Ash-sheykh Muhammad 'abduh

  • Uploaded by: Ensiklopedia Pendidikan Malaysia
  • 0
  • 0
  • April 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Ash-sheykh Muhammad 'abduh as PDF for free.

More details

  • Words: 3,952
  • Pages: 16
Ash-Shaykh Muhammad Abduh (1849 M – 1905 M) Muhammad bin Abduh bin Hasan Khayru’llah dilahirkan di Mahallat Nasr sebuah kampung berhampiran dengan Bandar Tantaa yang terletak di daerah Shubraakhiit dalam wilayah Buhayrah, Mesir dari keluarga tani yang sederhana. Tidak ada butir-butir lengkap tentang tarikh kelahirannya. Bagaimanapun mengikut pengakuannya sendiri beliau telah dilahirkan pada penghujung tahun 1265 H/ 1849 M. Keturunan sebelah bapanya berasal dari bangsa Turki yang tinggal di Mahallat Nasr manakala ibunya keturunan dari Bani Adiyy iaitu suku Sayyidina Umar Ibnu Khattab bernama “Junaynah”. Muhammad ‘Abduh dibesarkan dalam sebuah keluarga yang dihormati oleh masyarakatnya. Seperti kanak-kanak lain juga, ‘Abduh menerima didikan dan sosialisasi kedesaan secara tradisional. ‘Abduh mengalami pertumbuhan jasmaniah yang baik, badan yang sihat dan kuat, beliau menjadi ahli perang yang handal, penunggang kuda dan pemain senjata yang cekap. Sementara itu beliau telah memulakan pelajaran membaca dan menulis di rumahnya. Kemudian belajar membaca al-Quran dari seorang Hafiz sehingga beliau berjaya menghafaz al-Quran dalam masa hanya dua tahun sahaja. Ini adalah suatu pencapaian luar biasa yang membezakan cara kehidupan ‘Abduh dari kanakkanak lain yang banyak menghabiskan waktunya di sekolah-sekolah yang disebut Kataatib. Pada tahun 1862 M, ketika berumur tiga belas tahun, beliau telah dihantar oleh ayahnya ke Masjid al-Ahmadiyy di Tanta untuk mempelajari ilmu Tajwid ‘l-Quran. Setelah dua tahun beliau berjaya menjadi pembaca yang baik, dengan itu beliau mula mengikuti pelajaran tentang kaedah-kaedah Bahasa Arab. Beliau tidak berpuas hati dengan cara pengajaran yang terlalu buruk. Rasa kekurangan itu telah menyebabkan ‘Abduh mengambil keputusan untuk meninggalkan Masjid al-Ahmadiyy dan pulang ke kampungnya dengan niat utk bertani dan tidak akan kembali belajar lagi. Lantas beliau berkahwin pada tahun 1282 H / 1865 M ketika berumur 16 tahun.

40 hari selepas perkahwinannya, beliau telah didesak oleh ayahnya agar kembali ke Tanta

untuk menyambung pelajarannya, tetapi beliau telah melarikan diri ke

“Kanayyasat Awriin” sebuah kampung di daerahnya. Di sanalah beliau bertemu dengan Shaykh Darwish seorang ahli Tasawwuf yang telah menggilap semula jiwa ‘Abduh sehingga bersedia untuk kembali menghadap buku-buku pelajaran. Dari Shaykh Darwish ‘Abduh telah mendapat bimbingan Tasawwuf yang menyebabkan perubahan sikapnya. Sejak itu ‘Abduh tidak lagi suka membuang waktu bersama rakan-rakannya yang tersiri dari anak-anak muda kampungnya. Beliau mulai menghabiskan waktunya dengan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain amal kebaktian sehingga merasa telah berada di alam baru yang penuh dengan kedamaian dan kekudusan. Bahan bacaan Tasawwuf yang mula-mula dapat mengetuk pintu hatinya ialah risalah tentang akhlak dan nasihat-nasihat yang ditulis oleh Ash-Shaykh Muhammad Madaniyy kepada murid-muridnya (ahli Tasawwuf yang menjadi guru kepada Shaykh Darwish bertarikat Ash-Shaadiliyyah). Kesan perhubungan dengan Shaykh Darwish bukan sahaja terbatas dalam bidang Tasawwuf, malah mungkin juga dari segi faham Sanusiyyah (gerakan Islam yang dipelopori oleh Sidi Muhammad Ibn Ali As Sanusiyy yang lahir pada 1206H / 1791M di Tursh (Algeria) dan meninggal di Jughbub (Cyrenica) pada tahun 1276H / 1859M. Tujuan gerakan ini adalah untuk mengembalikan umat Islam kepada ajaran Islam yang asal dan bersih dari bid’ah. Di samping ia bertujuan intik mendirikan pemerintahan Islam yang tulen) yang banyak mempengaruhi Shaykh Darwish hasil pergaulannya dengan pengikut-pengikut as-Sanusiyy ketika berada di Tripoli Barat. Dengan pengaruhnya ‘Abduh telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Kanaayyasat Awriin dan pergi semula ke Masjid al-Ahmadiyy untuk menuntut ilmu dengan jiwa dan semangat yang baru pada bulan Oktober 1865M. pengalamannya kali ini amat berbeza dari pengalamannya yang lalu. Kali ini beliau dapat memahami pengajaran

guru-gurunya dengan baik, malah ‘Abduh sering menjadi tumpuan penuntut-penuntut lain untuk mendapatkan penjelasan tentang kemusykilan-kemusykilan mereka.

Sebagai Mahasiswa Azhar Tak lama kemudian timbul pula keinginannya untuk melanjutkan pelajaran di Azhar - pusat pengajian Islam terpenting ketika itu. Beliau memasuki Azhar pada bulan Februari 1866M / 1282H. sistem pengajian di Azhar ketika itu masih terlalu tradisional, mengutamakan Naql dari Aql serta menjauhi segala sesuatu yang bercorak baru. Sementara itu dikalangan para guru di Azhar terdapat 2 golongan yang saling bersinggitan iaitu golongan konservatif dan golongan Sufiyy. (Golongan konservatif (alMuhaafiziin) termasuk Shaykh ‘Ulaysh, ar-Rifaa’iyy, al-Jiizaawiyy, at-Taraabulusiyy dan al-Balurawiyy sementara tokoh golongan Sufiyy ialah Hasan Ridwaan, Hasan at-Tawiil, Muhammad al-Busyuuniyy dan Muhammad al-Maghribiyy). Dalam menghadapi dua aliran ini ‘Abduh lebih cenderung kepada aliran Sufiyy kerana golongan ini agak kurang bersifat jumud dan lebih bersedia untuk menerima pembaharuan. Selain dari itu memang jiwa ‘Abduh masih kental dengan ajaran Tasawwuf Shaykh Darwish. Setelah tiga tahun mengikuti sistem pengajian di Azhar yang kolot itu, timbul rasa kebosanan yang membunuh minatnya untuk terus belajar seperti yang biasa dilakukan oleh penuntut-penuntut lain. Sementara itu timbul pula minat barunya untuk mempelajari ilmu-ilmu baru seperti Mantiq, Hadith, Hisab dan Geometri. Sebagai seorang penuntut ajaran Tasawwuf, selama 7 tahun ‘Abduh menjalani amalan-amalan mujahadah dan ‘uzlah, berpuasa di siang hari dan berjaga pada waktu malamnya dengan mengerjakan sembahnyang dan zikir. Setelah itu gurunya mendapati bahawa ‘Abduh sudah mempunya kekuatan rohaniah yang melayakkannya tampil memberi bimbingan kepada masyarakatnya. Dengan anjuran dan desakan Shaykh Dawish ‘Abduh mula memasuki gelanggang baru dalam hidupnya sebagai juru dakwah dan pembangun masyarakat.

Pertemuan Dengan Jamaluddin Al-Afghani Dalam suasana yang serba resah itulah berlakunya satu pertemuan bersejarah, pertemuan yang bakal mengubah kehidupan ‘Abduh iaitu pertemuannya dengan asSayyid Jamaluddin al-Afghani yang telah sampai ke Mesir buat pertama kalinya pada tahun 1869M. Sebaik sahaja mendengar barita ketibaan Jamaluddin, beliau segera menemuinya dengan ditemani oleh ash-Shaykh Hasan at-Tawil seorang guru di Azhar. Dalam pertemuan ini Jamaluddin banyak berbicara mengenai Tafsir al-Quran dan Tasawwuf yang kebetulan merupakan bidang-bidang yang amat diminati oleh ‘Abduh. Oleh itu tidak hairanlah petemuan sulung itu telah menanamkan benih perhubungan yang lebih erat antara keduanya. Sekembalinya Jamaluddin ke Kaherah dari Istanbul setahun kemudiannya pada 22hb. Mac 1871M, ‘Abduh segera menemuinya dan sejak itulah beliau berguru dan bersahabat dengannya. Antara ilmu-ilmu yang dipelajari darinya ialah falsafah dan ilmu al-Kalam. Di samping itu ‘Abduh juga berusaha membawa rakan-rakannya untuk turut belajar kepada Jamaluddin. Rupa-rupanya hal itu tidak disenangi oleh sebilangan guruguru dan penuntut-penuntut di Azhar. Pada anggapan mereka ilmu-ilmu ajaran Jamaluddin boleh membawa kepada kerosakan ‘aqidah. Sebenarnya Jamaluddin tidak membataskan dirinya dalam pengupasan kitab-kitab lama, tetapi bahan-bahan yang beliau gunakan beliau, termasuklah beberapa kitab lama dan buku-buku Eropah yang telah diterjemahkan ke bahasa Arab. Merangkumi beberapa cabang ilmu seperti Falsafah, Tasawwuf, Sejarah, Politik dan Kemasyarakatan. Sebagai bahan perbandingan di mana-mana ada kesempatan disinggungi juga pendapat-pendapat dan penemuan-penemuan baru. Malah Jamaluddinlah sebenarnya yang memperkenalkan fikiran beradaban barat kepada ‘Abduh. Sebagai seorang penuntut Azhar, ini adalah merupakan sesuatu yang besar ertinya dalam pembentukan pemikirannya. Di bawah bimbingan Jamaluddin, ‘Abduh brjaya menjadi seorang pemidato yang baik kerana Jamaluddin sendiri seorang pemidato.

Jamaluddin telah berjaya membuka dan memperluas pemikiran ‘Abduh seperti yang dinyatakan oleh Muhammad Amin – bahawa melalui Jamaluddin ‘Abduh dapat melihat dunia yang dilindungi oleh Azhar dan beliau telah berpindah dari Tasawwuf khayal kepada Tasawwuf yang praktis. Bimbingan Jamaluddin dalam bidang Tasawwuf nampak begitu berkesan kerana beliau sendiri sebenarnya adalah seorang yang luas perjalanannya di alam Tasawwuf, dan timbullah keinginan di jiwanya untuk berbakti kepada bangsa serta berjuang untuk mengislahkan agama, moral dan masyarakatnnya. Pertemuan Jamaluddin – ‘Abduh memperkuat dua keping hati yang nantinya akan melahirkan paduan tenaga yang besar dalam mendukung cita-cita yang sama. Dalam kata-kata penghargaannya terhadap gurunya itu ‘Abduh menyatakan: “Bapaku telah memberi aku satu kehidupan bersama dengan ‘Ali dan Mawrus (dua orang saudaranya yang bekerja sebagai petani) manakala as-Sayyid Jamaluddin telah memberi aku kehidupan di mana aku dapat turut serta bersama Muhammad, Ibrahim, Musa, Isa dan para anbiya’ serta orang-orang suci” Demikian pulalah sebaliknya Jamaluddin juga begitu menghormati dan menaruh harapan yang besar terhadap ‘Abduh. Ketika meninggalkan Mesir buat kali terakhirnya pada tahun 1897M, Jamaluddin menyampaikan pesan perpisahan: “Aku tinggalkan pada kamu ash-Shaykh ‘Abduh, dan sebagai seorang ‘alim cukuplah ia bagi Mesir” ‘Usman Amin, Muhammad ‘Abduh, hal. 26 Di bawah bimbingan Jamaluddin, ‘Abduh mula menampakkan perjuangan islahnya. Pada tahun 1876M ‘Abduh mula menulis untuk akhbar-akhbar tempatan tentang pelbagai sudut masalah kebudayaan. Antara hasil-hasil penulisan awalnya termasuklah rencana-rencana yang berupa intisari kuliah Jamaluddin tentang falsafah pendidikan, tentang penulisan, ilmu Kalam dan ilmu-ilmu moden seperti yang tersiar dalam akhbar “Misr” dan “al-Ahraam”. Semua tulisannya baik dan bercorak moral atau sosial adalah membayangkan gelora aspirasinya kearah kemerdekaan berfikir dan gerakan islah. Tulisan-tulisannya mendapat tentangan khususnya di kalangan masyarakat Azhar.

Sehingga hamper-hampir beliau digagalkan dalam peperiksaan ijazah ‘Alimiyyah yang diambilnya pada bulan Mei 1877M. Akhirnya beliau diberikan ijazah kelas dua. Dengan kelulusan itu beliau memasuki tahap baru dalam sejarah hidupnya sebagai seorang guru di Azhar. Mengajar Tauhid, Mantiq dan Akhlaq. Pada tahun 1878M ‘Abduh dilantik pula menjadi guru Sejarah di Darul ‘Ulum dan menjadi guru bahasa Arab di Madrasatu ‘l-Alsun (Sekolah Bahasa Arab). Kemudiannya beliau telah disingkirkan pada tahun 1879 semasa pemerintahan Tawfiq Bashaa setelah dituduh cuba membataskan dan menghapuskan kuasa Tawfiq. Atas usaha Perdana Menteri, Riyaad Baasha, ‘Abduh telah diberikan pengampunan pada tahun 1880M. ‘Abduh dipanggil untuk berkhidmat sebagai pengarang majalah al-Waqaiu ‘l-Misriyyah (Peristiwa di Mesir) yang kemudiannya dilantik sebagai ketua sidang pengarangnya. Garis-garis Pokok Dalam Rangka Gerakan Pembaharuan Ash-Shaykh Muhammad ‘Abduh Bagi dunia Arab khususnya, kemunculan ‘Abduh dengan strategi islahnya itu adalah merupakan tahap awal yang penting dalam sejarah kebangkitan pemikiran abad dua puluh. Gerakan ‘Abduh yang bermula akhir abad yang lalu (abad ke 19) kemudiannya telah menampakkan implikasi dan buah hasilnya pada awal abad dua puluh. Dalam melancarkan gerakan islahnya ‘Abduh bertolak dari premis pokok bahawa masyarakat Islam sedang mengalami kemuduran dan suatu gerakan kebangkitan semula adalah perlu. Islam sedang mengalami kemunduran dan suatu gerakan kebangkitan semula adalah perlu. Islam bukan sekadar bertujuan untuk mencapai “survival” bagi seorang individu tetapi juga bertujuan untuk membangun sebuah masyarakat yang baik. Islam pada asasnya sesuai dengan setiap peringkat peredaran zaman. Kemunduran dan kejatuhan yang dialami oleh uamt Islam kini adalah disebabkan oleh kelalaian mereka sendiri dan juga akibat tekanan eksploitasi orang-orang asing yang sudah pun bermula

sejak zaman khalifah al-Mutasim (838-824M) hinggalah sekarang. Kejatuhan itu sama sekali bukan disebabkan terdapatnya unsur-unsur reput dan lapuk dalam agama mereka. Agama Islam adalah berlandaskan akal, kebebasan, ikhtiar dan mengutuk kemalasan serta penyerahan buta tanpa usaha. Masyarakat Islam dalam melalui proses sejarah perkembangannya telah bertembung dengan berbagai-bagai corak dan bentuk suasana baru yang memaksanya bertindak balas. Dalam hal ini terdapat tindak balas yang tampak bertentangan dengan ajaran Islam. Untuk mengakhiri keadaan serba jelek ini Islam harus dijelaskan semula serta dibersihkan dari segala macam kekusutan yang telah sekian lama menyelubunginya, kembali kepada cara golongan as-Salafu ‘s-Solihin membuka semula pintu ijtihad bagi mentafsir semula ajaran-ajaran Islam sesuai dengan semangat dan tuntutan zaman. Dalam kata pendahuluan sejarah hidup yang ditulisnya ‘Abduh membentangkan matlamat-matlamat perjuangannya, “...Ku laungkan suaraku untuk menyeru kepada dua perkara besar: I : Pembebasan pemikiran dari belenggu taqlid, pemahaman agama mengikut cara golongan “salaf” zaman sebelum timbulnya perselisihan. Kembali kepada sumber-sumber agama yang asal untuk memahaminya, menganggap agama sebagai sesuatu yang di dalam jangkauan akal manusia yang diberikan oleh Allah untuk mengembalikannya dari kesesatan. II : Pembaikan gaya (uslub) penulisan bentuk surat menyurat antara jabatan-jabatan kerajaan atau rencana-rencana akhbar tidak kira rencana asli dalam bahasa Arab ataupun terjemahan dari bahasa-bahasa lain. H.A.R. Gibb telah merumuskan program gerakan pembaharuan ‘Abduh kepada empat perkara penting: 1. Pembersihan Islam dari segala pengaruh dan amalan yang merosakkan. 2. Pembaharuan Pengajian Tinggi Islam. 3. Penafsiran semula ajaran-ajaran Islam sesuai dengan pemikiran moden.

4. Mempertahankan Islam dari pengaruh Eropah dan serangan Kristian. Pembersihan Islam yang dikehendaki oleh ‘Abduh termasuklah pembersihan dari amalan-amalan bid’ah yang begitu meluas di kalangan umat Islam seperti pemujaan terhadap apa yang disebut wali dan keramat dengan mengadakan pesta-pesta dan berbagai-bagai upacara di makan orang-orang yang dianggap wali. Bagi ‘Abduh orangorang Islam tidak dikehendaki percaya kepada “keramat” yang dihubungkan kepada orang-orang yang dikatakan “wali”. Dalam rangka penyucian ini juga termasuk pembebasan dari ‘taqlid’, ‘Abduh berpendapat bahawa salah satu sebab penting kemunduran umat Islam ialah kerana sikap mengikut secara membuta tuli yang merupakan sikap yang bertentangan dengan dasar kemerdekaan Islam yang sebenar. Sikap bertaqlid buta ini begitu berleluasa di zaman pemerintahan Turki untuk menjaga kepentingan mereka sendiri. Orang-orang Turki yang baharu sahaja memeluk Islam itu telah menganjurkan sikap demikian di kalangan rakyat. Mereka memaksa rakyat taat setia membabi buta kepada pihak berkuasa, menghalang kebebasan berfikir di kalangan rakyat kerana ini semua akan mendedahkan kejelekan pemerintahan di mata umum. Mereka melaksanakan ini semua dengan menggunakan para ulama sehingga rakyat menjadi kaku dan beku dalam soal keimanan dan politik. Akibat dari dasar tersebut masyarakat islam telah rosak dan kerosakan itu tampak jelas pada bahasa Arab yang sudah hilang keheningan aslinya, pada umat yang telah berpecah-pecah kepada berbagai-bagai mazhab, pada pendidikan yang menjadi tempang, malah tampak juga pada aqidah dengan hilangnya pertimbangan antara wahyu dan akal serta pengabaian terhadap ilmu-ilmu akliah. Dasar Turki ini kemudiannya telah dilanjutkan pada zaman pemerintahan Sultan kerajaan “Uthmaniyyah kerana pada pandangan ‘Abduh mereka juga adalah penganjur-penganjur sikap taqlid buta dalam hal-hal agama. ‘Abduh menolak pendapat yang mengatakan bahawa ajaran Islam telah pun selesai dikupas dengan sempurna oleh ulama zaman Pertengahan. Dengan itu tidak

seharusnya bagi ulama-ulama zaman kemudian untuk membuat kupasan atau tinjauan baharu mengenai hal-hal tersebut. Bagi ‘Abduh setiap generasi adalah berhak untuk kembali kepada sumbernya, memahami dan mentafsirkannya mengikut cara mereka masing-masing. Program keduanya iaitu pembaharuan pengajian tinggi Islam merupakan aspek penting dari gerakan ‘Abduh kerana sebenarnya pencapaian atau hasil dari program ini banyak menentukan pencapaian program lain. Malah sebenarnya ‘Abduh memang meletakkan harapan yang besar kepada program ini. Bidang pendidikan telah menarik minat ‘Abduh sejak zaman awalnya lagi, umpamanya pada tahun 1876 iaitu ketika beliau masih secara langsung dibawah pengaruh gurunya Jamaluddin, ‘Abduh sudah menulis tentang pembaharuan pengajian tinggi di Azhar yang disiarkan dalam akhbar al-Ahram. Dalam tulisannya yang awal itu beliau menyarankan agar bidang pengajian ketika itu tidak dibataskan kepada ilmu-ilmu zaman klasik sahaja seperti ilmu Kalam tetapi harus diperluaskan sehingga meliputi ilmu-ilmu moden, sejarah dan agama Eropah dengan tujuan untuk mempelajari sebab-sebab kemajuan Barat. Sebenarnya ketika itu ‘Abduh berhadapan dengan dua aliran pendidikan yang wujud di Mesir. Antara kedua jenis aliran itu terdapat jurang yang amat luas. Aliran pertama ialah pendidikan agama secara lama yang berkemuncakkan Azhar. Aliran kedua ialah sekolah-sekolah moden ang bercorak Barat yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan atau “missionary-missionary” asing. Bagi ‘Abduh kedua-duanya tidak dapat diterima. Jenis pertama – sekolah-sekolah agama – terlalu bersifat jumud, beku dan dicengkam oleh sikap taqlid buta. Ia mengajarkan pelajaran-pelajaran agama sekadarnya, tetapi langsung tidak memberi tempat kepada ilmu-ilmu yang perlu untuk kehidupan zaman moden. Sementara itu aliran jenis kedua pula – sekolah-sekolah yang bercorak Barat – telah menjadi penyalur kepada pemikiran agama dan kebudayaan asing sehingga mengakibatkan berlakunya pengkristianan pelajar-pelajar Islam. Pada mulanya sekolahsekolah moden ini hanya untuk peringkat rendah dan menengah sahaja, manakala lanjutan pengajian tinggi ditampung oleh universiti-universiti Eropah dan Beirut. Pengiriman pelajar-pelajar ke luar negeri yang berjalan beberapa lama itu telah

menampakkan kesan yang buruk dan oleh itu timbullah desakan agar ditubuhkan universiti dalam negeri yang dapat mengambil alih peranan universiti-universiti luar negeri dalam penampungan lulusan-lulusan sekolah-sekolah aliran moden. Akhirnya tertubuhlah dua buah universiti moden yang bermodelkan universiti Barat. Dengan ini Azhar yang merupakan satu-satunya pusat pengajian tinggi untuk pengajian Islam tradisional dengan cawangannya Darul ‘Ulum terpaksa bersaing dengan kedua-dua buah universiti tersebut. Akibat dari perbezaan orientasi kedua-dua aliran pendidikan ini lahirlah dua golongan cendekiawan yang bertentangan sikap dan cara berfikir. Golongan pertama terdiri dari kalangan ahli-ahli agama yang berpegang teguh dengan unsur-unsur tradisional dan menentang segala bentuk perubahan, manakala golongan kedua pula ialah angkatan muda yang sanggup menerima segala pemikiran dan fahaman yang disogokkan dari Eropah moden. Dalam menghadapi dua persimpangan inilah ‘Abduh melancarkan program bertindaknya dengan cuba memperbaiki sistem pendidikan tinggi Islam bagi membolehkannya menghadapi suasana baru itu. Usaha ‘Abduh dalam hal ini dapat dilihat apabila beliau terlantik sebagai ahli Lembaga Pengurus Azhar yang ditubuhkan pada tahun 1895M. Beliau telah cuba membuat perubahan-perubahan pentadbiran dan memperluas bidang pengajian di Azhar. Tindakan pembaharuan ini dilancarkan antara lain adalah bertujuan mempertautkan jurang di antara dua golongan cendekiawan tadi melaui formulanya tidak kembali cara lama tetapi pula menerima pembaratan seperti yang sedang berlaku ketika itu. ‘Abduh mahukan pembaharuan yang berdasarkan prinsip Islam. Dalam usahanya untuk membuktikan kesesuaian Islam dengan segala peringkat peredaran zaman, ‘Abduh merasa perlu untuk memberi tafsiran baru terhadap pokokpokok ajaran Islam, sesuai dengan semangat dan suasana zaman moden. Kecenderungan ‘Abduh ke arah ini bertitik tolak dari pandangannya bahawa Islam adalah selaras dengan kehendak-kehendak pemikiran manusia dan sesuai dengan penemuan serta penerokaan

ilmu pengetahuan moden, dengan perkataan lain Islam bagi ‘Abduh adalah merupakan agama fitrah dan juga merupakan sahutan kepada segala persoalan zaman moden. Atas dasar inilah beliau sedapat mungkin mahu membuktikan kemungkinan menyesuaikan Islam dengan pemikiran moden. Bagi ‘Abduh sains dan teknologi Barat tidak bertentangan dengan Islam. Sejarah membuktikan bahawa Islam tidak pernah menghalang penyelidikan ilmiah malah tokohtokoh sains Islam sentiasa mendapat galakan dari pemerintah Islam. Beliau berpendapat bahawa kemajuan sains Barat yang juga merupakan sumbangan Islam dapat diterima dan ia sama sekali tidak bertentangan dengan jiwa dan semangat ajaran Islam. Penerimaan ini adalah suatu kemestian. Kegagalan menerima kemajuan sains akan membawa kepada penyerapan seluruh tamadun Barat yang akan mengakibatkan tenggelamnya nilai-nilai Islam dalam arus materialisme Barat. Bagi ‘Abduh itulah pilihan yang paling tepat dapat dibuat oleh seseorang “reformer” yang hidup pada abad sembilan belas. Beliau tidak dapat menerima pilihan lain umpamanya menerima sahaja modenisme ala Barat yang bererti menerima kehancuran institusi-institusi Islam melalui proses sekularisme. Untuk mengukuhkan lagi sikapnya itu beliau telah menonjolkan peranan akal (reason) sehingga beliau menyarankan sekiranya terdapat pertentangan antara akal dengan pengertian lahir sesuatu ayat maka keutamaan harus diberi kepada akal. Bagi beliau Islam adalah agama akal kerana al-Quran sendiri menempatkan akal di mercu kuasa yang membolehkan seseorang membezakan di antara yang benar dengan yang palsu, antara mudharat dengan munafaat. “’Abduh, Risalah at-Tauhid, Mesir 1965). Akal adalah merupakan asas kepercayaan kepada ketuhanan Yang Maha Esa. Tuhan menjadikan segala sesuatu di alam ini untuk manusia. Oleh itu Islam tentunya selaras dengan sains yang seperti agama juga mengenalkan manusia kepada rahsia alam. Malah tugas Rasul pun bagi ‘Abduh ialah untuk mengajar manusia memahami alam dan memanfaatkannya dalam lingkungan batas-batas yang ditentukan oleh undang-undang

Tuhan. Dengan itu ‘Abduh menyimpulkan bahawa kedua-dua agama dan sains adalah sama-sama memberi tumpuan kepada pengkajian fenomena yang sama. Gerakan seterusnya dalam program tindakan pembaharuan ‘Abduh seperti yang diterangkan di atas ialah mempertahankan Islam dari pengaruh-pengaruh Eropah dan serangan Kristian. Penulis-penulis barat menuduh bahawa Islam adalah agama penghalang kemajuan ilmu dan kebudayaan. Umpamanya Hanatoux ada menyebut Islam sebagai penghalang kepada perkembangan ilmu dan kemajuan akliah. Dalam menghadapi kritik-kritik dari Barat ini ‘Abduh menggunakan cara-cara yang biasa diamalkan oleh golongan ‘apologetis’ Islam moden iaitu pembezaan Islam dari Muslim juga antara sistem kepercayaan dari amalannya. Antara serangan-serangan yang dijawab oleh ‘Abduh ialah tuduhan sikap fatalism yang dianjurkan oleh Islam menyebabkan terhalangnya kemajuan dokalangan umat Islam. ‘Abduh menjawab bahawa fatalism bukan ajaran Islam sebaliknya Islam memberi ‘kebebasan memilih’ dan mewajibkan ‘kasb’ berusaha mendapatkan sesuatu yang diperlukan. Tetapi unsur-unsur luar dan berbagai-bagai aliran mistik kemudiannya telah meresap ke dalam Islam dan mempengaruhi orang-orang Islam sehingga mereka menyangka bahawa fatalism sebahagian dari ajaran Islam. Hanotoux telah menimbulkan soal pemisahan diantara aspek ‘spriritual’ dan ‘temporal’ dalam agama Kristian menyebabkan kemajuan orang-orang Eropah, sebaliknya dasar penyatuan antara keduanya seperti yang terdapat dalam ajaran Islam telah menyebabkan kebekuan orang-orang Islam. ‘Abduh menyanggah dakwaan tersebut dengan menyatakan kesatuan demikian sebenarnya adalah merupakan keistimewaan Islam dari agama-agama lain. Sebagai agama fitrah Islam tidak memberi hak Caesar kepada Caesar dan hak Allah kepada Allah, sebaliknya Caesar harus ditundukkan di bawah kekuasaan Allah dan bertanggungjawab kepadanya dalam segala perbuatannya dan akan dibalas mengikut baik buruk perbuatannya. Berbeza dari Kristian, Islam tidak menghendaki

pemeluknya

meninggalkan

kenikmatan

dunia,

sebaliknya

Islam

membenarkan umatnya menikmati kehidupan dunia seperti makan minum, seks dan harta kekayaan secara sederhana dan bersesuaian dengan ajaran al-Quran. Farah Anton (1874 – 1922), seorang penulis Kristian berasal dari Lebanon yang menetap di Mesir, pula telah menulis dalam majalah al-Jami’ah tentang Ibn-Rushd lalu dikatakan bahawa agama Kristian lebih bersikap liberal dan lapang dada dari agama Islam dari segi sikapnya terhadap ilmu dan falsafah. Berikutan dengan itu, ‘Abduh telah mengemukakan siri sanggahnya. Diterangkan tentang kelapangan dada agama Islam terhadap ahli-ahli falsafah, para ilmuan dan penganut-penganut agama lain. Dijelaskannya sejarah tamadun ilmu dan Islam serta peranan para pemerintah Islam sebagai penaung kegiatan ilmiah. Di smping itu didedahkannya kejelekan-kejelekan dalam sejarah umat Kristian yang pada suatu ketika bersikap anti ilmu pengetahuan sehingga banyak penganiyaan telah dilakukan baik terhadap ahli-ahli ilmu dari kalangan orang-orang Kristian sendiri mahupun orang lain. Sanggahan-sanggahannya yang tajam itu telah menaikkan lagi imej ‘Abduh di dunia Islam sehingga beliau terkenal sebagai jaguh yang paling mampu dalam mempertahankan Islam seperti yang dinyatakan oleh C.C. Adams ketika mengulas peranan ‘Abduh dalam hal ini. Selain daripada itu banyak sekali pendedahan yang dibuat oleh ‘Abduh terhadap kejelekan dalam agama Kristian. Serangan balas ‘Abduh ternyata begitu hebat sekali. Dalam hal ini beliau membuat penjelasan tentang Islam sendiri yang sentiasa mengajak manusia berfikir termasuk dalam menerima intisari da’wah Islamiyyah sendiri iaitu seruan kepada pentauhidan Allah dan pembenaran risalah Nabi Muhammad s.a.w. Kata ‘Abduh dalam dakwahnya kepada tauhid, Islam mengajak manusia melihat dan memikirkan alam semesta sehingga sampai kepada kesimpulan kewujudan dan kuasa Allah. Demikian juga dalam da’wah kepada risalah Nabi Muhammad s.a.w. Islam juga mengajak manusia merancang dan memikirkan mu’jizat yang dibawa terutama kitab suci al-Quran.

‘Abduh Meninggal Dunia Sebenarnya ‘Abduh telah lama menghidap penyakit barah, malah ia pernah menderita sakit tenat ketika dalam perjalanan ke Sudan dahulu. Tetapi ia terus juga menjalankan tugas-tugasnya dalam Majlis Undangan, Majlis Wakaf, Pertubuhan Kebajikan Islam, menguruskan pepriksaan di Darul ‘Ulum dan menyediakan laporan rancangan penubuhan Pusat Latihan Hakim. Beliau bercadang hendak berangkat ke Eropah untuk berubat tetapi banyak orang menasihatkan beliau agar membatalkan rancangan itu. Sebaik-baik sahaja selesai laporan mengenai Pusat Latihan Hakim-Hakim dan diserahkan kepada pihak berwajib, beliau telah berangkat meninggalkan Kaherah menuju ke Iskandariah. Ketika di Iskandariah penyakitnya semakin tenat dan selepas beberapa hari beliau pun kembali menemui Tuhan dalam usia 56 tahun pada petang Selasa 11hb Julai 1905 bersamaan 8hb Jamadi’l-Ula 1323 H di rumah seorang sahabatnya Muhammad Bek Rasim di Seffer, Ramlah, Iskandariah. Pada keesokan harinya, jenazah beliau telah dibawa ke Kaherah dengan kenderaan rasmi pemerintah. Di sepanjang perjalanan ramai sekali rakyat dari pelbagai peringkat dan golongan telah berduyun-duyun keluar utuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau. Jenazah ‘Abduh kemudian di bawa ke Masjid Azhar untuk disembahyangkan di sana dan kemudian terus dikebumikan dengan satu upacara yang amat sederhana. ‘Abduh telah meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan beberapa rancangan yang telah mula diaturnya. Cita-citanya untuk mereformasikan Azhar telah terbengkalai sama sekali kerana terlalu hebat tentangan dari golongan lama sehingga beliau berputus asa lalu mengundurkan diri dari Azhar. Demikian juga rancangannya hendak membukukan bahan-bahan pengajarannya dalam Sejarah Islam telah juga terbengkalai setelah putus hubungan dengan Azhar. ‘Abduh juga bercita-cita hendak menerbitkan harian Arab yang bermutu. Sebenarnya langkah-langkah persiapan telah pun selesai tetapi ajalnya mendahului penerbitan sulungnya. Selain dari itu tafsir al-Qurannya

yang belum sempat diselesaikan, telah disambung oleh muridnya Muhamma Rashud Ridaa dengan nama Tafsiru ‘l-Manar. Setelah kecewa dengan Azhar, ‘Abduh merencanakan penubuhan sebuah universiti lain yang akan mengajar segala macam ilmu pengetahuan lama dan baru dengan sistem pengajaran yang baru sesuai dengan tuntutan masa. Beliau telah bekerja keras ke arah penubuhannya dan beliau telah berjaya meyakinkan seorang hartawan iaitu Ahmad al-Mahshawiyy Basha sehingga beliau telah sanggup mewaqafkan sebidang tanahnya di kawasan Kaherah untuk dijadikan tapak universiti baru itu. Tetapi malangnya ‘Abduh tidak sempat melihat tegaknya universiti tersebut. Bagaimanapun tidak lama selepas kematiannya rancangan itu segera menjadi kenyataan. Pada mulanya universiti tersebut dinamakan universiti rakyat (Jami’atu ‘sh-Sha’b) kemudian diubah kepada Universiti Mesir (al-Jami’atu ‘l-Misriyyah). Hasil-hasil Penulisannya ‘Abduh adalah seorang yang giat dalam bidang penulisan. Antara hasil-hasil penulisannya yang penting temasuklah: 1. Sharhu Nahji ‘l-Balaghah. 2. Risalatu ‘r-Raddi ‘ala ‘d-Dahriyyu. 3. Al-Islam wa ‘n-Nasraniyyah. 4. Falsafatu ‘l-Ijtima wa ‘t-Tarikh. 5. Nizamu ‘t-Tarbiyyah wa ‘t-Ta’lim bi Misr. 6. Risalatu ‘t-Tauhid. 7. Risalatu ‘l-Waridat. 8. Risalah fi wahdari ‘l-Wujud. 9. Tafsir Sarati ‘l-Fatihah. Ringkasnya dalam jangka waktu 3 suku abad formula-formula ‘Abduh telah semakin nyata menampakkan kesan-kesan yang baik dari segi jangka pendek mahupun jangka panjangnya., baik yang positif ataupun yang negatif.

Demikianlah antara lain pokok pemikiran dan usaha-usaha pembaharuan yang dilakukan oleh ‘Abduh, seorang tokoh reformis Islam Semasa. Walaupun jasadnya sudah tiada, namun gagasan-gagasan dan buah fikiran serta usaha-usaha beliau terus memikat hati kaum muslim seluruh dunia yang mahukan pembaharuan dan kemajuan umat Islam.

Related Documents


More Documents from "Andri Hardiansyah"