DUNIA INI SUDAH NYANYUK Ayahku berkata “ Dunia ini sudah nyanyuk........ ” “ Kenapa ayah kata begitu?.” Soalku meminta penjelasan. “ Ialah, tak payah tengok banyaklah, buah sudah tidak bermusim lagi...., durian tak payah menunggu musimnya, sentiasa berbuah sahaja sepanjang tahun....dunia sudah tua, tidak dapat mengingati, bilakah masa sepatutnya untuk dia mengeluarkan buah....”. Terdetak dalam hatiku, betul kata ayah. Dunia ini ibarat manusia. Menjalani kitaran hidupnya dari bayi yang baru lahir kepada kanak-kanak, dari kanak-kanak membesar menjadi remaja. Setelah itu bertambah usianya menjadi dewasa dan akhirnya pastikan datang usia tua. Ibarat itulah juga dunia. Tidak tahu lagi, setakat mana dia msmpu bertahan hingga sampainya hari kematian iaitu akhirat. “ Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan ketahuilah dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” ( Al-Hadid :20)