Perbezaan Di antara Pengurus dan Pemimpin Published by mie on Tuesday, June 3, 2008 at 10:58 AM http://muhamadazmi.blogspot.com/2008/06/perbezaan-di-antara-pengurus-dan.html Adakah pemimpin dan pengurus itu sama? Ini perlu diketahui kerana ada pendapat yang mengatakan terdapatnya perbezaan dan ada pula yang mengatakan tidak. Soalan ini mungkin terjawab bila kita meneliti tugas dan tanggungjawab kedua-duanya. Sebenarnya, menjadi seorang pemimpin bukan sekadar mengendalikan sekumpulan manusia. Mann (1965) berpendapat, pemimpin memudahkan interaksi perorangan dan hubungan dalam pekerjaan. Mereka mempromosikan penstrukturan tugas dan kerja-kerja yang perlu disiapkan. Mereka juga mengatur dan menilai kerja-kerja yang telah dan akan dilakukan. Sementara itu, tugas pengurus pula ialah merencana, menyiasat, menyelaras, menilai, menguruskan penstafan, berunding dan mewakili (Mahoney, Jerdee & Carroll, 1965, Achua; 2001). Sebenarnya kesemua fungsi-fungsi pengurusan mempunyai potensi kearah menyediakan kepimpinan, begitu juga semua aktiviti kepimpinan boleh menyumbang ke arah pengurusan. Bennis dan Nanus pula percaya asas kepada perbezaan di antara keduanya adalah terletak kepada definisi mengurus dan memimpin. Mengikut ahli-ahli teori situasi “mengurus bermaksud, bertanggungjawab terhadap sesuatu dan mengendali. Memimpin pula melibatkan mempengaruhi; memandu arah, kelakuan, tindakan atau pendapat” (Bennis & Nanus, 1985, m.s. 21). Pengurusan bergantung kepada kuasa sah yang rasmi untuk mempengaruhi orang lain dan ia juga memberi penekanan kepada kecekapan. Sebaliknya, kepimpinan menggunakan proses pengaruh sosial untuk mempengaruhi pengikut dan memberi fokus kepada keberkesanan. Gardner juga percaya bahawa pemimpin berfikir untuk jangka panjang, memahami hubungan kumpulannya dengan organisasi luar, mereka juga cuba menjangkau dan mempengaruhi konstituensi diluar sempadan kuasanya, memberi penekanan kepada visi, nilai dan motivasi, mempunyai kemahiran berpolitik dan selalu berfikir tentang pembaharuan (Gardner, 1990). Pemimpin tidak berpuas hati dengan status quo, Sebaliknya, mereka lebih gemar memberi cabaran dan inspirasi kepada pengikut mereka semasa bekerja bersama dalam mencapai visi organisasi. Bennis dan Nanus mengatakan “dengan memberi fokus kepada visi, pemimpin tersebut beroperasi dengan menggunakan sumber emosi dan rohani organisasi, nilai-nilainya, iltizam dan aspirasi. Ini berbeza dengan pengurus yang beroperasi dengan menggunakan sumber fizikal organisasi iaitu dananya, kemahiran manusia, bahan mentah dan teknologi” (Bennis & Nanus, 1985, m.s. 92). Satu lagi perbezaan diantara kepimpinan dan pengurusan ialah kepimpinan melibatkan hubungan dengan pengikut. Ada orang yang berpendapat pemimpin dan pengikut adalah dua kategori yang sangat berbeza. Walaubagaimana pun kepimpinan dan kepengikutan adalah dua konsep yang berangkai dan keduanya mesti difahami. Tanpa pemahaman salah satunya, maka seseorang itu tidak akan dapat memahami gambaran sebenar mengenai kepimpinan (Heller & Til, 1982; Witherspoon, 1997). Sebaik-baiknya hubungan ini patut dilihat sebagai satu hubungan peranan yang ditemui dalam setiap organisasi. Witherspoon seterusnya mencadangkan pemimpin dan pengikut mempunyai peranan yang berkaitan dan saling bergantungan (Witherspoon, 1997). Hasil dari pergantungan ini, kepimpinan sebenarnya dianugerahkan oleh pengikut. Dengan itu pengikut yang baik akan menghasilkan pemimpin yang baik. Edgar Schein juga berpendapat, di dalam organisasi yang berkesan terdapat paduan diantara kepimpinan yang baik dan kepengikutan yang baik (Schein, 1965).
Dalam hubungan pemimpin-pengikut, pemimpinlah yang menetapkan piawai organisasi dengan cara berhati-hati memilih individu-individu yang perlu beliau berinteraksi, dengan mengkomunikasikan tujuan dan halatuju dan juga dengan menjadi role model. Seorang pemimpin juga berperanan memutuskan apakah tingkahlaku-tingkahlaku yang paling sesuai dalam berinteraksi dengan pengikut untuk menjamin hasil yang diingini. Gaya kepimpinan yang digunakan oleh seseorang pemimpin boleh mempengaruhi pencapaian kumpulan atau matlamat perseorangan (Gardner, 1990). Contohnya, seorang pemimpin boleh menimbangkan sama ada kumpulannya dapat berfungsi dengan berkesan sekiranya gaya membuat keputusan secara demokratik dipilih. Mungkin pada masa yang lain, pemimpin berkenaan boleh menimbangkan samada fokus patut diberikan kepada tugas atau kehendak ahli dalam organisasi. Gaya kepimpinan yang dipilih sesungguhnya “terkesan oleh jangkaan pengikut mengenai bagaimana pemimpin patut bertindak, persepsi pemimpin mengenai apakah tingkahlaku yang sesuai di dalam berbagai peranan yang bakal dimainkannya dan apakah tingkahlaku yang akan melahirkan hasil yang diinginkan” (Whiterspoon, 1997, m.s. 80). Dalam proses berinteraksi dengan pengikut-pengikutnya, pemimpin akan membentuk gaya kepimpinan yang paling berkesan dalam usaha menggerakkan organisasi kearah pencapaian matlamat. Walaupun terdapat perbezaan, sekiranya diteliti secara terperinci, seorang pemimpin yang berkesan akan juga menjalankan fungsi seorang pengurus dan begitu juga sebaliknya. Organisasi pada masa ini memerlukan pengurus yang juga mempunyai keupayaan dan keterampilan untuk memimpin. Zaharah Hasan (Pusat Pengajian Umum, UKM) Posted by mie Labels: Azmi Edited By: Fred Apat (
[email protected])