Manajemen Masjid Singapura

  • August 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Manajemen Masjid Singapura as PDF for free.

More details

  • Words: 2,880
  • Pages: 9
PENGURUSAN MASJID : PENGALAMAN REPUBLIK SINGAPURA Oleh: Ustaz Haji Mohamed Ali bin Haji Atan 1.

Pendahuluan

Masjid merupakan institusi yang utama dan penting kepada umat Islam. Ini boleh dilihat daripada peristiwa bagaimana Rasulullah s.a.w. telah memulakan ketibaannya di Quba’ dan di Madinah dengan terlebih dahulu membina masjid. Sejarah juga telah menerangkan bagaimana Rasulullah s.a.w. telah mengurus dan menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, pusat pendidikan, pusat kegiatan sosial, pusat pembangunan masyarakat, pusat penerangan dan maklumat, pusat kehakiman, pusat perhubungan, pusat interaksi masyarakat, pusat rawatan dan kecemasan, pusat pemulihan dan pusat seni. Rasulullah S.A.W. juga telah mengajar kita dalam pengurusan masjid hendaklah mesra masyarakat atau jemaah. Sebagaimana di dalam suatu peristiwa yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik r.a katanya: “Pernah datang seorang Arab dusun, lalu ia kencing di sudut masjid, lalu ia dibentak oleh orang ramai. Maka mereka dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Setelah orang itu selesai kencingnya, diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. mengambil setimba air, lalu disiramkan di atas kencingnya itu”. Ini jelas menunjukkan peri pentingnya kemahiran dan kepakaran dalam pengurusan masjid sebagaimana yang telah dipaparkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam konteks ketika itu untuk merealisasikan peranan institusi masjid sebagai “jantung dan nadi” masyarakat. Jika “jantung” lemah, seluruh anggota badan atau masyarakat akan menjadi lemah. Di Singapura, masjid merupakan institusi strategik bagi pembangunan, pembelajaran dan sosial umat Islam Singapura. Terletak di setiap estet perumahan awam, masjid berada di depan dalam menangani isu dan pembangunan sosio-agama ummah. Justeru, dengan berlatarbelakangkan masyarakat yang pesat berubah dan untuk memastikan masjid proaktif dan sentiasa relevan dengan perubahan masa, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam konvensyen Masjid 2005 telah memberi fokus dalam membentuk semula masjid. Penekanan telah diberi kepada membentuk semula isi Pembelajaran Islam dan Pembangunan Sosial, Penyusunan Semula Pimpinan dan Mengatur Semula Sistem. Kertas ini akan membentangkan secara ringkas dasar-dasar dan sistem-sistem yang telah diusahakan oleh MUIS dari Konvensyen Masjid 2005 untuk membentuk semula masjid di Singapura (sila lihat lampiran A) demi berperanan lebih aktif dalam melentur kehidupan beragama dan menempa jati diri Muslim Singapura dengan memberi penumpuan pada

“membuat perkara yang betul bukan sekadar membuat sesuatu dengan betul” (do the right things not just do things right) yang perlu dilakukan demi membolehkan masjid menjadi lebih menjurus dan penentu agenda dalam kehidupan beragama Muslim Singapura. 2.

Latar belakang Pengurusan Masjid Singapura

Di Singapura, MUIS adalah badan yang bertanggungjawab dalam pelantikan anggota Lembaga Pentadbir Masjid dan pengurusan masjid. Sekarang terdapat 69 buah masjid di Singapura yang mana 22 buah masjid adalah masjid yang telah dibina di estet perumahan melalui Dana Pembinaan Masjid (DPM). DPM telah dimulakan sejak tahun 1975 di mana pemerintah telah membantu dengan mekanisme potongan gaji sumbangan pekerja Islam kepada dana tersebut. Masjid ini, selain mempunyai dewan musolla untuk solat, juga dilengkapi dengan ruang maslahah untuk kegunaaan jemaah, bilik persidangan, dewan serbaguna atau oditorium, bilik-bilik darjah untuk madrasah, kelas-kelas dan bengkel, pejabat pentadbiran dan madrasah, bilik aktiviti untuk program pembangunan sosial dan lain-lain lagi. Untuk memastikan masjid mempunyai sistem pengurusan dan ditadbir dengan baik, suatu proses pelantikan yang ketat lagi terperinci dilakukan bagi memastikan hanya caloncalon yang terbaik akan menerajui kepimpinan masjid-masjid Singapura. Proses ini bermula dengan mengundang individu yang berminat untuk berkhidmat di masjid yang dibuka kepada seluruh masyarakat Islam Singapura melalui iklan surat khabar dan notis di masjid-masjid. Antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh para pemohon adalah latar belakang yang baik dan bersih dari rekod jenayah dan tidak pernah muflis. Para pemohon yang pernah berkhidmat sebagai sukarelawan dalam jawatankuasa kecil di masjid akan diberi keutamaan. Selain dari itu, MUIS juga mengambil kira nasihat dan pandangan pemimpin-pemimpin masyarakat yang disegani sebelum pelantikan dilakukan. MUIS juga telah mengadakan Sistem Pembangunan Masyarakat Masjid iaitu suatu sistem sukarelawan di masjid-masjid agar aktivis-aktivis yang berkhidmat di masjid dapat dipantau untuk tujuan perluasan tanggungjawab, pengiktirafan dan penghargaan menerusi anugerah dan sebagainya. Satu mekanisme juga telah dikuatkuasakan oleh MUIS untuk memastikan keutuhan penjanaan pimpinan baru masjid, bagi mengelakkan masalah penyalahgunaan kuasa dan pentadbiran di kalangan pemimpin-pemimpin masjid. Selain dari mempunyai Peraturan Pengurusan Masjid dan Peraturan Kewangan Masjid, seseorang individu tidak boleh memegang jawatan-jawatan penting seperti Pengerusi atau Bendahari untuk lebih dari dua penggal berturut-turut (setiap penggal adalah untuk jangkamasa dua tahun). Usaha juga dilakukan kemungkinan mentauliahkan sebahagian dari jawatan-jawatan penting ini untuk memastikan hanya mereka yang mempunyai kelayakan profesional dapat menyandang jawatan-jawatan tersebut. Dari segi pengurusan, setiap masjid dikehendaki merakam semua mesyuarat dan

keputusan-keputusan masjid dalam minit mesyuarat dan dihantarkan ke MUIS. Semua masjid di Singapura dikehendaki oleh undang-undang di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Amla) untuk menyerahkan akaun kewangan mereka untuk diaudit pada setiap tahun (diaudit oleh juruaudit luar yang diluluskan). Ini adalah untuk memastikan segala akaun yang telah disiapkan mengikut Piawai Perakaunan Singapura dan Peraturan Kewangan Masjid (MFR).

Ini memandangkan sebahagian besar daripada sumber kewangan masjid adalah

daripada derma ihsan masyarakat (selain daripada yuran yang dikenakan masjid untuk beberapa khidmat dan program). Ini adalah untuk memastikan ketelusan dan memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada masyarakat Islam Singapura yang telah menyumbang kepada dana masjid. 2.1.

Membentuk Semula Masjid

Dalam usaha membentuk semula masjid, trend-trend baru dan pengaruh sekitaran yang mempengaruhi landskap kehidupan masyarakat telah diambilkira oleh MUIS beserta cabarancabaran Pensejagatan, Pemodenan, Tren Sosial dan Kependudukan. Muis setelah melalui proses perbincangan dan musyawarah yang menyeluruh dengan semua pemimpin-pemimpin masjid, bersetuju untuk: 10 Membentuk Semula Perisian 11 Penyusunan Semula Kepimpinan 12 Penyusunan Semula Sistem

I)

Membentuk Semula Perisian

Masjid perlu membentuk semula perisian atau kandungan kegiatannya dengan menumpukan kepada Pembelajaran Islam dan Pembangunan Sosial yang mencorakkan kehidupan Muslim kita demi menghayati agama dan bersikap progresif. Sudah tentu ini memerlukan pendekatan berbeza untuk menyampaikan dengan lebih berkesan ilmu agama untuk menangani cabaran kumpulan usia yang berbeza. Ini juga memerlukan masjid kita dibangunkan sebagai masjid kejiranan (constituency) yang menyentuh setiap kalbu masyarakat sekitarannya. Membentuk Semula Perisian ini dibahagikan kepada dua aspek iaitu Membentuk Semula Perisian Pembelajaran Islam dan Pembangunan Sosial. A)

Membentuk Semula Perisian – Pembelajaran Islam

Dalam konteks Singapura, masjid telah memberi banyak sumbangan dalam memenuhi keperluan pembelajaran Islam bagi ummah. Namun, kita perlu menyemak dan menilai

kembali keadaan pembelajaran Islam yang ada iaitu sejauh mana ia relevan dan berkesan dalam memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah di sebuah negara sekular yang moden. Justeru, dua strategi dan enam cadangan telah dipersetujui dan diberikan fokus. Dua strategi itu ialah: Strategi 1:

Rombak Kurikulum dan Metodologi Pembelajaran

Strategi 2:

Membentuk Jati Diri Muslim Singapura Menerusi Masjid

Strategi 1:

Merombak Pendidikan Asas Islam

Strategi utama dalam membentuk kehidupan beragama ummah sudah tentulah memastikan setiap Muslim menerima Pendidikan Islam sesuai dengan golongan usianya. Ini memerlukan perisian Pendidikan Islam di masjid dirombak dan program jangkauan ini hendaklah mendekati setiap Muslim di sekitaran masjid. Berdasarkan semakan Sistem Pendidikan Islam Singapura (Singapore Islamic Education System - SIES) pada Julai 2004,

MUIS telah

mempelopori Pendidikan Asas Islam siri program a.L.I.V.E (Learning Islamic Values Everyday) untuk semua peringkat daripada kanak-kanak hingga dewasa yang direka untuk memastikan pendidikan agama mengisi keperluan khusus masyarakat Islam dalam suasana kosmopolitan

dan

moden.

Pendekatannya yang

merangsang

dan

intreraktif

serta

mengambilkira keperluan menyeluruh masyarakat Islam daripada sekadar beribadat telah mendapat respon yang sangat menggalakkan daripada pelajar, ibubapa, guru-guru dan masyarakat di Singapura. Sebagai permulaan melalui program Kids a.L.I.V.E (yang ditujukan untuk kumpulan usia 5 hingga 8 tahun) dan Teens a.L.I.V.E (untuk kumpulan usia 13 hingga 15 tahun) yang boleh dipersembahkan dalam pelbagai format sama ada dalam kelas atau luar kelas pada hari biasa atau hujung minggu atau rancangan intensif cuti, pendidikan agama akan menjadi lebih berkesan kerana masyarakat Islam dapat mengamalkan dan memahami Islam dalam konteks realiti yang sedia ada. Selanjutnya MUIS juga ada memperkenalkan Tweens a.L.I.V.E (untuk kumpulan usia 9 hingga 12 tahun), Youth a.L.I.V.E (untuk kumpulan usia 16 hingga 24 tahun) dan Adult (Dewasa) (untuk kumpulan usia 25 tahun ke atas). Pusat Pendidikan Islam Khusus (Specialised Islamic Learning Centre) Selain pendidikan asas untuk masyarakat Islam, beberapa buah masjid di Singapura juga telah dikenalpasti sebagai Pusat Pendidikan Islam khusus dalam beberapa bidang Pembelajaran Islam. Antara bidang ini termasuklah pengajian Al-Quran dan Hadis, kefahaman antara agama dan Peradaban Islam. Ini adalah untuk membangunkan kepakaran dan khidmat agama setempat yang mencukupi demi mengisi keperluan menyeluruh ummah. Masjid-Masjid tersebut ialah :

Masjid Kampong Siglap

-

Pengajian Al-Quran/Tahfiz

Masjid Omar Kg Melaka

-

Pengajian Al-Quran/Tahfiz

Masjid Assyafaah

-

Pengajian Hadis

Masjid Assyakirin

-

Tamadun Islam

Masjid An-Nahdhah

-

Pusat Harmoni

Masjid An-Nur

-

Pengajian Bahasa Arab

Masjid En-Naeem

-

Pemikir Islam

Masjid Darussalam

-

Islam dan Pemikiran Barat

Masjid Al-Iman

-

Pengajian Fiqh

Jati Diri Muslim Singapura Sebagai strategi menyeluruh untuk menjadikan masyarakat Islam yang makmur, cemerlang dan memberi sumbangan aktif kepada Singapura, MUIS dengan sokongan pihak-pihak kepentingan (stakeholders), telah mencipta satu model masyarakat cemerlang. Agendanya ialah untuk membangun Masyarakat Islam Cemerlang yang menghayati agamanya di samping berjaya dengan mengamalkan 10 ciri luhur Masyarakat Islam Cemerlang Singapura iaitu: 13 Berpegang teguh akan prinsip Islam sambil menyesuaikan diri dengan konteks yang berubah. 14 Mempunyai moral dan sifat kerohanian yang utuh, mampu mengatasi cabaran kehidupan masyarakat moden. 15 Progresif, mengamalkan Islam lebih daripada sekadar ritual/bentuk dan dapat menyesuaikan diri dengan arus pemodenan. 16 Menghayati tamadun dan sejarah Islam dan berupaya memahami isu semasa. 17 Menghargai lain-lain ketamadunan dan yakin diri untuk berinteraksi serta belajar daripada masyarakat lain. 18 Percaya bahawa Muslim yang baik adalah rakyat yang baik. 19 Dapat menyesuaikan diri sebagai golongan yang memberi sumbangan dalam masyarakat berbilang agama dan negara sekular. 20 Membawa kesejahteraan kepada semua dan menggalakkan nilai dan prinsip sejagat. 21 Tidak menyendiri dan mengamalkan kehidupan majmuk tanpa bercanggah dengan Islam. 22 Menjadi contoh dan inspirasi kepada semua. Namun pendekatan ini bukanlah untuk mewujudkan satu jenama baru Islam. Sebaliknya ia adalah suatu pengiktirafan kepada kehidupan masyarakat Singapura yang majmuk dan rencam serta tidak menafikan aneka cabaran yang dihadapi setiap anggotanya dalam usaha membentuk jati diri Muslim Singapura. Pada bulan Ramadan yang lalu dengan

tema “Muslim yang baik adalah jiran yang baik”, contohnya beberapa buah masjid di Singapura telah sama-sama mengagihkan makanan seperti bubur kepada jiran-jiran masjid dan juga kepada masyarakat yang bukan Islam seperti di rumah orang-orang tua. B)

Membentuk Semula Perisian – Pembangunan Sosial Masjid-masjid di Singapura juga berperanan penting dalam pembangunan sosio-

agama masyarakat. Walaupun penting bagi masjid menjadi tempat berwenang bagi ibadah dan pembelajaran Islam, konteks Singapura menuntut masjid juga memainkan peranan lebih besar lagi dalam pembangunan sosio-agama bagi masyarakat. Dalam konteks kini, usaha masjid ini dapat memberi nilai tambah kepada agensi yang ada

dengan

melengkapi

usaha

mereka

menerusi

rancangan

perkongsian

dan

menghubungkan golongan yang memerlukan dengan penyedia khidmat sosial. Tiga strategi dan sembilan cadangan telah dikenalpasti dan disetujui. Antara tiga strategi itu ialah : Strategi 1 :

Menjadikan Masjid Lebih Mesra Belia

Strategi 2 :

Menjadikan Masjid Lebih Mesra Keluarga

Strategi 3 :

Mewujudkan Masjid Mesra Masyarakat

Strategi 1 :

Masjid Mesra Belia

Belia merupakan golongan yang besar dalam masyarakat Islam Singapura. Dengan arus pemodenan yang sangat pesat, sekitaran sosial yang mencabar dan kian meruncing, agenda belia ini telah diambil secara serius oleh pimpinan masjid menerusi panduan mesra belia untuk mewujudkan ruang dan kecenderungan yang selesa untuk belia ketika di masjid. Kawasan ‘lepak’ belia yang ‘gerek’ dengan ciri tersendiri telah dilaksanakan di beberapa masjid dan pendekatan lebih mesra untuk menarik belia ke masjid. Pekerja sosial belia (youth worker) juga telah digajikan di beberapa masjid untuk menangani persoalan belia secara profesional untuk mengadakan program pembangunan belia secara lebih teratur dan berkesan. Strategi 2 :

Masjid Mesra Keluarga

Untuk menjadi masjid yang mesra keluarga, beberapa buah masjid juga telah disesuaikan untuk menjadi pusat bagi kegiatan bersama keluarga. Pendekatan ini telah diambil demi menjadikan masjid mesra keluarga dan menangani masalah keluarga. Antara langkah yang telah diambil ialah dengan meningkatkan peranan Imam Eksekutif masjid selain sebagai memimpin pembangunan kerohanian jemaah juga meliputi tugas Naib Kadhi. Lantas pasangan muda yang dinikahkannya akan terus mendapat bimbingannya sebagai pembimbing (mentor) pasangan tersebut.

Strategi 3 :

Masjid Mesra Masyarakat

Usaha juga telah dilakukan oleh beberapa buah masjid untuk menjadikan masjid mesra masyarakat sama ada jemaah dalaman (internal), luaran (external), pemimpin akar umbi, organisasi/institusi sekitaran masjid dan organisasi pemerintah. Antara yang telah dilakukan untuk jemaah dalaman masjid ialah seperti Sesi Bertemu Jemaah (Meet Jemaah Session) di mana sesi bual mesra bersama jemaah untuk lebih kenal, mendapatkan maklum balas dan memaklumkan program masjid kepada jemaah. Bagi jemaah luaran program lawatan ke rumah-rumah penduduk Islam telah dilakukan untuk selain berkenal mesra, mendapatkan maklum balas dan menyampaikan program kegiatan masjid kepada penduduk adalah juga untuk memantau sekiranya ada penduduk yang bermasalah maka dapat diberi bantuan atau disalurkan kepada badan-badan bantuan. Sistem ‘qaryah’ juga telah dilaksanakan oleh beberapa buah masjid sebagai rangkaian jawatankuasa kecil masjid di estet-estet perumahan untuk memberi maklum balas masyarakat, merangsang semangat sistem sokongan keluarga berangkai dan menyalurkan keluarga susah dalam kejiranan kepada masjid. Dalam konteks yang lebih besar, MUIS dengan beberapa masjid juga telah mengadakan usaha untuk menonjolkan imej positif Islam menerusi projek “Rahmatan Lil Alamin”. Ini adalah projek muhibah masyarakat dan bantuan ihsan tanpa mengira kaum dan agama. Ini adalah sejajar dengan agama Islam sebagai “rahmat” atau kesejahteraan kepada setiap orang di Singapura khususnya dan amnya di seluruh alam. Contoh projek yang telah dijalankan di luar negeri ialah bantuan mangsa Tsunami di Aceh dan di dalam negeri seperti membersih pantai Sembawang di Singapura setiap bulan sekali bersama badan-badan akar umbi penduduk bukan Islam. Ini adalah antara usaha untuk membetulkan tanggapan negatif terhadap Islam akibat gambaran tidak tepat oleh media sejagat.

B)

Menyusun Semula Kepimpinan

Dalam usaha untuk meningkatkan pengurusan masjid agar lebih berkesan dan efektif. MUIS sentiasa berusaha untuk memperkasa kepimpinan masjid dengan meningkatkan kemahiran pengurusan dan pembangunan masjid. Tiga strategi dan lapan cadangan telah dipersetujui dalam menyusun semula kepimpinan. Tiga strategi itu ialah : Startegi 1 :

Menilai kembali struktur pimpinan masjid untuk meningkatkan martabat kepimpinan.

Strategi 2 :

Memperkukuh dan meningkatkan lagi kepimpinan masjid

Strategi 3 :

Menyemai semangat sivik melibatkan masyarakat sekitaran

Strategi 1 :

Menyusun Semula Kepimpinan Masjid

Pimpinan merupakan faktor utama dalam melaksanakan agenda pembentukan semula masjid. Dengan isu masyarakat yang kian rumit, pimpinan masjid perlu mengambil peranan yang lebih strategik dengan melakarkan rencana jangka pendek dan panjang diterap serta dipantau secara tetap. Ini bermakna pengurusan masjid harus ditugaskan kepada pekerja sepenuh masa dan mempunyai kepakaran dalam ilmu pengurusan. Justeru itu Muis telah memperkenalkan skim Pemimpin Eksekutif Profesional (PEL) seperti Pengerusi Eksekutif, Setiausaha Eksekutif dan Pengurus Masjid. C)

Menyusun Semula Sistem

MUIS dalam usaha untuk menyusun semula sistem telah mengenalpasti tiga strategi dan tujuh cadangan. Tiga strategi itu ialah : Strategi 1 :

Mengenal dan Melaksanakan Idea Keusahawanan Sosial

Strategi 2 :

Memaksimumkan Pulangan dengan Perkongsian Sumber

Strategi 3 : Strategi 1 :

Mempromosikan Sistem Masjid Cemerlang

Melaksanakan Idea Keusahawanan Sosial

Sebagai usaha sosial, masjid mesti mengadakan rancangan kukuh dan mampu menampung biaya sendiri. Masjid di Singapura dengan aset secara kumpulan melebihi $200 juta, kos operasi sekitar $30 juta dan menggajikan lebih 700 pekerja dari segi kewangan, mesti mantap pada operasi dan strateginya. Dengan adanya sumber kewangan mencukupi, rancangan masjid dapat diteruskan dan dikendalikan dengan baik. Strategi 2 :

Perkongsian Sumber/Khidmat

Sebuah pusat urusan perkongsian khidmat telah ditubuhkan dengan usahasama MUIS dan masjid. Dengan ditadbirkan secara profesional, pusat ini telah memberikan khidmat bersama yang bermutu dan mematuhi syarat berkanun. Proses khidmat penting seperti buku kira-kira dan perakaunan, pentadbiran sumber manusia, teknologi maklumat dan penyenggaraan masjid telah dipusatkan atau dikongsi demi menikmati penjimatan besar ekonomi. Hasilnya, kos pengendalian keseluruhan dapat dikurangkan, sumber digerak untuk tugas-tugas utama dan syarat-syarat berkanun dipatuhi dengan lebih baik. Beberapa buah masjid di Singapura telah mula menggunakan khidmat bersama (shared services) ini. Startegi 3 :

Masjid Contoh Cemerlang

Selain daripada Anugerah Masjid Cemerlang yang dianjurkan MUIS sejak tahun 2000, ia juga telah memperkenalkan Sistem Masjid Cemerlang (Mosque Excellence System - MES) demi pengurusan yang baik. Sistem ini menyediakan kerangka menyeluruh bagi masjid untuk mencapai peningkatan, pertumbuhan dan pembangunan. Ia mengandungi ‘benchmark’ bagi Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) untuk menyediakan khidmat bermutu tinggi kepada jemaah, di

samping

memastikan

sistem

dan

sumbernya

dapat

tumbuh

demi

mencapai

kecemerlangan. MES telah dibangunkan berdasar kerangka Anugerah Kualiti Singapura (Singapore Quality Award - SQA) yang disandarkan pada Anugerah Kualiti Kebangsaan Malcolm Baldridge Amerika Syarikat, Anugerah Kualiti Eropah dan Anugerah Kecemerlangan Niaga Australia. Masjid yang ingin mendapatkan Pensijilan Masjid melalui MES hendaklah membuat penilaian MES terlebih dahulu sebelum proses pengiktirafan boleh dianugerahkan. Masjid yang dianugerahi sijil ini boleh berkongsi amalan terbaik mereka dan boleh juga mendapat pengiktirafan kebangsaan dengan memohon Anugerah Kelas Kualiti Singapura (Singapore Quality Class - SQC) dan meneruskan perjalanan ke arah kecemerlangan. 3.

Penutup

Berlatarbelakangkan masyarakat yang pesat berubah di sebuah negara maju, masjid di Singapura perlu dipastikan bertindak proaktif agar sentiasa relevan dengan perubahan masa. Institusi masjid harus terus dibangunkan agar dapat menjadi nadi utama dalam jalinan pembangunan dan khidmat masyarakat seluruh negara. Dari segi sistem, masjid di Singapura telah mengalami penyusunan semula agar setaraf dengan organisasi dan institusi terkemuka di Singapura. MUIS telah melancarkan usaha yang sangat penting ini untuk membentuk semula masjid Singapura. Masjid akan terus dilengkapi dengan tampungan dan keupayaan untuk membantu membentuk kehidupan Muslim yang mendalami agamanya dan maju sebagai sebuah masyarakat. Usaha ini telah menampakkan hasilnya dengan institusi masjid di Singapura telah berjaya mengubah diri untuk menjadi institusi akar umbi yang kukuh dan disegani dengan menempatkan diri secara strategik di kawasan-kawasan kejiranan serta menawarkan pelbagai program keagamaan, selain dari program kemasyarakatan yang disokong dengan rangkaian kerjasama yang kuat dengan jawatankuasa-jawatankuasa penduduk dan kejiranan (qaryah). Peranan Muis, sebagai penguasa agama tertinggi Singapura, adalah untuk memastikan bahawa usaha murni ini berterusan dengan peningkatan mutu dan pengukuhan pengurusan institusi masjid sebagai pusat kecemerlangan bagi pembelajaran Islam dan pembangunan sosial, sesuatu yang menjadi inspirasi kepada semua.

Related Documents