Bab 3 - Masyarakat Malaysia Menjelang Thn 2020.pdf

  • Uploaded by: Jeffery Liew
  • 0
  • 0
  • December 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Bab 3 - Masyarakat Malaysia Menjelang Thn 2020.pdf as PDF for free.

More details

  • Words: 4,004
  • Pages: 18
Masyarakat Malaysia Menjelang Tahun 2020: Memperkukuh Kesepaduan Sosial Ke Arah Mencapai Matlamat Perpaduan Nasional Shamsul Amri Baharuddin*  

Kertas kerja untuk Seminar Pertemuan Profesor-Profesor, anjuran Majlis Universiti Islam Malaysia pada 19-20 Januari 2013 Pembuka kata Kira-kira empat puluh tahun lalu, Tun Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua, telah membuat satu kenyataan mengenai halatuju masa depan masyarakat Malaysia serta sifat-sifat yang diidamkan serta matlamat akhirnya. Kenyataan ini dinukilkan dalam sebuah ‘Kata Pendahuluan’ untuk buku Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975, yang menggariskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebuah dasar awam yang telah digubal setelah terjadinya peristiwa berdarah iaitu keganasan etnik di Kuala Lumpur, pada 13 Mei 1969. Berikut dipetik kenyataan beliau itu: “Untok menchapai matlamat perpaduan negara keselurohan-nya, Malaysia berkehendakkan bukan hanya setakat kadar perkembangan ekonomi yang tinggi. Dalam usaha menumpukan tenaga bagi menchapai pembangunan ekonomi yang cepat, kita terpaksa sama sekali menentukan ada-nya keadaan masharakat                                                                                                                 Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin kini adalah Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM dan Timbalan Pengerusi, Majlis Profesor Negara (MPN). Beliau juga adalah Pengerusi Pro-tem, Akademi Sains Sosial dan Kemanusiaan (ASAH). Biar pun terdidik dalam bidang antropologi sosial, beliau telah meneliti, menulis serta mengupas pelbagai tema, dari segi skop, yang meliputi bidang yang lebih luas termasuk ekonomi, politik, budaya dan sosial, sama ada bersifat akademik atau popular. Sebahagian daripada sumbangannya (artikel, esei dan kertas kerja) boleh diakses online: http://ukm.academia.edu/wwwkitaukmmy . Beliau juga dikenal oleh audien media massa di Malaysia dan luar negeri sebagai pengulas sosio-politik mengenai Malaysia dan Asia Tenggara dan kerap muncul dalam stesyen TV, seperti, Aljazeera, Channel News Asia, National Geographic Channel dan Astro Awani dan sering menulis dalam majalah dan akhbar tempatan. *

 

1  

yang adil, pembahagian pendapatan yang saksama dan peluang2 kerja yang bertambah.” (Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975, (RM2), Kuala Lumpur: Jabatan Chetak Kerajaan, 1971, ms. vi) Empat puluh tahun kemudian ‘matlamat perpaduan negara keseluruhannya’ yang dihasratkan oleh Tun Razak masih belum tercapai. Sehingga ke hari ini Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), di Pejabat Perdana Menteri -- yang asalnya adalah Jabatan Perpaduan yang ditubuhkan pada Julai 1969 selepas tragedi 13 Mei 1969 berlaku -- masih berusaha keras untuk menrealisasikan cita-cita ini. Dalam tempoh 40 tahun itu, masyarakat Malaysia terus aman dan stabil. Untuk 20 tahun pertamanya (1970-1990) Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang dilancarkan melalui Rancangan Malaysia Kedua 19711975, telah menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi yang lebih pesat dan seimbang dalam jangka waktu tersebut. Tetapi matlamat perpaduan negara masih belum menjadi satu kenyataan. Diawal 20 tahun kedua, pada 1991, Tun Mahathir Mohamed telah mengangkat cita-cita dan kefahaman tentang perpaduan negara ke suatu tahap baru yang bunyinya abstrak tetapi telah menjadi bagitu popular dan buah mulut rakyat di seluruh negara, iaitu, konsep Wawasan 2020. Tun Mahathir menyenaraikan sembilan cabaran untuk diatasi dalam meniti jalan ke puncak, iaitu, mercunya Malaysia menjadi sebuah negara maju. Cabaran pertamanya ialah untuk membina ‘a united Malaysian nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu’. Pada 10 tahun terakhir menjelang tahun 2020 telah diperkenalkan pula oleh Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia Keenam, konsep 1Malaysia yang mengingatkan rakyat Malaysia bahawa masyarakat kita wujud sebagai satu kesatuan dalam kepelbagaian, yang terus  

2  

berpayung di bawah Wawasan 2020 dengan cita-cita membina suatu masyarakat bercirikan sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu. Tanpa disedari oleh pemerhati politik Malaysia, termasuk para ahli sains politik dan pakar pengajian politik, Tun Mahathir telah memperakukan bahawa konsep negara-bangsa, yang diterjemahkan daripada istilah Inggeris nation-state, sebenarnya dalam konteks evolusi politik dan perkembangan masyarakat Malaysia konsep dan entity empirical entiti ‘negara’ (state) adalah terpisah daripada konsep ‘bangsa’ (nation). Implikasi kenyataan Tun Mahathir itu cukup besar dari segi konsep dan empiri, iaitu, Malaysia adalah sebuah negara (state) yang masih mencari suatu ‘bangsa idaman’, atau nation-of intent. Yang idamkan itu adalah ‘a united Malaysian nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu.’1 Tujuan tulisan ini adalah untuk menyusur galur perkembangan idea Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia sekali gus mengupas mengenai pembangunan dan perubahan masyarakat Malaysia setelah idea dan konsep ini diperkenalkan dan dihayati oleh majoriti anggota masyarakat Malaysia. Seperti biasa tidak semua yang setuju dengan idea dan konsep ini, dan cukup ramai yang mengkritiknya, kerana semuanya mengimpikan masyarakat yang sempurna.                                                                                                                 1  Saya  telah  mengupas  secara  kritikal  konsep  ‘bangsa  Malaysia’  semenjak  1992  dan   mengungkapkannya  sebagai  “one  state,  many  nations’  (Shamsul  1992)  yang   kemudiannya  saya  perhalus  lagi  dari  segi  teori  dan  memperkenalkan  pula  konsep     ‘nation-­‐of-­‐intent’  atau  ‘bangsa  idaman’  (Shamsul  1996a)  sebagai  templet  untuk   mengkonsepsi  dan  memahami  perjuangan  nasionalis,  yang  berjaya  dan  gagal,  ke   arah  nation-­‐building  di  Asia  Tenggara.    Konsep  ini  telah  diterima  pakai  oleh  pengkaji   mengenai  sejarah  nasionalisme  di  Asia  Tenggara  sebagai  alternatif  kepada  konsep   ‘imagined  community’  yang  diperkenalkan  oleh  Benedict  Anderson  (1983),  sila  lihat   kupasan  mengenai  ini  oleh  Norman  Owen,  The  Emergence  of  Modern  Southeast  Asia:   A  New  History,  University  of  Hawaii  Press,  Honolulu,  2005,  p.  252.    

3  

Antara teori, konsep dan kenyataan Apabila Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia keempat, mengisytiharkan bahawa cabaran pertama lagi utama bagi Malaysia untuk mencapai kedudukan negara maju pada tahun 2020, dalam kerangka Wawasan 2020, ialah untuk membina dan mencipta ‘Bangsa Malaysia’, ia merupakan suatu proklamasi politik yang amat penting dalam sejarah politik moden di Malaysia. Inilah untuk pertama kalinya seorang pemimpin Malaysia berkedudukan Perdana Menteri di era pasca Merdeka telah memperkatakan secara terbuka mengenai ‘bangsa idaman’ beliau untuk Malaysia, yang sekali gus memperakukan bahawa yang wujud hanyalah ‘negara Malaysia’ dan belum lagi ‘bangsa Malaysia.’ Kerana ucapan asal beliau adalah dalam Bahasa Inggeris, beliau telah mengungkapkan ‘bangsa idaman’ tersebut dengan lebih tepat sebagai ‘a united Malaysian nation,’ atau terjemahannya ialah ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu.’ Versi terjemahan ini kemudiannya telah diringkas dan dipopularkan dalam dua perkataan, iaitu, ‘Bangsa Malaysia.’ Versi ringkas ini telah mengundang pelbagai masalah, bukan hanya bersifat semantik dan politik tetapi bersifat epistemologi dan ontologi. Sebelum Mahathir menganjurkan ‘bangsa idaman’ beliau, suatu lagi konsep ‘bangsa idaman’, iaitu ‘Malaysian Malaysia’, telah diperkenalkan oleh Malaysian Solidarity Council, suatu pakatan beberapa parti politik pembangkang, sebagai cogan katanya. Pakatan ini telah ditubuhkan pada 1964 yang diketuai oleh Lee Kuan Yew, ketika Singapura masih dalam Persekutuan Malaysia, dengan objektifnya menentang kewujudan Artikel 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang dianggap bersifat racial discrimination,

 

4  

atau diskriminasi ras. Konsep Malaysian Malaysia menganjurkan suatu bentuk bangsa idaman yang berteraskan kesaksamaan biarpun terdapat kepelbagaian etnik. Ternyata ‘a united Malaysian nation’ anjuran Mahathir berbeza dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang dipromosi Lee Kuan Yew. Mahathir dengan jelas menekankan elemen ‘united’ atau ‘bersepadu’ sebagai asas bangsa idamannya. Sedangkan Lee Kuan Yew pula menekankan faktor ‘equality’ atau ‘kesaksamaan.’ Lim Kit Siang pernah membuat interpretasi bahawa “Malaysian Malaysia = Bangsa Malaysia” yang ternyata tidak tepat dan mengelirukan bila kita gandingkan kenyataan asal Mahathir yang dalam Bahasa Inggeris “a united Malaysian nation” dengan ungkapan “Malaysian Malaysia” Lee Kuan Yew. Keduanya memang berbeda dari sudut epistemologi dan ontologinya. ‘Unity in diversity’ mendasari konsepsi bangsa idaman anjuran Mahathir. ‘Equality in diversity’ pula mendasari konsepsi bangsa idaman Lee Kuan Yew. [Nota: Pada 2010 lalu, Lee Kew Yuan pernah menegaskan bahawa Singapura sebagai sebuah negara (state) tidak perlukan sebuah bangsa (nation)]. Ada dua implikasi politik penting daripada keadaan ini. Pertama, semenjak penubuhan Malaysia pada 1963 wujud dua bentuk ‘bangsa idaman’ di Malaysia, satu anjuran Lee Kuan Yew dan satu lagi anjuran Mahathir. Kedua, ini menekankan fakta bahawa yang sudah wujud di Malaysia ialah sebuah ‘negara Malaysia’ (Malaysian state) dan belum lagi sebuah ‘bangsa Malaysia’ (Malaysian nation). Dalam kata lain, Malaysia adalah sebuah negara yang sedang berusaha membina sebuah bangsa idamannya. Proses pembinaan konsep bangsa idaman ini berlaku serentak dan melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan.

 

5  

Semenjak 1991, pemerintah Malaysia telah mempromosi secara besar-besaran konsep ‘bangsa idaman’ yang telah dianjurkan oleh Mahathir, iaitu, ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu.’ Untuk itu kerajaan telah berbelanja banyak wang berkempen di seluruh negara dengan menggunakan pelbagai saluran media massa, letronik dan digital, melaksanakan pelbagai program bersifat top-down daripada sekolah ke rumah. Malah pelancaran buku Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975 dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang mempunyai objektif serampang dua mata, mempunyai matlamat jangka panjang terakhirnya yang cukup jelas, iaitu untuk membina dan mencipta ‘perpaduan dan integrasi nasional.’ Dua puluh tahun kemudian, pada 1990, setelah tamat DEB, keinginan terhadap ‘perpaduan dan integrasi nasional itu’ terus menyala dan membakar dalam benak pemimpin Malaysia kerana ianya belum menjadi kenyataan dan terus diidamkan. Kesinambungan cita-cita ini melalui konsep ‘a united Malaysian nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu,’ seperti yang dinyatakan oleh Mahathir itu merupakan suatu pengukapan baru sekali gus sebuah kenyataan pengukuhan bahawa matlamat perpaduan dan integrasi nasional DEB itu masih belum tercapai. Justru itu kita boleh menganggap bahawa konsep ‘a united Malaysian nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu,’ merupakan suatu pakej baru bersifat ekonomi politik anjuran Mahathir yang menjelaskan bentuk ‘bangsa idaman’ Malaysia yang dianjurkan oleh kerajaan, biarpun Malaysia sebagai sebuah ‘negara modern’ (modern state) sudah wujud kukuh. Kira-kira 18 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2010 atau 12 tahun sebelum 2020 menjelang, konsep ‘1Malaysia’ pula telah

 

6  

diperkenalkan oleh Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia keenam, bukan sebagai sebuah ideologi tetapi sebagai sebuah wahana abstrak terbaru ke arah usaha untuk membaja, memupuk dan membina ‘bangsa idaman’ yang telah dianjurkan oleh Mahathir pada 1991, iaitu, ‘a united Malaysian nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu.’ Malah Najib sendiri menyatakan dengan jelas bahawa konsep 1Malaysia beliau tersebut terus mendukung dan adalah berpayung dibawah Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Mahathir. Usaha Najib dan konsep 1Malaysia beliau ini secara langsung memperakukan pendirian Mahathir pada 1991, iaitu, bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh masih memerlukan sebuah bangsa yang sedang cuba dibina. Yang idamkan adalah ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu’ dan sumbangan Najib ke arah itu ialah melalui konsep 1Malaysia beliau. Perlahan-lahan konsep ini dijelmakan dalam bentuk konkrit melalui pelbagai program praktikal, misalannya, Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia dan Emel 1Malaysia. Penjelmaan praktikal kepada usaha Najib ini tersimpul dalam kefahaman dan pengaplikasian konsep ‘transformasi’ beliau sebagai wahana 1Malaysia yang pada hematnya boleh menrealisasikan pewujudan ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu’ pada tahun 2020. Pelan Tranformasi Kerajaan, atau GTP, dengan rangkaian himpunan programnya, termasuk Model Ekonomi Baru, merupakan langkah-langkap operasi yang hasilnya telah mula dirasakan dan boleh dipantau serta diukur. Untuk tugasan ini satu badan khas telah ditubuhkan Najib, iaitu Pemandu, dibawah jagaan khas seorang Menteri tanpa portfolio. Soalannya apakah dengan segala usaha terkini yang dilaksanakan dengan beria-ianya oleh Najib Razak untuk mengisi

 

7  

idaman Mahathir, iaitu, mewujudkan ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu’ pada 2020, akan tertunai? Jawapan kepada soalan ini boleh dianalisis dan dikupas jika kita kembali ke 1971, bermula dengan ‘buku merah’ Rancangan Malaysia Kedua, 1971-1975, yang dilancarkan oleh Tun Razak, yang terkandung didalamnya DEB. Dalam perenggan pertama Kata Pengantar buku tersebut Tun Razak menyatakan dengan jelas bahawa matlamat akhir DEB adalah untuk membina dan mencipta ‘perpaduan dan integrasi nasional.’ Semenjak itu hingga ke saat ini, cita-cita mencipta perpaduan dan integrasi nasional ini telah diisytiharkan dan diwar-warkan dalam setiap kenyataan rasmi kerajaan, sama ada dalam bentuk ucapan rasmi, atau tersirat dalam lirik lagu-lagu yang dinyanyikan semasa majlis-majlis rasmi atau di sekolah-sekolah seluruh negara. Dalam kata lain, untuk sekian lamanya kerajaan dan rakyat Malaysia mengidamkan perpaduan. Ini berasaskan anggapan bahawa perpaduan masih belum wujud sepenuhnya di Malaysia. Ini bermakna kefahaman pemimpin dan rakyat Malaysia mengenai wajah perpaduan bukan berasaskan realiti tetapi berlandaskan sebuah harapan, sebuah idaman, malah sebuah impian berwajah ‘perpaduan.’ Yang lebih signifikan ialah biarpun perpaduan itu belum menjadi suatu kenyataan, terutamanya selepas berlakunya konflik berdarah pada Mei 13 1969, masyarakat Malaysia umumnya semenjak itu wujud dengan stabil dan aman. Saya pernah ungkapkan keadaan ini sebagai ‘stable tension,’ atau kestabilan yang tersirat dalamnya ketegangan yang terpendam tetapi kadang-kadang diucapkan secara terbuka oleh rakyat Malaysia tetapi tidak melalui tindakan ganas.

 

8  

Namun, ditekankan disini bahawa masyarakat Malaysia terus wujud tanpa konflik besar terbuka lagi ganas yang berterusan seperti di Sri Lanka, Yugoslavia atau seperti yang terjadi di Thailand barubaru ini. Malaysia dan rakyatnya terus wujud dalam suasana aman, tenteram dan sejahtera, meraih nikmat sebuah negara yang diklasifikasi Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) sebagai negara berpendapatan menengah. Memang benar, sekali-sekala ketegangan itu menjelma dalam wacana umum. Tetapi konflik terbuka bukan ciri masyarakat Malaysia. Ia tidak dominan dan tidak mencorakkan kehidupan kita di Malaysia. Yang dominan adalah suasana aman dan tenteram. Apa yang lebih kerap berlaku adalah konflik bersifat lisan atau bertikam lidah sesama sendiri. Ada ketikanya secara terbuka dan kebanyakkan pada peringkat individu atau kelompok seperti sambil minum teh tarik di kedai mamak, pada majlis kenduri kendara, malah dalam internet dan blog. Kandungan bertikam lidah ini berasaskan isu tertentu (issue-based), seperti soal pendapatan yang tidak cukup, harga barang mahal, peluang pendidikan serta pekerjaan terhad dan sebagainya. Sering kali kejadian bertikam lidah adalah merupakan suatu bentuk penyuaraan rasa tidak puas hati etnik (ethnic grievances). Namun apabila kita halusi kebanyakan isu itu didapati bahawa apa yang disuarakan oleh setiap etnik tidak banyak perbezaan, cuma penyuaraannya kerap bersalut kata-kata yang menjelmakan kepentingan etnik. Maka bunyinya etnik, sebenarnya isu berkenaan bersifat isu sosial dan ekonomi yang lebih umum sifatnya. Kebanyakkan isu ini berkait dengan peluang mobiliti sosial, menyentuh isu seperti tidak puas hati mengenai sistem pendidikan,  

9  

agihan peluang ekonomi dan pekerjaan, bukan hanya mengesankan sesuatu etnik malah mempunyai kesan yang mendalam dan luas terhadap semua lapisan masyarakat. Yang lebih kerap ditimbulkan oleh sesetengah pihak bukan lagi soal mobiliti sosial, terutamanya, rangkaian isu yang telah ditimbulkan oleh golongan profesional kelas menengah muda bandar yang hidup selesa dan mempunyai ruang sosial dan waktu. Mereka sering ‘memperjuangan’ soal pemusnahan alamsekitar, hak asasi manusia, masalah masyarakat sivil dan buku daftar pengundi yang banyak kesalahan. Sebenarnya isu-isu ini mempunyai dimensi ekonominya, kerana ianya menjadi ‘komoditi politik’ yang didagangkan sebagai sebahagian daripada aktiviti keusahawanan dalam bidang pengiklanan, khususnya yang bersifat branding. Yang lebih menarik adalah fakta bahawa penyuaraan isu berkenaan berlaku dalam keadaan aman dan tenteram lagi sejahtera di Malaysia. Bukan dengan keganasan-ala-Arab Spring yang mengorbankan banyak nyawa kerana apa yang berlaku di Malaysia adalah matang dan cukup demokratis dari segi bentuk dan suasana yang mengizinkan bertikam lidah mengenai isu ini berlaku. Namun kadang-kadang ada yang menyuarakannya dengan nada yang agak keras dan tidak kadang-kadang sarat dengan stereotaip dan prejudis etnik. Kalau ini semua berlaku dalam keadaan aman, tenteram dan sejahtera, bagaimanakah kita hendak menyifatkan keadaan ini? Hendak dikatakan kita berpadu tidak berapa tepat kerana kita masih idam-idamkan perpaduan. Kalau tidak perpaduan apakah pula kita hendak kategorikan keadaan aman, tenteram dan sejahtera yang bertahan cukup lama, iaitu, selama 40 tahun?

 

10  

Dalam kata lain, semenjak 1971, masyarakat Malaysia menikmati keamanan, kesejahteraan, kestabilan dan pembangunan ekonomi yang pesat. Dalam masa yang sama para pemimpin Malaysia terus menyatakan bahawa kita belum lagi menikmati perpaduan. Wujud Wawasan 2020 dan 1Malaysia yang menjadi wahana untuk membina dan mencapai perpaduan yang ilusif itu. Oleh yang demikian, apakah sebenarnya yang telah dinikmati oleh setiap lapisan rakyat Malaysia selama 40 tahun lepas? Ternyata pengalaman kita itu tidak kita ungkapkan, tak ubah seperti si bisu bermimpi “terasa ada terkata tidak.” Dalam kata lain, kita belum ada label atau kata-kata untuk mengungkapkan atau menyimpulkan pengalaman ini, suatu pengalaman yang pernah disebut-sebut sebagai model atau contoh untuk dijadikan ikutan oleh sebilangan negaranegara lain didunia. Sebenarnya apa yang telah kita semua nikmati selama ini belum lagi perpaduan tetapi ‘kesepaduan sosial’ (social cohesion). Apakah maksud kesepaduan sosial? Kesepaduan sosial ialah suatu keadaan aman, stabil dan makmur sejahtera yang wujud dalam sesebuah masyarakat, khususnya yang berbilang etnik, kerana wujudnya ikatan sosial (social bonding) yang kuat yang terbina untuk sekian lamanya berasaskan setidak-tidaknya lima pra-syarat: 1. Taraf kebendaan yang berkualiti, seperti mempunyai indeks kualiti hidup yang sederhana ke tinggi; 2. Aturan sosial yang stabil, aman dan selamat; 3. Interaktif aktif sesama rakyat berlandaskan jaringan dan pertukaran hubungan yang positif; 4. Wujudnya usaha positif ke arah penglibatan inklusif semua pihak dalam kegiatan arus perdana; 5. Akses kepada kemudahan yang boleh menjamin dan mempertahan kualiti hidup dan mobiliti sosial.

 

11  

Senario yang menggalakan kesepaduan sosial bertahan boleh dibayangkan seperti berikut: biarpun wujud perbezaan, kontradiksi, contestation dan konflik dalam sesuatu masyarakat itu, jika para anggotanya sanggup berunding dan bertolak ansor untuk mewujudkan konsensus, tolak ansur, toleransi dalam semangat akomodasi, malah bersungguh membina harmoni dan pelbagai bentuk ikatan sosial (social alliance), kesepaduan sosial akan mekar segar bugar terpamer dan sedia terperaga. Dalam kata lain, kalau kita lihat kembali ke keadaan di Malaysia, biarpun kita belum mencapai perpaduan yang diimpi dan diidamkan namun kita sebenarnya sudah pun menjalin hubungan kerjasama antara etnik dan kelompok, berkongsi aktiviti budaya dan pinjammeminjam unsur budaya masing-masing untuk lebih daripada 60 tahun, menikmati pembangunan ekonomi dan kualiti hidup yang sederhana ke tinggi, yang terbina teguh semenjak 1970an. Bukan hanya dari segi politik, sosial dan budaya, jalinan hubungan yang cukup rapat bahkan wujud dan terjelma dalam putaran ekonomi dan pasaran yang menyebabkan kita saling bergantungan dengan kuat melalui kegiatan ekonomi seharian, atau dalam konteks putaran permintaan-tawaran. Sebagai contoh, si pembekal mungkin pedagang kaum Cina, India dan Melayu. Pekerja pula mungkin kaum India, Iban, Kadazan dan Cina juga. Justeru, kesepaduan sosial di kalangan pelbagai etnik, kepentingan ekonomi, politik dan sosial senantiasa terjalin dan disulam oleh keperluan kehidupan seharian. Rakyat Malaysia tidak akan mengorbankan kesepaduan sosial ini demi memastikan semua pihak ‘menang-menang.’

 

12  

Memang kita mendengar laungan suara-suara sumbang dari semasa ke semasa yang berbau perkauman dan sarat emosi, stereotaip dan prejudis. Kejadian ini menyebabkan ia sering mendebarkan dan memberi isyarat yang tidak tepat mengenai keadaan hubungan kaum di Malaysia. Orang luar yang berlagak prophet of doom melihat kejadian seperti ini sebagai tanda-tanda bahawa negara dan masyarakat tidak stabil dan keganasan etnik akan terjadi bila-bila waktu sahaja. Ada juga pemerhati luar menggunakan kejadian ini sebagai kayu ukur masa depan Malaysia. Mereka yang ekstrim menganggap bahawa rusuhan etnik akan berlaku bila-bila masa. Salah faham ini merebak luas sehingga mendebarkan pelabur asing. Bak kata pepatah ’sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.’ Pihak tidak bertanggung jawab yang sering membangkitkan isu perkauman inilah yang merosakkan imej baik Malaysia untuk kepentingan politik domestik masing-masing yang jumud sifatnya. Justeru, banyak pihak di luar negara meragukan bahawa kita sebenarnya adalah dalam keadaan aman, tenteram dan sejahtera. Persepsi negatif terhadap Malaysia oleh golongan kecil tetapi berpengaruh ini, khususnya media massa antarabangsa, akan bertambah keruh apabila ada antara pemimpin politik Malaysia yang membuat tohmahan terhadap negara sendiri di luar negeri demi hendak memenangi sokongan media massa antarabangsa dengan harapan meningkatkan kerisauan di kalangan rakyat di Malaysia lalu menentang kerajaan. Ini taktik politik banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan pelbagai isu di Malaysia, khususnya pihak dari Malaysia yang ‘membasuh kain kotor’ Malaysia di luar negeri, yang kemudiannya

 

13  

tersalur melalui internet kembali ke Malaysia. Tidak dinafikan, banyak isu belum dapat diselesaikan biar pun kerajaan mencuba mencari pelbagai jalan penyelesaian sama ada ianya isu lama mahupun yang baru. Soal rasuah sering jadi isu. Soal hak asasi manusia yang terabai juga sering dibangkitkan. Soal kebebasan agama dan budaya serta soal komuniti minoriti yang terpinggir pun menjadi perhatian. Soal kemudahan infrastruktur di luar bandar turut dibangkitkan. Soal DEB yang dianggap bersifat diskriminasi terhadap mereka yang bukan Bumiputera juga sering ditimbulkan Soal-soal ini dibesar-besarkan sehingga menenggelamkan fakta terpenting mengenai masyarakat Malaysia iaitu, wujudnya kesepaduan sosial yang kukuh di kalangan rakyat. Tidak dapat dinafikan, untuk melestarikan kesepaduan sosial kita terpaksa berdepan pelbagai cabaran. Soal yang digembar-gemburkan itu adalah merupakan sebahagian daripada cabaran kepada kesepaduan sosial yang dinikmati dan perlu dicari penyelesaian. Cabaran terhadap kesepaduan sosial ini tersimpul dan terhimpun dalam Indeks Kualiti Hidup (IKH) yang menjadi kayu pengukur kepada pembangunan ekonomi, politik, sosial dan budaya di Malaysia. Ada sebelas ciri IKH yang kita jadikan kayu pengukur iaitu, pendapatan dan agihannya, pekerjaan, pengangkutan dan komunikasi, kesihatan, pendidikan, perumahan, alam sekitar, kekeluargaan, pembabitan sosial, keselamatan awam dan budaya serta aktiviti santai. Setiap ciri ini mengandungi cabaran yang lebih mendalam. Misalnya, dari segi pendapatan dan agihannya, di Malaysia masih wujud kemiskinan tegar, biarpun kita telah berjaya mengurangkannya

 

14  

hanya ke paras lima peratus dalam tempoh 30 tahun. Pelbagai projek untuk membanteras kemiskinan dirancang dan dilaksanakan. Namun masih menghadapi masalah kebocoran, iaitu, kelompok sasaran masih tidak mendapat apa yang dijanjikan. Mengurus dan menyelesaikan setiap cabaran ini adalah tugas yang tak pernah selesai. Apabila selesai yang lama, yang baru wujud. Suasana kesukaran ini rata-rata tidak menggoyahkan semangat kesepaduan sosial rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia akan terus bertikam lidah. Walaupun ’perpaduan’ yang diidamkan belum terjadi, namun jalinan erat ’kesepaduan sosial’ yang merupakan suatu proses, keadaan dan suasana positif di Malaysia akan memastikan mereka tidak terjerumus ke kancah konflik. Kelestarian kesepaduan sosial inilah yang perlu kita tatang seperti menatang minyak yang penuh. Seandainya pada tahun 2020 perpaduan dan integrasi nasional yang diinginkan itu masih belum tercapai dan bangsa idaman, iaitu, ‘a united Malaysian nation,’ atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu’ yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir Mohamad dalam Wawasan 2020 beliau, belum juga wujud ini bukan satu kegagalan. Yang pasti kesepaduan sosial yang kita nikmati selama 40 tahun ini adalah pra-syarat atau tahap awal ke-arah membina bangsa idaman tersebut. Ertinya, perpaduan dan integrasi nasional serta bangsa idaman Malaysia masih ‘a work-in-progress.’ Maksudnya, kesepaduan sosial, atau social cohesion itu, tetap merupakan suatu kejayaan yang telah dicapai oleh masyarakat dan rakyat Malaysia, yang telah diterima oleh komuniti antarabangsa dan yang tidak boleh diperlekehkan.

 

15  

Biarpun ada golongan yang menganjurkan konsep ‘ketuanan rakyat’ di Malaysia, ternyata konsep ini tumbuh segar bugar daripada suasana dan keadaan kesepaduan sosial yang wujud di Malaysia. Konsep ini tidak muncul daripada suatu keadaan kacau bilau dan keganasan-ala-Arab Spring yang membakar hangus rejim politik kuku besi di Afrika Utara yang membiarkan jutaan rakyatnya lebih daripada setengah abad terperangkap dalam kemiskinan tegar dan pengangguran yang meluas tanpa jalan keluar ekonomi yang jelas, justru rakyatnya telah memilih jalan politik sebagai jalan keluar dengan bantuan daripada beberapa negara Barat. Oleh kerana adanya negara yang tanpa bangsa, seperti Malaysia, maka konsep bangsa itu boleh dibayangkan dalam pelbagai bentuk, sesuai dengan ‘bangsa idaman’ setiap kelompok atau kumpulan etnik. Contohnya, ‘Malaysian Malaysia’ yang dianjurkan oleh Lee Kuan Yew dan masih didukung kini oleh DAP di Malaysia, dan konsep ‘a united Malaysian nation’ anjuran Mahathir adalah contoh ‘bangsa idaman’ Wawasan 2020, tercapai tidaknya pada tahun 2020, akan tetap relevan untuk Malaysia selepas tahun 2020, sebagai sasaran dan citacita positif yang ingin dicapai.

 

16  

Rujukan Acegmoglu, D. and Robinson J., Why Nations Fail: The Origins of Power, Propersity and Poverty. New York: Crown Business, 2012. Anderson, Benedict, Imagined Communities: Reflections on the Origin and Spread of Nationalism, 2nd Edition, London: Verso, 1991. Owen, Norman, The Emergence of Modern Southeast Asia: A New History, Honolulu: University of Hawaii Press, 2005. Sarkar, Sumit. Beyond Nationalist Frames: Relocating Postmodernism, Hindutva, History, Delhi: Permanent Black, 2002 Shamsul A.B. Malaysia in 2020: One State Many Nations? Observing Malaysia from Australia, the Seventh James Jackson Memorial Lecture, Malaysia society, Australia, Bangi: Department of Anthropology and Sociology, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1992. Shamsul A.B., “Nations-of-intent in Malaysia” in Asian Forms of the Nation, edited by Stein Tonnesson & Hans Antloev. London: Curzon, 1996a. pp. 426-456. Shamsul A.B., “Debating about Identity in Malaysia: A Discourse Analysis”, Tonan Ajia Kenkyu (Southeast Asian Studies) vol. 34. No. 3, December 1996b, pp. 476-499. Reprinted in Cultural Contestations: Mediating Indentities in a Changing Malaysian Society, edited by Zawawi Ibrahim (ed.), London: Asean Academic Press, 1998, pp.17-50. Shamsul A.B., “The History of an Identity of a History: The Idea and Practice of Malayness in Malaysia Considered.” Journal of Southeast Asian Studies. 2001, 23(2): 355-366. Shamsul A.B., “Reconnecting ‘the Nation’ and ‘the State’: The Malaysian experience” in Rethinking Ethnicity & Nation-Building: Malaysia, Sri Lanka & Fiji in Comparative Perspective, edited by A. Rahman Embong, Kuala Lumpur: Malaysian Social Science Associatioon, 2007, pp. 204-215. Shamsul A.B. Culture and Governance in Malaysia’s Survival as a Nation, Ethnic Studies Paper Series, UKM No. 2 (Sep) 2009, Institute of Ethnic Studies, UKM.

 

17  

Shamsul A.B. Unity in Diversity: The Malaysian Experience, Siri Kertas Kajian Etnik UKM Bil. 13 (Oktober) 2010, Institut Kajian Etnik, UKM, Bangi. Shamsul A.B. Ilmu Kolonial dalam pembentukan sejarah intelektual Malaysia: sebuah pandangan. Siri Kertas kajian Etnik UKM Bil. 17 Januari 2011a, Institut Kajian Etnik, UKM, Bangi. Shamsul A. B. & Anis Y. Yusoff, Managing peace in Malaysia: A Case Study, Siri Kertas Kajian Etnik UKM Bil. 18 (Mei) 2011b, Institut Kajian Etnik, Bangi. Shamsul A.B., Kesepaduan dalam Kepelbagian: Perpaduan di Malaysia sebagai work-in-progress, Syarahan Profesor Ulung, 20 Oktober 2011, Bangi: Penerbit UKM, 2011. Shamsul A.B., “When knowledge invents boundaries: From Colonial Knowledge to Multiculturalism” in The Gaze of the West and Framings of the East edited by Shanta Nair-Venugopal, London: Macmillan, 2012, pp.107-122

 

18  

Related Documents


More Documents from "Dalila"

Platinum Club Oct
June 2020 9
0712 3060v1
October 2019 22
Untitled
April 2020 9