Beragama Adalah Fenomena Sejagat

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Beragama Adalah Fenomena Sejagat as PDF for free.

More details

  • Words: 964
  • Pages: 3
BERAGAMA adalah fenomena sejagat. Hampir semua masyarakat bertamadun, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pandangan atau pernah melalui proses orientasi agama atau kepercayaan dalam sejarah pembentukan dan pengembangan peradaban mereka. Evolusi sosial mengubah orientasi dan pegangan kepada agama, yang mengakibatkan pemisahan agama daripada pemerintahan seperti yang berlaku dalam sejarah tamadun Barat dan Islam pada satu masa dulu. Namun, ia sama sekali tidak terus menidakkan kewujudan dan peranan agama dalam membentuk nilai dalam sebuah masyarakat hingga kini. Pemikiran sekular walaupun wujud, contohnya di Barat, nilai agama masih terus bertahan dan berperanan dalam pembentukan masyarakatnya. Oleh kerana sifat kesejagatan pengaruh agama membentuk nilai dalam masyarakat, maka kajian mengenai masyarakat tidak akan lengkap, tanpa melihat agama sebagai antara faktor yang mempengaruhi pembentukan nilai masyarakat dalam sesebuah negara. Dalam Islam, nilai agama bertunjangkan kepada tauhid dan bersendikan akidah. Bagi penganut agama Islam, nilai yang mereka pegang berpandukan kepada ajaran dan panduan al-Quran dan sunnah. Oleh kerana sebahagian besar penduduk negara ini beragama Islam, maka tentulah, nilai agama Islam berperanan dalam sejarah dan membentuk masyarakat Malaysia hingga hari ini. Sejarah mencatatkan bahawa sejak mempunyai kerajaan, penduduk di Tanah Melayu beragama Islam. Undang-Undang Kanun Melaka yang wujud dalam pemerintahan kesultanan Melaka jelas dipengaruhi oleh nilai pegangan Islam dalam masyarakat Melayu pada waktu itu. Kedatangan penjajah Barat yang menakluki Tanah Melayu mengubah struktur politik negara ini pada waktu itu. Namun, hingga kepada penjajahan British, pengaruh dan nilai Islam tidak pernah terpinggir sepenuhnya dalam pembentukan sistem masyarakat yang membentuk struktur pemerintahan penjajah pada waktu itu. Kuasa tertentu, khususnya yang membabitkan adat resam dan amalan agama Islam terus diberikan kepada raja yang mereka iktiraf. Begitu juga dengan keadaan apabila rundingan dengan pihak British sebelum negara memperoleh kemerdekaan. Islam tetap menjadi keutamaan dalam membentuk keputusan masyarakat Islam dan ia diiktiraf oleh British. Hal ini, dibuktikan apabila pemimpin Islam yang memperjuangkan kemerdekaan berpendirian tegas untuk memaktubkan dalam Perlembagaan yang dicadangkan supaya Islam menjadi agama rasmi negara. Perkara itu juga dipersetujui oleh kaum lain yang mahu turut menjadi anggota kepada negara baru ?Malaysia? yang merdeka.

Sebagai kompromi kepada persetujuan yang dicapai, hak kewarganegaraan diberikan kepada pendatang dari China dan India. Dimaktubkan juga kebebasan mereka untuk terus mengamalkan agama masing-masing dalam ruang lingkup perundangan yang ada. Mengambil kira masyarakat majmuk di Malaysia, tentulah gabungan nilai yang dapat diterima semua, menjadi pilihan ideal bagi digunakan untuk membentuk masyarakatnya. Namun, oleh kerana Islam menjadi anutan majoriti penduduk di Malaysia, nilai yang ditonjolkan tentulah dikaitkan dengan pegangan agamanya. Sekadar memberikan contoh di negara ini diperkenalkan sistem ekonomi alternatif yang serasi dengan nilai Islam. Prinsip dan amalan nilai Islam, diterapkan juga dalam pentadbiran. Nilai lain termasuk usaha membanteras rasuah, membasmi kemiskinan, mewujudkan keadilan sosial, meningkatkan produktiviti, mewujudkan masyarakat berintegriti, pengukuhan institusi keluarga, penekanan kepada pendidikan dan pencapaian ilmu pengetahuan serta sains dan teknologi. Terbaru kempen mengubah sikap kepada amalan berbudi pekerti tinggi dan amalan nilai murni dalam masyarakat. Kalau diteliti, nilai itu sebenarnya bersifat sejagat dan ada dalam semua ajaran agama. Tidak hairanlah, apabila diterapkan nilai Islam dalam masyarakat, tiada penentangan atau bantahan daripada mana-mana kumpulan agama di Malaysia. Semua lapisan masyarakat menerimanya dengan hati dan minda terbuka. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kebebasan beragama sedia terjamin dalam Perlembagaan negara. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Malaysia sejak kita memperoleh kemerdekaan. Kesefahaman kepada pengaruh dan peranan nilai agama itu mewujudkan masyarakat yang mampu bekerjasama dan berinteraksi. Dalam erti kata lain, masyarakat harmoni dalam menangani masalah yang dihadapi. Bukan Islam, minoriti dalam masyarakat Malaysia pada hari ini juga tidak berasa terpinggir dan diketepikan. Peruntukan dalam Perlembagaan negara sedia memberikan mereka kebebasan dan jaminan untuk mengamalkan nilai yang diajarkan agama masingmasing. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Malaysia sejak kita merdeka. Keharmonian ini, seharusnya dipelihara dan dipupuk sepanjang masa serta dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Malaysia mempunyai rekod cemerlang sebagai negara berbilang kaum, agama dan budaya. Ia tidak seperti banyak negara majmuk lain yang menghadapi masalah besar dalam mengimbangi kebebasan pengaruh nilai dan beragama dalam masyarakat. Masyarakat yang gagal menjamin kebebasan beragama akan gagal mewujudkan keharmonian. Semua agama menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam perhubungan sesama

manusia. Islam, sebagai agama ?yang mensejahterakan? atau ?agama keamanan? sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia, meskipun anutan agama mereka berbeza daripada Islam. Firman Allah bermaksud: ?Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.? (Surah al-Maidah, ayat 8) Dalam soal memelihara keharmonian agama, masyarakat bukan Islam dan Islam mempunyai peranan sama penting. Di pihak bukan Islam, tuntutan mereka perlu munasabah dan rasional untuk mengelakkan pertembungan yang merugikan semua pihak. Sikap emosional, keterlaluan, fanatisme dan terlalu mementingkan diri perlu dibatasi dengan kewarasan dan rasionalisme yang bertunjangkan keadilan untuk semua. Kalau pun menghadapi masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam menyelesaikannya. Memilih jalan konfrontasi dan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti melakukan keganasan harus dielakkan bagi menjamin keutuhan sebuah masyarakat dan negara. Kegagalan masyarakat dalam mewujudkan keharmonian menyebabkan konflik, yang pada akhirnya membawa kepada krisis kemanusiaan. Semua agama, Islam, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian mengalami keadaan di mana ia diheret dalam kancah konflik, sedangkan semua agama ini menyeru kepada kedamaian dan kerukunan hidup sesama manusia. Keadaan ini berlaku kerana ?pelampau? yang mengambil kesempatan dalam sesebuah masyarakat. Mereka akan mengambil kesempatan daripada sesuatu yang amat sensitif kepada manusia iaitu nilai agama bagi mencetuskan kekecohan demi memenuhi kepentingan tersembunyi. Agenda sebenar mereka mungkin penguasaan politik atau pemerintahan, ekonomi atau penguasaan wilayah. Hakikatnya, kestabilan dan keharmonian yang sedia terjalin akan musnah kalau kita gagal memelihara keharmonian dan nilai yang dibawa oleh agama. Sebagai anutan majoriti, nilai Islam menjadi asas kepada membina keharmonian masyarakat di Malaysia dan seharusnya mendapat sokongan semua pihak.

Related Documents

Rasa Beragama
June 2020 17
Dbq Fenomena
December 2019 26
Fenomena Facebook
June 2020 22
Fenomena Kasus.docx
June 2020 23