Mengapa Rakyat Tidak Puas Hati

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Mengapa Rakyat Tidak Puas Hati as PDF for free.

More details

  • Words: 1,107
  • Pages: 3
Mengapa Rakyat Tidak Puas Hati ? Sunday, 12 April 2009

Ketika saya menulis artikel ini, saya sekali lagi dalam perjalanan ke Prague, Republik Czech. Kali ini saya akan bertemu dengan sejumlah besar bakal doktor perubatan negara kita. Minggu lepas saya di Doha dan Dubai bertemu dengan orang-orang Malaysia yang sudah hidup selesa hasil limpahan kekayaan dua negara Teluk tersebut. Mereka kebanyakannya professional muslim. Namun sepanjang pengamatan saya kebanyakan professional ini menyimpan perasaan tidak puas hati, bahkan mungkin ke peringkat ‘benci’ terhadap politik negara, terutama tingkahlaku ramai individu dalam parti kerajaan yang berkuasa. Demikian juga sepanjang saya bertemu dengan para pelajar luar negara terutama di peringkat pengajian tinggi Ph.D. Barangkali pendedahan mereka kepada fakta dan dunia menjadikan mereka begitu kritis. Saya cuba amati apakah di sebalik ketidakpuasan itu? Maka saya mengharapkan ruangan Mingguan Malaysia atas dasar kebebasan media dan juga kebaikan untuk kerajaan itu sendiri akan terus mengizinkan saya bercakap benar dalam ini. Sehari dua ini telefon bimbit dan email saya dipenuhi mesej daripada rakyat Malaysia daripada berbagai lapisan yang mengulas tentang pembentukan kabinet baru. Bermacam curahan perasaan dan ulasan dihantar kepada saya agar dapat saya melontarkan pandangan melalui media cetak atau dunia maya. Saya sebenarnya telah pun melontarkan pandangan tentang pembentukan kabinet sebelum ini. Saya cadangkan dalam menangani suasana politik yang ada, selain daripada memastikan anggota kabinet terdiri daripada mereka yang telus dan mempunyai rekod yang bersih, dilantik juga beberapa anggota pembangkang yang berkemampuan memegang beberapa kementerian, atau sekurang-kurangnya sebagai timbalan menteri. Ini tentu mempunyai unsur kejutan dan menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk bersikap telus dan berkongsi inspirasi rakyat. Tidak memerlukan kerajaan campuran. Berbalik kepada kehendak rakyat, apakah sebenarnya kehendak rakyat? Samada seseorang rakyat itu sedar atau tidak, ilmu IR (International Relations) menyebut ada lima nilai asas sosial (basic social values) yang rakyat harap negara atau kerajaan menjaminnya untuk mereka. Perkara-perkara tersebut adalah security (keselamatan), freedom (kebebasan), order (peraturan), justice (keadilan) dan welfare (kebajikan). Sebagai muslim saya mungkin menambah penegakan Islam sebagai prinsip dalam mengawal asas-asas tersebut. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 55: (maksudnya) Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah (yang memegang kuasa pemerintahan) di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan mengukuhkan agama mereka (Islam)

yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan untuk mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa yang kufur sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. Apabila asas-asas ini hilang, samada kesemua atau sebahagian daripadanya, maka kita akan melihat kegusaran rakyat dan tidak puashati yang akan kedengaran di sana-sini. Di saat itu, mana-mana sahaja gerakan yang cuba menyeru kembali kepada asas-asas ini samada dalam bahasa kampung atau bandar, maka rakyat akan menyokongnya. Rakyat awam itu mungkin tidak tahu secara akademik tentang asas-asas ini, tetapi perasaan dan naluri kerakyatan mereka itu sentiasa menuntut agar asas-asas ini dijamin untuk mereka. Lebih tinggi pengetahuan dan pendedahan ilmu yang dimilki oleh seseorang rakyat akan menjadikan mereka lebih sensitif tentang asas-asas ini. Mari kita lihat keperluan asas-asas ini bagi kehidupan rakyat dalam sebuah negara, sebelum melihatnya di sudut antarabangsa. Rakyat sesebuah negara inginkan keselamatan mereka terjamin dari ancaman samada luar ataupun dalam. Mereka perlukan keselamatan negara yang kukuh dan kerajaan yang teguh. Keselamatan harian juga mesti terkawal. Malaysia kini jenayah saban hari meningkat. Rakyat hidup dalam ketakutan terhadap nyawa dan harta benda mereka. Pembunuhan, penyeksaan, rompakan, kecurian dan berbagai lagi jenayah yang mengancam keselamatan rakyat. Kedai dan kediaman selalu menjadi sasaran rompakan dan kecurian. Ini menyebabkan rakyat merasakan kerajaan tidak teguh dan gagal berfungsi dengan baik. Apatahlagi jika kepercayaan rakyat terhadap pihak keselamatan juga tergugat. Kemudian, selain kemerdekaan negara, rakyat perlukan kebebasan dalam kehidupan. Hakhak asas mereka dalam kepercayaan, pemilikan, pendidikan, pendapat dan seumpamanya hendaklah terjamin. Memang, kebebasan ada hadnya sesuai dengan norma dan prinsip yang dipegang oleh sesebuah negara, jika tidak rosaklah keadaan. Namun had tersebut hendaklah ditetapkan atas kepentingan negara, bukan individu politik yang berkuasa. Apabila kebebasan asas mereka dirampas, rakyat akan melihat kerajaan sebagai musuh, bukan sebagai pelindung. Demikian rakyat harapkan peraturan dan keadilan agar berfungsi secara baik dan saksama. Peraturan yang baik hendak teguh dan berfungsi serta berjalan untuk semua secara tidak berat sebelah. Layanan untuk setiap rakyat hendaklah adil. Jangan ada yang terlepas dari peraturan atau undang-undang yang ditetapkan disebabkan kedudukan dan politik. Tiada sultan atau raja atau penguasa politik yang boleh mengatasi undang-undang dan peraturan yang disepakati. Jangan ada yang naik pangkat atau mendapat sesuatu pemberian daripada kerajaan tanpa mengikut peraturan. Di sudut undang-undang, setiap pesalah hendaklah dihukum secara adil tanpa berat sebelah ataupun zalim. Apabila kecacatan ini berlaku, kepercayaan rakyat akan hilang dan mula menganggap kerajaan sebagai tidak amanah dan tidak adil. Seterusnya rakyat mengharapkan kerajaan menjamin kebajikan mereka. Kerajaan hendaklah berusaha meletakkan polisi yang baik memboleh rakyat hidup dengan selesa di sudut ekonomi dan keperluan asas kehidupan di zaman kini. Kerajaan mesti menyuburkan perkembangan

ekonomi, memberikan peluang yang saksama, mengatasi kemiskinan, menjamin keperluan asas rakyat seperti pendidikan dan perubatan terutama bagi yang tidak berkemampuan. Begitu seterusnya. Seperti yang saya nyatakan bahawa sebagai seorang muslim sudah pasti saya ingin melihat asas-asas ini ditegakkan atas prinsip yang syumul lagi mendapat keberkatan. Islam yang adil itu menjamin asas-asas ini sekalipun untuk mereka yang bukan muslim. Kecacatan meletakkan Islam sebagai prinsip kerajaan bagi sesebuah negara yang majoritinya umat Islam akan menimbulkan rasa tidak puas hari rakyat muslim terhadap kerajaan mereka. Hendaklah kita sedar, majoriti umat Islam di negara-negara mereka di seluruh dunia mahukan Islam menjadi prinsip dan asas pembentukan negara. Hakikat ini dirumuskan oleh John L. Esposito setelah membuat bancian dan kajian tentang hal ini di seluruh negaranegara umat Islam. Beliau nyatakan kesimpulan ini dalam bukunya ‘Who Speaks For Islam’. Bertitik tolak dari pokok pangkal ini, maka jika rakyat kurang atau tidak puas hati dengan sesebuah pemerintahan, maka kerajaan tersebut hendaklah menyemak dirinya tentang asas-asas tersebut apakah telah dijamin dengan baik atau ada kecacatan yang jelas. Jika asas-asas itu dibaiki sehingga rakyat kembali selesa dan merasai fungsi kerajaan menjaminnya untuk mereka, saya percaya kerajaan dengan mudah akan dapat memenangi perasaan rakyat. Juga hendaklah sesebuah kerajaan seperti negara kita sedar bahawa dunia moden hari ini menyebabkan sesebuah kerajaan sukar menyembunyikan lagi kesalahan dan kecacatannya. Pencerobohan ke atas asas-asas ini akan tersebar dengan pantasnya dan menjadi perbualan dan tidak puashati rakyat. Jika ia berlarutan ia menjadi barah dendam yang tidak dapat diubati lagi. Saya mungkin tidak ingin mengulas anggota-anggota kabinet kerajaan kita yang baru, tetapi saya ingin bertanya atau mengharapkan mereka dapat memastikan asas-asas ini dijamin untuk rakyat. Jika tidak, perasaan tidak puashati itu tidak dapat diubati dengan sekadar lautan slogan dan janji.

Related Documents