalam bahasa Melayu kuno ketika itu. Dalam Batu Bersurat Terengganu, 29 perkataan bahasa Sanskrit turut ditemui bersama bahasa Arab. Antara contoh bahasa Sanskrit yang mempengaruhi bahasa Melayu lama ialah bhakti (bakti), prakara (perkara) dan vela (bila). Unsur terakhir yang dipengaruhi dalam interaksi ini ialah kesusasteraan. Contohnya, kesusasteraan Sanskrit seperti Epik Ramayana dan Mahabhrata. Hikayat Seri Rama diinspirasikan daripada Epik Ramayana manakala versi tempatan bagi Epik Mahabhrata ialah Hikayat Pendawa Lima, Hikayat Pandawa, 7
Dewaraja ialah bahasa Sanskrit yang bermaksud God King.
Hikayat Panda Delima dan Hikayat Sang Boma. Karya sastera Melayu tradisional begitu mementingkan aspek kesenian, keromantisan, keagungan rajaraja serta penyelitan unsur mitos dan epik. Karya sastera ini turut diadaptasi ke dalam wayang kulit. Dalam interaksi di antara Tamadun China dan Tamadun Jepun, banyak kesan positif yang dapat diperhatikan. Jepun mendapat banyak faedah daripada hubungan ini kerana beberapa sumbangan penting dari Tamadun China. Antaranya ialah dari segi agama dan tulisan8. Tamadun China mengembangkan agama Buddha di Jepun dan diasimilasikan dengan agama asal Jepun iaitu Shinto. Asimilasi ini langsung tidak mengubah identiti ajaran Buddha. Malah kuil-kuil Buddha didirikan di Jepun dan mencapai zaman kemuncaknya pada zaman Nara dan Heian. Melalui aspek tulisan pula, tulisan Cina menjadi asas kepada pembentukan tulisan Jepun iaitu Hiragana dan Katakana9. Pengaruh tulisan ini juga memberi kesan kepada perkembangan intelektual dan kesusasteraan Tamadun Jepun. Selain itu, Tamadun China turut meninggalkan unsur kebudayaannya10 seperti upacara minum teh11, seni taman dan struktur pembinaan bandar. Begitu juga ajaran falsafah Konfusianisme yang diasimilasi dalam Tamadun Jepun. Ajaran Konfusianisme memberi penekanan kepada institusi kekeluargaan dan ini memberi kesan kepada pemantapan institusi keluarga di Jepun. Manakala, konsep mandat dan syurga pula memperkukuhkan kedudukan Maharaja Jepun yang dipercayai berasal dari keturunan Dewi Amaterasu. Tamadun Jepun juga turut berinteraksi dengan Tamadun Barat. Interaksi kedua-dua tamadun ini berlaku secara tidak sengaja apabila tiga orang Portugis yang menumpang sebuah kapal Cina dari Melaka hanyut berdekatan Pulau 8
Negara Jepun dikatakan mempunyai kadar celik huruf tertinggi di dunia iaitu 98 peratus. Selain daripada tulisan Hiragana dan Katakana, dua lagi tulisan Jepun ialah Kanji dan Romanji. 10 Kini, Jepun merupakan antara pengeksport budaya pop yang terbesar seperti anime, manga, fesyen dan permainan video. 11 Upacara minum teh di Jepun dipengaruhi oleh mazhab Zen Buddhisme. Mutu istimewa teh Jepun dihasilkan dengan mengeringkan daunnya tanpa penapaian. 9
Kyushu pada tahun 1542. Hal ini menyebabkan orang Portugis mula berdagang di Kagoshima apabila mereka bertapak di Macao pada tahun 1557. Mereka turut menyebarkan agama Kristian di Kagoshima. Kemudian, penyebaran ini lebih giat dilakukan ketika Revolusi Pertanian dan Perindustrian di Eropah kerana Jepun menitikberatkan pertanian ketika itu. Bandar Nagasaki seolah-olah diperintah oleh orang Kristian dan paderi-paderi mempunyai kuasa yang agak besar. Mereka telah mengambil sebahagian daripada keuntungan jualan barang-barang muatan kapal Portugis untuk meluaskan gereja-gereja dan sekolah-sekolah Kristian. Penyebaran ini banyak dipengaruhi oleh kebolehan mereka berbahasa Jepun dan ketinggian peribadi yang menyebabkan mereka mudah diterima oleh golongan bangsawan dan maharaja. Tamadun Barat turut mempengaruhi Tamadun Jepun dari aspek kebudayaan. Daripada memusuhi dunia luar, Jepun menukarnya kepada ‘dasar buka pintu’. Orang Jepun mula tertarik dengan kasut-kasut dari Barat yang menggantikan penggunaan terompah, pemakaian cara Barat menggantikan kimono, menjadikan daging dan susu sebagai makanan seharian, penggunaan sudu dan garpu menggantikan penyepit serta penggunaan lampu elektri dan jam dari Barat. Namun begitu, orang Jepun tetap mengekalkan adat dan sopan dalam kehidupan seharian terutama golongan atasan. Dalam pada itu, kelas sosial12 juga telah ditamatkan perbezaannya dengan penguatkuasaan undangundang. Masyarakat Jepun menganggap semua masyarakat sama taraf walaupun pekerjaan mereka berbeza. Dalam bidang ekonomi pula, interaksi di antara Jepun dan Barat menyebabkan sistem bank yang moden ditubuhkan yang berperanan memulihkan nilai mata wang Jepun. Penubuhan bank ini pada tahun 1872 adalah dengan mencontohi bank-bank di Amerika Syarikat. Perdagangan Jepun dengan dunia luar juga membawa banyak keuntungan kerana pengaliran mata wang asing ke Jepun.
12
Perbezaan kelas berpunca daripada golongan tuan tanah yang hidup di atas sewa yang dibayar kepada mereka dan penyewa yang tiada bertanah.
Selain itu, dalam bidang pemilikan tanah, Jepun juga telah mengubah cara pemilikan tanah mereka dan menurut cara Barat. Dalam sistem tradisi, tanah adalah milik pembesar-pembesar sahaja, tetapi kini hak milik tanah diberikan kepada semua termasuklah golongan petani. Sistem bayaran cukai kepada golongan feudal juga diganti dengan pembayaran cukai tanah kepada kerajaan. Kesan negatif interaksi tamadun Tidak semua interaksi di antara tamadun menghasilkan kesan yang positif. Terdapat juga yang menyebabkan kesan negatif berlaku sama ada pada peringkat awal interaksi atau sebahagian daripada kesan interaksi yang telah berlaku. Umpamanya, hubungan orang Islam dan Kristian ketika Zaman Pertengahan di Eropah. Pemerintah-pemerintah Kristian di Eropah telah melancarkan Perang Salib ke atas orang Islam. Ramai orang Islam dan Yahudi yang terkorban akibat perang ini disebabkan faktor perbezaan agama, ekonomi dan politik. Seterusnya ialah ketika interaksi di antara Tamadun India dan Tamadun Islam. Hubungan penganut agama Islam dan Hindu di India berada dalam ketegangan. Orang Islam dibunuh dan masjid-masjid dimusnahkan raja-raja India yang beragama Hindu. Begitu juga pemerintah-pemerintah Islam telah memusnahkan kuil-kuil Hindu dan orang Hindu dibunuh. Contohnya, raja-raja Islam dalam Kesultanan Dehli13 telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil dan upacara keagamaan Hindu. Konflik turut wujud ketika agama Buddha mula diperkenalkan ke dalam masyarakat China semasa zaman pemerintahan Dinasti Han Timur semasa 13
Semasa zaman pemerintahan Moghul, raja Moghul, Aurangzeb telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil baru, upacara mandi suci di Sungai Jamuna dan mengharamkan upacara Sati.
interaksi di antara Tamadun India dan China. Hal ini disebabkan pengaruh cendikiawan Konfusianisme dalam pentadbiran Dinasti Han. Tentangan mereka menyebabkan sami-sami Buddha telah dikurung dan kuil-kuil Buddha dimusnahkan. Interaksi di antara Tamadun Islam dengan China juga menimbulkan konflik seperti rasa tidak puas hati terhadap pencapaian ekonomi pihak yang bertentangan. Penduduk Han di Tenggara China mewujudkan permusuhan dengan orang Islam kerana tidak puas hati terhadap kemewahan orang Islam dalam aktivti perdagangan. Pemberontakan kemudian berlaku pada tahun 758 Masihi dan 876 Masihi menyebabkan orang islam dibunuh dan ramai yang melarikan diri ke Asia Tenggara seperti Palembang dan Kedah. Selain itu, rasa tidak puas hati orang Islam turut muncul apabila ajaran Konfusianisme diutamakan pada pemerintahan Dinasti Ching. Rasa tidak puas hati14 orang Islam disokong oleh gerakan Kaum Muda (Wahabi) dalam kalangan orang Cina beragama Islam. Persamaan dan perbezaan antara tamadun Semua tamadun menekankan perihal kerohanian, mempunyai doktrin dan amalan-amalan tertentu yang berbentuk ritual dan spiritual. Demikian juga kepercayaan tentang kehidupan selepas mati, pembalasan terhadap perbuatan manusia dan pelbagai aspek lainnya. Namun begitu, terdapat juga perbezaan yang berpunca daripada manifestasi ketuhanan yang ada pada setiap agama. Contohnya, persamaan dan perbezaan doktrin karma dalam kepercayaan agama Hindu dan Buddha. Doktrin karma kedua-dua agama ini berkait rapat dengan konsep reinkarnasi15. Dalam agama Hindu, reinkarnasi membawa maksud seseorang akan menjelma semula selepas kematiannya dalam bentuk manusia. Ini berdasarkan konsep penjelmaan semula dewa-dewa Hindu. Bagi agama Hindu, kehidupan merupakan kesengsaraan dan kelahiran semula 14
Beberapa siri pemberontakan telah berlaku akibat rasa tidak puas hati orang Islam seperti Pemberontakan Sinkiang 1 (1756 Masihi), Kebangkitan Yussof Syamsuddin (1828-31 Masihi) dan Pemberontakan Yunan (1850-68 Masihi). 15 Reinkarnasi ialah kelahiran semula atau penjelmaan semula.
dianggap kesengsaraan yang dikenali sebagai Samsara. Penganut agama Hindu berharap terlepas dari reinkarnasi dengan mencapai tahap mokhsya. Ajaran agama Buddha pula untuk melenyapkan karma, memutuskan lingkaran Samsara dan mencapai Nirwana. Cara mencapai pembebasan mutlak ini disebut Empat Kebenaran Utama16. Persamaan antara tamadun juga meliputi peraturan hidup bermasyarakat. Perbezaan dalam peraturan ini hanyalah dari segi sumber, penguatkuasaan dan aspek-aspek lain. Umpamanya, Tamadun Islam bersumberkan wahyu dalam bentuk Al-Quran dan Al-Sunnah. Sementara, Tamadun China berasaskan kepada falsafah Kung Fu Tze dan Taoisme serta ajaran Gautama Buddha. Dalam Tamadun Melayu pula, orang Melayu memiliki peraturan hidup bermasyarakat yang disebut hukum adat atau sistem nilai Melayu. Dalam aspek etika, perbezaan dari sudut sumber dan pandangan sarwajagat setiap tamadun boleh dilihat dari aspek politik dan pemerintahan. Kebanyakan tamadun menekankan aspek moral dan akhlak sebagai asas politik dan kerajaan. Contohnya Islam mengutamakan politik dan kepimpinan dengan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai rujukan dalam pemerintahan. Prinsip utama yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah prinsip syura, ‘adalah, musawah dan hurriyah. Dalam tradisi Islam, raja atau pemerintah perlulah berlaku adil dan mengelakkan kezaliman. Aspek pendidikan juga merupakan aspek penting dalam etika. Pendidikan dapat membentuk peribadi insan yang diharapkan dapat menyebarkan ilmu pengetahuan kepada orang lain. Dalam ajaran agama Buddha dan Hindu, aspek pendidikan yang ditekankan ialah proses mencari diri sendiri iaitu self-discovery. Dalam pada itu, kedua-dua agama ini juga menekankan elemen ilmu dan amalan kerohanian dalam melahirkan seorang insan yang baik. 16
Empat Kebenaran Utama dalam agama Buddha ialah hidup adalah penderitaan, penderitaan disebabkan keinginan memenuhi keperluan dunia, penderitaan dapat dihapuskan dengan menindas hasrat atau kehendak dan cara menyingkirkan hasrat adalah melalui Astamarga atau Jalan Lapan Lapis.
Dalam aspek ekonomi pula, semua tamadun menolak amalan rasuah, penipuan dan penindasan. Kegiatan ekonomi seperti membuat kebajikan, bersedekah dan membela golongan miskin amat digalakkan. Ekonomi ketika Tamadun Barat berasaskan pemikiran sekular dan ideologi manusia yang telah memperkenalkan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ini lebih mengutamakan keuntungan material dan kebangkitan individu atau kumpulan tertentu sebagai kuasa pasaran. Sistem ini berdasarkan teori Adam Smith (1723-1790 Masihi) yang mengatakan sistem pengeluaran sesebuah negara terdiri daripada unsur sumber alam, sumber manusia dan stok barang yang ada. Pengalaman sistem kapitalis telah menyebabkan penubuhan institusi kewangan (bank) di Barat seawal tahun 1587 Masihi. Aspek kekeluargaan juga aspek penting di dalam etika yang dianggap sebagai asas pembentukan sesebuah masyarakat. Ajaran Konfusius dalam Tamadun China menekankan pentingnya hubungan kasih sayang. Kasih sayang dapat mewujudkan hubungan harmoni dalam masyarakat. Konfusius telah memperkenalkan konsep alai yang menekankan hubungan sesama manusia seperti hubungan maharaja dengan rakyat, hubungan bapa dengan anak, hubungan abang dengan adik, hubungan suami dengan isteri dan hubungan kawan dengan kawan. Seterusnya ialah aspek kesenian dan kebudayaan. Seni menurut agama Buddha terdiri daripada keindahan perhiasan, keindahan jasmani, keindahan tingkah laku dan keindahan batin. Manusia dapat memiliki keindahan melalui dua Darma indah iaitu Khanti dan Soracca. Dalam seni Islam pula, falsafah seni Islam berteraskan tauhid walaupun terhasil pada pelbagai aneka karya seni. Dalam Tamadun China pula, karya seni merangkumi seni lukis dan seni kaligrafi yang menjadikan unsur alam sebagai tema utama. Aspek alam sekitar juga merupakan aspek penting yang tergolong dalam etika. Islam menghargai alam sekitar yang merupakan tanda-tanda kewujudan Allah SWT. Menurut doktrin Hindu pula, alam semesta ini terdiri daripada Jamudvipa. Lao Tze telah mengemukakan falsafah tao sebagai kekuatan di mana manusia cuba menjalin dirinya dengan alam. Konsep ini serupa dengan
konsep Wu-Wei dalam aliran Konfusius yang mentafsir kehidupan di alam ini adalah hasil dari pergerakan alam yang berterusan. Seseorang dianggap dapat berhubung denganalam apabila berjaya menghubungkan diri dengan tao melalui pembersihan jiwa atau mengosongkan diri dari dua perkara yang keterlaluan. Aspek terakhir yang terkandung dalam etika ialah aspek institusi agama. Masjid17 merupakan institusi agama Islam yang menjadi institusi penting dalam pendidikan sama ada berkenaan ilmu Islam atau informasi setempat. Kuil dan candi pula rumah ibadat penganut agama Hindu dan Buddha. Kuil menjadi pusat pendidikan oleh sami-sami Hindu dan Buddha. Candi pula bangunan yang berkait dengan aspek keagamaan seperti Candi Borobudur. Gereja pula berperanan sebagai tempat ibadat penganut Kristian, pusat pendidikan agama Kristian dan untuk aktiviti masyarakat setempat. Perkembangan ini melahirkan sekolah-sekolah missionari yang mendapat pembiayaan pihak gereja. Nilai-nilai Universal Antara Tamadun Asia Terdapat beberapa nilai-nilai yang menjadi prinsip asas ketika berlakunya interaksi tamadun. Pertamanya ialah berlandaskan idea keagamaan kerana nilai ini mambantu memantapkan lagi struktur sosial dan intelektual sesebuah tamadun. Semua tamadun Asia menjunjung tinggi doktrin keagamaan yang juga penyumbang kepada wujudnya kebudayaan dan sains. Contohnya dalam Tamadun China yang percaya kepada Tuhan walaupun mempunyai pelbagai aliran anutan seperti Konfucius, Daoisme atau Taoisme dan Buddhisme. Mereka juga mempunyai satu konsep iaitu tian yang bermaksud langit yang merujuk kepada dewa yang terpenting. Konsep ini berasaskan yang baik dibalas baik, yang jahat dibalas jahat. Maka, mereka berusaha mengawal tingkah laku untuk mengelakkan balasan daripada tian. Nilai kekeluargaan dan kemanusiaan juga menjadi prinsip utama. Dalam Islam, menjaga akhlak antara sesama manusia termasuklah ibu bapa, guru, kawan, jiran sesama Islam dan bukan Islam serta musuh Islam adalah 17
Tujuh bentuk seni bina masjid iaitu Maghribi, Andalusia, Mesir, Turki Saljuk, India, Iran Safawi dan Turki Uthmani.
ditekankan. Dalam aspek pergaulan juga, syariat Islam diturunkan agar kepentingan lima hak asasi manusia terlaksana yang meliputi hak beragama, menjaga kewarasan akal, manjaga nyawa, harta benda dan maruah diri. Seterusnya ialah nilai dari aspek tatacara dan etika dalam kehidupan. Dalam Tamadun China, terdapat konsep Dao18 dan pemikiran tentang Li19. Konfusius menekankan peraturan berasaskan kepada perhubungan manusia dengan Tuhan, manusia dengan manusia dan perhubungan politik. Selain itu, konsep zhong yong juga dititikberatkan oleh Konfusius yang mahukan kesederhanaan dan tidak menggunakan kekerasan sebagai jalan penyelesaian. Dalam pada itu, interaksi tamadun juga mementingkan kebijaksanaan pemimpin. Contoh paling ketara ialah kepimpinan dalam Islam yang berteraskan ‘pemimpin adalah khalifah di muka bumi’. Islam menggunskan sistem berpolitik seperti tauhid, risalah dan khilafah. Dalam politik, prinsip yang ditekankan ialah keadilan, kesamaan, syura dan akuauntabiliti. Sumber dalam politik Islam ialah kitabu’Llah dan sunnah rasul-Nya selain daripada ijtihad dan ijma’ ulama. Nilai menghargai alam sekitar juga terdapat dalam semua tamadun di Asia. Malahan dalam ajaran Tao, alam dianggap sebagai ibu atau dao. Dalam Buddhisme dan Shinto pula, hubungan manusia dan alam ditekankan melalui konsep esho fui yang menegaskan manusia dan alam saling memerlukan. Nilai yang terakhir yang menjadi pegangan setiap tamadun ialah pentingnya ilmu dan orang yang berilmu. Konsep ulama dalam Islam berkait rapat dengan individu yang berilmu yang ilmunya itu sempurna dan tercermin melalui kewibawaan personaliti diri dalam segala aspek. Ulam menjadi pembimbing umat, penyelesai masalah, pakar rujuk dan tauladan masyarakat Islam.
18 19
Dao bermaksud jalan dalam konsep Konfusius. Aspek li pula berkaitan dengan tatasusila.
Secara umumnya, tamadun Asia mempunyai kekuatan nilai sejagat dan sifat sepunya yang membawa keharmonian dalam interaksi di antara tamadun walaupun mempunyai agama dan budaya yang berbeza.
BIBLIOGRAFI Afifah Abu Yazid, (2004). Pengajian Tamadun Asia. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. Faizurah Hj. Basri et.al, (2008). Tamadun Islam dan Tamadun Melayu: Perkembangan dan Isu Kontemporari. Selangor Darul Ehsan: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UiTM. http://72.14.235.132/search?q=cache:MsFlx1H4GZgJ:www.ppl.upm.edu.my/inde x.php%3Foption%3Dcom_docman%26task%3Ddoc_download%26gid%3D2550 %26Itemid%3D176+interaksi+tamadun&hl=en&ct=clnk&cd=25&gl=my
http://ipkt.edu.my/naim/?_page=2 http://members.tripod.com/man999/Tamadun_Islam.htm http://ms.wikipedia.org/wiki/Tamadun_Islam http://tamadun-islam551.blogspot.com/2008/06/interaksi-antara-tamadun.html http://titas-haba.blogspot.com/2008_12_02_archive.html http://www.geocities.com/durontekno/TAMISLAM.htm#TAJUK-TAJUK http://www.google.com.my/search?hl=en&q=interaksi+tamadun&btnG=Search& meta= http://www.ums.edu.my/ppib/sarip_notaringkasTITAS.htm