Anyaman Rotan Rotan merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan tumbuh liar di hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan bukit, rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Daripada puluhan jenis itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan pembuatan perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan perabot, sejak beberapa tahun kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. Hasil anyaman rotan tradisional termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu. Memproses Bahan Batang rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa panjang supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong setakat yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu direbus supaya tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk memastikan ketahanan dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk. Rotan yang siap direbus, dijemur hingga kering. Seterusnya, rotan batang yang ingin dijadikan kerangka perabot diketam dan dipelas kertas pasir sebelum divarnis. Sementara rotan yang mahu dijadikan bilah anyaman terus divarnis sebelum disepat atau dibelah. Anyaman Ribu-Ribu Anyaman ribu-ribu Ribu -ribu adalah sejenis paku-pakis yang hidup liar terutama di kawasan belukar yang lembap. Terdapat beberapa jenis ribu-ribu iaitu ribu-ribu biasa, ribu-ribu besar/gajah dan ribu-ribu bukit/duduk atau akar sidin. Kegunaan utama ribu-ribu pada masa dahulu ialah sebagai bahan untuk dijadikan tali. Banyak rumah di Terengganu misalnya menggunakan tali ribu-ribu sebagai pengikat rabung kerana tali jenis ini tahan lama. Tetapi kini kegunaan ribu-ribu hampir terbatas kepada hasil kraftangan sahaja. Barang-barang yang diperbuat daripada ribu-ribu termasuk terendak, bekas tembakau, bekas sirih dan dompet Memproses Bahan Ribu-ribu dipotong di bahagian pangkalnya. Cuma rakis utama yang diambil, yang lurus atau yang menjalar. Cabang-cabang yang tidak diperlukan, dipotong dengan pisau kecil. Kemudian ribu-ribu dibelah dua dan dikeringkan perlahan-lahan dengan menyidainya di tempat yang redup selama beberapa hari. Ini dilakukan untuk memastikan ribu-ribu tidak rapuh atau mudah patah. Menganyam ribu-ribu sama seperti menganyam buluh dan mengkuang. Untuk mengukuhkan anyaman, biasanya buluh atau rotan digunakan sebagai tulang atau kerangka barang yang dihasilkan. Motif-motif yang kerap digunakan dalam anyaman ribu-ribu ialah siku keluang, bentuk jaluran dan bentuk-bentuk geometri. Biasanya, barang-barang yang dianyam mengekalkan warna asli ribu-ribu. Bagaimanapun, perbezaan warna boleh dihasilkan
iaitu dengan menyelang-nyelikan warna luar kulit yang lebih gelap iaitu coklat tua, dengan warna dalam kulit, coklat muda. Rata-rata, kraftangan ribu-ribu kini semakin terabai, kecuali di kalangan penduduk Sabah, terutama di sekitar Kampung Inukiran dan Kampung Tinanggol di daerah Kudat.
Anyaman Lidi Pokok kelapa dikenali sebagai pokok serbaguna kerana semua bahagian pokok ini boleh digunakan. Salah satu bahan kraftangan yang diperbuat daripada pokok kelapa ialah lidi. Berbagai-bagai barangan boleh dihasilkan daripada lidi kelapa. Antaranya, lekar, bakul, tempat simpan telur, bekas buah-buahan dan raga gubahan bunga. Memproses Lidi Kraftangan ini bermula dengan kerja meraut dan mengisit daun kelapa yang muda dan panjang untuk mendapatkan lidinya. Lidi yang sudah licin, direbus dengan bahan pewarna dan kemudian dijemur hingga kering. Kini lidi itu sedia untuk dianyam mengikut bentuk yang dikehendaki. Cara menganyam lidi tidak banyak berbeza daripada cara menganyam rotan bulat. Untuk membuat lekar atau bakul, misalnya, bahagian tapak disusun terlebih dahulu didalam satu bingkai supaya bilah-bilah lidi tidak mudah terungkai. Kemudian hujung lidi dilentur secara berselang-seli dan diselitkan di antara satu sama lain dalam aturan tertentu untuk menghasilkan suatu corak. Seterusnya lidi itu ditarik supaya anyaman tersebut menjadi kukuh. Akhirnya bahagian hujung lidi diselitkan dengan kemas dan bakinya dipotong.