Modal Pengupayaan Melayu, Islam

  • Uploaded by: egahmulia
  • 0
  • 0
  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Modal Pengupayaan Melayu, Islam as PDF for free.

More details

  • Words: 3,768
  • Pages: 9
MODAL PENGUPAYAAN ISLAM, MELAYU Petikan titah utama Raja Muda Perak, RAJA NAZRIN SHAH IBNI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH di Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Perak, Ipoh pada 13 Julai 2009 Allah SWT telah mencipta gajah sebagai haiwan bersaiz besar. Pernah dikisahkan akan pelbagai tafsiran enam orang buta yang memberi deskripsi akan rupa bentuk gajah; yang memegang ekor menyamakan dengan tali, yang memegang kaki menyamakan dengan tiang, yang memegang telinga menyamakan dengan kipas, yang memegang badan menyamakan dengan dinding, yang memegang belalai menyamakan dengan ular dan yang memegang gading menyamakan dengan tombak. Melayu adalah bangsa yang besar yang telah diberikan pelbagai tafsiran. Melayu adalah satu istilah yang lama, dianggap sebagai istilah yang paling mengelirukan di rantau Asia Tenggara, hinggakan setiap takrif mengundang kepada persoalan baru. Melayu boleh ditakrif dari pelbagai sudut, secara negara - secara negeri, secara bahasa secara budaya, secara adat - secara agama. Bahawa Alam Melayu boleh dikaji berasaskan geografi, sejarah, bahasa, budaya dan politik. Melayu adalah bangsa yang pernah gemilang, memiliki sejarah, budaya dan tamadun - pernah mencipta nama - mencipta keagungan. Bangsa Melayu itu bangsa yang bertanah air - bangsa yang bernegara, memiliki Raja yang berdaulat - memiliki kerajaan yang terhormat. Umumnya bangsa Melayu itu mengambil sikap yang sangat terbuka, bebas membentuk cara hidup dan adat, tidak terikat dengan yang lain, laksana buluh, tumbuh dan bergerak sendiri dengan penuh autonomi, bagaimanapun diikat oleh akar yang satu. Dalam konteks Tanah Melayu, di penghujung pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka, Melayu dirujuk sebagai kumpulan penduduk yang tinggal cukup lama di Melaka, bertutur bahasa Melayu dan memperlihatkan citra kesetiaan seorang rakyat kepada Sultan. Budaya Melayu yang menghormati dan menjunjung titah Raja telah melahirkan satu rumpun masyarakat yang berdisiplin lagi mematuhi undang-undang, telah menjamin suasana aman lagi tenteram, stabil lagi harmonis, membolehkan pembesar dan rakyat, dagang dan senteri, menumpukan usaha bertani dan berladang, bertukang dan berdagang, berkeluarga dan bermasyarakat, berkampung dan bernegara, membina kemakmuran - melimpah kesejahteraan. Titah Utama ini memilih takrif Melayu menurut yang terkandung dalam Perlembagaan Negara. Bahawa orang Melayu itu menganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan kebudayaan Melayu. Berasaskan takrif tersebut, Melayu di Malaysia bukan terikat kepada darah keturunan, tetapi dicirikan oleh faktor-faktor agama, budaya dan bahasa. Sebagai pribumi di bumi Melayu ini, bangsa Melayu merupakan urat dan nadi negara; hakikat ini jangan sama-sekali dipertikaikan. Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan setiap umat Melayu di Malaysia. Kedatangan Islam mengubah penganutan agama keseluruhan bangsa Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh Allah SWT. Proses pengislaman di alam Melayu dalam masa yang singkat merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat. Penerimaan Islam di kalangan orang Melayu adalah menarik kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sudah wujud dalam masyarakat, memperlihatkan kebijaksanaan orang Melayu melakukan asimilasi dalam penyesuaian sistem kepercayaan lama dengan yang baru. 1

Ajaran Islam yang lengkap lagi menyeluruh dapat difokuskan kepada empat elemen utama: Pertama: aturan hubungan manusia dengan Tuhan Kedua: aturan hubungan sesama manusia Ketiga: aturan hubungan manusia dengan alam Keempat: penerangan akan tujuan hidup manusia Islam menyeru kepada kemakrufan serta menjauhi kemungkaran (amar makruf nahi mungkar). Islam menyeru kepada pembinaan sifat-sifat positif seperti rajin, disiplin, tekun, ikhlas, amanah, jujur, berfokus (khusyuk), berilmu dan sebagainya. Islam, berperanan sebagai kompas, memandu bangsa Melayu melayari bahtera dalam lautan kehidupan di dunia, melakukan amar makruf untuk memenuhi keperluan duniawi, juga sebagai persiapan ukhrawi. Bangsa Melayu telah melalui evolusi budaya yang panjang. Berlaku proses-proses penyesuaian adat yang diwarisi untuk diselaraskan dengan risalah ajaran Islam. Akhirnya terbina keperibadian yang memberikan identiti bangsa Melayu beragama Islam. Paradigma budaya bangsa disandarkan kepada adat, dan adat pula bersendi hukum, hukum bersendi Kitabullah bermaksud Kitab Allah iaitu al-Quran. Islam telah mengubah cara masyarakat Melayu berfikir. Agama Islam berserta budaya Melayu berkerajaan, berasaskan prinsip negeri beraja - rakyat bersultan adalah faktor utama yang mempengaruhi pembentukan jiwa raga - membina jati diri orang Melayu. Islam dijunjung - Raja disanjung. Hubungan tertib lagi beradab antara Raja dan rakyat serta rakyat dan Raja telah mengalirkan adat budaya, budi pekerti dan sopan santun yang amat halus lagi indah, mengupayakan umat membina persekitaran hidup yang aman lagi harmonis, makmur lagi sejahtera. Agama Islam telah diterima dari atas ke bawah; oleh itu struktur pemerintahan tidak berubah malah disesuaikan dengan kehendak Islam dan boleh ditafsirkan hanya menyentuh kedudukan sistem itu sendiri. Setelah menganut Islam, Raja yang memerintah dilenyapkan hubungan batiniah dengan para dewa tetapi dihubungkaitkan dengan Allah dan Rasulullah serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia. Raja diberi gelaran Sultan, diberi kuasa yang lebih besar kerana kini Baginda telah diiktiraf sebagai Khalifah di dunia. Dalam hasrat mahu memancarkan doktrin kepimpinan selaras dengan ajaran Islam, perawi Sejarah Melayu merakamkan hubungan antara Raja-Raja Melayu Melaka dengan Allah dan Rasulullah. Melayu dan Islam bagai tidak dapat dipisahkan. Pada hukum adatnya rangkuman bangsa yang besar dengan agama yang besar, boleh membina modal pengupayaan umat yang besar. Namun secara realitinya, membina modal pengupayaan umat, tidak semudah mengguna pakai asas perkiraan matematik atau formula cantuman dua institusi bank atau resipi gabungan dua institusi multinasional. Rangkuman bangsa dan agama memiliki dimensi lain. Sementara komponen Islam itu merupakan komponen yang berada pada tahap kesempurnaan, komponen bangsa memiliki pelbagai variabel yang boleh berubah, bertukar ganti dan sukar diramal. Bahawa bangsa itu terdiri daripada manusia yang memiliki akal dan nafsu; memiliki perasaan dan emosi, memiliki kehendak dan cita-cita, memiliki niat baik dan niat jahat. Bahawa selain mendapat perlindungan para malaikat, manusia turut terdedah kepada godaan Iblis. 2

Islam sebagai pegangan telah ditafsirkan oleh akal manusia dengan pelbagai tafsiran dan turut terdedah di peringkat amalan kepada pengaruh nafsu manusia untuk dijadikan landasan - dijadikan pakaian, tidak terkecuali dijadikan simbol - dijadikan instrumen. Dalam era pra dan pasca Perang Dunia Kedua, orang Melayu mula secara terbuka membangkitkan isu-isu berkaitan dengan nasib dan masa hadapan bangsa dan mula bergerak aktif dalam kegiatan politik tanah air. Dinamik politik berteraskan gerakan nasionalisme Melayu dan dinamik politik berpaksikan Islam selanjutnya berkembang di negara ini. Kewujudan parti politik berteraskan kebangsaan Melayu dan parti politik berpaksikan Islam laksana kelahiran kembar politik dari perut bumi yang sama. Kembar politik yang keanggotaannya terdiri daripada insaninsan yang sama-sama berbangsa Melayu dan sama-sama beragama Islam. Sepatutnya politik yang berakarkan bangsa dan berpokokkan Islam berupaya memperkuatkan modal pengupayaan umat - menyuburkan pohon yang kukuh, tidak goyang di tiup angin - tidak goncang dilanda ribut. Namun peranan saling melengkapi nyata tidak berlaku. Realiti politik tidak memperlihatkan kembar politik ini bersifat identical. Asas-asas utama perjuangan untuk kemerdekaan, untuk agama, untuk bangsa, untuk negara, gagal mencantumkan roh dua tenaga politik Melayu-Islam ini. Sub-budaya matlamat, perbezaan penekanan serta kaedah perjuangan lebih dominan dan beransuransur menjadi faktor pemisah. Tulisan jawi - tulisan rumi, kopiah putih - songkok hitam, baju Melayu - jubah Arab, meletakkan Melayu Islam itu berada dalam dua aliran sungai yang mengalir selari tetapi enggan bertemu. Percantuman dua kembar politik ini pernah berlaku berikutan peristiwa hitam 13 Mei 1969, tetapi hanya untuk satu tempoh yang singkat. Percantuman tersebut, meskipun berlaku dalam tempoh yang singkat, merupakan puncak kepada perpaduan politik bangsa dan ummah di tanah air ini, yang sekali gus memperkukuhkan modal pengupayaan umat. Era tersebut adalah era penyatuan, era paling produktif kepada bangsa dan ummah, era yang telah menghasilkan dasar-dasar yang dapat mengoptimumkan kebaikan ummah, antara yang paling signifikan adalah Dasar Ekonomi Baru. Melayu Islam kemudiannya kembali terpisah. Sehari demi sehari semakin jauh. Retakretak yang berlaku bagaikan membawa belah. Bahawa retak-retak yang berkemungkinan membawa belah, semakin melukakan jantung insan Melayu, semakin menghiris hiba hati kecil umat Islam. Sesungguhnya insan Melayu dan umat Islam senantiasa meletakkan harapan - tidak berhenti memanjatkan doa, agar Melayu dan Islam berpisah tiada - agar Melayu dan Islam kekal bersatu. Betapa luka - betapa hibanya bangsa menonton ironi yang berlaku. Di manakah salah ibu mengandung hingga bangsa yang serumpun enggan membina silaturahim, di manakah silap ibu mengandung hingga insan yang seagama enggan bersaudara. Islam tidak senantiasa menjadi landasan pilihan dalam mengharungi perjalanan hidup. Tergelincir dari landasan bagaikan satu norma dan bangsa Melayu hanya kembali kepadanya pada waktuwaktu menghadapi kegelapan dan kesulitan, pada waktu-waktu permulaan hayat ketika menyambut kelahiran bayi, ketika jodoh dipertemukan, dan ketika menemui pengakhiran hidup apabila jasad disemadikan di liang lahad. Pengupayaan umat ditentukan ketika umat menghadapi cabaran besar. Arnold Toynbee, pakar sejarah Inggeris dalam buku A Study of History, setelah mengkaji asas kelahiran 21 tamadun, merumuskan bahawa faktor utama membina tamadun yang gemilang ialah pengupayaan umat menghadapi cabaran; lalu umat terdorong menyatukan kekuatan, menggabung sepenuh tenaga - merangkum sepenuh usaha untuk sama-sama mengatasi 3

cabaran, baik yang berbentuk alam semula jadi atau peristiwa besar seperti peperangan, tekanan ekonomi, bencana alam dan perubahan pemerintahan. Akhbar Mingguan Malaysia demikian juga Berita Minggu, terbitan 12 Julai 2009 menyiarkan makalah khas susulan berita Natrah Maarof atau Bertha Hertogh meninggal dunia ketika mencapai usia 72 tahun, akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada Khamis 9 Julai 2009. Kisah Natrah Maarof telah 59 tahun berlalu. Namun ia kekal menjadi sebahagian daripada ingatan kolektif dan tercatat kuat dalam memori bangsa Melayu kerana peristiwa Rusuhan Natrah di Singapura pada 12 Disember 1950. Orang Melayu berasa pilu dengan peristiwa Natrah. Akhbar-akhbar tempatan menegaskan pentingnya memperbetulkan laporan tidak tepat media Barat. Media Barat melaporkan orang Islam bertindak agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam kepada ibu bapanya yang beragama Kristian hingga mencetuskan rusuhan; 18 terbunuh dan 173 cedera apabila tentera menembak para perusuh yang terdiri dari orang Melayu. Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan tersebut adalah kemarahan orang Melayu terhadap akhbar Straits Times ketika itu, yang berulang kali secara provokatif menyiarkan gambar Natrah (yang beragama Islam), melutut di hadapan patung Virgin Mary. Umat Islam bertanya bagaimanakah perasaan penganut agama Kristian jika melihat seorang kanakkanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat. Pilihan Raya Umum Ketiga berlangsung pada 10 Mei 1969. Keputusan pilihan raya tersebut telah memberikan keghairahan keterlaluan di kalangan orang bukan Melayu yang merayakan prestasi pencapaian parti-parti pembangkang. Cara sambutan kemenangan hingga ke peringkat membawa penyapu di atas lori, bagai mahu menghalau orang Melayu dari kampung halaman sendiri, telah mencetuskan peristiwa berdarah pertempuran kaum pada 13 Mei 1969. Kesabaran orang Melayu ketika itu nyata terlebih uji dan provokasi yang keterlaluan tidak dapat menahan kemarahan orang Melayu dari meluap. Terkandung pengajaran penting daripada Peristiwa Natrah di Singapura pada Disember 1950 dan Peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur pada tahun 1969. Pertama: berkaitan jati diri Melayu dalam konteks Nusantara; kedua: agama Islam yang menjadi jati diri bangsa Melayu; ketiga: jati diri bangsa untuk mendapatkan kemerdekaan dan juga mempertahankan kemerdekaan; keempat: orang Melayu mempunyai batas dalam sifat terbukanya. Bahawa agama Islam yang menyeru kepada perdamaian dan bangsa Melayu yang bersifat sopan dan sedia menerima bangsa lain, mempunyai batas sempadan kesabaran; selagi agamanya tidak dicabar, selagi adat budaya bangsanya tidak dipijak selagi kehormatan dan maruah bangsanya tidak dihina, selagi salah silah warisan sejarah tanah airnya tidak diungkit. Hari ini umat Melayu Islam sedang menghadapi cabaran besar menyentuh identiti, menyentuh maruah, menyentuh martabat, menyentuh kelangsungan bangsanya. Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat. Bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat towering personality jauh lebih kecil. Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah. Budaya berpolitik yang sedang berlaku telah memunculkan ketaksuban baru, menjelmakan budaya asabiah, menganjurkan pemikiran bahawa kesetiaan kepada kumpulan wajib diutamakan daripada kepentingan kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh. 4

Akhirnya manusia Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan mencari kelemahan antara satu sama lain. Baik kata-kata yang diungkapkan - mahupun tindakan yang dilakukan, semakin sehari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah yang lebih rendah. Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang akan terus berlaku lagi. Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat - memperdayakan bangsa demi memenuhi nafsu sendiri. Bangsa bagaikan sedang menghitung hari untuk dapat terus bertahan di tampuk kuasa. Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan, akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang, kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu. Kukur apa kepada kukur, kelapa juga yang binasa. Demi meningkatkan keupayaan modal umat, insan Melayu Islam wajib belajar dari kesilapan, wajib meneliti keterlanjuran yang dilakukan, dan Kembalilah! Kembalilah ke pangkal jalan - Lakukanlah! Lakukanlah pembetulan. Insan Melayu Islam hendaklah bijaksana mengenal kawan - hendaklah arif mengenal lawan; jauhkan diri dari berpatah arang - berkerat rotan dan merenung akan pentingnya menjiwai semangat kiambang yang kembali bertaut selepas biduk berlalu. Jangan sampai umat Melayu Islam menjadikan dirinya kuda trojan memudahkan musuh masuk ke dalam kota bangsanya. Usaha penyatuan ummah amat wajib dirintis dan melalui penyatuan tersebut dibina modal keupayaan dalam semangat serumpun bangsa - sealiran agama. Kesetiaan kepada perjuangan yang murni lagi suci haruslah mengatasi kesetiaan kepada individu atau kesetiaan kepada kumpulan. Berpijaklah kepada kenyataan - berpandulah kepada akal fikiran. Semarakkan semangat silaturahim - hayati semangat bermaaf-maafan. Bahawa Melayu itu bangsamu dan Islam itu agamamu. Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui hakikat keesaan Allah, Tuhan yang satu, dan Nabi Muhammad SAW itu adalah Rasul junjungan, Quran itu kitab pegangan, dan secara bersama sepakat menghadap kiblat melakukan ibadat sembahyang, serta menerima orang Islam itu sebagai saudara. Semoga barang disimpangkan oleh Allah SWT juga, Melayu Islam di bumi ini daripada ditimpa petaka - dihujani bala, hingga tidak bernegara lagi. Sekurang-kurangnya kata dan ungkapan Paduka Anakanda ini menjadi bukti lafaz setia kepada takhta pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan serta tanda kasih kepada negeri dan bangsa; agar nanti apabila Paduka Cucunda Raja Azlan Muzzaffar Shah telah mencapai usia dewasa, tidak akan dia menyalahkan Paduka Anakanda atas ketidakberanian Paduka Anakanda memberikan peringatan kepada bangsa. Bahawa yang perlu dipertahankan itu, bukan sekadar batang tubuh peribadi seorang Raja tetapi Kerajaan Baginda; kerana tanpa Kerajaan tidak akan wujud sebuah negara, tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa. Utusan Malaysia, Rabu 15 Julai 2009

'RINTIS PENYATUAN MELAYU' Oleh ANI AWANG [email protected] IPOH 14 Julai - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu usaha penyatuan umat Melayu dirintis bagi membina keupayaan kaum itu dalam semangat serumpun bangsa dan sealiran agama. 5

Bagi memastikan hasrat murni itu tercapai, baginda bertitah semua pihak harus mengetepikan kesetiaan kepada individu atau kumpulan. "Berpijaklah kepada kenyataan, berpandulah kepada akal fikiran. Semarakkan semangat silaturahim, hayati semangat bermaaf-maafan, bahawa Melayu itu bangsamu dan Islam itu agamamu. "Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui hakikat keesaan Allah, Tuhan yang satu dan Nabi Muhammad SAW itu ialah Rasul Junjungan, alQuran itu kitab pegangan dan secara bersama menghadap kiblat melakukan ibadat sembahyang, serta menerima orang Islam itu sebagai saudara," titahnya. Baginda menyatakan demikian dalam titah utama bertajuk Islam dan Melayu: Modal Pengupayaan Umat pada majlis perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Dewan Bankuet bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini. Raja Nazrin menegaskan, budaya berpolitik yang sedang berlaku menyebabkan ketaksuban baru sehingga menjelma budaya assabiyah, yang mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan berbanding kelangsungan ummah. Titah baginda, keadaan itu akhirnya menyebabkan Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan kelemahan antara satu sama lain. Lebih malang lagi, menurutnya, apabila kata-kata yang diungkapkan mahupun tindakan yang dilakukan, semakin hari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah. "Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang akan terus berlaku lagi? Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat, memperdaya bangsa demi memenuhi nafsu sendiri?" titah baginda. Raja Nazrin mengingatkan, jika perkara itu terus berlaku maka bangsa Melayu hanya menghitung hari untuk kehilangan tampuk kuasa. "Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang. "Ini kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu," titahnya. Baginda bertitah, umat Melayu Islam kini sedang menghadapi cabaran besar menyentuh identiti, maruah, martabat dan kelangsungan bangsanya. "Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat. "Namun, bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat personaliti melangit jauh lebih kecil. "Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah," titah baginda. Lebih malang lagi, menurutnya, apabila kata-kata yang diungkapkan mahupun tindakan yang dilakukan, semakin hari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah. 6

“Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang akan terus berlaku lagi? Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat, memperdaya bangsa demi memenuhi nafsu sendiri?” titah baginda. Raja Nazrin mengingatkan, jika perkara itu terus berlaku maka bangsa Melayu hanya menghitung hari untuk kehilangan tampuk kuasa. “Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang. “Ini kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu,” titahnya. Baginda bertitah, umat Melayu Islam kini sedang menghadapi cabaran besar menyentuh identiti, maruah, martabat dan kelangsungan bangsanya. “Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat. “Namun, bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat personaliti melangit jauh lebih kecil. “Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah,” titah baginda. Utusan Malaysia, Rabu 15 Julai 2009

UNIFICATION OF MALAYS IS MOST IMPORTANT - RAJA NAZRIN 15/07/2009 3:06am IPOH July 14 — It is obligatory for the Malays to make efforts to unite to build human capital in the spirit of a common race and religion, said the Raja Muda of Perak, Raja Dr Nazrin Shah. In his speech entitled ’Islam and the Malays: the Muslims’ Human Capital’ at the Muslim Intellectuals Discussion 2009, here today, he said loyalty to a cause that was noble and holy should be given more importance than loyalty to the individual or group. “Be realistic - be governed by reasoning. Spread the spirit of friendship - believe in the spirit of forgiveness. Malay is your race and Islam is your religion,” he said. Raja Dr Nazrin said the Malays today were facing a major challenge concerning identity, integrity, status and survival of the race. “The number of Muslim Malays is small. The number of Muslim Malays with knowledge, who are professionals, rich, possessing the qualities of towering personality is even much smaller. “The separation of the Malays and Islam in differing groups, who are being led by personalities who refuse to meet with one another, will certainly weaken the Muslims even further,” he said. The Raja Muda said the current political culture had created a new obsession, the emergence of a group culture, promoting the belief that loyalty to the group must be given priority above the survival of the ummah.

7

He said the Muslim Malays would eventually be trapped in the race to find faults and weaknesses among themselves which would weaken the race even further. “As a result, the human capital of the Muslims became weaker. How many more of them are prepared to become opera actors, wear the Muslim and Malay masks, to ridicule the ummah - dupe the community to fulfill their own desire,” he said. Earlier, the Sultan of Perak, Sultan Azlan Shah officially declared the discussion open. Three working papers would be tabled at the discussion organised in conjunction with the 81st birthday anniversary of Sultan Azlan. The papers would be presented by the President of Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang, Datuk Dr Sidek Fadzil; the Vice-Chancellor of Kolej Universiti Islam Antarabangsa Melaka (KUIM), Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusuf Hashim and the President of the ’Teras Keupayaan Melayu’ (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid. — BERNAMA Utusan Malaysia Online (English Version), Rabu 15 Julai 2009

MELAYU BERJAYA SELAGI BERSATU, HAYATI ISLAM Oleh Mohd Feroz Abu Bakar [email protected]

Ummah perlu diperkukuh hadapi cabaran: Sultan Perak IPOH: Bangsa Melayu perlu diberi peringatan, panduan dan bimbingan sepanjang hayat untuk terus maju dan bersatu padu serta bijak menggunakan sumber harta, kekayaan, kewangan dan modal insan. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah kuat atau lemah bangsa itu bergantung kepada kejayaan orang Melayu membina perpaduan. “Dalam hasrat membina perpaduan yang kukuh, bangsa perlu bijak mencari kejernihan dan membuang yang keruh, bersandarkan semangat persaudaraan Islam. “Bangsa Melayu hari ini perlu berusaha mencari titik pertemuan supaya bangsa itu akan terus memiliki daya tahan dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi,” titah baginda menyempurnakan Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di sini, semalam. Turut berangkat Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja di-Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Sultan Azlan bertitah, jika bangsa Melayu menghayati ajaran Islam sepenuhnya dan penghayatan itu dijelmakan dalam segenap aspek pekerjaan dan kehidupan harian, kejayaan bangsa akan terus ditingkatkan dan perpaduan bangsa akan bertambah erat. Titah baginda, dengan menghayati Islam sepenuhnya, bangsa Melayu akan didorong mengamalkan etika kerja yang tinggi, bersih, cekap dan amanah, bebas daripada salah guna kuasa, penyelewengan atau melakukan rasuah.

8

“Jika bangsa Melayu dapat disemai dan memiliki sifat sedemikian, bangsa Melayu akan menjadi bangsa yang mulia, dihormati dan disegani, sebaliknya, bangsa yang gagal menghayati dan mengamalkan sifat sedemikian akan jatuh dan terpinggir di dunia ini,” titah baginda. Sementara itu, Raja Nazrin dalam ucapan utama pada muzakarah itu bertitah, budaya politik negara kini mewujudkan ketaksuban baru, menganjurkan pemikiran bahawa kesetiaan kepada kumpulan wajib diutamakan daripada kepentingan kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh. “Ketaksuban itu mengakibatkan orang Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan mencari kelemahan antara satu sama lain. Baik kata yang diungkapkan, mahupun tindakan yang dilakukan, semakin sehari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah yang lebih rendah. “Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat, memperdaya bangsa demi memenuhi nafsu sendiri. “Bangsa bagaikan sedang menghitung hari untuk terus bertahan di tampuk kuasa. “Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan, akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang, kerana yang menang menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu,” titah baginda. Raja Dr Nazrin bertitah, penubuhan Umno pada 1946 dan Pas pada 1951 mewujudkan dinamik politik berteraskan gerakan nasionalisme Melayu dan dinamik politik berpaksikan Islam. Titah baginda, kewujudan parti politik berteraskan kebangsaan Melayu dan parti politik berpaksikan Islam. Baginda bertitah, sepatutnya politik berakarkan bangsa dan berpokokkan Islam berupaya memperkuat modal pengupayaan umat, menyuburkan pohon yang kukuh, tidak goyang ditiup angin, tidak goncang dilanda ribut. Berita Harian, Rabu 15 Julai 2009

9

Related Documents


More Documents from "Oghie Setiadi"