KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan lima langkah untuk meningkatkan sumbangan dalam sektor pelancongan kesihatan kepada ekonomi negara dan tiga langkah baru untuk pelancongan pendidikan. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pelancongan kesihatan mempunyai potensi besar berdasarkan kepada kejayaan negara menarik 103,000 warga asing dengan mengumpul RM58.3juta menerusi pakej itu sepanjang tahun lalu. Lima langkah untuk mendorong pembangunan sektor pelancongan kesihatan ialah: Menyusun pakej pelancongan kesihatan dengan menyelaras tawaran hospital dan hotel serta membentuk rangkaian rujukan antarabangsa; Menggalakkan hospital mendapat akreditasi antarabangsa dan mengadakan hubungan strategik dengan pusat perubatan terkemuka di dunia; Menggalakkan pembentukan syarikat kesihatan multinasional Malaysia oleh pihak swasta; Melonggarkan syarat Imigresen bagi pakar perubatan dan terapi asing serta pesakit; dan Menyokong penyelidikan klinikal di institusi kesihatan untuk membina pusat kecemerlangan klinikal. Perdana Menteri, Malaysia juga berjaya menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dengan 51,000 pelajar asing daripada 130 negara menuntut di negara ini. Bagi merancakkan lagi pertumbuhan sektor itu, kerajaan memperkenalkan tiga langkah baru, iaitu: Mempercepatkan kelulusan dan akreditasi kursus institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS); Membantu IPTS mendapat pengiktirafan terutama daripada 14 negara yang dikenal pasti serta mewujudkan rangkaian kerjasama antara 30 IPTS terbaik dengan persatuan pendidikan swasta dan agensi promosi; dan IPTA dan IPTS disenaraikan mengikut kedudukan prestasi standard antarabangsa. Abdullah berkata IPTS juga akan digalakkan membentuk perkongsian pintar serta bergabung dalam mewujudkan entiti pendidikan yang teguh dan terkemuka setanding dengan universiti ternama di negara maju. Bagi menyokong usaha itu, kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem dan cukai keuntungan hartanah kepada IPTS yang bergabung dan untuk mempercepatkan penggabungan berkenaan, cukai itu akan diberikan sehingga akhir tahun 2006. Dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kesenian antarabangsa terkenal, kerajaan akan memberi pengecualian sepenuhnya ke atas duti hiburan kepada semua persembahan kebudayaan dan kesenian oleh penggiat seni tempatan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Beliau bagaimanapun berkata pengecualian itu hanya diberikan dengan syarat sesuatu persembahan itu mendapat kelulusan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan terlebih dahulu. Selain itu, katanya promosi pelancongan juga akan diperhebatkan dalam menarik lebih ramai pelancongan terutama dari Asia Barat, China dan Jepun. Malaysia menerima kira-kira 875,000 pelancong sebulan sepanjang tahun lalu dan angka itu dijangka meningkat kepada 1.2 juta orang sebulan tahun ini. “Peningkatan dalam sektor pelancongan terbukti berjaya menjana pertumbuhan ekonomi negara dan kerajaan akan memperhebatkan lagi usaha memanfaatkan alam semula jadi, warisan sejarah dan keunikan seni budaya pelbagai bangsa,” katanya.
http://www.tourism.gov.my/my/activities/default.asp?activity_id=14
Kepakaran perubatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan kebanyakan hospital persendirian di negara ini mempunyai taraf dan kualiti yang diiktiraf antarabangsa. Ini termasuk standard MS ISO9002 dan pengiktirafan Kualiti Kesihatan dari Persatuan Perubatan Malaysia (MSQH). Kesemua pusat perubatan di sini perlu mendapat kelulusan dan lesen dari Kementerian Kesihatan. Dengan berkembangnya reputasi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan, semakin ramai pelawat tiba dari serata dunia mencari penawar untuk pelbagai masalah kesihatan. Antaranya termasuk perkhidmatan perubatan kritikal serta rawatan kosmetik dan pemulihan. Caj perubatan dan kos penginapan hospital di sini amat kompetitif berbanding negara maju yang lain dan tahap kepakaran yang ada merupakan antara yang tertinggi di dunia. Sebagai contoh, kos pembedahan pemintasan jantung (CABG) lazimnya adalah di antara USD6,000 hingga USD7,000. Terdapat pelbagai pilihan pusat perubatan persendirian yang lengkap dengan peralatan canggih dan pegawai perubatan yang berpengetahuan tinggi. Kesemua pusat perubatan ini dilengkapi kemudahan mengenalpasti dan merawat penyakit, antara lain termasuk bilik endoskopik, pusat haemodialisis, pengkateteran jantung dan MRI. Pakar perubatan di sini terdiri dari para profesional yang mempunyai kelayakan bertaraf antarabangsa dan dibantu oleh kakitangan separa-perubatan yang terlatih. Kebanyakan hospital di Malaysia menawarkan pelbagai jenis pilihan penginapan dari yang selesa hingga yang mewah, termasuk bilik persendirian dan bilik serangkai. Hidangan makanan disertakan dan kos penginapan hospital adalah berdasarkan tahap perkhidmatan yang diperlukan kerana ada pusat perubatan yang menawarkan khidmat pelayan persendirian dan jururawat sepenuh masa. Kemudahan bermalam juga disediakan untuk pasangan atau teman pesakit. Tambahan lagi, dengan kos perkhidmatan yang rendah serta taraf kehidupan yang tinggi di sini, lawatan jangkamasa panjang menjadi pilihan menarik bagi pelawat asing. Namun demikian, perkara yang paling menarik bagi pelawat yang menerima rawatan perubatan di Malaysia ialah tempoh rehat dan penyembuhan yang dihabiskan di sini. Pesakit berpeluang bersiar-siar dan menikmati aktiviti pelancongan sambil mereka menunggu tempuh untuk sembuh. Lawatan ke tepi pantai boleh diatur, lebih-lebih lagi kerana terdapat beberapa pusat perubatan di sini yang terletak berhampiran pantai atau kawasan pelancongan yang terkenal. Kemungkinan sesetengah pesakit lebih cepat sembuh jika mereka bersiar-siar atau mengambil masa untuk pergi membeli-belah!
http://www.idesa.net.my/modules/news/article.php?storyid=1425 MALAYSIA sememangnya terkenal sebagai satu destinasi pelancongan yang menarik kerana ia dianugerahkan dengan sinaran matahari tropika, pantai yang indah, pusat peranginan lima bintang, aktiviti membeli-belah yang hebat, pelbagai makanan lazat dan keramahan penduduknya. Di samping itu, ia juga mempunyai kemudahan perubatan serta perkhidmatan kesihatan bertaraf antarabangsa pada kos yang rendah berbanding dengan negaranegara maju. Sejajar dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2007, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini melancarkan laman web pelancongan kesihatan Malaysia di alamat www.malaysiahealthcare.com. Laman ini merupakan pengendali lengkap bagi pelancongan kesihatan iaitu destinasi pusat bagi kesemua keperluan perubatan dan pelancongan, membawa bersama kesemua pembekal perkhidmatan di atas satu ‘platform’. Ia bertindak sebagai satu saluran mudah yang akan memudahkan kesemua aspek pelancongan kesihatan ke negara ini yang menghubungkan bakal pelancong dengan kesemua agensi berkaitan di negara ini. Maklumat mengenai pembekal perkhidmatan iaitu hospital, pembekal perkhidmatan kesihatan, ejen pelancongan, ejen insurans, pusat penerbangan, hotel dan lain-lain boleh diperoleh di laman web ini. Buat masa ini, pelancong k sa membebankan diri untuk membuat pelbagai perancangan secara persendirian dengan pembekal-pembekal perkhidmatan bagi pelbagai komponen keperluan rawatan dan juga percutiannya. Dengan menggunakan www.malaysiahealthcare.com, pelancong kesihatan boleh merancang, mengatur dan menguruskan hal-hal berkaitan rawatan dan percutian lengkap mereka di Malaysia dari rumah mereka sendiri. Sebagai contoh, selain daripada memilih sebuah hospital di Malaysia, pelancong kesihatan boleh membuat penyelidikan ke atas doktor atau pakar yang akan mengendalikan rawatan yang diperlukan sebelum memilih seorang doktor secara atas talian.
Portal ini juga membenarkan pelancong kesihatan menghubungi terus doktor tersebut, bagi mendapatkan rundingan mengenai prosedur dan nasihat tentang pemilihan rawatan yang boleh disediakan. Ini dapat mengenepikan kebimbangan dan ketakutan mengenai kualiti penjagaan kesihatan sambil melaksanakan pakej percutian komprehensif bagi memenuhi setiap keperluan pelancong kesihatan daripada pemulihan sehingga ke rekreasi. Dengan pelancaran www.malaysiahealthcare.com, pelancong kesihatan boleh merancang keseluruhan perjalanannya daripada keselesaan rumah mereka dengan membuat tempahan secara terus atas talian bagi kesemua perkhidmatan – daripada rumah ke lapangan terbang ke hospital ke hotel sehingga ke percutian pilihan mereka. Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk mempromosi pelancongan kesihatan memandangkan kualiti dan kemampuan perkhidmatan penjagaan kesihatannya, kepakaran pakar perubatannya yang amat berkelayakan, serta terdapatnya kemudahan dan peralatan moden dan berteknologi tinggi. Di Malaysia, kesemua pusat perubatan swasta diluluskan dan dilesenkan oleh Kementerian Kesihatan. Sementara itu, penjagaan kesihatan pergigian ditadbir oleh Persatuan Pergigian Malaysia bagi memastikan kemudahan dan perkhidmatan pergigian bertaraf tinggi diberikan kepada pesakit. Kementerian Kesihatan baru-baru ini telah mengenal pasti 35 hospital swasta di seluruh negara yang telah memenuhi kriteria yang diperlukan untuk diiktiraf sebagai pembekal pelancongan kesihatan. Pada tahun 2004, Malaysia menjana perolehan pertukaran asing berjumlah RM105 juta daripada pelancong kesihatan yang mendapatkan rawatan perubatan di negara ini.