Teks Ucapan NYDP PIBG Sempena Mesyuarat Agung PIBG kali ke-20 Terima kasih Pengacara Majlis, Yang Berusaha En Samsol bin Mamat, Pengurus Bank Islam Cawangan Muadzam Shah. Yang Dihormati, En Ahmad Shakri bin Hamzah, Guru Besar SK (LKTP) Keratong 7, En Johari bin Ahmad, GPK Pentadbiran, Pn Zuwariah bt Mahmud, GPK HEM, Pn Suriani bt Abdullah @ Mohd, GPK Kokurikulum, Ahli Jawatankuasa PIBG SK (LKTP) Keratong 7, Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Agung PIBG kali ke-20, guru-guru, ibu bapa dan tuan puan yang dihormati sekalian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Saya melahirkan perasaan bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana kita dapat bersama-sama dalam Mesyuarat Agung PIBG kali ke-20 ini. Saya amat mengalu-alukan Yang Berusaha, En Samsol bin Mamat kerana dapat bersama-sama dengan kita pada hari ini. Di sebalik kesibukan tugas, Tuan dapat hadir ke majlis yang telah dirancangkan ini. Kami berasa berbesar hati dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan atas sokongan dan prihatin Tuan terhadap kami. Bagi pihak PIBG sekolah, saya yakin dengan kehadiran Tuan akan dapat menyemarakkan lagi semangat ibu bapa dan masyarakat Felda Keratong 7 untuk melibatkan diri secara aktif dalam program pendidikan. Kita sedar bahawa dunia pendidikan mengalami banyak perubahan dari semasa ke semasa. Peluang pendidikan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang. Pendidikan adalah bidang dinamik serta penuh
cabaran di mana ia menuntut perancangan strategik yang teliti dan pragmatik, kos yang besar serta jentera pelaksana yang cekap. Pendidikan juga terdedah dan terpengaruh dengan tuntutan perubahan selaras perkembangan global dan regional atau serantau. Antara cabarannya adalah melestarikan tahap profesyen dan menjadikan kualiti perkhidmatan serta kecemerlangan sebagai identiti. Negara akan kehilangan daya saing, ketinggalan atau terpinggir dari kemajuan global jika bidang pendidikan tidak menjadi keutamaan atau tidak diuruskan dengan cekap dan berkesan. Tahniah, saya ucapkan kepada para pelajar dan waris pelajar yang telah berjaya mencapai kecemerlangan. Semoga kejayaan demi kejayaan yang dicapai pada masa sekarang akan menjadi pendorong dan pencetus budaya cemerlang demi mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan. Tuan Pengurus dan hadirin yang dihormati sekalian, Insya-Allah pada petang ini kita akan bermesyuarat dan bersama-sama menentukan komitmen PIBG untuk membantu pihak sekolah. PIBG bukan sahaja membantu dengan memberi sumbangan wang atau dana daripada tuan-tuan dan puan-puan kepada pihak sekolah, malah antara perkara utama yang saya harapkan selaku NYDP PIBG ialah pandangan dan pemikiran membina ke arah membantu pihak sekolah dalam meningkatkan potensi anak-anak kita khususnya dalam bidang akademik dan dunia pendidikan. Komitmen tuan-tuan dan puan-puan adalah kebanggaan saya. Saya suka menyentuh beberapa isu utama yang perlu diberi perhatian oleh kita sebagai waris SK Keratong 7. Kita yakin, tanpa disiplin yang tinggi, pasti kejayaan dan kecemerlangan tidak akan tercapai. Kita juga mesti sedar, kebanyakan sekolah juga tidak terlepas daripada ledakan isuisu yang berkaitan pelajar. Para waris semestinya sedar dan
prihatin mengenai masalah ponteng, datang lambat ke sekolah, merokok, buli, melawan guru, personaliti diri, mencuri dan seumpamanya. Walaupun masalah ini bukan sesuatu yang serius di sekolah ini, keperihatinan para waris akan menatijahkan sesuatu yang bermakna untuk sekolah. Saya percaya di bawah kepimpinan dan keprihatinan Tuan Guru Besar SK Keratong 7, En Ahmad Shakri bin Hamzah, kita boleh mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam semua aspek. Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada En Samsol, Tuan Guru Besar, Ahli Jawatankuasa PIBG, Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Agung PIBG kali ke-20, para waris SK Keratong 7 dan hadirin yang dihormati sekalian. Terima kasih atas kesudian tuan-tuan dan puan-puan bersama-sama berada dalam majlis kita pada hari ini. Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap. Apa yang saya perkatakan datangnya dari hati saya yang ikhlas demi melihat kemajuan anak-anak kita jua. Sekian.Wabillahi taufiq wal hidayah wasalammualaikum Warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih. PN SARIMAH BT OTHMAN. NYDP PIBG, SK (LKTP) KERATONG 7. SESI 2018 / 2019.