Terdapat beberapa faktor yang mendorong berlakunya asimilasi. Salah satu faktornya adalah adanya sikap yang saling menghormati dan menghargai orang asing serta kebudayaan yang dibawanya. Di negara kita Malaysia, seperti apa yang berlaku ke atas masyarakat Cina Kelantan, Jawa, Baba dan Nyonya merupakan salah satu contoh berlakunya proses asimilasi. Walaubagaimanapun ianya hanya berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama. Dalam sesetengah kes masyarakat Cina di Malaysia telah mengamalkan kepelbagaian kebudayaan yang umum di mana pemikiran dan sentimen mereka walaupun bersifat kecinaan dari segi etnik namun mereka dikatakan berkongsi sentimen bersama beberapa cara hidup orang Melayu, India dan penduduk-penduduk Malaysia yang lain. Begitu juga sebaliknya samada dari segi pemakanan, pakaian dan sebagainya. Selain itu, antara faktor yang mendorong berlakunya proses asimilasi adalah memiliki sikap yang terbuka terhadap golongan yang sedang berkuasa dalam masyarakat dan kesanggupan etnik majoriti menerima etnik lain. Sikap keterbukaan ini memungkinkan adanya gerakan sosial sehingga memberi kesempatan untuk menaiki stratifikasi tinggi. Sistem ini mendorong seseorang melakukan perubahan menuju ke arah yang lebih baik. Contohnya apabila dilihat melalui konteks golongan Baba Nyonya di Melaka dan juga Pulau Pinang, golongan India peranakan atau Mami di Pulau Pinang dan Arab Peranakan sanggup mengorbankan bahasa nenek moyang mereka demi mengikut budaya dan etnik di Malaysia. Di sini amat jelas bahawa budaya golongan minoriti dalam konteks asimilasi sosial teradun dalam acuan budaya Melayu meskipun secara halus terdapat perbezaannya. Bukan itu sahaja, faktor yang mendorong proses asimilasi berlaku adalah berhubungan dengan budaya lain. Perhubungan dengan budaya lain telah mengakibatkan munculnya perubahan sosial. Apabila dua kebudayaan saling bertemu maka kedua-dua kebudayaan tersebut akan saling mempengaruhi dan akhirnya membawa perubahan. Hubungan dengan kebudayaan lain dapat dilakukan dengan tiga cara iaitu melalui pertukaran informasi. Kedua, kebudayaan yang berbeza bertemu secara langsung sehingga kebudayaan dari golongan manusia tersebut masing-masing berubah sifatnya yang khas. Ketiga, menggabungkan kebudayaan kaum-kaum yang berbeza untuk membentuk suatu kebudayaan yang terdiri dari pelbagai kebudayaan kaum. Walaubagaimanapun, terdapat juga faktor yang menjadi penghalang proses asimilasi. Antara faktornya ialah kurangnya pengetahuan kebudayaan sehingga menimbulkan perasaan takut terhadap budaya lain. Perasaan takut ini memang tidak dapat dinafikan dirasai oleh setiap rakyat atau kaum di Malaysia. Malahan timbul juga perasaan bahawa budaya etnik mereka lebih berdarjah tinggi daripada budaya etnik lain dan sebagainya. Perkara ini telah menimbulkan perbezaan kepentingan antara etnik-etnik yang terlibat. Ini merupakan halangan tersirat yang menghalang proses asimilasi daripada berlaku. Malahan, faktor yang menjadi penghalang proses asimilasi berlaku adalah kurangnya komunikasi dengan masyarakat kaum lain. Kehidupan terasing menyebabkan sebuah masyarakat tidak mengetahui perkembangan-perkembangan yang terjadi di masyarakat kaum lain. Mereka terkongkong dalam tradisinya sendiri dan tidak mengalami perubahan, sedangkan kebudayaan lain dapat memperkayakan lagi kebudayaannya sendiri. Dengan demikian, dapat disimpulkan bahawa komunikasi merupakan kunci terjadinya perubahan sosial budaya. Bahkan, sikap masyarakat yang sangat tradisional juga merupakan penghalang yang sukar dielakkan. Masyarakat tradisional biasanya bersikap mengagung-agungkan tradisi dan masa lampau kaum sendiri kerana mereka beranggapan bahawa tradisi tersebut secara mutlak tidak dapat diubah dan harus dikekalkan buat selama-lamanya. Anggapan inilah yang menghalang berlakunya proses perubahan sosial. Keadaan tersebut akan menjadi lebih buruk apabila insan yang berkuasa dalam masyarakat yang mundur adalah golongan konservatif.
Oleh itu, proses asimilasi seharusnya dibiarkan berlaku secara evolusi serta semula-jadi. Usaha untuk mewujudkan asimilasi secara paksaan pasti akan menemui banyak halangan dan kegagalan. Yang pasti konsep asimilasi yang diamalkan oleh Malaysia adalah berbeza dengan konsep yang diamalkan oleh negaranegara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik tidak dilenyapkan malahan digabung dan disatukan menjadi identiti dan budaya Malaysia.