TIMUR (Utusan Malaysia) ARKIB : 07/03/2009
Pengajian Islam secara maya
[email protected]
sebahagian pelajar Universiti Antarabangsa AlMadinah menduduki peperiksaan semester di Pusat Pembelajaran (Mediu e-Learning) Kota Bharu, Nilam Puri di Kota Bharu baru-baru ini. UTUSAN / ROSNI MASRI
Oleh RAHANA MOHD DAHARI KOTA BHARU 6 Mac - Ijazah di hujung jari? Jawapannya ''ya'' dan kini semakin banyak peluang terbuka kepada individu untuk melanjutkan pengajian walaupun menghadapi keterbatasan masa kerana kerja atau keluarga. Kewujudan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di negeri yang merupakan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama memperkenalkan pengajian Islam secara dalam talian (Mediu e-Learning) adalah salah satu penyelesaiannya. Ia merupakan universiti Islam pertama di dunia yang menawarkan pengajian secara maya di mana Mediu memberi peluang pelajarnya mengikuti kuliah di luar kampus melalui persidangan video. Melalui kaedah itu, pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah selama empat tahun bersamaan lapan semester hanya perlu menghadiri kuliah dan tutorial sebanyak 48 kali sahaja. Beribu pejabat di Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor sejak tahun 2006, sehingga kini Mediu e-Learning mempunyai lebih 20 cawangan di seluruh dunia termasuk yang beroperasi di kampus sementara di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri. Menurut Pembantu Penyelaras Pusat Pembelajaran Mediu Kota Bharu, Che Elieyana Che Harun, pusat itu adalah cawangan kedua di negara ini dan beroperasi sejak tahun lalu selepas satu lagi cawangan dibuka di Shah Alam, tiga tahun lalu.
Kampus kekal katanya, dalam pembinaan di Cyberjaya dan dijangka siap dan beroperasi pada tahun 2013 dengan anggaran kos pembinaan awal sebanyak RM1 bilion di tapak seluas lebih 40 hektar. Sementara kampus tetap Wilayah Timur pula dijangka dibina pada masa akan datang jika sambutan pelajar terhadap cawangan yang ada pada masa ini memberangsangkan. ''Kampus sementara di sini menyasarkan 100 pelajar setiap tahun dengan dua kali pengambilan iaitu pada bulan Jun dan November terutama yang tinggal di Pantai Timur. ''Buat masa ini seramai 54 pelajar sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah selepas mendaftar pada bulan Jun dan November tahun lalu selepas menduduki ujian khas," katanya kepada Utusan Malaysia. Tambahnya, pengajian di Mediu terbuka kepada lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berminat menyambung pengajian ke luar negara seperti Mesir tetapi tidak beroleh tempat atau tidak mampu. ''Cawangan Kota Bharu mula mengambil 31 pelajar baru pada Jun tahun lalu untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah selama empat tahun secara sepenuh masa manakala pengambilan kedua juga peringkat yang sama pada November lalu seramai 23 orang. ''Kursus yang ditawarkan di Mediu telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia yang meletakkan syarat pelajar wajib menghadiri enam kali kelas termasuk dua kuliah dan empat kali tutorial pada satu semester. ''Walaupun pelajar diberi kelonggaran tidak perlu menghadiri kelas setiap hari, kementerian meletakkan syarat mereka diminta ke kelas di cawangan Kota Bharu sebanyak dua kali kuliah dan empat kali tutorial bersama pensyarah pada satu semester. Menurut Che Elieyana, walaupun berada di kelas, tiada pensyarah yang akan memberi syarahan sebaliknya semua pelajar akan mengikuti pelajaran melalui talian dengan bantuan kamera atau web cam dan mendengar penerangan pensyarah di kampus induk melalui persidangan video. ''Pelajar yang menghadiri kelas diberi jadual untuk menghadiri kelas bagi mengikuti persidangan video bersama pensyarah secara serentak dengan pelajar-pelajar dari Indonesia dan Thailand. ''Jika terdapat di kalangan pelajar menghadapi kesukaran ke kelas, mereka diberi kelonggaran dengan cara melayari sistem Pengurusan Interaktif dan Pembelajaran Lanjutan (Alim). ''Melalui Alim, setiap pelajar mempunyai kata laluan masing-masing dan pensyarah boleh mengesan serta memantau pelajar yang mengikuti kelas atau sebaliknya dan bertanyakan soalan terus kepada pelajar di kelas atau pelajar yang sedang melayari laman tersebut di luar daerah," katanya.
Di luar jadual ujarnya, para pelajar masih terus berhubung dengan pensyarah dan pelajar lain melalui laman Alim dan menyertai e-forum, menghantar e-mel atau menghubungi pensyarah melalui talian telefon. Tambahnya, menerusi Alim banyak maklumat diperoleh pelajar antaranya menyiapkan tugasan serta menembusi pelbagai kemudahan pendidikan yang disediakan. ''Alim turut menyediakan kemudahan kepada pelajar berurusan dengan perpustakaan universiti seperti meminjam buku dan kitab secara dalam talian di samping pelajar Mediu di seluruh dunia berpeluang berkomunikasi secara langsung dengan pensyarah dalam sesi tutorial di Ibu Pejabat Mediu di Shah Alam," katanya. ''Kursus pengajian Mediu berasaskan Sains Islam sepenuhnya selaras dengan tujuan penubuhannya untuk memartabatkan Islam sebagai asas pendidikan utama," ujarnya. Mediu menampung perbelanjaan kesemua pelajar sepenuh masa dengan memberikan biasiswa penuh yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi sebanyak RM21,000 semester. "Selain itu para pelajar turut berpeluang menuntut ilmu daripada pensyarahpensyarah tempatan yang bertauliah serta beberapa tenaga pengajar dari Madinah kerana walaupun beroperasi di Malaysia, sukatan pelajaran mengikut sukatan dari Madinah manakala bahasa Arab digunakan sebagai bahasa pengantar. ''Sebahagian tenaga pengajar dan rektor dibawa dari Madinah agar pelajar memperoleh kualiti bahasa Arab yang standard dan situasi tersebut turut memberi peluang kepada pelajar yang tidak mendapat pendidikan awal bahasa tetapi mempunyai asasnya juga layak memohon," ujarnya.