Pidato Bahasa Melayu.docx

  • Uploaded by: Mohd Aidil Shahwal
  • 0
  • 0
  • December 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pidato Bahasa Melayu.docx as PDF for free.

More details

  • Words: 2,612
  • Pages: 9
“WARISAN NEGARA IDENTITI KITA” Teringat ketika tangan ini menyelak sebuah buku atlas di perpustakaan, mengamati betapa kerdilnya Malaysia yang terpelosok di tenggara dunia. Namun, jangan disangka cili tidak berapi, kini Malaysia sudah menjadi sebuah negara yang gah di seantero dunia hanya kerana warisan dan pusaka yang ditinggalkan. Bak kata orang tua-tua “ berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”. Fikir-fikirkan... Bermulanya bunyi menjadi aksara, daripada aksara terbentuklah kata, kata membuka bicara, menguak makna sebagai lambang yang merakam citra, terbinalah ilmu yang diikat oleh akal budi dan bicara, melalui bicara bahasa, kata- kata, tinta dan pena membina tamadun bersama. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, Jutaan apresiasi kepada pimpinan majlis, saf hakim yang sentiasa cakna dengan keadilan dan berintegriti, saudara penjaga masa yang semestinya menjunjung prinsip Al-Asr, barisan warga pendidik budiman, seterusnya generasi pendukung wacana wawasan negara. Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam perdana lakaran 1 Malaysia. “ Warisan Negara Identiti Kita” , begitulah murninya mauduk pidato yang akan saya hidangkan kepada hadirin untuk menjadi santapan minda di pagi yang gemilang ini. Sebelum, menjelmakan butir-butir bicara bermadah, mohon diizinkan untuk melakukan pendefinisian terhadap mauduk pidato saya daripada aspek hurufiah mahupun secara generalisasi. Warisan merujuk Kamus Dewan Edisi Ke-4 merupakan harta peninggalan ataupun pusaka yang ditinggalkan kepada pewaris. Sementara itu, Identiti pula merupakan sifat-sifat yang terdapat pada seseorang yang dapat mengasingkan dirinya dengan orang lain. Oleh itu, secara holistiknya, Malaysia di Pentas Dunia membawa konotasi yang mendalam iaitu, keadaan Negara yang kita cintai ini semakin dipandang tinggi oleh masyarakat dunia lantaran keberjayaan Malaysia dalam menjaga warisan dan pusaka yang menjadi identiti rakyat sejagat. Bersaksikan warga dewan yang penuh bervisi, Indikator saya yang pertama di bawah lembayung kata, “Seni Warisan Seiring Kemajuan Zaman” . Pada era globalisasi yang kompetitif ini, kita sering mengejar pembangunan fizikal dan material, masyarakat Malaysia kita makin alpa terhadap kepentingan menjaga seni warisan dan budaya bangsa kita. Lakaran kemurnian seni warisan yang diwarisi sejak turun - temurun dan budaya bangsa amalan kita semua merupakan akar tunjang kepada kehidupan yang sebenar. Justeru, kita wajar menyuburkan kembali penghayatan masyarakat terhadap seni warisan dan budaya bangsa, sekaligus mempertahankan nilai- nilai murni yang disanjung sejak zaman nenek moyang kita. Walaubagaimanapun, bagi mengekalkan warisan ini, terdapat pelbagai rintangan dan halangan yang perlu diharungi dengan kesungguhan yang tinggi. Bak kata pusaka, “ nak seribu daya, tak nak seribu dalih “ Sidang hadirin warga dewan budiman, “Budaya bangsa pencetus keamanan negara” menjadi indikator saya yang kedua. Konsep gagasan terhebat Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak iaitu “Rakyat

Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” telah pun berjaya memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum kerana konsep ini berteraskan nilai-nilai murni yang menjadi amalan rakyat Malaysia. Jika dahulu timbulnya cakap-cakap belakang, “Melayu itu kaya, Cina itu hina, India pula teraniaya” , tetapi kini perbezaan mentaliti berdasarkan etnik nyata dihapuskan sama sekali. Dalam erti kata lain, budaya bangsa yang diterapkan dalam konsep 1Malaysia menuntut rakyat Malaysia agar samasama berganding bahu menggembleng tenaga dalam membantu memastikan aspirasi negara iaitu wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat. Inilah yang kita inginkan, satu budaya bangsa dan masyarakat yang berpadu. Sidang hadirin yang santun budi, Indikator saya yang ketiga di bawah kata kunci “seni warisan meninggkatkan kualiti insani”. Hakikat dan lumrah kehidupan yang dapat kita saksikan di negara kita pada hari ini,anak-anak muda kita umpama tidak mengenali salahsilahnya. Tanpa kita sedar, pemikiran mereka sedang dijajah oleh barat walaupun sudah lama kita merdeka. Sejarah kesenian tidak mahu lagi mereka cari atau dalami kerana dalam benakfikiran mereka itu semua kolot dan ketinggalan zaman, kalau tidak masajan potret Monalisa yang pada awalnya hanya berharga beberapa pound kini telah mencecah hampir 1billion pound. Boleh kita lihat perbezaan antara anak-anak kita yang mengamalkan budaya warisan dan mereka mengamalkan budaya- budaya barat yang ternyata biadap. Itukah yang kita panggil sebagai kemajuan insaniah. Terbuktilah budaya warisan kita jauh lebih baik kerana mengamalkan nilai-nilai murni dan adab sopan.

Sidang saksi yang bervisi, “Seni warisan dan budaya harus dilindungi” menjadi indikator saya yang keempat .Kekayaan seni dan budaya bangsa harus dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman kerana ia melambangkan identiti sesuatu bangsa, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang. “Program merakyatkan seni dan budaya harus dilakukan sebagai satu usaha murni yang dilihat boleh mendekatkan kegiatan seni dan budaya kepada masyarakat di Negara kita. Secara tidak langsung usaha ini dapat mendedah dan mempopularkan khazanah ini agar terus mendapat tempat di hati mereka terutama para remaja. Bak kata perpatah, “biar mati anak, jangan mati adat”. Justeru itu, katanya anak-anak muda perlu dididik supaya mengenali seni dan budaya bangsa mereka malahan jika perlu dididik mengenaibudaya kaum yang lain di negara kita. Kita tidak perlu berasa malu dan curiga untuk mempertahan keunikan dan kelebihan seni budaya bangsa sendiri meskipun kita mahu pergi jauh dalam bidang ekonomi, sosial dan material. Sidang pendengar yang setia Sebelum saya menoktahkan kata-kata sakti ini, kita perlu sedar, pembudayaan warisan dan pusaka negara semakin pudar dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini akan menyebabkan rakyat melupakan warisan bagai “kacang melupakan kulitnya” .Beringatlah, jangan pisang berbuah dua kali, apabila kita sentiasa mengejar budaya kuning barat, menjadikan kita melupakan budaya sendiri seperti dahulukala . Tanamkan tekad di dalam hati, bulatkan azam penuh bermisi, kekalkan semula warisan Negara Malaysia, biar Negara tersohor di mata dunia.

Kebersihan Alam Sekitar Warisan Negara. Bumi yang tiada rimba Seumpama hamba Dia dicemar manusia Yang jahil ketawa Bumi yang tiada udara Bagai tiada nyawa Pasti hilang suatu hari Tanpa disedari Bumi tanpa lautan Akan kehausan Pasti lambat laun hilang Duniaku yang malang Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang arif lagi bijaksana barisan hakim yang berpaksikan keadilan, semestinya, saudara penjaga masa Yang setia dengan randiknya, seterusnya rakan seperjuangan yang saya segani serta hormati sekalian. Assalamualaikum dan salam pertemuan. Berdirinya saya di sini, bukanlah untuk membuang masa hadirin, bukan pula membuat tarian salsa ataupun tarian poco-poco, akan tetapi menyampaikan pidato saya iaitu, Kebersihan Alam Sekitar Warisan Negara. Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara, jika kita lihat tajuk pidato ini, ianya merupakan satu tajuk yang meluas dan banyak aspek boleh dibincangkan . Tetapi jika kita renung dan teliti dengan sedalam-dalamnya maka kita dapati satu perkara yang perlu diambil kira adalah pada perkataan Alam Sekitar Warisan Negara. Sidang pendengar yang penuh santun, Bumi Malaysia, diketahui sebagai gedung khazanah alam yang unik dan bernilai. Namun, akibat sikap tamak manusia yang menjalankan aktiviti penebangan hutan yang tidak terkawal dilihat sebagai satu perbuatan yang mencemari keadaan dan kebersihan semulajadi kawasan tersebut. Golongan ini tidak pernah memikirkan nilai-nilai yang tersimpan bersama alam ini, perlahanlahan, sedikit demi sedikit segala khazanah alam ini hilang akibat industri yang dijalankan atas nama pembangunan. Sebagai contoh, Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum antara menjadi sasaran untuk pembinaan kuari batu kapur. Sedangkan, ia antara warisan negara yang memiliki pelbagai kehidupan flora dan fauna yang menyimpan artifak-artifak arkeologi era Neolitik. Bahkan jua, aktiviti kuari batu kapur ini mengakibatkan pencemaran kepada kebersihan udara di Negara kita yang akan menjejaskan kesihatan masyarakat dan mengganggu keadaan iklim serta cuaca di Malaysia. Sidang pendengar yang dihormati, Jika dikaji antara flora dan fauna tidak boleh dipisahkan, bagaikan isi dengan kuku, bagai irama dengan lagu. Oleh itu, hutan ditebang, hutan dimusnahkan, hutan diterokai akan mencemari kebersihan habitat hidupan, lantas pastilah haiwan-haiwan akan terjejas dan pupus. Tidak hairanlah hadirin sekalian, jika satu hari, monyet-monyet, harimau-harimau mahupun gajahgajah ingin berumah bersama kita. Bahkan jangan terkejut sekiranya cucu cicit kita mengatakan beruang panda itu, pokok yang tumbuh melilit di tepi pagar.

Sidang pendengar yang setia, Terdapat pula, segelintir individu bersikap tidak bertanggungjawab dengan melakukan perbuatan pencemaran seperti membuang sampah dan sisa toksik secara terbuka dan tidak terkawal. Tindakan buruk ini adalah cara mudah bagi mereka melepas tangan tentang tanggungjawab semata-mata bagi mengaut keuntungan dan memudahkan kerja. Tidak pula difikirkan soal keburukan dan kerugian kepada masyarakat dan sumber alam itu sendiri. Kesannya, tercemarlah, kotorlah, hilanglah identiti keunikan sungai-sungai seperti di Sungai Rejang dan di Sungai Klang. Maka hilang lagi warisan negara yang sepatutnya menjadi tatapan di mata dunia dan generasi yang akan datang. Sidang saksi yang bermisi, Banyak kesan buruk dapat dilihat dan dialami oleh seluruh masyarakat dunia akibat masalah kebersihan alam sekitar. Oleh itu, hadirin, bukalah mata dan minda sama-sama kita memulakan anjakan paradigma dan menanam sikap mencintai alam sekitar untuk warisan sepanjang zaman. Ingat, alam gemilang, hidup pasti cemerlang. Jadi, anda bayangkan andainya alam boleh berkata-kata mungkin inilah luahan rasa sebatang pokok meranti ataupun rintihan seekor semut api merah. Konklusinya, manusia yang mengancam manusia sendirilah turut terancam. Tepuk dada tanyalah minda, tepuk dahi fikirlah sendiri. Kebersihan Alam Sekitar Warisan Negara, Wabillahitaufik wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarkatuh. Pemidato bestari, mohon permisi!

KEPENTINGAN KEBERSIHAN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. “ Kepentingan Kebersihan dalam kehidupan seharian” , begitulah murninya mauduk pidato yang akan saya hidangkan kepada hadirin untuk menjadi santapan minda di pagi yang gemilang ini. Para haidirin sekalian, Kebersihan bermaksud terhindar daripada sebarang kekotoran sama ada kekotoran yang nampak seperti najis-najis dan juga kekotoran dalaman seperti perbuatan serta sikap negatif termasuk sombong, bongkak, iri hati dan sebagainya. Antara kepentingan kebersihan dalam kehidupan seharian ialah menjaga kebersihan fizikal termasuk kebersihan diri. Contohnya kebersihan kuku, rambut, pakaian dan sebagainya. Seseorang yang selalu tampil bersih pasti akan disenangi oleh rakan dan taulan. Orang yang mementingkan kebersihan akan tehindar daripada sebarang penyakit seperti wabak H1N1, denggi, chikukunya dan lain-lain. Selain kebersihan fizikal, kebersihan hati, minda dan rohani juga memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Contohnya seorang pelajar yang rajin, tekun, sering menunaikan perintah Allah, sentiasa bersedia belajar di dalam kelas serta menghormati ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan pasti akan mencapai kejayaan cemerlang dalam kehidupannya. Kesimpulannya, kebersihan itu amat penting dalam kehidupan seharian kerana kebersihan merupakan cabang iman. Oleh itu marilah kita sama-sama menjaga kebersihan kerana kebersihan lambing ketamadunan seseorang.

KESELAMATAN JALAN RAYA TANGGUNGJAWAB BERSAMA Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang arif lagi bijaksana barisan hakim yang berpaksikan keadilan, semestinya, saudara penjaga masa Yang setia dengan randiknya, seterusnya rakan seperjuangan yang saya segani serta hormati sekalian. Assalamualaikum dan salam pertemuan. Berdirinya saya di sini, bukanlah untuk membuang masa hadirin, bukan pula membuat tarian salsa ataupun tarian poco-poco, akan tetapi menyampaikan pidato saya iaitu, keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama. Sidang pendengar yang setia, Negara kita Malaysia mempunyai sistem perhubungan jalan raya yang sangat baik.Namun, kadar kemalangan jalan raya di negara kita tidak setanding dengan kemudahan infastruktur yang ada di negara kita. Mengapa ini terjadi?? Persoalannya bagaimana kita sebagai pengguna jalan raya bertanggungjawab untuk memastikan jalan raya selamat digunakan?? Sebagai seorang pengguna, kita seharusnya sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Antaranya memandu mengikut had laju yang ditetapkan, memakai tali pinggang keledar, mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong yang betul dan banyak lagi. Jika semua pengguna mematuhi pertauran yang ditetapkan, maka keselamatan di jalan raya sudah pasti dapat ditingkatkan. Selain itu, para penggun jalan raya patut mengamalkan sikap bertolak-ansur, saling menghormati antara satu sama lain dan berhemah ketika memandu. Sikap ini akan sentiasa diaplikasikan pengguna ketika di jalan raya, pasti tahap keselamatan dapat dipelihara malahan nyawa dapat diselamatkan. Kesimpulannya, keselamatan di jalan raya adalah menjadi tanggungjawab bersama baik pejalan kaki, penunggang basikal mahupun pemandu kenderaan. Keselamatan semua pengguna bergantung kepada keperihatian dan komitmen tinggi para pengguna. Oleh itu, ‘berhati-hati di jalan raya, nyawa pengguna di tangan kita’.Sekian, terima kasih.

FAEDAH MENABUNG Bismillahirahmannirrahim Lazat sungguh rasa tomato Di makan bersama buah kuini Kalua tidak kerana pidato Tak akan berada di sini Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera Yang mulia tuan peneraju majlis, barisan para hakim yag sentiasa berada di paksi kebenaran, penjaga masa yang begitu peka dengan edaran jam, para guru dan seterusnya hadirin hadirat sekalian. Tampilnya saya di sini adalah untuk menyampaikan pidatto yang bertajuk faedahh menabung. Berapa ramai di antara kita yang suka menabung? Kenapa menabung penting kepada setiap orang? Orang-orang tua ada menyatakan, ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’. Maksudnya jika hari ini kita berjimat – cermat, hasilnya kita akan memperoleh kesenangan di hari kemudian. Menabung sangat penting. Melalui wang tabungan, kita dapat membeli barangan yang diperlukan tanpa mengharapkan pemberian orang lain terutama ibu bapa. Wang yang disimpan dapat digunakan ketika kita berada di dalam kesempitan selain membantu ibu bapa terutama untuk membeli keperluan persekolahan. Hadirin yang bijaksana, Menabung juga mengajar kita berjimat-cermat ketika berbelanja. Wang yang disimpan secara berterusan boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana kos untuk menyambung pelajaran adalah tinggi. Ini membolehkan kita membantu ibu bapa daripada terlibat dengan pinjaman pelajaran dan seterusnya menanggung hutang yang sudah pasti membebankan. Kesimpulannya, amalan menabung memberi impak yang positif kepada kita. Oleh itu marilah kita mula menyimpan dan menabung agar dapat membantu kita di masa hadapan bak kata orang ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.’ Sekian, terima kasih.

KEPENTINGAN MAKANAN SEIMBANG Salam mesra pembuka kata, Bagi memulakan pidato saya, Salam sejahtera madah bermula, Kepada hadirin pendengar bicara. Terima kasih Tuan Pengerusi majlis, barisan panel hakim yang tetap berdiri di atas neraca keadilan, guru-guru, rakan-rakan seperjuangan dan para hadirin yang dihormati sekalian. Berdirinya saya di pentas yang serba indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk “kepentingan makanan seimbang”. Para pendengar yang budiman, Tahukah anda apa yang dikatakan makanan seimbang? Bagaimana untuk mendapatkan makanan seimbang? Dan apakah kepentingan makanan seimbang?Makanan seimbang adalah makanan yang mengandungi semua jenis zat makanan yang diperlukan oleh tubuh badan seperti karbohidrat, mineral, protein, zat besi dan juga vitamin. Makanan seimbang amat penting untuk semua orang. Kegagalan individu mengambil makanan seimbang akan mengundang kepada pelbagai gejala penyakit, menyebabkan pertumbuhan individu terbantut malahan turut menyebabkan organ badan gagalberfungsi dengan baik. Siding hadirin yang dimuliakan, Makanan seimbang penting terutama kepada para pelajar. Pengambilan makanan berkarbohidrat pada sebelah pagi akan menyebabkan seseorang pelajar mengantuk ketika di dalam kelas, pergerakan menjadi tidak cergas malahan daya ingatan kurang tajam. Malahan makanan seimbang penting untuk mengekalkan daya konsentrasi pelajar di dalam kelas. Secara keseluruhannya, makanan seimbang amat penting buat semua orang. Tanpa pemakanan yang seimbang, individu mengundang dirinya ke kancah pelbagai wabak dan penyakit yang memudaratkan diri sendiri. Oleh itu, pastikan anda mengamalkan pemakanan secara seimbang untuk kestabilan kesihatan. Sebelum mengundur diri, saya ingin menyampaikan serangkap pantun. Yang tinggi berdiri itulah durian, Yang manis berkerengga itulah rambutan, Kenapa yang muda tak suka sayuran, Makanan seimbang jadikanlah pilihan.

KEPENTINGAN MENYERTAI KOKURIKULUM Andai patah sayap kenari, Terbang jua saya ke mari, Kalau bukan kerana pidato ini, Takkan saya berada di sini. Terima kasih saudara/saudari peneraju acara, kombinasi kehakiman yang berwibawa, dif-dif jemputan yang mulia, tidak dilupakan warga dewan yang berbahagia. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sebelum kaki mengorak langkah dengan lebih jauh dan adat kelaziman bicara, elok sekiranya kita sama sama memahami intipati tajuk pidato ini. Kokurikulum membentuk insan cemerlang secara konseptual membawa maksud aktiviti luar bilik darjah yang meliputi aktiviti kelab, sukan dan unit berunifom berperanan penting dalam melahirkan individu yang cemerlang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hadirin sekalian Kegiatan kokurikulum merupakan kegiatan yang disertai oleh para pelajar di luar bilik darjah dan di luar waktu persekolahan. Antara aktiviti kokurikulum adalah aktiviti dalam sukan dan permainan, kelab dan persatuan serta menyertai kegiatan unit beruniform. Kegiatan kokurikulum sangat penting kepada para pelajar. Antara manafaatnya adalah kegiatan kokurikulum dapat menanam nilai-nilai murni dalam diri pelajar termasuk saling bekerjasama, melahirkan rasa 1 Malaysia terutama bagi kegiatan berbilang kaum, belajar berdikari malahan memupuk keberanian melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan. Selain itu, para pelajar juga akan sentiasa berwawasan tinggi, berdaya saing malahan cergas dan cerdas sepanjang masa. Warga dewan sekalian, Di samping itu, melalui kegiatan kokurikulum para pelajar dapat memanafaatkan masa senggangnya dengan melakukan kegiatan berfaedah termasuk bermain, berkhemah, berekspedisi, berkayak dan lain-lain. Ini membantu mereka daripada terjebak dalam kegiatan tidak bermoral dan bercampur dengan individu yang rendah akhlak. Kesimpulannya, kegiatan kokurikulum merupakan kegiatan yang sangat baik terutama kepada para pelajar yang sentiasa berwawasan dan bercita-cita tinggi. Bak kata orang; kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kalau tidak sertai kokurikulum, manakan tahu nilai faedahnya! Sekian, terima kasih.

Related Documents


More Documents from "RayKhan"