Seorang yang dilupakan Di waktu lalu Dia bagaikan sinar yang menerangi gelapku Bagaikan awan menutupi langit nan biru Bagaikan bintang menemani bulan nan satu Saat Saat Saat Saat
duka sentiasa bersama gembira sama tertawa perit sama merasa bahagia sama ceria
Seandainya gelombang memecah Nesacaya pantai berubah Seandainya luka berdarah Nescaya ada yang telah parah Ke mana perginya sinar Yang menerangi gelapku? Ke mana perginya awan Yang menutupi langit nan biru? Apa yang dilihat padaku? Apa yang harus dicemburui? Apakah aku musuhmu? Adakah tergugat keranaku? Jika tidak.. Mengapa harus aku dibiarkan begitu? Sesungguhnya tidak tahu menahu… Mengapa hati menjadi batu? Biar terbuka isi hati ini Biar air mata mengalir di pipi Biar diriku seorang diri Biar dia mengetahui.. Betapa dirinya telah menyakiti hati ini… Daku bukan seorang yang dilupakan Daku bukan seorang yang ditinggalkan Daku dukan seorang rakan Tetapi.. Daku seorang yang sentiasa keseorangan Selama dia bergelar teman… Coretan hati sepi, =Awan= 10:57
Selalu, bila terdengar pukulan gendang dari corong madrasah yang kami gelar ‘nadsah’ setiap Subuh hari, kami semakin merekot dalam selimut. Rasa sejuk ditambah perasaan kantuk melambatkan diri berpisah dari bantal dan tilam kabu. Kami tahu melambatkan Subuh tidak baik. Malah kami juga tahu menarik selimut ketika azan berkumandang samalah seperti menarik gebar kulit babi. Tapi, kanak-kanak yang degil seperti kami selagi kulit babi tidak betul-betul di atas badan kami, maka meneruskan tidur lebih menyenangkan daripada berjemaah Subuh di nadsah. Sehinggalah badan kami dikutil tangan lembut kakak. Yang menjadi sasaran kutilan paling kuat ialah aku yang paling tua. Manakala Zaidi dan Fuad, melihatkan aku berkerut menahan sakit maka mereka bingkas menuju ke telaga. Rasa kutilan kakak seperti digigit semut dan kadangkala seperti dicucuk jarum. Berdenyut-denyut. Ketika kami bertiga, aku, Zaidi dan Fuad berbaris di saf paling belakang, buntutku yang dikutil kakak masih lagi terasa baranya. Kakak memang garang. Lebih garang daripada emak atau pakcik. Jika ayah masih hidup, garang ayah tidak dapat melebihi kegarangan kakak. “Mengapa kakak kita selalu marah?” “Mukanya cemberut dan masam.” “Ah! Kakak seperti burung kakak tua, asyiknya berleter sahaja,” balasku menambahkah tuduhan Zaidi dan Fuad terhadap kakak. “Aku tahu kenapa?” Zaidi gelak-gelak kemudian membisik ke telinga Fuad, selepas itu Fuad berdekah lebih kuat daripada Zaidi sehingga pangkin di bawah pohon bergegar. Aku jadi tidak sabar. “Kenapa? Kenapa?” tanyaku. “Nanti kau marah, ini tentang kakak,” balas Fuad. Barangkali kerana kakak adalah saudara kandungku seibu dan sebapa, mereka ralat. Sedang Zaidi dan Fuad adalah anak ibu dengan pakcik, iaitu adik-adik tiri aku dan kakak. “Kamu bercakap seperti dia bukan kakak kamu berdua,” balasku. Zaidi dan Fuad tersengih lalu saling menjeling. “Kaulah cakap.” Zaidi menguis Fuad. “Kaulah..” balas Fuad. Aku mulai rimas. “Cakappp!” tekanku kuat sehingga Zaidi tidak berpeluang berahsia lagi. “Kakak tu umurnya sudah 20-an, bukankah dah lanjut? Di kampung kita ni mana ada anak dara setuanya, semuanya dah berkahwin.” “Lalu?” aku mencenung Fuad. Sebenarya, ramai lagi anak-anak dara di kampung kami tetapi apabila menjangkau usia belasan tahun, masing-masing berumahtangga kecuali kakak. “Kakak dapat penyakit ‘andartu’ sebab tu dia garang,” tambah Fuad. “Andartu ialah anak dara tua. Kakak anak dara tua yang tak laku,” kata Zaidi pula. “Hahahaa..” aku ketawa paling kuat. “Kasihan kakak..” kata kami bertiga serentak. Musim Ramadan paling kami nantikan. Sejujurnya, walaupun umurku sudah menjangkau 13 tahun tetapi aku tidak pernah berpuasa penuh. Namun ibu dan kakak tidak pernah tahu kerana aku hanya meneguk air kala mengambil wudhuk terutama waktu Zohor. Pulang dari sekolah, kami tidur terlentang di beranda rumah kemudian kakak datang membawa rotan sambil menyuruh kami menukar pakaian sekolah dahulu. “Tak ada guna kamu bertiga puasa jika tinggalkan sembahyang,” kata kakak. Kerana takutkan rotan kakak (kakak benar-benar akan merotan sesungguh hatinya) kami mengekor arahan kakak. Aku sudah sedikit bertenaga selepas minum seteguk dua air kolah dan tidak bercadang menyambung tidur lagi.
Petang-petang, kami berlari ke simpang jalan melihat juadah makanan yang dijual beraneka jenis. Di tangan kami ada syiling 50 sen yang diberikan oleh pakcik sebagai upah berpuasa pada hari itu. “Tak payah belilah makanan tu, yang di rumah inipun banyak,” kata kakak. Kami mencebik. Kakak tidak pernah bersetuju dengan kami. Biarlah, duit kami, bukan duit kakak, bisikku sekadar dalam hati (kerana takut pada kakak). Di sana, ada kuih apam, badak berendam, murtabak, karipap, buah Melaka, tepung pelita, lopeh, masalodeh, bihun goreng, laksa dan lain-lain. Aku paling liur melihat sate. Walaupun harganya mahal iaitu sebatang 10 sen (berbanding kueh lain harganya hanya 5 sen satu) lalu kubeli tiga cucuk. “Ingat, tiga cucuk ni untuk aku sahaja,” kataku pada Zaidi dan Fuad. “Shh..kalau kau bagi aku secucuk, duit aku boleh digunakan membeli karbaid buat ubat meriam buluh kita,” bisik Zaidi. Kami bersepakat untuk membeli lima cucuk sate, selebihnya duit akan digunakan untuk membeli minyak tanah dan karbaid meriam. “Kenapa lima cucuk?” “Untuk aku, Zaidi, kau, emak dan pakcik,” kataku. “Kakak?” “Ah! Dia makan kuih-kuih di rumah saja,” balasku lagi. Masuk sahaja waktu berbuka, juadah puasa terhidang memanjang. Emak memasak nasi ulam yang menjadi kegemaran pakcik. Nasi ulam dimakan bersama dengan sayur keladi. Selain itu, ada kueh buah Melaka dan karipap hasil air tangan kakak. “Hari-hari kueh Melaka, bosan!”
Entah mengapa, aku berani pula memberontak di hadapan kakak. Matanya membulat. “Lebih baik daripada tak ada makanan,” katanya. Pakcik berdehem membuatkan kami semua diam. Emak menyuakan cucuk sate kepada kakak apabila melihat kakak terkebil-kebil memerhatikan sate masuk ke mulut kami. Agakanku, kakak malu untuk meminta dan lebih rela menahan keinginannya. “Siapa beli mak?” tanya kakak. “Khairil” emak memuncung padaku. “Tak apalah mak, dia beli untuk mak,” balas kakak kemudian tangannya mencapai kueh buah Melaka. Aku menjeling Zaidi, dia menjelingku. Kami senyum sinis di belakang kakak. Puasa sudah masuk hari kelima belas. Kampung kami mulai meriah dengan pelita minyak tanah. Malam-malam, selepas sembahyang sunat terawih kami mengikut pakcik dan orangorang tua lain bermarhaban keliling kampung. Waktu itulah peluang aku mengintip anak-anak dara seusiaku yang mengintai kami sebalik tingkap. Agenda main meriam dilakukan ketika jemaah sedang menunaikan solat terawih. Aku, Zaidi dan Fuad hanya sembahyang empat rakaat dan jika rajin enam atau lapan rakaat. Itupun sekadar mengaburkan pandangan pakcik agar dia tidak menghidu aktiviti kami. Kalaulah pakcik tahu, kami bertiga akan ditambatnya di batang pokok nangka. Di belakang rumah Salim, kami bertiga termasuk Budin dan Salim siap sedia dengan meriam buluh. Salim, anak Imam Zainul pakar meletupkan meriam hingga bergegar pohon-pohon sekeliling rumahnya. Paling menyeronokkan apabila kami terdengar ada para jemaah di nadsah yang melatah termasuk Imam Zainul. Habis bacaannya bercelaru hingga dibantu oleh makmum yang lain. Rupanya, pasukan meriam kami disaingi oleh budak-budak kampung sebelah. Maka, terjadilah perlawanan meriam yang paling kuat. “Cita-cita aku bila besar nanti nak cipta bom pula,” tukas Salim. “Siapa yang kau nak bom tu?” “Aku nak bom rumah Bush, samseng sangat dengan orang Arab,” balas Salim. “Shh..orang Arab tu orang Islam ke?” tanya Zaidi pula. “Mestilah Islam. Kau tak tengok ke mereka pakai jubah dan serban macam di televisyen tu,” kataku pula. “OOO..aku ingat orang Melayu je orang Islam,” kata Zaidi kebodohan. Kemudian kami terus membakar meriam sehingga terdengar alunan zikir dari nadsah menandakan terawih sudah habis.
Kali kelima berlangsungnya aktiviti meletupkan meriam, rahsia kami telah pecah. Ia angkara kakak yang melakukan operasi pengintipan setelah diberitahu oleh musuh-musuh kami dari kampung sebelah. Usai terawih, belum sempat kami menyimpan perisai buluh, minyak tanah dan serbuk karbaid, kami sudah dicerkup jemaah surau termasuk pakcik. “Budak-budak nilah yang kacau sembahyang kita sampai tak khusyuk setiap malam,” kata Haji Husin. Kami sudah terkepung seperti penjenayah ditangkap polis. Tanganku dikilas ke belakang oleh Haji Noh. Tangan Zaidi dan Fuad juga begitu. Salim lebih teruk diheret bapanya, Imam Zainul ke depan rumah. “Kau memalukan ayah!” kata Imam Zainul pada anaknya. “Bawa mereka balik rumah!” arah pakcik pula kepada lelaki-lelaki yang mengilas tangan kami. Malam itu, pohon-pohon bawah rumah menjadi teman kami. Aku terikat di batang pohon paling hujung dekat dengan dapur. Zaidi dan Fuad di batang pohon ceri. Akulah paling kasihan kerana batang pohon kelapa langsung tiada daun dan gondol terpacak. Maka, yang memayungiku ialah bintang-bintang di langit dan bulan separa penuh. Mujurlah kami sempat menyucuh sumbu pelita sekeliling rumah membuatkan malam tidak begitu kelam di bawah pohon. Manusia yang paling aku dendami ialah kakak. Dialah punca kami disiksa sebegini kejam oleh pakcik dan menyebabkan air mata emak luruh kerana kasihankan kami, anak-anak lelakinya. “Sudahlah ayahnya, lepaskanlah anak-anak kita ni,” rayu emak. “Biarkan mereka sejuk bawah pohon tu, kalau tak didenda begini, jahatnya makin menjadi-jadi,” kata pakcik. Zaidi dan Fuad sudah terkulai layu, tertidur sambil tangan terikat ke belakang. Rupa mereka tidak ubah seperti penjenayah yang mati di tali gantung. Aku tidak dapat melelapkan mata setelah mataku bakup dek tangisan. Puas sudah aku menjerit dan merayu pada pakcik tetapi degil pakcik melebihi jeritanku. Nyamuk-nyamuk sudah melihat aku sebagai bangkai yang enak darahnya. Sejuk. Nyamuk. Perit. Semuanya bersatu menyeksa diriku. Tuhan! Bantulah hamba-Mu. Aku berjanji tidak akan menjadi budak yang nakal lagi, doaku dalam hati. “Cepat naik atas rumah,” bisik suara halus tepi telingaku. Rupanya, kakak telah merungkai tali yang melilit tangan kami dan memimpin Fuad dan Zaidi naik ke rumah. Kakak cuba memegang
tanganku namun cepat kutepis. Mengapa baharu sekarang dia bersimpati pada kami? Mengapa kakak tidak membiarkan kami mati kesejukan dahulu baharu datang membantu? Aku masuk ke dalam bilik. Sebelum melelapkan mata, aku menangis lagi dan aku tahu, kakak di bilik sebelah juga turut menangis. Mengapa kakak perlu menangis? Esoknya, tanggal 17 Ramadan, aku demam panas. Kala itu, aku benar-benar tidak berupaya untuk berpuasa (walaupun setiap hari aku meneguk air kolah ketika berwudhuk). Tubuhku lemah dan hanya terbaring atas tilam. Zaidi dan Fuad bernasib baik kerana mereka hanya mendapat selsema. Pakcik masuk ke bilikku, “Aku harap kau tak ulangi lagi kenakalanmu. Memang denda semalam setimpal dengan perangaimu Khairil,” kata pakcik. Aku meneguk liur. Aku tidak marahkan pakcik. Yang aku marahkan ialah kakak. Mulut besarnya menyebabkan aku menderita dua hari ini. Walau bagaimanapun, sejak aku demam kakaklah yang menjaga aku siang dan malam. Mulanya aku meluat tetapi melihatkan kakak tidak banyak bercakap, aku membiarkan saja dia melumur tubuhku dengan air daun bunga raya juga menempek asam jawa atas kepalaku. Kakak memicit tubuhku, merenggangkan jemariku dan menyuap bubur ke mulutku. “Khairil, kau jangan nakal lagi ya.” Aku diam, menelan bubur yang disuap kakak. “Kau jangan nakal,” ulang kakak lagi. “Kau dah besar, kau tak boleh nakal,” kata kakak. Hatiku mulai panas. Sudah-sudahlah dia berpesan padaku. Memang aku telah berjanji tidak akan mengganggu jemaah di surau lagi. Janji itu kukuh tatkala melihat wajah pakcik dan emak. “Arwah ayah pesan pada kakak, jaga kau baik-baik dan jangan biar kau jadi budak nakal. Kau sorang sahaja adikku seibu dan sebapa,” kata kakak sebelum keluar. Barangkali dia tidak mahu air matanya tumpah di depanku. Ramadan sekejap berlalu. Yang paling menggembirakan kami ialah dapat memakai baju melayu dan songkok baru. Pakcik akan menyewa kereta membawa kami ke pekan untuk membeli pakaian dan peralatan hari raya. Rupanya, emak membeli begitu banyak barang termasuk kain langsir, pinggan mangkuk kaca juga tikar. “Rumah kita akan sambut kenduri besar.” “Kenduri siapa?” soal kami. “Kakak akan berkahwin,” kata emak. Aku, Zaidi dan Fuad membulatkan mata. Kakak telah dibawa pergi oleh suaminya pada hari raya kedua. Tanpa kakak, rumah kami rasa kurang. Sejak itulah, aku mulai merasakan kakak begitu penting dalam hidup kami.
Takbir Syawal telah berlalu. Madrasah yang dulu masih agam menerima jemaah. Cuma sebelah kawasan madrasah yang dulunya kosong kini mengisi jasad-jasad tanpa nyawa. “Ayah..!” Aku menoleh. Zakaria mampir menggenggam tanganku. ”Ibu tunggu lama dalam kereta. Adik panas,” kata Zakaria. Aku meraup muka. Pusara kakak di hadapanku basah disiram air mawar yang dibawa kami. Ramadan yang dulu tidak serupa sekarang kerana kakak sudah pulang meninggalkan seluruh kenangan untuk di kenang.
=Dayang Nur Fathiah=