م ِ ن الَّر ِ سم ِ الل ْ ه الَّر ْ ِب َ ح ِ ْ حي ِ م PEMELIHARAAN KHAZANAH WARISAN INTELEK MADRASAH BANDAR DAMAI - 1 Kenali Pondok Madrasah Sistem pengajian pondok adalah warisan intelek yang kita warisi dari cerdik pandai kita yang silam. Ianya warisan yang masih hidup beroperasi sehingga kini, walaupun pengaruhnya tidak sekuat dizaman keagongannya. Sekarang ini masyarakat Islam mula menunjukkan minat kepada sistem pengajian ini setelah melihat sistem pengajian yang semasa tidak dapat memenuhi beberapa kriteria ilmiah yang penting yang mereka inginkan. Walaubagaimanapun lebih ramai yang melayan pondok dan tokohnya sebagai artifak sejarah. Mereka lebih minat mengkaji pondok dari sudut sejarah, bukannya untuk membangunkan institusi pengajian yang berasaskan pondok.Tok guru-tok guru pondok dimasyhurkan setelah mereka meninggal dunia, sementara masih ramai tok guru yang sedang berkhidmat. Ramai orang yang berminat dengan sistem pengajian pondok tetapi tidak ramai yang mengenalinya dengan betul. Apa yang mereka lihat adalah pondok-pondok kecil, surau dan pelajar yang rata-ratanya memakai sarung, baju melayu atau berjubah dan berserban. Aktiviti yang berjalan padanya tidak benar-benar kelihatan bagi mereka dan tidak mereka rasakan, malah ramai pelajar pondok sendiri tidak menyedari nilai-nilai pondok yang mereka alami. Lepasan pondok memang dari dulu hingga sekarang mempunyai kemampuan yang mengkagumkan. Mereka mampu mendalami teks ilmiah berbahasa arab walaupun sebahagian mereka tidak pernah bertemu dengan orang arab apatah pula mendengar katakata yang dicampakkan oleh mulut orang arab. Dipertengahan tahun lapan puluhan ketika saya disekolah menengah pernah saya baca satu artikel yang menyebutkan satu isu berkenaan krisis ilmiah : graduan universiti Timur Tengah tidak mampu menguasai bahasa arab demi untuk menggali khazanah ilmiah didalam kitab-kitab turas atau kitab kuning ulamak silam. Disebutkan juga kemampuan pelajar-pelajar pondok dari sudut ini mengatasi mereka. Saya merasa hairan, dan ini adalah salah satu sebab kenapa saya menyertai pengajian pondok. Sistem pengajian yang mampu melahirkan budak kampong memahami teks genius dunia seperti Ihya' Ulumiddin bagi Imam Ghazali, Fathul Wahhab bagi Zakaria Anshari, Tafsir Nasafi dan lain-lain lagi saya kira adalah sistem yang sangat hebat dan berbaloi untuk kita kaji.
Setelah melalui beberapa tahun melalui pengajian dipondok dan membuat sedikit pencapaian saya suka untuk berkongsi pengalaman saya didalam memahami intipati sistem ini. Moga pengalaman yang saya catatkan ini boleh diambil faedah oleh mereka yang cinta kepada dunia pengajian Islam lebih-lebih lagi pelajar pondok dan mereka yang berhasrat menjadi penggiat madrasah pengajian pondok. Diatas dasar ini saya megalualukan pandangan dan pengalaman orang lain. Moga sumbangan idea dan pengalaman kita akan dimanfaatkan oleh generasi seterusnya. Subjek pengajian. Pondok adalah seperti akedemi Islam pada sesebuah universiti. Maknanya tidak diajarkan padanya subjek sains tabi'e, matematik seperti pada bidang pengajian yang lain. Semua subjek yang diajarkan adalah subjek tradisi; nahu, saraf, balaghah, mantiq, fekah, usuluddin, tafsir, hadith, usul fekah, usul tafsir, mustalah hadith dan lain. Diajarkan semua peringkat ilmu dari mengenal alif-ba-ta hingga yang tertinggi. Pelajar pondok. Pelajarnya juga dari semua peringkat umur. Jika seorang itu sampai keumur bersara dan jahil pada ilmu ugama maka dia boleh menyertai pondok dan belajar membaca quran dan fardhu 'ain, jika dia lepasan universiti dan merasakan ada penambahan ilmiah untuknya dipondok maka dia boleh juga menyertai pondok dan dia pasti akan mendapat tambahan ilmu. Tidak ada satu institusi ilmu yang menerima pelajar dari peringkat rendah hingga yang tertinggi. Semua yang berniat untuk belajar dan beribadat diterima dipondok. Ini kerana konsep pengajian pondok adalah khidmat bukan semata-mata melahirkan orang yang cemerlang ilmunya, seperti institusi pengajian formal. Pengajian Bahasa Arab Faktor sebenar pada penguasaan subjek-subjek yang diajarkan dipondok adalah penguasaan bahasa arab terutama sekali di pondok yang banyak menggunakan teks arab. Siapa yang menguasai bahasa arab dia menguasai subjek-subjek lain. Maka ia akan dibincangkan disini. Subjek-subjek lain bersifat kefahaman, tidak seperti nahu-saraf, ianya ilmu kaedah yang rumit difahami dan digunakan. Proses pembinaan bahasa arab adalah yang paling rumit dan susah difahami, bagaimana membentuk seorang pelajar memahirkan pembacaan tulisan arab tanpa pernah bertemu dengan orang arab, kerana itu saya lebih memfokaskan kepada bahasa arab. Jika anda seorang lepasan pondok atau mengenali seorang dari mereka anda maklum sangat bahawa lepasan pondok tidak boleh atau tidak mahir bercakap arab. Mereka boleh faham apa yang orang cakap tapi tidak dapat membalas dengan bahasa arab. Adakah ini bermakna mereka tidak menguasai bahasa arab? Saya pernah mengutarakan kelemahan saya yang tidak mahir berbahasa arab kepada seorang kenalan dari Cameroon, katanya "tidak mengapa, itu perkara biasa, ada orang yang boleh bercakap tapi tidak boleh membaca, dan ada orang yang boleh membaca tapi tidak boleh bercakap". Dengan mudah kita boleh terima kata-katanya itu.
Hakikatnya bahasa ditulis sepertimana ia dituturkan. Pada hemat saya kemahiran membaca lebih penting dari kemahiran bercakap dalam konteks mendapatkan ilmu. Melatih seorang yang mahir membaca untuk mahir bertutur lebih mudah dari sebaliknya. Dari pengalaman saya subjek bahasa arab tidak diajarkan hampir disemua pondok, jika adapun sangat asas. Apa yang ada adalah subjek nahu dan saraf yang diajarkan dengan cara yang sangat intensif sehinggakan seorang pelajar yang rajin menghabiskan dua-tiga jam sehari belajar dan mengulang kajinya. Peringatan dan nasihat sentiasa diberikan oleh tok guru dan senior agar memahirkan kedua ilmu ini jika mahu mendapat ilmu atau menguasai ilmu-ilmu lain. Ini cukup untuk membina daya juang seorang pelajar dalam mengausai kedua ilmu ini. Bahasa pada dasarnya adalah kemampuan bekomunikasi dengan lafaz, nahu-saraf adalah peraturan bahasa, maka keduanya hanya berfaedah apabila diletakkan pada bahasa, malah tujuan keduanya adalah untuk mengawal bahasa dari salah silap yang mengakibatkan salah pada penyampaian maklumat. Jika tidak diajarkan subjek bahasa arab maka dari mana didapati bahasa itu? Dipondok bahasa arab diambil dari teks pengajian berbahasa arab, dari semua subjek seperti fekah, tauhid, tafsir dan hadith. Pelajar mempelajari bahasa arab serentak dengan dia mempelajari fekah atau selainnya. Jika seorang itu melalui lapan jam sessi pengajian sehari bermakna dia telah berada didalam persekitaran bahasa arab selama lapan jam. Oleh itu bahasa arab dipondok adalah bahasa penulisan ilmiah yang tulen yang dipanggil juga bahasa "fusha". Pelajar pondok tidak belajar bahasa untuk bertutur tetapi untuk menggali khazanah ilmu yang ada didalam kitab-kitab turas karangan ulamak agong. Ini kerana kurangnya tuntutan keadaan untuk kita bertutur didalam bahasa arab. Walaupun tidak mampu bertutur satu kelemahan setidak-tidaknya mereka telah melakukan yang terbaik serta keadaan mereka yang serba kekurangan dan sedikitnya bantuan belajar. Realiti bahasa arab di pondok. Bahasa arab yang dikuasai oleh pelajar pondok adalah bahasa ilmiah tulen seperti yang saya katakan tadi, walaubagaimanapun ia ketinggalan zaman dari segi gaya bahasanya, berbanding bahasa arab semasa. Ini kerana teks yang dijadikan sumber bahasa mereka ada yang berumur seribu tahun. Adalah sangat baik untuk mempelajari bahasa arab dari sumber aslinya iaitu al Quran dan teks-teks lama kerana padanya terdapat ketulenan bahasa yang menjadi asas bahasa semasa, masaalahnya adalah bagaimana kita yang hidup pada zaman ini tidak terdedah dengan bahasa semasa. Ini pastinya suatu yang mengecewakan. Kelemahan ini mengurangkan kemampuan pelajar pondok mendapatkan maklumat dari media cetak dan siaran semasa, juga kurang menerima bahan cetak ilmiah yang dikarang oleh ulamak semasa. Akibatnya kurang terdedah dengan perkembangan ilmiah zaman ini.
Masaalah ini sebenarnya bukan besar bagi mereka yang bahasanya bertunjangkan nahusaraf yang kemas. Dengana sedikit inisiatif sendiri dia hanya memerlukan kamus dan bahan bacaan yang sesuai, buku, akhbar, komik dan sebagainya. Didalam sebulan dua kemajuan bahasanya sangat dirasakan. Saya sendiri telah melalui keadaan ini. Kelancaran bertutur hanya dapat dihasilkan dengan latihan bertutur, ini sukar dicapai disini kerana tidak ujudnya persekitaran yang menuntut kita bertutur dengan bahasa arab. Jika kita telah menguasai bahasa penulisan maka pergi sahaja ketanah arab dan bergaul dengan mereka yang berbahasa arab, banyak mendengar dan membaca terutama komik. Saya pernah berada ditanah arab selama enam bulan. Sesetengah orang yang saya temui tidak percaya saya baru tiga empat bulan berada ditanah arab dan bahawa saya belajar bahasa arab di Malaysia. Pendekatan belajar. Belajar bahasa arab dengan pendekatan bertutur disini peluang untuk berjaya nipis. Saya katakan ini kepada rakan-rakan lulusan universiti di timur tengah. Hujah saya "engkau sendiri tujuh tahun di Mesir tidak pandai bercakap arab". Berapa orang sahaja lulusan timur tengah yang mahir berbahasa arab. Bahasa Ingeris pun ramai graduan yang tak fasih berkomunikasi menggunakannya. Satu pihak yang lain kita boleh mahir membaca tulisan arab dengan belajar disini. Pondok telah membuktikannya. Lagi satu hal bahasa penulisan lebih asli dan berkualiti dari bahasa percakapan. Proses pembinaan ilmu lebih memerlukan kemahiran membaca dari bercakap. Pelan belajar bahasa arab di Pondok Pada asasnya untuk mahir membaca teks arab sangat mudah. 1- hafal kaedah, 2- faham kaedah 3- belajar menggunakannya. Ilmu Nahu. Pengajian nahu perlu kepada sekurang-kurangnya dua peringkat. Peringkat asas dan peringkat sederhana. Selepasnya peringkat tinggi, untuk pelajar yang tegar. Nahu Tahap Asas : beberapa teks yang seolah-olah wajib digunakan; Matan Ajrumiah, Mukhtasar Jiddan, Kafrawi dan Syeikh Khalid. Matan Ajrumiah adalah teks nahu paling asas dan paling popular. Ia mengandungi dua puluh bab asas ilmu nahu, disampaikan dengan bahasa yang paling ringkas dan mudah difahami dan dihafal. Seorang pelajar yang sederhana bijak boleh mempelajari memahami dan menghafalnya didalam empoh sebulan. Selepas itu pelajaran ditingkatkan kepada teks berikutnya yang sebenarnya adalah syarah bagi Ajrumiah dan latihan menggunakan kaedah-kaedahnya. Tidak ada bab tambahan pada kesemuanya. Belajar matan, khatam dengan cepat. Logiknya didalam pembinaan ilmiah. Adalah sangat penting dia mempelajari matan iaitu teks asas yang kecil dan cepat khatamnya. Ini kerana selepas proses itu dia telah mengetahui semua unsur-unsur asas sesuatu disiplin ilmu, disini ilmu nahu, dan telah mendapat gambaran menyeluruh tentang ilmu yang dipelajarinya. Selepas ini, jika kita mengajarkan teks fekah sebagai contoh maka jika
telah dapat menerangkan semua aspek-aspek nahu yang penting didalam memahami struktur ayat, dan dapat melatih mereka menggunakannya ketika membaca. Maka proses pengajian dan penerangan dapat berjalan dengan lancar selepas sebulan. Konsep ini juga digunapakai pada subjek lain. Keadaan ini tidak ujud disekolah, dimana dua puluh dua bab asas nahu itu dibahagikan kepada lima tahun. Maka pada tahun ketiga ketika sessi pengajian berjalan kita tidak dapat menerangkan aspek nahu bab tamyiz kerana ia diajarkan pada tahun keempat dan bab mubtada pula mungkin pelajar telah lupa kerana diajarkan pada tahun pertama. Bagaimana, sedangkan kesemua kaedah ini perlu digunakan serentak, kadang-kadang dua atau tiga aspek nahu ujud didalam satu ayat. Maka proses memahami teks arab pada subjek seperti fekah tidak berjalan lancar. Dengan keadaan ini peluang sangat tipis. Sepatutnya disekolah menengah tahun satu mengkhatamkan Matan Ajrumiah, Matan Bina dan Tasrif. Sebelum khatam tiga kitab ini sia-sia sahaja belajar teks arab. Satu perkara yang saya nampak perlu ada adalah perlunya pada peringkat ini teks nahu didalam bahasa Melayu sebagai rujukkan, kerana pada peringkat ini penerangan sangat perlu kepada kefahaman yang tepat, sedangkan pelajar baru masih lemah bahasa arabnya, maka bagaimana dia dapat mengulangkaji sendiri. Teks nahu berbahasa Melayu cukup sekadar dijadikan bahan rujukkan, dan latihan. Nahu tahap sederhana. Teks yang biasa digunakan seperti Mutammimah al Ajrumiah, Azhari, Qatrun Nada dan Syuzur Zahab. Pada teks-teks ini bab yang sama dipelajari tetapi dengan bahasan yang lebih meluas. Disamping itu beberapa bab ditambahkan sebagai pelengkap kaedah-kaedah asas. Dengan melalui tahap ini kemampuan seorang pelajar telah sangat cukup untuk membaca dan menulis tulisan arab, yang perlu hanyalah latihan. Teks yang diatas daripada ini seperti Syarah Ibnu 'Aqil saya kirakan tahap tinggi. Kesemua teks yang disebutkan boleh dipelajari secara intensif didalam masa empat tahun seiringan dengan subjek lain. Ilmu Saraf. Saraf disifatkan oleh para ulamak sebagai ibu ilmu. Siapa yang mahir pada mentasrifkan fe'el luas pengetahuan bahasanya, sementara nahu bapa ilmu. Teks yang biasa digunakan adalah : kitab Tasrif, Matan Bina wal Asas, Matan 'Izzi, Matan Maqsud dan Syarah kailani. Semua teks ini cukup bagi kita untuk membaca kitabkitab ilmiah. Saraf sebagai ibu ilmu adalah kenyataan yang sangat benar kerana ilmu dibina diatas kemahiran bahasa, bahasa itu adalah ayat-ayat yang dibina dari perkataan-perkataan, maka nahu membincangkan ayat atau susunan perkataan sementara saraf membincangkan perkataan yang tunggal. Maka saraf lebih asas kerana ia membincangkan perkataan yang menjadi elemen bagi membina ayat.
Setiap perkataan perlu diketahui asal usulnya dan pecah-pecahannya. Pecah-pecahan perkataan yang diistilahkan sebagai tasrif adalah seperti sifir kali-kali pada pengajian matematik. Saya dapati ramai pelajar yang tidak menyedari hal ini dan kurang memberikan penekanan kepada saraf, akibatnya mereka kurang lancar membaca teks arab. Beza bahasa arab dengan bahasa lain. Ahli-ahli bahasa arab akhir-akhir ini mengeluarkan teori; tidak perlu menekankan kaedah nahu dan saraf didalam pembelajaran bahasa arab. Apa yang penting adalah ingat seberapa banyak makna perkataan, bila kita punya perbendaharaan kata yang luas maka kita mudah menggunakannya membina ayat. Saya rasa pendapat ini akibat dari kegagalan dari memahami sifat semulajadi bahasa arab itu sendiri. Jadi teori ini saya kira tidak mampu bertahan walaupun dengan penilaian diatas kertas. Mungkin kena pada bahasa Melayu atau selainnya. Tulisan arab tidak menggunakan system huruf vokal untuk menghasilkan bunyi, tidak seperti bahasa dunia lain. Untuk membunyikan huruf-huruf yang selain huruf akhir perlu kepada kaedah yang dibincangkan didalam ilmu saraf. Huruf-huruf " د- ي- "زtidak tentu berbunyi "ٌ" َز ْيد, ia mungkin berbunyi "َ" ِزيْد. Ia juga mempunyai perubahan baris pada akhir kalimah yang dipanggil "i'rab" disebabkan oleh sebab yang tertentu dan menunjukkan makna yang tertentu. Huruf akhir " " َزيْدmungkin dibunyikan dengan "ٌ "زيدatau " "زيدًاatau "ٍ"زيد. Semuanya diketahui dengan mempelajari kaedah-kaedah nahu yang halus. Dengan cara yang mudah saya katakan : jika kita tidak menggunakan dua kaedah ini kita tidak membunyikan sesuatu perkataan dengan betul. Kedua-dua unsur ini tidak ujud atau kurang berperanan pada bahasa lain setakat yang saya tahu. Kesilapan pada dua aspek bahasa arab ini pastinya mengakibatkan salah pada memahami maksud atau menyampaikan maksud. Jika kita tidak punya ketepatan pada hal bahasa maka kita lebih merosakkan dari membina. Lebih bahaya pada masaalah halal dan haram. Orang arab tidak memerlukan sangat kaedah-kaedah ini kerana mereka bercakap dengan naluri arab sama seperti kita bercakap dengan bahasa ibunda kita. Namun bila mereka hendak mendalami ilmu wahyu mereka akan mendalami dulu ilmu bahasa mereka dengan mendalami nahu-saraf dan ilmu-ilmu bahasa yang lain. Aplikasi kaedah nahu saraf. Memahami dan mengingati kaedah satu perkara, menggunakannya didalam bacaan atau tulisan atau percakapan satu perkara yang lain. Justeru kita boleh temui orang yang ingat dan faham kaedah tetapi tidak mampu membaca dengan baik. Ini kerana yang pertamanya kita perlu latihan membaca atau menulis dengan menggunakan kaedah-kaedah tersebut. Keduanya ianya melibatkan maksud yang hendak disampaikan oleh penulis, untuk boleh membaca maka kita mesti punya sedikit sebanyak ilmu kadar dapat membayangkan apa yang disampaikan oleh
penulis, kerana makna dan nahu itu dua yang berlaziman, untuk betul nahu mestilah betul makna, begitu juga sebaliknya. Kitab Jawi. Pentingnya kebolehan membaca arab tidak terhad pada kitab arab, ianya juga untuk membaca kitab jawi, kerana kitab jawi sebenarnya ditulis dengan kaedah dan gaya bahasa arab. Memang perkataan-perkataannya Melayu tetapi untuk memahami ayatayatnya dengan baik perlu kepada memahami kaedah pembacaan kitab arab. Nilai-nilai yang membina kekuatan ilmiah pelajar di pondok. Kebanyakkan pelajar pondok yang dikira berjaya tidak dapat menerangkan apa yang membina kekuatan ilmiah mereka. Mereka akan kata : tak tahu nak kata, duduk mengaji dalam tiga tahun tahu-tahu dah boleh baca kitab. Saya berpendapat banyak nilai-nilai yang menyumbang kepada hal ini, berjalan serentak dengan proses belajar dan mengajar tanpa disedari. Belajar ibarat teks. Pengajian sesuatu ilmu dipondok bukan menumpu kepada subjek pengajian sahaja tetapi juga mempelajari ibarat atau ungkapan teksnya. Setiap subjek tidak hanya dipelajari ilmunya sahaja tetapi dikaji ibaratnya penyampaiannya. Maka dikaji perkataan, ayat, istilah dan gaya bahasa dan penyampaiannya. Bermakna pengajian sesuatu subjek itu bergandingan dengan pengajian bahasa, serentak kita memahami ilmu seperti fekah kita juga memahami ibarat penyampaiannya. Diterangkan aspek nahu, saraf dan balaghah, iaitu cara-cara untuk memahami maksud dari ibaratnya. Dengan kata lain kita belajar fekah dan belajar membaca kitab fekah. Maka selepas itu kita dapat membaca sendiri teks yang lain. Dengan ini ilmu akan bertambah lebih dari apa yang diajarkan. Bayangkan kita belajar fekah selepas itu tidak mampu membaca kitab fekah. Proses ini sentiasa berjalan. Perbincangan aspek-aspek bahasa sentiasa hidup bersama semua pengajian. Ini tidak ujud disekolah yang mana fekah umpamanya diajarkan dengan penumpuan kepada fekah tanpa mementingkan aspek-aspek bahasa yang saya sebutkan tadi, perbincangan nahu saraf duduk didalam subjek lughah. Ini mungkin sekali kerana kurangnya guru yang berkemampuan membawanya atau memang teknik pengajarannya sebegitu. Akibatnya ilmu bahasa mati dan tidak ada latihan membaca, sedangkan kemahiran membaca itu wasilah untuk mendapat ilmu, perintah yang pertama melalui wahyu. Lebih parah lagi dipusat pengajian tinggi, kerana ia bukan tempat belajar membaca dan bukan tempat orang yang tidak pandai membaca, tetapi untuk orang yang pandai dan bijak. Universiti tempat dibahaskan ilmu peringkat tinggi. Kalau ada orang yang tidak pandai membaca tapi belajar diuniversiti maka fikirkanlah sendiri apa hasilnya. Gandingan dua ilmu ini telah berjalan beratus tahun dan saya kira sangat berkesan pada pembinaan ilmiah pelajar bukan arab. Kita boleh lihat dalam masa dua tahun seorang pelajar pondok yang cerdik telah mampu membaca dan mengajarkan teks fekah Fathul Qareeb dan seterusnya Fathul Mui'en. Disini kita jelas bahawa siapa yang menguasai bahasa arab dia menguasi ilmu tradisi Islam.
Ilmu Wahyu. Ketekunan balajar sangat penting untuk memantapkan ilmu. Tidak ada motivasi yang lebih bernilai dari mendapat keredhaan Allah taala dan balasan baik diakhirat kelak. Kerana ini ramai pelajar pondok yang sanggup menghabiskan sehingga sepuluh tahun belajar, meninggalkan keselesaan hidup didunia, tidak mempunyai harta ketika rakan sebaya bekerja menghimpunkan harta dan membina kehidupan yang selesa, makan dan pakaian sekadar cukup, tidak punya duit simpanan, bergerak dengan kenderaan awam, pendek kata serba serbi kekurangan., sanggup berjaga malam menghafal ilmu-ilmu kaedah yang beratus-ratus muka surat, mempelajari ilmu-ilmu yang rumit. Kesan motivasi begini juga jelas pada ilmu sains tabi'e bilamana ia disandarkan kepada ibadat dan keredhaan Allah taala. Ramai pelajar pondok yang bersungguh belajar matematik demi mempelajari ilmu falak untuk mengetahui arah kiblat, masa sembahyang dan puasa. Begitu juga memahirkan ilmu faraidh. Juga mempelajari serba sedikit sains dan bahasa Ingeris demi memahami hikmah dari penciptaan alam dan memahami tafsiran al Quran dan hadith dengan lebih mendalam. Inilah yang perlu diterapkan pada semua bidang ilmu sains tabi'e, kerana semuanya adalah perintah Allah yang ketegorinya fardhu kifayah, untuk memajukan kualiti hidup manusia dan pengurusan dunia dengan betul. Al hamdulillah usaha ini memang telah mula dilakukan disekolah dan pusat pengajian tinggi, ilmu sains tabi'e dikaitkan dengan sejarah keagongan ulamak islam yang silam dan tuntutan fardhu kifayah. Pengajian Cara Talaqqi. Satu unsur yang sangat istimewa didalam sistem pondok adalah "talaqqi". Ia bermakna menerima sesuatu secara terus. Dipondok ia bermakna penerimaan sesuatu teks dari guru dengan cara guru membacakan kitab dan murid menadah kitab sambil mencatat apa yang perlu. Sambil membaca guru menjelaskan kefahamannya dan menerangkan aspek-aspek bahasanya. Kesannya teks yang susah difahami akan menjadi ringan. Ini juga sebenarnya adalah tunjuk ajar guru cara membaca dengan betul. Dengan cara ini kethiqahan ilmu juga terpelihara, kerana guru berpandukan kepada kitab yang muktabar dalam menerangkan sesuatu ilmu dan susah berlaku kesilapan. Kesan Talaqqi Kitab Pada Pengukuhan Bahasa. Saya sering menimbulkan soalan pada rakan-rakan, apakah cabaran besar didalam mempelajari bahasa asing? Kemudian saya berikan pendapat saya yang simple "malas tengok kamus". Kelihatannya semuanya setuju. Saya kata kepada rakan yang bertanya pendapat macamana nak mahir lughah : satu hari berapa kali engkau tengok kamus? Hampir semua pelajar punya masaalah ini. Kaedah tatabahasa sedikit sahaja yang luasnya adalah perbendaharaan kata.Selepas kita memahami tatabahasa sesuatu bahasa asing maka kita perlu mengkayakan perbendaharaan kata, dan ianya terkandung didalam kamus. Malas merujuk kamus susah untuk pandai bahasa asing. "Tengok kamus" bunyinya senang nak buat susah. Dengan teknik talaqqi masaalah ini tidak timbul, kerana makna perkataan kita ambil dari mulut tok guru. Bayangkan jika satu teks setebal 500 muka surat, bila kita khatamkannya, kita telah menempuh perkataan biasa mungkin 4000-5000 kali, perkataan istilah mungkin
50 kali, perkataan yang pelik mungkin 10 ke 15 kali. Dengan berulang kali menemuinya ia lekat didalam otak kita. Jadi beban merujuk kamus menjadi sangat ringan. Saya yakin keadaan yang sama berlaku pada pembelajaran semua bahasa termasuk bahasa Ingeris. Cuba talaqqi satu teks berbahasa Ingeris. Membaca dengan kaedah. Tulisan arab ditulis dengan kaedah nahu-saraf yang rapi dan halus. Semua kitab-kitab ditulis dengan cara begitu. Maka membacanya hendaklah menggunakan kaedah sama yang dengannya ia ditulis. Tidak boleh kita kata kita faham sesuatu dari satu ayat tetapi tidak dapat memastikan i'rab i.e status pembinaan ayat itu berdasarkan kaedah nahu-saraf, kerana betul atau salahnya kefahaman kita itu tidak ada ukurannya. Kaitan diantara makna yang hendak disampaikan dan dengan lafaz adalah lazim, jika betul makna maka betullah i'rabnya begitu juga sebaliknya. Tidak boleh ujud betul makna tapi tak betul i'rabnya. Perkara ini sentiasa dipastikan didalam pengajian pondok. Para ulamak dulu telah mencipta beberapa istilah melayu yang digunakan ketika menterjemahkan teks arab untuk menunjukkan aspek nahu atau i'rab pada ibarat bahasa arab seperti bermula, oleh, akan, hal keadaan, yang, nisbah, jika, jika sekalipun, walaupun dan selainnya. Begitu juga menggunakan istilah-istilah untuk menunjukkan aspek-aspek makna dan penyampaian seperti syarat, jawab syarat, kat masaalah, cabangan, tafsil, contoh, bandingan, ghayah dan selainnya. Saya kira keadaan ini tidak ujud disekolah disebabkan dua faktor yang saya sebutkan tadi. Maka pengajian bahasa terpisah dari pengajian subjek lain. Yang sepatutnya bagi pelajar yang setengah belum matang kedua-duanya perlu berjalan selari. Orang yang hafal mengalahkan orang yang tidak hafal. Hafalan sentiasa ditekankan, dari mula belajar hingga setinggi-tingginya, ada sahaja yang perlu dihafal. Bila kita menekankan hafalan bukan bermakna kita mengenepikan fahaman. Hafalan dan fahaman sama-sama diusahakan. Akhir-akhir ini satu teori pengajian moden pengajian bahasa arab diutarakan, menafikan cara belajar tradisi yang mementingkan hafalan, tidak perlu menghafal cukup dengan faham. Teori ini sangat tidak betul pada perkara yang berbentuk kaedah, sama seperti sifir kali-kali, ia perlu dihafal untuk digunakan dengan pantas. Perkara yang perlu dihafal walaupun tidak difahami perlu dihafal. Kefahamannya insyaallah akan muncul kemudian. Seorang yang menghafal satu hadith sebagai contoh mungkin tidak memahaminya pada waktu itu, tetapi dia sentiasa membawanya kemana dia pergi, satu masa mungkin dia akan mendengar orang lain membincangkan hadith itu atau menemui satu situasi yang membuatkan dia memahaminya. Hafalan adalah tradisi ilmuan Islam. Ulamak dulu tidak hanya menakalkan kefahaman guru mereka tetapi menakalkan ungkapan yang diungkapkan oleh guru mereka. Ini lebih
nilainya pada kethiqahan sesuatu kenyataan. Hafalan adalah satu cara bagaimana Allah taala memelihara kesucian al Quran yang menjadi mukjizat sepanjang zaman. Apabila suatu perkara berulang-ulang ia menjadi mantap. Pada sukatan pelajaran sekolah atau universiti setiap tajuk dipelajari sekali. Jika kita ponteng satu pengajian kita tidak akan jumpa tajuk yang diajarkan pada sessi yang kedepan. Lebih buruk lagi jika ada tajuk yang tidak dimasukkan kedalam sukatan atau sukatan tidak dapat dihabiskan kerana tidak cukup masa. Dalam hal ini pondok mempunyai kelebihan besar. Didalam tempoh lima tahun, satu teks tafsir dapat dikhatamkan, dianggarkan fekah empat teks, tauhid tujuh ke lapan teks, nahusaraf berbelas teks, hadith dua ke tiga teks. Malah didalam sehari mungkin pelajar menemui tajuk yang sama dua kali melalui teks berlainan. Pelajar sentiasa diingatkan dan digalakkan agar mempelajari sesuatu teks lebih dari sekali. Diriwayatkan Tok guru kenali mempelajari Matan Ajrumiah empat belas kali. Sentiasa diingatkan juga petua dari tok-tok guru yang mengatakan : sebelum naik mengaji baca sepuuh kali lepas mengaji baca sepuluh kali. Itu amalan ulamak dulu, kita dapat baca tiga kali pun jadilah. Belajar lama, kita tidak tahu bila akan dibukakan ilmu bagi kita. Ini satu lagi nasihat yang sering diungkapkan oleh tok guru. Maknanya jangan berhenti dulu, sambung belajar lagi untuk beberapa tahun. Dari sudut hakikatnya kita tidak tahu bila Allah taala hendak berikan ilmu kepada kita, mungkin kita berhenti sebelum waktunya yang telah hampir. Memahami ungkapan ini dengan logik, ilmu diterima oleh akal seiring dengan kematangan otak. Ada orang yang matang awal maka dia boleh memahami perkara yang rumit seusia empat belas tahun, mampu menyertai pengajian diuniversiti Oxford dibidang matematik. Ada orang yang lambat matang, diusia lima belas tahun masih tidak tahu membaca, tetapi selepas itu otaknya berkembang melebihi orang biasa, dan dia berjaya membuat pencapaian akedemik diusia tiga puluh lima tahun. Jadi kalau kita berasa sukar menerima ilmu jangan cepat putus asa, terus belajar, mungkin dimasa yang dekat otak kita akan matang dan boleh menerima ilmu melebihi orang lain. Saya dapat sembilan pada subjek matematik s.p.m, dan dipertengahan usia dua puluhan saya merasakan saya boleh menguasai matematik jika belajar sekarang. Saya kemukakan pendapat saya pada seorang rakan, guru matematik, dan dia setuju lalu mengatakan bahawa dia dapat menghayati matematik dengan baik ketika belajar diuniversiti diusia dua puluhan. Ketika usia belasan tahun disekolah menengah kefahaman samar-samar, seolah-olah nasib sahaja lulus mate. Maknanya sesetengah kita mempunyai otak yang lambat matang untuk menerima ilmu yang berat. Baca kitab dan menadah kitab. Dua istilah yang kedengarannya simple. "Baca kitab" maknanya membacakan dan mengajarkan kitab kepada orang lain, "menadah kitab" atau "mengaji kitab" artinya mempelajari kitab dari guru, "telaah kitab" artinya mengulangkaji tanpa guru.
Tidak ada peperiksaan dan sijil dipondok. Penilaian ilmiah adalah dengan setakat mana seorang pelajar itu mampu "baca kitab" atau telah "menadah kitab". Soalan yang sering kita dengar pada sesama pelajar pondok "baca kitab apa?" "ngaji kitab apa?" "hafal matan apa?". Penilaian ini sangat membuktikan keilmuan sesaorang yang jauh dari unsur-unsur kebendaan. Jika lulus periksa mungkin dia kena dengan tajuk dan soalan yang dia spot. Boleh "baca kitab" menunjukkan kualiti ilmiah sesaorang. Berbagai disiplin ilmu ada pada dia. Contohnya boleh baca kitab Fathul Mui'en menunjukkan seorang itu telah menguasai fekah dengan empat kategori aktiviti manusia : ibadat, mu'amalah, munakahat, jenayah, dan menguasai ilmu bahasa termasuk nahu, saraf, balaghah dan gaya penyampaian teks itu. Ini tidak boleh dipertikaikan. Orang yang sampai ketahap baca Fathul Mu'ien mampu memahami kertas kerja penyelidikkan ilmiah ulamak besar sekarang dan membuat ulasan. Memang ada orang yang baca kitab dengan kualiti yang kurang tetapi saya kira masih hebat berbanding orang yang tidak pernah baca kitab sampai khatam. Kalau kita tidak boleh mengajar kita belajar. Pesan tok guru : dimana kita duduk kalau tak boleh mengajar kita belajar. Tidak boleh lari dari dua hal ini. Perasaan cintakan ilmu ditanamkan oleh kata-kata ini, sehinggakan kegiatan belajar dan mengajar menjadi sebahagian kehidupan bukan kerja atau aktiviti sementara. Semua pelajar pondok digalakkan mengajar apa yang mereka tahu kepada orang yang kurang dari mereka. Kegiatan mengajar ini sebenarnya lebih bermanfaat kepada orang yang mengajar, kerana ketika itu ilmunya bertambah kukuh dan luas, Allah taala membukakan baginya apa yang dia tidak faham dengan belajar dan mentelaah, mungkin kerana keberkatan mengajarkan ilmu Allah kepada makhlukNya. Semua orang merasakan ini, ilmu yang didapati ketika mengajar lebih dari yang didapati dengan belajar. Belajar dan mengajar berjalan serentak. Dengan itu juga bakat mengajar sebagai guru dibentuk dari awal perjalanan ilmiah sesaorang pelajar. Perkara biasa dipondok budak lima belas tahun mengajar rakannya, yang lebih muda mengajar yang lebih tua. Jika dada kita kosong kita kena bawa kitab. Ini pesanan tuan guru saya Hj Abdul Latif bin Abdul Rahman pada awal dia menyertai mesyuarat majlis fatwa negeri Perak. Maknanya lazimi amalan merujuk kitab, jangan bercakap hal ugama tanpa pasti bahawa ianya ada nasnya atau ada disebutkan didalam kitab muktabar, atau kita akan bercakap dengan hawa nafsu. Diriwayatkan tok guru Kenali tidak bercakap hukum melainkan ada kitab didepannya. Kalau dada kosong, tak merujuk kitab, kemudian kita bercakap hal-hal ugama, maka sebenarnya kita bercakap dengan hawa nafsu yang gurunya Syaitan. Keberkatan. Konsep berkat atau barakah sentiasa dititikberatkan oleh tuan guru. Maknanya lebih kebajikkan. Makanan untuk dua orang jika berkat boleh dimakan tiga orang. Razeki yang sedikit cukup untuk keluarga yang besar. Ilmu yang dimanfaatkan
oleh pemiliknya dan orang lain maka ilmu itu berkat, jika tidak maka tidak. Ilmu yang tidak berkat hanya menambahkan jauh dari Tuhan. Keberkatan terhasil dengan ikhlas, warak, amalan sunat dan adab dan khidmat kepada guru. Kerana itu kita boleh lihat mereka yang menjaga adab terutama dengan guru dan suka berkhidmat kepadanya dapat memanfaatkan ilmunya dan menjalani kehidupan dengan berjaya, samaada dia sampai keperingkat mengajar atau tidak. Itulah berkat.