1) PENGERTIAN PERKAHWINAN Maksud perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab. Dalam erti kata lain, suatu akad yang menghalalkan persetubuhan dengan sebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah, perkahwinan dan sebagainya. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut mengenai pensyariatan perkahwinan dianjurkan secara langsung atau tidak langsung kepada manusia sesuai dengan tuntutan fitrah semulajadinya. Berikut dinyatakan beberapa ayat Al-Quran Al-Karim mengenai perkahwinan dan tujuan-tujuan disyariatkannya. Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 3, ertinya : “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (bilah menikah) anak-anak yatim, maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka seorang sajalah, atau hamba sahaya yang kamu miliki. Yang demikian itulah yang lebih memungkinkan kamu terhindar dari berlaku sewenang-wenangnya.” Dari ayat tersebut di atas, dapat diambil penjelasan bahawa seorang lelaki disuruh oleh Allah Taala untuk berkahwin jika berkemampuan, sehingga kepada empat orang isteri dengan cara berlaku adil terhadap mereka sepertimana yang ditentukan oleh syarak. Sebaliknya jika bimbang tidak dapat berlaku adil maka berkahwinlah dengan seorang sahaja. Allah berfirman, ertinya : “Wahai manusia ! Bertaqwalah kamu kepada Tuhanmu, yang telah menjadikan kamu dari satu diri, dan daripadanya dijadikanNya serta dari keduanya Dia memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertaqwalah kepada Allah yang kamu telah bertanya tentang namaNya yang peliharalah keluargamu. Sesungguhnya Allah Pengawas atas kamu.” Di antara hadis Rasulullah SAW yang menerangkan mengenai perkahwinan adalah sebagaimana berikut – ertinya : “Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada kamu: Wahai kumpulan anak-anak muda ! Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa sebab yang demikian itu akan menahan nafsunya.” Dijelaskan dalan hadis di atas bahawa Rasulullah SAW memerintahkan umatnya yang mempunyai kemampuan dan keupayaan supaya berkahwin, kerana perkahwinan merupakan tuntutan syariat dan sunnah Nabi SAW. Antara faedah yang ketara di sini ialah seseorang itu dapat menjauhkan diri dari perkara negatif atau perbuatan keji yang dilarang oleh Allah Taala seperti berbuat zina dan sebagainya. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berkahwin hendaklah dia berpuasa itu dapat mengekang nafsu syahwat.
Memandangkan kelengkapan ajaran Islam dalam menjamin kesejahteraan rumahtangga, keturunan dan keselamatan umat, maka syariat Islam telah mengadakan beberapa peraturan hukum perkahwinan agar manusia tidak akan tergelincir ke dalam kerosakan
dan kehancuran kerana sudah menjadi fardhu ain terhadap orang Islam dan mengaku dirinya Islam wajib mempelajari hukum-hukum Allah termasuk hukum nikah cerai dan rujuk. Perkahwinan adalah dituntut berdasarkan nas Al-Quran melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 32: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. Allah swt juga berfirman didalam surah al-Rum ayat 21: Dan di antara membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi tanda-tanda yang orang-orang yang berfikir. Rasulullah saw juga bersabda dengan kalamnya yang mulia: Perkahwinan itu adalah sunnahku. Barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku maka bukanlah mereka daripada golonganku.
Perkahwinan adalah suatu ikatan yang teguh antara lelaki dengan perempuan melalui akad nikah yang sah untuk menjalani kehidupan berumahtangga sebagai suami dan isteri. Perkahwinan disyariatkan dalam Islam bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia melalui cara yang halal sebagai penyambung keturunan untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.