Tajuk : Ketokohan Sahabat Rasulullah Model Insan Bestari Penyampai : akir.ii
Assalamualaikum…. Bissmillahirrahmanirrahim Terima kasih buat saudari pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para hakim yang arif lagi bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.
Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita, berzikir dan mendengar fikrah islamiyyah.
Insya-allah, pada hari ini saya akan cuba membawa hati-hati para hadirin agar turut serta bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk islami yang berjudul.
“KETOKOHAN SAHABAT RASULULLAH MODEL INSAN BESTARI ”
Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan saya. Frasa Ketokohan Sahabat Rasulullah merujuk kepada kepimpinan tokoh-tokoh yang beriman dan pernah bertemu dengan Nabi Muhammad saw manakala Model Insan Bestari pula ialah suri tauladan yang baik bagi melahirkan manusia yang bijaksana. Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian, Meniti wacana fikrah saya yang pertama, “Keimanan Bilal b. Rabah Model Insan Bestari”. Ahad, Ahad, Ahad.. Kalimah tauhid inilah yang membasahi lidah sahabat Rasulullah Bilal b. Rabah tatkala dirinya disiksa dan diheret mengelilingi Kota Mekah di bawah terik mentari. Namun , keimanan yang kental telah merasuk jiwa Bilal lantas dirinya sedikit pun tidak berpaling daripada mengesakan Allah. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 102,
“ bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa” Masihkah kita ingat akan peristiwa kemalangan maut di Mesir yang melibatkan pelajar perubatan Malaysia, Muhammad Ammar b. Zulkifli? Ibunya telah menerima kehilangan anak ini dengan penuh yakin bahawa ada hikmah terselindung di sebalik ujian . Maka, jelaslah terbukti bahawa Keimanan Bilal B. Rabah Model Insan Bestari”.
Hadirin pencetus minda bijaksana, Wacana fikrah saya yang kedua ialah “ Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Insan Bestari”.
Abu Bakar merupakan tokoh sahabat yang paling akrab dan dikasihi oleh Rasulullah. Setianya Abu Bakar saat menutup lubang ular dalam Gua Thur dalam peristiwa hijrah dan patuhnya beliau apabila sanggup menderma seluruh hartanya untuk perjuangan Islam. Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 59,
Maksudnya : “Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu” Kakitangan awam negeri Perlis haruslah mematuhi seruan Menteri Besarnya, Datuk Dr. Mad Isa b. Sabu yang berharap agar kualiti kerja dan ketepatan masa menjadi keutamaan dalam bekerja. Oleh itu, ternyata Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Insan Bestari”
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian, Wacana fikrah saya yang ketiga di bawah frasa “ Kepimpinan dan Ketegasan Umar alKhattab, Model Insan Bestari ”. Sikap keberanian Umar al-Khattab terbukti ketika beliau mengisytiharkan keislamanya secara terang-terangan. Pemimpin berjiwa rakyat ini juga sanggup menyamar sebagai rakyat marhaen untuk meninjau keadaan rakyatnya. Keberanian Dato Dr Sheikh Muzaffar dalam mengambil risiko meneroka angkasa lepas wajar dicontohi kita. Sikap pemimpin yang sebegini harus menjadi contoh generasi baru kini untuk menjadi bijaksana dalam segenap aspek. Hal ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah,
رعيته عن مسؤول وكلكم راع كلكم Maksudnya “ Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya”. Terbukti di sini bahawa, “Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-Khattab Model Insan Bestari”.
Hadirin penjana minda berwawasan, Wacana fikrah saya yang keempat di bawah lembayung kata “Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib, Model Insan Bestari” Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini adalah bertepatan dengan didikan yang telah diberi oleh Nabi Muhammad kepada Ali b. Abi Talib semenjak beliau kecil lagi. Oleh yang demikian, beliau merupakan antara sahabat yang memiliki ketinggian ilmu sehingga dilantik menjadi penulis wahyu. Nik Nur Madihah seorang pelajar cemerlang SPM 2008 pasti telah mencontohi Saidina Ali Karamallahu wajhah ini dalam kesungguhan menuntut ilmu selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,
مسلم كل على فريضة العلم طلب
Maksudnya : Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap orang Islam ( lelaki atau perempuan ) Maka, jelaslah bahawa Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib Model Insan Bestari.
Hadirin penjana transformasi negara, Wacana fikrah saya yang kelima ialah “ Ketinggian Akhlak dan Sikap Dermawan Uthman b. Affan Model Insan Bestari” Sikap dan keperibadian Saidina Uthman yang dermawan dan mulia terbukti apabila beliau telah membeli sebuah sumur ‘Bir Raumah’ lantas mewakafkan bagi keperluan umat Islam. Rasulullah sangat mengasihi Uthman sehingga menyifatkanya sebagai teman baginda di dalam syurga. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang jutawan Malaysia telah menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan seni dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2 ,
“dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”
Hadirin yang dihormati sekalian, Wacana fikrah saya yang terakhir ialah “ Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Insan Bestari”. Matlamat akhir bagi setiap umat Islam adalah untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dan inilah wawasan Khalid al-Walid, sahabat Rasulullah yang mendapat gelaran pedang Allah. Beliau sangat bercita-cita untuk mati syahid di medan peperangan dan sikapnya sangat positif dalam menghadapi setiap rintangan perjuangan. Walau bagaimanapun, impian tersebut tidak tercapai kerana perancangan Allah mengatasi segalanya. Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 54
“ Mereka merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang”
Khalid telah meninggal dunia di atas katil. Demikianlah kekuasaan Allah dan manusia akan kembali kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya. Namun, wawasan akhirat Khalid ketika berjuang di medan jihat, wajar dijadikan contoh seterusnya membuktikan bahawa Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Insan Bestari.
Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka dapatlah deduksikan bahawa ketokohan para sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah ini dapat melahirkan seorang muslim yang bestari. Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dicontohi oleh masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan. Sekian.wabillahi taufiq wal hidayah .assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuhh.