Pidato.ppt

  • Uploaded by: faezah
  • 0
  • 0
  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pidato.ppt as PDF for free.

More details

  • Words: 981
  • Pages: 12
Bismilahhiramannirahim… Datang bahtera dari Medan , Singgah sebentar di laluan Kerai, Salam satu Malaysia saya hulurkan , Kepada warga dewan pembuka tirai. Assalamualaikum W.B.H Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis serta hadirin dan hadirat yang saya hormati. Dari dulu hingga sekarang , Isu bertambah tidak berkurang . Bahasa Melayu masih berperang , Dengan perosak bahasa yang sungguh temberang.

Hadirin dan hadirat yang dihormati, Kamal Shukri dalam bukunya “Bahasa Melayu: Apa sudah jadi?” mengingatkan kita semula dengan perlembagaan Malaysia tentang bahasa Melayu di mana dalam perlembagaan tersebut telah dinyatakan “Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntuk-kan dengan undang-undang oleh Parlimen ...”. Namun begitu, isu-isu bahasa Melayu masih bertebaran dan menjadi muka hadapan surat khabar hingga kini. Sungguh menyedihkan. Cogan kata ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ tidak dihayati dan masih ramai yang tidak menyedari akan peri pentingnya bahasa Melayu dalam kehidupan masyarakat di negara kita.

Saya yakin ramai rakyat Malaysia menyedari kepentingan bahasa Melayu, walau bagaimanapun, terdapat segelintir daripada kalangan kita masih ingin menjatuhkan martabat bahasa Melayu. Oleh itu, izinkan saya untuk membentangkan wacana ilimiah kita pada hari ini yang bertajuk Isu-isu “Bahasa Melayu dan langkah-langkah membendungnya.” Hadirin yang dirahmati, Tanpa membuang masa, marilah kita teliti isu pertama yang akan saya utarakan. Isunya adalah kesalahan bahasa dalam laman blog. Pada era globalisasi ini, laman web seperti blog sangat popular kerana penggunaannya yang mudah.

• Namun demikian, penulis-penulis blog akan menulis entri mereka menggunakan bahasa yang kurang tepat dan ini mengakibatkan bahasa melayu menjadi rosak. Siti Norsyahida, Nor Azuwan dan Che Ibrahim daripada Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia, Selangor telah menghasilkan satu jurnal yang bertajuk “Penggunaan Bahasa Dalam Laman Blog Dari Aspek Morfologi”.Mereka telah mengenalpasti beberapa kesalahan yang kerap dilakukan oleh penulis-penulis blog. Antaranya, penggunaan perkataan ‘bila’. ‘Bila’ adalah kata tanya dan hanya patut digunakan untuk mengajukan persoalan. Contoh ayat yang menyalahgunakan perkataan tersebut adalah “salah bila ada gunakan ‘saya sedang berdiet’”. Ayat yang seharusnya adalah “salah sekiranya ada gunakan ‘saya sedang berdiet’”.

Dapat kita lihat di sini rakyat kita sendiri kurang menitikberatkan aspek tatabahasa. Perkara ini nampak sangat remeh namun, sekiranya isu ini tidak dibendung, kesalahan bahasa yang lebih besar akan berlaku dan akhirnya bahasa menjadi rosak. Namun begitu, setiap permasalahan akan ada penyelesaiannya. Cadangan saya untuk membendung isu ini adalah, gunakan medium yang sama iaitu blog untuk mengajar masyarakat kita tentang peraturan dan syarat-syarat yang ada dalam bahasa Melayu. Cara ini sedikit sebanyak akan membantu masyarakat kita untuk menyedari kesalahan mereka dan tidak mengulanginya.

Hadirin yang dihormati, Isu kedua bahasa Melayu adalah, penggunaan bahasa pasar yang semakin berleluasa di kalangan masyarakat kita. Definisi bahasa pasar adalah, bahasa lain yang dicampuradukkan dengan bahasa Melayu. Sebagai contoh, “I tak suka you pergi sightseeing dengan dia”. Ayat tersebut telah dicampur dengan bahasa Inggeris padahal bahasa Melayu boleh digunakan bagi menggantikan perkataan bahasa Inggeris itu. Bahasa pasar atau bahasa rojak sering digunakan dalam penulisan novel. Alasan yang diberi sangat mudah iaitu untuk menarik perhatian pembaca.

• Namun, mereka tidak melihat kesan yang akan muncul sekiranya perkara ini dibiarkan begitu sahaja. Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI), Dr Naffi Mat, memberi pendapat, "Sekiranya, pengarang merojakkan bahasa secara tidak langsung pengarang melatih, mengajak dan bersekongkol untuk meracun fikiran pembaca dengan bahasa rojak, selain bersubahat melahirkan penutur bahasa rojak,". Saya amat bersetuju dengan Dr Naffi kerana perkara yang menjadi kebiasaan akan menjadi budaya dan akhirnya menjadi semakin sukar untuk dibaiki. Oleh itu, dalam hal ini, pihak penerbitan novel perlulah memainkan peranan.

Letakkan peraturan seperti menghadkan penggunaan bahasa rojak atau penulis mestilah mengikut peraturan sedia ada bahasa Melayu bagi memastikan tidak ada budaya menggunakan bahasa rojak di kalangan masyarakat kita. Sekiranya ada yang merungut dan mengatakan novel akan menjadi tidak menarik, novel karya Ahadiat Akashah atau Syarifah Abu Salem yang menjaga penggunaan nilai bahasa dan tatabahasa tetapi masih laris dan mempunyai ribuan peminat menjadi contoh.

Hadirin yang dikasihi, Setersusnya, isu ketiga yang akan saya kongsikan adalah penggunaan bahasa Melayu yang masih lagi asing di mahkamah. Tahukah anda? para hakim dan peguam hanya disyaratkan mendapat sekurang-kurangnya kepujian di dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum boleh diterima masuk sebagai peguam ataupun menyertai sektor perundangan dan kehakiman. Hanya kepujian dan mereka sudah boleh menjadi hakim di negara kita. Walhal, bahasa kebangsaan negara ini adalah bahasa Melayu dan sepatutnya semua urusan mahkamah berlangsung dalam bahasa Melayu. Tambahan pula, naskhah sahih undang-undang telah banyak diterjemah kepada bahasa Melayu.

Kejanggalan bahasa Melayu di mahkamah ini telah ditegur oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Beliau berkata “penggunaan bahasa di mahkamah tidak sempurna kerana bercampur antara bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris umpama sekerat ular, sekerat belut.”. Tidak dapat saya nafikan pernyataan tersebut kerana mencontohi negaranegara lain seperti Jerman, Thailand dan Cina, mereka menggunakan bahasa kebangsaan mereka sendiri. Malaysia yang ingin bersaing dengan negara-negara ini sepatutnya menjadikan perkara tersebut sebagai satu cabaran yang perlu diatasi. Jelaslah di sini, mahkamah di negara kita Malaysia perlu menambahbaik lagi sistemnya. Tinggikan martabat bahasa Melayu kerana bak kata Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di dunia”.

Di sini saya ingin mencadangkan, sebagai langkah permulaan, para hakim dan peguam perlulah mendapat sekurang-kurangnya cemerlang di dalam bahasa Melayu. Kemudian, bahasa Melayu perlulah terus menerus digunakan di dalam mahkamah, tidak kira sebelum, semasa dan selepas perbicaraan berlangsung. Hadirin yang dirahmati, Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan bahasa kebangsaan akan merosakkan perpaduan yang kita kecapi selama ini.

Tidak keterlaluan saya katakan bahawa insan inilah anasir yang menodai kebahagiaan kita di bawah berkat Satu Malaysia. Tangggungjawab membendung isu-isu yang saya bentangkan sebentar tadi sepatutnya menjadi tanggungjawab kita bersama. Kerjasama antara kita akan merealisasikan impian memartabatkan bahasa Melayu. Oleh itu, sayangilah bahasa Melayu kita, hormatilah bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu tonggak perpaduan bangsa. Kalau ada sumur di ladang , Boleh saya menumpang mandi, Kalau ada umur yang panjang , Moga kita berjumpa lagi. Sekian, terima kasih.

More Documents from "faezah"

Name List Cohort 5.docx
November 2019 22
Pidato.ppt
November 2019 11
Appendix 1.docx
November 2019 11
Bahasa Arab Kssr 2 Is.xlsx
November 2019 14