HANYA TUHAN YANG TAHU KATEGORI :: CERPEN Hanya Tuhan Yang Tahu. Bayu pagi yang dingin mengelus lembut ke pipinya. Hawanya yang sejuk menusuk ke tulang hitam. Azan Subuh yang berkumandang di udara memecah kesunyian dan kesedihannya. Namun, kegusaran yang bersarang di benak fikirannya itu bagaikan tidak ketahuan hujung pangkalnya. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang agak berada. Benarlah seperti yang sering dikatakan oleh kebanyakan orang, kemewahan tidak pernah menjanjikan kasih sayang yang sempurna. Apa yang sangat membingungkan dirinya adalah sikap ibunya yang agak berat sebelah .Tanggapan yang dibuatnya adalah berdasarkan pemerhatiannya terhadap setiap peristiwa yang pernah berlaku, bukan berdasarkan emosi cuma. Apa sahaja yang dilakukan olehnya, pasti tidak elok dan tidak sempurna di mata ibunya. Walaupun begitu,h al sebegini tidak pula berlaku ke atas diri adik perempuannya. Dia juga sering dimarahi dan diherdik oleh ibunya tanpa mengetahui punca-punca sebenar kemarahan tersebut meledak. Sedangkan,dialah yang sering dipertanggungjawabkan untuk memasak, mengemas dan mencuci. Hinggakan kepada hal yang remeh-temeh seperti menyiram pokok bunga di halaman rumah juga turut dibebankan ke atas pundaknya. Lama dahulu,dia pernah melontarkan tanggapan negatifnya itu jauh-jauh dengan mengatakan bahawa semua yang dilakukan itu merupakan balasan kepada jasa dan pengorbanan ibu bapanya ketika membesarkannya. Sungguhpun begitu,dia tidak boleh membohongi dirinya sendiri,s edangkan dia sendiri menyedari yang semua perkara yang berlaku itu adalah palsu belaka. Tugasan-tugasannya itu, bagaikan suatu kemestian yang perlu dilakukan saban hari. Urusan memasak dan mengemas tetap harus dilaksanakan sekalipun dia kesuntukan masa untuk ke sekolah. Terkadang terbetik juga di hatinya, mengapa aku yang perlu melakukan semua ini? Walaupun agak terpaksa,diikhlaskan juga hatinya. Setibanya di sekolah, sesi pembelajaran sudah pun bermula. “Tok... tok... tok…,” kedengaran jelas ketukannya di pintu kelas. Berpasang-pasang mata tertumpu kepadanya. “Ya Aizah, kenapa awal sangat awak datang hari ni?” perli gurunya diiringi hilai tawa rakan sekelasnya. “Ada orang bangun lambatlah hari ni cikgu!” Kedengaran satu suara dari arah belakang penjuru kelas. Mukanya tertunduk ke lantai. Malu rasanya untuk berhadapan dengan mereka semua, terutama sekali Cikgu Salina. Perasaanya saat itu bercampur-baur, antara marah dan sedih. Langkah diatur dengan lemah ke arah meja gurunya itu,s eraya berkata, “Maafkan Aizah cikgu, Aizah terlewat bangun pagi tadi,” jelasnya lemah. Perkara yang sebenar harus dirahsiakan, menceritakan kesemuanya bermakna telah membuka pekung di dadanya sendiri. Dengan jiwa yang tidak tenteram, digagahkan juga untuk duduk dengan menganggap tiada apa pun yang telah berlaku sebentar tadi. Persoalan yang satu itu sering muncul di kotak fikirannya. Apakah rahsia dan sebabnya sikap ibu sedemikian rupa terhadapku? Tanyanya kepada diri sendiri. Akhir-akhir ini, emosinya sering terganggu. Tumpuannya terhadap pelajaran tidak
lagi seratus peratus seperti sebelumnya. Acapkali dia disergah oleh guru-guru yang mengajarnya kerana sering dilihat termenung dan berkhayal. Apalagi, ditambah pula dengan cemuhan dan hinaan yang dilemparkan secara percuma kepadanya lebih mengusutkan fikirannya. Peperiksaan yang bakal menjelang sebulan lagi, telah dapat dirasai bahangnya. Sedaya upaya dia mencuba untuk merehatkan fikirannya buat sementara waktu daripada memikirkan persolan itu. Berkat usaha gigih dan sifatnya yang rajin, impian yang dicita-citakan selama ini telah pun menjadi kenyataan. Ternyata,cemuhan dan sindiran yang diterima selama ini telah dapat dibalas dengan kejayaannya dan bukannya pergaduhan. Berita gembira itu dengan segera ingin dikhabarkan kepada ibunya yang pada ketika itu sedang berada di rumah. Seperti anak-anak yang lain, dia juga ingin mendengar pujian dan kata-kata manis yang keluar dari mulut ibunya hasil daripada usahanya selama ini. Namun,dia umpama menunggu buah tak gugur. Betapa hampa dan pilu hatinya apabila melihatkan perilaku ibu yang amat dikasihi dan disayanginya itu, Tuhan sahaja yang maha mengetahui bagaimana rawannya jiwa Aizah ketika itu. Sebagai penawar, hanya bapanya sahaja yang datang menemuinya untuk mengucapkan tahniah. Itupun, setelah dua hari berlalu. Sedih dan hiba hatinya tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Gerak-geri ibunya semakin hari semakin mengelirukan dirinya. Usahkan untuk bercakap dengannya, memandang mukanya sahaja sudah cukup membuatkan ibunya kelihatan loya. Jasadnya meronta untuk bertanya kepada ibunya, tetapi mulutnya seakan-akan terkunci sebaik saja melihat raut wajah ibunya yang sentiasa masam mencuka. Sejak kebelakangan ini,dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Badannya yang dahulunya agak berisi, sudah kelihatan bayang-bayang tulangtemulangnya. Rambutnya yang sebelum ini lebat dan panjang, kini semakin nipis dan seringkali gugur. Setiap kali rambutnya disisir, pasti ada sahaja helaian-helaian rambutnya yang halus itu menyembah bumi. Berpunca daripada perubahan pada dirinya yang agak drastik itu, dia membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tanpa memaklumkan kepada sesiapa. Hari yang dinanti-nanti akhirnya kunjung tiba. Hasil pemeriksaan yang diterimanya mengesahkan bahawa dia sedang menghidap penyakit leukemia iaitu kekurangan sel-sel darah putih. Kini,keadaannya sudah berada di tangga yang terakhir. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan, melainkan berdoa ke hadrat Allah Azza Wa Jalla dan berharap yang sesuatu keajaiban akan berlaku. Menurut perkiraan doktor yang memeriksanya, dia cuma ada beberapa bulan sahaja untuk hidup di dunia ini. Untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya yang tinggal sesaat ini,dia memohon untuk bekerja sambilan di perpustakaan negeri berhampiran rumahnya. Alhamdulillah, permohonannya diluluskan. Ibunya pula langsung tidak bertanya khabar.D i manakah dia bekerja? Dengan siapakah dia pergi? Pukul berapakah dia pulang? Tiada sepicing soalan pun yang timbul semenjak dia bekerja. Meskipun ibunya seolah-olah menjauhkan diri daripada dirinya,n amun,saban bulan,hampir semua duit gajinya diberikan kepada ibunya. Walaubagaimanapun, semua ini masih belum mampu membuka mata ibunya tentang betapa mengambil berat dan sayangnya dia kepada ibunya. Ayahnya pula sentiasa sibuk dengan urusan pejabat yang tidak pernah habis. Sekali-sekala ada juga dia mendengar suara ayahnya di ruang tamu rumahnya. Tetapi, belum pun sempat dia hendak pergi menemui ayahnya itu,ayahnya telah menghilangkan diri. Apalah dosaku pada ibuku sehingga aku diperlakukan sebegini rupa? Aku umpama patung yang tidak bernyawa di rumah besar ini. Getusnya di dalam hati.
Pada suatu hari, rumahnya dikunjungi oleh sahabat lama ibunya yang sudah lama tidak datang berkunjung. “Apa khabar anak engkau yang namanya Aizah tu? Dengar cerita dia dapat result yang cemerlang dalam SPM baru-baru ni,” tanya Puan Hana sebagai membuka bicara setelah sekian lama mereka tidak berhubungan. “Dia sihat sahaja. Apalah sangat keputusan dia tu kalau nak dibandingkan dengan orang lain. Tak ada apa-apa yang nak dibanggakan.” jawab Puan Liah acuh tak acuh. “Kenapa aku tengok kau ni seolah-olah membenci dan mahu meminggirkan dia daripada keluarga kau.Sedangkan dia juga anak kau,”soal Puan Hana lagi. Aizah yang pada ketika itu berada di ambang pintu biliknya untuk turun ke bawah,segera bertindak membatalkan niatnya itu. Lalu, dia mematikan dirinya di situ. “Kalau kau nak tahu sangat,si Aizah tu sebenarnya anak tiri aku. Dia anak isteri pertama suami aku. Emaknya meninggal dunia semasa melahirkannya. Aku bela dia ni pun hanya disebabkan untuk menjaga hati suami aku tu. Kalau tidak, sedikit pun aku tak sudi untuk menjaganya,” jelas Puan Liah panjang lebar kepada sahabatnya itu. Terpempan Aizah apabila mendengar butir-butir perkataan yang keluar dari mulut Puan Liah yang disangkakan ibu kandungnya selama ini. Bagaikan petir yang menyambar tangkai jantungnya, sungguhpun begitu, dia redha atas ketentuan Ilahi. Baru kini rahsia yang selama ini tersimpan kukuh telah pun terungkai. Linangan air mata yang hangat menuruni laju di pipinya yang cekung itu. Tiada apa lagi yang boleh dikatakan. Semuanya sudah jelas sekarang. Perkara yang sering mengganggu perasaannya selama ini ternyata bukan khayalan dirinya. Ia adalah suatu kenyataan yang harus diterima dan dia harus tabah dalam mengharunginya. Pasti ada hikmah di sebalik semuanya. Itulah ungkapan yang sering digunakan olehnya untuk menenangkan dirinya selama ini. Sesaat kemudian, dia terjelepuk jatuh ke lantai. Sejurus selepas itu, kedengaran laungan Puan Liah memanggilnya. Apabila tiada sahutan, dia segera menaiki tangga untuk menjejaki Aizah di bilik dengan jiwa yang amarah. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati Aizah terbaring kaku di atas tikar sembahyang. Wajahnya pucat sekali. Rasa marah yang wujud di hati Puan Liah sebentar tadi telah berganti dengan rasa panik yang amat sangat. Suaminya segera diberitahu tentang kejadian itu. Aizah dikejarkan ke hospital dengan bantuan sebuah ambulans yang tiba sebaik sahaja dihubungi. Aizah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi(ICU). Benak Puan Liah bercelaru dengan memikirkan perkara yang bukan-bukan tentang Aizah. Dia diburu rasa bersalah yang amat sangat. Wajah sugul jelas tergambar di raut wajah suaminya. Kelibat doktor yang merawat Aizah datang menghampiri mereka berdua. “Bagaimana dengan anak perempuan saya doktor? Apa sebenarnya yang terjadi pada dirinya? Dia ada menghidap apa-apa penyakitkah? Mengapa mukanya sebegitu pucat?” Bertubi-tubi soalan yang diajukan oleh bapa Aizah kepada doktor tersebut. Terbayang di ruang matanya, bagaikan skrin besar yang menayangkan segala kesibukannya di pejabat sehinggakan kebajikan anaknya yang satu itu diabaikan. Dia juga begitu arif dengan sikap isterinya yang tidak pernah berlaku adil kepada
Aizah. Namun,dia seolah-olah membodohkan dirinya sendiri dengan membiarkan semuanya berlaku di depan matanya sendiri tanpa bertindak. “Sebenarnya encik,anak encik menghidap penyakit leukemia yang sekarang ini sudah berada di tahap kronik. Dia sungguh tabah dan cuba untuk melawan penyakitnya itu walaupun dia sendiri mengetahui bahawa tiada apa yang mampu dilakukan dengan tubuhnya yang tersangat lemah itu. Dia mengamanahkan kepada saya supaya tidak menghantar sebarang maklumat kesihatan dirinya ke rumah encik kerana bimbang akan menyusahkan encik berdua,” terang doktor itu kepada keduadua insan yang berdiri di hadapannya dengan wajah yang tidak bermaya. Bagaikan satu kejutan saraf yang berlaku di dalam diri masing-masing. Tergambar jelas di ruang mata Puan Liah dosa-dosa yang pernah dilakukan kepada Aizah atas sebab sikapnya yang terlalu emosi dan marah kepada ibu Aizah yang kononnya telah menyusahkan hidupnya dengan memberi amanat kepada suaminya supaya menjaga Aizah selepas ketiadaannya. Lantas,dendam kesumat yang dipendam selama ini akhirnya diluahkan kepada si anak yang tidak berdosa itu. “Maafkan ibu, Aizah. Ibu dah banyak buat silap pada Aizah. Ibu harap Aizah dapat maafkan segala perlakuan ibu yang telah menyinggung hati Aizah selama ini. Maafkan ibu, Aizah.Maafkan ibu,” ucap Puan Liah dengan disulami deraian air mata dan esak tangis yang tak dapat dibendung lagi. “Tak mengapa bu, tak mengapa. Aizah dah lama maafkan ibu. Aizah pun dah tahu siapa diri Aizah dengan ibu sebenarnya. Aizah sedikit pun tidak kesal dengan apa yang telah berlaku. Mungkin ini semua ketentuan Ilahi untuk Aizah,” katanya tersekat-sekat. “Maafkan ibu, Aizah. Maafkan ibu. Ibu rasa sangat berdosa pada Aizah,” ulang Puan Liah kemudiannya. “Tak mengapa bu, tak mengapa,” jawab Aizah tenang. Lega hatinya tidak terkira apabila mendapati dirinya yang tidak beribu ini sudah dapat diterima oleh insan yang sedang duduk di sampingnya ketika itu. Tetapi,… hari yang disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Bunga-bunga kasih sayang yang mula berputik di lubuk sanubari Puan Liah terbantut dipertengahan jalan. “Ibu,ayah,…Halalkan makan minum Aizah selama membesarkan Aizah sehingga sekarang ini.Sampaikan salam rindu Aizah pada adik. Katakan padanya supaya belajar bersunguh-sungguh. Sambunglah cita-cita Aizah yang belum terlaksana. Maafkan segala kesalahan Aizah pada ibu dan ayah selama ni. Tiada apa yang dapat Aizah berikan untuk ibu sempena ulangtahun kelahiran ibu minggu hadapan. Cuma, ada sedikit cenderahati yang Aizah sempat buat,a da di dalam laci meja Aizah. Terimalah hadiah yang tak seberapa itu daripada Aizah untuk ibu, harap ibu menerimanya,” kata Aizah pada suatu petang. ”Assalamualaikum ibu, ayah… Aizah rasa mengantuk,Aizah nak tidur,” sambungnya sejurus selepas itu. Sedetik kemudian,d ia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Terukir indah di bibirnya suatu senyuman yang manis. Tetapi, tidak siapa pun yang mengetahui begitu banyak penderitaan semasa hidupnya yang disembunyikan daripada pengetahuan orang lain selama ini .Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh doktor yang pernah merawatnya itu, Aizah seorang anak yang tabah dan kuat semangat. Dia begitu merisaukan keadaan orang lain tanpa memikirkan dirinya
sendiri. Malahan, tiada siapa pun yang dapat menduga apa yang tersirat di dalam hatinya selama ini. Kesulitan yang dihadapinya tidak langsung dipancarkan di luarannya. Wajahnya yang tenang dan terpancar sinaran nur itu bisa menggamit seribu kegundahan dan lara di hati kedua-dua ibubapanya itu. Semoga dia bahagia di sana. Inna lillahi wa inna ilaihi raajiuun… ******** Hari itu sudah genap seminggu Aizah pergi meninggalkan keluarga yang amat disayanginya, pergi meninggalkan dunia yang penuh tipu daya ini dan pergi meninggalkan segala kesengsaraan yang pernah dialaminya selama ini. Seperti apa yang dijanjikan kepada arwah Aizah sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, Puan Liah cuba untuk menggagahkan dirinya melangkah ke bilik arwah anaknya itu. Langkahnya yang longlai diatur perlahan. Tubuhnya dirasakan bagaikan terbang diawang-awangan. Kesedihan di lubuk hatinya masih ketara di wajahnya dek bekas-bekas takungan air matanya yang belum kering. Kerinduan yang tiada berbelah bahagi bagaikan sengaja mengundang kehibaan di dalam jiwanya saat itu. Saat melangkah masuk ke kamar anaknya yang dihiasi cat berwarna biru laut itu, jantungnya berdegup kencang. Dadanya berombak-ombak turun naik apabila laci meja Aizah dibuka. Nafasnya bagaikan terhenti tatkala melihatkan sebuah bungkusan hadiah yang bercorak hati di atasnya. Pada bahagian atasnya tertulis, "Khas buatmu ibuku sayang di ulangtahun kelahiranmu". Oh,Tuhan.Maha hebat cubaan yang Kau berikan pada hamba Mu ini. Bagaimana bisa hamba Mu sekerdil dan selemahku ini mampu untuk menanggungnya. Perlahanlahan dibukanya bungkusan itu. "Novel",hanya sepatah kata yang terluncur dari mulut Puan Liah.D iselaknya muka surat pertama.' Betapa Aku Menyayangimu Ibu'... Adakah ini judulnya? Soal Puan Liah pada dirinya sendiri. Hasil nukilan: Anakmu, Aizah. Air matanya menitis sebutir-sebutir tanpa dia menyedarinya. Hanya Tuhan saja yang Maha Mengetahui betapa robek hatinya pabila membaca bingkisan hati seorang anak buat ibunya yang selama ini buta dalam mentafsirkan erti sebuah kasih sayang yang suci. Tiada sepatah ungkapan yang bakal menggantikan rasa hatinya yang kesal tika itu. Selamat tinggal anakku, semoga kau bahagia di sana!