Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua anak-anak calon SPM 2018 DI MANA ADA KEMAHUAN DI SITU ADA JALAN BELAKANG PARANG DIASAH LAGIKAN TAJAM KALAU TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG, MANAKAN DAPAT SAGUNYA YANG BULAT TIDAK AKAN DATANG BERGOLEK, YANG PIPIS TIDAK AKAN DATANG MELAYANG SETITIS JADIKAN LAUTAN, SEKEPAL JADIKAN DARATAN BENIH YANG BAIK DICAMPAK KE LAUT MENJADI MUTIARA DICAMPAK KE LANGIT MENJADI KEJORA USAHA TANGGA KEJAYAAN BAHASA JIWA BANGSA Alhamdulillah, Cikgu mengambil kesempatan ini mendoakan semoga anak-anak diberikan kesihatan yang baik, ketenangan fikiran dan ketajaman ingatan sehingga dapat menjawab kesemua soalan dengan baik seterusnya beroleh keputusan yang cemerlang. Jagalah kesihatan diri dan emosi, jangan wujudkan konflik , kerana ia akan mengundang masalah dan menjejaskan persediaan anak-anak menghadapi peperiksaan. Rakan adalah aset yang sangat berharga ketika ini kerana daripada mereka anakanak boleh mohon pandangan dan bantuan mereka. Jagalah hubungan anak-anak dengan jiran dan ahli masyarakat sekeliling. Biarkan mereka memandang anak-anak dengan pandangan kasih dan sayang. Harapkan juga doa daripada mereka dan sangkaan-sangkaan baik mereka terhadap anak-anak.
Di samping itu, jagalah hubungan anak-anak dengan insan yang paling banyak memberi ilmu kepada anak-anak iaitu, guru-guru. Jika masih belum memohon maaf dan restu daripada guru anak-anak, sila lakukan dengan segera kepada mereka, mohon ampun dan mohon halalkan segala ilmu yang dicurahkan. Pandang mereka dengan pandangan hormat dan penuh taat. Jagalah hubungan anak-anak dengan ibu bapa. Dapatkan keredhaan ibu dan ayah, supaya doa mudah dimakbulkan oleh Tuhan. Mohonlah ampun maaf daripada mereka dan harapkan doa daripada mereka. Sesungguhnya doa yang ikhlas itu amat mujarab, dan pastinya doa yang ikhlas itu datangnya daripada kalbu seorang ibu yang telah melahirkan kita . Jangan lupa menjaga hubungan kita dengan TUHAN. Berdoalah kepada Nya kerana doa adalah ‘inti’ atas segala usaha. Berdoalah untuk diri sendiri dan berdoalah juga untuk rakan-rakan lain. Insya Allah anak-anak akan dapat balasan berganda. Ingatlah, apa pun yang kita usahakan, yang akan membuahkan hasilnya hanyalah Allah SWT kerana DIA PEMILIK SEGALA PERBENDAHARAAN. Cikgu sentiasa menganggap anak-anak bagaikan anak sendiri dan cikgu percaya guru-guru lain juga begitu. Dalam proses mendidik sudah tentu yang salah ditegur, yang tak betul dimarahi. Namun cikgu tidak pernah melupakan anak-anak semasa bermunajat kepada-NYA kerana kejayaan anak-anak adalah kejayaan para guru juga. Harapan cikgu menggunung tinggi terhadap anak-anak sekalian agar dapat melakar kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun ini. Cikgu mendoakan anak-anak akan mencapai kejayaan pada kali ini. Jadikanlah kejayaan itu nanti, sebagai pencetus kepada kejayaan-kejayaan yang seterusnya. Semoga Maju Jaya. Akhir kata, yakinlah pada diri dan mulalah mencipta sejarah hidup yang cemerlang, gemilang dan terbilang. IsyaAllah, cikgu yakin anak-anak sekalian akan beroleh kejayaan sesuai dengan usaha yang dilakukan. Perahu di tangan anak-anak. Pendayung
juga di tangan anak-anak. Mudiklah perahu itu ke muara dengan selamat agar dapat mencapai matlamat anak-anak. . Tips dan pesanan cikgu untuk anak-anak: Tidur awal sebelum peperiksaan. Ambil sarapan yang berkhasiat. Pastikan kelengkapan peperiksaan seperti alat tulis cukup dan dibawa ke sekolah. Datang awal ke sekolah. Bagi yang muslim khasnya, mulakanlah menjawab dengan "Bismillahirrahmanirrahim" dan bukan muslim amnya, berdoalah kepada Tuhan. Jangan lupa solat dan teruslah bertawakkal dan berdoa walaupun peperiksaan telahpun selesai.