Mempertahankan Kemenangan, Melestarikan Kebajikan

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Mempertahankan Kemenangan, Melestarikan Kebajikan as PDF for free.

More details

  • Words: 5,444
  • Pages: 27
1 MEMPERTAHANKAN

KEMENANGAN,

MELESTARIKAN

KEBAJIKAN Bismillahirrahmanirrahim Wassolatu wassalam ala asyrafil anbiya’ wal mursalin, wa ala alihi wasohbihi wasallam

”Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui

(hakikat

yang

sebenarnya).

(Dengan

itu)

Allah

akan

mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam tamantaman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di

2 tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. ( as-Soff : 1013 ) Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w.dan ummahatul mukminin, serta para sahabat dan sahabiyyah, ahlil Bait, juga buat seluruh para mujahidin dan mujahidat Islam di seluruh dunia dari dulu hingga Hari Kiamat. Kita mulakan ucapan dengan lafaz kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi, kerana dengan taufik dan hidayah serta inayah-Nya, kita dapat mengadakan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan kali yang ke-36 pada tahun ini, dengan jiwa dan qalbu yang sarat rasa tanggungjawab untuk mempertahankan Islam, menyambung mata rantai perjuangan yang ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian, Bagi pihak saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan dan panitia Muktamar Tahunan Muslimat Negeri Kelantan kali ini, suka saya mengalualukan kehadiran para tetamu jemputan, para perwakilan dan para pemerhati. Serta yang teristimewa kepada Yang Berbahagia Dato’ Ustaz Hj Mohamed Daud Iraqi, Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat merangkap Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kelantan, kerana sudi untuk hadir menyempurnakan muktamar Muslimat Kelantan pada tahun ini. Semoga Allah Taala akan memberikan ganjaran pahala yang sebaiknya kepada kita semua. Insya Allah.

3

Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian, Jika kita soroti kembali kalendar politik tanahair kita bermula detik 8 Mac 2008 hingga ke saat ini, tepat benarlah ungkapan’tsunami politik’ melanda negara kita . Bermula dengan kejutan dek kecemerlangan tak diduga Pakatan Rakyat pada PRU 12, bantuan demi bantuan anugerah Allah Taala kepada perjuangan Islam diturunkan bertali arus. Angin perubahan rakyat meratai seluruh cerun dan pelusuk negara. Diabsahkan di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pantai Barat berarak awan cerah ke Pantai Timur Kuala Terengganu, mara naik ke dua bukit, Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau menang mengulangi kejayaan di 3 buah negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat meluas ke sebuah lagi negeri jajahan UMNO BN. Alhamdulillah, berkat doa sekalian pejuang kita dimakbulkan Allah Taala mengikut iradat dan perancangan-Nya memberikan kita kemenangan yang bergaya, menjadikan rakyat sepakat

mahukan

perubahan. Rakyat sudah membuktikan kuasa yang ada pada mereka. Rakyat tidak mahu politik dan pemimpin yang sarat dengan rasuah, salah guna kuasa dan buruk akhlaknya. Maka, kuasa rakyat telah terbukti! Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua jentera HalWa Negeri Kelantan di semua peringkat, TERIMA KASIH DAUN KELADI! Satu gandingan gerakkerja yang mantap dan membanggakan dalam membantu kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU 12 dan semua pilihanraya kecil yang lalu. Kepakaran dan kreativiti pendekatan serta kesungguhan muslimat hasil ilmu poltitik dan pengalaman tak terbeli jentera Halwa seluruh Kelantan amat menyerlah dan benar-benar memberi kesan kepada gerakkerja pilihanraya seluruhnya. Usaha jitu dan kerja keras muslimat telah mendapat penghargaan dan pujian daripada semua pihak dan diakui oleh pelbagai lapisan kepimpinan dari seluruh pelusuk negara.

4

Alhamdulillah. Sekali lagi kita kembalikan segala puji-pujian kepada Allah Taala. Kerana dengan keizinan-Nya dan Inayah-Nya jua kita sampai pada tahap sebagaimana adanya kini. Yakinlah, semua ini adalah pertolongan Allah. Maka kita menginsafi akan kemenangan ini juga hakikatnya adalah ujian Allah s.w.t jua kepada kita semua. Marilah kita memanjatkan rasa syukur yang tidak putus kepada Allah dan mohon dijauhkan daripada perasaan riya’ dan takabbur. Justeru, ujian lebih besar kepada kita semua adalah untuk nekad mempertahankan dan melebarkan kemenangan ini dengan istiqamah dalam perjuangan ini dan mengisi kemenangan dan harapan yang telah diimpikan oleh semua rakyat. Inilah cabaran besar yang kita perlu hadapi bersama. Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian, Dalam ayat-ayat dari surah al-Soff yang saya bacakan tadi, jelas menyatakan bahawa beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berjuang menegakkan agama-Nya dengan harta dan nyawa, adalah satu perniagaan yang amat menguntungkan. Pulangan hebatnya berupa pelepasan daripada seksaan api neraka yang dahsyat dan keamanan dalam syurga yang serba indah. Janji Allah s.w.t juga adalah pertolongan-Nya yang tiada bertepi dan seterusnya KEMENANGAN yang dekat dan pasti! Subhanallah. Janji Allah adalah benar dan Dia tidak akan sekali-kali mungkir dengan janji-janji-Nya. Lima Paksi Kesejahteraan dan Kemakmuran Negara Sebagai wadah gerakan Islam tertua di negara ini, semua polisi dan strategi haruslah berpaksikan Islam. Dalam usaha mengekalkan kemenangan, dan juga mengisi kemenangan dengan agenda Islam yang sebenarnya, kita akan menemui pelbagai mehnah dan cabaran. Sudah pastilah, praktikalnya tidak semudah teori

5 yang dipelajari atau diucapkan. Pengalaman memerintah Kelantan hampir dua dekad mengajar kita erti kemenangan. Namun, itulah tugas utama manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Kuasa pemerintahan yang diberikan oleh Allah Taala, adalah satu amanah dan ujian kepada kita manusia di dunia sementara ini, demi keredhaan Ilahi. Allah Taala menciptakan langit dan bumi sebagai prasarana untuk manusia. Manusia yang menjadi pentadbirnya haruslah mengikut acuan dan modus operandi yang telah dibekalkan oleh Allah Taala. Ia itulah

Al-Quran dan

Sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam mentadbir alam ini, pesanan Baginda Rasulullah s.a.w. selaku pemimpin ulung dunia Islam menggariskan 5 paksi kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara untuk kita mendalami dan menerima pakainya. 5 paksi tersebut adalah: 1. Ilmu para cendiakawan ( ’ilm al-ulama’ ) 2. Keadilan pemerintah ( ’adl al-umara’ ) 3. Amanah para pedagang ( amanat al-tujjar ) 4. Nasihat para profesional ( nasihat al-muhtarifin ) 5. Amal golongan ahli ibadat ( ’ibadat al-’ubbad ) Gabungan 5 golongan yang sama penting ini akan menghasilkan kesempurnaan dan keutuhan pentadbiran Islam sesuai dengan saranan daripada Baginda Rasulullah s.a.w. tersebut. Oleh itu, saya menggesa agar kita sama-sama memastikan agar kesepaduan 5 paksi tersebut wujud dalam jentera muslimat dan dalam parti yang kita sayangi ini, dan setiap satunya diperkasakan dari semasa ke semasa.

6

Paksi Pertama : Ilmu para cendiakawan ( ’ilm al-ulama’ ) Firman Allah Taala:

Yang bermaksud : ”Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)” – At-Taubah : 122 . Peningkatan tahap keilmuan cerdik pandai dan golongan ulama’ dan ’alimat di pelbagai bidang dalam sesebuah pemerintahan adalah sangat mustahak. Kumpulan cendikiawan yang mempunyai ilmu yang sahih dan mantap perlu bertindak sebagai pakar rujuk dan konsultan oleh semua pihak. Dengan menyedari fakta bahawa 50% pengundi adalah wanita, maka muslimat juga, mesti bangkit mempersiapkan diri masing-masing dengan pelbagai cabang ilmu yang pelbagai dan kontemporari. Disamping ianya akan menaikkan maruah dan martabat individu, lebih aula ianya dimanfaatkan kepada orang ramai di medan dakwah dan perjuangan Islam yang kita dokong.

7

Sidang muktamar yang dirahmati Allah sekalian, Firman Allah Taala:

Yang bermaksud : ”.... Dan wanita-wanita (isteri) itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syara'); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” ( al-Baqarah : 228 ) Juga firman-Nya :

Bermaksud: ”Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” ( an-Nahl : 97) Kita, golongan muslimat, sebagai rakan kongsi dalam pertempuran telah bangkit seiiring dengan golongan muslimin dalam mencari ilmu pengetahuan. Islam sendiri tidak pernah meletakkan had kepada umatnya untuk mencari ilmu berdasarkan gender. Hak yang sama diberikan kepada lelaki dan wanita oleh

8 Islam dalam banyak perkara termasuklah dalam hak keilmuan dan keintelektualan. Jika kita selusuri Sirah Nabawi, pasti kita teruja dengan pelbagai kisah keintelektualan dan ketinggian ilmu para sahabiah dan Ummahatul Mukminin. Antaranya: 1) Saidatina Khadijah r.a., seorang muslimat bangsawan berakhlak tinggi, matang, penyayang dan kental jiwa, terkenal dengan ilmu perniagaan dan keusahawan yang tinggi mampu menyaingi hartawan lelaki sezamannya adalah pejuang Islam yang komited dalam membantu perjuangan Rasulullah s.a.w. dengan harta dan jiwanya sehingga akhir hayatnya; 2) Saidatina Aisyah r.a. yang jelita, tinggi daya intelek dan keilmuannya, kuat berhujjah dan tajam pemikiran sesuai benarlah dengan usianya muda remaja, terkenal sebagai pakar rujuk para sahabat Baginda dalam pelbagai cabang ilmu termasuk ilmu perubatan, feqah dan hadith khususnya selepas kewafatan Baginda s.a.w. Dua contoh tersebut, hanyalah secebis kecil sirah Sahabiah dan Ummahatul Mukminin yang tersohor sebagai wanita yang menjadi contoh dalam banyak hal, setanding bahkan jauh lebih baik dari lelaki dalam banyak hal. Maka, kita muslimat sekalian, haruslah senantiasa mengkaji hal ini, dan seterusnya cuba untuk mengikuti jejak mereka seupaya kita kerana merekalah idola kita. Justeru, saya menyeru kepada semua muslimat sekalian, marilah sama-sama kita mengaktifkan kembali usrah di pelbagai peringkat. Budayakanlah usrah walaupun dalam halaqah yang kecil. Ruhnya akan menyerapi diri kita, dan semestinya nanti daya keintektualan kita sebagai muslimat nadi perjuangan Islam ini akan lebih mantap dan konsisten.

9 Jika golongan muslimat sama-sama dapat membangunkan diri dan minda mereka dengan kemantapan ilmu dan amal, dalam pelbagai bidang, nescaya perjuangan fisabilillah yang kita lalui sekarang ini akan menjadi lebih mantap, efisien dan berkesan. Umur, kewangan, keluarga dan peribadi, seharusnya tidak patut dijadikan penghalang untuk kita terus mencari ilmu dan memantapkan diri agar benar-benar menjadi ulama’ dalam pelbagai disiplin ilmu. Insya Allah. Paksi Kedua : Keadilan pemerintah ( ’adl al-umara’ ) Perspektif Islam tentang politik dan pemerintahan adalah berbeza berbanding perspektif dunia barat. Hubung kait antara agama dan politik dapat ditunjukkan melalui cara Islam meletakkan kedudukannya di jalur tengah iaitu antara kesatuan dan integrasi berbanding

pemisahan dan perpecahan

agama dan

pemerintahan dalam sistem politik barat. Adalah jelas kepada kita, bahawa konsep ketuhanan dalam Islam tidak terbatas dengan perbuatan Allah mencipta alam semata. Sebaliknya, Allah adalah Pengawas dan Pengurus semua jenis makhluk yang diciptakan-Nya termasuk manusia. Sebagaimana firman-Nya :

Bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, lalu dia bersemayam di atas Arasy. Dia menutupkan malam kepada siang dan mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang. (Masing-masing)

10 tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha suci Allah, Tuhan Semesta Alam.” (al-A’raf : 54 )

Manusia dalam tasawwur Islam mempunyai kebebasan untuk menguruskan dunia, tetapi tidak mempunyai kuasa mutlak. Fungsi manusia muslim adalah sebagai KHALIFAH sebagaimana firman-Nya lagi;

Bermaksud : “Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. ( al-Baqarah : 30) Justeru, sebagai khalifah yang dilantik oleh Allah, maka ruang kebebasan politik Islam hendaklah berada dalam bingkai syariat. Inilah yang dinamakan siasah syar’iyyah. Apa yang dimaksudkan dengan siasah syar’iyyah adalah pemerintahan sivil (madani) yang bertunjangkan agama. Islam begitu akur dengan realiti manusia, persekitaran dan zaman yang berubah-ubah. Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian, Golongan muslimat dalam ruang politik semasa, telah banyak diberi peluang untuk sama-sama memegang tampuk pemerintahan sebagai pemimpin di pelbagai peringkat. Samada sebagai Yang Berhormat ADUN, Yang Berhormat Ahli Dewan Rakyat, Yang Berhormat Ahli Dewan Negara, ketua dan pemimpin di peringkat cawangan, DUN dan negeri, dengan pelbagai jawatan, maka muslimat kini telah berperanan dengan begitu cemerlang.

11

Muslimat serba boleh ini telah mengatur langkah penuh amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat, parti dan kerajaan dengan sebaiknya. Cabaran dan mehnahnya bukanlah sedikit, namun ianya bukan menjadi halangan untuk mereka semua melaksanakannya dengan kerjasama semua pihak. Setiap orang yang diberikan amanah sebagai pemimpin, tidak kira lelaki mahupun wanita, mestilah melaksanakan kuasa dan amanah itu dengan adil dan berintegriti. Unsur keadilan ini amatlah penting kerana ianya menjadi satu paksi kesejahteraan dan kemakmuran negeri dan negara. Apakah yang menjadi tunjang utama kepada senario ini? Ianya tidak lain dan tidak bukan, ada satu tunjang yang wujud tapi tidak dapat dilihat dan diukur dengan mata kasar. Ia itulah AQIDAH ISLAM. Adil kepada orang Islam, adil juga kepada orang bukan Islam, kerana kesemuanya adalah rakyat kita yang sah. Dengan aqidah Islam inilah, para pejuang PAS berpaksi sehingga tertubuhnya Kelab Penyokong PAS yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan di segenap ceruk. Kesamarataan inilah pasak agar tidak hanyut dalam badai nafsu dan kejahatan persekitaran dalam alam politik dunia masa kini. Inilah juga yang menjadi perbezaan ketara antara kita dengan perjuangan lawan politik parti lain yang menyerukan api perkauman. Saya ingin menyeru diri saya sendiri, dan seluruh kepimpinan muslimat, samasama kita memperkuatkan aqidah kita kepada Allah Taala supaya kita tidak terjerumus dan mengambil iktibar dengan penyakit-penyakit orang lain di medan perjuangan ini. Budaya kebendaan, budaya ’cah keting’ sesama sahabat, budaya rasuah, budaya bersangka buruk tanpa usul periksa, budaya hasad dengki, melanggar etika akhlak dan garisan syariat atas nama profesionalisme

12 dan sebagainya adalah antara hasil bila lemahnya aqidah Islam dalam diri setiap individu, meliputi pengikut dan pemimpin . Sahabat-sahabat sekalian, yakin dan percayalah, itulah yang akan merosakkan kita dan akan menjerumuskan kita kehinaan di dunia dan seksaan azab neraka di akhirat kelak. Wal ’iyazubillah min zalik. Maka, saya dengan ikhlas hati menyeru diri sendiri dan muslimat sekalian agar senantiasa mencari peluang melibatkan diri dengan masyarakat sekeliling. Mereka semua adalah mad’u kita. Disamping kita perlu menambah ilmu mengenai siasah syar’iyyah atau politik semasa ini, kita perlu praktikkannya secara langsung. Kita perlulah mengaplikasikan formula KBSM dalam usaha memasyarakatkan Islam. Apa itu KBSM? KBSM adalah KAHWIN, BERSALIN, SAKIT dan MATI. Para muslimat sekalian terutamanya para pimpinan dan juga isteri-isteri para pimpinan setempat, perlu mengambil peluang dalam situasi KBSM untuk menyebarkan kasih sayang Islam kepada rakyat terbanyak. Moga dengan keikhlasan para muslimat sekalian, Allah Taala akan menurunkan lebih banyak pertolongan lagi kepada perjuangan Islam di Kelantan, di Malaysia dan juga seluruh dunia. Insya Allah. Paksi ke-3 : Amanah para pedagang ( amanat al-tujjar ) Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian, Tanpa kita sedari, Rasulullah s.a.w. telah berpesan kepada umat manusia lebih 1400 tahun dahulu mengenai faktor-faktor utama kesejahteraan pentadbiran negeri dan negara. Sebenarnya, faktor para peniaga dan usahawan Muslim yang amanah memainkan peranan yang amat besar dalam sesebuah pemerintahan.

13

Sekarang ini kita sedang melalui zaman kemelesetan ekonomi lokal dan global. Seluruh dunia merasai bahananya. Semua orang menjadi cemas dan gelisah. Tidak sedikit kes-kes yang begitu kritikal sehingga ada manusia hilang pedoman dan sanggup membunuh diri bahkan turut mengheret keluarga dalam keputusan akal yang singkat dan sesat itu. Walaupun pelbagai langkah cuba diambil, kesannya masih terasa terutamanya kenaikan harga barang keperluan yang tetap tidak turun. Kegawatan ekonomi yang berlaku, sebenarnya bersifat pelbagai dimensi. Maksudnya ia tidak cuma diakibatkan oleh faktor-faktor ekonomi semata-mata. Tetapi ia juga berkait rapat dengan faktor bersifat non-ekonomi terutamanya dari aspek agama yang berkait dengan perbuatan khianat manusia itu sendiri. Ramai yang tertanya-tanya, pesan dan mesej apakah yang Allah mahu sampaikan melalui musibah ekonomi itu? Memang hanya Allah sahaja yang tahu jawapan tepatnya. Namun, kita seharusnya cuba menangkap isyarat-isyarat yang terdapat dalam al-Quran tentang erti dan implikasi fenomena itu. Mari kita baca apa peringatan Allah Taala dalam hal ini. 1.

Al-Quran menyebut bahawa segala musibah yang menimpa adalah akibat tingkah laku oleh manusia sendiri

” Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu” ( as-Syura :30 )

14 2.

Ada ketikanya, musibah tidak cuma menimpa orang-orang yang zalim sahaja, bahkan semua.

”Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orangorang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya”. ( al-Anfal :25 ) Yakin dan percayalah, musibah itu mempunyai mesej yang tersendiri untuk seluruh umat manusia. Inilah yang dinamakan sebagai ibtila’ ( ujian ). Keimanan dan kesabaran kita semua diuji. Setiap kita, rakyat hinggalah kepada pemimpin dan pemerintah, kita semua diuji. Andai kita lulus ujian itu, dan terus mengucapkan syukur dalam kesabaran yang tidak mengenal putus asa, maka Allah menjanjikan berita baik buat kita. Wabassyiris sobiriin. (sampaikanlah berita baik kepada orang-orang yang sabar ). Ekonomi negara dan dunia seluruhnya, banyak dicemari dengan unsur riba, gharar dan syubhah. Semua unsur inilah yang menjadi faktor datangnya bala daripada Allah Taala. Jika kita mahu keluar dari kemelut ekonomi ini dari terus berulang dan berulang, maka kita perlu bersama-sama memastikan semua unsur tersebut dibersihkan dalam semua urusniaga kita. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui segala urusan dunia ini, kerana Dialah yang menciptanya.

15 Maka, sekali lagi muslimat perlu memainkan peranan yang amat besar dalam hal ini. Muslimat perlu menjadi seorang usahawan besar dalam dan luar rumahtangga dalam hal pembangunan dan pengurusan ekonomi. Antara peranan muslimat adalah : 1)

Mengatur pendapatan dan perbelanjaan peribadi dan keluarga dengan sistematik dan teratur.

2)

Membantu

suami

dan

anak-anak

belajar

menabung

dan

menyimpan. 3)

Menjauhi sistem riba dalam apa jua urusan.

4)

Memastikan diri dan keluarga mengamalkan budaya hidup sederhana dan menjauhi pembaziran

5)

Membudayakan diri dan keluarga untuk berbelanja secara syarie iaitu menurut aturan agama.

6)

Menghentikan budaya berhutang demi mengejar hidup mewah dan bergaya

7)

Terlibat secara langsung dalam bidang ekonomi samada menjadi usahawan, ahli koperasi, pelabur dan lain-lain

Sesungguhnya, golongan muslimat yang dianugerahkan oleh Allah Taala dengan sifat tegas dalam kelembutan, peka dan sensitiviti yang tinggi, pasti akan mampu membantu diri, keluarga dan masyarakat dalam menghadapi kemelut yang berlaku. Dengan tersebarnya

muamalat yang benar-benar

berlandaskan Islam, maka barakah Allah pasti akan turun ke dunia ini. Justeru, wujudnya usahawan yang amanah dan sistem ekonomi yang halal, maka negeri dan negara akan mampu untuk menjana pendapatan negara dengan lebih baik. Sudah pastilah kesan ekonomi yang akan dihasilkan adalah kesan yang positif. Setiap orang telah tertulis rezekinya masing-masing. Rahsia inilah menjadikan kehidupan ini begitu indah dan perlu dihadapi dengan usaha yang berterusan

16 dan saling membantu antara satu sama lain. Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah as-Syura ayat 27.

Yang bermaksud : “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatanperbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.” – (as-Syuura : 27) Ayuh, muslimat! Walau peranan kita 1% sahaja, kita pastikan ianya dilaksanakan 100% dari segi komitmennya. Sudah pastilah kesannya juga adalah sesuatu yang memberangsangkan.

Paksi ke-4 : Nasihat para profesional ( nasihat al-muhtarifin ) Sidang muktamar yang dirahmati Allah sekalian; Sekali lagi Rasulullah s.a.w. menekankan mengenai pentingnya umat manusia yang berkemahiran dan bertaraf profesional dan pakar dalam pelbagai bidang. Sudah semestinyalah, tahap profesional itu akan digunakan sebaiknya dalam urusan dakwah dan perjuangan Islam di muka bumi ini. Golongan profesional ini perlu diajak, dialu-alukan dan sepatutnya dibangunkan dengan sebaiknya. Golongan ini adalah pemangkin sesebuah jamaah dan pemerintahan. Sudah semestinya, golongan professional muslimat juga

17 terbentuk dengan automatik. Sebenarnya, terlalu ramai dari kalangan muslimat adalah golongan professional yang pakar dalam pelbagai disiplin ilmu pada masa kini. Sama ada mereka memegang jawatan di agensi kerajaan, swasta, institusi pendidikan dan sebagainya, mereka adalah aset yang tinggi nilainya dalam sesebuah pemerintahan. Kepakaran para professional muslimat khasnya perlu dijadikan agenda utama. Gabungan kepakaran mereka perlu kita gemblengkan dan selaraskan agar manfaatnya dapat dimaksimumkan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. Khidmat nasihat mengikut kepakaran masing-masing, perlu diambil kira dalam sesebuah pemerintahan sebagai pandangan kedua atau sebagai ’check and balance’. Maka, saya menyeru kepada seluruh muslimat agar mengambil langkah perlu untuk memastikan diri sendiri, anak-anak dan seluruh masyarakat sentiasa cintakan ilmu pengetahuan. Semakin ramai profesional muslimat dapat dilahirkan, maka akan lebih mantaplah gabungan kepimpinan dalam sesebuah pentadbiran. Insya Allah. Paksi ke-5 : Amalan golongan ahli ibadat ( ’ibadat al-’ubbad ) Paksi terakhir yang digariskan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. adalah perlunya ketinggian mutu amal ibadat oleh para ahli ibadat. Alhamdulillah. Dalam parti PAS, kita telah pun mempraktikkan hal ini dengan maksimum. Dalam memburu kemenangan dan usaha mempertahankan kemenangan Islam, samada dalam pilihanraya umum juga dalam pilihanraya kecil, bahkan dalam apa jua keadaan, selain dari kerja-kerja teknikal pilihanraya, kita mewajibkan adanya Kumpulan Munajat. Kumpulan ini adalah sekumpulan alim ulama’ muslimin dan muslimat, masing-masing akan komited dalam amal ibadat khusus secara berjamaah dalam tempoh yang tertentu. Kumpulan Munajat ini akan sentiasa

18 berusaha tanpa putus asa dalam memastikan munajat kepada Allah sebagai ’radar’ untuk menerima pertolongan Allah Taala kepada perjuangan Islam akan terus hidup dan kuat. Maka, muslimat sekalian perlu memastikan ’hablun minallah’ ini dibina dan dijaga dengan sebaiknya. Sesungguhnya, kita sebagai jentera perjuangan Islam ini perlu menyeimbangkan antara ’hablun minannas’ dan ’hablun minallah’ agar hasilnya nanti lebih indah dan manis. Insya Allah. Mengeratkan Hubungan Mesra Dengan Muslimat Muda Dalam memantapkan gerakan sesebuah jamaah, kemahiran komunikasi dengan golongan muda adalah kunci agar perjuangan ini tak kering pelapisnya. Menanamkan dan menghargai kepercayaan mereka kepada kita

dan

menyediakan ruang untuk mendengar apa yang mereka mahu bicarakan akan merapatkan kita dengan mereka. Kita mesti mampu untuk mengenali rahsia jiwa dan memahami mereka. Kewajipan kita yang pertama ialah memberikan kasih sayang dan menjalinkan ukhuwwah yang mesra sambil membuat mereka merasakan yang diri mereka adalah sebahagian daripada kita. Mereka adalah harapan kita dan masa depan umat akan datang. Kalau kemahiran ini boleh kita optimumkan di seluruh kawasan di pelbagai peringkat, maka kita akan dapat masuk ke dalam lingkungan mereka melalui pintu kasih sayang. Kita wajib berdiri disamping mereka sebagai pembela dan pendidik, bertindak sebagai hakim yang adil dan tidak akan menjatuhkan penghakiman bahawa semestinya yang muda itu kurang bijak hanya bersandarkan umur, akan mengikat hati mereka memihak kepada Islam. Tidak pernah faktor umur Ssaidatina Aishah r.a yang dibicarakan tatkala beliau menuturkan hadith Nabi s.a.w. dan mulianya sanjungan pengorbanan

19 Saodah r.a lantaran pengalaman lanjut usianya. Nah inilah indahnya ukhuwwah Islamiah dalam perjuangan ! Sebahagian daripada kesalahan kita adalah selalu tergesa-gesa dalam menjatuhkan hukuman dan menetapkan sesuatu sebagai keputusan. Ramai yang menilai golongan muda hanya dari jauh tanpa mengenali dengan lebih dekat, mendalami sifat dan memahami perasaan mereka. Ada yang menilai orang muda lantaran sikap minoriti mereka. Sedangkan itu bukan ukurannya. Pada PRU 12 yang lalu, jelas menunjukkan bahawa undi golongan muda meningkat dengan mendadak, dan itulah antara faktor utama peningkatan undi kemenangan kepda PAS dan Pakatan Rakyat. Maka, seharusnyalah muslimat di seluruh peringkat kepimpinan memainkan peranan utama dalam meraikan hubungan dengan golongan beliawanis ini. Rancang dan laksanakanlah pelbagai program dan perbincangan, agar golongan anak muda ini dapat bersama-sama berjuang dalam saf kepimpinan kita demi memperjuangkan Islam. Wujudkan dan mantapkanlah jentera Nisa’ / Halwa Remaja meliputi pelbagai aktiviti termasuk politik dan tarbiah disetiap cawangan, DUN mahupun kawasan masing-masing. Sessungguhnya anak-anak muda ini mempunyai kudrat yang kuat, keazaman dan iltizam yang tinggi, semangat juang yang kental dan keilmuan yang pelbagai. Maka, pihak Muslimat mestilah pandai mengambil peluang dalam membimbing mereka agar bersama-sama dalam saf perjuangan dengan selamat dan mantap. Bukalah ruang perbincangan dan komunikasi pintar antara dua hala, agar jamaah dan pemerintahan Islam akan merasai kesan baiknya. Golongan muda juga, hendaklah sentiasa memastikan diri bersedia untuk berjuang. Hiasilah

20 peribadi dengan kecantikan budi pekerti dan akhlak mulia selaras dengan ilmu didada. Merendah diri bukan bermakna menghina peribadi, bahkan itu tandanya ketinggian budi pekerti. Maka, jalinan antara muslimat dan anak-anak muda ini, saya yakin akan membantu perjuangan yang satu ini. Mainkanlah peranan utama masing-masing dalam keadaan yang harmoni dan kondusif. Untuk anak-anak muda sekalian, kalian adalah mata rantai seterusnya untuk meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. ini. Maka persiapkanlah diri dengan ilmu, akhlak dan tarbiyyah. Bersama-samalah bergandingan dengan Muslimat di pelbagai peringkat agar lebih banyak pengalaman dapat dikutip dan lebih banyak nasihat serta panduan hidup dapat dikongsi. Sesungguhnya Allah Taala menyukai orang-orang yang membantu di jalan Allah, tetapi Allah Taala lebih suka apabila ada orang-orang muda yang terlibat dalam perjuangan membela agama-Nya ini pada masa umur mudanya. Insya Allah.

Kesatuan Fikrah dan Kesatuan Amal Firman Allah Taala dalam Surah al-Aa’raf ayat 3:

Yang bermaksud :“(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan".”

21

Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian; Peringatan daripada Allah dalam ayat dibacakan tadi amatlah besar dan penting untuk kita perhatikan. Dalam gerakkerja kita dalam perjuangan menegakkan agama suci Allah Taala ini, sudah semestilah perlu ada sikap wala’ dan thiqah terhadap kepimpinan yang telah dilantik selagimana ianya tidak melanggar syariat. Jika tanpa kesatuan, maka perjuangan akan porak peranda sebagaimana berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional. Kita, dalam perjuangan Islam ini seharusnya perlu sentiasa mengikut arahan pimpinan dari semasa ke semasa kerana itulah kunci kesatuan. Justeru, Islam meletakkan konsep syura dalam mengendalikan sesebuah pemerintahan. Sebagaimana yang diperingatkan oleh Allah Taala dalam firmanNya:

Maksudnya : ”Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya” ( as-Syuura : 38 ) Kita perlulah mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional. Perpecahan dalam kepimpinan, berpuak-puak, perebutan jawatan dan kuasa telah dan sedang berlaku dalam UMNO dan Barisan

22 Nasional. Inilah hasil akibat perjuangan yang bukan bermatlamatkan keredhaan Allah s.w.t. Maka, perjuangan Islam yang kita dokong selama ini seharusnya suci dan bersih dari perkara-perkara seumpama itu. Maka selaras sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah Taala, Tuhan Yang Maha Mengetahui akan segala rahsia. Kembalilah kita kepada amalan syura dalam apa jua yang kita perbuat. Khususnya dalam pemilihan pucuk kepimpinan di pelbagai peringkat. Di kesempatan ini, saya ingin menyeru agar muslimat PAS Negeri Kelantan terus komited dalam mengamalkan konsep syura dalam pemilihan kepimpinan parti. Semoga ianya akan menjadi contoh teladan kepada orang lain jua. Jika kita meneliti sedikit Sirah Junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w., maka Baginda adalah orang yang paling banyak mengamalkan syura dalam tindakannya, sedangkan Baginda mendapat wahyu langsung daripada Allah Taala. Mengapa Rasulullah s.a.w. sentiasa bermusyawarah? Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w. mahu menjadikan hati-hati para sahabatnya senang dan supaya mereka lebih bersemangat dalam melaksanakan keputusan tersebut. Antara peristiwa berkaitan syura yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. adalah: 1.

Dalam Perang Badar, Baginda mengajak para sahabat bermesyuarat mengenai dimana lokasi sesuai untuk berkhemah, hingga akhirnya alMundzir bin ’Amr menyarankan untuk berkhemah di hadapan lawan.

2.

Dalam

Perang

Uhud,

Baginda

mengadakan

mesyuarat

bagi

memutuskan samada untuk tetap berada di Madinah atau pergi menghadapi musuh. Akhirnya majoriti sahabat menyarankan untuk pergi menghadapi musuh. Maka Baginda s.a.w pun bersama-sama dengan angkatan perang pergi menghadapi musuh.

23 3.

Dalam Perang Khandak, Baginda s.a.w bermesyuarat mengenai masalah al-Ahzab, iaitu tawaran perdamaian dengan memberikan sepertiga hasil kekayaan Kota Madinah pada tahun itu. Namun hal itu ditentang oleh Sa’ad bin Mu’adz dan Sa’ad bin ’Ubadah, hingga akhirnya Baginda tidak melanjutkannya sesuai dengan keputusan mesyuarat.

4.

Dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah, iaitu terhadap usul untuk menyerang orang-orang musyrik. Maka Abu Bakar as-Siddiq berkata kepada Baginda, ”Sesungguhnya kita datang bukan untuk berperang, tetapi kita datang adalah untuk mengerjakan umrah”. Maka Rasulullah s.a.w. pun bersetuju dengan pendapat Abu Bakar r.a.

5.

Baginda Rasulullah s.a.w. juga pernah meminta pendapat ’Ali dan Usamah tentang perceraian Baginda dengan Saidatina ’Aishah r.a. dalam peristiwa hadithul ifki (berita bohong).

6.

Para sahabat juga mengamalkan konsep yang sama. Sebagaimana dalam peristiwa menjelang kewafatan Saidina Umar al-Khattab r.a yang ditikam oleh seseorang. Maka telah diadakan musyawarah antara 6 orang sahabat iaitu ’Uthman, ’Ali, Thalhah, az-Zubair, Sa’ad dan ’Abdurrahman bin ’Auf radiallahu ’anhum, dan mereka telah bermuafakat untuk mengangkat ’Uthman r.a. sebagai pengganti.

Jelasnya, Baginda Rasulullah s.a.w. selalu bermusyawarah dengan para sahabatnya dalam pelbagai masalah dari kes rumahtangga hatta dalam strategi perang dan memilih pemimpin. Dalam hal bermesyuarat ini, suka saya bawakan satu hadith Nabi yang penting iaitu bagaimanakah ciri-ciri orang yang kita boleh bawa berbincang dan diminta pendapatnya.

24 Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.:

‫مؤتمن المستشار‬ Maksudnya : “Orang yang diminta pendapat itu adalah orang yang dapat dipercayai”. Maka, syarat utama ialah memastikan yang kita pilih untuk menyertai mesyuarat atau anggota mesyuarat terlebih dahulu mesti mempunyai ciri amanah. Ini perlu bagi mengelakkan dari berlaku lebih banyak kemudharatan dan kerosakan akibat tiadanya amanah antara ahli kita sehingga sepakat untuk membuat keputusan yang tidak tepat. Namun setelah keputusan diambil, dengan mengambil kira syarat-syarat ahli musyawarah, maka kita berserahlah pada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah Taala amat menyukai orang-orang yang bertawakkal setelah berusaha sedayanya. Jika telah datang pertolongan Allah Taala dalam urusan kita, maka tiada lagi kegusaran dan halangan yang akan menghalang. Penutup Kalam Sidang muktamar yang dirahmati Allah sekalian; Suka saya ingin menyimpulkan mengenai apa yang telah saya perkatakan. Bagi mendapatkan sebuah pemerintahan yang utuh dan mantap, maka 5 elemen penting

yang

menjadi

paksinya

mestilah

dipastikan

kewujudan

dan

kesinambungannya. Kita saling memerlukan antara kelima-limanya bukannya memilih salah satu darinya. Kita memerlukan ulama’ yang akan mengajarkan ilmunya, pemerintah yang adil melaksanakan amanah kuasa padanya, para usahawan yang amanah sebagai penjana ekonomi negara, para profesional yang pakar dalam bidangnya untuk

25 memberikan khidmat nasihat berguna dan akhirnya kita memerlukan kualiti keikhlasan ahli ibadat. Antara lima paksi tersebut, ianya perlu hadir dalam pakej yang

lengkap,

barulah

impaknya

hebat.

Setiap

satunya

mempunyai

keistimewaan dan kelebihan masing-masing yang tidak boleh sekali-kali diabaikan. Umpama jari-jari ditangan kita. Jika hilang satu, maka akan susahlah semuanya. Kesatuan itu, harus dan wajib ada padanya. Sidang muktamar yang dirahmati Allah sekalian; Dikesempatan ini juga, suka saya mengingatkan diri saya dan seluruh sidang muktamar sekalian mengenai ciri-ciri kepimpinan yang perlu dinilai sebelum kita membuat pemilihan. Sesungguhnya, pemilihan pemimpin ini adalah satu ibadah kerana ianya akan membawa amanah agama dan jamaah. Antara ciri-ciri kepimpinan yang perlu diteliti adalah sebagaimana berikut: 1.

Mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. dalam setiap cabang kehidupan

2.

Menjaga kesempurnaan ibadat khusus dan umum

3.

Menjauhi dosa-dosa besar dan kecil

4.

Mengamalkan akhlak Islam yang mulia

5.

Mempunyai kemantapan iman dan ketinggian ilmu

6.

Mempunyai sifat rendah diri dan tawadhuk

7.

Mampu berperanan sebagai ‘imam’ dan ‘penghulu’. Maksudnya mampu menjadi ketua dalam urusan ibadat dan juga ringan tulang dalam membantu masyarakat.

8.

Amanah dan bertanggungjawab serta meletakkan kepentingan Islam mengatasi kepentingan lain termasuk kepentingan peribadinya sendiri

Selama 19 tahun kita berada dalam pemerintahan Islam di Kelantan. Kekananan PAS dalam pemerintahan berbanding dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat, adalah diharapkan akan menjadi rujukan dan contoh yang baik kepada yang

26 lain. Kita sebagai pejuang di sayap Muslimat PAS ini, mestilah sentiasa meningkatkan kualiti diri dan kepimpinan agar kesinambungan perjuangan akan diteruskan dengan sebaiknya. Perlu diingatkan, tahun ini dan tahun-tahun mendatang adalah tahun yang penuh ujian dan cabaran. Selain dilanda kegawatan ekonomi lokal dan global, kita juga dilanda kegawatan nilai politik dan kepimpinan negara. Tidak mustahil pilihanraya kecil akan terus berlaku dari semasa ke semasa dalam jangka masa yang singkat. Bermula dengan Permatang Pauh, kemudian Kuala Terengganu, kemudiannya Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Selepas ini Penanti pula yang sedang menanti. Mungkin juga selepas ini ke Kota Alam Shah dan beberapa tempat lagi. Pilihanraya ini adalah sebenarnya medan perang secara damai dan demokrasi. Apa yang penting, bermula dari sekarang, kita perlu sentiasa bersedia dan memantapkan diri dan jentera. Jentera muslimat mestilah menjadi jentera yang cergas, mantap, berani dan tabah. Disamping menambahkan kualiti kepimpinan dan ilmu pengetahuan, kita mestilah sentiasa bersedia dari semua segi. Jentera kita mestilah bersedia 24 jam. Hanya menunggu arahan dari pihak pemimpin untuk kita turun padang. Sesungguhnya puji-pujian dari pelbagai pihak terhadap jentera Muslimat Kelantan hendaklah kita ambil sebagai motivasi dan muhasabah. Jangan pula ianya menjadi tiket untuk kita menjadi takabbur dan sombong dengan pujian sementara itu. Bahkan, ianya menjadi pemangkin untuk kita menambahbaikkan dan memantapkan jentera kita di pelbagai peringkat. Insya Allah. Marilah sama-sama kita muhasabah diri masing-masing dari semasa ke semasa. Semoga Allah Taala menambahkan lagi ketaqwaan kita kepada-Nya. Insya Allah.

27 Firman Allah Taala:

Maksudnya : ”Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.

( al-Hajj : 41 )

Akhir kata, marilah sama-sama kita memohon pertolongan daripada Allah SWT semoga dikurniakan kekuatan dan kebijaksanaan dalam membantu Islam. Semoga kita juga konsisten dalam mendokong perjuangan berlandaskan kebenaran ini. Firman Allah Taala:

Maksudnya : ”Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” ( Hud:112) Siiru ’ala barakatillah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Ucapan YB Hjh Siti Zailah Mohd Yusof Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan / Ahli Parlimen Rantau Panjang 13 Jamadil Awwal 1430H / 9 Mei 2009 ( Sabtu ) Pusat Tabiyyah Islam Kelantan ( PUTIK ), Pengkalan Chepa

Related Documents