Stp_9_pimpinandanpembinaannegarabangsa-ketokohantunperakberdasarkantekssulalatus-salatinsejarahmelayudanhikayathangtuah.pdf

  • Uploaded by: nunu
  • 0
  • 0
  • April 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Stp_9_pimpinandanpembinaannegarabangsa-ketokohantunperakberdasarkantekssulalatus-salatinsejarahmelayudanhikayathangtuah.pdf as PDF for free.

More details

  • Words: 4,247
  • Pages: 9
See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.net/publication/312215216

PIMPINAN DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA: KETOKOHAN TUN PERAK BERDASARKAN TEKS SULALAT US-SALATIN SEJARAH MELAYU DAN HIKAYAT HANG TUAH Conference Paper · October 2016 CITATIONS

READS

0

1,157

2 authors, including: Al-Amril Othman Universiti Kebangsaan Malaysia 8 PUBLICATIONS   0 CITATIONS    SEE PROFILE

All content following this page was uploaded by Al-Amril Othman on 12 January 2017.

The user has requested enhancement of the downloaded file.

Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP) 17 Oktober 2016

PIMPINAN DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA: KETOKOHAN TUN PERAK BERDASARKAN TEKS SULALAT US-SALATIN SEJARAH MELAYU DAN HIKAYAT HANG TUAH Al-Amril Othman Mohamad Rodzi Abd. Razak Universiti Kabangsaan Malaysia

PENGENALAN Dalam konteks pembinaan sebuah negara mahupun bangsa, pemimpin merupakan aktor penting yang berperanan mencetuskan wawasan dan halatuju dalam melestarikan kedaulatan negara berkenaan. Jatuh bangun sebuah negara mahupun tamadun akan banyak bergantung kepada keupayaan seseorang pemimpin dalam menerajui, mencorak serta menegakkan kawalan ke atas sistem, struktur mahupun institusi yang mendasari kewujudan dan kelangsungan negara berkenaan. Sejarah memperlihatkan sejak zaman tradisi hingga moden, kemunculan dan peranan pemimpin yang silih berganti mewujudkan pelbagai senario dan fenomena dalam sejarah perkembangan manusia, negara dan tamadun. Dalam perkembangan sejarah Malaysia misalnya, pemimpin-pemimpin besar seperti Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak 1 mencetuskan pelbagai gerakan dan wawasan dalam usaha membina masyarakat dan negara dalam era masing-masing. Dalam konteks sosiobudaya dan sistem politik tradisional Melayu, Tun Perak dan Hang Tuah begitu menonjol, baik secara tersirat mahupun tersurat sebagai tokoh agung dalam kapasitinya masingmasing. Ia menjadikan kedua-dua tokoh ini berperanan begitu berkesan sebagai pemimpin yang cekap dan pahlawan yang berani bagi mewakili citra orang Melayu melalui Kesultanan Melaka sebagai pendokong citra tersebut. Bagaimanapun, tidak seperti Hang Tuah yang mempunyai hikayat khusus bagi memperihalkan ketokohannya, Tun Perak ternyata banyak bergantung kepada Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu sebagai wadahnya sejajar dengan latar kedudukan pengarang yang mempunyai hubungan darah dengannya. Namun Tun Perak tidak memperlihatkan banyak isu untuk diperdebatkan secara kontroversi seperti Hang Tuah, suatu keadaan yang selamat bagi tokoh ini mengekalkan kewibawaannya dalam memori kolektif orang Melayu hingga kini. Apabila memperkatakan tentang ketokohan Tun Perak, fikiran kita lazimnya akan diletakkan kepada dua konteks jangka waktu berbeza namun saling berkaitan dalam rantaian peristiwa yang terakam dalam sejarah Malaysia, khususnya politik tradisi Melayu. Dari konteks masa silam seperti yang tercatat dalam Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu, 2 kewibawaan Tun Perak diperlihatkan berdasarkan latar keturunannya yang disusur-galurkan kepada Demang Lebar Daun, 3 bakat kepimpinannya menerusi 1 Sekadar mengambil contoh beberapa nama dalam perkembangan sejarah Malaysia. Terdapat ramai lagi pemimpin baik di peringkat lokal mahupun nasional yang memainkan peranan penting dalam usaha mencetuskan kesedaran kepada masyarakat dan seterusnya memimpin, membentuk dan memacu kemajuan negara hingga dikenali di peingkat antarabangsa. 2 Menurut Cheah Boon Kheng, terdapat kira-kira 32 buah naskhah atau versi teks Sejarah Melayu yang masih tersimpan di perpustakaan-perpustakaan universiti dunia. Namun begitu, makalah ini akan hanya menggunakan dua versi sahaja, iaitu Sulalat us-Salatin versi Raja Bongsu yang dirumikan semula oleh Abdul Rahman Haji Ismail dan disusun Cheah Boon Kheng, MBRAS no. 17, Kuala Lumpur, 1998 dan Sulalatus Salatin selenggaraan A. Samad Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1979. 3 Sulalat us-Salatin menggambarkan beliau sebagai pemerintah Palembang. Keturunannya turut disusurgalurkan kepada Raja Suran dan Iskandar Zulkarnain. Setelah mengetahui kehadiran Seri Teribuana, beliau telah bersetuju dilantik sebagai Mangkubumi bagi meneruskan khidmatnya kepada baginda. Untuk keterangan lanjut, sila lihat Abdul Rahman Haji Ismail, Sulalat us-Salatin, edisi rumi baru, MBRAS no. 17, Kuala Lumpur, 1998. Hlm. 83.

1

Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP) 17 Oktober 2016

kejayaannya mempertahankan Melaka daripada serangan Siam, pengorbanannya merelakan kakaknya, Tun Kudu diperisterikan Tun Ali Seri Nara Diraja4 setelah diceraikan Sultan Muzaffar Syah, penentu bakal pengganti Sultan Melaka sejak Sultan Mansur Syah hingga Sultan Mahmud Syah, Pembina empayar serta pendidik moral yang disegani. Keagungan personaliti ini kemudiannya dijelmakan pula dari konteks masa kini dalam bentuk pengiktirafan masyarakat apabila nama tokoh ini diabadikan kepada tempat-tempat tertentu, misalnya jalan dan sekolah. 5 Makalah ini akan memberikan tumpuan kepada ketokohan Tun Perak berdasarkan konteks masa silam sahaja. Adalah sukar untuk mengaitkan ketokohan Bendahara Melaka ini lantaran sisa-sisa kegemilangannya telah musnah akibat penjajahan serta peredaran masa dengan konteks masa kini yang sudah pasti jauh berbeza sudut pandangan dan pengalamannya. Bagaimanapun, perbincangan akhir makalah ini cuba memperlihatkan keupayaan memori kolektif orang Melayu yang dapat melakar masa silam tersebut menerusi penerapannya dalam konteks masa kini, baik dari sudut pengabadian nama mahupun pengajaran dan teladan yang dapat diperolehi daripadanya. Meskipun kaedah ini menimbulkan pertikaian dalam kalangan sejarawan, 6 namun dari sudut psikobudayanya, kaedah ini amat berguna untuk meluaskan ruang lingkup tafsiran sejarah sambil menelusuri konteks masa silam yang tidak mampu didokumentasikan secara biasa. Ianya lebih releven dalam kalangan masyarakat Melayu yang hanya banyak bergantung kepada tradisi lisan serta batasan teknologi percetakan yang masih belum wujud ketika itu. Dua hasil karya Melayu yang memperihalkan ketokohan Bendahara Melaka ini adalah Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.7 Kedua-dua karya ini walaupun memperlihatkan perbezaan dalam memaparkan tokoh ini namun tetap merupakan sumber yang menjadi rujukan. Justeru, karya-karya tradisi inilah yang akan menjadi sumber rujukan makalah ini seterusnya.

LATAR KETURUNAN DAN KEKELUARGAAN Sebagai seorang Bendahara Melaka yang dianggap agung pada zamannya, kewibawaan Tun Perak telah tergambar menerusi jurai keturunannya yang bukan calang-calang kehormatan dan kemuliaannya. Jika ditelusuri jurai keturunannya, ia disusur-galurkan terus kepada Raja Iskandar Zulkarnain menerusi Demang Lebar Daun, tokoh yang mewakili rakyat dalam waad antara beliau dengan Seri Teribuana yang masyhur itu. Ia kemudiannya dikaitkan pula secara hubungan ipar-duai dengan keturunan Mani Purindan melalui perkahwinan Tun Ali Seri Nara Diraja yang kemudiannya meneruskan legasi Tun Perak menerusi Tun Mutahir Seri Maharaja sebelum Melaka ditakluki Portugis pada tahun 1511. Dari sudut genetik, jurai keturunan ini memperlihatkan wujudnya percampuran darah dan budaya yang melibatkan empat tamadun utama, iaitu Yunani-Greek, India, Arab-Parsi dan Melayu. Percampuran darah budaya antara tamadun-tamadun itu telah mempengaruhi perwatakan dan personaliti Tun Perak dalam setiap tindak-tanduknya ketika berhadapan dengan sesuatu keadaan. Kebijaksanaannya dalam menyelesaikan masalah merupakan sesuatu yang kadang-kadang tidak pernah terfikir oleh orang biasa. Misalnya, dalam menghadapi serangan kedua Siam ke atas Melaka, Tun Perak Paduka Raja telah menggunakan muslihat dengan menambat semua pohon kayu bakau dan pohon-pohon kayu di sekitar pantai Batu Pahat yang menjadi sasaran serangan itu dengan punting api bagi mengelirukan tentera musuh. Lihat juga A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus Salatin, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1979. Hlm. 18. 4 Terdapat perbezaan ketara dari segi ejaan antara kedua-dua versi ini. Versi Abdul Rahman Haji Ismail meletakkan “al” dalam setiap gelaran Diraja yang ditemui dalam teks, hal yang tidak dilakukan A. Samad Ahmad dalam versinya. 5 Nama tersebut telah diabadikan kepada sebatang jalan di Kuala Lumpur dan sebuah sekolah di daerah Muar. 6 Pertikaian mengenai objektiviti dan subjektiviti dalam sejarah boleh dirujuk menerusi perbincangan oleh R. Suntharalingam, Pengenalan kepada sejarah, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1985, terutama bab 5. 7 Makalah ini menggunakan Hikayat Hang Tuah selenggaraan Kassim Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1975.

2

Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP) 17 Oktober 2016

Kebijaksanaan tersebut memperlihatkan pandangan jauh beliau ketika berhadapan dengan situasi kritikal ketika beliau benar-benar diperlukan. Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu dalam hal ini telah menyamakan kebijaksanaan Tun Perak dengan dua tokoh dari dua kerajaan sebelumnya menerusi kaedah anakronistik, 8 iaitu Patih Aria Gajah Mada di Majapahit dan Orangkaya Raja Kenayan di Pasai.Menerusi kaedah ini, pengarang cuba meningkatkan kewibawaan Tun Perak sejajar dengan kebesaran kerajaan-kerajaan tersebut sebagai memuliakan tokoh itu, apatah lagi beliau mempunyai hubungan darah dengan pengarang. Suatu hal yang agak menarik dan jarang dibincangkan adalah kecenderungan pengarang untuk mengaitkan keturunannya dengan Mani Purindan berbanding Raja Melaka yang disusur-galurkan kepada Iskandar Zulkarnain, raja yang diiktiraf agung pada zamannya. Ia dibuktikan daripada keterangannya secara terperinci di awal karya ini 9 berbanding keterangan mengenai jurai keturunannya dengan Raja Melaka hanya diletakkan di bahagian pertengahan teks. Apakah motif pengarang berbuat demikian tidaklah diketahui. Namun satu andaian mungkin boleh dibuat. Sungguhpun keturunan Sultan Melaka dianggap keturunan terbilang, namun akibat beberapa peristiwa pelanggaran waad yang dilakukan oleh raja-raja tersebut telah mendorong pengarang untuk lebih selesa mengaitkan keturunannya dengan Mani Purindan, satu situasi yang dapat memelihara kedudukan Bendahara Melaka itu daripada tercemar dengan insiden tersebut. Dalam menghuraikan latar kekeluargaannya pula, Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu menjelaskan bahawa Tun Perak merupakan anak Bendahara Seri Wak Raja, Bendahara ketiga bagi Kesultanan Melaka. Beliau merupakan anak kedua daripada tiga beradik termasuk kakaknya, Tun Kudu dan Tun Perpatih Putih, adiknya yang bongsu. Dalam pada itu, Tun Seri Lanang menerusi karyanya tidak pula memaparkan secara jelas tentang berapakah bilangan wanita yang diperisterikan Tun Perak seperti yang lazim dilakukan para bangsawan Melaka ketika itu. Pengarang hanya menyatakan bahawa beliau telah memperisterikan seorang wanita dari Kelang dan kemudiannya dilantik sebagai penghulu di situ. Justeru itu, tidak ada satu keterangan yang jelas tentang berapakah bilangan sebenar anak Tun Perak. Namun Sulalat us-Salatin menjelaskan bahawa selain Tun Besar yang mati dibunuh Raja Muhammad sebelum itu, terdapat dua nama yang dirujuk sebagai anak Tun Perak, iaitu Tun Zainal Abidin dan Paduka Tuan. Akibat tragedi itu, Bendahara Paduka Raja Tun Perak telah menumpahkan kasih sayangnya kepada dua anak saudaranya, Tun Tahir dan Tun Mutahir 10 sejajar dengan kehendak wasiat Tun Ali Seri Nara Diraja yang menjadi iparnya dan ayah kepada kedua-dua mereka. Jika sekiranya usia Tun Besar dilanjutkan hingga pemerintahan Sultan Mahmud Syah, apakah beliau bakal dilantik menjadi Bendahara Melaka menggantikan Tun Perak? Persoalan ini sukar dijawab namun situasi berbeza mungkin wujud jika ia berlaku. MENGASAH BAKAT KEPIMPINAN Dari Penghulu Kelang ke Bendahara Melaka. Beliau merupakan Bendahara Melaka kelima setelah Tun Ali Seri Nara Diraja yang menjadi Bendahara Melaka sebelumnya meletakkan jawatan. Beliau berkhidmat di bawah empat orang Sultan bermula dengan Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Namun begitu, pelantikannya ke jawatan itu tidaklah semudah seperti kalangan bangsawan lainnya yang memperolehi jawatan mereka secara warisan. Pelbagai liku-liku

8

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Muhammad Yusoff Hashim, Pensejarahan Melayu: kajian tentang tradisi sejarah Melayu Nusantara, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 1992, terutama bab 3. 9 Keterangan mengenai jurai keturunannya adalah seperti berikut: “…Setelah fakir mendengar demikian, jadi beratlah atas anggota fakir allazi murakkabun ala jahlihi Tun Muhammad namanya Tun Seri Lanang timangtimangannya, Paduka Raja gelarannya, Bendahara anak Orangkaya Paduka Raja, cu u Bendahara Seri Maharaja, cicit Bendahara Tun Narawangsa, piut Bendahara Seri Maharaja, anak Seri Nara Diraja Tun Ali anak baginda Mani Purindan qaddasallahu sirrahum, …” A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin (pngr.), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1979. Hlm. 2. 10 Berbeza dengan versi A. Samad Ahmad, Abdul Rahman Haji Ismail mengeja nama-nama Mutahir dan Tahir dengan Muzzahir dan Zahir.

3

Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP) 17 Oktober 2016

dan rintangan terpaksa dihadapinya bagi memperolehi jawatan itu. Namun semua itu dianggapnya sebagai suatu elemen yang dapat mengasah bakat kepimpinannya. Gambaran awal tokoh ini tidaklah diperihalkan secara langsung oleh Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu. Tambahan pula, negeri Melaka ketika itu sedang berhadapan dengan pergolakan dalaman akibat perebutan takhta antara Raja Kasim dengan adindanya, Raja Ibrahim yang dibonekakan Raja Rekan. Apatah lagi ayahnya, Bendahara Seri Wak Raja telah meninggal dunia kerana meminum racun setelah mengesyaki Sultan Muzaffar Syah murka kepadanya yang lewat mengadap baginda. Sulalat us-Salatin hanya menyatakan bahawa: “…Adapun akan Tun Perak itu tiada kena kerja Raja, maka ia pergi beristeri ke Kelang, maka ia pun diamlah di Kelang sekali….”,11 suatu ungkapan lembut yang secara tidak langsung cuba mengelakkan Tun Perak daripada pergolakan tersebut. Sebagai pengarang yang mempunyai hubungan darah dengan tokoh ini, Tun Seri Lanang mungkin akan berbuat demikian dengan meneutralkan Tun Perak daripada terlibat dengan pergelutan tersebut kerana dirasakan akan menjejaskan prestijnya sebagai bakal Bendahara Melaka kelak. Kewibawaan dan karisma tokoh ini mula mendapat perhatian daripada masyarakat Kelang apabila Penghulu sebelumnya digesa meletakkan jawatannya bagi memberi laluan kepada Tun Perak dilantik ke jawatan itu. Bakat kepimpinannya terserlah apabila beliau mengambil langkah membawa orang Kelang beserta anak-isterinya menghadapi serangan Siam kali pertama, suatu tindakan yang tidak pernah terfikir oleh sesiapa pun ketika itu. Dalam jawapannya kepada Seri Amerta 12 yang menjadi Bentara Melaka ketika itu,13 beliau antara lain menyatakan: “…Akan Duli Yang Dipertuan dalam negeri ini dengan anak isteri baginda dan segala perkakasannya; benarkah pekerjaan tuan hamba kami sekalian datang dengan laki-laki sahaja dengan jauh Selat? Jika barang suatu hal negeri itu apa hisabku padanya? Sebab itulah maka segala orang Kelang ini kami bawa dengan segala anak isterinya sekali supaya ia berperang dengan musuh bersungguh-sungguh hati, kurang ia berlawankan Duli Yang Dipertuan, ia bertikamkan anak isterinya bersungguh-sungguh….” 14 Kenyataan tersebut telah menarik perhatian Sultan Muzaffar Syah dan setelah kejayaan Melaka menghadapi serangan pertama itu, beliau dilantik sebagai Bentara. Beliau kemudiannya telah digelar Paduka Raja dan dinaikkan pangkatnya setaraf dengan Seri Nara Diraja Tun Ali. Tindakan Sultan ini telah menimbulkan implikasi negatif apabila ia menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat Melaka yang berpunca dari perselisihan kedua tokoh tersebut. Sultan Muzaffar Syah yang menyedari hal itu akhirnya bersetuju berkorban dengan menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk diperisterikan Seri Nara Diraja Tun Ali. Tun Ali yang telah memperolehi hajatnya bersetuju meletakkan jawatannya sebagai Bendahara untuk memberi laluan kepada Tun Perak memegang jawatan itu. Di bawah kepimpinannya sebagai Bendahara Melaka dan atas restu Sultannya, wilayah takluk Melaka telah diperluaskan meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Riau. Di Semenanjung Tanah Melayu, wilayah-wilayah yang ditakluki termasuklah Kedah, Terengganu, Johor, Selangor dan Perak. Di Sumatera pula, wilayah-wilayah yang dikuasai termasuklah Siak, Kampar, Rekan, Inderagiri dan Haru. Manakala di Kepulauan Riau pula, Karimon, Bintan dan Singapura adalah tertakluk di bawah penguasaan Melaka. 15 Wilayah-wilayah takluk ini tidak hanya membekalkan barang-barangan untuk aktiviti dagangan, tetapi juga ia merupakan pembekal sumber makanan bagi Melaka yang tidak 11

Rujuk Abdul Rahman Haji Ismail, Sulalat us-Salatin, hlm. 135. Lihat juga A. Samad Ahmad, Sulatus Salatin, hlm. 83. 12 Abdul Rahman Ismail mengeja dengan ejaan imarat. 13 Abdul Rahman Ismail mengeja Bentara dengan Abintara. Lihat Ibid. 14 Ibid. 137. 15 Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Paul Wheatley, Impressions of the Malay Peninsula in ancient times, Eastern University Press, Singapore, 1964. Hlm. 139-142.

4

Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP) 17 Oktober 2016

mempunyai kawasan pertanian yang luas. Situasi inilah yang amat dibimbangi oleh mana-mana pemimpin Melaka ketika itu. Ia diburukkan lagi oleh senario penghayatan Islamnya yang dianggap bersifat ritual dan feudal-sentrik sehingga ajaran agama itu tidak dapat dijiwai oleh pemimpin dan rakyat Melaka keseluruhannya. Natijahnya, Melaka tidak mempunyai jati diri dalaman yang kuat ketika berhadapan dengan musuh. Pengarang Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu telah secara tersirat menggambarkan kebimbangannya dengan menyelitkan beberapa peristiwa hitam yang mencemarkan keagungan Melaka. Antaranya termasuklah fitnah terhadap Hang Tuah, pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat/Kasturi dan kebakaran istana setelah ia dibina bagi menggantikan istana sebelumnya yang dicemari penderhakaan Hang Jebat/Kasturi. Elemen post-eventum turut diselitkan bagi meramalkan kejadian yang akan berlaku ke atas dua anak saudaranya, Tun Mutahir dan Tun Tahir. 16 Menerusi wasiatnya, Tun Perak telah menasihati mereka agar tidak bertindak secara sewenang-wenangnya terhadap sesuatu keadaan yang mungkin berpotensi memusnahkan Negeri Melaka. Nasihat yang sama juga turut ditujukan kepada Sultan Melaka.17 Situasi ini secara jelas memperlihatkan kegagalan Tun Perak dalam mengekalkan legasinya dalam pemerintahan Kesultanan Melaka kerana setelah kematiannya, empayar itu mulai memperlihatkan tahap kemerosotannya. KOTOKOHAN TUN PERAK Impak moral dan kaitannya dengan konteks masa kini. Dalam menghuraikan sikap positif Bendahara Melaka ini, makalah ini akan memperturunkan dua sikap yang mewarnai tindakannya yang seharusnya diteladani pemimpin dan masyarakat masa kini. Dua hal tersebut merujuk kepada sikapnya dalam konteks daulat derhaka serta sikap jiwa besarnya ketika berhadapan dengan karenah Laksamana. Merujuk kepada konteks situasi pertama, Tun Perak nampaknya memperlihatkan sikap, pendirian dan kefahamannya yang tersendiri tentang perlu atau tidaknya taat kepada raja. Tidak seperti Hang Tuah yang bersikap taat setia kepada raja tanpa soal jawab serta Hang Jebat/Kasturi yang bersikap sebaliknya, Tun Perak ternyata mempunyai penilaiannya yang tersendiri terhadap situasi ini. Sebagai penasihat raja, pandangannya sering diperlukan baginda ketika mempertimbangkan sebarang keputusan. Namun jika keputusan telah dibuat, tindakan yang tepat harus diambil walaupun kadangkala ia bercanggah dengan keputusan tersebut. Menurut Hikayat Hang Tuah, ketika melaksanakan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah, Tun Perak tidak melaksanakan hukuman tersebut. Sebaliknya, beliau menyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka.18 Tindakan ini jelas melanggar waad yang dimeterai sejak turun temurun dan ia boleh dianggap sebagai suatu penderhakaan terhadap Raja. Bagaimanapun, tindakan tersebut akhirnya dipersetujui baginda setelah menyedari keputusan sebelumnya suatu kesilapan. Dua insiden berikutnya memperlihatkan sikap sebaliknya apabila Tun Perak secara bersungguhsungguh mempertahankan ketaatsetiaannya kepada Sultan Melaka. Insiden pertama berlaku apabila Raja tua 19 berniat meracun Sultan Mahmud yang masih kecil kerana mengharapkan anaknya menaiki takhta. Hasrat tersebut dihalang oleh Bendahara dan Laksamana walaupun terpaksa menderhaka kepada Raja Tua yang menjadi sebahagian daripada kerabat diraja Melaka. Pendirian ini dipengaruhi oleh keutamaan 16

Sulalatus Salatin menggambarkan bahawa Tun Perak ketika hendak sembahyang subuh melihat cahaya memancar daripada kepala Tun Mutahir terus ke langit tetapi kemudian hilan secara tiba-tiba. Beliau mentafsirkan bahawa kebesaran Tun Mutahir melebihi kebesarannya tetapi tidak kekal. Untuk keterangan lanjut, rujuk A. Samad Ahmad, hlm. 136. 17 Untuk keterangan lanjut mengenai wasiat Tun Perak kepada Sultan Mahmud dan anak-anak saudaranya, rujuk Ibid., hlm. 178. 18 Sulalat us-Salatin menjelaskan orang yang menyembunyikan Hang Tuah adalah Seri Nara Aldiraja. Tempoh pengasingan itu berlangsung kira-kira setahun di mana Hang Tuah diletakkan dalam pasungan. Rujuk Abdul Rahman Haji Ismail, hlm. 160. Manakala Hikayat Hang Tuah pula menjelaskan bahawa beliau dihantar oleh Bendahara ke dusunnya untuk berguru dengan syiekh Mansur selama 20 hari sebelum dijemput ke istana. Lihat Kassim Ahmad (pngr., Hikayat Hang Tuah, hlm. 312. 19 Perkatan tua dieja oleh Abdul Rahman Haji Ismail sebagai tuha. Lihat Ibid.

5

Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP) 17 Oktober 2016

(priority) yang harus ditekankan dengan mempertahankan batang tubuh Sultan yang telah diinstitusikan sebagai Raja berbanding kaum kerabatnya sendiri. Pendirian tersebut wajar memandangkan Melaka pada ketika itu mulai mengalami konflik dalaman dan luaran yang jika tidak ditangani akan membawa kemusnahan yang lebih cepat daripada yang dijangkakan. Dalam satu insiden lain, Tun Perak bersikap konsisten dengan mempertahankan ketaatsetiaannya. Ini dapat dibuktikan daripada reaksinya terhadap kesediaan anak-anak buahnya yang melengkapkan peralatan senjata mereka bagi menuntut bela di atas kematian Tun Besar, anak Tun Perak. Beliau dengan nada marah antara lain menyatakan: “…Hei! Hei! Hendak derhakakah ke bukit? Hendak derhakakah ke bukit? Niah! Niah! Kamu semua; niah! Kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini janganlah kita pertuan….” 20 Sultan Mansur Syah pula dalam reaksinya turut senada dengan keputusan Tun Perak itu walaupun pada awalnya baginda berhasrat menabalkan Raja Muhammad sebagai penggantinya. Baginda yang amat murka dengan kejadian itu bertitah: “…Celaka si Muhammad ini. Hei Muhammad! Apatah dayaku engkau ditolak muka bumi Melaka…”21 Kenyataan tersebut memperlihatkan begitu berpengaruhnya Tun Perak dalam setiap tindak-tanduk dan keputusan Sultan akibat wujudnya hubungan kekeluargaan antara Bendahara dengan Sultan Melaka. Pengaruh ini seterusnya dilanjutkan kepada dua Sultan berikutnya, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Menerusi wasiatnya, Tun Perak telah memperingatkan Sultan Mahmud Syah agar tidak terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan tanpa usul periksa kerana ia mungkin mengakibatkan penyesalan di kemudian hari.22 Wasiat peringatan itu merupakan mekanisme yang digunakan Tun Perak bagi meramalkan masa depan Kerajaan Melaka ekoran pemerhatiannya terhadap Sultan Mahmud yang kelihatan terpengaruh dengan Seri Maharaja Tun Mutahir berbanding dengan dirinya sendiri.Natijahnya, Tun Mutahir Seri Maharaja sendiri telah dihukum bunuh oleh baginda kerana keengganannya memperlihatkan anak perempuannya, Tun Fatimah kepada baginda sebelum dikahwinkan dengan Tun Ali. Pembunuhan tersebut juga telah melemahkan Melaka sehingga memudahkannya ditakluki Portugis pada tahun 1511. Huraian di atas jelas memperlihatkan peranan Bendahara Paduka Raja Tun Perak dalam mengendalikan Negeri Melaka, khususnya tindak-tanduk yang berkaitan dengan pemerintahnya. Keteguhannya dalam mempertahankan prinsip tidak menderhaka kepada Raja itu tidaklah dilaksanakan secara melulu seperti diperlihatkan Hang Tuah. Sebaliknya, ia dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan demi kelangsungan institusi Kesultanan Melaka sendiri. Keberkesanan peranan Tun Perak tidak sahaja dipengaruhi oleh latar hubungan kekeluargaannya dengan sultan-sultan Melaka, bahkan ia turut dibantu oleh kewibawaan personalitinya yang cemerlang dalam memimpin pentadbiran harian negeri itu. Salah satu daripada ciri khusus yang membentuk kecemerlangan personaliti tersebut adalah sikapnya yang cenderung merendahkan diri walaupun gelaran kebesarannya sebagai Bendahara Paduka Raja itu melebihi para pembesar lainnya. Laksamana merupakan salah seorang pembesar yang amat terkesan dengan sikap Bendahara Melaka ini. Sulalat us-Salatin Sejarah Melayu menggambarkan bahawa telah wujud rasa tidak puas hati dalam jiwa Laksamana akibat keengganan Bendahara untuk menabalkan semula Sultan Zainal Abidin sebagai Sultan Pasai yang enggan mengakui pertuanan Melaka. Akibat ketidakpuasan hati itu, Laksamana telah menyembahkan segala keburukan Bendahara ketika ekspedisi di Pasai itu kepada Sultan. Baginda yang murka telah memanggil Bendahara untuk mengadap baginda. Dalam pertemuan tersebut, Bendahara bersikap sebaliknya dengan memuji-muji Laksamana ketika ekspedisi itu. Sultan yang kagum dan hairan 20

Lihat A. Samad Ahmad, hlm. 144. Ibid., 145. 22 Ibid., hlm. 178. 21

6

Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP) 17 Oktober 2016

dengan sikap Bendahara itu berkenan mengurniakan persalinan kepada Bendahara. Laksamana yang mengetahui hal itu telah menyembah Bendahara dan mengakui kesalahannya. Apabila Sultan Mahmud Syah sembuh daripada geringnya, baginda berkenan mengurniakan persalinan dan usungan kepada Bendahara dan Laksamana atas jasa mereka memelihara baginda. Bagaimanapun, Bendahara tidak menggunakan usungan itu walaupun Laksamana menggunakannya. Sikap Bendahara melebihkan Laksamana berterusan apabila segala peralatan senjata dan perahu yang sempurna perbuatannya diberikan kepadanya. Apabila ditanya mengapakah Bendahara berbuat demikian, beliau menyatakan bahawa usungan adalah hak Sultan, manakala Laksamana adalah hulubalang besar yang turut berhak ke atas usungan dan wajar diberikan peralatan peperangan yang sempurna demi keselamatan negeri.23 Sama ada jawapan tersebut dapat memuaskan hati anak-anak buah Tun Perak ataupun tidak, ia pada hakikatnya tetap memberi manfaat dan keuntungan kepada Negeri Melaka sendiri. Sebagai seorang pentadbir yang bijak dan berwawasan jauh, Tun Perak pastinya dapat merasakan bahawa keselamatan Negeri Melaka adalah segala-galanya. Kedudukan ekonomi Melaka yang banyak dipengaruhi aktiviti perdagangan berbanding lain-lain aktiviti ekonomi, terutama yang berorientasikan hasil bumi telah mendedahkannya kepada sebarang kemungkinan, sama ada dari dalam ataupun luar. Dalam keadaan demikian, Melaka amat memerlukan sosok panglima, pahlawan dan perwira yang gagah perkasa dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan tersebut. Justeru, tindakannya melebihkan Laksamana merupakan satu mekanisme bagi mengambil hati pahlawan Melaka dalam usaha mengekalkan keselamatan negeri dan ceruk rantaunya daripada sebarang ancaman, sama ada dari dalam ataupun luar. Sebagai sebuah komuniti berhierarki dan begitu menekankan aspek susun lapis dalam struktur kemasyarakatannya, tindakan ini mungkin menimbulkan perdebatan hangat walaupun ianya tidak disuarakan secara langsung, baik dalam kalangan bangsawan mahupun bawahan. Dalam hal ini, langkah Tun Perak itu mungkin dipengaruhi latar pengalaman silamnya sebagai Penghulu Kelang hinggalah menjawat jawatan Bendahara Melaka, satu latar pengalaman kerjaya yang dapat membentuk bakat kepimpinan dan seterusnya mematangkan tindak-tanduk politiknya sejajar dengan tuntutan semasa negeri itu. Ia juga turut seiring dengan kehendak ajaran Islam yang menjadi anutan kepercayaan penduduk Melaka sendiri. Justeru, adalah wajar bagi Bendahara Melaka itu untuk memecahkan tembok darjat yang membentengi kelas yang masih wujud di negeri itu. Ini dilakukan menerusi upacara makan beramai-ramai melibatkan para pembesar dan tentera Melaka dengan berkongsi satu hidangan daun yang dibentangkan sepanjang pantai Pasai dalam satu ekspedisi menabalkan Sultan Zainal Abidin sebagai pemerintah di situ. Langkah tersebut nyata berkesan dalam memupuk perasaan kekitaan tentera Melaka sehingga akhirnya Berjaya dalam ekspedisi tersebut. KESIMPULAN Tun Perak, seperti yang disorot dalam makalah ini, berupaya menempatkan dirinya dalam kelasnya yang tersendiri menerusi memori kolektif orang Melayu. Meskipun tidak mempunyai hikayat khusus bagi memperihalkan kewibawaan dan ketokohannya, peranannya dalam institusi Kesultanan Melayu masih dapat dirasakan menerusi tindakannya yang aggak kritis dalam menerapkan konsep daulat derhaka seperti yang dimateraikan antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba dahulu. Mengambil pengajaran dan semangat daripada tindakan tersebut, Dato’ Onn dan orang Melayu keseluruhannya menerusi UMNO dalam reaksi mereka terhadap gagasan Malayan Union yang diperkenalkan British secara tergesa-gesa ke Tanah Melayu tidak memperlihatkan kemarahan mereka kepada raja-raja Melayu yang menandatangani penubuhannya. Sebaliknya, kemarahan tersebut dilontarkan kepada British yang telah memaksa Duli-Duli Baginda untuk menurunkan tandatangan mereka. Tegasnya, tindakan Tun Perak sesungguhnya telah menyiratkan mesej bahawa institusi kesultanan Melayu harus dipertahankan kerana ia merupakan sandaran utama bagi orang Melayu bernaung dan 23

Ibid., hlm. 172.

7

Seminar Antarabangsa Ketokohan Tun Perak Muzium Warisan Akademik UKM & Institut Kajian Sejarah & Patriotisme (IKSEP) 17 Oktober 2016

menonjolkan citra dan identitinya. British juga nampaknya terpaksa akur dengan status-quo ini meskipun keakuran mereka bermotifkan kepentingan ekonomi-politik kolonial. Inilah warisan yang ditinggalkan Tun Perak kepada struktur kenegaraan kita walaupun kesultanan Melaka dan institusi Bendahara itu telah lama luput ditelan masa. Justeru, adalah wajar untuk kita mengangkat tokoh ini selain Hang Tuah dalam kerangka nasionalisme kita kerana walaupun Hang Tuah simbol kepahlawanan, namun Tun Perak lebih dari itu.

RUJUKAN Abdul Rahman Haji Ismail (1998) Sulalat us-Salatin. Kuala Lumpur: MBRAS. Gullick, J.M. (1958) Indigenous Political System Of Western Malaya. London, The Athlone Press. Harun Daud & Abdul Rahman Haji Ismail (pnyt.) (2014) Hang Tuah wira bangsa. Kota Baru: Penerbit Universiti Malaysia Kelantan. Kassim Ahmad (pngr.) (1975) Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia. Muhammad Yusoff Hashim (1992) Pensejarahan Melayu: Kajian Tentang Tradisi Sejarah Melayu Nusantara. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia. Muhammad Yusoff Hashim (1989) Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia. Samad Ahmad (1979) Sulalatus Salatin, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia.

8

View publication stats

More Documents from "nunu"