Sejarah1

  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Sejarah1 as PDF for free.

More details

  • Words: 1,371
  • Pages: 4
PERISTIWA perjuangan orang Melayu menentang penjajahan British di Pasir Salak sehingga menyebabkan kematian Residen British, JWW Birch, terus diabadikan di bumi bersejarah itu.Kini, Kompleks Sejarah Pasir Salak dibangunkan di wilayah yang menjadi saksi perjuangan pahlawan Melayu demi membela tanah air, bangsa dan agama daripada dicemari penjajah. Bagi generasi muda pasca kemerdekaan, kompleks sejarah itu dibina khas untuk mengenang kembali sejarah perjuangan pahit getir pahlawan Melayu seperti Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela dalam menentang penjajahan. Jasa mereka diabadikan menerusi pembinaan memorial khas berbentuk ‘sundang’ iaitu sejenis senjata Melayu berbentuk pedang yang digunakan dalam pembunuhan JWW Birch. Di kompleks itu jugalah letaknya kubur JWW Birch, pusara Si Puntum, kubu Datuk Maharajalela dan meriam ‘Lela Rentaka’ yang digunakan dalam pertempuran menentang British. Lebih 600 artifak dipamerkan seperti senjata lama, tembikar dan peralatan lama selain 42 ‘diorama’ iaitu replika patung kecil yang disusun sepanjang terowong bagi menggambarkan sejarah perjuangan orang Melayu di setiap negeri di negara kita. Memasuki Terowong Sejarah itu tidak sekadar mengembalikan nostalgia pengunjung ke zaman silam tetapi pasti menggetarkan perasaan setiap insan yang memiliki semangat nasionalisme tinggi.Diorama pertama menggambarkan sejarah awal penempatan orang Melayu kuno di muara Sungai Selinsing, manakala diorama ke-42 menggambarkan pembunuhan Gabenor Duncan Stewart oleh Rosli Dhobi di Sarawak. Kompleks itu dibuka dengan rasminya oleh DYTM Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990 dengan idea penubuhannya diilhamkan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.Turut berdiri kukuh ialah dua tugu iaitu tugu peringatan pahlawan Perak yang diabadikan menerusi pembinaan replika sundang atau pedang gergasi serta masjid asal yang terletak berdekatan lokasi Birch dibunuh.Seorang pengunjung, Mior Ahmad Zubri, 39, berkata terowong itu memiliki keistimewaannya tersendiri dari segi pameran bahan yang terdapat di situ. Kedudukannya menghadap Sungai Perak seolah-olah mengimbau kembali sejarah zaman dulu ketika orang Melayu bangun menentang penjajah Inggeris. Katanya, semangat penentangan orang Melayu terhadap penjajah adalah satu semangat yang tulen dan berani sebagaimana dibuktikan menerusi dokumen sejarah bangsa."Penjajah sudah tiada di tanah air kita dan orang Melayu kini bangkit sebagai bangsa yang merdeka dan mempunyai negara yang berdaulat. Kehebatan orang Melayu terletak pada pemimpin zaman modennya yang bijak berpolitik di samping mempunyai darah pejuang yang sejati," katanya. Jejak: Residen angkuh, biadap dibunuh PADA 2 November 1875, adalah tarikh kematian seorang residen British yang angkuh serta biadab. Hasrat James Wheeler Woodford Birch atau JWW Birch untuk terus 'memperhambakan’orang Melayu tidak kesampaian sebaliknya kebiadapan lelaki asing itu menyebabkan nyawanya melayang.

Itulah kemuncak kepada sejarah perjuangan orang Melayu menentang penjajah asing di Pasir Salak, sejarah agung yang akan terus dikenang sebagai bukti perjuangan demi cintakan bangsa, agama dan tanah air. Sejarah panjang itu bermula pada 20 Januari 1874 apabila Raja Abdullah iaitu seorang daripada kerabat diraja Perak melakukan kesilapan terbesar apabila meminta sokongan British bagi membolehkan dirinya merebut takhta menjadi sultan. Lalu pada tarikh itu, Perjanjian Pangkor dimeterai dengan British mengiktiraf Raja Abdullah menjadi Sultan Perak manakala sultan sedia ada iaitu Sultan Ismail diturunkan daripada takhta. Bagaimanapun, terdapat satu daripada syarat Perjanjian Pangkor yang menjadi helah British bagi membolehkan mereka menjajah Perak - Sultan Perak harus menerima seorang Residen British untuk menasihati baginda memerintah. JWW Birch kemudian dilantik sebagai residen pertama di Perak umumnya dan Tanah Melayu khususnya. Bagaimanapun, sebaik tiba di Perak, lelaki asing itu mula besar kepala dan berlagak bagaikan dirinya raja yang memerintah Perak. Dia mula ‘memijak kepala’ sultan dengan tidak lagi menghormati peranan dan kuasa diraja dalam sistem pemerintahan orang Melayu. Pelbagai peraturan baru yang menekan pembesar serta penduduk mula diperkenalkan Birch terutama membabitkan cukai yang tinggi. Keadaan itu menambahkan derita penduduk yang kebanyakannya hidup miskin. Birch juga cuba mengambil alih tugas mengutip cukai daripada pembesar Melayu apabila menetapkan syarat baru iaitu hanya pegawai yang dilantiknya saja boleh mengutip cukai manakala cukai Kerajaan Perak akan diurus pegawai British. Syarat itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pembesar Melayu. Lelaki asing itu juga semakin besar kepala apabila sesuka hati campur tangan di dalam adat istiadat penduduk dengan menghapuskan sistem hamba yang sudah lama diamalkan di Perak. Sikap kurang ajar dan keangkuhan lelaki asing itu jelas terserlah apabila dia pernah mengarahkan sultan supaya diam dan mematuhi segala arahannya selaku residen apabila Sultan Abdullah menegurnya kerana membuat pelbagai tindakan tanpa merujuk kepada baginda. Kemuncak kebiadapan Birch adalah apabila dia memaksa Sultan Abdullah menandatangani surat supaya memberi hak kepada British untuk memerintah Perak. Sultan Abdullah diugut akan dilucutkan takhta jika baginda enggan menandatangani surat berkenaan. Ugutan itu menyebabkan baginda mengadakan mesyuarat dengan pembesar negeri di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875. Mereka dimaklumkan mengenai hasrat British untuk mengambil alih pemerintahan negeri serta tugas mengutip cukai. Mendengar penjelasan Sultan Abdullah itu, pembesar semakin berang kepada British yang cuba menjajah Perak. Satu usul untuk membunuh Birch dikemukakan dan pelbagai cadangan diberikan antaranya dengan meracun, sihir dan menikam lelaki asing itu. Akhirnya mesyuarat bersetuju untuk membenarkan Datuk Maharajalela iaitu pembesar

kanan dalam Orang Besar Berlapan Perak serta Penghulu Pasir Salak, membunuh Birch dengan menikam penjajah itu. Dalam pada itu, Birch terus memberi tekanan kepada Sultan Abdullah untuk membolehkan British menjajah Perak. Tekanan berterusan menyebabkan Sultan Abdullah terpaksa bersetuju menyerahkan Perak untuk diperintah British pada 2 Oktober 1875. Pada 15 Oktober 1875, Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir William Jervois mengumumkan yang Perak akan diletakkan di bawah pentadbiran British dan akan diketuai seorang pesuruhjaya. Surat pengisytiharan dicetak untuk ditampal di merata tempat di seluruh Perak. Pada mulanya ia ditampal di kawasan kediaman Birch di Bandar Baharu dengan diikuti istiadat tembakan meriam 21 das. Selepas itu surat berkenaan mula ditampal di tempat lain. Berita itu sampai ke pengetahuan Datuk Maharajalela menyebabkan pembesar itu semakin berang. Dia bertekad untuk tidak membenarkan penjajah itu terus menjajah tanah airnya.Datuk Maharajalela mengarahkan pengikutnya mula membina kubu di Pasir Salak dan mengumpulkan senjata kerana yakin yang Birch akan datang ke kawasannya untuk menampalkan surat pengumuman itu. Sangkaannya benar apabila rombongan Birch tiba di Pasir Salak menggunakan rumah rakit dan perahu pada malam 1 November 1875. Pagi keesokannya, Birch memerintahkan orangnya naik ke darat dan jurubahasanya iaitu Mat Arshad disuruh pergi ke rumah Datuk Maharajalela dan meminta pembesar itu menghadap lelaki British itu. Bagaimanapun, arahan Birch itu menyebabkan pemerintah Pasir Salak itu melenting, sudahlah lelaki asing itu menceroboh ke kawasannya, berlagak pula bagai raja dengan memerintah untuk menghadapnya. Reaksi Datuk Maharajalela itu segera disampaikan Mat Arshad kepada Birch tetapi lelaki asing itu tetap angkuh. Dia memerintahkan Mat Arshad dan pengikutnya segera menampalkan surat pemungutan cukai oleh British di seluruh pelusuk kampung. Melihat pengikut Birch menampalkan surat berkenaan, penduduk kampung mula berang. Mereka mengoyak surat yang ditampal itu tetapi pengikut British itu tetap meneruskan tugas menampal surat itu tanpa mempedulikan sensitiviti penduduk. Akhirnya situasi tegang mula tercetus. Mat Arshad masih tidak menghiraukan kemarahan penduduk Pasir Salak sebaliknya terus menampal surat pengumuman kutipan cukai di dinding kedai emas di kawasan itu. Tindakan Mat Arshad yang tidak mengendahkan larangan dan sensitiviti penduduk menyebabkan hati Pandak Indut semakin membara. Pengikut Datuk Maharajalela itu meluru ke arah Mat Arshad dan terus mengoyakkan surat yang ditampal lelaki itu.Mat Arshad tidak peduli dan bagaikan mencabar Pandak Indut, dia terus menampal surat pengumuman yang baru. Sekali lagi Pandak Indut mengoyakkan surat berkenaan. Selepas beberapa kali surat berkenaan dikoyak dan melihat Mat Arshad terus menampalkan surat baru, Pandak Indut tidak dapat bersabar lagi. Baginya, lelaki Melayu yang menjadi orang suruhan bangsa asing itu sudah melampau.Dengan pantas Pandak Indut menusuk kerisnya ke jasad Mat Arshad. Lelaki itu mengerang kesakitan dan terus rebah ke tanah. Tindakan Pandak Indut menikam pengikut

Birch itu seolah-olah satu isyarat supaya orang Melayu bertindak. Jeritan amarah penduduk bergema membelah langit Pasir Salak. Mereka mula mengamuk dan menyerbu ke rumah rakit Birch sambil merejam lembing. Askar pengawal Birch yang ketakutan melihat amukan dan serbuan penduduk kampung, segera melarikan diri meninggalkan rumah rakit itu tanpa pengawal. Keriuhan di luar menyentak Birch yang sedang mandi ketika itu. Bagaimanapun, ketika dia menyedari yang penduduk kampung mula mengamuk, segala-galanya sudah terlambat.Rejaman lembing penduduk menembusi rumah rakit itu seterusnya menusuk jasad Birch. Penduduk terus merusuh ingin membunuhnya. Dalam keadaannya yang cedera parah, Birch cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam sungai.Ketika dia timbul tercungap-cungap di permukaan air, Si Putum iaitu seorang pengikut Datuk Maharajalela daripada kalangan Orang Asli, dengan pantas menetak kepala lelaki asing itu menggunakan pedang. Darah merah mencemari air sungai dan jasad Birch akhirnya tenggelam dan dihanyutkan arus ... sumber: Sejarah Malaysia Edisi Kedua, Mereka Bukan Penderhaka dan Pahlawan Pasir Salak.

Related Documents

Sejarah1
April 2020 14
Sejarah1
November 2019 23
2008 Kedah Spm Sejarah1
October 2019 21
Sembilan Wali-sejarah1
November 2019 12