Cerpen : Ajal Yang Menggamit Dia terkedang di situ, di tengah-tengah ruang tamu. Terbaring kaku beralaskan tilam kekabu. Hanya matanya sahaja yang membundar memandang ke siling menandakan dia masih lagi bernyawa tetapi dalam keadaan nazak. Air liur yang pekat likat meleleh melalui rekahan bibir, menuruni pipi dan jatuh ke bantal kusam yang mengalas kepalanya. Beberapa orang sedang mengelilinginya, menghadiahkan bacaan Yasin kepadanya. Diangkat kepalanya. Dicuba melilaukan pandangannya kepada mereka yang sedang mengelilinginya. Dicari di mana anak remaja lelakinya. Kalau mungkin dia berada di antara mereka itu. Tetapi dia hampa. Pantas dia teringat anak lelaki tunggalnya kini berhijrah ke kota selepas gagal dalam peperiksaan PMR. Hampir tiga tahun dia menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Disorot pula pandangannya ke arah kumpulam wanita yang berada di sudut ambang ruang dapur. Bagaikan terlihat kelibat anak dara suntinya di situ. Tetapi itu cuma khayalan. Kerana anak daranya itu sekarang berada di rumah pengasih. Setelah mengandung tanpa bapa. Paling pasti berada di situ adalah isterinya yang setia. Terhingut-hingut tubuh isterinya sedang menahan esakan. Kembali dia merebahkan kepalanya ke bantal. Tidak mampu lagi dia melawan denyutan bisa penyakitnya. Bagaikan bisa itu sedang menular ke segenap urat sarafnya, membuatkan pandangannya menjadi kabur. Tetapi dia cuba lagi menggagahinya, membundar pandangannya, menggapai tangannya dan mengepal kejap penumbuknya. Pak Imam yang berada paling hampir, merapatkan bibir ke cuping telinganya. “lailahhaillaAllah, Muhammadur rasulullah...” Meluncur suara serak basah Pak Imam menjunam ke gegendang telinganya. “Arrk..Arrkk..Arrkkkk!” Itu yang mampu diucapkannya. Mulutnya ternganga luas. Air liur yang pekat likat makin banyak meleleh keluar. Baunya amat meloyakan. Dia terlalu sukar menyebut kalimah yang menzahirkan seseorang itu adalah seorang muslim sejati. Lidahnya menjadi kental untuk mengungkapkannya. *****
Pak Imam menggeleng kepala. Semua yang lain tertunduk memandang lantai. Isterinya makin kuat dengan esakannya. Sudah tentu mereka semua tertanya-tanya kenapa dia jadi begitu. Sakitnya tiba-tiba sahaja datang menyerang. Sebelum itu dia segar bugar. Tubuhnya tegap dan sasa. Begitu galak dia ke sana dan ke mari, menjelajah hingga sampai ke sempadan. Tetapi sekelip mata sahaja segalanya berubah. Dia tiba-tiba jatuh sakit sekembalinya dari pekan Golok. Dia sekarang bagaikan orang tua berusia 70an. Kulitnya kecut dan kering. Apabila dadanya terserlah, tampak tulang selangka menonjol bagaikan rangka hidup. Sekali lagi Pak Imam meluncurkan kalimah syahadah ke cuping telinganya. Namun ungkapan tetap sama. Mulutnya ternganga dengan air liur pekat likat dengan bau yang meloyakan meleleh keluar. “Apa sudah jadi?” Pak Imam melontarkan pertanyaannya kepada isterinya. Namun tiada berjawab. Isterinya tetap dengan esakan yang semakin kuat, seperti tidak rela untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya. Isterinya cuba melindungi sesuatu yang mungkin mencetuskan aib. Ketika inilah dia merasakan kesetiaan isterinya, yang selamanya ini menganggap perempuan ibarat persalinan. “Ayuh kita ke Golok!” Di sorot pandangannya ke wajah rakannya yang berkulit hitam legam macam bangla. Dan serentak dia ketawa berdekeh-dekeh mendengar pelawaan itu. “Bila?” katanya setelah ketawanya reda. “Hari ini jugalah.” “Cepatnya!” Terbeliak matanya. “Ada ayam baru sampai?” soalannya mengukir senyum penuh makna. “Mestilah! Ayam baru habis sekolah, muda-muda tau...” Sekali lagi ketawanya pecah. Kali ini makin kuat sampai nampak anak tekak. Rakannya turut tumpang sekaki mengiringi gelaknya. Tergambar di matanya bagaimana gadis-gadis montok negara jiran itu berpakaian ghairah. Gadis-gadis genit yang baru menamatkan alam persekolahan, sedang mabuk memburu kerja sampingan dan mencari wang menyara keluarga yang daif. Senyum di bibir makin lebar. Mindanya merancang-rancang. Ayam yang bakal disewa nanti akan diratah semahu mungkin. *****
Di pekan Golok yang sentiasa hidup, menjadi minat pelancong dari segenap pelosok. Bukan sahaja menjajah di gerai-gerai menjual barangan klon berjenama dengn harga murah, tetapi menyusuri lorong-lorong belakang, mengintip sundal bakal melepaskan nafsu serakah. Dosa yang mengamit dan syaitan bertepuk tangan, tanda anak Adam telah berjaya dijerumuskan ke lembah maksiat. “Sawasdeekrup!” Terus sahaja dia disapa oleh seorang wanita berusia 40an. Begitu mesra dengan senyuman memancing pengunjung. Dia mematikan langkah menarik lengan rakannya menghampiri wanita itu yang masih belum putus dengan senyumannya. “Abang, apa pasal lama tidak nampak?” Rupanya dia begitu popular. Kelibatnya sentiasa menjadi perhatian. Melewati kaki lima kedai-kedai yang berderetan di pekan kecil itu, namanya kerap dipanggil. Lehernya terpulas ke kiri dan ke kanan melayari jeritan panggilan itu. Lenguh tangannya terangkat memberi respon membalas gamitan dari jauh. “Sekarang abang mahu macam biasa?” Kepalanya sepontan terangguk. Wanita itu sudah arif dengan hasrat yang terbendung di dalam hatinya. Juga kepada tetamu yang mengunjungi rumah-rumah tumpangan di situ. Wanita itu yang mempunyai pengalaman agak luas menjadi ibu kepada sekumpulan ayam-ayam di pecan itu. Dan berpestalah dia, berenang di lautan kenikmatan dunia yang penuh dengan noda serta dosa yang hanyir. Wang panas, hasil upah menyeludup beras dan barang-barang terlarang habis dengan sekelip mata. “Aaaaarrrrrgghhh!” Jeritan suaranya bergema. Mereka yang sedang khusyuk membaca surah Yasin mengangkat kepala, melontar sejenak pandangan ke arah tubuhnya yang terkedang di tengah-tengah ruang tamu. Dia cuba membangkitkan tubuhnya yang semakin lesu. Kedua belah tangannya terjulang dengan kepalan penumbuk kejap dan kukuh, hingga urat-urat hijau membonjol di lengannya yang sudah kehilangan isi. Pak Imam masih setia di situ. Mulutnya terkumat kamit membaca ayat-ayat suci. Tangan Pak Imam kemudian merayap ke kepalanya. Dia merasa telapak tangan itu begitu dingin bagaikan salju sedang mengusap ubun-ubunnya. Denyutan yang menerawang di dalam tubuhnya seakan terpujuk dari terus mengganas, memberi ruang buat dia melenakan diri seketika. Kemudian bacaan Yasin yang tergendala tadi diteruskan kembali.
***** Phang! Tamparan tangan sasanya tepat mengena pipi kiri Haji Sameon. Semua pengunjung warung kopi itu terkedu. Suasana menjadi senyap. Badan Haji Sameon yang kurus melidi itu terhoyong hayang melanggar beberapa biji kerusi plastik sebelum terduduk di lantai. Kopiah putihnya terlempar jauh ke luar warung. Semua pengunjung di situ tidak menduga sampai ke tahap itu pertikaman lidah antara dia dan Haji Sameon. Tidak terjangka oleh mereka, dia begitu tergamak menempeleng seorang warga emas yang pada mulanya menegur aktiviti buruknya, menganjurkan judi laga ayam di hujung kampung. Dia berani kerana ada kunci-kuncunya yang ramai. Mempunyai rakan-rakan yang seiras perangainya, sanggup berdepan lawan tanpa berputih mata. Kerana itu juga cakapnya selalu berbaur takbur. Lagipun dia adalah bekas naib juara muay thai. Pertandingan akhir di gelanggang Narathiwat menyaksikan dia tewas tipis dengan jaguh dari Songkla. Dia mendapat tahu, pertandingan itu telah disabotaj oleh pihak penganjur. Di mana kaki judi telah membeli perlawanan itu. Tetapi dia tidak ralat. Rakan-rakan rapatnya tetap menganggap dirinya sebagai wira. “Aaaaarrgghhh!” Bergema lagi jeritan suaranya yang berbaur kesakitan yang teramat sangat. Denyutan kembali mengganas, menjalar ke segenap urat nadinya. Terlalu sukar dia mahu menjelaskan bagaimana terseksa dirinya sekarang. Penyakitnya terus menjadi misteri kepada semua. Malah isterinya sendiri tidak tahu apa penyakit yang ditanggungnya. Dia bertekad merahsiakannya. Tetapi ketika awal badannya demam, secara senyap-senyap dia telah berjumpa doktor. Setelah membuat pemeriksaan dia seakan tidak percaya dengan kata-kata doktor di klinik swasta itu. “Awak dijangkiti penyakit kelamin.” Dia terkedu seketika sebelum mengangkat wajahnya bertentangan mata dengan doktor muda itu. Dicuba mencungkil kepastian kata-kata yang terucap itu. Masih curiga dia mendengarnya. Kerana dia selalu yakin dengan cara pencegahan yang dibuatnya. Kerana setiap kali selesai melayari bahtera nafsunya, dia akan dibekalkan dengan pelbagai ubatan yang bernilai puluhan ringgit. Ketika itu dia tidak peduli berapa harganya, kerana paling utama adalah keseronokan dan keselamatan pada dirinya.
Sesungguhnya dia terlupa atau terlalai dengan kuasa dan takdir Allah. Dia terbuai di dalam buaian dosa kenikmatan yang diciptanya sendiri. Dia jauh tersasar dan sudah terlewat, mengejar lima perkara sebelum hadir lima perkara di dalam kehidupan manusia. “Aaaaarrghhh!” Dia menggelupar menahan bisa yang bergelodak. Hampir keseluruhan tubuhnya dirasa berdenyut. Kali ini lebih kerap dan ganas. Pak Imam disisinya masih belum berputus asa. Dicapai botol berisi air bacaan Yasin, dituang ke telapak tangan. Ketika air itu diraup ke wajahnya dan membasahi kepalanya, dia menjerit semakin lantang. Dia berguling ke kiri dan ke kanan. Hinggakan kilasan kain sarungnya hampir tertanggal. Dirasakan kulit mukanya membahang, seperti ada curahan minyak api ke badannya. Ditolak tangan Pak Imam, agar jangan lagi air itu disentuh ke tubuhnya. Sekali lagi mereka terpaku kehairanan. Berbagai persoalan timbul di dalam benak masing-masing dengan pelbagai andaian tercipta. Dikala itu gegendang telinganya sekali lagi tertangkap suara Pak Imam melafazkan kalimah syahadah. Tetapi malang! Lidahnya tetap menjadi kelu. Dia masih sukar menyebut patah-patah kalimah itu. Dadanya berombak kencang menahan mengah. Mulutnya ternganga bersama air liur pekat likat, berjejeran keluar melalui celahan bibirnya yang kehitaman. Matanya terbelalak memandang jauh ke atas, bagaikan melihat sesuatu yang paling menakutkan “Assalamualaikum…” Semua pandangan tertumpu ke arah suara itu. Di ambang pintu tercegat Haji Sameon. Badannya yang kurus melidi itu dibaluti baju melayu warna biru muda dengan kain pelikat bercorak petak-petak. Kopiah putih tersarung kemas di pundak kepalanya. “Boleh saya naik?” Pak Imam angguk, sambil pandangannya melingas kepada semua tetamu di situ yang sepi tanpa sepatah kata. Kebenaran itu melancarkan langkah Haji Sameon ke ruang tamu. Dia mengambil tempat serapat mungkin dengan tubuh yang terkedang itu.
Perlahan-lahan dia menoleh wajahnya kepada suara yang menyeru lembut namanya. Dia masih mengecami orang yang mula bersimpuh di sisinya. Orang yang pernah ditempelengnya. Tangan kurus melidi Haji Sameon dicapainya, digenggam dan dirapatkan ke dadanya. Mulutnya terkumat kamit tanpa kata yang terluah. Air jernih mula tergenang di tubir mata. “Aku Maafkan, aku tidak pernah berdendam dengan kau.” Hati kerasnya menjadi sayu. Air jernih mula tumpah menitik setitik dua ke atas bantal kusam yang mengalas kepalanya. Kata-kata itu dirasakan begitu. Dia melepaskan perlahan-lahan tangan Haji Sameon. Pandangannya kemudian beralih. Tangannya cuba menjangkau memegang bahu Pak Imam di sisi sebelah kanannya. Bibirnya bergerak-gerak untuk menyatakan sesuatu. Tetapi ketika itu dirasakan tenaganya semakin longlai. Dadanya terasa sesak. Nafasnya tersekat-sekat. Dia cuba menjerit, tetapi kali ini suaranya bagaikan tersekat di kerongkong. Kedua belah tangan dan kakinya terlunjur lurus dengan air mukanya mula bertukar kebiruan. Beberapa detik kemudian, segala-galanya menjadi gelap. “InnaliLlah wa’inna ilaihiraaji’uun...” Terucap kalimah itu dari Pak Imam dengan gelengan kepalanya penuh kesal. Ketika itu kedengaran raungan seorang wanita, serentak menerpa memeluk jasad yang sudah bertukar kaku itu.