Pil Kuat Bagi Gerakan Islam

  • December 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pil Kuat Bagi Gerakan Islam as PDF for free.

More details

  • Words: 9,682
  • Pages: 29
PIL KUAT BAGI GERAKAN ISLAM OLEH MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS

DEGENERASI UMAT ISLAM MASA KINI: SATU PENGAMATAN Oleh Mohamad Ridhwan Alias

Umat Islam mengikut definisi Allah S.W.T adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan di antara umat manusia kerana mereka sentiasa berjihad menegakkan Al-Maaruf dan di waktu yang sama juga mereka mencegah yang mungkar. Mereka adalah contoh yang terbaik dan manusia pilihan kerana mereka yakin akan wujudnya Allah S.W.T dan percaya sepenuhnya kepada janji-janji Allah, mereka beriman kepada Allah S.W.T dan iman itu ditunjukkan dengan sifat taat dan takwa kepada Allah S.W.T pada setiap saat dalam kehidupan mereka, mahupun apabila mereka berada sesama mereka ataupun mereka keseorangan diri. Mereka sedar bahawa mereka tidak akan dinamai sebagai seorang beriman jika belum mendorong dirinya untuk bekerja keras, menerus dengan kerja-kerja Islam dan menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada orang lain yang belum lagi merasai kemanisan dan menikmati cara hidup Islam. Sesungguhnya tepatlah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Iman itu bukanlah angan-angan dan bukan pula perhiasan tetapi Iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan.” Itulah sifat umat yang terdahulu yang mendapat didikan iman dari madrasah Rasulullah S.A.W yang mana sumber didikan mereka hanyalah Al-Quran, nilai rabbani yang sentiasa mendidik dan membetuli mereka dan setiap aktiviti mereka di dalam kehidupan sama ada dalam bentuk fikiran, tindakan dan amalan. Di sana masih ada perbezaan yang jauh antara umat Islam kini dan generasi Quranik yang pertama dahulu yang mana di dalam jiwa mereka terdapat iman yang bergelora, menyala, cermat dan waspada. Sebaliknya umat Islam kini mempunyai iman yang bisu, mandul, tidur nyenyak dalam jiwa dan mereka tidak mematuhi hukum dan tuntutan iman itu sendiri. Umat Islam secara global mengalami permasalahan yang sama walaupun berbeda wilayah. Kebangkrapan umat Islam bermula dengan peneluran benih-benih jahiliah oleh penjajah dan diteruskan oleh proksi mereka di kalangan anak watan. Menurut Anwar al Jundi, empayar penjajah telah memulakan usaha untuk memusnahkan Islam dengan meruntuhkan tiga tiang asas di dalam keperibadian pekerti umat Islam iaitu menutup atau membuang syariat Islam di dalam enakmen perundangan negara, menukar peraturan ekonomi dengan memperundangkan kaedah riba dan menukar kaedah pendidikan dan pengajaran supaya terkeluar daripada landasan al Quran dan as sunnah. Impak daripada penjajahan lahirlah sifat perhambaan yang selalu haus dengan budaya-budaya baru dari Barat. Jiwa hamba ini timbul disebabkan oleh mereka tidak menyerahkan urusan mereka secara keseluruhan kepada Allah. Iman mereka hanyalah iman kosmetik dimana mereka memilih ajaran Islam mengikuti kepentingan nafsu mereka sahaja. Keimanan mereka seiringan dengan nafsu seranah mereka. Maka benarlah firman Allah. “Kemudian kami jadikan kamu berada di atas Syariat (peraturan) dari urusan (Deen) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”. Apa gunanya keimanan jika kita mencampurkan kebenaran dengan kebathilan.

Kedurjanaan umat Islam turut dipengaruhi oleh kepimpinan organisasi atau institusi yang bersifat thoghut iaitu pelampau yang zalim secara halus. Golongan ini dididik oleh penjajah untuk meneruskan budaya jahiliah di negara yang dijajah. Bagi menjaga kepentingan mereka, golongan ini menghidupkan elemen kemungkaran seperti kelab disko dan judi, dan menzalimi pencinta-pencinta Islam yang mahu menghidupkan ajaran Islam yang murni. Sebagai contoh rejim Jamal Abdul Nasser di Mesir telah mengarahkan ulama membetuli setiap arahannya walaupun arahan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam. Peranan utama umat Islam pada hari ini ialah menghidupkan kembali Islam sebagai satu cara hidup bukannya setakat alat ritual sahaja. Generasi Quranik tarbiyah daripada madrasah Rasulullah menjadikan al Quran untuk mencipta tamadun insani yang menghidupkan nilainilai kemanusiaan berteraskan roh ajaran al Quran ke dalam ciri tamadun kebendaan. Bagi menghadharikan umat Islam, al Quran seharusnya diambil kembali untuk membina tamadun. Generasi Quranik dalam melakukan sesuatu pasti mendahului Allah dan Rasulullah dalam setiap perkara yang akan dilakukan. Segala teguran atau tegahan serta larangan akan diterima dengan arahan ‘saya menurut perintah’ tanpa sebarang alasan. HASAN AL BANNA: MENYOROT SIFAT SEORANG TOKOH PENDIDIK Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias1 tokawang_sufi@yahoo

As Syahid Iman Hasan al Banna dilahirkan di Mahmoodiah pada bulan Oktober 1906 Masihi. Ia dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang alim. Hasan al Banna diberi didikkan asas di rumah dengan menghafaz al Quran dan mempelajari ilmu Islam. Selepas menghabiskan pembelajaran di peringkat sekolah menengah, beliau telah diberi dua pilihan untuk meneruskan pelajaran iaitu di Maahad-I-Dini, sebuah pusat pengajian yang berhubung terus dengan Universiti al Azhar dan melayakkan beliau menjadi seorang ulamak di al Azhar. Hasan al Banna telah memilih pilihan kedua iaitu melanjutkan pelajaran ke Pusat Latihan Guru Damanhur dan memperolehi pangkat pertama dalam peperiksaan di pusat latihan ini. Selepas itu, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Darul Ulum pada tahun 1927 dengan mendapat pangkat pertama. Beliau mula mengajar pada tahun 1933 ketika berusia 21 tahun di bandar Ismailiah.

Mohamad Ridhwan Bin Alias adalah bekas mahasiswa Jabatan Sejarah dan Jabatan Antropolog&Sosiologi Universiti Malaya. Kini menjadi seorang guru di sebuah sekolah di pendalaman Sarawak. 1

Hasan al Banna bukanlah seorang ulama tetapi manusia yang berjiwa ulama. Gaya hidup termasuk pemikirannya melebihi manusia yang bergelar ulama yang terjajah oleh unsur-unsur kafirisme dan munafik. Ramai ulama sekarang mudah tergoda dengan budaya cinta dunia dan takut mati. Mereka lebih menyayangi pangkat, isteri dan harta benda melebihi perjuangan Islam. Atas dasar inilah muncullah seorang guru sekolah rendah yang bangkit menyedarkan umat Islam dalam usaha membina kembali generasi Quranik setelah lama dijajah oleh orang Barat.

Kehidupan seorang guru yang ikhlas bukanlah mudah. Guru adalah satu gaya hidup. Makan guru, tidur guru, percakapan guru dan semua aspek kehidupan guru akan ditontoni dan dinilai oleh masyarakat dan pelajar. Guru yang sebenar bukan sahaja mendidik pelajar di sekolah tetapi mendidik masyarakat sekitar tempat tinggalnya. Inilah cabaran dan amanah bagi seorang guru. Hasan al Banna sebagai guru telah berjaya menjalani kehidupan seorang guru yang menerangi kehidupan masyarakat dan pelajarnya dengan nur hidayah dari Ilahi melalui usaha dakwah yang membangkitkan kesedaran umat. Bagi membangkitkan kesedaran umat, Hasan al Banna telah membina sifat ikhlas yang diterapkan ke dalam hatinya. Setiap kelakuan, percakapan dan pemikiran haruslah mengambarkan diri kita sebagai pendidik yang ikhlas. Ikhlas ini dapat dilihat jika kita melakukan sesuatu di luar lingkaran kepentingan kehidupan kita. Sifat ikhlas seorang guru dalam diri Hasan al Banna diterjemah dalam cita-cita beliau iaitu mendidik kanak-kanak pada siang hari dan mendakwahi ibu bapa mereka pada waktu malam. Bagi melaksanakan cita-cita ini, beliau menyatakan beliau memerlukan dua senjata ampuh iaitu ketegasan dan pengorbanan. Pengorbanan sebagai contoh mengarahkan diri guru mengorbankan masa, tenaga dan wang untuk mendidik pelajar dan masyarakat. Tugas guru bukan setakat di sekolah tetapi merangkumi pendidikan masyarakat sekitar. Oleh sebab itu, Hasan al Banna bukan sahaja

mengajar kanak-kanak di sekolah tetapi menghidupkan gerakan Ikhwanul Muslimin, sebuah NGO Islam di dalam masyarakat Mesir. Guru yang telah dilatih dalam pengurusan organisasi perlu mengaktifkan diri dalam organisasi masyarakat seperti persatuan belia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Kehadiran guru dilihat dapat menguatkan dan mempermudahkan usaha kerajaan melaksanakan pembangunan insani atau fizikal. Hasan al Banna seorang guru yang memahami falsafah kehidupan guru dalam erti yang sebenarnya. Falsafah kehidupan guru ialah satu reformasi diri dan masyarakat melalui teladan dan pimpinan seorang guru yang bertakwa, berakhlak, berilmu dan beramal serta faham dengan ilmunya. Pemahaman tentang falsafah ini penting bagi memberi halatuju atau panduan dalam perjalanan meniti tugas seharian sebagai guru. Menurut Hasan al Banna, seorang guru yang baik ialah seorang yang mencari kebahagiaan dan panduan dalam berkhidmat untuk masyarakat. Seorang guru sanggup berkorban untuk menghilangkan kesusahan orang lain dan membina pembaharuan dalam masyarakat. Guru juga perlu berusaha menegakkan kebenaran dan hidayah serta cuba mengubati penyakit rohani manusia. Hasan al Banna adalah seorang pendidik merangkap seorang pendakwah dan pendiri gerakan Islam yang terkenal, Al Ikhwanul Muslimin. Sebagai seorang pendidik, beliau tidak menggunakan kaedah seperti Syed Rasyid Ridha atau Ismail al Faruqi yang hanya banyak menulis untuk santapan minda. Hasan al Banna telah menghimpunkan sekumpulan orangorang Islam yang berwibawa serta kesanggupan untuk hidup dan mati dalam memperjuangkan Islam. Lantaran itu, beliau lebih menumpukan kepada amal Islami daripada bersyarah dan menulis. Apabila ditanya kenapa beliau tidak menulis?. Beliau menjawab, saya melukis manusia. Perkara ini menunjukkan madrasah tarbiyah Hasan al Banna adalah memberi latihan akhlak dan rohani kepada para Ikhwan. Daripada madrasah tarbiyah ini lahirlah insan

yang membawa obor perjuangan Islam seperti Dr. Said Ramadan al Buti, Dr. Yusuf al Qaradhawi, Muhamad al Ghazali, Syed Qutb dan Musthafa al Mashyur. Bagi melukis manusia yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam akademik, akhlak, jasmaniah dan emosi, para pendidik seharusnya mempunyai sifat yang terpuji yang boleh diteladani oleh para pelajar. Hasan al Banna telah menunjuki qudwah salihah (teladan yang baik) kepada para pelajarnya dari segi pengorbanan, semangat, hidup untuk berdakwah dan jihad. Pendidik mestilah ingat bahawa kepintaran atau kekuatan bukan hanya terletak pada slogan sahaja tetapi pada keupayaan menterjemahkan apa yang dilaungkan ke alam realiti. Pendidik juga perlu menjadi agen perubahan masyarakat yang memainkan peranan penting dalam pembangunan insani dan masyarakat. Bagi tujuan itu, para pendidik seharusnya mewujudkan suasana keliling yang baik. Kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat adalah disebabkan kegagalan para pendidik mewujudkan suasana keliling yang baik dalam masyarakat. Menurut Hasan al Banna, masyarakat perlu disedarkan dengan ilmu dan semangat perpaduan di kalangan mereka. Semaikan dalam diri mereka tentang kesedaran bahawa mereka akan dihisab oleh Allah SWT kelak. Kesedaran tentang hukuman di akhirat daripada Allah akan dijadikan sebagai kawalan sosial boleh mewujudkan masyarakat yang lebih berwaspada untuk melakukan dosa. Hasan al Banna adalah hadiah paling besar daripada Allah SWT setelah kejatuhan Daulah Islamiah, Kerajaan Islam Uthmaniyyah Turki. Kehadirannya mengubati luka tercalar akibat penangan proksi Barat yang memerintah negara umat Islam. Kehidupan dan pemikirannya membangkitkan satu revolusi kesedaran dalam masyarakat Islam untuk membebaskan diri daripada penjajahan Barat. Beliau juga dilihat pengasas utama kepada gerakan Islam sedunia yang cuba menghidupkan falsafah Islam yang memerintah bukan

Islam diperintah. Inilah jasa seorang insan bergelar guru sekolah rendah, As Syahid Iman Hasan al Banna.

ISLAM DAN PER KEM BANGA N ALIR AN MOD ENI SME : SA TU PE RTE MB UNG AN OLEH MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS [email protected] Kemaraan aliran modenisme ke dalam pemikiran dan gaya hidup masyarakat Islam kini mula mengancam Islam sebagai ad din yang syumul dan sahih. Menurut Wan Mohd Wan Ali, aliran modenisme mementingkan pandangan hidup keduniaan yang mempertahankan kemodenan. Ia boleh dianggap satu gerakan, aliran dan fahaman yang berusaha untuk merubah elemen tradisi supaya bersesuaian dengan suasana baru yang ditimbulkan oleh kemajuan dalam bidang ilmu dan teknologi. Menurut Roger Garaudy, modenisme tidak lain daripada proses pemBaratan iaitu penerimaan kebudayaan dan pemikiran yang berasalkan daripada pengalaman sejarah Barat terutamanya yang berasal daripada Renaissance. Modenisme berjaya mengukuhkan kedudukan di Barat dan menolak peranan agama dalam kehidupan dunia. Maryam Jameelah berpendapat modenisme terhasil daripada pemberontakan secara militan terhadap agama dan nilai-nilai rohani bawaan agama.

Golongan modenis cuba menunduk tradisi kepada kemodenan sehingga mereka menganjur pentafsiran semula ajaran Islam berdasarkan pemikiran moden. Menurut Shaikh Mohd Asraf, mereka cuba mengkaji dan mentafsir al Quran berdasarkan kebudayaan Barat yang mereka anuti. Kekaguman kaum modenis terhadap Barat menyebabkan mereka memandang rendah akan kelebihan al Quran. Kaum modenis tidak mempunyai asas ajaran agama Islam yang kukuh telah belajar tanpa pengawasan ulama menyebabkan mereka hanyut dengan pemikiran logik. Kebanyakan daripada mereka mempelajari ilmu agama di universiti Barat dan diajar oleh pengajar non-muslim yang tidak berpegang kepada akidah Islam. Natijahnya, pemikiran mereka telah terjajah dan diseleweng oleh orientalis Barat yang ingin menghancurkan akidah Islam.

Sebelum penjajah berundur daripada tanah jajahan, mereka telah memberi kuasa politik kepada golongan nasionalis-sekular yang terdidik dengan pendidikan Barat. Golongan ini dilatih dan diterapkan tentang keunggulan bangsa Barat. ‘Waris Barat’ ini cuba meluaskan aliran modenisme ke dalam masyarakat Islam dengan memaksa sistem politik, ekonomi, pendidikan dan segalanya berorientasikan pemodenan Barat. Generasi yang terdidik dalam kerangka pemodenan ini telah menerima pemikiran dan kebudayaan Barat sehingga semua perkara yang bukan Barat adalah tidak bertamadun dan

mundur. Masyarakat Islam telah terpedaya dengan kebudayaan Barat yang dianggap moden sedangkan kebanyakan elemen kebudayaan Barat diambil daripada tengah Afrika melalui hamba abdi, orang kulit hitam seperti muzik rap dan hip hop.

Penjajah tidak secara mudah memberi kemerdekaan kepada golongan Islam yang memperjuangkan kemerdekaan. Mereka telah melantik elitis politik yang pro Barat untuk negara yang baru merdeka. Menurut Lord Cromer, mereka hanya sudi memberi kemerdekaan sebaik-baik tersedianya intelek dan ahli politik yang dibentuk melalui pendidikan Barat bagi mendukung nilai-nilai Barat. Maka lahir tokoh seperti Mustapha Kamal Ataturk, Muhamad Ali Jinnah dan Zia Gokalp bagi melaksanakan agenda Barat dalam pemerintahan. Golongan yang ingin melihat Islam memerintah seperti Hizbul Muslimin dan Jamaati Islami telah dicantas terlebih dahulu. Aliran modenisme telah melahirkan intelectual havoc di kalangan masyarakat Islam yang telah mendapat pendidikan di sekolah beraliran Barat dan pernah menuntut di universiti Barat. Paling malang terdapat ulama dan pemikir Islam yang berhati duniawi yang sanggup menyebelahi Barat dengan menyokong penerapan modenisme ke dalam masyarakat Islam. Antaranya ialah Sir Ahmad Khan, Muhammad Arkoun, Fazlur Rahman dan Sheikh Muhammad Abduh. Mereka cuba mengharamkan poligami, persamaratakan pembahagian harta pusaka dan penghapusan hukuman syariat secara evolusi. Itjihad yang dilakukan oleh golongan modenis kononnya bagi menyesuaikan agama Islam dalam kontek tamadun moden dengan bersifat toleransi dan ke arah kepluralan beragama.

Modenisme menyebabkan manusia memuja sains dan teknologi secara terlampau. Sains dan teknologi dianggap tuhan kerana ia dianggap sebagai panacae [penyelesaian] bagi setiap masalah. Oleh kerana sains dan teknologi terhasil daripada kecerdasan akal manusia, secara automatiknya manusia sendiri menganggap mereka mampu menyelesaikan masalah tanpa mengharapkan bantuan daripada Allah SWT. Pemikir Barat seperti Francis Bacon cuba menerapkan semangat sains dapat mengatasi agama menyebabkan ramai intelek Islam terpengaruh dengan elemen modenisme ini. Syeikh Muhammad Abduh sendiri menyarankan agar ajaran Islam tentang jin ditafsir semula kerana menganggap jin sebagai microbes.

Golongan modenis mengaku Islam tetapi fahaman dan pegangan mereka melanggari nilai-nilai kesempurnaan ajaran Islam. Mereka mentafsir ajaran Islam dengan berpandu nilainilai Barat. Mereka teramat marah jika ada orang menyoal status keIslaman mereka dan menuduh penghalang pembaharuan sebagai jumud, taklid dan antikemajuan. Golongan modenis menganggap mereka adalah pengislah agama yang ingin memaju dan membangunkan Islam. Hakikatnya, pembaharuan yang dicitakan oleh mereka telah menggugat dasar-dasar Islam dengan hujah teori berkiblat logik akal semata-mata.

Pembaharuan yang diingini hanyalah manifestasi daripada kehendak dan kecintaan golongan modenis terhadap tamadun material sahaja. Gerakan modenis ini menggunakan pelbagai istilah dan slogan bagi menarik rakyat mengikuti saranan mereka. Maka muncul istilah Sosialisme Islam, Islam Plural, Islam Inklusif, Islam Liberal, Islam Bertamadun bahkan terdapat faham Marxisme Islam yang pernah dikemukakan oleh Khalid Muhiyiddin. Kepelbagaian istilah ini untuk menyedapkan mata yang memandang dan telinga yang mendengar sahaja. Walaupun istilah ini berbeda dan nampak bertentangan di antara satu sama lain tetapi semua lahir daripada pohon yang sama bersifat anti-tauhid dan digerakkan oleh modenis. Pada hakikatnya, ia cuba mempermainkan ajaran Islam dengan budaya munafik dan memyamakan Islam sebaris dengan ideologi-ideologi ciptaan manusia seolah-olah Islam itu hanya cita-cita, idea dan buah pemikiran yang boleh didiskusikan dan diubahsuai untuk kepentingan kehendak manusia yang logik.

Golongan modenis telah mengecam tasawuf sebagai penghalang bagi kemajuan. Ketiadaan tasawuf dalam Islam seumpama buah yang mempunyai kulit tanpa isi. Islam adalah agama yang dijalani secara holistik bukannya dipecahkan mengikut tema yang diperlukan oleh manusia. Tasawuf merupakan benteng meransang akhlak manusia agar lebih keinsanan sifatnya. Menurut John R. Mott, seorang orientalis mengakui mukmin yang kuat ialah mereka yang memiliki sifat-sifat tasawuf, kebal dan tidak dapat ditembusi oleh sebarang kekufuran. Golongan modenis menyalahkan tasawuf kerana melihat tasawuf menerusi kekarutan akal-pengertian dan amalan si jahil yang cuba menghidupkan tasawuf. Maka, mereka cuba memurnikan tasawuf daripada nodanoda kekotoran padahal pemurnian mereka sendiri merupakan penodaan bagi amalan tasawuf.

Aliran modenisme juga telah memisahkan agama daripada urusan dunia dan memisahkan urusan negara daripada Islam. Mereka menuduhkan negara yang mengamal Islam secara sahih akan mundur kerana dikuasai oleh agamawan yang jumud dan anti-pembangunan. Golongan modenis memahami negara yang diasaskan dengan ikatan agama Islam mempunyai persamaan konsep dengan negara teokrasi yang pernah didominasi oleh paderi-paderi Kristian di Eropah. Mereka memperlekeh keupayaan Islam dan syariat untuk bernegara dalam zaman moden. Maka lahirlah ‘nusia-nusia’[pelupa] seperti Ali Abdul Raziq dan Asaf Ali Fyzee yang tidak mempercayai kesyumulan Islam.

Golongan modenis cuba menafsir semula al Quran telah menyerang hadishadis yang dianggap bukan sumber sahih bagi Islam. Mereka hanya berpegang kepada al Quran. Hadis merupakan tafsiran al Quran melalui perlakuan dan percakapan Rasulullah SAW yang diajari secara bersanad oleh ulama-ulama

muktabar. Penghinaan terhadap hadis bertujuan memudahkan mereka menafsir al Quran berdasarkan kehendak akal-logik mereka sendiri. Golongan modenis yang terpengaruh dengan idea Ignace Goldzieher ini telah mempelopori gerakan antihadis seperti yang dilakukan oleh Rasyid Khalifa dan Kassim Ahmad. Mereka juga mengutuk ulama-ulama rabani silam yang disifat jumud dan pendokong amalan bida’ah padahal ulama rabani silam mempunyai kepelbagaian disiplin ilmu Islam dan beramal dengan Islam. Orang yang mengutuk ulama rabani silam dianggap perosak-perosak agama oleh Wan Mohd. Shaghir, seorang penterjemah kitab agama.

Pembebasan kaum wanita daripada cengkaman Islam selalu dimomokan. Islam dianggap penindas wanita melalui pelbagai diskriminasi. Mereka mahu bebas berpakaian, keluar bekerja dan antipoligami. Pembebasan yang disangka baik ini merupakan satu kecelakaan yang menimpa kaum wanita kerana mereka sendiri berjauhan dengan institusi kekeluargaan Islam. Islam menyarankan wanita Islam keluar dengan lelaki muhrim tetapi kaum wanita tidak menghiraukannya, akibatnya berlaku perogolan dan kes ragut. Islam menganjurkan kaum wanita menutup aurat bagi menjaga maruah tetapi atas nama pemodenan, kaum wanita membenarkan tubuh mereka dieksplotasi oleh pemodal yang menjatuhkan maruah kewanitaan. Semua ini bukanlah proses pembebasan tetapi penghambaan moden bagi kaum wanita.

Jelas golongan modenis cuba mendewakan peranan akal sehingga dapat menunduk kehendak wahyu. Akal bersifat nisbi yang terbatas oleh ruang dan waktu manakala wahyu membawa kebenaran yang mutlak tidak dapat dijangkau oleh pemikiran dan pancaindera manusia. Oleh sebab itu, ketundukan wahyu kepada kehendak akal merupakan satu pengkhianatan terbesar manusia munafik terhadap keEsaan Allah SWT. Akhirnya Islam dibentuk oleh masyarakat manusia munafik yang mengetepikan syariat Islam sedangkan hanya syariat Islam yang boleh membentuk masyarakat manusia.

Keunggulan aliran modenisme di dalam masyarakat Islam kerana pemerintahan negara umat Islam didukungi oleh golongan berfikiran modenisme. Mereka cuba memodenkan negara mengikut kehendak semasa dan zaman telah ditenggelami dengan faham material. Sebenarnya, kuasa politik berupaya memainkan peranan penting bagi mengekang aliran modenisme daripada merebak ke dalam pemikiran dan gaya hidup masyarakat secara tuntas. Oleh sebab itu, penulis yakin bahawa pendidikan dan kuasa politik adalah tunjang kepada proses pematahan merebaknya virus-virus modenisme ke dalam masyarakat.

Aliran modenisme hanya terikat dengan pengukuran berdasarkan material sahaja yang bersifat relatif bukan seperti prinsip agama Islam yang mutlak

tentang kebenaran dan nilai akhlak. Kesahihan modenisme terbatas berdasarkan peranan masa, tempat dan keadaan. Pembebasan yang diingini daripada golongan modenis adalah bersifat khayali bahkan menjurus penyembahan kepada peranan akal. Penyembahan terhadap peranan akal bermakna golongan modenis menyembah berhala diikonkan kepada manusia sendiri. Perkara ini merupakan amalan syirik di bawah sedar manusia yang menganuti modenisme. Pembebasan dalam Islam adalah membebaskan diri daripada makhluk dan tunduk kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, kemerdekaan sebenar adalah membebas akal-pemikiran daripada terjajah daripada aliran modenisme yang menyesatkan.

KEBANGKITAN SEMULA ISLAM DI MALAYSIA: SATU PENILAIAN SEMULA Oleh Mohamad Ridhwan Alias [email protected]

Sepanjang tiga dekad yang lepas, negara kita pernah diselubungi dengan fenomena kebangkitan semula Islam yang cuba mengakari pemikiran dan kebudayaan masyarakat Malaysia. Fenomena kebangkitan semula Islam dianggap kemunculan kembali ajaran Islam untuk membersihkan kejahilan hasil penangan kerangka pemikiran dan gaya hidup penjajah Barat. Menurut Mohamad Abu Bakar, kebangkitan semula Islam membawa wagas [wawasan dan gagasan] yang berupaya menjadi penjana dan penyeri kepada pemugaran weltanchauung Malaysia, jika Islam yang terkandung itu terasas pada akidah yang kukuh, berupaya pengamalan berdasarkan ilmu yang baik dan bersifat keihsanan dari segi pelaksanaannya. Persoalannya, adakah kebangkitan ini mencapai cita-cita kesempurnaan Islam sebagai ad-din atau kebankrapan Islam pasca penjajah masih berterusan?.

Gelombang kebangkitan Islam pada awal tahun 1970an adalah gelombang ketiga hasil lanjutan daripada gelombang gerakan Islah-kaum muda dan gelombang ‘Gunung Semanggol-Hizbul Muslimin’ pada tahun 1948. Gelombang ketiga digerakkan oleh para Anwariyyun hasil gabungan gerakan belia-pelajar Islam melalui ABIM dan PKPIM. Revolusi Iran pada tahun 1979 telah membawa gelombang keempat dalam arus kebangkitan semula Islam di Malaysia. Kemenangan golongan Islamis membuktikan keupayaan Islam mengimplimentasikan konsep negara Islam yang dianggap teori oleh pihak tertentu. Dalam masa yang sama, golongan pemuda dan ulama [kebanyakannya tokoh ABIM] dalam Parti PAS telah berjaya merampas kuasa daripada kepimpinan nasionalis-Islami. Republik Islam Irantelah dianggap eksperimental bagi gerakan Islam merealisasikan konsep negara Islam dalam zaman moden.

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO dan pelantikan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia dilihat telah membawa impak positif kepada kerajaan

untuk menpertingkatkan tahap keIslaman dalam pemerintahan negara. Hasilnya, syiar Islam seperti Bank Islam, Universiti Islam dan Takaful Islam semakin berkembang pesat. Secara umumnya, kehidupan masyarakat Malaysia telah menyerlahkan perubahan dimana Islam semakin diperkenalkan sebagai satu cara hidup yang menyeluruh meliputi pemakaian, ibadat fardhu ain dan fardu kifayah, pengaulan, bermuamalat, pemerintahan dan politik kepartaian. Walau bagaimanapun, kebangkitan semula Islam yang disifatkan menyeluruh ini dilihat tidak berjaya menghasilkan momentum yang kuat bagi melahirkan persekitaran Islami yang berterusan. Persekitaran Islami yang agak meningkat mula mengalami kesuraman pada akhir tahun 1990an dengan kembalinya pengulangan budaya sebelum tahun 1970an. Adakah ini dinamakan kitaran peradaban yang pernah disebut oleh Ibnu Khaldun?. Selama ini, pengamalan Islam yang dilihat menyeluruh hanyalah semangat ‘pepsi-cola’ yang sementara sifatnya. Pengamalan Islam yang dicita-citakan sebagai syumul hanyalah pengamalan tema-tema Islam yang terpisah berdasarkan kehendak diri Muslim sahaja. Mungkin pengamalan tema-tema Islam ini hanya untuk memenuhi trend semasa.

Menurut Mohamad Abu Bakar, momentum ini sewajarnya menjadi seperti taburan hujan yang semestinya bertemu dan berpusu menjadi arus perdana dan turun dengan lebat membanjiri bumi. Pengamalan tema-tema Islam yang terpisah oleh masyarakat Islam diharap dapat dikumpulkan untuk meledak dan membanjiri persekitaran masyarakat tetapi harapan ini hanyalah angan-angan kosong. Memang semakin ramai Muslim yang banyak melakukan ibadat dan memakai pakaian menutup aurat tetapi kenapa pula gerakan Islam terutamanya parti politik berasaskan Islam yang merupakan salah satu elemen kebangkitan semula Islam tidak mendapat sokongan dalam pilihanraya?. Pemakaian tudung sebagai contoh hanya dianggap untuk memenuhi budaya trendy sahaja padahal pakaian si pemakai masih menampak bentuk tubuh. Mereka tidak memahami Islam secara sahih dan syumul kerana diselimuti faham material dan kekeliruan pengilmuan yang mahu ternama, kaya dan berkuasa. Menurut Azyumardi Azra, Rektor Universitas Islam Negeri Jakarta, peningkatan kesolehan keagamaan umat Islam kini tidak berada dalam garis yang lurus. Kelurusan beragama hanya dapat dinilai dengan pengamalan Islam yang syumul dan sahih melalui petunjuk al Quran dan hadis. Kebangkitan semula Islam boleh dilihat satu proses kesedaran beragama yang tidak dimantapkan dan tidak berupaya mengakari pemikiran, kebudayaan dan persekitaran masyarakat Islam secara berterusan. Peningkatan kesolehan berasaskan beribadat tanpa penguatan politik Islam akan menyebabkan Islam tidak berupaya mentadbir diri dan masyarakat Islam sendiri. Islam adalah agama yang memerintah bukannya agama diperintah untuk kepentingan pihak tertentu. Pemerintahan Islam berkiblatkan al Quran dan hadis. Jika Islam tidak dibenarkan berkuasa, proses kebangkitan semula Islam bakal menjadi fakta sejarah yang terselinap dalam buku teks sekolah.

Sebahagian daripada masyarakat Islam telah dipengaruhi dengan faham kemodenan sehingga meminggirkan kesyumulan Islam terutamanya ilmu tasawuf. Faham kemodenan dilabelkan dengan pelbagai istilah seperti Islam

Plural, Islam Inklusif, Islam Liberal, Islam Progresif dan Islam Bertamadun untuk mengelabui mata masyarakat Islam dengan kabus faham kemodenan yang bersifat material. Golongan modenis Islam inilah yang melaberak rakyat dengan kefahaman yang tidak sahih dan sesat. Demi pembangunan dan kemajuan, asasasas Islam telah dinodai. Islam Plural sebagai contoh telah berusaha menyamakan semua ajaran agama sehingga membelakangi keunggulan akidah Islam. Kekeliruan yang dicetuskan oleh golongan modenis ini akan menghalangi kebangkitan semula Islam yang sahih dan syumul.

Kebangkitan semula Islam sangat membimbangkan Barat, pemerintah dan intelektual sekular kerana Islam berupaya menyingkirkan ketamadunan Barat yang semakin rosak ditenggelami faham material dan kerosakan moral. Ketakutan paling utama golongan ini adalah kebangkitan semula politik Islam yang ingin merampas kuasa yang selama ini didominasi oleh anak didik penjajah. Dalam konteks dunia moden, kuasa politik adalah kunci segala perubahan terhadap sistem dalam sesebuah negara. Oleh sebab itu, kehadiran parti politik berasaskan Islam ditentang secara keras oleh pemerintah sekular. Di Algeria, kemenangan Barisan Penyelamat Islam [FIS] telah dimusnahkan oleh rampasan kuasa tentera manakala di Turki, Perdana Menteri pro-Islam, Necmetin Erbakan telah ditekan dan partinya diharamkan oleh mahkamah perlembagaan.

Hari-hari mendatang kelihatan kewibawaan Islam semakin tercabar. Kebangkitan semula Islam disangkakan semakin meningkat telah dicemari oleh virus jahiliah yang mengikis agama Islam dari dalam sistem masyarakat Islam sendiri. Pengislaman masyarakat kini ditenggelami oleh anasir dan unsur tidak bercorak keagamaan. Dalam akhir tahun 1990an dan awal tahun 2000 telah membuktikan hedonisme kembali mengganasi masyarakat Islam. Forum perdana semakin tidak diminati sementara Akademi Fantasia dan Malaysian Idiol menjadi kegilaan semua.

Masyarakat Malaysia kini mengalami tranformasi pemikiran dan kebudayaan yang cukup pantas selaras dengan perkembangan pembangunan nasional dan pengaruh globalisasi. Kewujudan teknologi maklumat dan komunikasi menyebabkan persekitaran masyarakat Islam dibanjiri oleh pemikiran dan kebudayaan Barat. Pengejaran material dan mandat keselesaan yang dimiliki oleh masyarakat Islam telah membenihkan kebejatan sosial di dalam masyarakat. Keruntuhan adab ini semakin parah apabila kepimpinan negara sendiri menganuti amalan-amalan mazmumah sehingga merebaknya gejala sosial seperti rasuah, politik wang dan kronisme. Justeru, suntikan regenerasi perlu dilakukan pada gelombang kebangkitan semula Islam bagi mengislah kembali amal-Islami melalui konvokesyen keintelektualan.

Para pendakwah perlu mendekati masyarakat dengan pendekatan baru. Pendekatan lama perlu diregenerasikan dengan idea-idea baru agar sesuai untuk mendepani permasalahan umat yang semakin matang dan canggih. Mohamad Abu Bakar mencadangkan agar kerajaan menyediakan suasana, struktur dan susulan yang mampu mengukuhkan perjalanan dakwah bukannya membiarkan pengIslaman digandingi oleh adegan-adegan yang merosak, memudar dan meruntuhkan segala pencapaian Islam. Jika kerajaan menyediakan kawalan syariat dengan mengawal media massa, pemberian lesen kelab disko dan judi, dan melaksanakan pengIslaman secara tegas dan berterusan di sekolah, proses pemugaran Islam pasti dapat direalisasikan.

Persekitaran dakwah dalam alaf baru mestilah bertunjangkan semangat dialog dan toleransi. Semangat dialog dan toleransi bukan bermakna kita tunduk atau menerima kebenaran agama lain, tetapi satu proses pencambahan minda dimana kita dapat berkomunikasi, memahami dan berfikir tentang elemen yang terdapat dalam agama masing-masing. Pemahaman beragama ini dapat diharapkan menelurkan hidayah dan menjernihkan tanggapan negatif yang cuba menodai agama Islam. Persoalan jihad sebagai contoh dikaitkan dengan teori keganasan dimana jihad dikatakan menggalakkan peperangan di kalangan orang Islam padahal jihad mempunyai konsep luas yang merentasi sempadan konsep peperangan. Oleh sebab itu, semangat dialog dan toleransi perlu diperluaskan oleh para pendakwah agar kemurnian agama Islam terus terpelihara daripada propaganda musuh.

Pendakwah juga harus menjadikan Islam bersifat alternatif bukannya destruktif bagi kehidupan manusia. Selama ini secara mudah, pendakwah dan ulama mengharamkan sesuatu yang bertentangan dengan pandangan mereka padahal perkara tersebut tidak mempunyai nas dalam al Quran secara mutlak. Bukanlah tujuan kita untuk menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal tetapi biarlah solusi yang diputuskan dibincang secara syura oleh ulama dan pakar dalam bidang berkenaan. Ulama fekah dengan ulama usuluddin sendiri mempunyai pendapat yang berbeda dalam sesuatu usul agama apatah lagi dengan pakar ilmu-ilmu moden. Contoh penggunaan DNA sebagai bukti jenayah perlu diselesaikan oleh para ulama dan ahli perubatan.

Pendakwah dan ulama selalu disifatkan sebagai anti anak muda dan kaum hawa. Kesukaan anak muda dan suara kaum hawa selalu sahaja dipinggirkan. Akibatnya anak muda dan kaum hawa mula memberontak jiwa dan bersifat antiulama. Ulama dianggap kaum tua yang suka mengongkong dan berfikiran konservatif. Ulama dan pendakwah perlu mengambil langkah bijaksana dan berhikmah dalam melayani permintaan anak muda dan kaum hawa. Kegilaan anak muda dalam hiburan sebagai contoh perlu disediakan alternatif hiburan Islam bagi mereka. Lihatlah peranan Wali Songo yang berjaya mengislamisasikan muzik dan silat yang banyak berunsur khurafat dengan nur Islam.

Kebangkitan semula Islam di Malaysia adalah sebahagian daripada proses perjalanan menuju ke destinasi yang mempunyai persekitaran Islami. Dalam perjalanan ini, suntikan regenerasi perlu sentiasa dilakukan agar kebangkitan semula Islam berada dalam landasan yang betul iaitu mengikuti kefahaman yang sahih dan syumul berdasarkan al Quran dan hadis. Kebersamaan tema-tema Islam yang terpisah untuk bersatu dan beristiqamah bagi menjayakan gelombang kebangkitan semula Islam adalah jaminan kejayaannya. Tanpa kesatuan akidah Islam, usaha ini akan terjerumus ke arah kebankrapan.

KE GA GAL AN KE PIMPI NAN IK HW AN UL MUSLIMI N: SA TU PE NG AJ AR AN OLEH MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS [email protected]

Ikhwanul Muslimin ditubuhkan di Ismaliyya oleh as Shahid Iman Hasan al Banna pada tahun 1928 telah memberi sinar baru kepada kebangkitan semula Islam setelah tumbangnya kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki. Kemunculan al Banna sebagai tokoh gerakan Islam banyak memberi kelebihan kepada al-Ikhwan. Beliau dikurniakan kefahaman yang jitu tentang pelaksanaan Islam sebagai satu cara hidup telah berjaya menyebar-luaskan pengaruh amal Islami ke seluruh dunia Islam. Walaubagaimanapun kebangkitan semula Islam kurang disenangi oleh juak kuffar dan proksi mereka di negara umat Islam. Akibatnya al Banna sendiri telah dibunuh pada malam 12 Februari 1949. Kematian al Banna memberi dampak negatif kepada al-Ikhwan. Selama tiga tahun Ikhwan ketiadaan pemimpin utama sehingga berlaku perebutan kuasa di kalangan pimpinan al-Ikhwan. Dalam tempoh tiga tahun ini, pentadbiran alIkhwan diletakkan di bawah pengendalian bersama oleh beberapa orang pimpinan al-Ikhwan iaitu Abdul Rahman al Banna, Salah Ashmawi dan Ahmad Hasan al Baquri. Pada bulan Oktober 1951, majlis syura telah melantik Hasan al Hudaybi, bekas hakim sebagai Mursyidul Aam al-Ikhwan yang kedua.

Pelantikan al Hudaybi ditentang hebat oleh pimpinan al-Ikhwan. Pengeseran ini dikatakan berpunca daripada personaliti al Hudaybi dimana beliau berasal dari keluarga yang berada berbanding al Banna dan beliau juga seorang bersifat lembut, mempunyai hubungan baik dengan istana dan bukanlah seorang orator dan pengasas al-Ikhwan. Krisis mula memjadi barah apabila majlis syura memecat Hasan al Baquri iaitu pemimpin yang disebut-sebut sebagai calon utama penganti Hasan al Banna sebagai Mursyidul Aam alIkhwan kerana mengingkari keputusan majlis syura agar berundur daripada kabinet Mohamad Naquib, ketua kerajaan revolusi.

Krisis kepimpinan al-Ikhwan bertambah parah semasa pemilihan pucuk pimpinan al-Ikhwan pada 8 Oktober 1953 dimana Hasan al Hudaybi disahkan sebagai Mursyidul Aam Ikhwanul Muslimin yang baru. Dalam pemilihan ini kumpulan yang bertentangan dengan al Hudaybi di bawah pimpinan Salah Mustapha Ashmawi telah tersingkir daripada majlis syura. Kumpulan ini bertindak merampas ibupejabat al-Ikhwan dan memaksa al Hudaybi meletakkan jawatan. Rampasan kuasa ini berjaya ditumpaskan oleh alHudaybi. Akibat perebutan pucuk pimpinan ini, beberapa pemimpin utama al-Ikhwan seperti Salah Ashmawi, Muhammad Ghazali, Sayyid Sabiq dan Abdul Aziz Jalah dipecat pada 9 Disember 1953. Pemecatan ini mengoncangkan perpaduan al-Ikhwan.

Sementara itu, pemerintah Mesir pimpinan Abdul Nasser, seorang sosialis mula merencanakan pembantaian terhadap al-Ikhwan pada tahun 1954 dengan mengharamkan al-Ikhwan pada 13 Januari 1954 ekoran pertempuran para mahasiswa al Ikhwan dengan pendukung pemerintah di Universiti al Azhar. Pada tahun 1954, Abdul Nasser telah menjatuhkan hukuman mati terhadap as shahid Abdul Qadir Audah, Timbalan Mursyidul Aam al-Ikhwan dan ulama al Azhar merangkap pejuang dalam perang dengan Inggeris, Sheikh Muhammad Farghali. Trajedi 1954 ini hampir meragut nyawa Mursyidul Aam alIkhwan, Hasan Hudaybi di tali gantung tetapi beliau diserang penyakit jantung dan dijangka akan meninggal dunia dalam masa beberapa jam. Abdul Nasser telah mengeluarkan surat pengampunan agar al Hudaybi mati di rumah bukannya di penjara tetapi Allah Maha Bijaksana dengan mengagalkan perencanaan jahat Nasser dengan melanjutkan umur al Hudaybi. Pembantaian selanjutnya dilakukan pada tahun 1965. Sekelompok pimpinan al-Ikhwan mula mrencanakan kebangkitan semula al-Ikhwan secara sulit setelah diranapkan oleh Nasser. Mursyidul Aam telah menyerahkan obor perjuangan kepada pimpinan Syed Qutb Ibrahim dan dibantu oleh Hajjah Zainab Ghazali al Jabili, Ketua Umum Jamaah Muslimat dan Abdul Fattah Ismail. Usaha ini mengalami kesukaran kerana Syed Qutb terpaksa menyampai arahan dari penjara dan ia bertambah sukar apabila pergerakan pimpinan al-Ikhwan ini telah dihidu oleh cawangan khas Mesir. Akibatnya gerakan pemutihan dilakukan dengan menangkap sebahagian besar pengikut al-Ikhwan. Ramai tokoh al-Ikhwan dihukum jantung termasuklah Syed Qutb dan Abdul Fattah Ismail manakala Hajjah Zainab dihukum penjara seumur hidup.

Secara ringkasnya, kita telah menyelusuri krisis dan cabaran yang dialami oleh Ikhwanul Muslimin setelah kematian al Banna. Sekarang penulis mengoreksi kegagalan kepimpinan al Ikhwan dengan membuat perbandingan antara kelemahan gerakan Islam di Malaysia.

KEPIMPINAN INSTITUSIONAL

Kehebatan al Banna sendiri merupakan kelemahan Ikhwanul Muslimin. Al Banna bertanggungjawab menjadikan kepimpinan al Ikhwan lebih bersifat personal berbanding institusional. Akibatnya, selepas kematian beliau alIkhwan bagaikan kehilangan arah. Bayangkan selama 3 tahun al Ikhwan tiada kepimpinan utama sehingga menyebabkan organisasi al-Ikhwan tiada pengarahan pusat yang berwibawa.

Kita tidak menafikan kepentingan kewujudan figuregerakan Islam yang menjadi suri tauladan dan pembimbing kepada gerakan Islam. Walaubagaimanapun fungsi kepimpinan institusi gerakan Islam perlulah paling diutamakan. Kepimpinan institusi harus berteraskan musyawarah dan bersifat multidisiplin keilmuan agar gagasan bersama institusi dapat dijayakan. Pengantungan berlebihan kepada kepimpinan personal akan melemahkan proses pengkaderan gerakan Islam. Perkara ini telah terbukti dalam gerakan Islam seperti ABIM dan PAS. Kemasukkan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO telah menyebabkan perpecahan kepada ABIM manakala kematian tokoh dalam PAS bakal melemahkan kekuatan pimpinan pelapis PAS pada masa depan. Selama ini PAS terlalu bergantung kepada kekuatan kepimpinan personal yang dimiliki oleh pimpinannya yang tiga serangkai iaitu Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Fadzil Mohd Nor. Ketiadaan penganti figure yang berwibawa menyebabkan gerakan Islam kehilangan sinergi untuk mengembleng kekuatan masyarakat massa. Oleh itu, kekuatan institusi perlu diberikan suntikan dengan menampilkan ramai tokoh-tokoh yang berautoriti dan dihormati daripada bergantung harap kepada kekuatan personal pemimpin.

Konsep kepimpinan ulama sendiri memerlukan satu proses regenerasi agar ia difahami oleh generasi muda. Selama ini pendukung gerakan Islam terutamanya PAS selalu menyempitkan pemikiran bahawa seorang pemimpin seharusnya seorang ulama. Pendukung gerakan Islam perlulah memahami seseorang pemimpin tidak semestinya seorang ulama tetapi berjiwa ulama yang faham dan mengamal agama berdasarkan al Quran dan hadis secara syumul dan murni. Pemimpin profesional seperti Husam Musa, Takiyuddin Hasan, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Saari Sungib boleh diangkat menjadi pemimpin utama gerakan Islam dengan dinaungi oleh institusi kepimpinan ulama.

PEREBUTAN KUASA Perebutan kuasa merupakan suatu kebiasaan bagi sesuatu organisasi. Kita tidak dapat menghalanginya tetapi dapat meminimakan kewujudannya. Dalam kes al Ikhwan, perebutan kuasa hanya berkaitan permasalahan pendekatan dan bersifat peribadi. Para pimpinan al-Ikhwan masih taat kepada

baiah Ikhwanul Muslimin dan menghormati antara satu sama lain. Lihatlah hubungan mesra al Hudaybi, Yusuf Qaradhawi dan Sayyid Qutb dengan Muhammad al Ghazali dan Sayyid Sabiq. Mereka cuba bersama dengan perkara yang mereka sepakati dan berpendirian tersendiri dan bersikap hormat-menghormati dengan perkara yang bertentangan. Perkara ini juga turut dialami oleh Zainab al Ghazali al Jabili dengan Iman Hasan al Banna. Zainab berulangkali menolak kemasukkan Jemaah Muslimat ke dalam bahagian Muslimat al-Ikhwan tetapi Zainab tetap menghormati al Banna dengan melayani permintaan al Banna untuk berpidato dalam perhimpunan al-Ikhwan.

Dalam gerakan Islam di Malaysia, krisis paling teruk berlaku pada awal 1980an sewaktu Anwar Ibrahim memasuki UMNO dan kejatuhan kepimpinan Asri Muda dalam PAS. Kedua-dua krisis kelihatan parah kerana ia melibatkan kumpulan beridealis yang berbeza. Krisis dalam ABIM melibatkan pihak yang pro Anwar Ibrahim yang beraliran nasionalisme-Islami dengan golongan anti kemasukkan Anwar ke dalam UMNO yang masih mematuhi janji ABIM kepada Bapak Natsir agar tokoh-tokoh ABIM membantu PAS dan menolak nasionalisme. Krisis idealis dalam PAS pula dikaitankan dengan kumpulan pro Asri yang beraliran nasionalisme-Islami dengan kumpulan muda pro ulama yang didominasi oleh tokoh-tokoh ABIM. Kedua-dua krisis ini membawa dampak yang besar kepada suasana gerakan Islam di Malaysia sehingga sekarang.

MENANGANI PERUBAHAN Gerakan Islam di Malaysia bernasib baik kerana realiti politik golongan sekular-nasionalis di negara ini tidak seganas di Mesir. Kita hanya bertentangan dalam permasalahan idealis bukannya secara fizikal. Bagi mengatasi perencanaan musuh, satu tindakan bijaksana harus dirangka dan digagaskan. Kepimpinan gerakan Islam perlu membersihkan diri daripada gejala politik dendam dan berusaha menanam kehidupan politik dakwah yang berakhlak mulia di kalangan pendukung gerakan Islam.

Peningkatan pendidikan sejak awal 1980an menyebabkan kesedaran Islam kembali segar walaupun rakyat tidak mendukung sepenuhnya kesyumulan Islam. Orientasi dakwah perlulah bercitrakan persaudaraan Islam iaitu berbaik sangka dan saling maaf memaafkan. Kritikan haruslah ditangani dengan beradab seboleh-bolehnya hanya mengkritik polisi institusi dan sifat umum manusia bukannya sifat peribadi selagi tidak terpaksa. Iman Hasan al Banna sendiri pernah menasihati Muhammad al Ghazali apabila ditanya kenapa kita tidak membenci si polan tertentu. Jawab al Banna‘ jangan sekali-kali ada unsur negatif di hatimu terhadap seseorang. Anda membenci perbuatannya tetapi jangan berhenti dari mengharapkan petunjuk buatnya’. Inilah nasihat seorang daie yang hebat hati nuraninya kepada

pengikutnya. Justeru, kepimpinan Islam haruslah bersedia berbincang bersama-sama dengan pihak bertentangan dengan menjalinkan persefahaman.

Pemimpin yang berpendirian keras tidak akan mendapat tempat dalam suasana politik masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk. Gerakan Islam haruslah menonjolkan sifat hikmah dalam menjalankan pelan tindakan secara bertahap-tahap agar perubahan yang dilakukan tidak menerima bantahan. Contohnya, proses penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud perlu dimulai dengan pendidikan dan penerangan. Hajjah Zainab telah melaksanakan satu program pendidikan selama 13 tahun di Mesir bagi melaksanakan negara Islam dan hukum Allah. Selepas itu dilakukan survey, jika jumlah kelompok beriman kepada ajaran Islam kurang 25% maka masa belajar dan pendidikan akan dilanjutkan selama 13 tahun lagi. Begitulah seterusnya sehingga jumlah tersebut meningkat menjadi 75%. Barulah negara Islam dan hukum hudud dilaksanakan pada saat itu juga.

KETERBUKAAN KEPIMPINAN Kepimpinan gerakan Islam perlu mempunyai kebolehan menerima gagasangagasan bersifat kontemporari dan diadunkan dengan hikmah-hikmah dari al Quran dan hadis. Al Banna mempunyai kefahaman yang jitu dengan menapis dan menyerap nilai-nilai murni daripada gagasan atau idealis Barat. Konsep nasionalisme sebagai contoh diasimilasikan dengan konsep nasionalisme ummatik dan nasionalisme keagungan [Siddiq Fadzil]. Kebolehan menganalisis gagasan ini membolehkan para pimpinan gerakan Islam terus mara menerobos tembok-tembok intelektual yang cukup mencabar pada masa kini. Tembok-tembok intelektual yang bersifat humanisme dan promaterial telah melingkari masyarakat massa merupakan satu cabaran hebat bagi pemimpin Islam untuk meruntuhnya dengan aspirasi Islam. Pendekatan kepimpinan mestilah menyediakan alternatif Islam bukannya bersifat destruktif. Dengan itu Islam akan dianggap sesuai sepanjang zaman.

KESIMPULAN Kegagalan kepimpinan Ikhwanul Muslimin merupakan satu pengajaran kepada gerakan Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Kegagalan ini bukanlah kelemahan hakiki bagi gerakan Islam tetapi berorientasi proses pendewasaan bagi gerakan Islam dan Ikhwanul Muslimin sendiri. Bagi gerakan Islam di Malaysia, sejarah perjuangan Ikhwanul Muslimin harus diamat-amati dan dihadami dengan penuh ketelitian. Disudahi pada 1.11.04

Referensi Siddiq Fadzil, Hasan al Banna: Kepeloporannya Dalam Gerakan Reformasi, YIT, 2000. Mohammad Redzuan Othman, Mengapa Ikhwan Gagal?, Majalah Tamadun Mac 1999[Islamika IV, 1991]. Zainab al Ghazali al Jabili, Perjuangan Wanita Ikhwanul Muslimin, Gema Insani, 1987.

Yusof Qaradhawi, 70 Tahun al Ikhwan al Muslimin, Pustaka al Kautsar, 1999.

Kepimpinan Iskandar Zulkarnain: Satu Suri Tauladan Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias

Baru-baru ini kita telah dimomokkan dengan sebuah filem yang berjudul Alexander. Semasa menonton filem ini kita jangan terkeliru antara kisah Iskandar Zulkarnain yang dijelaskan dalam al Quran dengan Alexander The Great dalam kisah lagenda Barat. Iskandar Zulkarnain bukanlah Alexander The Great. Perkara ini lebih jelas jika kita menonton filem ini yang akan menjelaskan betapa berbezanya akhlak Zulkarnain yang telah beriman kepada Allah SWT dengan Alexander yang bertuhankan nafsu seperti mana yang ditonjolkan oleh Alexander semasa adegan berasmara dengan Roxana. Zulkarnain yang termaktub dalam Al Quran adalah manusia yang beriman kepada Allah SWT yang mempunyai karakter kepimpinan yang baik dan berakhlak mulia. Dalam suasana moden pada hari ini, pemimpin yang baik dan berakhlak mulia sukar dicari dan sangat dirindui kepimpinannya. Justeru, adalah wajar pemimpin pada hari ini mengorak langkah untuk mencontohi dan mempelajari intipati kejayaan kepimpinan Zulkarnain. Menurut pendapat Abu Raihan al Biruni, Iskandar Zulkarnain berasal dari Humair, nama asalnya ialah Abu Bakar bin Ifriqisy. Dia berkelana bersama tenteranya ke pantai laut putih tengah melewati Tunis dan Maghribi, dia membangun kota Afrika hingga benua itupun disebut Afrika. Dia digelar dua tanduk (bukan kerana kepalanya bertanduk tetapi kerana dia berhasil mencapai dua tanduk matahari iaitu wilayah Timur dan Barat. Zulkarnain adalah raja mempunyai kekuasaan yang besar meliputi wilayah Timur dan Barat dunia. Namun, kekuasaan yang dinikmatinya tidak memjerumuskan beliau ke lembah kesombongan diri. Kuasa yang dikurnia oleh Allah diguna secara adil dan amanah oleh Zulkarnain. Firman Allah ‘sesungguhnya telah Kami berikan kekuasaan kepadanya dimuka bumi dan Kami telah berikan jalan (untuk mencapai) segala sesuatu’ [al-Kahfi: 84]. Kemudahan atau peluang yang dikurniakan oleh Allah tidak digunakan untuk kepentingan diri Zulkarnain.

Ketika beliau mendapati manusia pasrah kepadanya, beliau tidak sesekali berniat untuk menzalimi dan menindas manusia bahkan beliau menghidupkan pelita hidayah dan keadilan Islam di setiap wilayah yang direntasinya. Beliau juga tidak menggunakan peluang dan kekuatan yang ada untuk keuntungan diri seperti membolot harta rakyat dan mengenakan ufti yang tinggi padahal Allah SWT memberi pilihan kepadanya untuk melakukan kebaikan atau keburukan. Firman Allah SWT ‘Kami berkata: Hai Zulkarnain, kamu boleh menyiksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka. Berkata Zulkarnain: adapun orang yang menganiaya, maka kami kelak akan mengazabnya, kemudian dia dikembalikan kepada Tuhannya, lalu Tuhan mengazabnya dengan azab yang keras. Adapun orang yang beriman dan beramal saleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan, dan akan kami titahkan kepadanya (perintah) yang mudah dari perintah-perintah kami’ [al-Kahfi: 86-87]. Inilah ucapan seorang pemimpin yang adil, amanah dan berakhlak mulia. Pemimpin yang baik adalah pelayan bagi masyarakat yang dipimpinnya, Zulkarnain yang memiliki kekuasaan menunjukkan kelasnya sebagai pemimpin yang sejati dengan melayani dan melindungi rakyatnya, bahkan tanpa meminta pembayaran sekalipun meskipun mereka mahu membayarnya. Hal ini nampak ketika dalam pengembaraannya, Zulkarnain mendapati suatu umat yang sangat mundur sehingga mereka hampir tidak mengerti pembicaraan, bahkan mereka sendiri dalam keadaan terancam dari Ya'juj dan Ma'juj yang suka melakukan kerosakan di muka bumi. Maka Zulkarnain melibatkan semua komponen masyarakat untuk membangun tembok yang sangat kuat dibuat daripada besi dan tembaga yang dibina diantara dua gunung dengan ketinggian mencapai ke puncak gunung sehingga tertutup bagi Ya'juj dan Ma'juj untuk memasuki wilayah penduduk itu sehingga keselamatan mereka telah dipertahankan. Walaupun Zulkarnain berjaya membina tembok yang kukuh dan kuat, Zulkarnain tetap menonjolkan kekerdilan dirinya seperti yang diceritakan dalam al Quran, ‘Zulkarnain berkata: Ini adalah rahmat dari Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar’ [al-kahfi: ayat 98]. Berbeza dengan pemimpin sekarang yang mengatakan setiap pembangunan atas kekuasaan dirinya, tanpa kelulusan daripadanya pembangunan tidak akan dilaksanakan. Paling teruk rakyat mesti berterima kasih kepadanya. Kesediaan Zulkarnain membangun tembok yang kuat dari besi dan tembaga untuk melindungi masyarakat dari gangguan Ya'juj dan Ma'juj menunjukkan bahawa beliau adalah pemimpin yang sangat memberi perhatian kepada rakyat untuk memperolehi keadilan dan membebaskan diri daripada segala bentuk kezaliman. Oleh karena itu, para pemimpin dari tahap terendah hingga tahap tertinggi seharusnya berupaya untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman, bukannya bersekongkol dengan orang-orang yang melakukan kezaliman. Pemimpin yang adil akan selalu dirindui dan dingati zaman pemerintahannya. Lihatlah pemerintahan Umar Abdul Aziz hanya tiga tahun boleh mewujudkan suasana pemerintahan yang telah berjaya mendidik hati-nurani rakyat dengan nur keimanan dan ketakwaan. Walaupun rakyat hidup miskin tetapi kedamaian jiwa yang dimiliki sudah cukup memuaskan hati rakyat. Jika pemimpin mencontohi suri tauladan Zulkarnain dan Umar Abdul Aziz, nescaya tiada lagi gejala kerosakan akhlak dalam sesebuah negara.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang selalu berorientasi pada kebaikan, kebaikan bagi rakyat yang dipimpinnya. Oleh sebab itu Zulkanain mengarahkan masyarakat yang didatanginya dalam pengembaraan untuk beriman dan beramal saleh. Mereka dilibatkan dalam kerjasama yang baik ketika membangun tembok pertahanan sehingga keamanan yang menjadi perkara penting dalam membangun masyarakat dapat diwujudkan. Sebelum pemimpin mendidik rakyat ke arah kebaikan, pemimpin itu sendiri perlu mengislahkan dirinya dengan akhlak yang bertunjangkan al-Quran, hadis dan kehidupan para sahabat serta ulama muktabar. Jika tidak, rakyat sendiri akan mempersoalkan kebaikan yang dicanang oleh pemimpin tersebut. Sekarang kita menunggu jelmaan kepimpinan Iskandar Zulkarnain di kalangan umat Islam. Pemimpin yang baik akan memimpin rakyat ke arah kebaikan. Kebaikan ini perlulah menurut al Quran dan hadis. Pembinaan sesebuah tamadun yang diimpikan perlu berakar-umbikan pembangunan insani. Kehebatan sesebuah tamadun tidak berguna jika Allah SWT tidak redha kerana tamadun tersebut diselimuti budaya jahiliah yang rosak iman, akhlak dan akalnya. Bagi menjernihkan tamadun daripada budaya jahiliah, umat Islam memerlukan pemimpin berwatak seperti Zulkarnain bagi memimpin umat ke arah pemerintahan yang disuluhi nur Ilahi. MENANGANI ISU POLITIK DAN KONFLIK POLITIK KEPARTAIAN OLEH M. RIDHWAN BIN ALIAS [email protected] Lebih 5 dekad kita berpolitik dengan menggunakan sistem demokrasi melalui pilihanraya. Kini, tibalah masanya kita menilai semula keberkesanan sistem demokrasi dalam pembentukan agenda umat Melayu-Islam di negara ini. Persoalan ini timbul kerana sistem demokrasi yang kita amalkan semakin mewujudkan golongan bertentangan sehingga berlakunya pertarungan yang merobek perpaduan umat Melayu-Islam. Kehancuran perpaduan umat Melayu-Islam bermakna kehancuran proses pembentukan bangsa Malaysia. Tidak dinafikan kita mempunyai perbezaan pendapat di antara satu sama lain kerana kita mempunyai pengalaman, tahap pendidikan dan kepentingan semasa yang berbeza tetapi biarlah pertarungan ini dalam ruang lingkup yang sihat iaitu bersifat mulia-bestari, beradab dan kondusif. Pertarungan politik yang mengancam perpaduan diantara umat Melayu-Islam telah mewujudkan politik dendam akan memusnahkan kekuatan umat Melayu-Islam. Natijah daripada sikap pelampau dalam politik ini, umat Melayu-Islam sekarang bertindak dan berfikir dalam kerangka politik parti mereka. Fenomena ini sememangnya menjadi barah dikalangan pengikut bawahan. Sebagai contoh, sembahyang di masjid berlainan tempat dalam kampung yang sama dan pembahagian bantuan berdasarkan parti tertentu. Politik dendam yang menjadi pilihan umat Melayu-Islam disebabkan ketidakfahaman mereka dalam menangani isu politik dan konflik politik kepartaian sehingga memusnahkan nilai kemanusiaan dan Islami yang perlu dipelihara. Perkataan politik berasal daripada perkatan Greek iaitu polis bermaksud bandar, negara dan bijaksana. Abdul Hamid al Ghazali mendefinisikan politik sebagai keahlian memerintah dan menjalankan negara; kekuatan dan kemampuan untuk meraih tujuan politik. Dalam konteks moden, politik boleh dimaknakan sebagai suatu ilmu memerintah yang diatur dan ditadbir oleh sesebuah pertubuhan politik. Sebenarnya, umat Melayu-Islam baru sahaja mengenali politik bercorak institusional yang berkiblatkan Barat dengan penubuhan pertubuhan bercorak politik seperti Kesatuan Melayu Muda, Partai Kebangsaan Melayu

Malaya dan UMNO. Selama ini umat Melayu-Islam telah terbiasa dengan sistem politik naungan yang bergantung harap kepada kepimpinan personal. Keseluruhan pimpinan umat Melayu-Islam tertakluk kepada idea bertuankan kepada para sultan atau pembesar. Ini bermakna pengikut atau rakyat dalam struktur masyarakat Melayu-Islam dihubungkan dengan konsep hamba tuan kepada kepimpinan personal yang mempunyai daulat, karisma dan wibawa yang diabsahkan melalui tradisi atau melalui undang-undang yang diinstitusikan. Pemimpin politik juga bertindak sebagai protector (pelindung) dan patron (penaung) kepada rakyat atau pengikut. Kedatangan British telah mengubahkan budaya politik pimpinan personal Melayu kepada kepimpinan Melayu bercorak institusi melalui parti politik. Walau bagaimanapun, budaya feudal tersebut tidak diberesi secara lumat oleh British. Impaknya, muncullah ‘orang-orang’ tertentu dalam parti pemerintah yang bercakaran sesama sendiri. Hadirnya sistem demokrasi berpilihanraya di Tanah Melayu menyebabkan munculnya parti politik seperti PAS dan UMNO yang cukup berpengaruh dalam masyarakat MelayuIslam. Pertembungan kedua-dua parti Melayu-Islam ini seringkali tidak terkendali sehingga mewujudkan suasana permusuhan di kalangan pendukung kedua-dua parti. Api permusuhan ini semakin marak sehingga isu yang memerlukan kebersamaan sukar dijalinkan kesepakatan. Akibatnya umat Melayu-Islam sendiri akan menanggung kerugian dan ia akan menguntungkan pihak lain yang berkepentingan. Permusuhan ini disebabkan oleh perebutan kuasa pemerintahan sehingga kedua-dua pihak gagal melihat perbezaan diantara kepentingan politik dan kepentingan politik kepartaian. Berparti bermakna kita berpolitik tetapi berpolitik tidak bermakna kita berparti. Kita boleh melihat insan berjalur bebas seperti aktivis mahasiswa sosialis, Hishamuddin Rais yang memperjuangkan hak kemanusiaan dan keadilan berdasarkan fahaman sosialis beliau tanpa parti. Iman as syahid Hasan al Banna menyifatkan politik tanpa parti adalah politik mutlak dimana ia melihat hal ehwal dalaman umat dan luarannya tanpa mengaitkan dengan kepartaian. Oleh sebab itu, isu-isu seperti isu Anwar, isu hudud dan tahanan ISA perlu dilihat dalam konteks pemaknaan politik yang lebih luas melepasi sempadan parti politik. Isu-isu tersebut melibatkan persoalan hak asasi manusia dan Islami. Manusia atau organisasi yang bersikap non-partisan boleh berpolitik dengan makna boleh menyatakan pandangan dan isu-isu. Perjuangan politik tanpa parti berdasarkan prinsip dan isu politik bukannya politik kepartaian yang berorientasikan mengejar kekuasaan. Oleh sebab itu, pendukung politik tanpa parti boleh membuat pertimbangan rasional dan adil dalam menilai sesuatu perkara. Segala pertimbangan akan dilakukan berdasarkan nilai keadilan dan kebenaran bukannya meraih undi atau kepentingan parti politik. Ketidakfahaman tentang politik dan politik kepartaian cukup membarah dipelbagai lapisan umat Melayu-Islam. Paling memilukan apabila para pemimpin parti politik dan cerdik pandai Melayu bagaikan berpesta dengan ketidakfahaman ini bagi mengaut keuntungan perut mereka. Mereka bangga memperbodohkan rakyat dengan mengapi-apikan permusuhan dan meneruskan diskriminasi-diskriminasi agar pihak bertentangan terus memusuhi mereka. Terasa teramat malang jika kita meneropong suasana politik mahasiswa Melayu di kampus-kampus nasional yang turut terkena tempias politik dendam dan diskriminatif. Suasana permusuhan yang dilebarkan oleh budaya politik kepartaian turut menggugat suasana keintelektualan di universiti yang selama ini dianggap neutral dan berautoriti sifatnya. Kader-kader parti mula bertarung dalam pilihanraya kampus dalam suasana yang

tegang. Universiti yang dilihat sebagai taman keilmuan dan diharapkan melahirkan intelekintelek ‘insan al kamil’ telah menjadi sarang menetaskan benih-benih perpecahan ummah. Menurut Yusof al Qaradhawi dalam Fiqh Daulah, berbilang parti politik ini perlu berada dalam kerangka kesatuan akidah Islam dimana matlamat utama adalah menegakkan kekuasaan Ilahi tetapi perbezaan yang berlaku hanya pada persoalan pendekatan sahaja. Kekeliruan yang timbul apabila umat Melayu-Islam gagal memprofesionalkan perbezaan pendapat mereka dengan mengimport sistem berparti Barat tetapi bermentaliti dunia ketiga. Di Barat, mereka yang kalah dalam pilihanraya akur kehendak rakyat. Contohnya, Kerry calon presiden USA yang tewas mengucap taniah kepada Bush tetapi di Malaysia, pihak yang menang dicela dan pihak yang kalah didiskriminatif. Akibatnya berlaku perpecahan umat Melayu-Islam yang merugikan. Perpecahan umat yang merugikan ini perlulah dibanteras melalui pendidikan politik yang sihat. Pertama, tranformasi pemikiran politik perlu diregenerasi, dimana rakyat haruslah dididik bahawa parti hanyalah regalia untuk menyalurkan aspirasi politik berasaskan pertentangan polisi dan pendekatan dalam pentadbiran bukannya sebagai satu cara hidup yang berpaksikan politik dalam segala aspek kehidupan. Suasana kondusif perlu dipupuk dengan memansuhkan amalan yang bersifat diskriminatif. Keadilan dituntut dalam pembahagian bantuan subsidi, kenaikan pangkat dan pembahagian projek dibuat tanpa melihat label parti politik. Suasana kondusif dapat mengurangkan ketegangan politik dan memarginalisasikan politik dendam di kalangan ahli masyarakat. Kedua, parti politik boleh menangani isu-isu yang memerlukan kesepakatan politik. Menurut Siddiq Fadzil, antara isu yang boleh disepakati adalah isu pelajaran, budaya dan Bahasa Melayu. Syarahan perdana tentang Palestin anjuran ABIM yang menemukan Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan Tun Dr. Mahathir Mohammad haruslah diteruskan secara kerap agar perpaduan umat Melayu-Islam dapat dijalinkan. Kesepakatan yang termeterai boleh membawa parti-parti yang bertentangan ke arah politik persefahaman iaitu bersepakat dalam isu yang memerlukan kebersamaan. Parti politik Melayu-Islam perlu mengamalkan prinsip politik bermoral yang berasaskan sifat mulia-bestari agar politik dakwah dapat direalisasikan. Menurut Dr. M. Hidayat Nurwahid, mantan Presiden Parti Keadilan Sejahtera Indonesia [PKS], politik dakwah dirumuskan sebagai kebijakan yang disusun dalam upaya mengendalikan dakwah Islam. Politik boleh menjadikan alat dakwah jika pemain-pemain politik mencontohi akhlak dalam urusan politik Rasulullah SAW. Kehidupan politik Rasulullah SAW dilatari dengan kesederhanaan, keadilan, kebenaran, toleransi dan penuh dengan nilai kemanusiaan yang berakar-tunjangkan Islami haruslah ditauladani oleh pendukung parti politik. Di Indonesia, PKS melalui pemimpin utamanya seperti Abdi Sumaithi, Ketua Fraksi PKS di Majlis Permesyuaratan Rakyat dan Anton Apriyantono, Menteri Pertanian menonjolkan kesederhanaan dengan menolak peruntukan yang mewah kepada mereka oleh kerajaan. Kegagalan Parti Refah Turki dan FIS di Algeria mengambarkan persaingan politik yang sengit boleh menghancurkan niat baik sesebuah parti politik. Perebutan kuasa akan merugikan kedua-dua parti politik yang bermusuhan. Sebagai alternatif, dianjurkan power sharing [perkongsian kuasa] diantara kerajaan dengan parti oposisi. Menurut Rached al Ghannoushi, pemimpin Parti Nahdah Tunisia menyatakan pembangkang boleh bergerak dan bekerja dalam bidang masyarakat awam seperti dalam bidang pendidikan dan kebudayaan. Penyertaan pembangkang dengan kadar kecil akan mengurangkan ketegangan politik membolehkan proses pengislahan masyarakat dilakukan secara lebih berkesan. Di Malaysia, suasana ini boleh direalisasikan kerana semua parti politik umat Melayu-Islam telah

menonjolkan elemen Islami seperti Islam Hadhari, Negara Islam dan Masyarakat Madani dalam perjuangan politik mereka. Sungguh indah jika semua parti politik ini mengorak langkah dengan berpakat melaksanakan agenda umat Melayu-Islam yang dicita-citakan bersama. Umat Melayu Islam perlu berusaha menangani isu politik dan konflik politik kepartaian mereka sebaik mungkin agar agenda umat Melayu-Islam dapat dilaksanakan dalam suasana harmonis. Parti politik Melayu-Islam wajar mengislah diri dan masyarakat dengan proses political socialization [pembudayaan politik] yang sihat, bermoral dan Islami. Teringat pesan Pak Rendra, seniman Indonesia, “kita tidak boleh disatukan oleh masa lalu. Kita hanya boleh disatukan oleh masa depan”. Ini pengharapan tinggi kepada parti umat Melayu-Islam agar bersatu pada masa depan. Berpakatlah.

REINTERPRESTASI KEBANGKITAN SEMULA ISLAM DI MALAYSIA OLEH MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS2

Sejak 35 tahun dahulu, negara kita telah dimomokkan dengan suasana kebangkitan semula Islam. Fenomena kebangkitan semula Islam membawa satu transformasi masyarakat daripada persekitaran jahiliah moden berpaksi ketuanan penjajah Barat kepada persekitaran Islami berpaksikan al Quran dan hadis. Gerakan Islam seperti ABIM dan Rahmaniyyah pimpinan Muhammad Uthman Muhammadi telah mempelopori fenomena ini melalui teras intelektualisme seperti penerbitan bahan bacaan haraki dan usrah pimpinan. Di kampus-kampus nasional, budaya pemakaian tudung mulai popular. Islam mula diterima sebagai satu cara hidup dan wadah perjuangan haraki. Menurut Engku Aziz “Sekularisasi dan sebagainya sudah timbul sejak dulu lagi. Trend dakwah, trend pakai jeans atau trend ‘flower people’ orang muda ini adalah biasa. Universiti yang baik adalah universiti yang mengambarkan dan mencerminkan masyarakat luar. Dari segi moral kini bertambah baik, sekarang ramai wanita muslim bertudung labuh. Mungkin orang ‘achierer’ mempunyai motivasi kuat”.

Revolusi Islam Iran, kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO dan kebangkitan kepimpinan ulama dalam PAS telah mempercepatkan proses penularan pengaruh kebangkitan semula Islam. Kemenangan gerakan Islam Iran mengalahkan Shah Iran telah membawa idea radikalisme ke dalam gerakan Islam di Malaysia. Pengaruh ini terasimilasi di dalam kepimpinan ABIM dan PAS agar organisasi mereka mengarahkan kepada kepimpinan ulama dan tuntutan pemerintahan Islam. Dalam PAS sendiri, golongan ‘radikal’ Islam ini telah berjaya ∗ Penulis adalah siswazah lepasan Universiti Malaya dalam bidang Sejarah dan Antropologi/Sosiologi. Kini melanjutkan pelajaran di peringkat diploma lanjutan di sebuah institusi pendidikan tempatan. 2

menumpaskan kepimpinan nasionalis-Islamis pimpinan Dato Asri Muhammad. Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO dan transisi pemerintahan negara daripada Tun Hussein Onn kepada Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad membawa citra Islam dalam pemerintahan kerajaan. Walaupun fenomena kebangkitan semula Islam ini memjuzukkan kepada dua golongan iaitu pihak kerajaan dan parti oposisi, jalinannya ialah kedua-dua pihak telah bersaing hebat untuk menjuarai siapa yang lebih Islami.

Kewujudan konsep Islam Hadhari oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan satu proses kesinambungan fenomena kebangkitan semula Islam. Umat Islam cuba dihadharikan agar imej Islam kembali mencapai tahap gemilang dan terbilang. Secara umumnya, kehidupan masyarakat Malaysia telah menyerlahkan Islam sebagai gaya hidup walaupun tidak mencapai citra kesempurnaan terutamanya dalam beribadat, pemakaian, bermuamalat, pendidikan dan politik kepartaian. Tetapi persoalan yang timbul sekarang, kenapa momentum fenomena kebangkitan semula Islam begitu rapuh istiqamahnya walaupun menampakkan Taghyir Islami(perubahan ke arah Islam)?.

Pada akhir abad lepas, fenomena kebangkitan semula Islam mula dipersoalkan ekoran penularan semula gejala-gejala jahiliah moden yang bersifat antimoral. Budaya jahiliah moden muncul dengan pengulangan kembali budaya hidup tahun 1970an. Ramai anak muda sekarang mula membuka aurat dengan pemakaian baju ‘bayi’ dan menunjukkan warna ‘pink’ rambut mereka. Minat terhadap budaya hiburan mula merebak ke dalam masyarakat dengan kehadiran rancangan muzikal seperti Malaysian Idiol, Akademik Fantasia dan ‘sewaktu’ dengannya. Adakah fenomena kebangkitan semula Islam telah gagal?.

Menurut Mohamad Abu Bakar, momentum kebangkitan semula Islam sewajarnya menjadi seperti taburan hujan yang semestinya bertemu dan berpusu menjadi arus perdana dan turun dengan lebat membanjiri bumi. Pengamalan tema-tema Islam yang terpisah oleh masyarakat Islam diharap dapat dikumpulkan untuk meledak dan membanjiri persekitaran masyarakat tetapi harapan ini hanyalah angan-angan kosong. Memang semakin ramai Muslim yang banyak melakukan ibadat dan memakai pakaian bertudung tetapi pengamalan Islam mereka bersifat dualisme iaitu mengasimilasikan perkara halal dengan perkara haram. Ramai wanita bertudung tetapi memakai baju ‘bayi’ sehingga menampak lurah dubur. Rancangan Akademik Fantasia dan Malaysian Idiol pula menjadi satu medan untuk remaja berpelukan secara realiti di televisyen. Perkara seumpama ini jarang berlaku pada masa lalu bahkan penyanyi rock yang berambut panjang pun pernah digam oleh RTM.

Ghazwatul fikr(penjajahan minda) semakin membiak dalam pemikiran masyarakat negara ini ekoran berada dalam zon kemewahan dan selesa berbanding dengan saudara seIslam mereka di rantau yang lain. Budaya popular Barat mula menjadi darah daging masyarakat terutamanya para anak muda. Telinga dan pusat menjadi tindikkan subang. Budaya ini tiada nilai akhlak dan ilmu. Menurut Muhammad Naquib al Attas, kesilapan masyarakat Islam adalah kita mengejar ketertinggalan tamadun Barat yang meninggalkan masyarakat Islam padahal pengejaran terhadap tamadun Barat tanpa saringan adalah perbuatan ke arah kemunduran.

Teras kepada kehadharian fenomena kebangkitan semula Islam perlu berpaksi kepada pemupukan budaya ilmu dan akhlak Islami. Para pendakwah, peserta gerakan Islam dan pihak kerajaan perlu berusaha bersama untuk melakukan dakwah bilhal (dakwah dengan tindakan) agar kemantapan fenomena kebangkitan semula Islam dapat diregenerasikan. Antaranya, pelaksanaan undang-undang anti moral seperti etika pemakaian di sekolah, pejabat dan tempat awam akan lebih bersopan. Kerajaan juga dengan menggunakan kuasanya boleh mengurang premis hiburan, arak dan judi.

Para pendakwah dan peserta gerakan Islam tidak boleh selesa dengan berceramah dan berteori lagi tetapi perlu turun padang secara berkala ke dalam masyarakat massa. Dakwah bukan sahaja di masjid tetapi perlu diperluaskan di kawasan penularan maksiat sendiri, contoh di tempat konsert diadakan ataupun di komplek membeli belah dan pasar. Dekati remaja dengan berhikmah melalui nasihat atau risalah. Di peringkat kampus, pelajar dakwah yang selama ini dicop sebagai agen politik pihak tertentu perlu melakukan anjakan paradigma dengan berdakwah kepada masyarakat massa mahasiswa melalui lawatan bilik ke bilik. Pelajar dakwah harus mengutamakan dakwah dan tarbiyah daripada meraih sokongan politik kepartaian.

Pendakwah juga harus menjadikan Islam bersifat alternatif bukannya destruktif bagi kehidupan manusia. Selama ini secara mudah, pendakwah dan ulama mengharamkan sesuatu yang bertentangan dengan pandangan mereka padahal perkara tersebut tidak mempunyai nas dalam al Quran secara mutlak. Bukanlah tujuan kita untuk menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal tetapi biarlah solusi yang diputuskan dibincang secara syura oleh ulama dan pakar dalam bidang berkenaan. Ulama fekah dengan ulama usuluddin sendiri mempunyai pendapat yang berbeda dalam sesuatu usul agama apatah lagi dengan pakar ilmu-ilmu moden. Contoh penggunaan DNA sebagai bukti jenayah perlu diselesaikan oleh para ulama dan ahli perubatan.

Pendakwah dan ulama selalu disifatkan sebagai anti anak muda dan kaum hawa. Kesukaan anak muda dan suara kaum hawa selalu sahaja dipinggirkan.

Akibatnya anak muda dan kaum hawa mula memberontak jiwa dan bersifat antiulama. Ulama dianggap kaum tua yang suka mengongkong dan berfikiran konservatif. Ulama dan pendakwah perlu mengambil langkah bijaksana dan berhikmah dalam melayani permintaan anak muda dan kaum hawa. Kegilaan anak muda dalam hiburan sebagai contoh perlu disediakan alternatif hiburan Islam bagi mereka. Lihatlah peranan Wali Songo yang berjaya mengislamisasikan muzik dan silat yang banyak berunsur khurafat dengan nur Islam.

Dalam sejarah Melayu, pemimpin adalah role model rakyat. Islamnya Raja Melayu bermakna Islamlah seluruh rakyat di bawah naungannya. Amalan ini boleh diikuti oleh pimpinan negara pada masa ini dan amat sesuai dengan saranan ‘kepimpinan melalui tauladan’ oleh Dr. Mahathir Mohamad. Pemimpin negara seharusnya menjadi watak yang baik dalam sahsiah diri dan perlakuan semasa berinteraksi dengan rakyat. Jika pemimpin menyeru rakyat menutup aurat, biarlah dirinya atau isterinya terlebih dahulu menutup aurat. Contoh tauladan ini akan menambah keyakinan rakyat padanya sekaligus rakyat akan mengamal cara hidup secara Islami.

Kemerosotan fenomena kebangkitan semula Islam memberi cabaran kepada pendukung konsep Islam Hadhari di Malaysia. Rakyat terutamanya di kampung-kampung secara berterusan perlu difahamkan dengan konsep Islam Hadhari. Kelambatan kefahaman rakyat terhadap konsep ini merugikan kerajaan kerana faham ‘baru’ ini akan menjadi masalah kepada usaha pengukuhan Islam sebagai teras pemerintahan negara. Kita tidak mahu kepelbagaian konsep yang sukar difahami dikalangan rakyat awam menjejaskan pelaksanaan Islam itu sendiri. Paling penting, Islam Hadhari perlu menjana umat Islam akan kembali kepada gaya hidup Islami setelah tarikan unsur-unsur jahiliah moden yang terpapar di dalam media massa menjadi semakin merebak dan memusnahkan pemikiran dan akhlak umat Islam.

Kebangkitan semula Islam di Malaysia adalah sebahagian daripada proses perjalanan menuju ke destinasi yang mempunyai persekitaran Islami secara hakiki. Dalam perjalanan ini, suntikan regenerasi perlu sentiasa dilakukan agar kebangkitan semula Islam berada dalam landasan yang betul iaitu mengikuti kefahaman yang sahih dan syumul berdasarkan al Quran dan hadis. Kebersamaan tema-tema Islam yang terpisah untuk bersatu dan beristiqamah bagi menjayakan gelombang kebangkitan semula Islam adalah jaminan kejayaannya. Tanpa kesatuan akidah Islam, usaha ini akan terjerumus ke arah kemerosotan umat Islam.

Related Documents