Melayu Mesti 'kiasu' Untuk Berjaya

  • Uploaded by: egahmulia
  • 0
  • 0
  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Melayu Mesti 'kiasu' Untuk Berjaya as PDF for free.

More details

  • Words: 3,442
  • Pages: 10
MELAYU MESTI ‘KIASU’ UNTUK BERJAYA Pendapat SAYA amat tertarik dengan syarahan Profesor Diraja Ungku Aziz, di Universiti Malaya minggu lalu. Beliau menyarankan orang Melayu supaya mempunyai sikap ‘kiasu’ untuk berjaya seperti mana amalan orang Cina. Kiasu adalah perkataan Hokkien (Cina) bermaksud takut kalah. Kiasu boleh diaplikasikan dalam berbagai keadaan aspek hidup. Takut kalah dalam sebarang persaingan atau pertandingan atau peperangan. Dalam konteks ini, sudah tentu persaingan dan pertandingan yang sihat dalam perkara kebaikan. Dalam konteks Melayu, kiasu dengan bangsa lain dan mahu hidup gagah, dipandang hebat di bumi sendiri. Sebenarnya, budaya hidup orang Melayu telah lama tersemat dengan sikap kiasu sejak mereka menerima Islam 600 tahun lalu. Terbukti, orang Melayu pernah berjaya mentadbir dan menguruskan negara sendiri iaitu kerajaan Melayu Islam Melaka sehingga terkenal seantero dunia, termasuk menjadi tarikan kerajaan negara China. Tamadun Melayu pernah mengalami pasang surut. Melayu pernah hidup mewah dan pernah hidup susah. Pernah tinggal di bandar dan tidak kurang di kampungkampung, pernah berniaga dan pernah mengusahakan hasil tani. Pengalaman yang dilalui telah menjadikan mereka mempunyai semangat kental. Kita jangan lupa, siapa yang mengusir penjajah keluar kalau bukan orang Melayu. Inilah sikap kiasu. Takut kalah di bumi sendiri. Takut dijajah di bumi sendiri. Inilah perkara yang cuba dibawa oleh Ungku Aziz. Tamadun Melayu Islam menjadi hebat juga disebabkan oleh ilmu. Kekuatan ilmu ini yang telah mencorakkan sikap Melayu untuk berdaya saing. Kekuatan ilmu telah menjadi orang Melayu mahu berfikir lebih jauh ke hadapan. Mereka tidak mengambil jalan singkat, tetapi sentiasa berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Penjajah demi penjajah datang, akhirnya berjaya mereka halau. Cuma hari ini, mereka mulai lupa jerit pahit tok nenek moyang mereka. Mereka menjadi manusia yang malas berfikir, tetapi mahu hidup mewah. Akhirnya mencari jalan pintas. Semangat kepahlawanan telah hilang. Semangat bendahara dan hulubalang telah lunyai. Mereka hanya berbangga menjadi ‘tuan’ negara ini. Mereka sudah lupa bagaimana ‘ketuanan’ itu wujud sebelum ini. Budaya berfikir sudah tidak wujud lagi seperti sabda nabi, berfikir seminit lebih baik daripada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat. Berfikir adalah proses yang paling tinggi dalam pembelajaran. Ada yang suka membaca tetapi tidak mahu berfikir. Sekadar membaca tidak cukup kerana membaca tanpa berfikir tidak akan memberikan kesan. Inilah konsep generasi ulul albab yang diperbahaskan dengan panjang lebar dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Sebenarnya kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Datuk Seri Idris Jusoh telah lama mempelopori istilah ini. Saya sering kali ke sana memberikan penerangan mengenai istilah ulul albab. Sebenarnya istilah-istilah dalam al-Quran, penuh dengan semangat kiasu. Cuma kita sahaja yang tidak mahu mencungkilnya. Selain istilah ulul albab, ada satu lagi istilah yang membawa makna mengalahi kiasu ialah ulil absar, orang yang memiliki pandangan atau wawasan.

1

Dalam konteks ini, orang yang memiliki pandangan atau wawasan yang jauh ke hadapan. Orang yang memiliki fikiran dan wawasan jauh ke hadapan akan tetap kiasu. Kalau kita bandingkan dengan orang Cina di negara kita, sejak awal-awal lagi mereka kiasu. Takut kalah di bumi orang. Takut merempat di bumi orang. Sebab itu istilah Cina seberang laut, berbeza dengan Cina di tanah besar. Cina seberang laut, boleh dikatakan lebih berjaya daripada orang Cina di negeri China. Cina seberang laut mempunyai semangat kiasu luar biasa sehingga dapat membentuk sebuah negara sendiri iaitu Singapura yang asalnya sebuah negara Melayu. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Kerana mereka percaya kepada ‘satu Cina’ walaupun terdapat berbagai kumpulan atau istilah Cina, mereka tetap kiasu. Ke mana pun mereka pergi, mereka tetap Cina walaupun apa juga nama, kumpulan, bahasa, dan ideologi. Berbeza dengan orang Melayu. Semua yakin bahawa Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Hanya ada ‘satu Melayu’ iaitu mereka yang beragama Islam. Tetapi Melayu Islam ini dipecah-pecahkan mengikut semangat kedaerahan, kumpulan, bahasa, parti politik dan ideologi. Tidak pada orang Cina, walaupun kita lihat di kalangan orang Cina itu sendiri ada berbagai-bagai agama seperti Buddha, Confucius, Toaism, Kristian dan Islam (ini tidak termasuk kelainan bahasa, dialek dan sebagainya) tetapi mereka berpegang kepada semangat ‘satu Cina’. Sebenarnya, orang Melayu lebih mudah, sebab mereka hanya ada satu, ‘Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu’ iaitu Melayu Islam. Jika mereka mempunyai pemikiran dan wawasan berjuang atas nama ‘satu Islam’ maka banyak masalah yang boleh diselesaikan. Satu Islam untuk semua manusia, tak kira apa bangsa sekalipun. Kita hanya ada satu kiasu. Tetapi semangat satu kiasu tidak tertonjol kerana kita membesar-besar perbezaan, lebih-lebih lagi perbezaan pendapat dan latar belakang politik. – MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH, Bandar Baru Ampang. Utusan Malaysia, 28/11/2006

“ORANG MELAYU PERLU DIPAKSA UNTUK BERUBAH” Bagaimanakah mahu melaksanakan perubahan cita-cita dalam RMK-9 ini?

2

UNGKU AZIZ: Itulah yang menjadi cabarannya sekarang. Membuat janji, mudah tetapi melaksanakannya itu lebih penting. Saya berharap semua orang memahami apa yang dicita-citakan ini. Orang mesti sedar bahawa ini satu peluang yang terbaik untuk kita membasmikan kemiskinan. Saya kata begitu kerana Abdullah diketahui seorang pemimpin yang jujur. Orang di sekelilingnya, itu cerita lain tetapi beliau sendiri sifatnya telah diketahui. Wataknya memang begitu. Saya kenal beliau sejak dari zaman mahasiswanya lagi. Beliau telah dibesarkan dengan pengaruh ayah dan datuknya yang warak tetapi bukan kuno. Apakah yang boleh menggagalkan usaha-usaha perubahan ini? UNGKU AZIZ: Abdullah sendiri pun hampir setiap hari atau setiap minggu sekarang, saya kira perkataan yang sesuai ialah, berleter kepada para pegawai kerajaan. Beliau nyata cukup tidak berpuas hati melihat budaya kerja birokrat yang tidak akan membantu usaha-usaha pembangunan ini. Sekarang ini kita membawa orang dari Universiti Harvard untuk membetulkan sektor awam. Saya tidak tahu apakah yang boleh diberitahu oleh orang dari Harvard ini yang kita sendiri belum tahu? Kuncinya ialah bagaimana memberikan perkhidmatan kepada rakyat, bukannya untuk kepentingan diri sendiri, atau rasuah dan penyelewengan. Perkara yang paling utama ialah penyampaian. Kita ada idea yang baik dan sumber yang baik tetapi bagaimana hendak memastikan ia tidak diseleweng oleh birokrat atau korporat yang tidak jujur. Bagaimana hendak selesaikan masalah rasuah ini? UNGKU AZIZ: Orang Melayu mesti merasakan rasuah itu sebagai satu dosa. Tetapi masalahnya orang tidak lagi rasa berdosa sehingga ia menjadi lumrah dan orang tidak lagi sedar dia rasuah. Kita harus menekankan bahawa rasuah itu satu dosa, baik penerima mahupun pemberi. Kalau ada rasa yang seperti itu, dalam hati nurani mereka akan timbul kesedaran untuk tidak melakukannya. Orang Islam harus sedar bahawa setiap orang suatu hari pasti akan meninggal dunia. Selepas mati, orang yang berdosa akan masuk neraka. Apabila berhadapan dengan rasuah orang mesti ada kesedaran seperti ini. Tetapi orang sebaliknya percaya setelah rasuah mereka boleh menggandakan ibadah untuk menyeimbangkan pahala dan dosa. Apa lagi yang perlu orang Melayu lakukan? UNGKU AZIZ: Orang Melayu mesti kiasu sedikit. Mesti ada perasaan mahu berjaya, tidak kira apa juga halnya dan tidak pedulikan orang lain. Orang Melayu mesti mula berfikir mementingkan diri sendiri.

Bolehkah kita bentuk watak baru itu? UNGKU AZIZ: Kita mesti ada pemimpin yang bersedia memimpin. Kita tidak mahu pemimpin seperti dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang

3

berebut jawatan sesama mereka seperti ulat tahi. Mereka sepatutnya memimpin belia Melayu tetapi tengok apa yang berlaku. Teruk. Bagaimana mahu mengatasi masalah sikap yang Pak Ungku sebutkan itu? UNGKU AZIZ: Aspirasi orang muda khususnya lelaki bak kata orang Cina, chinya telah hilang. Tayarnya pancit, angin sudah keluar. Kita mesti betulkan kebocoran itu dan pam angin yang baru supaya dia boleh jalan lagi. Inilah yang harus diberikan perhatian sekarang – membina satu sikap baru. Bagaimana? UNGKU AZIZ: Tentunya bukan dengan syarahan dan ceramah. Kita mesti menunjukkan contoh, memberikan latihan dan paksa mereka buat. Orang Melayu mudah berubah dan memberikan respons yang lebih baik dengan paksaan berbanding pujuk rayu. Kalau kita pujuk-memujuk, nanti ada pelbagai alasan macam loyar buruk. Mereka memerlukan orang yang boleh mengatakan: “Buat! Mari kita naik bot pergi ke laut dan bawa balik ikan besar.” Kita mesti paksa kalau kita mahu membetulkan perspektif orang Melayu. Kita mesti jelas tentang apa yang kita mahu mereka lakukan. Kenapa kita mesti paksa? UNGKU AZIZ: Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya adalah satu daripada kejayaan cara paksaan ini. Kita pilih anak desa untuk diberikan peluang, dan kita paksa mereka; kalau lulus baru boleh naik semester, kalau tidak balik kampung. Selepas lulus dua semester, mereka masuk ke fakulti perubatan atau kejuruteraan. Kita boleh lihat kejayaan paksaan itu daripada senarai nama mereka yang pernah melalui Pusat Asasi Sains. Tetapi malangnya ia sekarang disabotaj sejak beberapa tahun lalu apabila kita memperkenalkan sistem meritokrasi. Kita sudah tersilap perkiraan. Kenapa kita bercakap tentang meritokrasi ketika orang Melayu itu sendiri sudah handicap? Masuk saja ke universiti mereka sudah ketinggalan dari segi penguasaan bahasa, kemahiran belajar, badan yang tidak sihat dan sebagainya. Itu sebabnya kita memerlukan affirmative action, seperti yang dilakukan oleh banyak negara lain. Kenapa kita harus teragak-agak untuk melakukannya? Kita mesti jelas dan tegas. Tetapi orang melihat ini tidak lagi sesuai, bersifat perkauman. UNGKU AZIZ: Kita mesti jelas dan tegas kenapa kita harus menggantungkan meritokrasi sehinggalah ke satu masa yang sesuai, apabila ada keseimbangan. Sekarang ini keseimbangan itu tidak ada. Jurangnya masih besar. Apakah kita tidak mahu membetulkan keseimbangan itu ketika wanita menguasai universiti? Ini tidak seimbang dan akan menimbulkan masalah besar di kemudian hari. Kita mesti hadapi ini dengan sikap yang jujur dan berani. Kita tidak boleh lagi segan. Kita mesti tegas dan berani mengatakan bahawa kita orang Melayu, dan kita mahu menakluk dunia. Kenapa harus segan? Kenapa malu mengaku Melayu dan mengatakan kita orang Malaysia. Kalau Melayu, Melayulah. Saya melihat ini adalah satu affirmative action, walaupun kita tidak menggunakan perkataan ajaib itu. Harapan Pak Ungku?

4

UNGKU AZIZ: Saya anggap ini sebagai satu wake up call. Tetapi sama ada orang dengar dan selepas itu terus tertidur, hanya masa beberapa tahun akan datang ini yang boleh menentukan. Kita misalnya harus memikirkan apakah kita mahu melahirkan usahawan yang benarbenar usahawan, atau usahawan yang setengah masak – sekerat usahawan, sekerat pentadbir seperti yang ada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)? Kita mesti melahirkan lebih banyak usahawan yang naik dan jatuh kerana mereka berani mengambil risiko. Keberanian itulah yang akan menentukan seseorang usahawan itu berjaya, atau kurang berjaya atau rugi tetapi mampu bangun semula. Kita tidak mahu usahawan yang kalau rugi menyerahkan masalah itu kepada kerajaan, dan bukan masalah mereka. Kalau mahu jadi usahawan kita mesti kiasu. Kalau untung, untung. Kalau rugi, sanggup bangun semula. Utusan Malaysia, 9/4/2006

Profesor Diraja Ungku Aziz ulas isu `menang bentuk, kalah isi' Melayu tidak kisah bangsa MUKADIMAH

5

Profesor Diraja Ungku Aziz cepat bersetuju ketika mahu diwawancara tentang isu agenda Melayu yang berbangkit ekoran tulisan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Norraesah Mohamad di halaman ini minggu lalu. Pada hari dan masa yang dijanjikan, Pak Ungku membawa bersamanya Laporan Majlis Perundingan Ekonomi Negara II yang diserahkan kepada kerajaan pada 2 November 2000. Beliau salah seorang anggota badan itu dan duduk di dalam Jawatankuasa Kerja Pembasmian Kemiskinan. ``Penyelesaiannya sudah ada dalam laporan ini tetapi kita selalu mahu mencari caracara baru,'' katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI, kelmarin. Menurut Pak Ungku isu agenda sosioekonomi orang Melayu harus dibincangkan selalu kerana hanya dengan cara itu saja dapat dicari jalan penyelesaiannya yang berkesan. ``Agenda Melayu ini tidak terbatas sehingga bulan September nanti saja,'' katanya merujuk kepada Perhimpunan Agung UMNO. Dalam pertemuan itu, Pak Ungku turut membangkitkan satu sikap orang Melayu yang pada pandangannya banyak merosakkan bangsa itu sendiri. ``Orang Melayu tidak berfikir sebagai satu ummah. Kita individualis nombor satu,'' katanya. Beliau juga membangkitkan sindrom kacang lupakan kulit di kalangan orang Melayu. MINGGUAN: Apakah yang terlintas dalam fikiran Pak Ungku selepas membaca tulisan Dr. Norraesah itu? UNGKU AZIZ: Ia satu tulisan yang sangat baik. Saya seorang yang susah hendak berpuas hati tentang orang lain termasuk terhadap diri sendiri. Saudara jangan lupa bahawa dia memiliki ijazah kedoktoran sains ekonomi dari University of Paris I Pantheon-Sorbonne, salah sebuah universiti yang terkemuka di Eropah dan universiti nombor satu Perancis sama seperti Oxford dan Cambridge di England dan Harvard di Amerika Syarikat. Saya fikir beliau ini seorang intelek yang tidak begitu digunakan kepakarannya. Kalau saya diminta menyenaraikan 10 tokoh pemikir wanita di negara ini, senang-senang beliau antara lima yang teratas. Tulisannya itu padat dan menyentuh secara keseluruhan isu-isu tentang masalah sosioekonomi orang Melayu walaupun tidak dengan mendalam. Tetapi beliau tidak begitu lantang dalam erti kata tidak mempersoalkan kenapa orang Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu misalnya bertubuh kecil berbanding di negeri-negeri lain. Kenyataan ini bukan pandangan peribadi saya tetapi itulah juga yang dinyatakan dalam laporan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) negara. Apa yang saya bangkitkan ini ada kena-mengena dengan isu agenda Melayu ini. Kenapa tubuh mereka lebih kecil?

6

UNGKU AZIZ: Saya juga selalu bertanya soalan yang sama: Apakah Tuhan memang menjadikan orang Melayu comel dan kecil? Keadaan orang Jepun selepas Perang Dunia Kedua juga serupa. Tetapi selepas kalah perang itu mereka bertanyakan soalan yang sama yang kita tanyakan kepada orang Melayu sekarang: ``Apa yang tidak kena dengan bangsa ini? Kenapa kita tidak boleh berjaya dalam pelbagai bidang?'' Orang Jepun menemui jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan itu dan mereka menyelesaikannya - pendidikan yang bermutu dan pemakanan yang seimbang. Hasilnya tubuh mereka besar, minda mereka cergas dan kita tahu mereka menguasai ekonomi. Kejayaan bangsa Jepun itu boleh kita tiru. Hal ini sudah saya kupas dengan panjang lebar beberapa kali sebelum ini. Apa kaitannya cerita itu dengan perbincangan kita ini? UNGKU AZIZ: Ada dua perkara yang boleh mengubah nasib orang Melayu pada jangka panjang - pendidikan dan pemakanan yang seimbang. Pada masa yang sama kita harus mengubah perenggu minda (mindset) orang Melayu. Kalau kita lihat secara keseluruhannya orang Melayu tidak cenderung mahu mencapai kecemerlangan dalam bidang yang mereka ceburi. Orang Melayu tidak ada pemikiran yang bersungguh-sungguh mahu berjaya; tidak ada motivasi mahu belajar secara berterusan seperti orang Jepun dan Eropah. Mereka ada pemikiran itu kerana mereka mahu berjaya. Bangsa Cina juga begitu, selalu berfikir bagaimana mahu memperbaiki diri. Kita harus mencari jalan bagaimana hendak memberi motivasi kepada orang Melayu supaya berubah. Pak Ungku ada jawapannya? UNGKU AZIZ: Orang selalu menyebut tentang anjakan paradigma tetapi saya minta maaf, sebenarnya banyak yang tidak faham pun apa yang mereka katakan itu. Kalau kita asyik berklise kita tidak akan berfikir untuk menyelesaikan masalah. Kita mesti mengubah pandangan orang Melayu tentang pendidikan, bahawa ia adalah satu proses sepanjang hayat dan bukan hanya setakat mendapat ijazah saja. Saya sudah berumur 82 tahun. Saya tidak nampak pelik kalau perlu belajar tentang perisian komputer misalnya kerana itu bidang yang saya kurang mahir. Memang susah tetapi saya mencuba dan memaksa diri belajar. Saya masih sedia belajar walaupun umur sudah begini. Tetapi bagaimana dengan berjuta-juta orang Melayu lain? Cita-cita Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan lebih 30 tahun lalu. Soalnya kenapa terlalu susah untuk menukar orang Melayu dalam tempoh satu setengah generasi itu? UNGKU AZIZ: Generasi awal fasa pertama DEB dulu, katakan pada pertengahan tahun 1970-an, sudah berjaya. Banyak yang sudah kita capai dalam bidang pendidikan termasuk menubuhkan pusat asasi sains yang kemudiannya melahirkan doktor dan jurutera Melayu.

7

Kita telah melalui zaman yang baik itu sehingga awal tahun 1980-an. Selepas itu di bawah kepimpinannya Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan wawasan bahawa orang Melayu boleh survive dalam persaingan yang bebas. Salahkah wawasan itu? UNGKU AZIZ: Ia mustahil boleh berlaku. Malah di sesetengah negara maju masih ada kepercayaan bahawa kelompok tertentu harus perlu diberikan perhatian yang lebih dan sedikit istimewa kalau mahu mereka berjaya. Kelemahan pada orang Melayu yang perlu dibela ini adalah masalah pemikiran masyarakat kita yang telah terbentuk oleh penjajahan. Kita belum bersedia untuk meritokrasi. Tetapi tidakkah kalau terlalu banyak diberikan bantuan orang Melayu akan jadi begitu manja? UNGKU AZIZ: Ini satu lagi klise. Bantuan apa yang kita beri? Saya tadi menyebut tentang pendidikan dan pemakanan sebagai ejen perubahan. Tulisan saya dalam laporan Mapen II menyebut bahawa setiap orang harus makan telur ayam sekurangkurangnya sebiji seminggu. Hakikatnya kalau kita buat kaji selidik di Kelantan dan Terengganu puratanya hal ini tidak berlaku. Jadi bagaimana boleh dikatakan bahawa kita sudah membantu orang Melayu? Saya bukan bercakap tentang penyelesaian jangka pendek tetapi jangka panjang iaitu melalui pendidikan dan pemakanan. Apa salah kepimpinan Melayu dalam hal ini? UNGKU AZIZ: Mereka mengelak daripada menyentuh isu-isu yang sebenarnya relatif iaitu kemiskinan, kekurangan fizikal dan kelemahan mental. Para pemimpin selalu bercakap tentang hal-hal yang asing. Kita bercakap tentang meningkatkan teknologi dalam pertanian tetapi hakikatnya orang Melayu miskin dan tidak ke mana. Kita juga banyak bercakap tentang pembangunan usahawan tetapi bagaimana sebenarnya mahu menjadikan mereka sebagai usahawan. Orang Melayu juga bersalah dalam hal ini. Kerajaan misalnya bercakap tentang penguasaan bahasa Inggeris tetapi orang Melayu secara individu tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasainya. Kita selalu ada tanggapan bahawa orang lain akan melakukannya dan bukan kita sendiri. Kita menganggap anak kita nanti akan menguasainya.

Apakah yang harus dilakukan oleh pimpinan Melayu untuk menangani masalah ini? UNGKU AZIZ: Para pemimpin harus duduk berbincang dan menggariskan masalahmasalah utama yang dihadapi oleh orang Melayu, dan berusaha menyelesaikannya. Kita perlu jelas apakah agenda Melayu yang hendak kita capai. Kita harus menggariskan cara-cara untuk menjadikan bangsa Melayu berjaya dan cemerlang.

8

Orang Melayu rata-ratanya Islam dan berpegang kepada al-Quran. Dalam tulisan pentingnya di majalah al-Ikhwan pada tahun 1927 Pendeta Za'ba mengupas sepotong ayat al-Quran tentang manusia hanya mendapat apa yang dia usahakan. Soalnya apakah manusia Melayu yang Islam ini tidak tahu? UNGKU AZIZ: Mereka tahu tetapi tidak terdaya kerana malas berfikir dan merasakan itu kerja orang lain. Orang Melayu suka duduk dan tengok orang lain buat. Inilah budaya yang harus diubah. Masalah orang Melayu ialah mereka suka duduk bersembang, pergi wakaf main dam dan mencari keseronokan, baik yang halal atau haram hanya semata-mata untuk mengalihkan tumpuan daripada dunia sebenar. Inilah simptom budaya kita yang lemah. Kita tidak ada akar budaya yang kuat yang boleh melonjakkan kita ke depan. Cuba lihat budaya orang Cina yang sudah ada pada diri mereka sejak beribu-ribu tahun lalu. Perkataan kiasu itu jelas menggambarkan watak orang Cina. Kenapa orang Melayu tidak kiasu? Elok juga saudara bangkitkan tentang Pendeta Za'ba. Beliau menulis buku Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Buku itu kepada saya cukup relevan untuk dibaca semula pada hari ini oleh semua orang Melayu. Tentang sikap buruk orang Melayu, Munsyi Abdullah juga dulu membangkitkan hal yang sama - kejengkelannya tentang perangai orang Melayu. Gambaran beliau dulu itu masih sama sekarang tetapi setidak-tidaknya Za'ba ada menunjukkan cara keluarnya dalam buku itu. Bagaimana Pak Ungku melihat isu agenda Melayu ini dan kaitannya dengan UMNO? UNGKU AZIZ: Para pemimpin UMNO sedang menempatkan diri mereka dalam barisan kepimpinan. Saya hendak bertanya satu soalan yang paling asas: Adakah ini saja yang dikatakan berpolitik? Kenapa tidak ada pemimpin UMNO yang memberitahu sekiranya terpilih mereka akan memperjuangkan isu-isu pendidikan untuk orang Melayu atau skim makanan khas untuk para pelajar Melayu, misalnya. Inilah yang harus ditanyakan oleh orang Melayu kepada para pemimpin yang hendak bertanding ini: Apa program mereka untuk orang Melayu? Dalam pemilihan jawatan politik di negara lain, para pemimpinnya bersaing atas isuisu. Tetapi dalam pemilihan UMNO tidak ada pemimpin yang menyatakan programprogram mereka untuk orang Melayu. Ini yang saya katakan masalah pemikiran orang Melayu tadi - ``orang lain akan buat'', orang yang dipanggil pakar. Mereka hanya perlu menang saja seolah-olahnya yang lain itu akan berlaku dengan kuasa ajaib. Kita terlalu individualistik. Kita tidak berfikir sebagai satu ummah. Kita individualis nombor satu. Maksudnya? UNGKU AZIZ: Kita hendak naik sendiri-sendiri. Kita kena tahu membezakan antara perjuangan untuk kepentingan individu atau perjuangan untuk memperbaiki kedudukan masyarakat Melayu.

9

Itu sebabnya kita kena tahu apakah yang mereka hendak tawarkan atas isu-isu orang Melayu. Itulah caranya berpolitik. Jangan kita ada kepercayaan yang naif bahawa pakar-pakar akan menyelesaikan masalah. Kalau mahu jadi pemimpin harus boleh berdiri di atas kaki sendiri. Tetapi untuk berlaku adil kepada mereka ada yang menyebutnya juga. UNGKU AZIZ: Ya, tetapi secara umum saja. Apa yang hendak saya tekankan ialah mereka tidak bertanding atas isu-isu yang menyentuh orang Melayu. Mungkin juga mereka tidak memahami isu-isu yang dihadapi oleh orang Melayu. Atau mungkin juga kerana ada arahan jangan berkempen? UNGKU AZIZ: Jadi mereka ini bertanding untuk apa? Bolehkah sebuah pemilihan berlaku tanpa ada kempen? Itulah idea demokrasi. Sekiranya pemimpin UMNO dibenarkan berkempen dan mereka menyatakan agenda mereka, bolehkah politik wang ditangani? UNGKU AZIZ: Sudah tentu. Mereka akan berjuang atas isu. Kekuatan seorang pemimpin yang hendak dipilih itu akan ternampak melalui pemikirannya tentang sesuatu isu. Ini satu masalah juga. Kenapa kita menyebut politik wang dan bukan rasuah? Realitinya itulah rasuah. Orang Islam yang baik tidak akan melakukannya. Tetapi sekarang ini kita mengaburkannya dengan mengatakan bahawa itu politik wang. Apa pandangan Pak Ungku terhadap kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya UMNO lebih proaktif memperjuangkan agenda sosioekonomi Melayu dan tidak bergantung kepada kerajaan? UNGKU AZIZ: Itulah yang sepatutnya. Parti juga harus ada agendanya sendiri, membincangkannya dengan mendalam dan mencadangkan penyelesaiannya kepada kerajaan. Kerajaan hanya pelaksana tetapi agendanya ditentukan oleh parti. Kita harus memahami kelemahan kerajaan kerana ia birokrat. Birokrat tidak boleh berfikir di luar kebiasaan. Selain itu, ahli korporat Melayu yang berjaya kerana dasar-dasar yang melahirkan kelompok besar kelas menengah Melayu harus juga membantu orang Melayu lain. Apabila sudah lepas ke atas mereka ini seolah-olah terpisah daripada kelompok di bawah. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit. Golongan kacang lupakan kulit inilah yang perlu didekati oleh kerajaan dan UMNO. Um 15/8/2004

10

Related Documents


More Documents from ""