DEMOKRASI DAN KEPELBAGAIAN PENDIDIKAN Dalam kontek sejarah perkembangan pendidikan, negara kita telah mengalami beberapa proses dalam meningkatkan taraf pendidikan masyarakat. Daripada dasar pendemokrasian pendidikan sehinggalah kepada liberalisme pendidikan yang telah memberikan kesan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi dan pengetahuan rakyat amnya. Liberalisme pendidikan yang ada hari ini telah mewujudkan penyertaan pelbagai pihak dalam pembangunan pendidikan termasuk pihak swasta. Walaupun di peringkat awalnya menerima tentangan hebat daripada masyarakat kerana kerajaan cuba mengurangkan bebanan tanggungjawab asas utama mereka tetapi, akhirya sedikit demi sedikit masyarakat mula menerima konsep tersebut dengan syarat asas-asas penting tidak diabaikan seperti tanggungjawab dalam memberikan kemudahan pinjaman dan seumpamanya. Apa yang paling penting di sini ialah konsep liberalisme pendidikan yang dipakai adalah bertunjangkan kepada konsep pendemokrasian pendidikan yang dipakai sebelum ini. Demokrasi pendidikan merupakan persamaan hak dan kesempatan bagi semua warganegara untuk mendapatkan pendidikan tanpa adanya diskriminasi antara suatu golongan dengan golongan yang lain. Semuanya mendapat jaminan hak yang sama baik dalam undang-undang maupun dalam pelaksanaannya. Dalam pernyataan umum sedunia tentang hak-hak kemanusiaan ( Universal Declaration of Human Right ) yang ditetapkan oleh Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1948 dalam fasal 26 menyebut bahawa : i Setiap orang berhak mendapat pendidikan. Pendidikan harus bebas sekurang-kurangnya pada peringkat asas dan peringkat dasar dan harus pula bersifat wajib. ii Pendidikan harus diarahkan kepada perkembangan sepenuhnya dari keperibadian kemanusiaan kepada memperkuatkan rasa hormat hak-hak kemanusiaan dan kebebasan. iii Orang-orang tua berhak untuk lebih dahulu memilih jenis pendidikan yang harus diberikan kepada anak-anak. Pernyataan ini memberi maksud bahawa kerajaan hendaklah memberikan seluas-luasnya ruang kepada pelbagai pihak untuk menerima pelbagai jenis pendidikan yang dikehendaki asalkan tidak bercanggah dengan dasar dan polisi yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Satu asas yang paling penting perlu ditekankan di sini ialah pihak kerajaan mestilah mempunyai rasa tanggungjawab yang besar untuk membuka ruang dan mempelbagaikan bentuk pendidikan kepada rakyat agar proses pembentukan pendidikan terus dapat diperkaya dengan semaksima mungkin. Konsep inilah juga yang mengekalkan sekolah jenis kebangsaaan cina, tamil sehingga ke hari ini di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Mengapa SAR yang sedia ada tidak disertakan dan dikekalkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan ? Sementelahan pula SAR juga mengajak pelajar menjadi warganegara yang memberikan sumbangan kepada negara. Sikap yang menganggap SAR tidak perlu mengharapkan bantuan kerajaan kerana ia
adalah sekolah yang dibina atas usaha rakyat dan rakyat perlu berdikari sendiri tidak dapat diterima dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Dalam sistem demokrasi, ‘kerajaan’ yang dipilih ialah di kalangan rakyat dan untuk kepentingan rakyat. Ia adalah berasaskan kepada kedaulatan rakyat, kekuasaan rakyat dan pemerintahan rakyat. Kita tidak menafikan kesungguhan kementerian dalam menjadikan pendidikan yang sedia ada disepadukan dengan nilai-nilai murni dan etika. Langkah ini perlu diteruskan kerana ia juga akan menuju ke matlamat yang sama. Begitu juga dengan integrasi nasional yang cuba ditekankan. Penekanan tersebut tidak boleh mengenepikan sama sekali pluralisasi dalam pendidikan yang sememangnya akan berdepan dengan beberapa limitasi, sensitiviti, tuntutan yang berasaskan ras dan seumpamanya. Terdapat pelbagai amalan dan pandangan mengenai pendidikan. Ini adalah disebabkan setiap kumpulan mempunyai budaya dan keperluan yang berbeza. Kematangan ibu bapa hari ini sudah tentu dapat membezakan di mana perlunya dihantar anak-anak mereka. Tidak perlu meng’ugut’ atau mengarahkan mereka. Biarkanlah mereka membuat pilihan sendiri. Jika dilihat semangat polisi pendidikan British pada masa sebelum kemerdekaan, mereka tidak mengenepikan hak ibu bapa untuk menentukan pendidikan anak-anak. Apatah lagi pengetahuan ibu bapa pada masa dahulu tidak sama dengan tahap pengetahuan ibu bapa pada masa sekarang. Mampukah kerajaan mengatasi kehendak dan kepuasan ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak mereka? atau mahu membiarkan ibu bapa memendam perasaan tidak puas hati mereka secara senyap. Ia hanya akan berjaya pada jangka waktu yang pendek tetapi kami yakin untuk jangka masa panjangnya, perasaan ketidakpuasan hati ini akan dilepaskan dengan ‘dentuman’ yang kuat apabila tiba masanya. BERSIFAT TERBUKA Suasana masyarakat majmuk dalam negara telah mendedahkan kita dengan kekayaan semangat toleransi yang tinggi. Pendedahan kepada pelbagai bangsa dan agama sewajarnya telah memberikan pengalaman yang istimewa kepada kita semua. Sebagai ahli masyarakat yang telah lama hidup dalam suasana tersebut, ia sangat menyakinkan kita dalam memperkayakan pemikiran sikap dan tingkah laku dalam melihat kepentingan sesuatu bangsa dan agama. Masalah pendidikan SAR tidak boleh dilihat sebagai kepentingan sekelompok atau puak tertentu sahaja kerana ia adalah sebahagian daripada proses pendidikan. Ia juga tidak boleh dikatakan wujudnya kepentingan politik sematamata samada kewujudannya atau penghapusannya. Tetapi, apa yang lebih penting ialah masalah kesinambungan pembangunan pendidikan ini adalah sebahagian besar daripada pembangunan Islam dan nilai-nilai etika yang baik dalam masyarakat yang seharusnya dilihat menjangkau jauh dan merentasi sempadan politik, puak, kaum, bangsa dan pertubuhan-pertubuhan yang ada. Pelbagai pihak yang terlibat seharusnya bersifat terbuka dalam melihat sejarah dan perjalanan bentuk sistem pendidikan ini. Mengapa sistem pendidikan yang sedia ada
kurang berjaya melahirkan pelajar yang budi pekertinya yang mulia sebagaima yang tercatat dalam Falsafah Pendidikan Negara. Tanggapan ini adalah tanggapan umum yang agak sukar untuk ditolak. Kita tidaklah mahu mempersoalkan kelemahan yang ada tetapi adalah lebih baik jika kita mewujudkan persaingan melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akhlaknya selain daripada kelayakan adademik. Jika persaingan kelayakan akademik telah dibuka sekarang dengan wujudnya Akta Pendidikan Swasta, apa salahnya persaingan dalam membentuk dan melahirkan insan yang terbaik dibuka seluas-luasnya. Kadangkala kita merasakan para ibu bapa sendiri teragak-agak untuk menghantar anakanak mereka ke sekoah aliran kebangsaan. Walaupun struktur SAR dan pencapainnya mungkin lemah, kewangan yang terhad dan pelbagai kelemahan lagi tetapi pihak yang terlibat sanggup berkorban demi memelihara sistem pendidikan Islam yang suci itu. Bersidat pekalah kepada kehendak pencinta SAR dan bantulah mereka sekadar yang patut dan sewajarnya. Kelulusan akademik yang rendah, masalah pengurusan, kelemahan pentadbiran dan bantuan yang terhad adalah satu perkara yang sudah lama dibincangkan tetapi mengapa ia masih wujud sehingga ke hari ini. Itulah bukti kekuatan yang ada pada mereka. ‘Sudah jatuh ditimpa tangga’ menjadi perkara biasa kepada mereka. Yang ‘luar biasanya ‘ ialah apabila tangga tersebut telah ‘dicuri’ dan mereka sudah tidak mempunyai ‘tangga’ lagi untuk meneruskan pembinaan. Pandangan sebahagian kecil daripada 23 juta rakyat ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh pihak berkuasa. Sesuatu yang benar perlu diambil kira dan jangan menyisihkan sekumpulan masyarakat ini dari arus perdana kerana dari sudut sejarah dan sumbangannya kepada masyarakat tidak boleh dipandang kecil.
Info Pendidikan: Demokrasi Pendidikan Rapat Jurang Kaum – Hishammuddin
PEKAN 24 Sept. – Kementerian Pelajaran akan terus berusaha untuk mendemokrasikan pendidikan bagi merapatkan jurang di kalangan masyarakat berbilang etnik, budaya dan sosioekonomi di negara ini. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementerian beliau sentiasa mengambil langkah ke hadapan bagi memastikan tidak ada murid yang akan ketinggalan dalam mengikuti arus perkembangan pendidikan di negara ini Katanya, menerusi Jabatan Pendidikan Khas, kementeriannya akan terus komited menyediakan perkhidmatan pendidikan untuk murid yang mempunyai masalah penglihatan, pendengaran, pembelajaran dan pemulihan khas. ‘‘Kategori murid-murid bermasalah pembelajaran di bawah kementerian ialah sindrom down, autisme ringan, attention deficit hyperactive disorder, terencat akal minimum dan bermasalah pembelajaran spesifik,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis penutup program Outreach pendidikan khas dan lawatan menangani isu-isu pendidikan anak Orang Asli oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Sekolah Kebangsaan Runchang, dekat sini, semalam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Parlimen kementerian, P. Komala Dewi. Katanya, bagi menjayakannya, program Pendidikan Khas Integrasi telah dilaksanakan di sekolah aliran perdana yang menekankan kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya murid-murid berkenaan menerima pendidikan yang lebih tinggi. Beliau berharap melalui program seperti itu, pelajar bermasalah akan mendapat pekerjaan dan mampu hidup berdikari. Sementara itu, beliau berkata, program pemulihan khas disediakan untuk membantu murid mengatasi masalah belajar yang khusus terutamanya dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). ‘‘Bagi pelajar golongan ini, mereka diajar dengan menggunakan pendekatan pengajaran pembelajaran pengasingan sementara. ‘‘Sementara itu, dalam konteks pembelajaran anak-anak Orang Asli dan anak-anak pribumi Penan, kementerian memberikan penekanan dan fokus kepada keperluan
mendefinisikan semula persekolahan mereka,” katanya. Kata Hishammuddin, pendefinisian semula ini dilakukan untuk membantu anak-anak Orang Asli dan Penan supaya tidak terus tercicir dalam pendidikan. Golongan ini, kata beliau, boleh dikelompokkan dalam golongan berisiko tinggi yang perlu diberi perhatian agar tidak wujud jurang besar dalam pelbagai aspek antara murid di kawasan bandar dan luar bandar. Katanya, program Outreach yang dilaksanakan oleh kementerian bertujuan memenuhi matlamat menyediakan peluang pendidikan formal kepada semua kanak-kanak termasuk kanak-kanak berkeperluan khas. ‘‘Program Outreach yang dijalankan sebelum ini di Ulu Tembeling, Jerantut, Baram Tengah di Ulu Baram, Sarawak dan bahagian Pantai Timur di Sabah mendapati masih banyak aspek perlu diberi perhatian. ‘‘Antaranya ialah infrastruktur dan pengisian pendidikan bagi menggalak pembelajaran yang berterusan di kalangan murid Orang Asli, pribumi Penan dan Bajau Laut.