Oleh Dr Mohd Yusof Ahmad

  • Uploaded by: Siti Atikah Ismail
  • 0
  • 0
  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Oleh Dr Mohd Yusof Ahmad as PDF for free.

More details

  • Words: 4,049
  • Pages: 17
Oleh Dr Mohd Yusof Ahmad, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Apakah yag dimaksudkan dengan falsafah pendidikan Islam?

Sebelum kita meninjau Falsafah Pendidikan Islam, adalah lebih elok diperincikan dahulu tentang Falsafah Islam itu sendiri dan juga asal perkataan falsafah. Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani Kuno, dan dalam pengertian yang bebas ia bermaksud "Cintakan Hikmah"(Al-Syaibany, 1991) Hikmah ialah satu pandangan dan fikiran yang tinggi atau jauh serta matang. Pengamatannya tidak dapat dicapai oleh pengetahuan biasa.

Dalam Oxfort Dictionary (1982) ditakrifkan falsafah sebagai:

"Seeking after wisdom or knowledge especially that which deals with ultimate reality, or with the most general causes and principles of things and ideas and human perception and knowledge of them, physical phenomena and ethics"

Jadi, falsafah merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran, (seeking the thruth), dan kebenaran itu sebenarnya hanya Allah. Kalau kita cuba mencari erti hakikat hidup, maka ini adalah falsafah. Hakikat hidup yang sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Yang kita tahu berdasarkan apa yang diberitahu oleh Allah, maka itulah yang benar dan mutlak. Yang kita fikirkan sendiri menjadi falsafah kita dan tidak bersandarkan kepada kitab Allah, maka itu tidaklah sebenar, ia tidak mutlak dan ianya bersifat relatif. Sebab itu bermacam-macam falsafah timbul hasil pemikiran manusia. Seperti Liberalisme, Idealisme, Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan banyak lagi. Jika falsasfah itu berpunca daripada Allah atau wahyu, maka ia akan sama sahaja prinsipnya dan juga matlamatnya.

Falsafah Islam ialah falsafah yang berteraskan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi apabila seseorang Islam yang faham Islam membincangkan mengenai falsafah, tidak kira sama ada falsafah hidup atau falsafah pendidikan atau pun yang lain-lain,

perbincangannya tidak akan lari daripada prinsip dan matlamat Islam. Sebaliknya, seorang Islam yang tidak memahami hakikat Islam, malah ia telah lebih dahulu mendalami falsafah lain daripada Islam, menjadi sangat susah ia menerima falsafah Islam. Malah falsafahnya yang dikatakan Islam itu dalam banyak hal bertentangan dengan kehendak Islam.

Jika falsafah itu diertikan dengan "cintakan hikmah atau kebenaran" maka falsafah Islam bererti cintakan hikmah atau kebenaran yang berasaskan ajaran Islam. Dan ajaran Islam itu bersumberkan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Failasuf Islam dari setiap zaman, apabila membincangkan tentang falsafah biasanya mereka tidak akan lari daripada soalan-soalan berikut sebagai asas perbincangan, iaitu: Siapa anda (apa hakikat diri anda)? Dari mana anda datang? Kenapa anda berada di sini (alam dunia)? Kemana anda akan pergi? Apa tujuan hidup? Dan apakah hakikat mati? (Yaljin, 1991).

Perkataan hikmat disebut beberapa kali di dalam Al-Quran dengan maksud yang berbeza mengikut qarinah ayat berkenaan. Hikmah ada kalanya bermaksud bijaksana (surah An-Nahli 125). Mengikut Muhammad Nasir (1978) hikmah di sini bermaksud mengenal golongan. Sheikh Muhammad Abduh pula berkata bahawa "Hikmah itu ialah memahami sesuatu tentang rahsia dan faedahnya".

Untuk memahami sesuatu tentulah memerlukan ilmu, kerana ilmulah penyuluh untuk mengenal sesuatu. Jadi ilmu ini tentulah ilmu yang benar. Dalam versi yang lain Muhammad Abduh mengatakan bahawa "Hikmah itu ilmu yang benar yang menjadi pengerak untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang berfaedah".

Orang yang mempunyai hikmah ini digelar "Hakeem". Ia bermaksud orang yang mahir dalam sesuatu bidang dan melakukannya dengan cukup baik dan halus (Muhammad Nasir, 1978). Adakalanya hikmah itu bermaksud ilmu, iaitu ilmu yang tinggi martabatnya. Ini berdasarkan ayat 269 surah al-Baqarah. Orang yang mempunyai hikmah mempunyai pandangan yang jauh, bukan setakat lima atau enam puluh tahun ke hadapan, tetapi sampai ke alam akhirat. Ini jelas seperti cerita Luqman al-Hakeem di dalam Al-Quran.

Falsafah Islam cuba maencari hakikat manusia dan alam semesta ini. Setelah berusaha mencari dan berfikir berdasarkan wahyu, maka dapat dirumuskan bahawa manusia dijadikan oleh Allah untuk hidup di alam ini sebagai hamba dan khalifah, kemudian mereka akan mati dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah. Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat 55 surah Az-Zariyat, 30 Al-Baqarah, 72 Al-Ahzab, 172 Al-A`raf dan lain-lain.

Falsafah Pendidikan Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Ialam, iaitu falsafah Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (AlSyaibany, 1991). Jadi, maksud daripada Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan dan ilmu pengetahaun yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Bila ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang saleh.

Ahli falsafah pendidikan Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang yang berusaha berfikir mencari apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah ke dalam kurikulum pendidikan. Ini termasuklah ilmu, kemahiran, nilai, pengalaman dan sebagainya, yang mana setelah menjalani pendidikan beberapa lama akan lahir seorang insan yang kenal dirinya, kenal Tuhannya, faham tujuan Allah jadikan segala yang ada, mengetahui hukum-hukum Allah dan mengamalkannya, bertamadun, pandai berkawan sama ada dengan orang Islam atau pun bukan Islam. Antara perkara yang penting yang difokuskan oleh falsafah pendidikan Islam ialah: Pendidikan Aqidah, Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Akal, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Rohani, Pendidikan Keterampilan, Pendidikan Keibubapaan, Pendidikan Kemasyarakatan, Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi.

Jadi, berdasarkan falsafah Islam, semua perkara yang disebutkan diatas itu perlu ada dan menjadi tajuk-tajuk penting dalam kurikulum pendidikan Islam. Dengan demikian, barulah dapat melahirkan insan soleh yang mampu melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan betul dan sempurna seperti yang dibincang dalam Matlamat Pendidikan Islam. Penyataan Falsalah Pendidikan Islam yang digubalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, nampaknya ada unsur untuk menuju ke arah ini.

Rujukan artikel: Mohd Yusof Ahmad (2009). Falsafah pendidikan Islam, dilihat pada Julai 2009, http://pendislami.tripod.com/new_page_1.htm

Kepimpinan Islam Di Malaysia

Pendahuluan

Penerimaan Islam secara meluas di Nusantara pada abad ke 13 masihi telah mengubah banyak nilai dalam masyarakat tempatan, termasuk yang berkait dengan "kepimpinan". Bermula daripada waktu itu Islam telah mengambil peranan kepimpinan yang meluas dan merangkumi hampir semua kegiatan hidup termasuk keagamaan, Ibadat, keilmuan, sosial, politik dan sebagainya.1 Asas utama kepada kepimpinan yang meluas ini 1alah sifat Islam sendiri yang menyeluruh. Misalnya, akidah atau pegangan hidup yang dibawa oleh Islam bukan sekadar menyentuh soal ketuhanan dan alam metafizika sahaja, tetapi juga merangkumi alam dan manusia. Dalam konsep yang luas ini, syirik iaitu pelanggaran terhadap prinsip tauhid yang menjadi asas aqidah berkenaan, bukan sahaja boleh berlaku disebabkan oleh penyembahan berhala atau memuja kuasa-kuasa ghaib semata-mata tetapi juga meliputi pemujaan terhadap sesama manusia dan kuasa-kuasa material dalam kehidupan biasa. Berasaskan akidah ini Islam menegaskan bahawa alam dan manusia bukan suatu mistri, tetapi boleh difahami. Manusia adalah hamba Tuhan yang diberi peranan sebagai khalifah dibumi ini. Sedangkan alam dicipta untuk faedah dan kepentingan manusia. Dalam hubungannya dengan hidup dan kebudayaan, akidah merupakan asas pemikiran bagi sistem keilmuan dan kemasyarakatan, termasuk sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Bagi melaksanakan kepimipinan tersebut, dari segi akidah dan kepercayaan, Islam mengubah pandangan orang Melayu daripada mempercayai dewa-dewa seperti yang mereka anuti di zaman Hindu kepada mempercayai tuhan yang Maha Esa. Disamping itu mereka dibimbing mempercayai Nabi-Nabi, Rasul, Malaikat, Kitab-Kitab Suci, Hari

Kiamat dan Qadha dan Qadar. Kemudian diikuti oleh kepimpinan kearah menunaikan amal Ibadat seperti yang terkandung dalam rukun Islam yang lima dan yang selain daripada itu.2 Di bidang adat dan istiadat pula, bagi mengubah tradisi animisme dan Hinduisme, agama Islam telah memimpin orang-orang Melayu kearah mengenali dan mengamalkan adat istiadat Islam sebagai ganti. Adat istiadat itu dilakukan sejak daripada individu itu lahir ke dunia hinggalah ke hari kematiannya.3 Dalam aspek keilmuan, Islam telah memimpin masyarakat Melayu kearah menenali pengetahuan yang bercorak falsafah.4 Dengan itu Islam telah memperkenalkan pemikiran yang bercorak rasional dan intelektual dalam masyarakat Melayu. Tamadun Islam telah mengubah penekanan daripada unsur-unsur estetika dalam kebudayaan Melayu seperti yang biasa berlaku pada zaman Hindu kepada pemikiran yang bercorak akliah.5 Dengan itu Islam mengubah tasawwur orang Melayu daripada yang bercorak metologi fantasi kepada pemikiran yang bercorak intelektual yang berdasarkan falsafah Islam dan mistik yang rasional dan ilmiah. Dengan itu Islam menekankan kedua-kedua aspek jasmani dan rohani untuk membangunkan masyarakat Melayu. Dari segi sosial pula Islam menekankan unsur-unsur persamaan, keadilan dan sebagainya. Dengan itu Islam telah membawa satu perubahan yang radikal sebagai ganti kepada sistem Kasta Hindu yang membahagikan penduduk alam Melayu kepada beberapa susun lapis seperti di India. Islam juga menghapuskan semangat kedaerahan dan membentuk perpaduan dikalangan penduduk alam Melayu melaui konsep ummah atau masyarakat Islam.6 Dari segi politik pula, Islam telah membawa banyak perubahan. Misalnya, sistem feudalisme Hindu digantikan dengan sistem feudalisme yang diperkenalkan pada zaman kerajaan Abbasiah. Islam telah memberi corak keislaman dalam sistem kesultanan Melayu. Misalnya konsep Diraja telah diubah sifatnya daripada penjelmaan dewa kepada seorang pemerintah atau pemimpin rakyat sahaja. Sultan dalam pengertian Islam seharusnya menjalankan pemerintahan dengan adil dan bertimbang rasa kepada rakyat serta bertindak mengikut perintah Allah, membuat kebaikan dan mencegah kejahatan.7 Dalam bidang kesenian Islam telah mempengaruhi semua bidang kesenian Melayu, baik dalam seni lagu, seni tari, seni ukir, seni bina, seni hiasan, maupun seni drama. Begitulah juga dalam hal kesusasteraan.8

Kepimpinan Yang Menyeluruh

Kepimpinan biasa dihuraikan sebagai peranan sosial yang dimainkan oleh pemimpin dan diterima secara sepontan oleh pihak yang dipimpin berasaskan proses interaksi antara kedua belah pihak.9 Dalam konteks kertas kerja ini Islam dilihat sebagai suatu institusi kepimpinan yang memainkan peranannya berasaskan penerimaan masyarakat umum secara sepontan melaui proses interaksi yang tertentu. Ternyata daripada apa yang dihuraikan di atas bahawa Islam, sejak mula kedatangannya lagi ke Nusantara telah memainkan peranan kepimpinan yang meluas, bukan sekadar sebagai agama dalam konsepnya yang sempit tetapi juga sebagai cara hidup dalam konsepnya yang luas dan menyeluruh. Berdasarkan kepimpinan yang luas dan menyeluruh seperti itulah Islam berjaya menubuhkan masyarakat dan negara Islam di rantau ini. Di Malaysia, masyarakat dan negara Islam seperti itu mula ditubuhkan di Melaka pada awal abad ke Lima belas.10 Kemudian ia berkembang ke merata tempat diseluruh semenanjung, begitu juga ke Sabah dan Sarawak.11 Bagaimanapun, tempoh kepimpinan Islam yang menyeluruh ini tidak kekal lama. Bermula daripada kejatuhan Melaka ke tangan penjajah Portugis pada tahun 1511 M. Kepimpinan Islam di rantau ini mula tersingkir, bukan sahaja dalam aspek politik dan pemerintahan, tetapi juga dalam aspek-aspek yang lain termasuk pendidikan dan tamadun. Terutama di bawah penjajahan Inggeris, Islam tidak lagi memainkan peranan pemimpin di Malaysia kecuali dalam hal-hal Ibadat ritual dan pendidikan agama dalam konsepnya yang sempit. Malah, apabila Malaysia mencapai kemerdekaan dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, kepimpinan Islam di rantau ini gagal dibangkitkan kembali. Sebelum pemergian mereka, penjajah telah selesai menyiapkan pelapis dari kalangan penduduk Malaysia sendiri yang bakal mengambil alih kepimpinan berasaskan Sekularisme/Libralisme barat. Dengan itu kepimpinan Islam kekal di takok lama iaitu berfungsi hanya dalam aspek Ibadat ritual dan keagamaan dalam konsepnya yang sempit sahaja. Malah ia begitu terpinggir dan tidak termasuk dalam "arus perdana".

Penerimaan masyarkat Islam di Malaysia terhadap sekularisme barat telah meletakkan Islam sebagai satu "agama" pada suatu pihak disamping urusan kenegaraan di pihak yang satu lagi. Dualisme ini telah mempengaruhi corak umum kehidupan bermasyarakat dan bernegara dan menyukarkan kepimpinan Islam yang sebenarnya untuk berfungsi sepertimana sepatutnya. Fenomena ini bukan sahaja lahir akibat daripada pengaruh barat, tetapi diperkukuhkan lagi oleh masyarakat Islam sendiri, termasuk mereka yang komited dengan pengajaran Islam. Bagi menghadapi kekuasaan penjajahan di negara ini para pemimpin Islam sendiri telah membina benteng pemisah antara Islam dan kehidupan harian dalam negara dengan alasan bahawa apa yang diamalkan di bawah kuasa penjajahan itu bertentangan dengan ajaran Islam dan perlu dijauhi. Usaha Kebangkitan Semula Kepimpinan Islam

Dengan lain perkataan, secara umumnya, sejak kekuasaan penjajah sampai sesudah merdeka, Islam di Malaysia telah diletakkan oleh para penganutnya pada kedudukan difensif. Kedudukan yang negatif ini telah menjadikan kepimpinan Islam seolah-olah kehilangan fungsi dan tidak berdaya lagi untuk kembali berperanan terutama kerana masyarakat telah jauh lebih maju daripada cita-cita kepimpinan Islam sendiri yang ada. Malah, apabila umat Islam sedar dan berhasrat untuk mengembalikan kepimpinan Islam ke tampuknya yang asal mereka berpecah kepada berbagai aliran pemikiran yang menjadi asas kepada corak kepimpinan yang mahu dipulihkan itu. Secara umumnya aliran-aliran tersebut biasa dikenali sebagai aliran tradisional, aliran moden dan aliran reformasi.12 Aliran tradisional bersikap konservatif dan mempertahankan yang lama. Bagi aliran ini sejarah adalah sumber aspirasi dan perlu dipertahankan. Kerana itu mereka bersikap negatif terhadap pembaharuan dan perubahan. Pada pandangan mereka ini kepimpinan Islam perlu berkait rapat dengan tradisi dan tidak boleh menyerap nilai-nilai baru yang dikatakan banyak dipengaruhi oleh Barat.13 Aliran moden banyak dipengaruhi oleh kebudayaan dan pemikiran Barat moden. Antara nilai yang menjadi asas kepada kepimpinan corak ini ialah penolakan terhadap soal-

soal emosi, kekudusan dan tindakan yang tidak rasional.14 Sementara aliran reformasi pula menekankan perkembalian kepada ajaran Islam yang murni bagi membersihkan kepimpinan Islam daripada pemalsuan dan penyelewengan. Dari segi ini ia mempunyai banyak persamaan dengan aliran tradisional. Bagaimanapun, aliran ini berkait erat dengan ijtihad baru. Dalam konteks ini ia berbeza daripada aliran tradisional.15 Sehingga abad ke 19 kepimpinan Islam di Malaysia lebih bercorak tradisi. Aliran ini terus memainkan peranannya sehingga ke abad 20 melalui para ulama yang gigih menyambung tradisi sebelumnya. la berasaskan kepada pemikiran tradisional yang disebarkan di pusat-pusat pengajian agama (pondok) yang berserakan di seluruh Malaysia.16 Kepimpinan corak ini menekankan nilai-nilai tradisi yang tersimpul dalam konsep fardhu ain, iaitu pembinaan peribadi muslim berasaskan akidah, fiqh, akhlak dan tasawuf. Dalam melalui proses perkembangan seterusnya aliran kepimpinan tradisional ini pernah mengalami pembaharuan. la terutama sekali dihasilkan oleh gerakan-gerakan dakwah, seperti Gerakan Jamaah Tabligh dan Pertubuhan al-Arqam. 8erbeza dengan kepimpinan tradisional konservatif sebelumnya, gerakan tradisional baru ini memberi tumpuan yang agak serius kepada soal-soal pembinaan masyarakat Islam. Mereka memberi tumpuan yang banyak kepada soal-soal pendidikan, sosial, ekonomi dan malah politik. Corak kepimpinan modermis pula lahir pada akhir abad ke Sembilan belas apabila pertubuhan-pertubuhan Islam lahir di Tanah Melayu. Secara umumnya kepimpinan corak ini merupakan reaksi terhadap proses modernisasi yang dilaksanakan oleh penjajah barat di Tanah Melayu pada waktu itu.17 Kepimpinan corak ini lahir dalam bentuk pertubuhan-pertubuhan seperti pertubuhanpertubuhan sosial dan pertubuhan-pertubuhan politik. Antara pertubuhan-pertubuhan sosial yang berpengaruh ialah gerakan sosial moden yang didokong atau dilindungi oleh kerajaan Inggeris. Selain daripada itu ialah pertubuhan bahasa dan sastera, persatuan guru dan persatuan pelajar.18 Dalam politik, kepimpinan bercorak modernis ini berkait rapat dengan faham kebangsaan atau nasionalisme.19 Di Malaysia, nasionalisme dapat dibahagikan kepada dua iaitu konservatif dan radikal.

Di antara organisasi politik awal yang bercorak nasionalisme konservatif ialah pertubuhan Melayu Bersatu (UMNO) 1946. Sifat konservatif UMNO bukan hanya sekadar mempertahankan tradisi kebangsaan Melayu, tetapi juga mempertahankan tradisi kerjasama dengan pihak penjajah. Kerana corak kepimpinan yang konservatif inilah penjajah Inggeris bersetuju mengadakan perbincangan dengan UMNO yang kemudiannya menghasilkan perlembagaan persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.20 Berasaskan corak kepimpinan seperti itulah juga UMNO menang mutlak dalam pilihanraya umum 1955. Sementara yang bercorak nasionalisme radikal pula ialah seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) (1937).21 Kerana coraknya yang radikal ini ia telah dihapuskan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1941 dengan menangkap para pemimpinnya. Nasib yang sama dialami oleh pertubuhan- pertubuhan radikal yang lain seperti Parti Kebangsaan Melayu Melayu (PKMM) (1945), Angkatan Pemuda Insaf (API) (1946) dan Parti Rakyat Malaya (PRM) (1955). Kepimpinan bercorak reformasi atau Islah pula tumbuh dan berkembang melalui tokohtokoh agama yang menerima perkembangan baru dalam pemikiran Islam. Antara mereka ialah Syekh Muhamad Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syed Syekh al-Hadi, Tok Khurasan (1875-1944), Haji Wan Musa bin Abdul Samad (1895-1957) dan ramai lagi.22 Kepimpinan bercorak ini dikembangkan melalui penulisan, seperti Majalah al-Imam23 (1906-1908), al-Ikhwan (1926), Saudara (1928) dan Pengurusan (1918-sekarang).24 la juga dikembangkan melalui madrasah-madrasah atau sekolah-sekolah agama yang mengajar ilmu-ilmu agama dan menawarkan juga ilmu-ilmu semasa.25 Kepimpinan bercorak ini kemudiannya berkembang melalui parti- parti politik Islam yang ditubuhkan. Paling awal ialah Hizbul Muslimin (HAMIM) yang ditubuhkan pada 1948 oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Bagaimanapun parti ini dibubarkan apabila tokohtokoh utamanya ditangkap di bawah perintah darurat 1948.26 Pada tahun 1951 sayap agama dalam UMNO menubuhkan Persatuan Ulama Malaya yang kemudiannya berubah menjadi Persatuan Islam se Tanah Melayu (PAS) yang benarbenar terpisah daripada UMNO.27 Antara tokoh-tokoh utama yang pernah memimpin parti ini ialah Dr Burhanuddin al-Helmi, Ustaz Zulkifli Muhammad dan Dato' Muhammad Asri Haji Muda. Bagaimanapun, berbanding dengan UMNO parti ini kurang berjaya dalam perjuangan politiknya.

Selain politik, kepimpinan bercorak reformasi ini juga terbentuk dalam gerakan dakwah dan pertubuhan-pertubuhan pelajar. Antaranya ialah gerakan al-Imam yang ditubuhkan pada 1928.28 Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang ditubuhkan pada 1956, Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) (1965), Pertubuhan al-Rahmaniyah (1963) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) (1971). Penutup

Nyatalah daripada huraian di atas bahawa kepimpinan Islam di Malaysia telah mengalami sejarah perkembangan yang tersendiri. Perkembangan ini tentu sekali didorong oleh berbagai-bagai faktor samada yang bersifat tempatan atau antara bangsa. Apa yang penting disebut disini ialah kepimpinan yang berbagai corak ini di Malaysia sekarang secara umumnya bertelingkah antara satu sama lain. Adalah suatu kenyataan yang tepat apabila dikatakan bahawa krisis yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia sekarang bukan berpunca daripada penerimaan atau penolakan terhadap Islam sebagai dasar hidup, tetapi lebih kepada krisis kepimpinan. Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam yang insaf di Malaysia sekarang untuk mencari jalan kearah persefahaman diantara corak-corak kepimpinan yang ada ini.

Oleh Panel PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ADALAH menjadi salah satu tanda keagungan Allah SWT dan kemukjizatan Rasul-Nya SAW, walaupun sudah lebih 1400 tahun Baginda SAW meninggalkan kita, tetap akan ada sejumlah individu, kumpulan dan organisasi yang berusaha untuk menyambung misi perjuangan Rasulullah SAW.

Tinggal lagi, mungkin kerana keluasan skop misi perjuangan Rasulullah SAW, kita dapati, kalaupun mereka ini sama bersemangat untuk menyambung misi perjuangan beliau, akhirnya bentuk amal Islami yang terhasil akan berbeza-beza pendekatan dan acuan penghayatannya.

Antara pendekatan-pendekatan utama yang dapat kita perhatikan ialah pendidikan, kebajikan, politik, dakwah, kerohanian, ekonomi dan termasuk juga jihad bersenjata.

Dalam kepelbagaian 'jalan' yang dipilih, perlu rasanya dibuat penegasan bahawa misi utama dan teras kepada perjuangan Rasulullah SAW adalah pendidikan. Malah tidak salah dikatakan bahawa dimensi pendidikanlah yang lazimnya menjadi penentu kualiti dan keberkesanan sudut-sudut lain perjuangan warisan Nabawi.

Keutamaan pendidikan dan pendidik sebagai misi utama Nabi SAW jelas tampak dalam sumber al-Quran dan hadis seperti dalam ayat yang bermaksud: Dia lah Yang telah mengutuskan Dalam kalangan orang-orang (Arab) Yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayatayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah Dalam kesesatan yang nyata. (al-Jumu'ah : 2)

Manakala satu hadis yang menarik dalam soal ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya dan al-Darimi dalam sunannya daripada Abdullah ibnu Amru ibnu al 'Aas r.a, beliau berkata:

"Pada satu hari, Rasulullah SAW keluar daripada salah satu biliknya dan masuk ke masjid lalu Baginda berada antara dua kumpulan.

Salah satu daripadanya manusia yang sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah Taala. Sementara yang satu kumpulan lagi sedang belajar dan mengajar. Lalu bersabda Rasulullah SAW berkata: "Kesemua mereka adalah baik. Adapun orang yang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT, jikalau Allah SWT inginkan kebaikan kepada mereka, nescaya Allah SWT akan beri, jikalau Allah SWT tidak menginginkan maka Dia akan menegahnya. Adapun orang yang mengajar dan belajar, maka

sesungguhnya saya diutuskan sebagai pendidik," lalu Rasulullah SAW duduk bersama kumpulan mereka." (Sunan Ibnu Majah :1:83)

Bukti kejayaan Nabi SAW sebagai pendidik terlihat pada kualiti insan sebelum Baginda dibangkitkan dan sesudahnya. Baginda telah berhasil mengubah masyarakat jahiliah yang tandus daripada nilai kemanusiaan kepada satu generasi yang paling tinggi nilai keperibadiannya.

Lahirlah di tangan Baginda SAW, tokoh-tokoh perkasa berkeperibadian luhur yang muncul memimpin manusia secara sambung-menyambung hingga buahnya dapat dinikmati hingga ke zaman ini.

Rasulullah cintai ilmu

Penekanan dan keutamaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap pendidikan juga dapat dirasakan apabila kita meninjau beberapa sikap Rasulullah SAW dalam aspek ini.

Kitab al-Targhib wa al-Tarhib oleh al Hafiz al-Munziri dalam bab al-Tarhib fi Katmi al-'Ilm (Celaan Terhadap Menyembunyikan Ilmu) dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Majma' al-Zawaid ada merakamkan daripada 'Alqamah ibnu Saad ibnu Abd Rahman ibnu Abza daripada ayahandanya daripada datuknya dari Abd. Rahman ibnu Abza r.a telah berkata, Rasulullah SAW telah berkhutbah pada satu hari.

Baginda memuji Allah SWT dan berdoa serta menyebutkan tentang sekumpulan orang Islam dan mendoakan kebaikan ke atas mereka, lalu bersabda, "Alangkah malangnya kaum yang tidak memahamkan dan mengajarkan agama kepada jiran-jiran mereka serta tidak mencerdikkan mereka terhadap agama dan tidak pula menyuruh mereka membuat kebaikan dan melarang membuat keburukan."

Allamah Syeikh Mustofa al-Zarqa dalam kitabnya al-Madkhal al-Fiqhi al-'Aam telah

mengulas hadis ini dengan berkata, "Ini adalah satu pernyataan yang penting dan jelas bahawa pengabaian terhadap pendidikan dan menuntut ilmu adalah merupakan jenayah kemasyarakatan yang amat besar dan sewajarnya mereka yang terlibat dalam jenayah ini dikenakan denda di dunia lagi. Jenayah kemasyarakatan ini akan mengakibatkan pengabaian pelbagai kewajipan agama."

Oleh itu, apabila seorang alim tidak melaksanakan peranannya mendidik dan seorang yang jahil tidak menunaikan tugasnya untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka wajib kedua pihak ini mendapat hukuman denda terhadap kecuaian mereka.

Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah mewajibkan menuntut ilmu dalam sabdanya yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan."

Daripada pengertian hadis ini, dapat kita faham bahawa Nabi SAW mengkaitkan kefarduan menuntut ilmu dengan sifat Islam seseorang sebagai peringatan bahawa sesiapa yang menisbahkan dirinya sebagai seorang Islam, maka telah menjadi kewajipan padanya untuk menuntut ilmu dan menjauhi kejahilan.

Rasulullah SAW juga memperingatkan umatnya supaya mempelajari ilmu yang bermanfaat serta berwaspada daripada ilmu yang tidak bermanfaat.

Mesej ini dapat difahami daripada doa Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam satu hadis daripada Zaid Ibnu Arqam r.a berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW telah berdoa: Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk (lalai) , daripada nafsu yang tidak pernah puas dan daripada doa yang tidak mustajab. (Sahih Muslim 17:41)

Nabi model pendidik

Sewajarnya bagi setiap orang yang menjadi pembimbing dan pendidik manusia mempunyai sifat-sifat yang sesuai dengan peranan yang dilakukan.

Dalam konteks ini, tidak ada di sepanjang zaman seorang manusia pun yang mempunyai atau menghampiri ciri-ciri kesempurnaan akhlak sebagaimana yang dimiliki oleh Rasulullah SAW sehingga mendapat pujian unggul daripada Allah SWT sebagaimana firmannya: Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak Yang amat mulia. (al-Qalam :4)

Kesempurnaan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW adalah sifat-sifat yang seharusnya ada pada seorang pendidik dan boleh diperincikan kepada empat perkara iaitu kesempurnaan kejadian, kesempurnaan akhlak, kelebihan kata-kata dan kelebihan perbuatan.

Kesempurnaan zahir yang ada pada Nabi SAW yang ditonjolkan oleh kesederhanaan tubuh badannya terdiri daripada;

1. Ketenangan yang membangkitkan sifat hebat (menggerunkan) dan dipandang hebat. Sifat inilah yang telah menyebabkan utusan Raja Kisra menggeletar ketakutan apabila berhadapan dengannya. Sekalipun pandangan manusia kepadanya hebat tetapi Nabi SAW tetap bersifat tawaduk tidak mengambil kesempatan untuk menguasai seseorang.

2. Air muka yang berseri menyebabkan Baginda dicintai oleh setiap orang yang memandang wajahnya. Yang hampir berharap ingin sentiasa bersamanya, yang jauh ingin berdekatan dengannya.

3. Mendapat penerimaan yang menjadikan semua hati cenderung untuk menerima apa sahaja yang datang daripada Nabi SAW. Tidak ada yang mengingkari kecuali orang yang hasad.

4. Kecenderungan manusia untuk mentaati Rasulullah SAW sekalipun perlu kepada kesabaran dan kesusahan yang terpaksa mereka tetap berpegang teguh dan mentaatiNya. Demikian antara kesempurnaan fizikal yang dimiliki oleh Rasulullah.

Adapun kesempurnaan akhlak Nabi SAW pula terdiri dari empat perkara iaitu:

*kebernasan fikiran, sangkaan dan firasatnya.

*Sabar di atas segala kesusahan dan rintangan.

*Zuhud terhadap dunia serta tidak berkehendak dan tidak cenderung kepadanya.

*Tawaduk kepada manusia lain sedangkan mereka semua adalah pengikutnya. Bermesra dengan sahabatnya tanpa ada jurang pemisah yang membezakan mereka.

*Berlemah lembut dengan manusia serta mudah mesra dan simpati dengan manusia lain. Sehingga setiap orang merasakan Rasulullah SAW seumpama ayah mereka.

*Memelihara janji dan tidak pernah memungkirinya.

Kelebihan Rasulullah dari sudut pengucapannya pula ialah:

1. Diberikan kepadanya kebijaksanaan dari segi menuturkan ucapan. Perkataannya dipenuhi dengan seni bahasa Arab yang terdiri daripada balaghah, ma'ani dan badi'. Walaupun begitu perkataan Rasulullah mudah difahami oleh mereka yang ingin menerimanya.

2. Menghafaz apa-apa yang dikhabarkan oleh Allah kepadanya dari kisah-kisah para nabi terdahulu dalam hafalan dadanya tanpa dicatat.

3. Perkara-perkara yang disuruhnya adalah terdiri dari perkara yang baik-baik dan adab-adab yang tinggi.

Kelebihan perbuatan Rasulullah SAW pula dapat dilihat dari berapa sudut. Antara ialah:

1. Elok perjalanan hidupnya dan tepat perancangannya.

2. Sederhana dalam melakukan perkara yang disyariatkan tanpa berlebihan atau kekurangan.

3. Tidak menjadikan sahabatnya terlalu cenderung terhadap hal keduniaan dan tidak pula menolak dunia secara keseluruhannya.

Kita tidak menafikan bahawa agenda pendidikan ada digarap dalam pelbagai pendekatan individu dan kumpulan yang beridealismekan perjuangan Rasulullah SAW di zaman kita ini.

Cuma yang harus dimuhasabah adalah setakat mana agenda ini diberi tempat yang utama dan sepatutnya dalam kerangka gerak kerja masing-masing. Juga setakat mana ciri-ciri acuan pendidikan Rasulullah SAW yang hakiki telah dihayati.

Seperti yang dihimbau di atas, sebagai pendidik ulung, acuan pendidikan Rasulullah SAW dicirikan oleh gaya penerangannya yang jelas, tuturan yang fasih, gaya bahasa yang indah, isyarat fizikal yang menawan, sinaran roh yang memancar, sifat kasih sayang yang tebal serta kebijaksanaan yang tiada tolok bandingnya. Semoga kita semua mampu menterjemahkannya dalam diri dan organisasi kita.

Related Documents


More Documents from ""