Bahasa Melayu Perlu Dimantapkan Martabatnya

  • Uploaded by: mubasheva
  • 0
  • 0
  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Bahasa Melayu Perlu Dimantapkan Martabatnya as PDF for free.

More details

  • Words: 705
  • Pages: 3
Bahasa Melayu perlu dimantapkan martabatnya Oleh ANI AWANG

RAIS Yatim merasmikan Seminar Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu Ke-2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

BAHASA Melayu telah mempunyai korpus yang setanding dengan bahasa antarabangsa dan mampu untuk membicarakan apa sahaja bidang ilmu. Justeru, usaha harus dilakukan bagi memartabatkan bahasa itu. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika merasmikan Seminar Linguistik dan Bahasa Melayu Ke-2 yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, KeKKWa dan Kementerian Pelajaran telah mengemukakan cadangan kepada Kabinet agar memperbaiki dan memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu di negara ini. Cadangan itu antara lain cuba menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar. Untuk itu, kata Rais, kempen bahasa perlu melibatkan orang bukan Melayu dan Melayu. Penggunaan Bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa perisian terutama dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Rais menegaskan, cadangan itu juga akan meminta para pendidik mewujudkan istilah Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu supaya Bahasa Melayu tidak terpinggir. “Seni pertuturan Bahasa Melayu di universiti juga perlu diperbaiki. Mewujudkan kerusi Pengajian Bahasa Melayu di beberapa universiti di luar negara serta Unit Pembentukan Bahasa Salah di DBP juga perlu diperkenalkan,” kata Rais. Rais menambah, langkah tersebut perlu dilakukan berikutan terdapat pelbagai pencemaran bahasa berlaku termasuk penggunaan bahasa rojak yang begitu ketara di negara ini. “Keadaan itu menyebabkan Bahasa Melayu menghadapi cabaran dan rintangan yang hebat dalam sistem pentadbiran sekarang. “Penggunaan Bahasa Kebangsaan sejak kebelakangan ini didapati masih diabaikan terutama oleh sektor swasta, dan ini menjadikan jati diri bangsa semakin terhakis.

“Kerajaan perlu memantapkan penggunaan Bahasa Kebangsaan sejajar dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996,” kata Rais. Menurut Rais lagi, usaha mendaulatkan penggunaan dan pembudayaan Bahasa Melayu sewajarnya perlu dipertingkatkan kerana Bahasa Melayu semakin jauh ketinggalan berbanding bahasa-bahasa lain. “Kita tidak malu untuk mengaku beberapa kelemahan yang berlaku di kalangan masyarakat yang tidak serius dalam menggunakan Bahasa Kebangsaan. “Mana-mana bangsa yang tidak berlandaskan kepada bahasanya sendiri untuk maju, tamadun bangsa itu tidak boleh melonjak kerana budaya pak turut boleh mengongkong sesuatu bangsa. “Bangsa yang maju di dunia seperti Jepun, United Kingdom, China, Perancis, Rusia, Jerman, Israel dan Korea Selatan maju kerana mereka memupuk kekentalan budaya dan tamadun mereka. “Seharusnya Bahasa Melayu di negara ini sudah menjadi matang dan membentuk tamadun kerana Bahasa Melayu telah memainkan peranan dalam pentadbiran, persuratan, komunikasi, perdagangan, pendidikan, hubungan diplomasi, ilmu batin dan agama, undangundang dan banyak lagi,’’ katanya. Rais berharap setiap kementerian yang berkaitan dengan pembudayaan bahasa akan membantu DBP dalam menguat kuasa dan menyemarakkan kempen penggunaan Bahasa Kebangsaan. Apa kata ahli bahasa? Profesor Emeritus Dr. Nik Safiah Karim, Karyawan Tamu Universiti Malaya (UM): “Demi mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara, Bahasa Kebangsaan perlu dibudayakan di kalangan semua rakyat negara ini. “Kementerian Pelajaran perlu memupuk penggunaan Bahasa Melayu dengan menjadikan ia sebahagian daripada kokurikulum sekolah seperti menyanyikan lagu-lagu patriotik dan menyusun kegiatan yang akan memupuk perasaan cintakan Bahasa Kebangsaan di kalangan anak-anak. “Usaha mempertingkatkan kempen Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) anjuran DBP perlu ditingkatkan kerana sambutannya tidak begitu hebat. “Kita kena mengikis perspektif yang salah terhadap Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris. Penghormatan harus diberikan kepada Bahasa Kebangsaan dalam konteks situasi rasmi dan bersifat kebangsaan. “Rakyat Malaysia tidak dilarang menguasai dan menggunakan Bahasa Inggeris seperti dalam persidangan dan mesyuarat, perniagaan dan situasi yang melibatkan dunia antarabangsa.’’ Profesor Dr. Awang Sariyan, Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM): “Sebilangan anggota masyarakat kita sudah melupakan peranan bahasa dalam pembentukan keperibadian atau rupa bangsa negara yang merdeka berdaulat sebagaimana yang dicitacitakan oleh para pejuang kemerdekaan dan pendukung semangat kebangsaan. “Sebagai contoh penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang,

penyiaran dan pendidikan mutakhir ini ternyata bukan semakin meluas tetapi kian mengecil. “Apabila subjek-subjek yang berteraskan Sains dan Matematik diajarkan dalam Bahasa Inggeris (sehingga mencapai 80 peratus dalam sistem pendidikan negara) ia tidak dapat memenuhi aspirasi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan. “Cita-cita untuk mendwibahasakan generasi baru negara telah dilaksanakan dengan pendekatan yang merencatkan taraf dan peranan Bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun walaupun peningkatan pengajaran bahasa asing tidak mengganggu pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. “Malangnya, situasi yang wujud sekarang memperlihatkan betapa rendahnya penghormatan sejumlah anggota masyarakat terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa negara.” (Sumber : Utusan Malaysia (21/09/2006) ) Dikemaskini pada 14 Jan 2009

Related Documents

Parti Melayu Perlu Senada
November 2019 21
Bahasa Melayu
May 2020 39
Bahasa Melayu
November 2019 54
Bahasa Melayu
May 2020 40
Bahasa Melayu
October 2019 45

More Documents from ""