Perkaitan Antara Tumbuhan Dan Adat An Masyarakat Melayu

  • Uploaded by: johari
  • 0
  • 0
  • April 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Perkaitan Antara Tumbuhan Dan Adat An Masyarakat Melayu as PDF for free.

More details

  • Words: 2,117
  • Pages: 6
PERKAITAN ANTARA TUMBUHAN DAN ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU 1.0

PENGENALAN

Di kalangan orang Melayu, perkahwinan merupakan satu perkara yang amat penting dalam kehidupan mereka. Perkahwinan di dalam masyarakat Melayu sama ada di bandar mahupun di kampung-kampung adalah satu peristiwa yang mesti dilakukan mengikut adat istiadat tertentu. Pada dasarnya, perkahwinan merupakan satu proses hidup yang mesti dilalui oleh semua orang, baik lelaki mahupun perempuan tanpa mengira darjat atau taraf. Dalam adat istiadat perkahwinan, upacara-upacara yang dilakukan juga mempunyai kaitan yang rapat dengan tumbuh-tumbuhan di mana tumbuh-tumbuhan tertentu turut digunakan di dalam upacara-upacara tertentu. Antara upacara-upacara yang melibatkan penggunaan tumbuhan ialah adat mandi bunga, meminang atau bertunang, berinai, berandam, dan sebagainya. Lazimnya, tumbuh-tumbuhan yang kerap digunakan ialah daun sirih, buah pinang, pelbagai jenis bunga-bungaan, daun pandan dan lain-lain lagi. Penggunaan tumbuh-tumbuhan ini sebenarnya mempunyai maksud yang tersendiri dan tujuan-tujuan tertentu. Untuk melihat kepentingan dan perkaitan antara tumbuhan dan adat istiadat perkahwinan, tajuk-tajuk seterusnya akan membincangkan dengan lebih lanjut lagi. 2.0

PERKAITAN ANTARA TUMBUHAN DAN ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU

2.1

ADAT MANDI BUNGA

Adat mandi bunga ini dilakukan oleh si gadis yang hendak mencari jodoh. Upacara ini akan dijalankan oleh seorang bomoh dan sebelum berlangsungnya upacara ini, Tok Bomoh akan meminta gadis tersebut menyediakan bahan-bahan yang akan dicampurkan di dalam air untuk disiram ke atas tubuh gadis tadi. Lazimnya, bahan-bahan tadi kebanyakannya adalah berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti pelbagai jenis bungabungaan yang berbau wangi, daun kelapa, daun sirih, buah pinang, buah limau purut dan akar sintok di samping bahan-bahan lain seperti ibu lilin, segulung benang mentah, kapur, bedak sejuk dan lain-lain lagi. Upacara ini akan dimulakan oleh Tok Bomoh dengan menganyam empat helai daun kelapa menjadi satu bentuk, mencairkan ibu lilin dan meletakkan benang mentah sebagai sumbunya. Kemudian Tok Bomoh akan mencampurkan empat biji limau purut yang telah dipotong dua, beberapa helai daun limau purut, tujuh jenis bunga, akar sintok, empat helai daun sirih yang dipalit sedikit kapur dan sedikit pinang masak. Kesemua bahanbahan tersebut akan diramas-ramas dan dimasukkan di dalam sebuah bekas khas yang berisi air. Tok Bomoh akan menjampi bahan-bahan tersebut sambil menabur beras kunyit di sekeliling gadis tersebut. Setelah selesai menjampi , Tok Bomoh akan memandikan gadis tersebut dengan air campuran bahan-bahan tadi. Tujuan melakukan mandi bunga yang menggunakan

tumbuh-tumbuhan sebagai bahan utama adalah untuk menolak bala atau membuang sial. Ini kerana sial yang ada di dalam tubuh si gadis dipercayai menjadi penyebab gadis tersebut sukar untuk mendapat jodoh. 2.2

ADAT PERTUNANGAN

Istiadat bermula dengan menghantar wakil dari pihak lelaki ke rumah gadis yang hendak dipinang. Istiadat ini dinamakan sebagai merisik dan melamar. Tujuan diadakan merisik ini adalah untuk mengetahui sama ada gadis tersebut telah berpunya atau belum. Selesai sahaja risik-merisik dan setelah pihak perempuan menerima lamaran tersebut, istiadat pertunangan akan menyusul pada satu tarikh yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Apabila waktu pertunangan telah tiba, pihak lelaki akan membawa sebentuk cincin dan barang-barang lain seperti barang persalinan, kuih muih dan sebagainya. Antara barang yang terpenting ialah tepak sirih. Tepak sirih ini mengandungi daun sirih sebanyak dua puluh hingga empat puluh helai, sekurang-kurangnya dua biji pinang masak yang telah dikacip, sedikit tembakau, bunga cengkih, sedikit gambir dan kapur. Di celah-celah cembul diisikan dengan bunga rampai iaitu beberapa daun pandan yang telah dihiris-hiris halus dan dicampur dengan pelbagai jenis bunga-bungaan yang berbau harum. Daun sirih yang terpilih akan diletakkan di tengah-tengah tepak sirih. Tepak sirih ini merupakan barang yang wajib dibawa oleh pihak lelaki kerana ia merupakan sirih meminang. Tepak sirih adalah satu bingkisan yang paling diutamakan dan ia sangat penting dari bingkisan-bingkisan yang lain. Ia juga berfungsi sebagai pembuka bicara kerana apabila pihak lelaki hendak memulakan perbualan yang berkisar tentang pertunangan , seorang wakil dari pihak lelaki akan menghulurkan tepak sirih ini ke tengah. Ia akan diterima oleh pihak perempuan dan ini bermakna pihak perempuan telah menerima pinangan tersebut. Selain dari tepak sirih pihak lelaki turut membawa buah-buahan seperti pisang, epal, anggur dan sebagainya yang telah dibalut dengan cantik dan dua biji kelapa muda yang dihiasi dengan jambangan-jambangan bunga yang diperbuat daripada daun kelapa. Bahagian luar buah kelapa ini akan diukir dengan cantik. Sirih junjung juga dibawa bersama. Sirih junjung ini dinamakan sebagai Sirih Junjung Pinang Berketih iaitu satu junjungan sirih dengan pinang. Daun sirih terletak pada batang empulur pisang. Bungabungaan turut diselitkan di antara daun tersebut. Setelah perbincangan selesai dan setelah cincin disarungkan di jari manis si gadis oleh wakil dari pihak lelaki, maka sahlah gadis tersebut telah menjadi tunangan orang. 2.3

ADAT MENGGANTUNG

Setelah majlis pertunangan diadakan, maka upacara seterusnya ialah hari bersanding atau hari berlangsungnya perkahwinan. Apabila hampir hari berlangsungnya perkahwinan iaitu tiga atau empat hari sebelum berlangsung, istiadat menggantung akan diadakan. Pada kebiasaannya istiadat ini hanya diadakan di rumah pengantin perempuan sahaja.

Menggantung ialah kerja membuat persediaan untuk keperluan masa perkahwinan yang sebenarnya. Dalam istiadat ini, ia turut melibatkan penggunaan beberapa jenis tumbuhtumbuhan sebagai bahan utama. Istiadat bermula apabila Tok Lebai membacakan doa selamat dan setelah selesai Tok Bomoh akan melaksanakan tugasnya pula. Tok Bomoh akan menyediakan beberapa perkakas seperti bertih, beras kunyit, tempat membakar kemenyan atau perasap dan kemenyan yang diletakkan di dalam sebuah piring kecil. Turut disediakan juga satu alat yang penting iaitu tepung tawar. Tepung tawar ini mengandungi enam jenis daun yang diikat dengan benang pancawarna iaitu tiga helai benang yang berwarna kuning, hitam dan putih. Tok Bomoh akan menjampi bahan-bahan tersebut sambil memperasap sekeliling rumah pengantin. Bertih pula akan ditabur ke merata tempat dalam rumah tersebut. Setelah itu, tepung tawar tadi akan diikat di tiang seri rumah tersebut,. Tujuan diadakan istiadat ini adalah supaya majlis perkahwinan nanti dapat berjalan dengan lancar dan tidak diganggu oleh makhluk-makhluk halus. 2.4

ADAT BERINAI DAN PERNIKAHAN

Bagi orang-orang Melayu Melaka mereka sangat mementingkan adat berinai. Adat berinai ini terbahagi kepada tiga peringkat iaitu: i.

Berinai curi Ia dilakukan pada tiga malam sebelum hari berlangsung dan dihadiri oleh saudara mara yang sangat rapat sahaja.

ii.

Berinai kecil Dilakukan pada dua malam sebelum hari berlangsung. Ia dihadiri oleh saudara mara, jiran-jiran dan sahabat handai.

iii.

Berinai besar Dilakukan pada malam sebelum hari langsung dan majlis ini adalah untuk para jemputan khas dari pihak lelaki untuk si gadis.

Pada majlis berinai ini , tumbuhan yang memainkan peranan paling penting ialah daun inai. Dalam istiadat berinai curi dan kecil misalnya, bahan-bahan yang diperlukan ialah beberapa helai daun inai yang telah ditumbuk halus bersama sedikit arang, gambir, dan perahan air limau kasturi. Inai ini akan dipakaikan di jari tangan dan kaki, tapak tangan dan sekeliling tapak kaki pengantin perempuan. Pemakaian inai ini akan meninggalkan kesan berwarna merah dan ini akan menambahkan lagi kecantikan dan keserian pengantin perempuan. Di samping itu, kesan inai ini juga menandakan bahawa seseorang itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Sebelum berlangsungnya istiadat berinai besar, upacara pernikahan akan diadakan terlebih dahulu. Dalam upacara ini, pihak lelaki akan membawa bersama barang-barang hantaran termasuklah sirih junjung dan bunga rampai yang diletakkan di dalam sebuah

bekas khas yang cantik. Sirih junjung adalah penting kerana ia akan mengepalai hantaran-hantaran yang lain. Bunga rampai ini pula sebagai tanda kesukaan dan kegembiraan. Setelah selesainya upacara pernikahan, istiadat berinai besar pula menyusul. Dalam istiadat ini pihak lelaki turut serta memeriahkan majlis tersebut. Jika di negeri Perak, adat ini tidak dikenali sebagai berinai besar tetapi sebagai Titik Inai. Pada malam hari perkahwinan di rumah pengantin perempuan diadakan majlis titik inai. Pengantin perempuan dan lelaki akan mengenakan pakaian yang cantik dan dihiasi dengan indah dan kemudiannya didudukkan di atas pelamin. Tepung tawar akan disediakan oleh Mak Andam bersama sepiring daun inai yang telah ditumbuk halus. Mak Andam akan tampil ke hadapan dan menghiris beberapa biji buah limau nipis. Limau nipis ini diperah di dalam sebuah cawan yang telah diisikan dengan dua sudu minyak kelapa. Mak Andam akan merenjiskan tepung tawar dan menaburkan beras bertih di sekeliling pengantin. Mak Andam akan memulakan istiadat ini dengan mengambil sedikit inai di dalam piring dan meletakkannya di atas tapak tangan pengantin. Proses yang sama dilakukan oleh beberapa orang saudara mara pengantin. Tujuan menitik inai ini adalah untuk mengukur kebersihan kedua pengantin kerana inai itu sendiri dianggap mengandungi berkat iaitu sebagai satu cara penyucian dan perlindungan. Ini adalah kerana kedua-dua pengantin dianggap ‘ wangi’ dan berdarah ‘manis’. 2.5

ADAT BERANDAM

Sebelum upacara persandingan diadakan, pengantin perempuan akan diandam terlebih dahulu. Tugas mengandam ini dijalankan oleh Mak Andam. Lazimnya, tugas ini bermula sehari sebelum hari persandingan diadakan. Keperluan yang diperlukan untuk mengandam pengantin turut melibatkan penggunaan tumbuh-tumbuhan seperti limau purut, bunga-bungaan, sirih, tepung tawar, disamping bahan-bahan lain seperti kain putih, gunting kecil, sikat, semangkuk air, bedak sejuk dan lain-lain lagi. Upacara ini diadakan di suatu tempat yang terasing dari lalu lalang orang ramai seperti di dalam bilik. Orang lain tidak dibenarkan masuk kecuali orang-orang tertentu sahaja. Upacara ini dimulakan apabila Mak Andam meletakkan kain putih di bahu pengantin dan menyelubungkannya ke seluruh badan. Sirih yang telah dijampi akan diberikan kepada pengantin untuk dikunyah. Pengantin juga akan diperasap dengan kemenyan sambil dijampi. Tujuh jenis bunga yang berbau harum dipusingkan di sekeliling pengantin dan disapukan ke muka dan badan. Penggunaan tumbuhan ini berserta dengan jampi yang dibaca kononnya dapat menaikkan seri pengantin. Di sesetengah tempat, terdapat juga Mak Andam yang akan melumurkan badan pengantin dengan kunyit yang dicampur dengan kulit pokok mempelam dan kulit pokok kekabu. Bahan-bahan tadi ditumbuk halus. Tujuan bahan-bahan tersebut digunakan adalah untuk menambahkan keserian dan keyakinan di wajah pengantin.. Dalam masa berandam, Mak Andam juga akan mencukur bulu-bulu roma di sekeliling muka dan mencukur kening supaya wajah pengantin nampak lebih kemas. Setelah tugas

tersebut selesai pengantin akan dimandikan dengan air berlimau. Tujuannya adalah untuk membuang segala kekotoran dan sial-sial di badan serta menjauhkan bala yang menimpa di sepanjang berlangsungnya majlis tersebut. 2.6

HARI LANGSUNG

Hari langsung bermaksud hari yang sebenarnya perkahwinan itu diadakan.. Upacara ini diadakan selepas pengantin diakadnikahkan Pada hari langsung ini pengantin akan diarak dan disandingkan. Ketika ini kedua-dua pasangan pengantin akan memakai pakaian yang cantik serta dihiasi dengan indah. Sebelum diarak, pengantin lelaki tidak boleh bergerak ke rumah pengantin perempuan sehinggalah pengantin perempuan mengirimkan sirih latlat atau sirih genggam kepada pengantin lelaki. Penggunaan daun sirih sebagai sirih latlat ini menandakan bahawa pengantin perempuan telah sedia menunggu kedatangan ‘Rajanya’ dan sirih lat-lat itulah yang akan digenggam oleh pengantin lelaki sewaktu dalam perarakan ke rumah pengantin perempuan sehinggalah waktu istiadat suap-suapan diadakan. 2.7

ADAT MANDI BERLIMAU

Selepas tamat majlis persandingan, diadakan pula upacara mandi berlimau. Jika waktu berandam, pengantin perempuan sahaja yang melakukan mandi berlimau tetapi kali ini pengantin lelaki turut terlibat sama. Mandi berlimau ini diadakan di rumah ibu bapa pengantin perempuan. Sekali lagi Mak Andam akan memainkan peranannya. Mak Andam akan menyediakan bahan-bahan seperti beluru, mayang kelapa, daun puding perak, daun puding emas dan tepung tawar yang dicampur sedikit minyak. Upacara dimulakan dengan menyapu tepung tawar ke tubuh pengantin dan diikuti dengan air beluru. Daun puding perak dan daun puding perak dicampurkan di dalam bekas yang berisi air dan kemudiannya dijampi. Air tersebut akan disiramkan ke tubuh kedua-dua pengantin dan setelah itu dibilas dengan air biasa. Upacara ini dipercayai dapat menunjukkan bahawa anak dan menantu telah selamat di dalam menunaikan satu daripada hikmah berkahwin bagi menyambung keturunannya dengan cara yang diredhai oleh hukum dan adat. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghiburkan anak-anak muda yang telah penat membantu di dalam majlis perkahwinan tersebut serta sebagai penghargaan dari ibu bapa dan keduadua pengantin kepada semua pihak yang memberi bantun dan pertolongan. Di negeri Perak, adat ini tidak dikenali sebagai mandi berlimau tetapi ia dikenali sebagai ‘Mandi Air Bangkur’. Dalam adat ini, pengantin akan turun ke tanah atau ke beranda rumah dan duduk bersila. Empat biji air kelapa muda yang telah dijampi akan disediakan. Air kelapa itu dicurahkan ke atas tubuh kedua pengantin. Setelah selesai adat ini maka selesailah adat istiadat perkahwinan ini. 3.0

KESIMPULAN

Seperti yang telah dijelaskan, tidak dapat dinafikan bahawa tumbuh-tumbuhan sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan adat istiadat perkahwinan di dalam masyarakat melayu. Ini terbukti di mana di dalam setiap adat ini akan

menggunakan tumbuh-tumbuhan tertentu sebagai bahan utama. Di samping itu, tumbuhtumbuhan tersebut juga bukan sahaja dapat menyerikan lagi majlis perkahwinan tetapi juga memberi maksud-maksud yang tertentu. Jampi dan mentera turut mengiringi penggunaan tumbuh-tumbuhan tersebut yang bertujuan untuk melindungi pasangan pengantin tersebut. Namun demikian adat-adat ini kebanyakannya telah banyak ditinggalkan oleh masyarakat Melayu moden pada masa ini. Ini kerana sesetengah adat adalah bertentangan dengan agama Islam. BIBLIOGRAFI Amran Kasimin, 1989, Istiadat Perkahwinan Melayu : Satu Kajian Perbandingan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur. Faizah Din, Mandi Bunga Cepatkan Jodoh, Wanita Oktober 1998, Utusan Melayu (M) Berhad, hal.180. Mokhtar Md. Dom,1977, Istiadat Perkahwinan Masyarakat Melayu,Federal Publication, Selangor. Sidin, 1964, Asal Usul Adat Resam Melayu, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur. Siti Haidah Asri, Berandam Mengintai Si Dara, Wanita Oktober 1998, Utusan Melayu (M) Berhad, Hal. 175. Rahmat Hj. Noh, Tanpa Adat Pincang Budaya, Ibu Bapa November 1998, Mohd Khairune Sdn. Bhd. Selangor, Hal.26.

Related Documents


More Documents from "Azkia Syafina"