SEJARAH PENUBUHAN YAYASAN KHAIRIAH
Sejarah penubuhan Yayasan Khairiah bermula dengan kepulangan Tuan Guru Haji Yahaya bin Taha dari Tanah Suci Mekah pada tahun 1935, setelah tinggal di sana selama 12 tahun. Kepulangan beliau dari tanah suci ini merupakan suatu rahmat kepada masyarakat Islam setempat yang dahagakan ilmu agama. Diatas kesedaran inilah maka satu Jawatankuasa yang terdiri daripada Hj. Mohammad Zain Abdul Rahman, Haji Mohd Taha, Haji Mohd Diah, Pak Cik Bakar dan lain-lain lagi telah mengadakan satu mesyuarat dan bersetuju untuk mendirikan sebuah Madrasah dan pondok sebagai tempat kepada Tuan Guru Hj.Yahaya untuk menyampaikan pelajarannya. Walau bagaimanapun pengajian ilmu agama pada masa itu telah berjalan di rumah Hj. Mohd Zain dan Hj. Ahmad Awang Besar di Kampung Jerai. Dengan gotong-royong penduduk kampung, telah didirikan sebuah madrasah diatas 18 batang tiang ulat, beratapkan atap cucoh yang diambil dari kawasan rimba sekitar. Pembinaan madrasah ini mengambil masa beberapa hari yang dikerjakan oleh 4 orang tukang secera sukarela. Mereka adalah terdiri daripada Ismail Cek Mek, Pak Lang Kecik Cerok Rambai, Pak Cik Bakar dan Haji Dahaman Hj. Salleh. Terdirinya bangunan Madrasah ini telah menjadi asas kepada Tuan Guru Hj. Yahaya untuk menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat sekitar yang dahagakan ilmu agama. Pada peringkat awalnya hanya 8 orang murid sahaja yang belajar dari beliau. Mereka adalah terdiri daripada : 1) Yahaya Hj. Taib 2) Abdullah Awang Besar 3) Mohd Noh Awang Kecik 4) Ramli Abdullah 5) Hussin Abdullah 6) Chek Man Abdullah 7) Chek Hamad Chek Heng 8) Tidak dapat dijejaki Ketika ini hanya pengajian Al-Quran sahaja yang diberikan, iaitu di waktu pagi. Pelajar-pelajarnya datang pada setiap pagi dari kampung sekitar kerana pada waktu tersebut belum lagi didirikan pondok.
Dari sehari ke sehari jumlah pelajar yang datang semakin bertambah. Pada masa yang sama juga para ahli Jamaah telah bermesyuarat dan bersetuju untuk menghantar anak-anak mereka belajar Al-Quran daripada Tuan Guru. Maka berbekalkan nasi bungkus mereka datang ke Madrasah untuk belajar membaca Al-Quran sehinggan jam 12.00 tengahari. Kemudian disambung dengan pelajaran Nahu. Manakala di waktu malam pula mereka menadah kitab daripada Tuan Guru. Di antara kitab-kitab yang dipelajari ialah : 1) Al-Matan Al-Ajrumiah 2) Mudkhola Al-Wusul Ila Makrifatu Ilmu Al-Usul dan berbaki lagi tiga buah kitab jawi.
Datang belajar dari Tuan guru termasuklah mereka yang tinggal jauh dari Madrasah. Menurut sumber yang diperolehi orang pertama yang membina pondok ialah Awang dan Mohd Dom dari Bukit Hitam. Dalam masa yang sama juga rumah Tuan Guru dibina berhampiran Madrasah oleh anak muridnya. Dengan bertambahnya bilangan pelajar-pelajar yang datang ke Madrasah yang sedia ada tidak mampu untuk menampungnya. Lalu diadakan mesyuarat untuk mendirikan yang lebih besar. Untuk mendirikan Madrasah yang baru ini kayu-kayunya diambil dari Kampung Tiak yang dibawa pulang melalui sungai. Kerja pembinaannya dilakukan secara gotong-royong dimana setiap penduduk mempunyai tugas masing-masing. Pembinaannya memakan masa lebih kurang dua hingga tiga bulan. Dengan terdirinya Madrasah yang baru ini, Semakin ramailah lagi pelajar yang datang dan kemasyuran pondok Kampung Pisang semakin tersebar luas ke seluruh negeri Kedah serta ke negeri-negeri lain seperti Pahang, perak dan negeri Sembilan. Pada tahun 1942, iaitu pada masa meletusnya peperangan Dunia Kedua, perjalanan Madrasah telah terhenti buat seketika. Tetapi pada tahun 1943 ia berjalan semula dan Tuan Guru Hj. Yahaya kembali mengajar seperti biasa. Pemerintahan Jepun tidak menghalang pondok-pondok dari menjalankan kegiatannya. Dengan ini pelajar-pelajar kembali ramai datang. Sebagaimana catatan sejarah bahawa pendududukan Jepun di Tanah Melayu sangat membebankan, satu tempoh hidup yang meyeksakan, kekejaman berlaku sewenang-wenangnya. Mana-mana belia yang didapati tidak bersekolah atau tidak bekerja apa-apa akan ditangkap menjadi buruh paksa membina jalan ke Burma. Dengan demikian jalan yang paling baik bagi meyelamatkan diri dari mangsa kekejaman Jepun ini ialah dengan memasuki pondok-pondok seperti ini. Dengan cara ini juga sekaligus menyebabkan bilangan pelajar Madrasah Tuan Guru ini bertambah dengan cepatnya sehingga hampir 500 orang. Pondok-pondok menjadi satu perkampungan. Dalam masa peralihan daripada kerajaan Jepun kepada kerajaan Negeri Bersekutu pada tahun 1945 Tanah Melayu diperintah buat sementara waktu oleh Bintang Tiga selama 3 bulan 10 hari. Tiada siapa
yang dapat membayangkan kezaliman Bintang Tiga ini. Tetapi Madrasah Khairiah ini menjadi tempat perlindungan bagi orang-orang melayu di daerah Baling daripada kezaliman Bintang Tiga tersebut. Tuan Guru Hj. Yahaya telah berangkat semula ke Tanah Suci untuk menunaikan fardhu haji. Sepeninggalannya ke Tanah Suci pentadbiran Madrasah disandang oleh Pak Su Haji Ahmad. Dalam masa tersebut beliau telah membesarkan lagi Madrasah disebelah hilirnya. Sepulangannya dari Tanah Suci Mekah setahun kemudiaan, Tuan Guru Hj. Yahaya telah menyambungkan semula pengajarannya di Madrasah Khairiah. Semenjak dari itu pada setiap hari dan bulan bilangan pelajarnya semakin bertambah. KUNJUNGAN DATO' ONN JAAFAR Di tahun 1940-an semangat Hidup Melayu bergema dalam masyarakat melayu. Pada tahun 1945 telah diadakan satu majlis 'IHTIFAL' secara besar-besaran di Madrasah yang dianjurkan oleh penduduk tempatan. Dengan usaha Paksu Haji Ahmad maka di dalam majlis tersebuat turut dihadiri oleh Sultan Kedah, Dato' Onn Jaafar, pembesar-pembesar negeri serta orang-orang kenamaan yang lain. Lebih puluhan ribu manusia hadir pada hari tersebut untuk mendengar ucapan Dato' Onn Jaafar dalam memperjuangkan nasib Melayu. Pada hari tersebut tidak kurang dari 20 ekor kerbau yang disembelih untuk jamuan kepada hadirin. Dari sini jelas bahawa kemasyuran, kemajuan dan kejayaan Madrasah Khairiah pada masa itu adalah gabungan dua tenaga utama iaitu Tuan Guru Hj.Yahaya sendiri yang bergiat dalam bidang pelajaran dan Pak Su Hj. Ahmad yang memainkan peranan dalam hal-hal luar. Sistem Pelajaran Secara Nizomi
Sebelum tahun 1951 Madrasah Khairiah hanya menumpukan pembelajarannya secara umumi sematamata dengan mempelajari kitab-kitab agama yang ditulis dalam bahasa melayu Pattani yang diterjemahkan dari kitab Arab sendiri oleh guru-guru Pattani di Mekah disamping kitab-kitab agama yang ditulis di dalam bahasa Arab sendiri. Tetapi kemudiaannya pada tahun 1951 dengan persetujuan mesyuarat agung, Tuan Guru bersetuju mengadakan pengajian secara Nizomi dan mengikuti pengajian secara umumi pada malamnya yang dikendalikan oleh Tuan Guru Hj. Yahaya sendiri. Dalam sistem Nizomi tenaga pengajar terdiri daripada murid-murid tua yang menjalankan tugas secara sukarela. Mereka ialah Hj. Hassan Rasyid (Mudir), Hj. Zakaria Hj. Ahmad, Haji Abdullah Awang Besar, Haji Sulaiman Ibrahim Al- Fahmi, haji Badruddin dan Haji Abdul Rahman Hj. Majid.
Manakala golongan pelajar yang pertama yang mengikuti pengajian secara Nizomi ialah seramai 15 oarang. Mereka ialah : 1) Elias b. Hashim 2) Ghazali b. Abdullah
3) Ahmad B. Mat Hassan 4) Salleh b. Ahmad 5) Mohd Daud b. Awang 6) Ghazali b. Ahmad 7) Yusuf b. Ibrahim 8) Othman b. Debok 9) Ismail b. Senik 10) Abd Karim b. Salleh 11) Abd Wahab Awang Besar 12) Mohd Dom Abdul Wahab 13) Hussin b. YUnus 14) Ahmad Haji Ismail 15) Abd Razak b. Mat Piah Waktu pengajian secara Nizomi ini adalah di sebelah malam sehingga pukul 10.00 malam dan selepas solat subuh dari pukul 6.00 pagi sehingga 8.00 pagi. Cara pengajiannya adalah bercorak kuliah secara beramai-ramai dengan menadah kitab. Sejak dari itu bertambah lagi pelajar-pelajarnya yang datang dari berbagai-bagai yempat terutamanya dari negeri Kedah, Kelantan, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan. Disini dapatlah dilihat betapa Madrasah Khairiah telah meningkat maju dan sampai ke kemuncaknya pada zaman Tuan Guru Haji Yahaya dalam waktu yang singkat sahaja.Dari pengajian ini dapat dirumus beberapa faktor : 1. Tuan Hj. Yahaya adalah seorang yang alim lagi luas ilmunya terutaman dalam bidang Fekah dan Usul disamping beliau adalah tokoh terbilang sebagai seorang manusia yang keramat apabila berguru dengannya ilmu yang diperoleh sangat-sangat memberi berkat. 2. Ramainya pembantu-pembantu beliau yang alim seperti Haji Umar Zuhdi, paksu Haji Ahmad dan lainlain. 3. Semangat keagamaan yang mula tumbuh dikalangan masyarakat melayu pada masa itu, disamping penghargaan yang diberikan oleh masyarakat terhadap pelajar-pelajar sekolah agama. 4. Sikap kerajinan dan keberanian Tuan Guru Haji Yahaya sendiri telah menimbulkan pujian dari masyarakat sehingga tidak menjadi keberatan kepada mereka untuk bekerjasama dengan beliau dalam semua lapangan dan setiap bidang. 5. Tidak berlakunya perpecahan di kalangan masyarakat samada akibat perbezaan politik dan sebagainya menyebabkan masyarakat bersatu hati dalam usaha membangungan Madrasah Khairiah.
Hari ini dalam sejarah
Pada tahun 1959 Tuan Haji Yahaya telah kembali ke Rahmatullah. Teraju Madrasah Khairiah dipimpin pula oleh Ustaz Abdullah Awang Besar, menantu kepada Allahyarham. Sistem yang dijalankan masih kekal dengan sistem dahulu cuma pada masa ini diadakan sistem kelas. Berbanding dengan masa Allahyarham dahulu yang hanya terdapat sebuah bangunan Madrasah yang kecil sahaja, maka di waktu Ustaz Abdullah terdapat dua buah bangunan Madrasah. Di masa ini terdapat 10 orang guru yang membantu beliau di mana mereka ini berkelulusan Madrasah Khairiah sendiri yang telah mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan 'Syahadah Nihayyah'. Mereka terdiri daripada : 1) Ustaz Sulaiman Ibrahim Al-Fahmi 2) Ustaz Yahaya Awang Besar 3) Ustaz Abdul Rahman Daud 4) Ustaz satimin Satipin 5) Ustaz Hassan Yaakob 6) Ustaz Yaakob Shafie 7) Ustaz Elias Hasyim 8) Ustaz Abdul Rahman 9) Ustaz Yahaya Isa 10) Ustazah fatimah Hj. Yahaya Mereka dibayar gaji antara RM50.00 hingga RM100.00 sahaja, hasil yang diperoleh dari kutipan yuran murid dimana setiap murid dikenakan yuran sebanyak RM2.00 sebulan. Oleh kerana guru-guru ini mendapat gaji yang rendah, maka ada diantara mereka terpaksa turun ke sawah dan ladang bagi menambahkan lagi pendapatan. Namun begitu dengan usaha dan kerajinan pihak pentadbir, mereka telah membuat permohonan kepada pejabat zakat negeri Kedah bagi mendapatkan bantuan kewangan. Akhirnya permohonan mereka telah berjaya dan gaji bertambah dari RM100 hingga RM300. Pentadbiran sekolah masa ini terdiri daripada :
1) Seorang Pengerusi 2) Seorang Naib Pengerusi 3) Seorang Setiausaha 4) Seorang Naib Setiausaha 5) Seorang Bendahari 6) 20 oarang Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada waris-waris.
kerjasama dan kesungguhan para pentadbir ini, Madrasah Khairiah semakin maju dan terkenal. Namun demikian beberapa masalah masih timbul terutamanya mengenai tempat penginapan pelajar-pelajar wanita dan sistem yang kurang teratur. Akhirnya masalah pertama dapat diatasi dengan pembinaan
sebuah asrama yang dapat menampung 150 orang pelajar hasil dari sumbangan ibubapa dan orang kampung sekitarnya. Pada tahun 1969 Ustaz Abdullah telah kembali ke Rahmatullah. Beliau telah digantikan oleh Ustaz Sulaiman Ibrahim Al-Fahmi yang berasal dari Kampung Atok, Raub Pahang. Beliau adalah salah seorang murid tertua Tuan GUru Hj. Yahaya Taha. Semasa pentadbiran beliau tiada sebarang perubahan yang dilakukan diatas sistem pelajaran yang lalu. Cuma beliau telah membuat pelajar diwajibkan lulus di dalam peperiksaan sebelum dinaikkan kelas. Setelah tiga atau empat tahun menerajui Madrasah Khairiah, ia dipimpin pula oleh Ustaz Zawawi Ahmad anak tertua kepada Paksu Hj. Ahmad yang berkelulusan Sarjana Muda Pendidikan Universiti AlAzhar. Di masa pentadbiran beliaulah nama Madrasah Khairiah ditukar kepada Yayasan Khairiah seperti yang dikenali kini. Beliau tidak lama memegang jawatan Mudir Madrasah Khairiah kerana beberapa bulan kemudian beliau telah berangkat ke Sabah kerana bertugas sebagai salah seorang kakitangan pegawai agama di Kota Kinabalu. Dengan ini pentadbiran Yayasan dipangku semula oleh Ustaz Sulaiman Ibrahim Al-Fahmi buat seketika sementara menunggu kepulangan anak sulung Tuan Guru Hj.Yahya (Dari isteri Ke2) yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar,Mesir. Pada tahun 1977 bagaikan sebiji bintang yang bersinar di tengah kegelapan malam,anak sulung Tuan Guru,Ustaz Abdul Rahman telah pulang ke tanahair. Beliau kembali bersama harapan dan citi-cita bagi mengembalikan yayasan khariah ke kemuncaknya seperti di masa ayahandanya dahulu Satu perubahan penting yang dilakukan ialah dengan kemasukan pelajaran akademik ke dalam sistem pelajaran yayasan. Ini memandangkan pelajaran akademik juga sama pentingnya kepada generasi kini dalam menghadapi perubahan zaman. Ia telah meletakkan Yayasan Khairiah setaraf dengan sekolahsekolah agama yang lain seperti Maktab Mahmud dan lain-lainnya. Langkah pertamanya ialah dengan memasukkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran(SRP). Ia memberi peluang kepada pelajar-pelajar Yayasan sendiri dan juga pelajar Sekolah Menengah yang gagal didalam peperiksaan tersebut untuk mengulang di Yayasan ini. Bagi memastikan kejayaan pelajar-pelajar, guruguru akademik yang berpengalaman telah diambil.Hasilnya daripada 100 orang pelajar yang mengambil peperiksaan tersebut 50% daripada mereka telah berjaya dengan cemerlang. Kejayaan ini mendorong pihak Yayasan untuk membuka peluang kepada pelajar-pelajarnya mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1978. Daripada kejayaan pelajar-pelajarnya dalam peperiksaan tersebut telah menyedarkan masyarakat sekitar tentang peranan yang dimainkan oleh Yayasan. Ia bukan sahaja menumpukan kepada pelajaran Agama dan Arab semata-mata, bahkan melingkupi pelajaran-pelajaran akademik bagi melengkapi pelajar-pelajarnya dalam menghadapi perubahan zaman.
Hasil dari kesedaran ini maka pada tahun 1979, seramai 250 orang pelajar baru telah mendaftar diri, menjadikan jumlah pelajarnya ketika itu seramai 650 orang. Dengan pertambahan yang ramai ini maka pihak Yayasan terpaksa menolak beberapa permohonan untuk belajar di sini memandangkan tempat penginapan yang tidak mencukupi. Hari ini setelah berbagai cabaran dan halangan dihadapi, maka Yayasan Khairiah telah muncul sebagai sebuah Sekolah Agama Rakyat yang terbesar di daerah Baling dan memberi khidmat kepada agama, bangsa dan negara. Beginilah serba sedikit daripada sejarah tertubuhnya Yayasan Khairiah.
Maklumat pengsejarah semula ini disediakan dan susunatur oleh : Nur Shatirah binti Karim Mohd Dhiaul Iman bin Shaifuddin